Langit Ilahi Rotating Header Image

Bab 3: Kenangan Cinta

Bab 3

Kenangan cinta

Ketika aku masuk ke rumah, kelihatan Atikah berjalan dari dapur, mengangkat pinggan. Tanpa berlengah, aku segera melangkah ke arahnya.

” Ada apa-apa yang abang boleh tolong?”

Atikah menggeleng. Kemudian dia bergerak semula ke dapur. Hendak ambil lauk pula agaknya. Aku pun bergerak mengikutinya.

” Kenapa abang ikut ke dapur ni?” Atikah menoleh ke arahku.

Aku tersenyum. ” Nak tolong sayang la”

” Kan saya kata tak apa tadi?”

” Eh, tak dengar pun?” Aku sengaja. Memang Atikah tak kata apa-apa pun, dia geleng sahaja. Terus aku mendahului Atikah ke dapur.

Di dapur, lauk pauk telah tersedia.

” Wah, lauk sayur pucuk manis masak lemak dengan ayam masak sambal la” Aku jadi berselera. Tanganku mencapai dua mangkuk besar yang masing-masing terisi dengan lauk yag berbeza.

” Abang, kan abang baru balik dari kerja? Kenapa la nak susah-susah?” Atikah kehairanan. Aku lihat dia mengambil cawan, sudu dan garfu.

” Susah-susah? Sejak bila pulak tolong isteri itu satu kesusahan kepada suami? Abang bahagia tolong sayang macam ni” Aku terus melangkah ke meja makan.

” Ya la, ya la. Abang memang romantik la. Kalah romeo”

Aku ketawa. Sambil meletakkan mangkuk yang berisi lauk itu, aku berkata,

” Ei, romeo romeo jangan sebut ha. Abang ada sayang je dalam hati. Tak reti abang nak mengorat orang lain”

Aku nampak Atikah geleng kepala sambil tersenyum ketika meletakkan cawan, sudu dan garfu di tempatnya.

” Anak-anak mana?” Aku bertanya. Walaupun aku sebenarnya tahu yang mereka ada di atas belajar. Kami sekeluarga punya jadual. Biasanya, semua akan bersama-sama.

” Ada di atas, studi. Tadi petang, Shuraish yang ajar adik-adiknya bersilat”

Aku senang hati. Terus aku bergerak ke arah tangga, untuk naik ke tingkat dua.

” La, kenapa naik bang? Tak nak makan ke?” Atikah menunjuk ke arah makanan di atas meja.

” Nak panggil anak-anak la sayang”

Dan sebelum aku berpaling, Atikah sudah tersenyum manis. ” Hei, tak kenal letih agaknya.” Dia bersuara.

Hari ini, aku balik lewat dari biasa. Lepas maghrib baru sampai di rumah. Aku memberikan alasan kepada Atikah bahawa aku ada kerja. Namun, apa yang menyebabkan aku lewat bukanlah kerja di Institut Perguruan, tetapi kerana punya urusan dan sedikit perbincangan dengan Amiri selepas waktu kerja tadi.

” Kau kena rahsiakan semua perkara ini dari adik aku, dan anak-anak saudara aku”

” Senior?”

” Belum tiba masa lagi hendak memberitahunya”

Itu pesan Amiri. Kami masih lagi mencari apa kaitannya aku dengan Homurodama. Namun hari ini, seperti juga kes aku hampir ditembak dua hari lepas, kami tidak menjumpai sebarang perkaitan. Sekarang, sebenarnya kami tidak berada dalam keadaan selamat sepenuhnya. Bila-bila masa sahaja orang dari kumpulan Homurodama boleh muncul untuk memperapa-apakan kami.

Aku belum lagi berkongsi apa-apa dengan Atikah, memandangkan Amiri telah berpesan sedemikian. Kes aku hampir ditembak pun, tidak aku kongsi. Atikah pula tidak mengesyaki apa-apa, memandangkan hari itu aku pulang seperti biasa, dan kerosakan pada kereta sudah diperbaiki sebelum aku pulang.

