Langit Ilahi Rotating Header Image

Adakah benar itu cinta?

Benarkah itu cinta?

Benarkah itu cinta?

Seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang perempuan.

“ Aku betul-betul sayangkan dia” Ujar lelaki itu. “ Perempuan itu pun cintakan aku”

Saya memandang sahaja.

“ Kami berdua saling cinta mencintai” Tambahnya lagi.

Saya menghela nafas.

“ Salah ke kami berjumpa? Keluar sama-sama? Sembang-sembang? Kami nak lepaskan rasa rindu. Cinta kami terlalu menggunung”

“ Kau panggil itu cinta?” Saya memandangnya. Kali ini, mata saya mencerun.

Kononnya, cinta tidak tertanggung, rindu menyelirat agung. Oh, lautan api akan diredah, gunung tinggi akan didaki. Langit angkasa akan dijejak. Bulan bintang akan menjadi saksi. Segala apa pun sanggup dilakukan, asalkan cinta bersemi di dalam hati.

“ Aku betul-betul sayangkan dia, cintakan dia”

Rasa itu memang bergejolak, menolak-nolak. Hati rasa tersiat, seluruh tubuh seakan khianat. Kadang-kadang langsung tidak dapat mengawal diri. Ada masa hendak menangis menanggung cinta ini, ada masa tersennyum-senyum sendiri.

Setiap waktu hanya nampak dia. Ketika tidur hanya mimpikan orang yang kita cinta. Bila bangun terbayangkan dia. Setiap waktu hanya nampak dia sahaja.

“ Aku cintakan mu, i love you, aishiteimasu, uhibbuki, saranghaeyo, ik houk van jou, miluji tě, je’ti aime” Bahasa melayu, inggeris, jepun, arab, korea, belanda, albania dan perancis disebut. Semuanya makna satu. Kalau arif seratus bahasa, kesemuanya akan diluahkan sebagai tanda cinta.

Mabuk. Mimpi yang entah berapa tahun lagi baru menjadi realiti, tetapi terasa seperti esok akan menjadi.

Benarkah itu cinta?

“ Kau panggil itu cinta?” Mataku mencerun.

“ Habis?” Walau saya tidak menyentuh dadanya, dari matanya sudah saya ketahui hatinya diamuk getar. Mungkin terasa bila cinta yang dianggapnya agung itu hendak digugah.

“ Kau tahu apa itu cinta?” Saya bertanya.

Dia mengangguk pantas. “ Cinta itu adalah sayang. Cinta dari hati, sayang sepenuh hati”

“ Kau tahu apa makna sayang?”

“ Menjaga orang yang kita sayangi dari kesengsaraan, membuat dia bahagia”

“ Maka kamu tidak mencintai dia sebenarnya” Saya menjawab perlahan.

Matanya membesar. Terus tangannya meragut kolat baju saya. Saya ditarik kasar.

“ Apa dia? Mana kau tahu? Jangan kau hendak menghitung cintaku. Cintaku kepadanya seluar langit dan bumi. Apa sahaja boleh kuberi. Kenapa kau nyatakan yang aku tidak mencintainya?” Marah. Matanya berapi.

Mabuk. Dia tidak sedar. Yang dikatakannya cinta itu, hakikatnya tidak bernilai walau satu habuk.

“ Sebab kau lontarkan diri kau, dan orang yang kau kata kau cinta itu, ke dalam neraka” Mataku memandangnya tidak berkelip.

“ Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sesungguhnya adalah perkara yang keji dan merupakan satu jalan yang buruk” Surah Al-Israa’ ayat 32.

Dia terdiam.

“ Apakah itu cinta?”

Manusia terlalu bodoh. Dia merasakan cintanya agung melangit. Tetapi dia tidak sedar, sebenarnya ketika itu dia tidak mencintai. Hakikatnya, dia pun tidak dicintai. Dia melontarkan pasangannya ke neraka. Pasangannya juga melontarkannya ke neraka. Apakah itu cinta yang sebenarnya?

“ Cinta itu mahal. Kau sebenarnya tidak mengerti makna cinta” Aku menambah. Pegangan tangannya mula melonggar.

Cinta yang sebenar, cinta yang menembusi akhirat. Apa guna cinta di dunia sahaja, kemudian di akhirat bermusuhan. Masing-masing akan menyalahkan. Manusia akan menyalahkan manusia lain kerana mengheretnya melakukan dosa. Ayah ibu akan menyalahkan anak kerana dosa anak terpalit pada dirinya. Anak akan menyalahkan ayah ibu menuduh ayah tidak menjaga dan mendidiknya. Suami akan menyalahkan isteri kerana tidak taat kepada ALLAH. Isteri juga akan menyalahkan suami kerana meninggalkan amanah mentarbiyah keluarga. Hari itu, tidak bermakna langsung cinta cinta yang diperkatakan manusia. Cinta mereka tidak menembus ke akhirat. Bertahan di tebing kubur sahaja, kemudian tertinggal.

