Bab 5
Krisis menonjolkan diri
Aku dan Senior sama-sama bergerak ke hadapan. 10 orang berpakaian hitam lengkap dari atas ke bawah, menunggu dengan motosikal berkuasa tinggi masing-masing.
” Kau, kenapa degil?” Salah seorang dari mereka mengacukan pistol kepada senior. Beberapa orang perempuan di belakang kami menjerit kerisauan.
” Diam!” Yang mengacukan pistol itu mengembarkan senjatannya ke arah sesiapa yang bersuara.
Tempat letak Kompleks Tuju Penyayang yang agak jauh dari masyarakat membuatkan mereka ini lebih mudah membuat huru hara tanpa risau tindakan mereka menari perhatian. Suasana jadi senyap selepas itu. Anak-anak yang menangis pun diam, ditenangkan tenaga pengajar yang ada bersama mereka.
” Kenapa aku mesti tutup kompleks ini?” Senior memberanikan diri bertanya.
” Kerana kompleks ini menganggu perjalanan kerja kami” Jawab si pengacu pistol. Nampak seperti dialah ketua.
” Apakah kamu ini berkaitan juga dengan kes penutupan rumah kebajikan anak yatim yang lain?” Aku memberanikan diri bertanya.
Bang! Satu das tembakan dilepaskan, tepat menjamah tanah di hadapan kakiku.
Hatiku seperti direnjat, namun riak wajah kukawal agar terus kelihatan tenang. Arwah bapa tidak mengajar aku untuk menjadi seorang yang lemah. Aku mengangkat kepala, memandang si penembak. Bukan orang yang tadi, tetapi seorang lelaki yang masih duduk di atas motosikalnya.
” Siapa yang beri lesen kepada kau untuk bersuara? Kami hanya bertanya tuan tempat ini sahaja” Dia berbicara angkuh.
Nampaknya, mereka ini tidak teragak-agak untuk bertindak di luar dugaan.
” Bagaimana? Aku hendak kau tutup kompleks ini, hari ini juga. Pecat semua pekerja di sini, dan halau semua budak-budak”
Senior menghela nafas. ” Aku tidak boleh berbuat begitu”
” Kau hendak kami yang buat?” Ugut.
Aku memandang Senior. Walaupun dalam keadaan genting, nampaknya Senior kekal tenang. Adakah dia mempunyai rancangan? Tadi, ketika aku bertanya kepadannya bagaimana, dia tidak berkata apa-apa. Akhirnya kami membuat keputusan untuk memunculkan diri. Namun, ketenangan Senior membuatkan aku dapat menjangka bahawa, dia mempunyai rancangan.
” Aku, walau bergadai nyawa, tetap tidak akan membiarkan kau menyentuh mana-mana orang di sini” Senior berbicara tegas.
” 800 orang pelajar yang masih tinggal di sini, 250 tenaga pekerja. Dan hari ini, ipar, isteri dan anak kau turut berada di sini. Kau hendak menjaga semuanya?” Lelaki yang seakan ketua itu mendekatkan pistol ke dahi Senior.
Mereka kenal dengan aku? Macam mana mereka tahu aku ini ipar Senior? Aku mula merasakan bahawa, mereka dan orang yang cuba menembakku, mempunyai perkaitan.
Aku hendak membantu, tetapi risau kalau picu ditekan secara sengaja atau tidak sengaja. Keselamatan Senior adalah yang utama. Aku tidak boleh bertindak melulu. Perlu ada strategi yang kemas. Aku menanti peluang. Walaupun peluang itu muncul dalam 0.1 saat.
” Hei, kau takkan berani bunuh orang bukan?” Aku cuba mengalih perhatian.
” Kau jangan ingat kami datang di sini sekadar hendak buat gempak sahaja. Kalau perlu, kami sanggup tumpahkan darah!” Pantas lelaki itu menghayun pistol ke arah wajahku.
Celahan!
Pantas gerak pendekar warisan bapa kupraktikkan. Tangan kananku menerkam sepantas helang. Ibarat cangkuk, aku selit ibu jariku di belakang picu. Picu itu tidak boleh ditekan kerana terhalang dek ibu jariku.
” Celaka!” Lelaki itu menyumpah. Rakan-rakannya segera mengacukan senjata ke arahku. Aku tidak gentar, seni tempur ajaran bapa bukan untuk melahirkan pengecut. Tetapi memupuk keyakinan seteguh gunung dan keberanian mengatasi singa. Mesti tangkas seperti petir yang menyambar.
Kakiku bergerak ke hadapan, dan dengan tangan kiri menarik tubuh lelaki tadi untuk menjadi penghadang tubuhku dari tembakan.
” Ha, tembak lah!” Aku mencabar. Kini lelaki tadi sudah menjadi perisai. 9 muncung senjata yang sudah tersedia diacu kepadaku, tidak meledakkan sebarang tembakan. Mungkin mereka tidak sanggup mengorbankan rakan mereka ini.