Semenjak hari itu, Amiri telah mengarahkan beberapa orang untuk menjaga kawasan rumahku, secara  penyembunyian identiti. Mereka akan kelihatan seperti orang biasa, yang lalu lalang, membawa kereta atau motor di kawasan rumah aku. Ketika aku pergi kerja, turut ada orang yang akan mengekori, bagi menjaga keselamatan.

Aku amat bersyukur, kerana ALLAH mengurniakan aku seorang sahabat, keluarga yang begitu prihatin seperti Amiri. Banyak kali dia berpesan itu ini kepada aku. Tambahan, fasal keselamatan adiknya, dan anak-anak aku. Walaupun dia terpaksa menjadikan aku umpan untuk mengeluarkan orang Homurodama, dia tidak membiarkan aku begitu sahaja menjadi mangsa. Sebolehnya dia hendak aku berada dalam keadaan yang paling selamat.

Hati aku tidak risau sangat. Bukan kerana orang-orang Amiri menjaga aku. Tetapi keyakinan bahawa ALLAH SWT menjaga aku sudah lebih dari mencukupi untuk membuatkan jiwaku tenang. Pada aku, orang-orang Amiri yang datang menjaga, adalah salah satu dari usaha sahaja. Konsep tawakkal bukanlah berserah semata-mata, tetapi diiringi usaha dan azam yang tinggi untuk mencapai apa yang kita pinta dan hajatkan.

ALLAH SWT berfirman,

” Sekiranya kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkal lah kepada ALLAH” Surah Ali Imran ayat 159.

Tetapi bukanlah ayat itu bermaksud, kita sekadar berazam sahaja, kemudian bertawakkal. Firman ALLAH itu mengajar manusia bahawa, tawakkal kepada ALLAH ini, bermula dari azam lagi, hinggalah kita berusaha, hinggalah kita sudah tiada jalan lagi untuk berusaha. Itulah penyerahan yang benar kepada ALLAH. Usaha sehabis baik.

Aku sampai ke tingkat dua dan melihat anak-anakku sedang duduk mengelilingi meja bulat di tengah ruang tamu tingkat dua. Masing-masing tekun dengan pelajaran masing-masing.

” Wah, rajin anak-anak ayah” Aku memecahkan kesunyian.

Anak-anakku menoleh. ” Eh, ayah dah balik!” Semua bangun mendapatkan aku, bersalam dan mencium tanganku. Ya ALLAH, apakah yang lebih baik dari anak-anak yang soleh lagi menyenangkan hati ini?

” Jom makan?” Aku menarik Faizan.

” Ajak Faizan aja?” Waqas bertanya.

” Semua la” Aku gunakan sebelah tangan lagi, mencapai tangan Waqas.

” Shuraish tak payah pimpin, ayah ada dua tangan je” Faizan berkata, macam dia dalam keadaan kemenangan pula.

Shuraish mencemikkan muka. ” Aku dah besar la”

Kami ketawa, kemudian turun bersama.

” Amboi, siap ketawa-ketawa lagi. Apa yang seronok sangat tu?” Atikah yang sedang melihat kami turun bertanya.

” Tu ha, dua lagi anak Ummi tu, manja sangat” Shuraish menjuihkan bibir, menunjuk kepada dua adiknya yang lain.

Atikah memandang aku. Aku tersenyum. Macam inilah keluarga.

Makan malam bersama keluarga memang menyeronokkan. Aku dapat memandang wajah anak-anakku yang ceria semuanya, dan aku dapat melihat telatah isteriku melayan mereka, semuanya membahagiakan. Ditambah pula dengan suasana rumahku yang indah, keadaan menjadi hidup. Terasa sungguh rahmat dan berkat dari langit turun mencurah-curah.

