Langit Ilahi Rotating Header Image

Bab 4: Masalah Yang Menerjah

Bab 4

Masalah yang menerjah

Seminggu berlalu dengan damai. Tiada pula tanda-tanda orang Homurodama cuba berbuat apa-apa dalam masa ini. Setiap hari, aku akan menghubungi Amiri untuk berkongsi maklumat. Kadangkala, kami berjumpa selepas waktu kerja aku tamat. Dan Amiri juga hairan. Namun dia terus berpesan kepadaku untuk berjaga-jaga sentiasa.

” Kita tidak dapat menghidu bahaya”

Itulah pesannya. Dan aku hanya mampu membenarkan bicara itu. Dalam perjalanan kehidupanku seperti hari biasa, aku tetap beringat sentiasa. Cuma memang, semuanya berjalan tanpa ada apa-apa masalah yang menerpa.

Hari ini, keluarga aku dan senior tidak bersarapan seperti biasa. Kata Senior, dia ada perjumpaan khas dengan tenaga-tenaga kerja di Kompleks Tuju Penyayang. Tiada masa lapang untuk Senior, membuatkan dia mengorbankan hujung minggunya.

” Siap-siap ni hendak ke mana bang?” Atikah bertanya, melihat aku sedang membetulkan tali leher di hadapan cermin. Segera dia merapati aku, menolak tanganku yang berada di tali leher dan mengambil alih tugasan membetulkannya.

Aku senang hati. Atikah memang baik.

” Abang nak pergi Kompleks Tuju Penyayang. Senior jemput minta berikan tazkirah” Aku memberitahu. Aku pun baru tahu tadi, apabila Senior menelefonku menyatakan bahawa ada masa lebih ketika perjumpaann khas itu memandangkan ada agenda yang dibatalkan, maka dia berhajat untuk mengisinya dengan tazkirah. Dia menjemput aku.

” Senior, sepatutnya senior lah sebagai mudir yang beri tazkirah”

” Aku pun, perlukan peringatan juga. Hendak juga menjadi pendengar, duduk sebaris dengan pekerja-pekerja”

Itulah senior. Memang peribadinya sungguh tinggi. Tidak pernah sekalipun dia mengangkat diri, malah sentiasa memberikan peluang untuk manusia di sekelilingnya mengeluarkan potensi.

” Tak ajak saya?” Atikah angkat kening sebelah.

Aku menggeleng.

” Sampai hati”

” Sekejap aja la. Bagi tazkirah, lepas itu balik. Sayang rehat la di rumah. Kan penat turun naik mahkamah.”

” Makan tengahari di mana?”

” Semestinya di rumah. Siapa boleh lawan sayang masak?”

Atikah menyimpul senyum. ” Siap” Tali leher siap dibetulkan. Sempat juga tangannya mencapai kolar baju kemeja aku untuk mengemaskannya.

Aku meletakkan kedua belah tanganku, pada bahunya. Kurapatkan dahiku, pada dahinya.

Aishiteimasu” Aku mengucapkan kata-kata ‘Aku cinta padamu’ dalam bahasa jepun, perlahan. Dahinya  yang bersih itu kukucup dengan penuh rasa cinta.

Atikah tunduk malu dilakukan begitu. Dipegangnya kedua belah tanganku untuk melepaskan bahunya. Aku mengikut gerak tangannya.

Wa ana kaman” Dan saya lebih lagi. Itu dalam bahasa arab pasar Jordan. Disebut lembut oleh Atikah.

Aku gembira. Jiwa jadi lapang. ” Abang pergi dulu”

” Em” Atikah menghantar aku dengan senyuman.

Aku bergerak turun, menuju ke kereta Mercedes Brabus yang diam bersebelahan kereta Honda Civic Coupe milik Atikah. Semua kereta ini bukannya dibeli dengan duit kami. Semua adalah hadiah ayah Atikah. Kalau ikutkan aku, kereta Waja pun dah cukup.