Apakah itu dinamakan cinta?

Saya tidak nampak.

“ Kau fikir, cinta dengan perempuan itu, hanya sekadar ucap i love you?” Saya menepuk bahunya.

Cinta bukan semudah tiga perkataan. Cinta yang sebenar adalah taat kepada TUHAN. Maka cinta kepada manusia, berdiri atas ketaatan. Bukan untuk berseronok, tetapi cinta juga adalah ibadah dalam kehidupan. Mustahil ibadah boleh berasimilasi dengan kemaksiatan.

“ Dan katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh ALLAh Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan(perancangan, agenda)” Surah An-Nur ayat 30.

“ Tetapi, aku merasa bahagia. Malah, ada orang seperti ku, berkahwin, dapat anak, bahagia hingga ke akhir hayat” Dia cuba mempertahankan diri.

“ Apakah makna cinta, jika ia tidak dikira sebagai kehidupan? Hidup hanya untuk ALLAH, apakah harga cinta jika ia tertolak di sisiNya? Kau bahagia di dunia, tetapi kau sengsara di akhirat sana. Apakah makna cinta?”

“ Dan ada dari kalangan mereka yang meminta, Ya RABB kami, berilah kami apa yang ada di dunia. Dan di akhirat kelak, mereka ini tidak mendapat apa-apa pun” Surah Al-Baqarah ayat 200.

Secara tidak sedar, cinta itu memerlukan sepenuh hati. Cinta sepenuh hati adalah hanya untuk ILAHI. Dari cinta kepada ILAHI inilah, terbinanya cinta antara insani. Cinta yang asasnya iman dan taqwa, cinta yang matlamatnya hendak mencari keredhaan ALLAH.

“ Habis, salahkah aku bercinta? Cinta fitrah manusia!” Dia cuba membentak. Nampak sukar menerima.

“ Cinta tidak bersalah. Jatuh cinta bukan jenayah. Persoalannya, bagaimanakah kau bercinta, kenapa kau bercinta, untuk apakah kau bercinta?”

“ Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat, dan setiap manusia akan mendapat apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berhijrah kerana ALLAH dan rasulNya, maka dia akan mendapat ALLAH dan rasulNya. Jika dia berhijrah kerana dunia untuk mendapat isinya, atau kerana wanita untuk mengahwininya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Akhirnya, manusia yang tidak mendirikan cintanya berasaskan iman dan taqwa, akan melihat jawapan-jawappan kepada tiga persoalan itu adalah sama. Nafsu. Ya, kepuasan diri semata-mata. Rapuh bukan? Sedangkan cinta itu saling kasih mengasihi. Tetapi sedar atau tidak, kita menjalani cinta yang berasaskan nafsu ini, hanya untuk kepuasan diri sendiri. Itukah cinta?

“ Tapi… tapi… aku bukan sekadar cinta sahaja. Aku berkorban juga. Aku belikan dia itu dan ini. Aku…”

“ Itu semua tipuan sahaja. Kau berkorban untuk dia mencintai kau bukan? Bukankah itu mementingkan diri? Kau mencintainya untuk diri kau. Kau namakan itu cinta?”

Akhirnya kepalanya tertunduk. Saya menghela nafas. Daifnya cinta manusia. Syaitan menghias-hias cinta daif itu menjadi agung. Tinggi melangit. Merentas lautan api kononnya. Mahu merentas neraka bersama kah?

“… Dan syaitan telah menjadikan indah bagi mereka perbuatan-perbuatan buruk mereka, sehingga menghalangi mereka dari jalan ALLAH, maka mereka tidak mendapat petunjuk” Surah An-Naml ayat 24.

Cinta itu datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab membahagiakan pasangan kita. Bukan bahagia di dunia semata. Tetapi bahagia hingga ke akhirat sana. Apakah makna cinta jika kita melontarkan pasangan kita ke neraka?

Kita akan ada anak, kita akan ada kerja, hidup berkeluarga nanti penuh dengan cabarannya. Siapakah yang memandang ke hadapan melihat hal ini? Biasanya, yang bercinta berasaskan kepuasan diri ini, hanya nampak sebatas gerbang perkahwinan sahaja. Nampakkah dia bagaimana dia hendak membesarkan anaknya nanti? Nampakkah dia bagaimana dia hendak menyara keluarganya nanti? Lebih besar lagi, bagaimana dia hendak membawa keluarganya hidup dalam keredhaan ALLAH?