Tangan kananku bergerak menyisihkan tangan kanan lelaki itu dari pistolnya. Pistolnya jatuh ke tanah. Leher lelaki itu aku jerut dengan siku. Dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Senior menunduk mengutip pistol.
” Hei, bahaya, bahaya” Dia mengeleng kepala. Kemudian dia memandang kepadaku. Satu senyuman terukir. ” Kau Saif, memang menakutkan”
Aku tersengih. Boleh tersenyum lagi? Kini, 9 muncung senjata sedang menghala ke arah kami!
” Senior, berhati-hati” Aku berpesan.
” Siapa hantar kamu semua?” Pertanyaan kulontarkan. Giliran mereka pula untuk disoal siasat.
” Hei,” Lelaki yang ditangkap oleh aku bersuara.
” Apa?”
” Kau ingat, dengan kau tangkap aku, mereka tidak akan menembak kau?”
” Mereka tidakk kisahkan kau kah?”
Lelaki itu tersengih. ” Kamikaze!” Dia menjerit. Kamikaze adalah tindakan menghancurkan diri sendiri demi menghancurkan musuh. Mungkin itu kod arahan untuk menyatakan kalau terpaksa bunuh teman sendiri pun, bunuhlah asalkan misi tercapai.
Ketika ini, aku memandang 9 orang lagi temannya hendak menarik picu. Memang serius hendak menembak. Dalam masa yang sebentar ini, tangan kananku bergerak menarik Senior untuk berlindung di belakangku. Aku tidak berfikir panjang, dan tiada masa untuk itu. Dalam kepalaku, hanyalah keselamatan Senior sahaja.
Mata kupejam. Pasrah.
Bang! Bang! Bang!
Bunyi berdas-das tembakan kedengaran. Aku tidak pula terasa sakit. Tidak pula aku mendengar lelaki yang kutangkap di hadapanku mengerang kesakitan. Aku jadi kehairanan. Perlahan-lahan mata kubuka.
” Hei, mujur sempat” Suara Amiri kedengaran sebelum sempat mata kubuka penuh.
Abang ipar keduaku itu sedang berdiri dengan memacakkan buntut senjata apinya ke tanah. Bersamanya ada 10 orang ahli SEG. Dan apa yang aku lihat lagi adalah, 9 mayat yang sudah bergelimpangan.
” Tangkap dia, akhirnya, kita ada orang untuk disoal siasat” Amiri menunjuk ke arah orang yang ditangkap oleh aku. Salah seorang ahli SEG mengambil alih peranan aku. Lelaki tadi digari.
” Aku tidak akan membongkarkan apa-apa!” Lelaki itu menjerit. ” Kau akan menyesal menentang kami polis jahanam! Kau semua tak akan menang!”
Amiri menoleh ke arah lelaki itu. ” Siapa polis? Aku SEG. Dan kau semua tak mengenali langsung kami.” Dingin suara abang iparku itu.
” Macam hero” Senior bersuara.
” Abang, jangan la buat tenang sangat” Amiri mencerunkan mata memandang Senior.
Senior kulihat tersenyum. ” Nak buat macam mana, nak buat muka gelabah, aku tak reti”
Aku tak tahu sama ada Senior sedang bercanda, atau memang ikhlas menyatakan sedemikian. Untuk aku pula, terasa seperti sudah tertarik nyawa dari tubuh. Tadi memang sudah berserah 100%. Tak sangka, Amiri tiba tepat pada masanya.
” Terkejut?” Amiri menepuk bahuku.
” Siapa yang tak terkejut kalau ada dalam situasi macam ini?” Aku membalas.
” Kalau kau tak tangguhkan dia tadi, kami pun tak sempat tiba pada masanya” Amiri mengucapkan terima kasih, mungkin merujuk akan aksi beraniku sebentar tadi.
” Siapa nak sahabat sendiri kena tembak?” Aku memandang Senior.
Senior tersengih. ” Terima kasih”
Aku menggeleng. ” Rasanya, macam menyelematkan diri sendiri juga. Kalau Senior kena apa-apa, saya juga jadi tidakk senang”
” Pihak pertahanan masih tidak tahu apa motif mereka memaksa pusat-pusat kebajikan anak yatim lain ditutup. Tetapi, dengan kejadian hari ini, mereka pastinya tidak akan berdiam diri”
” Oh, adakah semuanya berkaitan?” Aku bertanya.
Amiri mengangguk. ” Tetapi bukankah di dalam akhbar, dinyatakan bahawa pihak polis masih tidak tahu sama ada mereka berkaitan atau tidak?” Senior bertanya pula.