Sebelum itu, sempat aku berpesan kepada tiga orang anakku untuk tidak lupa mengulang hafalan Al-Quran mereka, memandangkan hari ini aku akan mengadakan pemeriksaan terhadap hafalan mereka itu. Dua minggu sekali, aku akan buat pemeriksaan keseluruhan, kepada semua hafalan yang telah mereka ada.

Kuhidupkan enjin kereta, menunggu sebentar dua hingga tiga minit untuk memberi masa enjin panas, kemudian mengundurkan kereta keluar dari halaman rumah. Sedang mengundur itu, aku melihat seorang manusia sedang melambai-lambai dari balkoni.

Eh, bukan manusia….

Bidadari…

Atikah dengan tudung labuh, pakaian labuh, melambai-lambai kepadaku.

Tidak kira, sama ada dia menghantar aku di hadapan rumah saban pagi, atau seperti kali ini, perasaan bahagia itu tetap terserap ke dalam hati. Isteri solehah, memang harta dunia yang paling berharga. Sebab dia menghidupkan jiwa. Sebab itu, masakan kita boleh menganggap isteri sebagai orang gaji, atau yang lebih rendah dari kita?

***

Keretaku berhenti di kawasan Jaga.

” Assalamu’alaikum encik Saifullah” Amir, itulah dia nama Jaga itu. Kami memang saling kenal mengenali.

” Wa’alaikumussalam Amir. Apa khabar kamu?” Aku bermesra sebentar dengannya.

Selepas bertukar khabar dan bertanya serba sedikit keadaan Kompleks Tuju Penyayang yanng terkini, aku bergerak masuk ke perkarangan kompleks. Kompleks Tuju Penyayang ini agak jauh dari masyarakat. Senior kata, bapanya memang sengaja buat demikian untuk membina satu suasana yang baik dan tidak tercemar. Namun, bukanlah bermakna kompleks ini berada di tengah hutan, cuma jauh sedikit dari populasi ramai.

Kelihatan anak-anak kompleks sedang bermain dengan riang. Ya la, waktu masih pagi. Jam baru menunjukkan pukul 10.30 pagi. Masa bermain kanak-kanak di kompleks ini pada hujung minggu adalah sehingga jam 11 pagi. Selepas itu mereka akan bergerak pulang ke asrama masing-masing dan mandi, bersiap untuk makan tengahari sebelum Solat  Zuhur. Kemudian, hingga ke petang mereka akan mengulang kaji pelajaran, sebelum waktu bebas selepas Asar.

” Pakcik Saif la kawan-kawan!” Salah seorang dari mereka berteriak sebaik sahaja aku turun dari kereta.

Budak-budak lelaki yang sedang bermain, berumur dari 7 tahun hingga 12 bergerak mendapatkan aku. Senior-senior mereka yang bersekolah menengah, tiada di sini memandanngkan semuanya dihantar untuk tinggal di asrama Ma’had At-Tarbiyah Ad-Deeniah di Utara. Sebentar sahaja, aku dikerumuni ramai anak-anak.

” Apa khabar semua?” Aku meninggikan suara, memandangkan bilangan mereka agak ramai.

” Baik!” Semua menjawab hampir serentak dengan suara yang juga kuat.

Aku senang hati. ” Pakcik Saif ada hadiah untuk semua!” Aku mengangkat dua paket besar gula-gula yang baru kubeli sebentar tadi, dalam perjalanan ke mari.

Aku bukanlah orang yang asing di kompleks ini. Aku sering ke mari bila ada kelapangan. Anak-anakku turut mempunyai ramai rakan di sini, memandangkan kanak-kanak sekolah rendah yang tinggal di Kompleks Tuju Penyayang ini dihantar ke SRIH.

Aku juga ditugaskan oleh senior untuk membawa usrah untuk sebahagian pelajar di sini. Aku turut mempunyai satu kumpulan usrah dengan tenaga kerja di sini. Amir merupakan salah seorang ahli usrah aku. Seminggu sekali, kami akan bertemu untuk peringatan, diskusi, memeriksa bacaan Al-Quran dan sebagainya. Jadi, aku memang akan sentiasa ke mari.