Di meja makan la macam-macam perkara dikongsi. Cerita anak-anak di sekolah, cerita isteri di pejabat, dan cerita aku di Institut Perguruan. Di meja makan, mesra bercambah.

” Ummi…” Waqas bersuara. Aku lihat, dia mengangkat pinggannya yang sudah licin ke arah Shuraish. Shuraish yang dekat dengan periuk nasi, membantu mencedokkan nasi walaupun Waqas tidak berbicara meminta tambah. Berselera sungguh nampaknya.

” Ya sayang?” Atikah memandang anak kami yang kedua  itu.

” Nanti bila Waqas dah besar, Ummi ajar Waqas masak ya?”

” Kenapa nak Ummi ajar Waqas masak?” Aku bertanya.

” Ummi masak sedap. First class la. Hotel lima bintang pun kalah” Waqas menarik kembali pinggannya yang sudah terisi dengan nasi, kemudian mencedok ayam masak sambal di hadapannya.

Atikah tersenyum lebar. Aku tersengih. ” Belajar dengan ayah la. Ayah terer jugak masak” Aku sengaja menghangatkan suasana.

” Ayah memang terer masak, tapi ibu punya sedap lagi” Faizan pula menjawab.

” Aha, abang kalah” Atikah buat gaya berlagak.

Kami ketawa. Ada-ada sahaja.

Tapi diakui, makanan masakan Atikah tiada tandingannya. Seakan makanan dari syurga. Pinggan aku sudah licin juga. Pantas aku bangun.

” Abang sudah ke?” Atikah bertanya.

Aku berhenti di hadapan periuk nasi. Kucapai senduk, lalau kucedok nasi di dalamnya.

” Makanan sedap, mana boleh makan sepinggan sahaja”

” Tengok, makanan Ummi memang sedap” Shuraish bersuara.

Kalau bukan sebab aku istiqamah berlatih seni tempur, pasti aku sudah buncit. Hal ini kerana, aku tidak pernah makan sepinggan sahaja, paling kurang mesti dua.

Selepas semua habis makan, anak-anakku pergi membasuh pinggan masing-masing. Sudah kulatih semuanya. Perlu belajar berdikari, dan tidak menyusahkan orang lain.

” Kami naik dulu ayah, ummi. Terima kasih atas makanannya” Shuraish berbicara sopan. Aku dan Atikah tersenyum sahaja.

” Terima kasih Ummi” Waqas dan Faizan pula.

Kemudian semua naik ke atas.

” Lagi dua tu, cakap terima kasih pada Ummi diorang je? Abang dah kena over shadow ni. Anak sulung je ingat abang” Aku memandang Atikah.

Isteriku itu ketawa kecil. ” Orang kata, anak sulung memang rapat dengan bapanya”

” Ya. Nampaknya begitu lah” Aku memandang tangga.

Kadang-kadang aku macam tidak percaya bahawa aku sudah 11 tahun melayari alam rumah tangga. Semuanya seakan baru semalam bermula. Kini aku sudah ada 3 orang anak. Sebentar sahaja masa berlalu. Patutlah ALLAH SWT bersumpah dengan masa, atas kerugian manusia.

” Dan demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian” Surah Al-Asr ayat 1-2.

” Sekejap sahaja ya sayang?”

” Apa yang sekejap?” Atikah tidak faham.

” Masa berlalu” Aku menatap wajah Atikah.

” Em. Tengok-tengok dah 11 tahun dah”

” Tapi cerita kita bermula sebelum itu lagi kan?”

Atikah mengangguk. Kami satu sekolah. Atikah adalah seorang pengawas yang terkenal dengan ketegasannya. Tetapi, ramai sungguh yang meminatinya. Sememangnya isteriku ini cantik, dan terjaga peribadinya. Mengenali seorang  Atikah serapat ini, boleh dikatakan sebagai bonus untuk aku di atas orang lain. Patutlah Senior selalu cakap pada aku sebelum kahwin,

” Ika tu, banyak kelebihannya. Hanya yang benar-benar rapat dengannya sahaja yang faham”

Em, memang. Bila aku menjadi suaminya, aku benar-benar nampak apakah kelebihan yang dimaksudkan oleh senior.