” Bukan semua perkara yang benar berkenaan jenayah, keselamatan negara, mesti ditulis di dalam akhbar. Kami juga ada strategi. Dengan menunjukkan kami tidak mengetahui keadaan mereka, ini akan membuatkan mereka lebih tidak berhati-hati”
” Bagaimana kau boleh tahu yang mereka datang pada masa ini, ke mari?” Aku kehairanan.
Amiri memandang 9 mayat yang terbaring kaku, berlumuran darah.
” Kau dah boleh bangun la!” Amiri berbicara.
Salah seorang dari mereka, yang tadinya menembak tanah di hadapan aku, bangun. Terkejut aku. Lelaki itu bangun, membersihkan tubuhnya. Kemudian dia tersenyum kepadaku, lalu pergi ke arah kenderaan SEG.
” Undercover” Amiri menjelaskan.
Fuh, memang nampak macam penjahat sungguh. Malah, sanggup melepaskan tembakan dengan gaya tidak berperasaan. Bijak sungguh SEG menyeludupkan orang mereka ke dalam pergerakan penjenayah.
” Tapi, yang buat aku boleh sampai pada masa yang betul-betul tepat adalah abang” Amiri memandang senior.
Huh? Kenapa?
” Aku SMS” Senior mengangkat telefon bimbitnya.
Patutlah tenang bukan main. Aku tidak terfikir langsung hendak menghubungi Amiri dalam keadaan huru-hara tadi.
” Baiklah, sekarang kami sudah dapat memastikan bahawa Kumpulan Homurodama telah mula aktif kembali. Cuma, nampaknya kita masih tidak dapat mengesan motif mereka dalam penutupan rumah-rumah kebajikan. Kita juga masih tidak nampak kaitannya dengan cubaan membunuh kau” Amiri menunjuk kepadaku.
” Ha? Cubaan membunuh kamu?” Senior seperti tidak percaya. Ya, aku tidak berkongsi dengannya.
Amiri dan aku mengangguk hampir serentak. ” Aku yang suruh dia sembunyikan hal ini”
” Untuk pengetahuan abang, orang dari kumpulan ini jugalah yang pecah masuk rumah abang” Amiri menambah maklumat.
” Oh?” Riak muka Senior berubah.
” Jangan anggap kes ini berakhir. Macam aku kata tadi, selepas hal ini, mereka pasti akan buat sesuatu. Walaupun kita tidak nampak apa motif mereka menutup pusat kebajikan, dan kaitannya mereka dengan cubaan membunuh Saifullah, kita sepatutnya merasakan bahawa kaitan itu tetap ada. Jadi, Saifullah, aku harap kau lebih berjaga-jaga selepas ini. InsyaALLAH, aku akan arahkan orang-orang aku untuk tambah mengetatkan lagi kawalan”
Aku mengangguk-angguk.
” Rahsia Homurodama ini, hanya antara kita bertiga sahaja. Untuk orang lain, perkara ini adalah rahsia negara.”
” Habis, ramai yang telah melihat kejadian ini” Senior memandang pekerja-pekerjanya, dan anak-anak kompleks.
” Mereka akan dicuci pemikiran mereka bersama klorok”
” Hah? Klorok? Cuci pemikiran?” Aku tak faham.
” Tengok” Amiri menunjuk.
Beberapa pegawai SEG tiba ke tempat ramai orang berkumpul. Nampaknya, mereka sedang buat penerangan terhadap apa yang terjadi.
” Semua orang di sini, akan diceritakan bahawa 10 orang tadi adalah penjahat yang polis cari selama ini kerana suka merompak bank dan rumah kebajikan di seluruh negara.”
” Ya kah?” Tadi kata mereka adalah orang Homurodama. Mana satu yang betul?
” Itu untuk orang ramai la. Kita tidak akan mengeluarkan apa-apa maklumat berkenaan Homurodama kepada orang ramai. Jika tidak, rahsia berkenaan pengetahuan polis terhadap mereka akan terdedah, dan mereka sekali lagi akan menghilangkan diri” Amiri menjelaskan.
” Jadi, cerita bohong kepada orang ramai?” Senior bertanya.
Amiri menggeleng. ” Homurodama memang kami kesani ada merompak bank dan wang rumah kebajikan yang telah mereka tutup, melalui internet. Kami tidak berbohong, cuma tidak bercakap benar secara jelas”
” Macam-macam sungguh strategi polis atasan ni ya?” Aku pening.
” Memang, sebab penjahat pun macam-macam yang ada dalam dunia ini”
” Kenapa la orang-orang macam ini boleh wujud atas muka bumi ALLAH ini?” Aku mengeluh.
” Biar da’ie macam kita boleh muhasabah diri, sejauh mana kita usaha memperbaiki masyarakat, sehingga orang macam mereka boleh terlepas rosak” Senior mencelah.
” Betul tak Amiri?” Senior memandang iparku yang kedua itu.
Amiri diam. Kemudian dia bersuara. ” Aku bukan da’ie. Aku penjalan hukum atas negara ini”
Terkejut juga aku mendengar kata-katanya. Amiri yang mengikuti tarbiyah di sekolah yang sama dengan aku dan senior, berkata sedemikian rupa?