” Nak tak?” Aku bertanya riang.

” Kami nak!” Semua menjerit kuat. Gamat suasana di situ.

Aku membuka paket besar itu, dan memberikan kepada setiap anak-anak di situ gula-gula. Seorang dapat satu. Hatiku diusik gembira apabila melihat wajah mereka yang ceria itu.

Rasulullah SAW sentiasa memuliakan anak-anak yatim dalam kehidupan baginda. Baginda juga, merupakan seorang anak yatim. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa, dekatnya baginda dengan anak yatim adalah ibarat jari telunjuk dan jari tengah yang dirapatkan. Sememangnya, kanak-kanak ini mempunyai masa hadapan mereka sendiri. Kita sebagai manusia yang telah diberikan ALLAH nikmat, untuk hidup, mempunyai harta, perlu ada rasa untuk berkongsi kebahagiaan dengan mereka, dan cuba untuk membantu mereka berdikari. Kita tidak boleh sekadar membiarkan mereka, kemudian bila mereka menjadi pengemis, manusia yang rosak akhlak, kita caci mereka.

Itulah sebabnya Kompleks Tuju Penyayang dibina. Untuk memberikan pembelaan, pembiayaan dan pendidikan kepada anak-anak ini. Satu gagasan yang aku kira, mempunyai matlamat mulia dan baik.

Habis dua paket gula-gula besar yang baru kubeli tadi. Semua anak kompleks yang ada tadi telah mendapat bahagian. Mujur cukup. Kalau semua anak kompleks ada di perkarangan ini, mustahil dua paket itu memadai.

” Terima kasih pakcik Saif. Kami sayang pakcik” Semua mengucapkan terima kasih sebelum beredar menyambung riadhah.

Aku tersenyum lebar. ” Oh, bagi gula-gula baru cakap sayang ya” Aku mengusap rambut kanak-kanak bertubuh kecil, yang terakhir beredar. Dia ketawa sahaja mendengar selorohku.

” Kamu memang penuh dengan ciri bapa mithali la Saifullah” Satu suara menyapa.

Senior. Aku segera bersalaman dan mendakap tubuhnya. Pipi kami berlaga. Senyuman berbalas.

” Dah habis ke perjumpaan khas?” Aku bertanya.

Senior mengangguk. ” Sekarang, semua tengah rehat 5 minit, sebelum disambung dengan tazkirah kamu”

Kami bergerak sama-sama, memasuki bangunan utama Kompleks Tuju Penyayang. Kompleks ini mempunyai 10 blok kesemuanya. Tanah yang meletakkan kompleks ini memang luas. Walaupun 10 blok sudah terbina, tanah milik kompleks ini masih ada lebih untuk pembangunan akan datang. Dengar kata, Senior merancang untuk menubuhkan Hospital di tanah yang lebih itu. Semuanya untuk kemudahan masyarakat, dan anak-anak kompleks jika sakit.

” Senior, tadi selepas subuh, saya baca Berita Harian di internet. Berita utama mengejutkan juga ya?” Aku ingin berkongsi, dan mendengar pendapat senior berkenaan cerita muka hadapan akhbar.

” Oh, cerita fasal apa ya? Aku tidak sempat membaca akhbar pun hari ini. Selepas subuh terus ke mari” Senior memberitahu.

” Senior tak tahu lagi la? Rumah Kebajikan Anak Yatim Makrifah di Kelantan hendak menghentikan operasi mereka. Masuk kali ini, sudah kali-10 dalam masa setahun, rumah anak yatim menghentikan operasi. Ini satu perkembangan yang kurang baik.”

Kulihat mata senior membesar. ” Ada tak polis komen apa-apa berkenaan kes itu?”

” Polis menyatakan bahawa, rumah-rumah kebajikan itu sebenarnya telah diugut oleh kumpulan penjenayah, agar mereka menghentikan operasi kebajikan mereka. Kini, kerajaan sedang terbeban memikirkan masa hadapan anak-anak yang mereka tanggungi itu” Aku memberitahu apa yang aku dapat dari pembacaan aku.

