Langit Ilahi Rotating Header Image

Islam: Ar-Rasul Qudwatuna 3

dia contoh utama, kekasih kita

dia contoh utama, kekasih kita, yang lebih kita cinta dari diri kita

Pada post kali ini, kita sampai ke bab terakhir dalam Ar-Rasul Qudwatuna, Rasul sebagai contoh utama kita. Dua post yang lepas, pertamanya membahaskan perihal kenapa kita perlu mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh, dan bagaimana mencontohi Rasulullah SAW.

Dalam post kali ini, sebagai penutup kepada tajuk Ar-Rasul Qudwatuna, saya suka membawa pembaca melihat, betapa mencontohi Rasulullah SAW ini juga sebenarnya satu tuntutan daripada Allah SWT.

Akhirnya, yang membuatkan kita mampu untuk mengikuti Rasulullah SAW adalah keimanan kita kepada Allah SWT juga.

Dalam tuntutan, ada rahsia-Nya

“Dan taatilah Allah dan Rasul, moga kamu beroleh rahmat” Surah Ali Imran ayat 132.

Ayat itu merupakan arahan, dan segala arahan di dalam Al-Quran adalah wajib, kecuali wujud ayat yang memansuhkan kewajipannya. Maka, secara mudahnya, mencontohi Rasulullah SAW adalah wajib bagi kita semua.

Namun saya tidaklah mahu berlepas tangan, dengan sekadar berkata: “Dah wajib, kena la ikut”

Tapi saya suka mengajak pembaca untuk melihat: “Kenapa Allah SWT menyuruh kita mencontohi Rasul-Nya?”

Di sini, sebenarnya ada maksud terbesar yang bersangkutan dengan pengamalan Islam.

Saya sering mendengar betapa ramai orang mengeluh dengan peraturan-peraturan Islam yang dikatakannya berat, mengongkong dan menyusahkan. Mereka berkata itu dan ini agar menampakkan betapa Islam itu tidak relevan dalam kehidupan insan.

Maka di sini, Rasulullah SAW, adalah contoh pada kita. Contoh apa? Contoh manusia yang telah berjaya merealisasikan Islam secara sempurna dalam kehidupan sebagai manusia. Masa dia 24 jam juga. Dia perlukan oksigen untuk hidup juga. Dia berkahwin. Dia mempunyai anak. Dia duduk dalam rumah. Dia bermasyarakat. Dia ada kerja dan tanggungjawab. Dia bukan jin dan malaikat yang ada kekuatan lebih dari manusia biasa.

Tetapi Rasulullah SAW mampu merealisasikan Islam pada tahap tertinggi, dalam segenap kehidupannya.

Sebab itu, apabila sahabat-sahabat bertanya kepada Saidatina Aisyah, akan akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menjawab pendek sahaja: “Akhlaknya adalah Al-Quran”

Di sini kita lihat, betapa kebaikan dari realisasi Islam yang Rasulullah SAW lakukan, tersebar pula kepada masyarakat di sekelilingnya, sekaligus membina kekuatan dan membawa kepada kebangkitan. Semua, walaupun tidak mampu sesempurna Rasulullah SAW, berusaha mencontohi baginda, dan melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Maka lahirlah syakhsiah-syakhsiah yang mantap seperti Abu Bakr RA, Umar Al-Khattab RA dan lain-lainnya.

Dia penunjuk jalan

Siapakah yang lebih faham Islam, dari orang yang diamanahkan terus oleh Pencipta Islam untuk menyebarkan Islam?

Tiada. Selain Rasulullah SAW. Maka hendak atau tidak, bagi kita untuk memanifestasikan Islam dalam segenap kehidupan kita, pada tahap tertinggi, wajib untuk kita mencontohi Rasulullah SAW dari akarnya, dan bukan sekadar cabang-cabangnya.

Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah Ali ‘Imran ayat : 31

Jalan untuk mencintai Allah SWT ialah mengikuti Rasulullah SAW dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah SAW lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya.

Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah SAW dan menjauhi apa yang tidak disukainya.

Generasi pertama: Contoh kita

Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda yang melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka.

Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah S.A.W dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat `nur’ yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka.

Pendekatan mereka kepada al-Qur’an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah S.W.T. yang besar di bumi.

Al-Qur’an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas Allah S.W.T.