” Sayang, abang nak nyanyi satu lagu untuk sayang boleh tak?”

Atikah angkat kening. ” Buang tabiat ke apa abang ni?” Kemudian kami ketawa bersama.

” Serius la” Aku mencemikkan muka, buat gaya Atikah yang telah terwaris pada Shuraish itu.

” Ha, nyanyilah. Jangan sumbang sudah”

” Abang nyanyi rap ya, tak perlu suara sedap sangat” Aku mendekatkan dua tanganku dan meletakkannya di meja makan.

Shoot” Macam abangnya, Atikah menyuruh aku meneruskan hajatku.

Aku senyum segaris.

” Terima lah ya, Sakeena daripada Outlandish”

” Wah, kesukaan saya tu bang” Atikah kegembiraan.

” Shhh, abang nak nyanyi ni”

” Okay, okay. Silent mode” Atikah buat gaya zip mulut.

Aku menarik nafas. Beberapa saat kemudian, saat ruang tingkat satu sesepi ruang vakum, aku memecahkan sepi itu denngan suaraku.

Woman, u my equal, my wife

We be tight like

Two perfectly matching calligraphy lines

What drew us together

Doesn’t conform to the laws of nature

It is written

There is only One opener for the lock of these thing

Aku berhenti. Aku memandang Atikah.

Dia angkat kening sebelah. Itu je? Aku boleh agak dia bertanya begitu sebenarnya. Atikah hafal juga lagu ini, dia tahu liriknya.

Terus aku menyambung,

We going 6 years strong

With no sign of REGRET

With each year we gain in force with ups and downs of course

Yeah my wife is my cousin

And thank God, Faizan my son was born without complications

Hina my love to you is unconditional

Not limited by typical Bollywood scenarios

Or by statistics when problems occur we leave

‘Cause I know that you will stay till I no longer will breathe

Or if I’m crippled, blinded or anything else

I know I can rely on u helping my every step

Love is not just limited to butterflies and sex

It’s to recognise and respect each others intellects

Lots of regrets many things we shouldn’t have said and done

But that’s just part of our journey and it’s just begun

Define beauty ’cause one day looks will fade

But a beautiful mind still be young at an old age

And I know it’s hard me being away for so long

But I respect u so much for being so strong

I remember you being pregnant going to school

Cooking food taking care of my parents and the whole house

All in one something a man could never do no doubt

So I thank my mother for the day she brought us together

And I pray for our reunion in the afterlife forever

Aku berhenti. Atikah senyap.

Aku pula angkat kening sebelah. ” Macam mana?”

Atikah menggores senyum. ” Sweet. Hebat abang buat rap ya?”

Aku puas. Rangkap yang aku nyanyikan, adalah nyanyian Waqas Ali Qadri, salah seorang penyanyi Outlandish. Dia menceritakan perihal isterinya bernama Hina, yang juga merupakan sepupunya. Isterinya telah menjaga rumah dengan baik, melahirkan anaknya yang kebetulan bernama Faizan, seperti nama anak bongsuku, ketka mengandungkan anak itu isterinya tetap ke sekolah untuk mengajar, menjaga kedua ibu bapanya, memandangkan Waqas mempunyai banyak kerja di luar negara. Rangkap itu memanng Waqas Ali Qadri dedikasikan kepada isterinya.

Dan rangkap itu mewakili rasa hatiku kepada Atikah.

” Kalau abang terer gubah lirik kan, abang buat satu verse baru untuk sayang. Cerita fasal kita”

Atikah ketawa. ” Sudah-sudahlah gula tu bang. Manis sangat nanti sakit”

Senyuman aku tidak lekang. Tapi aku bercakap benar. Kalau aku mampu, memang aku akan reka sebuah bait lagu untuk Atikah.