Senior terangguk-angguk. ” Senior tahu apa-apa kah fasal hal ini?” Aku bertanya. Senior sebagai pegurus kompleks ini pasti mengetahui kalau ada apa-apa yang berlaku dalam dunia operasi kebajikan ini.

Senior menggeleng kepala. ” Terkejut juga aku. Apakah polis ada mengulas berkenaan penjenayah yang dinyatakan?”

” Tidak. Polis menyatakan bahawa mereka masih belum dapat mengesan siapakah penjenayah itu. Tapi, kemungkinan untuk 10 persitiwa itu berkaitan, amat tinggi”

” Hem, mungkin kita pun perlu berjaga-jaga” Senior terus melangkah, dan aku mengiringinya.

Kami menuju ke sebuah bilik yang agak besar dan luas. Kelihatan tenaga-tenaga kerja Kompleks Tuju Penyayang sudah berkumpul di dalamnya. Bila Senior dan aku datang, semua melemparkan senyuman. Senior mengiringi aku hingga ke hadapan, kemudian mempersilakan aku untuk duduk. Dia menyuakan mikrofon.

Setelah siap semuanya, dia bergerak semula ke salah satu tempat duduk, di tengah-tengah pekerja lelaki yang lain. Aku hanya mampu menggeleng kepala sahaja. Itulah Senior, kalau sekali pandang, orang tidak akan tahu yang dia itu pengurus di sini, dan anak kepada Tengku Muhammad, salah seorang dari 10 orang terkaya Malaysia hari ini.

Walaupun bilik yang besar ini penuh dengan manusia, suasana tetap nyaman dan sejuk. Alat pendingin hawa ternyata berfungsi dengan baik. Tambahan, sayap-sayap para malaikat sedang menaungi majlis-majlis sebegini. Jasad sejuk, hati pun sejuk.

Aku segera memulakan majlis dengan memuji-muji ALLAH, kemudian berselawat ke atas Rasulullah SAW, mendoakan mereka yang bersama Rasulullah SAW dan mereka yang mengikuti mereka itu hingga ke akhir zaman. Aku lontarkan penghormatan kepada staf-staf Kompleks Tuju Penyayang, sebelum salam menyusul dengan lafaz:

” Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarokatuh”

Bilik itu bergema dengan sambutan salam dari semua yang. Lelaki dan perempuan, sama-sama menjawab salam yang dilontarkan aku. Aku melemparkan senyuman manis kepada semua.

Dan tazkirah aku bermula.

Aku membicarakan perihal ukhuwwah dalam skala yang lebih besar. Manusia, sering melihat bahawa ukhuwwah itu hanya terbatas kepada hubungan antara dua orang manusia sahaja. Tetapi, ukhuwwah yang sebenarnya adalah, tidak terbatas kepada manusia sahaja, dan tidak semestinya dengan orang yang kita kenal semata.

Bila kita merujuk kembali berkenaan ukhuwwah, kita akan dapat melihat bahawa, ukhuwwah yang baik itu, tidak dapat tidak adalah dibina dari keimanan yang benar kepada ALLAH SWT. Hal ini kerana, serendah-rendah ukhuwwah adalah bersangka baik kepada sahabat kita. Perkara itu, yakni bersangka baik itu tidak akan sesekali dapat kita capai, melainkan kita mempunyai keimanan yang mantap kepada ALLAH, dan meyakini bahawa ALLAH SWT tahu apa yang kita simpan di dalam hati kita. Maka, tidak akan tergerak di dalam jiwa kita untuk bersangka buruk kepada sahabat.

Melihat pula kepada tingkatan tertinggi ukhuwwah, yakni ithar, ataupun melebihkan sahabat berbanding diri sendiri. Perkara ithar ini, tidak akan mampu disentuh oleh manusia, melainkan dengan keimanan yang benar juga. Hal ini kerana, ithar itu secara sendirinya berdiri atas pengorbanan. Melebihkan orang lain dari diri sendiri adalah satu taudhiah. Manusia, biasanya sukar untuk membalas pengorbanan manusia lain kepada dirinya, dengan balasan yang setimpal. Justeru, keimanan kita kepada ALLAH, meyakini bahawa ALLAH lah yang akan membalas kebaikan kita akan membuatkan kita tegar untuk melebihkan sahabat kita dalam apa perkara sekali pun.