” Pergi dulu. Jaga diri baik-baik” Amiri terus bergerak.
Kami mengiringi kenderaan-kenderaan SEG pergi dengan pandangan mata.
” Jangan terkejut dengan kata-kata dia” Senior tiba-tiba bersuara.
Huh?
” Jangan terkejut dengan kata-kata Amiri tadi. Dia bukan tak faham fasal dakwah. Tetapi memang tugasannya sebagai pelaksana hukum atas negara ini. Dia tidak boleh berbelas kasihan dengan penjenayah yang ada” Senior memberi penerangan.
” Habis, di manakah peluang penjenayah seperti itu untuk menjadi baik? Siapakah yang mampu mendekati mereka?”
” Orang macam kita lah” Senior menjawab dengan tenang.
Dan aku terdiam.
” Susah la macam itu” Aku memberi komentar.
” Jalan dakwah, nak ajak orang buat baik, memanglah susah. Kalau senang, Rasulullah SAW tak payah lapar, tak payah susah mendedahkan diri pada peperangan dan sebagainya”
Kata-kata Senior, menusuk kalbu. Insaf hinggap ke dalam hatiku.
” Okay, pergi balik” Tiba-tiba.
Huh? Aku memandang Senior, bertentang mata.
” Bidadari hati masak, anak-anak permata jiwa menanti” Senior angkat kening dua kali.
Aduh… Pantas aku lihat jam di tangan. Pukul 1.30 petang! Aku sudah terlewat sekitar 45 minit dari masa makan tengahari!
” Balik dulu Senior!” Aku terus berlari tergocoh-gocoh mendapatkan keretaku.
***
” Abang minta maaf, sorry, ‘afwan jiddan, gomenasai” Perkataan maaf dari bahasa melayu, inggeris, arab dan jepun, keluar dari mulutku bersama dua telapak tangan yang dirapatkan.
” Ya ALLAH, apa la yang abang nak sori sorikan ni? Tak ada apa-apa la” Atikah memeganng kedua belah tanganku, membuka semula tanganku yang dirapatkan.
” Entah ayah, macam buat jenayah besar je” Shuraish hampir ketawa.
” Macam mana ayah boleh rasa tak bersalah? Tadi ayah janji nak makan tengahari sama-sama, tapi ayah dah lewat hampir satu jam suku” Aku menyuarakan penyesalan.
” Kami tak kisah ayah lewat, kami risau dengan ayah je, takut ayah ada masalah di tengah jalan yang menyebabkan lewat” Waqas bersuara.
Kata-katanya itu tambah buat aku rasa bersalah, walaupun aku tahu itu bukan salah aku. Terharu aku mempunyai keluarga sebegini rupa. Sudahlah aku terlewat, mereka risaukan aku pula, tambahan, mereka semua belum menjamah makanan lagi. Semuanya kerana hendak menunggu aku.
” Lain kali ayah telefon la kalau ada apa-apa. Kesian Ummi risau” Faizan memberitahu.
Aku terangguk-angguk. Atikah kupandang. Dia meleret senyum.
Selain syukur, apa yang boleh kulafazkan? Syukur ALLAH menyelamatkan nyawaku tadi, dan syukur kerana diberikanNya aku keluarga yang bahagia ini.
” Tadi ada kes besar di Kompleks Tuju Penyayang” Aku membuka cerita.
Dan pastinya, aku tidak boleh melupakan wajah-wajah ahli keluargaku yang begitu terkejut dengan ceritaku berkenaan 10 pengganas yang datang, dan pertempuran aku dengan mereka.
” Betul ke ayah cerita ni?” Shuraish macam tidak percaya.
” Boleh tanya Pak Long la” Aku menolak bahunya.
” Alhamdulillah” Atikah nampak lega. ” Takut saya dengar. Mujur abang selamat”
” Tengok, ummi kamu juga percaya” Aku mencebik kepada anak-anak, buat gaya merajuk. Faizan hampir sahaja hendak ketawa.
” Habis, nanti penjahat tu kejar ayah tak?” Waqas bertanya.
” Ingat main police sentry ke?” Police sentry adalah permainan kejar-kejar yang biasa dimainkan anak-anak.
Meja makan dihiasi tawa.
” Kes itu sudah selesai” Aku bercakap secara umum, menutup kegusaran ahli keluargaku, terutamanya Atikah. Macam Amiri cakap, tidak berbohong, tetapi tidak berkata benar dengan jelas. Kes di Kompleks Tuju Penyayang memang sudah selesai, kes penembakan aku, dan kaitannya dengan penutupan rumah kebajikan lain, serta Homurodama itu sendiri, masih tidak selesai apa-apa.
” Kalau macam itu, bersyukurlah.” Atikah berulang kali mengucap tahmid.