Atikah isteri yang baik, sentiasa mentarbiyah anakku dalam apa jua keadaan. Berusaha melayaniku tanpa rungutan. Kalau ada perkara yang dia tidak setuju dengan aku, dia akan luahkan dengan penuh adab. Walaupun gayanya agak sempoi dan santai, dia masih lagi menghormati aku dalam apa jua hal. Dia jugalah yang banyak mengingatkan aku ketika aku kelemahan. Atikah, ibarat sayapku untuk terbang.

Aku tidak pernah menganggap Atikah itu lebih rendah atau lemah daripada aku. ALLAH SWT berfirman:

” Lelaki itu pelindung kepada wanita, kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian yang lain(lelaki) ke atas sebahagian yang lainnya(perempuan)…” Surah An-Nisa’ ayat 34.

Aku tidak nampak bahawa ayat ini adalah ayat untuk lelaki mendominasi wanita, seperti yang diwar-warkan oleh ramai orang. Aku nampak, ayat ini adalah ayat  tanggungjawab lelaki kepada golongan bernama wanita.

Sebab itu, aku sentiasa memuliakan Atikah dan mencintainya sepenuh jiwa. Cintaku bukannya semurah cinta yang sebatas dunia itu sahaja. Cintaku, harapnya mampu menembus akhirat sana. Macam lirik lagu itu juga, aku harapkan di akhirat nanti, aku dan Atikah mampu bersatu. Aku sanggup menolak semua bidadari syurga, asalkan aku dapat bersamanya.

” Terima kasih abang” Aku tersedar dengan suara Atikah.

” Huh? Terima kasih kenapa?”

For the song. Sweet” Atikah bangun mengangkat pinggannya. Tangannya bergerak hendak mencapai pingganku.  Malu la tu. Nampak sangat pipi putihnya mula kemerahan.

Terus aku menarik pingganku. ” Biar abang basuh sendiri”

” Na na…” Atikah menggeleng. ” Na na…” Aku menggeleng juga. Terus aku bangun.

” Degil” Atikah buat gaya marah. Aku buat tak kisah. ” Sayang bukan orang gaji.”

” Kerja isteri layan suami” Dia membalas.

” Tapi tak ada kata suami tak boleh basung pinggan sendiri kan?”

” Kurang la pahala saya”

” Mana, sayang buat hati abang bahagia, pahala banyak dah”

” Basuh pinggan dengan isteri pun bahagia ke?”

” Dengan sayang semua bahagia”

” Cukuplah tu. Nanti saya tak boleh bernafas sebab lemas dengan udara jiwang abang”

Atikah terus berjalan. Pipi dah merah sangat. Aku memang suka sakat isteri aku sampai merah-merah macam tu. Seronok kalau bercakap dengan Atikah. Sehari suntuk pun aku boleh.

” Oh ya, sayang. Abang terlupa satu benda”

” Apa dia?” Atikah menoleh ke arahku.

” Abang ingat, abang nak ajak Zaman makan di rumah kita lusa. Semalam dia hubungi abang dan kata teringin sangat hendak ziarah rumah kita, dan tengok anak-anak kita”

” Oh, baguslah. Baik, saya akan masak sedap-sedap”

” Kalau abang free, abang balik awal juga tolong sayang”

” Boleh je”

Kami sama-sama bergerak ke dapur. Cinta kami, cinta di mana-mana sahaja. Aku adalah dia, dia adalah aku. Aku pelindungnya, dan dia adalah pelindung aku. Setiap masa, di mana jua.

***

Zaman datang dengan baju melayu. Kemas dan segak. Datangnya bersama hadiah.

” La, apa susah-susah ni sahabat?” Aku mendepangkan kedua belah tanganku. Kami berdakapan di hadapan pintu rumah.