Kita perlu sedar bahawa, kita membina ukhuwwah sebagai menyahut perintah ALLAH SWT yang menyatakan bahawa semua orang yag beriman itu bersaudara.

ALLAH SWT berfirman dalam ayat 10 Surah Al-Hujurat,

” Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah, dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH, moga-moga kamu mendapat rahmat”

Rasulullah SAW juga bersabda:

” Tidak beriman seorang kamu itu melainkan dia mencintai sahabatnya, sebagaimana dia mencintai dirinya” Al-Hadith.

Simfoni ukhuwwah ini tidak lagi dimainkan dalam kehidupan masyarakat hari ini. Jangan kata melebihkan orang lain, hatta bersangka baik pun sudah hancur dimamah hasad dan bersangka-sangka. Tanpa ukhuwwah, tidak akan terbina kesatuan ummah. Bila tidak besatu, maka ummah dengan mudah mampu diruntuhkan.

Sepatutnya, ummat ISLAM hari ini memandang sejarah dan mengambil pengajaran. Lihatlah bagaimana bijaknya penjajah barat, meruntuhkan khilafah ISLAM. Mereka memecahkan-mecahkan hubungan antara orang beriman ini dengan sempadan. Akhirnya, dari situ muncul la masyarakat yang sama dalam keimanannya, tetapi mementingkan diri masing-masing sahaja, tanpa ada rasa persaudaraan yanng benar kepada saudara seimannya yang lain, walau bersebelahan negara.

Aku berkongsi pengalamanku ketika studi di Jordan.

Palestin adalah sebuah negara yang dikelilingi Negara Arab ISLAM lain seperti Syria, Jordan, dan Mesir. Aku masih ingat pada satu ketika, Ghazza, satu-satunnya tanah merdeka sekarang di Palestin, diserang secara mengejut oleh tentera Israel yang melanggar perjanjian gencatan senjata. Apakah agaknya yang dilakukan oleh tiga negara di sekeliling Palestin?

Salah seorang tenaga pengajar mengangkat tangan ingin menjawab. Aku mempersilakan.

” Mereka berdiam diri”

Ya, ketiga-tiga negara berdiam diri. Malah, doktor yang pertama sampai bukanlah dari kalangan tiga negara ini, tetapi dari luar negara yang jauh. Itu pun, tiga negara ini dengan tidak berperasaan menyekat sempadan tidak membenarkan bantuan masuk. Alasannya, tidak mahu masuk campur dengan apa yang terjadi. Seakan-akan, yang sedang dibantai itu bukanlah yang seiman dengan mereka.

Sebab itu, bila kita bicarakan kebangkitan ISLAM, mahu atau tidak, kesatuan itu perlu dibina. Perlu ada sekelompok manusia yang benar-benar faham akan erti ukhuwwah ini, dan menterjemahkannya dalam kehidupan mereka. Ukhuwwah yang berdiri di atas keimanan yang jelas, akan memunculkan kekuatan yang tidak terjangka.

Lihat sahaja bagaimana 313 orang muslimin mampu menumbangkan 1000 orang musyrikin Makkah dalam peperangan Badar. Mereka tidak akan mampu, tanpa hubungan yang mantap dan saling percaya mempercayai.

Aku berkongsi kisah sebelum peperangan Badar, di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang-orang Ansar boleh pulang ke Madinah, memandangkan perjanjian mereka dengan Rasulullah adalah untuk melindungi baginda di dalam Madinah, bukan di luar. Tetapi, salah seorang sahabat Ansar berkata,

” Ya Rasulullah, kami tidak akan mengatakan kepada kamu sebagai mana Bani Israel mennyatakan kepada Musa, Pergilah kau dengan RABB kau berperang dan kami menunggu hingga kau menang. Tetapi YA Rasulullah, kami akan berkata kepada kamu, Pergilah kau dengan RABB kau berperang, dan kami akan bersamamu!”

