About

salam kenal
Assalamu’alaikum,
Semoga ALLAH SWT menumpahkan rahmat dan maghfirahNya kepada kita setiap masa, dan mengekalkan kita dalam nikmat iman dan ISLAM sehingga ke akhir hayat kita.
Di sini saya hendak memperkenalkan diri saya, seterusnya website Langit Ilahi ini kepada semua.
Saya adalah saudara kamu dalam ISLAM dan juga saudara kamu dalam mengharungi kehidupan sebagai manusia, Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Dilahirkan di Batu Pahat, Johor, dan kini rumah di Malaysia adalah pada alamat No 28, Jalan 3/3 Sri Pulai Perdana, Taman Sri Pulai Perdana, 81110, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
Lahir pada 16/01/89, dan tahun 2009 ini saya telah berumur genap 20 tahun.
Pendidikan awal di Tadika Ibu, Skudai, kemudian di Tadikan Iman, Skudai, seterusnya menyambung ke Sekolah Rendah ISLAM Hidayah, Senai dan meneruskan sekolah menengah di Ma’had At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis sehingga tingkatan enam. Kini saya sedang menuntut di University of Yarmouk, Irbid, Jordan dalam jurusan Usuluddin.
Bercita-cita untuk bekerja sebagai pensyarah, juga sedang berusaha menjadi seorang penulis yang baik. Namun cikta-cita sebenar adalah untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang baik dan diredhaiNya, kemudian bermanfaat untuk ISLAM itu sendiri.
Memulakan penulisan semenjak nurseri lagi, tetapi mula menunjukkan minat menulis pada usia 15 tahun di bawah didikan Datin Halimaton binti Hussein selaku Guru Bahasa Melayu ketika itu. Selepas SPM, telah menulis karya sulung bertajuk RELASI.
Memasuki tingkatan enam, seorang sahabat karib saya, Ihsan Berahim telah mencadangkan saya menulis blog. Maka saya pun berminat dengan ideanya. Maka wujudlah blog Langit Illahi sebagai wadah penyampaian fikrah dan perkongsian kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Tidak lama kemudian bakat penulisan saya disedari oleh mentor saya, merangkap penulis terkenal di Johor, Hajah Maskiah bt Masrom. Mentor saya telah menyerahkan RELASI kepada Syarikat Citra. Tetapi sehingga kini Syarikat Citra masih belum menerbitkannya lagi atas pelbagai alasan dan halangan.
Ketika tingkatan enam, cuba menulis novel yang kedua bertajuk TAKDIR, tetapi terbengkalai separuh jalan, lalu beralih minat menulis cerpen pula. Di tengah kegiatan menulis cerpen, tawaran ke University of Yarmouk telah sampai, lalu saya terbang ke Jordan menyambung pelajaran. Di Jordan, saya lengkapkan cerpen saya menjadi 16 cerpen, kemudiannya saya serahkan kepada mentor saya dan dengarnya sekarang, semua cerpen itu berada di tangan Syarikat Pelangi Sdn Bhd.
Sebaik sahaja seleasi menulis kumpulan cerpen tersebut, saya telah mendapat semula idea, dan gaya penulisan yang baru, lalu saya sambung semula penulisan TAKDIR yang terbengkalai. Alhamdulillah, sebelum tahun 2008 berakhir, TAKDIR berjaya disiapkan, dan kini karya itu sedang dipertandingkan di Pertandingan Hadiah Sako 3.
Di Jordan ini, saya diperkenalkan dengan GKLN(Grup Karyawan Luar Negara) lalu saya menyertainya untuk menambah ilmu dan pengalaman dalam medan penulisan.
Saya mula lebih serius menulis artikel di blog Langit Illahi, dan akhirnya pada bulan 11 2008, encik Zakaria Sungib, editor Syarikat GISB(Galeri Ilmu Sdn Bhd) telah menawarkan saya untuk menulis buku motivasi. Alhamdulillah, buku itu berjaya disiapkan dengan baik, dan insyaALLAH akan berada di pasaran pada bulan 4 2009.