” Terima kasih ALLAH, sebab panjangkan umur ayah” Faizan mengangkat tangan bergaya doa.
Aku rasa macam hendak menangis pula. Ikhlas sungguh gayanya.
” Sekarang, ayah dah selamat. Jadi, jangan sedih-sedih ya. Makan!” Aku mematikan suasana suram, menukarnya dengan keceriaan.
Semua makan seperti biasa. Atikah sahaja nampaknya macam tidak berselera. Aku perasan.
” Diet?” Aku menyakat.
Atikah mencebik. Aku tahu dialah yang paling risau.
” Ummi sayang ayah, ummi risau la tu” Shuraish menjawab bagi pihak ibunya. Macam tahu-tahu sahaja.
Aku tersenyum.
Atikah, adakah ganti kalau dia hilang?
Teringat aku akan kisah yang aku ceritakan kepada Zaman malam tempoh hari.
” Sebenarnya, kalau kau tanya bila mula jatuh hati, dari sekolah menengah la. Tapi, dia kan garang, tegas, solehah, memang rasa jauh dari gapaian aku la. Lagipun, masa itu budak-budak lagi. Jadi aku tak fikir banyak sangat”
Aku memulakan cerita. Zaman khusyuk mendengar.
” Bila aku sambung pengajian di Jordan, aku terus lupa fasal dia. Tak teringat langsung. Tapi, mungkin memang jodoh kut, satu hari itu, tak sangka kami bertemu di sana”
” Oh, Atikah studi di Jordan kah?”
Aku menggeleng kepala. ” Dia studi di UIA, ambil Perundangan Syariah dan Sivil.”
” Macam mana boleh jumpa di Jordan?”
” Masa itu, dia dengan persatuan kembara di UIA ada buat lawatan ke timur tengah, Jordan adalah salah satu tempat lawatan mereka. Kebetulan, yang menguruskan rombongan itu adalah adik kepada kawan rapat aku di sana. Jadi, kawan aku itu ajak aku untuk menjadi muraqib. Muraqib ni macam pemandu pelancong la, penjaga sepanjang perjalanan” Aku menerangkan.
” Oh, habis, waktu itu buat apa? Cakap kau suka pada dia?”
” Ai, mana macam tu. Nak kena lempang dengan Atikah? Tak fasal-fasal nak propose masa di orang tengah sibuk travel pula” Aku buat muka serius.
Zaman dan aku ketawa bersama.
” Waktu itu, aku tak perasan pun dia. Tapi, aku tahu dia ada dalam kumpulan itu sebab adik kawan aku tu bagitahu. Masa hendak balik tu, aku tolong angkatkan beg, Atikah yang sapa aku dulu”
” Huih, Tengku Atikah? Sapa lelaki? Ajaib” Zaman terkejut.
Aku mengangguk. Alangkan Zaman yang mendengar pun terkejut, aku masa disapa tu lagi la, macam nak pengsan pun ada. Masakan, perempuan yang sudah hampir terpadam dari ingatan, tiba-tiba muncul kemudian, dengan personalitinya sebelum ini yang terkenal tegas, menyapa aku!
” Tapi dia bukan mengorat la. Dia tanya je, sebab dia pelik aku macam tak kenal dia langsung” Aku bercerita hangat.
Masa tu, aku pun terkejut. ” Tengku Atikah ke ni? Aku tanya macam itu la”
Memang, macam takdir. Lepas itu, langsung tak boleh lupa muka dia.
” Dipanah Sang Arjuna la masa tu?”
” Pertapa Arjuna dalam Novel Takdir karangan Hilal Asyraf tu ke?” Aku buat bodoh.
Bahuku menjadi mangsa tumbukan lembut Zaman. Aku bukan tidak tahu, Sang Arjuna yang dimaksudkan oleh Zaman adalah Cupid kepercayaan orang lama. Arjuna adalah nama Cupid dalam bahasa indonesianya. Terkenal dengan panahnya yang dikatakan dapat menyambung cinta sesiapa yang dipanahnya. Kalau jatuh cinta, biasanya orang akan mengkiaskannya dengan berkata ‘ditebak panah Arjuna’ atau yang lebih kurang dengannya. Bahasa sastera la. Benda macam ini, kalau masuk dalam bab Aqidah, boleh rosak.
” Aku pun, jadi tak tentu arah. Masa itu pula, bapa sudah tiada kerana mati dilanggar lori. Jadi aku macam hilang tempat hendak minta pendapat. Ibulah menjadi tempat aku mengadu. Tapi aku tak beritahu la yang aku jatuh hati kepada Tengku Atikah. Aku hanya bagitahu fasal aku jatuh hati kat orang je.”
” Ibu kau cakap apa? Dia setuju”
” Dia pun tak boleh bantu apa-apa. Dia suruh aku banyak berdoa, dan fikir panjang-panjang”
” Habis, kau buat apa lepas itu?”