Masakan seseorang itu sanggup bergadai nyawa, kalau bukan kerana kasih sayang sudah mendalam merasuk jiwa? Apakah siraman yang menyuburkan benih ukhuwwah ini? Itulah dia  iman kepada ALLAH SWT. Percaya bahawa, ALLAH SWT akan membalas pengorbanan kita dalam ukhuwwah ini.

Ukhuwwah, bukan juga hanya untuk mereka yang seangkatan, sebaya dan sebagainya. Aku mengambil contoh tenaga pengajar di Kompleks Tuju Penyayang dan anak-anak di kompleks ini. Aku menyatakan bahawa, tenaga pengajar dan anak-anak turut perlu menjalinkan ukhuwwah. Tenaga pengajar dan anak-anak perlu berkenalan, faham memahami dan sayang menyayangi. Masing-masing perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain. Anak-anak memerlukan tenaga pengajar untuk menjaga dan mendidik mereka. Tenaga pengajar, memerlukan anak-anak ini untuk meneruskan cita-cita mereka pada masa akan datang.

Begitu juga suami dengan isteri, ibu bapa kepada anak-anak, kita kepada jiran, malah kita kepada orang bukan ISLAM turut perlu pada hubungan yang ikhlas ini. ISLAM itu syumul, dan kita perlu tonjolkan kesyumulan ini dalam kehidupan kita. Tetapi, siapakah yang nampak bahawa hubungan mereka dengan pasangan dan anak-anak mereka satu ukhuwwah? Kadang-kadang kita pandang rendah dengan taraf isteri dan anak-anak. Kita sangka, bila jadi ketua keluarga, maka yang lain adalah pengikut semata-mata.

Ini adalah konsep yang salah.

Semua kita sama, dan yang membezakan kita adalah taqwa. Sepatutnya, kita perlu saling lengkap melengkapi, untuk mempertingkatkan taqwa ini sebenarnya.

ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 12,

” Wahai manusia, sesungguhnya KAMI ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu bermasyarakat dan berpuak-puak, agar kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang termulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH adalah yang paling tinggi taqwanya.”

Kita juga perlu menjalinkan ukhuwwah dengan alam. Menyayangi alam dan menjaga mereka dengan tidak mencemari mereka. Hal ini kerana, kita lengkap melengkapi dengan alam. Kita memerlukan mereka untuk memberikan kita kehidupan yang kondusif. Kita perlukan udara segar untuk hidup. Dan mereka memerlukan kita untuk menjaga mereka.

Perlu diingatkan juga bahawa, dalam ukhuwwah, bukan semuanya manis. Ukhuwwah akan diuji. Ukhuwwah antara manusia akan digegarkan dengan pelbagai cubaan. Syaitan, tidak sukakan kesatuan. Maka penderhaka kepada ALLAH ini akan berusaha untuk meruntuhkan kesatuan yang terwujud antara hati manusia.

Maka, dengan keimanan yang mantap sahaja, ukhuwwah akan dapat dijaga. Hal ini kerana, syaitan tidak akan mampu menghampiri mereka yang ikhlas dalam menjaga hubungannya. Sebab itu, kita tidak berukhuwwah hanya kerana harta, rupa paras atau keturunan. Kita berukhuwwah kerana itulah yang ALLAH perintah. Kita berukhuwwah untuk mencapai redha ALLAH SWT sahaja.

Ketika ini, aku membuka ruang untuk sesiapa yang ingin memberikan soalan. Aku merasakan bahawa, cukuplah dengan apa yang telah aku kongsikan. Aku tidak mahu memanjang-manjangkan masa dengan tazkirah yang panjang. Sedikit sudah mencukupi, jika terkesan di dalam hati.

Seorang perempuan mengangkat tangan.

” Silakan”

” Bagaimana agaknya kalau kawan kita terjebak dalam hal-hal pengingkaran kepada ALLAH? Senang cerita, dia jadi jahat la. Apakah kita patut tinggalkan mereka?”