Akhir bulan 12 2008, saya telah mendapat tawaran untuk menulis sebuah novel kanak-kanak bertajuk Syuwaikh oleh Syarikat Citra juga. Justeru, novel pendek 70 mukasurat itu berjaya disiapkan dalam masa seminggu, dan diserahkan kepada Syarikat Citra. Novel itu dengarnya akan terbit agak lewat, kerana penerbit ingin memasukkan ilustrasi di dalamnya.
Pada awal bulan 1 2009, Syarikat GISB(Galeri Ilmu Sdn Bhd) telah menawarkan saya untuk menulis novel VT, novel saya yang keempat. Pada awal bulan Februari, saya telah berjaya menyempurnakan novel itu, lalu menyerahkannya kepada Syarikat GISB. Novel ini nampaknya akan menjadi novel saya yang pertama di pasaran kerana pengurusan Syarikat GISB yang efisyen dan profesional.
Kini, melihat penulisan saya yang semakin giat, serta sambutan ramai terhadap blog Langit Illahi, maka Ihsan Berahim telah mencadangkan kepada saya untuk mempunyai website tersendiri. Justeru, website ini wujud memenuhi cadangan itu. Website ini dinamakan dengan nama blog saya, Langit Ilahi, cuma saya mengurangkan satu L pada perkataan Ilahi kerana ada pembaca menegur bahawa, perkataan Ilahi, pada lamnya tidak ada sabdu.
Website Langit Ilahi, sebagaimana blog Langit Illahi, tetap membawa moto yang sama iaitu Mari Menjadi HAMBA. Hal ini kerana,s aya sebenarnya hendak mengajak pembaca dan diri saya merasakan bahawa kehidupan kita adalah ibadah kepada ALLAH, dan menjadikan diri kita berusaha memperbaiki diri dalam perjalanan kita untuk kembali kepadaNya.
Dalam website ini, akan diadakan post tazkirah, perkongsian diari, cerpen saya, siaran novel bersiri, puisi dan sebagainya. Website ini juga menyediakan forum untuk pembaca dan pelawat berkongsi pandangan dan berbincang bersama saya. Namun perkara pertama yang saya nyatakan, saya tiadalah berilmu terlalu tinggi seperti Ustaz Hasrizal dan sebaris dengannya. Saya hanya manusia biasa yang berkongsi, memberikan pandangan, berdasarkan ilmu yang saya ada. Justeru saya amat berhajat kepada teguran, penambahan, dan perkongsian ilmu daripada pembaca.
Website ini juga akan menyediakan kemudahan download bahan-bahan fikrah untuk bacaan pembaca, dan menyediakan beberapa video untuk anda tatapi, sama ada video itu berkenaan dengan diri saya, mahupun video klip-video klip yang ingin saya kongsikan bersama.
Saya mengharapkan, website Langit Ilahi ini akan mendapat tempat di hati pelawat-pelawatnya dan dapat memberikan sumbangan dalam pemikiran, manajmen kalbu dan semangat kepada para pembacanya di samping membantu saya mempertingkatkan diri saya juga.
Semoga usaha saya ini termasuk dalam kalangan amal-amal soleh yang diterima ALLAH SWT, dan menjadi saham saya di akhirat nanti. Semoga dengan usaha ini juga, saya diizinkan ALLAH untuk mempunyai ramai kenalan dan teman yang boleh lengkap melengkapi dalam perjalanan menuju ke alam yang abadi.
Sekian dahulu taaruf daripada saya, Hilal Asyraf, seorang hamba.
Semoga kita semua diberkati ALLAH SWT, dan hidup dalam rahmat maghfirahNya.
Marilah kita sama-sama menjadi HAMBA!
~salam dari saudara kamu…
Hilal Asyraf