” Aku pergi jumpa pensyarah di universiti Yarmouk, yang rapat dengan aku. Dia nasihatkan aku untuk muhasabah diri, dia terangkan kepada aku konsep membina keluarga yang sebenar. Akhirnya, atas nasihatnya, aku kembali muhasabah”
” Apa yang kau muhasabah?”
” Aku betul la suka dengan seorang Tengku Atikah. Tapi, yang aku muhasabah adalah, apakah aku layak mencintai seorang Tengku Atikah? Aku rasa macam tidak layak”
” Hafiz Al-Quran, dan belajar syariah di university of Yarmouk yang terkenal dengan pensyarah-pensyarahnya yang hebat, masakan tidak layak?”
” Bukan, bukan kualifikasi itu yang kita perlukan bila hendak berkahwin. Kita perlu lihat dari bab emosi, tanggungjawab, hendak menyara keluarga dan sebagainya juga. Perlu nampak dengan lebih luas bahawa kita berkeluarga ini kerapa siapa? Kerana perempuan kah, atau kerana ALLAH SWT? Adakah aku hanya hendak berkahwin kerana seorang Tengku Atikah? Itulah perkara yang perlu aku jelaskan kembali kepada diri aku. Aku rasa, semura orang kena faham yang ini. Bukan sekadar tahu cinta kahwin je.”
” Hem, menarik. Kau nampaknya benar-benar faham bagaimana hendak membina keluarga yang sebenar”
Aku tersenyum. ” Belajar banyak masa di Jordan tau. Pensyarah-pensyarah aku di sana banyak kembangkan pemikiran aku, dan membuatkan aku dapat nampak perkara-perkara macam ini”
” Itu pun sebab kita pernah lalui tarbiyah di MATRA dulu. Kalau tak, tak boleh masuk punya benda-benda macam ini dalam kepala.”
Aku mengangguk membenarkan. MATRA, banyak membina asas pemikiran. Selebihnya, dikembangkan sendiri oleh pelajarnya bila keluar. Baik atau buruk selepas itu, adalah pilihan sendiri.
” Ha, sambung la fasal Atikah”
” Kau nak tahu sangat kenapa?” Aku kehairanan.
” Cerita gembira sahabat aku, memang patut aku tahu”
Aku pun menyambung cerita.
Selepas muhasabah itu, dan membuat sedikit kira-kira berkenaan kemampuan diri, duit dan sebagainya, aku nekad untuk melamar seorang Tengku Atikah. Namun, rasa rendah diri dan tidak yakin bahawa cinta itu akan berbalas, membuatkan aku menangguhkan perasaan itu dari diluahkan. Saban malam, solat istikharah sahaja yang mampu kulakukan untuk menenangkan jiwa. Mohon kepada ALLAH sangat-sangat, agar pilihan aku ketika itu adalah pilihan yang tepat.
Oleh kerana aku tinggal sedikit masa lagi untuk tamat pengajian, maka aku memberikan tumpuan kepada untuk menghabiskan pengajian aku. Bila pengajianku tamat, ibuku membangkitkah hal perkahwinan. Aku terus teringat berkenaan Tengku Atikah. Belum sempat aku beritahu kepada ibuku, dia menyatakan bahawa dia sudah ada calon.
Aku terkejut sungguh. Lalu aku nyatakan, bukankah aku kata bahawa aku sudah jatuh hati pada orang? Ibu kata, oleh kerana aku tidak lagi membangkitkan hal itu selepas bertanya, ibu sangka aku tidak jadi bercinta dengan orang itu. MAsyaALLAH…
” Habis? Macam mana boleh kahwin dengan Atikah?”
Aku tersenyum simpul. Waktu tu, memang macam hendak kecewa. Tapi, sangka baik kepada ALLAH lah yang membuatkan aku tidak putus asa. Pada aku, ALLAH menyusun yang terbaik sahaja untuk hamba-hambaNya, cuma manusia perlau berusaha untuk mencapai apa yang dia mahukan. Jadi, aku cakap pada ibu bahawa aku masih cintakan perempuan yang aku nyatakan.
Ibu tanya, adakah perempuan itu mencintai aku? Aku terdiam ketika itu. Betul juga, aku tidak tahu. Ibu terus berkata, dia memberikan aku peluang untuk bertanya. Jika tidak, biar aku tunduk pada pilihan ibu sahaja. Aku setuju.
Terus aku berusaha mencari kenalan pensyarah di UIA untuk bertanyakan berkenaan status dan kesudian Atikah bagi pihak aku.
Namun, perkara tak disangka berlaku.
” Apa dia?”
” Senior menghubungi aku” Aku tidak dapat mengendurkan lagi senyuman. Itu kenangan paling manis dan paling kelakar.
” Dia cakap apa?”
” Dia kata, nak jumpa”
” Lepas itu?”