” Susah apa pulak. Lama tak berjumpa, mesti la aku bawa hadiah. Tambahan, aku hendak jumpa dengan anak-anak saudara aku ni”

” Macam kau ni abang ipar aku pulak”

” Sekurang-kurangnya, kau saudara aku kan?”

” Saudara atas iman” Aku menjawab ikhlas. Semua orang mu’min itu bersaudara. ALLAH SWT berfirman:

” Sesungguhnya orang-oranng beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua antara  mereka yang bertelagah, dan bertaqwalah kammu kepada ALLAH, moga-moga kamu beroleh rahmat” Surah Al-Hujurat ayat 12.

Zaman mengangguk benar.

Kami bergerak ke ruang tamu rumah. Anak-anakku sudah berada di situ, dari tadi mereka menunggu kedatangan sahabatku ini. Aku ada bercerita sedikit berkenaan Zaman. Mendengar ketokohan Zaman, anak-anakku jadi tidak sabar untuk bertemu dengan sahabatku ini.

Semua bergerak mendekati Zaman dan bersalaman dengannya. Cium tangan tidak dilupa. Bukan kerana memuja, tetapi sebagai salah satu adab anak-anak kepada orang tua sahaja.

” Yang sulung namanya Shuraish, yang kedua namanya Waqas, dan yang ketiga namanya Faizan” Aku memperkenalkan anak-anakku bila kami semua duduk.

Zaman terangguk-angguk perlahan. ” Semua handsome macam ayah dia”

” Tumpahan kecantikan ibu mereka juga”

” Aha, kau kahwin dengan adik Saifullah besar kan?  Mana?”

Aku tersenyum. Saifullah besar. ” Ada di belakang, tengah siapkan makanan”

” Oh” Kemudian Zaman menebarkan pandangannya kepada keadaan dalam rumahku.

” Besar ya rumah kau”

” Alhamdulillah, rezeki ALLAH. Aku kerja pensyarah, gaji sekitar RM10,000 juga bila ditambah elaun dan sebagainya. Atikah pula kerja peguam, gaji besar juga. Ditambah pula kami ada syer di bawah Syarikat Tuju kepunyaan ayah Atikah, jadi memang rezeki mencurah-curah la”

” Baguslah, hidup senang”

” Harappnya, aku dapat terus letakkan harta ni di tangan sahaja. Tak melekat di hati”

Aku mengingatkan diri sendiri. Biasanya manusia lupa akan hal itu. Mereka tertipu dengan dunia. Akhirnya bukan mereka menggunakan dunia, tetapi dunia menggunakan mereka. Lemas dengan harta, tenggelam dalam tamak haloba.

” Aaa anak-anak, ini ada hadiah daripada pakcik” Zaman menunjuk ke arah kotak-kotak hadiah yang dibawanya tadi. Ada empat, tetapi dia menarik tiga darinya.

Satu persatu anak-anakku menerimanya.

” Apa la yang kau susah-susahkan ni Zaman?”

” Sahabat, sejak bila seorang sahabat itu menyusahkan sahabatnya? Bila sahabat kita gembira, kita gembira juga. Bila sahabat kita berduka, kita berduka juga. Bukankah begitu?”

Aku tidak dapat menyangkal. Dua orang yang bersahabat dengan persahabatan yang sebenar, memang akan menjadi seperti satu badan. Segala kegembiraan dan kesedihan dikongsi bersama.

Anak-anakku gembira, aku juga turut gembira, dan kemungkinan kegembiraan aku ini membuatkan Zaman juga gembira. Memang, kalau semua manusia faham akan hal ini, maka dunia akan harmoni. Tetapi, hasad dengki, benci membenci itu terlalu melekat dalam jiwa insani. Itulah yang perlu kita usaha untuk membersihkannya.

” Dan ini untuk kau” Dia memberikan pula kotak hadiah yang terakhir.

” Terima kasih banyak-banyak la ya. Segan aku dengan kau.” Hanya itulah yang aku mampu ucapkan. Tanganku mencapai hadiah yang diberikan.