Kebaikan akan memusnahkan keburukan, tetapi keburukan tidak akan sesekali mendatangkan kebaikan.

Jatuh cinta bukan jenayah. Tetapi bagaimakah kita bercinta, kenapa kita bercinta, untuk apa kita bercinta? Itu persoalan yang mesti dijawab sebenarnya. Cinta berasaskan iman dan taqwalah yang membuatkan kita mencintai pasangan kita, anak-anak kita sepenuh jiwa. Kita sara mereka dengan wang yang halal, kita hidupkan mereka dalam suasana ISLAM, agar bahagia itu berkekalan hingga ke syurga, bukan sebatas air mata di tepi perkuburann sahaja.

Cinta adalah ibadah. Bukan untuk memuaskan perasaan sahaja.

“ Dan tiadalah AKU ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah” Surah Adz-dzariyat ayat 56.

“ Habis, bagaimana aku sekarang? Perlukah aku memutuskan cinta?”

Saya menggeleng. Belakang tubuhnya saya tepuk-tepuk lembut.

“ Perbaiki diri kamu, dan ajaklah orang yang kamu cintai itu untuk kembali muhasabah. Sama-sama kamu perbaiki diri. Binalah kembali cinta yang berasaskan cinta kepada ILAHI. Bercintalah dengan cara yang betul, bercintalah dengan sebab yang betul, bercintalah dengan matlamat yang betul.”

“ Sekiranya kamu bersyukur kepadaKu, maka akan AKU tambahkan bagimu(nikmatKu)…” Surah Ibrahim ayat 7.

Dia menghela nafas. Aku tersenyum sahaja. Bukan senang. Tetapi itulah jalannya. Sebab syurga, dan harga kekal abadi itu lebih mahal nilainya.

Itu cinta dia.

Bagaimanalah agaknya dengan cinta saya?

Print This Post Print This Post

36 Comments

  1. rasydan rasydan says:

    ah..bagaimana agaknya cintaku pada temanku?

    payahnya bercinta..sebab itu aku takut jatuh cinta..

    “Allah, ku mohon cintaMu, dan cinta mereka yang mencintaiMu, dan amalan yang membolehkan kami dicintaiMu”

    Amin.

  2. tiptop says:

    :razz: :razz: :razz: :razz: :razz:
    mumtaz…satu artikel yg begitu menarik..

  3. Fatin Akmar says:

    salam…wah begitu dalam maksud artikel ni…kita kn dapat beza apai itu cinta n bercinta……….. :smile:

  4. rbudak raintown says:

    cinta..
    fitrah mnusia..
    kerana cinta perasaan halus yg pencipta kita beri utk kita..
    bagaimana kita bercinta..itulah hasil yg kita dpt dr org yg kita cinta..

    ayuh bercinta.. hehe..:roll:

  5. fiqah sya fiqah sya says:

    cinta…..
    ader aper dgn cinta….
    cinta pd ilahi ..cinta yg hakiki….
    cinta manusia hanya sia2 tp cinta pada allah kekal abadi..

    artikel yg menarik..
    klu boleh perbanyakkan lagi kkkk…. :smile:

  6. Annafisha says:

    Pade pendapat saye.Cinta sebenarnya lahir drpd keikhlasan dan ia adalah “selfless” bukan atas nafsu. Cinta kepada Illahi adalah cinta yg pertama sekali. Tetapi cinta kepada manusia lain tidak salah. Sebab itulah Allah s.w.t menjadikan Hawa kpd Nabi Adam a.s sebab manusia mmg ditakdirkan hidup berpasangan. Saya pernah bace tafsir Al-Qur’an di mana suami and isteri ibarat pakaian dan badan.(Dengan kata lain hidup tlg-menolong,,sy pun x ingat ayat sepenuhnya,nanti saya cari balik.)

    “ Dan tiadalah AKU ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah” Surah Adz-dzariyat ayat 56.

    Itu adalah betul sekali. Kite hidup adalah untuk beribadah dengan Allah s.w.t tetapi Allah s.w.t jadikn kite berpasangan utk menyanyangi satu sama lain dan bersame2 menuju beribadah kepadanya.Itulah wujudnya perkahwinan. Cinta kepada manusia lain tidak salah tetapi syaratnya perkahwinan dan tidak lebih cinta kpd Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha memahami dan Maha penyayang.Manusia mmg perlukan cinta dan kasih sayang sebab itulah Allah s.w.t jadikan manusia berpasangan.Dia lebih mengetahui dan memahami hambanya daripada kite memahami diri kite.Betul tidak?