” Masa perjumpaan itu, baru aku tahu bahawa Atikah rupanya memang cintakan aku selama ini. Bila aku kata kepada Senior yang aku hendak memberitahu berita gembira ini kepada ibuku, Senior menyatakan tidak perlu”
” Eh, kenapa?”
” Sebab rupanya, calon yang ibu nyatakan adalah Tengku Atikah juga”
Zaman ketawa. Aku tersenyum senyum menggeleng kepala.
Semua susunan ALLAH. Atikah memang hadiah daripadaNya, keapada hambaNya yang seorang ini. Macam mana aku boleh hendak tidak sayang kepada isteri aku?
” Tu apa yang tersenyum-senyum tu?” Suara Atikah menerobos masuk ke dalam telinga.
Aku tersedar. Ah, aku menggelamun jauh rupanya.
” Terima kasih sayang” Aku berbicara.
” Terima kasih? Kenapa? Tiba-tiba je” Atikah kehairanan.
” Terima kasih sebab jadi isteri abang” Aku melafazkan tanpa selindung.
” Huih, jiwang betul ayah” Shuraish memandang. Waqas dan Faizan juga begitu.
Pipi ummi mereka kemerahan. ” Abang ni… hish, kan anak-anak ada tu?” Hilang wajah resahnya tadi.
Dan aku terus tersenyum. Biarlah. Biar anak-anak aku tahu betapa bersyukurnya aku yang Atikah menjadi isteriku.
” Ayah, amat amat amat cintakan Ummi. Ingat tau” Aku bagitahu pada anak-anak.
Terkekek-kekek mereka ketawa. ” Kami macam mana?” Faizan bertanya.
” Anak-anak, jangan jeles tahu. Nanti boleh cerita fasal Ummi dengan ayah pada anak cucu” Atikah akhirnya mengalah, malah turut serta.
Aku menggeleng kepala sambil tersenyum senang.
” Anak-anak ayah pun, ayah sayang jugak.”
***
Hari ini, aku bertemu lagi dengan Zaman. Semenjak dia pulang dari Maghribi, memang kerap aku bertemu dengannya. Senior sebenarnya berhajat agar Zaman boleh menyumbangkan tenaga di bawah Syarikat Tuju. Karisma Zaman semasa di zaman persekolahan memang menambat hati sesiapa sahaja untuk menjadikannya tulang belakang pergerakan.
Aku sebenarnya, amat sayang kepada sahabatku yang seorang ini. Walaupun Zaman tidaklah serapat aku dengan senior, memandangkan kami mempunyai vakum 11 tahun dalam sejarah persahabat kami, aku tetap menyayangi dia.
Ukhuwwah yang terbina semenjak sekolah menengah dahulu, betul-betul aku hargai dalam kehidupan. Kalaulah Zaman ini bukan orang penting dalam kehidupan aku, masakan namanya mampu melekat dalam doaku tanpa lepas? Sama seperti Senior, aku memang sayangkannya.
Aku sentiasa risaukan keadaannya selama kami terputus hubungan. Ditambah pula mimpi yang mengungkit janji untuk aku menyelamatkannya dari keburukan jika berlaku, membuatkan aku merasakan bahawa dia terjebak ke lembah kehinaan. Sebab itulah, bila pertama kali bertemu dengannya dengan pakaian jean serba hitam, membuatkan aku hampir mempunyai perasaan kurang senang kepadanya.
Ternyata, sangkaanku itu meleset. Dan melesetnya jangkaanku mengundang lega sebenarnya. Siapa suka sahabat karib sendiri jatuh ditelan kehinaan?
Sepanjang bersama Zaman selepas kepulangannya, dia masih seorang yang baik, dan karismanya tertonjol. Bahasanya masih elok dann akhlaknya masih baik. Walaupun mungkin stailnya ada sedikit yang berubah, tetapi aku menganggap itu biasa. Masakan tidak berubah langsung. Asalkan perubahan itu tidak membawa ke arah keburukan, itu sudah lebih dari mencukupi.
Aku harapkan, kebahagiaan ini akan berpanjangan.
Senior kata, tak lama lagi, dia sendiri akan berjumpa dengan Zaman dan menawarkan Zaman untuk bekerja dengan kami. Senior mahu Zaman bersama dengan kami, macam dahulu juga. Sama-sama memperbaiki masyarakat dengan ISLAM.
Aku memakirkan Mercedes Brabus ku di tempat letak kereta kawasan rumah Zaman.
” Aku tak sangka pula kau memang benar-benar berpindah ke Johor?” Itulah soalan pertama yang muncul bila Zaman keluar dari rumahnya.
” Huih, tak bagi salam, terus tanya” Zaman menegur.
Aku teringat. ” Aiseh, sori la. Assalamu’alaikum tuan rumah”
Zaman tersengih. ” Wa’alaikumussalam. Douzo” Silakan. Aku tersenyum bila dia berbahasa Jepun. Lisannya nampak fasih, macam lama sungguh dilatih.