Aku tersenyum. Teringat janji aku kepada Zaman. Aku pandang Senior yang tenang di tempat duduknya. Senior tersenyum sahaja. Macam dia sedang berkata, ha, jawablah.

Aku menggelengkan kepala. ” Tidak. Kita tidak patut meninggalkan mereka”

” Biar saya ceritakan satu kisah” Aku membuka cerita.

Kisah berkenaan seorang ulama’ tersohor, yang mempunyai seorang sahabat karib. Satu hari, dia dan sahabat karibnya berpisah. Ulama’ itu terus menjadi terkenal kerana ketinggian ilmunya dan kesolehan dirinya. Dia telah terputus berita berkenaan sahabatnya. Hinggalah satu hari, seorang lelaki tiba kepada ulama’ itu dan bertanya,

” Sheikh, apakah kau kenal fulan yang bernama fulan bin fulan?”

” Ya, dia sahabat karib aku”

” Aku dengar dia sekarang sudah rosak, tersungkur di lembah maksiat, melakukan kemungkaran kepada ALLAH”

” Oh?” Dan ulama’ itu tanpa membazir masa, terus pulang ke rumah dan mempersiapkan bekalan perjalanan. Lelaki tadi pelik, apabila melihat ulama’ itu keluar semula dari rumah dengan keadaan seperti hendak bermusafir jauh.

” Sheikh, kau hendak ke mana?”

Ulama’ itu menjawab, ” Berjumpa sahabatku”

” Buat apa? Kau masih menganggap dia sahabat? Dia sudah ingkar kepada ALLAH wahai Sheikh”

” Maka sebab itulah aku pergi kepadanya. Aku hendak menyelamatkannya”

” Kenapa?”

” Sebab aku adalah sahabat dia”

Begitulah kisah persahabatan yang sebenar. Kalau benar sahabat, maka kita akan membawa sahabat kita pulang kepada ALLAH, kita akan menegurnya jika dia terlupa. Sebab, kita bersahabat untuk mendapat redha ALLAH.

” Bagaimana?” Aku bertanya semula.

Nampaknya, perempuan itu berpuas hati. Terangguk-angguk.

” Saya rasa setakat ini dahulu. Semoga ALLAH redha dengan kita semua”

Dan Senior pun bangun, duduk di sebelahku dan mengambil alih majlis. Dia tidak bercakap panjang, mahupun mengulas isi ceramahku. Katanya, pengisian yang kusampaikan tad sudah terang tanpa perlu disuluh-suluh lagi.

Dengan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr, majlis perjumpaan khas itu ditamatkan.

***

Senior menepuk bahuku.

Aku memandang wajahnya. Kening terangkat sebelah. Kenapa?

Senyuman Senior melebar. ” Bagus penyampaian tadi. Ukhuwwah yang kau ceritakan tadi, itulah ukhuwwah yang sebenar”

” Ala senior ni, banyak belajar dari senior juga”

” Itu maksudnya, bukan daripada aku. Dari pengalaman yang ALLAH lalukan kepada kamu”

Aku faham. Senior sentiasa merendah diri. Ada sahaja kata-katanya untuk mengelak dari dirinya dipuji secara terus.

” Jemput makan sekali? Makanan disediakan untuk majlis ini”

” Oh, saya terpaksa menolak dengan tegasnya” Aku buat gaya tegas bukan main.

” Tiada peluang untuk aku memujuk?”

Aku menggeleng. ” Bidadari hati sudah masak, anak-anak permata jiwa sudah menunggu. Mana boleh saya tak balik makan bersama”

Senior ketawa. ” Sayang betul dengan keluarga dia. Orang kata, sayangkan keluarga tinggal-tinggalkan”

” Betul ke pepatah tu? Saya tak setuju pun”

” Kenapa?”

” Senior tak tinggalkan Kak Wardah pun” Aku memandang ke hadapan. Semua peserta sudah meninggalkan bilik ini. Kecuali seorang perempuan.