    Ramai manusia salah anggap antara cinta sebenarnya dan cinta nafsu. Cinta sebenarnya adalah bukan atas nafsu dan adalah kekal abadi.(temasuk cinta selepas mati)Kite hidup bukan selamanya.Jikalau betul kite cintakan seseorang manusia itu, itu adalah atas keikhlasan, bukan nafsu(sbb kecantikan,sbb rasa sunyi dan sbgnya),dan akan sentiasa berdoa kpd Allah s.w.t moga dapat bersatu semula.Sesungguhnya cinta itu adalah fitrah tetapi berhati2 la apabila bercinta sbb kadang2 kite blh terslh faham dgn cinta nafsu(sebab itula wajibnya berkahwin,bebas dari zina) dan jangan sekali2 lupa kpd Allah s.w.t sbb silap jalan blh membawa ke jalan zina.(bagi yg tidak berkahwin)

    Itu pendapat dari saya.Assalamualaikum.

  7. syauqah syauqah says:

    cinta?

    ~harap dapat contohi kak zay n cnior amir..

    :)

  8. MuNsYi-SaMa says:

    Salam. a very nice elaboration on LOVE issue.

    I’m still searching for His love though. :sad:

  9. Rebina Biru says:

    Salam..kalau begitu bagaimanakah kita ingin tahu cinta yang ‘mesti’ antara manusia?
    Cerita yang menarik. Anda memang hebat menulis, saya kagum..mudah benar anda mendapat idea. Saya juga ingin menjadi anda, mudah mendapat ilham, mudah tangan mencerna idea..penulisan yang kreatif :wink:

  10. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    yeah, isu cinta memang sentiasa hangat. Sentiasa segar. Sebab cinta memang fitrah manusia sebenar.

    kepada Rasydan,

    sedar atau tidak, semua manusia akan jatuh cinta. Kadang-kadang, bukan pada kita pilihan hendak jatuh cinta atau tidak. Cuma, bila sudah jatuh cinta, bagaimana hendak berurusan dengannya. itulah yang perlu kita jadikan persoalan muhasabah dan peringatan.

    kepada tiptop,

    semuanya anugerah ILAHI, untuk sama-sama kita manfaati.

    kepada Fatin Akmar,

    ya. Bercinta, dan cinta, dua perkara yang berbeza. Bercinta adalah perbuatan, cinta adalah perkara. Biasanya bercinta dikaitkan dengan dua pihak. Cinta pula, tidak semestinya memerlukan dua pihak.
    Definisi keduanya memang berbeda.
    Some sort of word play.

    kepada rbudak raintown,

    Memang, cinta adalah fitrah manusia. Cinta adalah anugerah ALLAH.
    Bagaimana untuk bercinta, perlu kembali kepada apa yang telah Rasulullah SAW tunjukkan. Pastinya, di atas jalan syara’. Bukannya kita belajar ikut naluri sahaja.

    kepada fiqah Sya,

    Semua perkara akan menjadi sia-sia, bila tidak dikaitkan dengan ALLAH.

    insyaALLAH, kalau ALLAh izin, saya akan terus menulis lagi. Doakan agar saya dapat istiqomah.

    kepada Annafisha,

    Sebab itu, artikel ini mempersoalkan:

    ” Apakah benar itu cinta?”

    Saya sama sekali tidak menamakan cinta yang salah itu sebagai cinta. Saya tidak dapat menerima cinta yang murah harganya. Pada saya cinta itu mahal. Kemahalan cinta itulah yang membuatkan kita sanggup bersusah payah untuk menikmatinya.

    Benarkah cinta yang berasaskan nafsu itu satu cinta?

    Benarkah cinta yang hanya hendak memuaskan perasaan itu satu cinta?

    Pada saya, itu sama sekali tidak dinamakan cinta.

    Cinta kepada ILAHI, dengan cinta kepada manusia, tidak boleh dipisahkan. Kita tidak boleh kata, Cinta kepada ILAHI itu lain, cinta kepada manusia itu lain. Hakikatnya, kita cinta kepada manusia adalah kerana cinta kita kepada ALLAH SWT. Itulah yang membawa cinta kita sebagai ibadah.

    Sebab itu, cinta kita tidak akan kita selangib dengan perkara yang ALLAH tidak redha. Cinta sebegini sahaja yang mampu kekal menembus akhirat. Bagaimana hendak mengaplikasi ” Aku adalah pakaian dia, dan dia adalah pakaian aku” jika kita tidak faham akan konsep cinta sebagai ubudiyyah kepada ALLAH?

    Cinta perlukan perngorbanan yang ikhlas. Kadangkala pasangan kita tidak mampu membalas pengorbanan kita dengan balasan yang setimpal. Maka apakah kita akan kecewa? Tidak jika kita menjadikan cinta kita sebagai salah satu wasilah ibadah kepada ALLAH. ALLAH yang akan membalas pengorbanan cinta kita. Bukannya pasangan kita.