Aku juga tertarik dengan dekorasi rumahnya. Pokok bonzai, kecil dan besar wujud di perkaranngan rumah. Beberapa pokok buluh hiasan turut wujud. Rumah zaman juga tidak kalah dengan rumah aku. Tapi rumahnya dihias seperti rumah jepun.
” Wah, ini tak macam pelajar Maghribi ni. Kau macam orang Jepun betul” Aku melontar pendapat dari pandangan aku.
Zaman tersengih sahaja.
Bila masuk ke dalam rumah, lagi la terasa akan kejepunannya. Meja, kerusi, karpet, hiasan dinding, semuanya ala-jepun.
” Aku minat la Jepun. Memang teringin sangat nak pergi, tapi tak cukup duit sahaja”
Aku tersenyum. Jepun, memang, aku sendiri yang telah pergi ke sana, terasa seperti hendak ke sana semula. Masyarakat di sana, walaupun hidup dalam budaya hedonisma yang tinggi, masih menjaga adab dan tatacara kemasyarakatan. Bukanlah 100% masyarakatnya sedemikian, tetapi, majoritinya begitu.
Bayangkan, aku pernah menaiki Shinkansen, atau nama popularnya di Malaysia adalah Kereta Api Peluru, ketika membawa keluargaku dan keluarga Senior bersiar-siar dari Tokyo ke Nagano selepas tamat urusan di Tokyo. Tetapi, dalam Shinkansen itu, dompetku tercicir. Aku hanya sedar apabila tiba di hotel. Pantas aku mendail Syarikat yang menguruskan Shinkansen untuk bertanyakan peihal dompet aku, walaupun di dalam hati, aku sudah pasrah bahawa dompet aku akan hilang, memandangkan ribuan orang menaiki Shinkansen dalam satu hari.
Namun, aku amat terkejut apabila Syarikat itu menyatakan bahawa, ada salah seorang rakyat Jepun yang menghantar dompet itu kepada pihak syarikat, menyatakan bahawa dia terjumpa dompet itu di dalam Shinkansen. Pihak Syarikat meminta aku mengambilnya dengan segera, memandangkan segala pengenalan diri, duit dan sebagainya ada di dalam dompet itu.
Ketika aku menuntut dompetku, sekali lagi aku terkejut. Tiada satu apa pun yang kurang di dalam dompet itu. Semuanya lengkap. Hatta syiling jepun yang ada di dalam dompetku, tidak kurang walau satu.
Kagum. Itulah yang ada di dalam hatiku terhadap masyarakat jepun. Perkara yang jarang terjadi di tempat lain pada hari ini.
” Nanti lepas kerja lama sikit, boleh la pergi” Zaman menyambung ceritanya.
Aku mengangguk-angguk. Minat benar sampai dekorasi rumah pun macam jepun sungguh.
” Ha, duduklah” Zaman mempersilakan.
Aku duduk.
Kami berbincang perihal hajat Senior petang itu, dan pelbagai lagi perkongsian cerita dan pengalaman. Walaupun aku baru balik dari kerja, aku tetap tidak rasa letih berurusan dengan Zaman. Entah kenapa, sahabat seperti menimbulkan rasa senang yang aneh di dalam jiwa.
Alhamdulillah. Mungkin inilah yang dinamakan sebagai kemanisan ukhuwwah.




cerita berdasarkan kehidupan.. simple dan teruja
[Reply]
Alhamdulillah,
amat menarik jalan ceritanya
adakah kisah ini benar?
[Reply]
seronok sangat bile baca ceritanya..
bila aksi mendebarkan..benar2 mendebarkan. ..bile bace perbualan saifullah dgn isteri dan anak2nya pula, rase romantiknya n bahagianya keluarga ni, sang ayah tasmi’ hafalan anak2…. smoga kita juga akan membina baitulmuslim yg mendapat keredoan Allah. teruskan menulis lg ya Hilal..sambung ceritanya.
[Reply]
romantik tp tidak melampau..
mampu buat sape2 pn tsenyum..
Ya Bro Hilal, Nikuve tanye soalan cepumas tu..
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada iman syauqina,
kalau simple dan teruja, maka cerita ini boleh dikatakan berjaya. Alhamdulillah.
kepada Nikuve,
Cerita ini benar dari segi kefahaman islamnya, tarbiyahnya, nilai murninya. Tapi ‘cerita’nya tidak benar, watak-wataknya tidak benar.
kepada mimisuria,
tak boleh sambung dah ceritanya. Sebab memang sampai sini sahaja saya akan siarkan. Terasing sudah hampir terbit.
kepada hambamencari,
soalan cepu mas sudah dijawab.
Romantik, kalau benar romantik memang sesiapa pun akan tersenyum-sennyum.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]