Senior tersenyum. ” Sebab itu aku kata, orang kata. Bukan aku”

Aku ketawa. Senior bangun, mendapatkan perempuan itu. Kak Wardah memang bekerja di sini. Dua pasangan itu memang tidak pernah berenggang. Di mana ada Senior, di situ ada Kak Wardah, dan begitulah sebaliknya. Pasangan paling romantis pada abad ini rasanya.

Bang!

Satu bunyi yang teramat kuat, menggetarkan gegendang telinga.

Aku diam sebentar. Senior yang masih belum sempat mendapatkan Kak Wardah turut terhenti langkahannya. Kak Wardah juga kelihatan seperti terkejut amat. Betulkah aku mendengar bunyi tembakan? Atau aku tersilap dengar?

Senior menoleh kepada aku dengan wajah persoalan. Seakan-akan dia juga menganggap bunyi itu bunyi tembakan. Aku memandangnya juga dengan tanda tanya.

Tidak lama kemudian, jeritan kuat kedengaran. Bukan satu jeritan, tetapi banyak jeritan.

Pintu bilik yang telah tertutup tiba-tiba terbuka dengan kuat.

Amir tersungkur selepas melepasi pintu.

” Amir!” Senior menjerit. Dia pantas bergerak mendapatkan pekerjanya itu. Aku terkejut, segera bangun dan mengikuti senior mendapatkan Amir.

Amir dengan tubuhnya penuh dengan tanda cedera, bersama hidung yang berdarah dan bibirnya yang pecah, kelihatan mencuba sedaya upaya untuk berbicara.

” Mu.. Mudir. Ada penje.. nayah. Me.. Mereka ada senjata… api” Amir bercakap payah, dengan nafas turun naik.

Aku memandang keluar. Bunyi deruman motosikal berkuasa tinggi kedengaran. Dari bunyi itu, aku dapat menjangka bahawa bukan satu, tetapi pastinya ramai yang datang membuat huru hara.

Ketika ini, aku teringat peristiwa yang berlaku kepada aku baru-baru ini. Apakah mereka ini ada kaitan dengan Homurodama juga?

” Nampaknya, mereka benar-benar tiba” Senior menghela nafas.

Aku tertarik dengan kata senior. ” Senior, kenapa? Senior kenal kah mereka?”

Senior menggeleng. ” Tetapi, aku ada mendapat surat ugutan”

Kes utama yang terpapar di Berita Harian pagi tadi kembali menyapa ingatan. Nampaknya, Kompleks Tuju Penyayang telah sampai gilirannya.

” Bagaimana sekarang?” Aku nampak Kak Wardah ketakutan.

Senior pergi ke tingkap. Tingkap itu berhadapan dengan perkarangan Kompleks, tetapi tertutup dengan langsir. Senior menyingkap sedikit langsir. Cukup untuk dia melihat keadaan luar. Aku turut melihat.

Ada sekitar 10 orang dengan motor berkuasa tinggi. Sama seperti motor yang dibawa oleh penembak yang ingin membunuh aku tempoh hari!

Senior memandang aku.

Mata kami bertemu.

Bagaimana?

Print This Post Print This Post

5 Comments

  1. Akmal says:

    Salam..
    Wah, romantik sungguh Saifullah..sungguh indah dan damai keluarga yang dibinanya..alangkah beruntung diri punya isteri solehah laksana Tengku Atikah.. :-)

    [Reply]

  2. arrialla says:

    Хай
    Советую пройти как возбудить парня

    [Reply]

  3. NiL says:

    ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 12,

    ” Wahai manusia, sesungguhnya KAMI ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu bermasyarakat dan berpuak-puak, agar kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang termulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH adalah yang paling tinggi taqwanya.”
    ____________________________________________

    Salam.. ayat di atas sepatutnya, alhujurat ayat 13 bukan 12. :smile:

    [Reply]

  4. humaira says:

    Best, dlm novel ade tazkirah..
    (=

    [Reply]

  5. mila says:

    ana suke halamn yg ade lagu SAKEENA….its really a nice song!

    [Reply]

Leave a Reply