    Inilah cinta sebenar untuk saya. Yang mahal, yang tertinggi, yang melangit, yang abadi.

    kepada Syauqah,

    apa makna mencontohi mereka? Kahwin dengan pasangan?

    kepada Munsyi-Sama,

    Saya sudah jumpa. Cuma sukar hendak menggapainya sahaja. Kerna diri masih berlumur dosa.

    kepada Rebina Biru,

    Cinta yang mesti antara manusia?

    Mudah. Cinta yang berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH. Cinta yang membawa ke syurga. Cinta yang ALLAH redha. Cintakannya untuk dia berbuat kebaikan. Cintakannya untuk dia jauhi keburukan. Banyak. Cinta yang mesti itu banyak. Cuma manusia sahaja tidak nampak.

    em… Semuanya anugerah daripada ALLAH. Kita dipertanggungjawabkan untuk memanfaatkannya.

    ~seorang hamba, yang mencinta juga…

    Hilal Asyraf

  11. ein says:

    salam ziarah..
    entry blog yg t’kesan di hati…
    jzkk…

  12. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada Ein,

    yang memberi kesan di hati itu, ALLAH. Kamu usaha baca, saya usaha menyampaikan. Semoga ALLAH redha segalanya.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  13. syauqah syauqah says:

    erk~

    maksud ana, bercinta selepas berkahwin..
    bagi ana, mereka bukti kalimah Allah..

    lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik.. :smile:
    smoga rumah tangga mereka diredhai~

  14. Salam
    Mohon izin copy and paste artikel ni utk d sebarkn..
    Jazakallah.

  15. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada Syauqah,

    oho. Memang. Itu sebaiknya. Bercinta, memang sepatutnya selepas berkahwin. Cinta, selalunya akan hadir menyapa kalbu sebelum itu.

    Jatuh cinta bukan jenayah. Bagaimana bercinta, kenapa bercinta, dan untuk apa kita bercinta, itu yang perlu dipersoalkan.

    Lelaki yang baik hannyalah untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik hanyalah untuk lelaki yang baik.

    kepada kingspreacher,

    dipersilakan. Harapnya jangan dilupa nama saya, dan alamat website ini sebagai ihtiram.

    Semoga kita semua diredhai ALLAH…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  16. BroHamzah JR says:

    Assalamualaikum HA, lama ana tak meninggalkan jejak di LangitIlahi ini. Tulisan anta semakin MATANG dan kian BERISI. Gagasan fikiran anta mulai menampakan kematangan anta sebagai insan yang berilmu dan bertapak untuk berkongsi ILMU & PENGALAMAN. Syukran

  17. ryu watanabe says:

    salam ziarah.

    nice article.khomsah nujum.. :wink:

    ya,cinta itu fitrah manusia dan ia bukanlah satu jenayah.
    tp jika salah acuannya,pastinya kita yg menjadi penjenayah dan pesalah di hari pengadilan kelak.

    wassalam.

  18. srikandi dataran syam says:

    salam,sgt2 menyentuh hati…bila nafsu mula menguasai kita jd lupa dri..matlamat x prnh menghalalkn cre…cnta x slh,yg berslhnya kita..cnta tue suci tp kita lah yg mencemarkan cnta dgn dosa2 dan maksiat…cnta adalh 1 anugerah x terhngga dr Allah kpd hmba-NyA…kita lhr di dunia ini jua krn adanya cnta…cnta slps kawen adalh cnta yg sebaik2nya…

  19. HawaSedangMencariNur~ says:

    mumtaz ya akhi..
    cinta..nmpk best tp…
    rasa nk lari tp kaki ni cm da dpakukan.. :sad:
    hati ni xnk tp perasaan tu cm da di’seal’kn.. :roll:
    ya Allah..kuatkn hatiku ini..
    insyaAllah,,,ku akn berjaya! :smile:

  20. seekingfortruth says:

    assalamualaikum.. this article is v meaningful…. thnk u so much…. selama ni, aku rs aku sudah tahu… tapi tidak mengerti rupanya… apa itu cinta…. thnks a lot… may Allah bless u… wasalam… :)

  21. ummatan_wasato says:

    cintailah Ilahi.jika kita mencari dunia Allah akan memberi kt dunia.jika kita mencari cinta manusia,Allah akn beri kt cinta manusia.jika kt mencari Allah,maka kt xakan kehilangan apa2..mane lg best?pikirlah sndri…

  22. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada bro hamzah,

    semua manusia berubah, mengikut persekitaran, dan kita mengharapkan perubahan ke arah kebaikan. Semoga doa enta dimakbulkan ALLAH.

    kepada Ryu Watanabe,

    ya. Acuan cinta itu mestilah kita gunakan acuan ALLAH SWT.