” Tak payah segan, kita dah macam adik beradik”  Zaman menjawab tenang.

” Abang, mari, ajak semua makan” Atikah muncul dari dapur mengangkat lauk.

Aku segera bangun dan membantunya. Anak-anakku turut bangun membantu. Aku mengangkat baki lauk, dan anak-anakku mengambil air, cawan, sudu dan garfu.

” Wah Atikah, bahagia kamu sekarang” Zaman mengambil peluang berbual dengan Atikah yang berada di meja makan.

” Alhamdulillah Abang Zaman, semua ni rezeki ALLAH.” Isteriku menjawab.

” Kamu tak garang dengan dia kan?” Zaman menyakat.

Aku yang mendengar perbualan mereka dari dapur, keluar dengan mengangkat satu lagi lauk ke meja makan. Sebelum Atikah bersuara, aku mencelah.

” Garang jugak. Takut aku” Berseloroh.

Zaman ketawa. Atikah memang terkenal tidak mampu dirapati ketika di sekolah dahulu. Orang menggelarnya Tengku Harimau kerana ketegasannya.

” Ada-ada aja abang ni” Atikah mencubit pinggang aku.

Aku ketawa juga.

” Ha Zaman, mari makan”

Hai‘” Perkataan bahasa jepun, bermaksud ‘ya’, keluar dari bibir Zaman semasa dia menolak tubuhnya untuk bangun dari sofa.

Aku memandang sahabatku itu. Zaman yang hendak bergerak ke meja makan, terhenti langkahannya. Kami pandang memandang.

” Kenapa?” Zaman bertanya.

” Kau tahu bahasa jepun?”

” Em, sikit-sikit” Telunjuknya menggaru dagu. Gaya segan.

” Pakcik, Kami sekeluarga belajar jugak” Faizan memberitahu.

” Oh, ya ke?” Zaman macam terkejut.

Douzo” Shuraish menunjukkan tempat dudu Zaman sambil berbahasa Jepun. Douzo bermaksud silakan.

” Wah, belajar kat mana?” Zaman bergerak ke tempat  yang ditunjukkan Shuraish, iaitu di sebelah tempat dudukku.

” Jepun la. Kami dengan keluarga Pak Long pergi ke Jepun bulan lepas” Waqas menjawab.

Pak Long yang dia maksudkan adalah keluarga senior. Kami pergi ke Jepun bulan lepas, bersama-sama secara kebetulan sahaja. Sebenarnya, Senior ada urusan lain dan aku pula ada urusan lain. Senior dengan urusan Syarikat Tuju serta Kompleks Tuju Penyayang, manakala aku mempunyai kursus mewakili Institut Perguruan. Kami masing-masing membawa keluarga.

Bila mengetahui yang Senior berada di sana, kami terus menukar hotel dan duduk berdekatan. Jadi, Atikah dapatlah bersama Kak Wardah bila aku dan Senior berurusan dengan urusan kami. Tidaklah mereka berdua kesunyian, seorang diri menguruskan anak-anak.

” Oho, baguslah. Seronok tak pergi Jepun?”

” Seronok. Tapi takut jugak la kan?” Faizan petah bicara, memandang Shuraish.

Shuraish mengangguk. ” Sana ada Yakuza”

Zaman ketawa. ” Ada-ada saja kamu ni”

” Mereka cakap benda betul la” Aku menegur Zaman.

Zaman terkejut. ” Dunia moden macam hari ini, ada yakuza lagi ke?”

Aku mengangguk. Masa aku ke Jepun, kami berkali-kali diingatkan untuk menjaga keselamatan diri. Di Jepun, terdapat satu kumpulan yakuza yang amat digeruni. Namanya kumpulan itu adalah Ryuken. Polis juga tidak mampu berbuat apa-apa terhadap kumpulan yakuza itu kerana kehebatan mereka.