Penutup

Bila ada manusia berjaya, kita akan berkata: “Contohilah dia, maka kamu akan berjaya juga”

Tapi saya hairan, Rasulullah SAW yang berjaya memproses produk-produk yang membina dunia, tidak disarankan sebagai contoh utama kehidupan kita.

Bila Amalina, Madihah, mendapat berbelas-puluh A, orang buat buku untuk mereka, cerita kehidupan mereka, sebagai inspirasi, sebagai contoh kepada manusia lain agar mencontohi kejayaan meereka. Namun apa tindakan manusia, agar orang mencontohi kehidupan Rasulullah SAW yang sememangnya sudah terbukti berjaya, dan merupakan satu tuntutan pula kepada kita?

Pada Rasulullah SAW ada segala-galanya.

Namun siapakah yang merujuk contoh teragung ini dalam kehidupannya?

Apa yang kita ambil sebagai contoh pada hari ini? Wayne Rooney? Kaka? Britney Spears? Shah Rukh Khan? Heliza? Mawi?

Kalau matlamat kita adalah redha Allah, dan kita tahu kita akan pulang kepada Allah, maka agak-agaknya, contoh apakah yang layak kita jadikan rujukan dalam kehidupan kita?

Ada orang lain kah?

Mari sama-sama, kita didik jiwa dan hati kita, agar menjadikan kehidupan Rasulullah SAW, sebagai model kepada kehidupan kita.

Print This Post Print This Post

5 Comments

  1. imansyauqina imansyauqina says:

    salam… teruskan usaha utk menulis dan menyemai rasa cinta pada Allah dan Kekasih2nya kepada kami…

    [Reply]

  2. zaza says:

    Assalamualaikum saudara Hilal,

    Terima kasih atas artikel ini.

    Kadangkala.. ada sesetengah orang yang menjadikan Rasul sebagai alasan yang negatif. Contohnya, apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak boleh dimaafkan oleh si A terhadap C, lantas si A ini diberi nasihat supaya bersabar.. dan cuba memaafkan segala kesalahan si C.

    B: “A, banyakkan bersabar.. walau sebesar mana pun kesalahan C terhadap kamu, cubalah berikan dia kemaafan. Sedangkan Rasul ampunkan ummat.”

    A: “B, Kau tak tahu apa yang aku lalui, hati ini terlalu sakit. C memang melampau. Aku tak akan maafkan dia. Aku juga bukan sebaik dan sesempurna Nabi yang mudah mengampunkan ummat.”

    Kadangkala apabila saya berada disituasi B, saya jadi bingung untuk memberikan jawapan balas yang paling bernas pada si A.
    Mungkin saudara Hilal boleh memberi sedikit pendapat?

    ~Yang kurang berilmu,

    [Reply]

  3. permatakasih says:

    buat zaza..sekadar berkongsi ilmu
    seandainya kita d phak B,katakan bahawa Rasulullah itu dutuskan utk mnyempurnakan akhlak.maka contoh mana lg yg harus diambil sekiranya bukan Rasulullah?sungguh,memang kita x sempurna,dan kerana itulah Allah mengutuskan Rasulullah supaya kita boleh mncontohi baginda..
    Kasihanilah rakan kita yg x mndapat maaf kta kerana diakhirat kelak,dosa sesama manusialah yg mnyukarkan kta mndapat syurga Allah..
    ~hnya ini yg mampu kukongsi,mungkin saudara hilal boleh terangkan dgn lbih lanjut..

    [Reply]

  4. acik says:

    Salam. Saudara Hilal ade juga insan yang cube mencari helah utk tidak mengikuti contoh rasul dengan alasan “nabi bolehlah sbb bgnda maksum,terpelihara dan mempunyai kelebihan sdgkan kite manusia biasa”. Kalau boleh saudara beri pandangan atau nasihat bg mereka yg berfikiran sedemikian.

    [Reply]

  5. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada imansyauqina

    Moga Allah izinkan untuk kita istiqomah atas jalan ini…

    - kepada zaza

    Macam saya cakap dalam artikel di atas, tiada sesiapa akan mampu sesempurna nabi. Tetapi apabila kita berusaha mencontohi dia, maka kita akan menjadi terbaik.

    Mengampunkan orang lain adalah tuntutan dalam Islam. Kalau tak sesempurna Nabi pun, kita kena buat juga…

    - kepada Acik,

    Mungkin saya akan tulis satu artikel berkenaan hal itu…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

Leave a Reply