    ” Acuan ALLAH, dan siapakah yang lebih baik daripada ALLAH acuannya?” Surah Al-Baqarah ayat 138.

    kepada Srikandi dataran Syam,

    ya, cinta adalah hadiah daripada ALLAH. PErasaan yang menjamin kelangsungan kepada kedamaian hidup insan. Namun bagaimanakah manusia menggunakan nikmat ini?

    kepada HawaSedangMencariNur,

    Jangan lari, janngan tak nak.
    Tetapi hadapi, dan komunkasi dengan iman yang mencanak.
    insyaALLAH khair.

    kepada seekingfortruth,

    Memang kadang-kadang manusia rasa dia tahu semua, tetapi sesungguhnya ALLAH SWT itu tidak mengurniakan kita ilmu melainkan sedikit sahaja.

    ” Dan tidaklah AKU datangkan kepada kamu ilmu, melainkan sedikit sahaja” Surah Israa’ ayat 85.

    kepada ummatan_wasato

    Ya. Tetapi manusia perlukan manusia lain untuk membantu mereka berfikir. Sebab itulah artikel ini wujud, untuk kita sama-sama muhasabah diri dan peribadi kita.

    Semoga ALLAH limpahkan hanya kebaikan kepada semua.

    MAri bercinta dengan sebenar-benar cinta.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  23. Nur Arina says:

    Salam,

    Terima kasih atas penulisan saudara ni. Amat membantu kepada mereka yang inginkan panduan dan bimbingan dalam menempuh hidup sebagai seorang remaja Muslim. Saya pun dapat manfaat =)

    Sekian.

  24. abdullah hakim says:

    salam,

    “perempuan baik utk lelaki baik..”
    adakah perempuan2 yang baik hanya utk lelaki2 yang baik sahaja??
    persoalan yang sentiasa ditanya oelh sahabat2,juga dalam diri sendiri …

  25. salam akhi…

    minta izin untuk copy post ini ye…?

    syukran…jzkk…=)

  26. laksamana laksamana says:

    Assalamua’alaikum,

    kepada nur arina,

    Sama-sama kita mengambil manfaat sebenarnya.

    kepada Abdullah Hakim,

    Ada sahaja orang jahat dapat isteri baik macam Firaun dengan Asiah. Tapi, firman ALLAH SWT:

    ” Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik”

    Saya nampak ayat ini sebagia gesaan dan peringatan kepada semua sebenarnya. Gesaan agar kita berusaha menjadi lebih baik. Perempuan, mungkin dia baik sebelum kahwin. Tapi bila dia berkahwin dengan kita yang perangai macam hantu, agak-agak akan berterusan kah kebaikannya?

    Mungkin ada orang akan berkata:

    ” Asiah isteri Firaun boleh”

    Sama kah wanita hari ini dengan Asiah si Isteri Firaun? Dan bagaimanakah agaknya pengakhiran keluarga Firaun? Bahagia?

    Kita hendak membina keluarga. Bukan hendak memuaskan hati kita sahaja. Sebab itu, perempuan yang baik, hanya untuk lelaki baik sahaja. Itu menunjukkan chemistry sebenarnya. Bila baik bertemu baik, maka mudahlah kita berkomunikasi, berkerja sama, dan memikirkan hal anak-anak bersama-sama. Mudahlah kita hendak menunjukkan contoh kepada anak-anak dan menjaga keadaan keluarga serta sebagainya.

    Orang jahat, boleh sahaja dapat perempuan solehah. Kemungkinan ALLAH hendak kurangkan kejahatannya, macam firaun juga, andai tiada Asiah, maka Nabi Musa akan dibunuhnya. Tetapi, berpuas hati kah kita menjadi jahat, kemudian mendapat isteri solehah? Apakah maknanya?

    Perempuan baik untuk lelaki baik. Lelaki, usahalah jadi baik. Lelaki baik untuk perempuan baik. Perempuan, usahalah menjadi baik.

    kepada perantau kamal,

    salam kembali,

    sila-sila. Jangan lupa letakkan nama saya dan e-mail ya.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

  27. Ikhwan says:

    Cinta..
    Nak bicara cinta, umpama bicarakan Manusia.
    Ciptaan Allah SWT yang maha Agung.
    Terlalu Abstrak.
    Susah sangat kahwin je la.
    Kalau terus2 cinta tp tak kahwin2 lg, bru btul2 dosa.
    Mcm Nabi Adam yang ada kemahuan pada Hawa.
    Nakkan Hawa, korbankan harta untuk mahar.