” Baru aku tahu. Aku belajar bahasa jepun pun di Maghribi, di markaz bahasa”

” Wah, sana ada bahasa jepun juga ya?”

” Em, sebagai mata pelajaran pilihan la. Kau nak bahasa Korea pun ada”

Aku mengangguk-angguk. Semasa aku belajar di Jordan, begitu juga. Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris adalah pelajaran wajib, manakala bahasa lain adalah mata pelajaran pilihan.

” Makan lah. Jangan asyik sembang je. Nanti sejuk dah tak sedap” Atikah mengingatkan.

Kupinta Shuraish membaca doa. Selepas selsai membaca doa, Zaman menepuk tangannya.

Itadakimasu” Ucapan tradisi orang jepun sebelum makan.

” Wah pakcik, terasa macam kami ada di Jepun sekarang ni” Waqas macam seronok.

Dan malam itu memang indah dengan pelbagai cerita, perkongsian pengalaman, di bawah lembayung ukhuwwah kerana ALLAH.

Hati aku menjadi tenang. Hal mimpi Zaman itu, aku dapat rasakan apakah yang ALLAH ingin tunjuk. Rupa-rupanya, ALLAH hendak tunjukkan bahawa aku dann Zaman akan kembali rapat seperti dahulu. Walaupun aku tidaklah boleh berkomunikasi dengan ALLAH secara  terus, tetapi aku seakan dapat merasakan. Jangkaan aku boleh sahaja silap, sebab aku sememangnya tidak mengetahui semuanya, dan ALLAH itu Maha tahu segalannya.

Tapi setakat ini, aku rasa begitulah.

Semoga ALLAH panjangkan masa bahagia ini.

***

Angin pada malam ini agak sejuk. Namun aku dan Zaman tidak memerlukan baju sejuk. Kami bersandar di belakang kereta mercedes aku yang tersadai damai di tempat letak kereta. Perut masing-masing sudah kenyang. Anak-anakku sedang membantu ibu mereka mengemas. Aku asalnya hendak membantu juga, tetapi Atikah meminta aku melayan Zaman. Zaman berhajat bersembang-sembang di luar, di bawah langit malam yang dihiasi gemerlapan jutaan bintang.

” Kau tak kongsi dengan aku lagi satu perkara sahabat” Zaman membuka bicara.

Huh? Apa dia?

” Macam mana kau boleh kahwin dengan Atikah?”

Oh. Aku ingatkan apa dia tadi. Senyum segaris tercipta di bibir. Kalau diingat-ingat kembali, macam tidak logik sahaja aku boleh berkahwin dengan Atikah. Tetapi, itulah yang terjadi. Kalau sudah jodoh, memang tidak ke mana.

” Malam ini, kau hendak dengar hikayat cinta aku ke?” Aku memandang Zaman.

” Boleh, buatlah aku tertidur dengan hikayat cinta kau” Zaman bercanda.

Aku ketawa. ” Takkan tidur belakang kereta aku”

” Ha ha” Tawa kami berderai.

” Gurau sahaja lah.” Zaman riang. ” Ceritalah apa yang patut. Bukan senang aku ada masa free. Aku dah mula dapat kerja dengan sebuah syarikat perniagaan ni. Jadi pegawai syariah mereka”

” Wah, tahniah.”

” Kau tak lupa janji kita kan?”

Aku mengangguk. ” Hari-hari aku doa untuk kau”

” Kau tak asingkan aku dalam kehidupan kau?”

Aku menggeleng kepala.

” Semua kejayaanku adalah hasil dari doamu sahabat”

Alhamdulillah. Itu sahaja yang mampu kusebut. Apakah ada  pujian yang lebih baik dari memuji ALLAH SWT atas segala nikmatNya?

Zaman tersenyum. ” Ha, cerita la”

Hem…

Aku hendak bermula dari mana ya?

Print This Post Print This Post

Leave a Reply