  28. faNna says:

    salam ziarah…

    hmm, entri ni sgt best! membuatkan sy terfikir sejenak..
    bagaimanakah cinta sbnr.. sesungguhnya manusia ni sering terleka.. :???:

    btw, this entri is very meaninful, thanx sbb publishkan :)

  29. Fatin Akmar says:

    sala…harap dapat dikongsikan bersama…..

    Apakah itu cinta?

    ……Cinta itu perasaan jiwa semulajadi..
    Ia adalah fitrah yang menjadi salah satu
    sifat manusia.Ia wujud bila hati tertarik
    kepada yang dicintainya itu penuh emosi
    dan gembira kerana itu.

    Dalam memenuhi keperluan untuk puas dalam
    cinta,manusia menghadapi krisis nilai.Insan
    yang mula jatuh cinta akan bersungguh untuk
    mencapai kepuasan dalam cinta itu. Ada yang
    menjadi buta dan kabur nilai akibat bercinta.
    Tapi bagi yang bijaksana mereka mendambakan..
    cara yang sesuai dan mulia untuk memenuhi
    keperluan cintanya itu. Insan sebegini ingin
    hidup yang bersih dan penuh taqwa.

    Sifat Cinta

    Cinta itu suci,mahal dan tinggi tarafnya.Sifat cinta itu
    sempurna.Jika tidak,cinta akan
    cacat.Itulah cinta sebenar cinta.
    Untuk mengetahui dengan lebih dekat,kita perlulah tahu sifat-
    sifat cinta ;

    Cinta Wujud Sejak Dilahirkan
    Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke
    dunia.Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari
    cinta kepada belaian ibu,membawa kepada cinta kepada kekasih dan akhirnya
    setelah puas mencari cinta suci,maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta
    itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan
    cinta sebenar cinta itu suci
    murni serta putih bersih.

    Cinta Bersedia
    Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta,maka Tuhan menjadikan
    manusia itu bersedia menerima cinta itu.Pada mulanya jiwa itu bersedia
    menerima cinta,lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan
    dikasihi.Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami..Setia untuk
    dipertanggungjawapkan kerana cinta.Sedia untuk menyerah diri pada yang
    dicintai.

    Cinta Itu Indah
    Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat,tetapi cinta itu indah dan
    cantik.Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng.Bukan saja ia cantik
    malah suci murni,bercahaya gemerlap dan putih bersih.

    Cinta Itu Mengharap Balasan
    Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan,dari
    diri yang punya persamaan,dari diri yang asalnya satu.Bila dapat yang
    dicari,bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling
    sesuai
    dan secucuk dengan jiwanya,untuk bersatu kembali.Kehendak itu timbal
    balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya diterima tapi
    juga menerima.

    Cinta Itu Menakluki
    Sifat cinta itu ingin menguasai.Dia mahu yang dikasihinya itu hanya
    khusus untuk dirinya.Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain.
    Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai.Tapi,dalam pada
    ingin menakluki,ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

    Cinta Itu Mengetahui
    Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui.Orang yang bercinta tahu
    siapa yang patut dicintainya.Cinta tidak perlu bertanya.Manusia boleh
    jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta.Mereka tahu
    apa yang perlu dilakukan.Tapi,cinta cuma tahu bercinta.Ia tidak tahu
    akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

    Cinta Itu Hidup
    Cinta adalah ibarat manusia,boleh berputik,lalu mekar serta boleh
    layu dan gugur.Cinta itu punya deria dan perasaan.Cinta mendengar
    cinta,berkata cinta,melihat cinta.Cinta ada segala-galanya.Sayang,
    benci,cemburu,gembira,sedih,tenang,tertekan,ketawa dan menangis.
    Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang
    berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup
    walaupun telah mati.

    Cinta Itu Suci
    Sebagaimana yang banyak dikatakan orang,cinta itu suci.Sucinya cinta
    bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan
    cinta.Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa
    Itulah sifat asal cinta,ia suci bagaikan anak yang baru lahir.Mereka
    yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu
    sesuci mungkin.
    Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang
    tidak ada batasan.Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

    Cinta Itu Mempersona
    Cinta itu bukan saja indah,tapi mempersonakan.Ia bukan kerana cinta
    itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih.Ia adalah sebagai-
    mana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih.Dia senyum
    pada anda dan merapati anda.Anda terpesona kerana bukan saja ianya
    comel,tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa.Kerana sifat
    cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap
    bila
    bercinta.Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya
    dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan
    menodai cinta itu sendiri.
    Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang
    bijaksana,akan menjadi bodoh kerana pesona cinta.Akal itu mampu
    dikalahkan oleh nafsu.Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika
    anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

    Apakah itu Bukti Cinta?
    ……Cinta perlukan bukti.Ramai orang percaya bahawa
    bukti cinta itu ialah mengorbankan atau
    menyerahkan apa
    saja yang kekasih anda mahu.Mereka percaya jika itu tidak
    berlaku,maka cinta itu tidak tinggi nilainya.

    Sebenarnya anggapan itu tidak tepat.Jika anda beri semua
    yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda?
    Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan
    anda?

    Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih
    yang dicintai.Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan
    selamat
    sebagaimana sucinya cinta itu sendiri

    “Janganlah hendaknya kecintaan anda terhadap sesuatu itu
    membuatkan anda menjadi lupa dan kebencian anda terhadap
    sesuatu itu membuatkan anda menjadi hancur”
    - Saidina Umar Ibnul Khattab -
    salam…..carila cinta yg menjamin kebahagian dunia dan akhirat……kerna cinta antara manusia hnyalah sementara…tapi harus dingatkn cinta pa ilahi adalah hakiki…..;)
    (fatinakmar@yahoo.com)

  30. rose says:

    wahai pengasih, jika aku jatuh cinta, benihkan cinta aku pada seseorang yg melabuhkan cintanya padaMU, agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMU..
    Wahai Maha Pengasih.. Jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang rindukan syahid dijalanMU, serta jagalah rinduku agar ku tidak lalai dari merindui syurgaMU..

    itu lah yg sebaiknya.. jika kita cinta kan Allah.. insyaAllah kita akan dapat kebahagiaan
    di dunia dan akhirat.. ;D

  31. albanna says:

    ana suka sorang pompuan ni?
    tapi mcna step yg betul untuk bercinta?
    coz ana takut jugak kan ustaz sll kata yg couple ini haram…………..
    mcna dikatakan couple ini haram?………………….
    sahabat hilmi b. abd razak………………..

  32. albanna says:

    :roll: :wink: :lol: :?:

  33. az-zahra says:

    salam akhi dan sahabat sekalian..
    rugi rasanya kerana ana tidak dapat mengikuti blog ini pada hari itu..
    sekarang waktu saya amat terhad..
    tapi artikel ini mencuri pandanngan ana seketika..
    cinta..sesuatu yang subjektif..setiap orang ada pandangan sendiri..
    bagi saya cinta adalah perkongsian dua hati yang mempunyai rasa yang sama..
    orang yang bercinta pasti berfikir untuk berkahwin..
    betul tak..?
    untuk memahami erti cinta kiata perlu memahami erti sebuah perkahwinan..
    perkahwinan dimulakan dengan percintaan, disempurnakan dengan tanggungjawab..
    sebaik-baik cinta adalah cinta yang disertai dengan tanggungjawab..
    memnag fitrah manusia untuk rasa di sayangi dan menyayangi..
    tapi ingat MATLAMAT TIDAK MENGAHALALKAN CARA..
    walaupun kita amat mencintai si dia, tapi kita perlu berpegang pada syariat yang di tetapkan..
    jangan sesekali mencintai makhluk yang diciptakan melebihi dari mencintai yang Maha Mencipta..
    jika hal itu yang berlaku, cinta kita bukan suci seperti yang diungkapkan..
    selamilah diri, tanyalah hati..

  34. iman says:

    salam.
    membaca engkorang2 py kata2..
    sungguh hebat.
    membuat sy makin rasa keldil.
    cinta Allah & cinta manusia.
    saya masih belum keduanya
    moga kecapi sebelum mata terpejam.
    amin

  35. ~tudung biru~ says:

    salam…
    syukran atas peringatan yg sgt2 perlu di akhir2 zaman nih…
    sy mahu brtnya…mcm mane kite nk mengelakkan diri dr mencintai insan laen kerana smemangnya ssh utk kte mnjaga hati yg diciptakan dgn pnuh prasaan….

    bgamana kte nk mnyedarkan rakan2 yg sudah terjebak dgn permasalahan cinta…smpi melakukan perkara2 yg tidak diredhai…sdangkan mereka org yg berilmu dan mngetahui batas2 pergaulan…

    harap saudara dpt beri pndapat…

    syukran…

  36. einna says:

    salam…

    kenapa manusia suka mengejar cinta sebagai matlamat bahagia?
    Walaupun Allah menghalalkan cinta melalui perkahwinan, itu bukan jua matlamat merealisasikan cinta.
    Cinta manusia sekadar ‘alat’ membawa cinta kepada CintaNya jika kita benar-benar faham apa maksudnya cinta yang benar..

Leave a Reply