
bangun, merentas hujan panah kesedihan
“ Bangun”
Suara itu kedengaran.
“ Tidak. Aku ingin membeku diri”
Saya cuba membantah.
Terus sebatang tangan menyapa bahu. Telapaknya melandas, jemarinya mencengkam. Tertonjol keseriusan. Saya menoleh. Dia tidak berwajah. Tetapi saya tidak ketakutan. Seakan-akan dia bukanlah asing.
“ Bangun”
“ Kenapa mesti bangun? Aku ingin membeku diri. Aku sedang kesedihan”
“ Mana kesedihan kamu?”
“ Sini” Saya tunjukkan ke bahagian dada kiri, memaksudkan hati.
Terus dia membongkokkan tubuhnya. Tangannya seperti ular, bergerak pantas mencengkam dada kiri saya. Saya terasa seperti dia hendak meragut nyawa keluar dari tubuh. Mukanya yang tidak berwajah, saya tatap.
“ Maka, biar aku ragut kesedihan itu pergi”
Kesedihan masih ada. Cuma, rasa hendak duduk membeku itu telah hilang.
Saya sudah terbangun tanpa sedar. Seakan gari-gari yang mengunci diri telah diputuskan. Tetapi, rasa sedih masih melekat.
“ Oh, kesedihan masih melekat.” Orang tanpa wajah memandang tangannya.
Dia berjaya menarik rasa untuk membeku diri, tetapi dia tidak berjaya menarik pergi kesedihan hati ini.
“ Kenapa hendak bersedih?” Dia bertanya.
Saya menjungkit bahu. “ Mungkin sebab sudah tidak tertanggung?”
Orang tanpa wajah itu ketawa.
“ Kenapa? Aku sedang bercanda kah?”
“ Kau daif”
“ Sebab aku naif”
“ Kau sesal dengan perbuatan kau yang telah lalu?”
“ Aku dikhianati dengan kelurusan aku”
“ Tetapi apakah kau dapat membalikkan perjalanan waktu?”
Saya terdiam.
“ Jangan kau buang masa membeku diri.”
“ Kalau aku bergerak, aku akan terus dilukai”
“ Kalau kau bergerak, kau boleh ubah apa yang telah terjadi”
“ Kau kata perjalanan waktu tidak boleh diterbalikkan”
“ Tetapi masa hadapan boleh dicorakkan”
“ Apakah maknanya kalau kesedihan tidak boleh dipadamkan?”
Orang tanpa wajah itu terus memegang kepala saya dengan kuat. Mukanya menghala kepada saya. Rasanya, kalau dia mempunyai mata, pasti dua biji matanya sedang terjegil memandang saya.
“ Kesedihan, hanya perasaan, yang wujud dalam diri kau, kerana kau tidak mahu kuat menanganinya. Kau akan menghadapi pelbagai lagi ujian, pengkhiatan, kejian, cubaan, dugaan, cabaran di masa hadapan. Adakah kau berfikir, kau hendak membawa semua kesedihan ini hingga ke akhir hayat?” Dia menumbuk-numbuk dada kiriku dengan tangannya yang sebelah lagi.
Walaupun tumbukannya tidak lah kuat, malah tidak tajam, tetapi entah kenapa, saya terasa seperti dia sedang memegang pisau, mencucuk-cucuk tembus hati saya ketika itu.
“ Corakkan masa hadapan. Tundukkan kesedihan ini. Bangun! Buat apa kau tunduk hinakan dirimu pada suasana. Masa terus bergerak, alam terus berputar, dan kau mesti bangun agar tidak ditinggalkan. Kau tidak akan dapat kembali ke masa lalu untuk mengubah apa yang berlaku. Tetapi kau ada masa hadapan, untuk melakar sejarah baru.”
“ Kau terlalu tinggi dengan harapan” Saya membalas lemah.
“ Harapan hanya ada untuk mereka yang bergerak, berusaha dan tidak berputus asa”
“ Habis, bagaimana dengan kesedihan ini?” Saya menepuk dada kiri.
“ Padamkannya, dengan kehidupan yang akan kau corakkan nanti” Tangan orang tanpa wajah itu, bergerak memegang tangan saya yang berada di atas dada kiri. Tangannya sejuk.
“ Bergeraklah dengan rasa izzah. Hidup ini bukan untuk dipersia. Berjalanlah dengan keyakinan. Jangan sesekali kau berputus asa.” Orang itu mula melepaskan pegangannya. Perlahan-lahan dia berpaling, bergerak mengorak langkah, hendak pergi meninggalkan saya.
“ Hei” Saya memanggil.
Dia berhenti, kemudian menoleh ke arah saya. “ Kenapa?”
“ Kau siapa?”
Dia senyap. Saya menanti.
“ Diri kau”
Kemudian, dia terus lesap dari pandangan.
Manusia ada waktu dia di atas. Manusia ada waktu dia di bawah. Tetapi manusia yang bijak adalah manusia yang bila dia berada di bawah, dia akan berusaha untuk segera kembali berada di atas. Manusia sebegini, semasa dia berada di atas, dia akan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi keadaan, apabila dia berada di bawah.
Saya sedih. Rasa ingin meninggalkan itu dan ini. Rasa ingin memutuskan itu dan ini. Rasa ingin berputus asa dan sebagainya. Dalam keadaan ini, diri saya adalah yang pertama menegur diri saya. Diri sayalah yang mengingatkan apa yang saya tulis dalam Buku Langit Ilahi. Diri sayalah yang yang segera menyedarkan apa yang cuba saya bawa kepada masyarakat selama ini.
Dalam sepi, rupanya kita ini sentiasa mempunyai teman dalam diri. Itulah diri kita sendiri.
Akhirnya, sahabat terbaik di kalangan manusia, bukanlah manusia lain. Diri sendiri jugalah yang merupakan sahabat yang terbaik. Sentiasa berada bersama. Tidak meninggalkan. Pantas mendapatkan. Seorang makcik pernah berkata kepada saya:
“ Kamu boleh tipu semua orang. Tetapi kamu tidak akan boleh menipu hati kecil kamu”
Hati kecil yang tidak boleh ditipu itulah yang biasanya akan menegur, memberikan pendapat yang agak berlainan, sentiasa berusaha itu dan ini untuk menyelamatkan diri kita. Cuma, berjaya atau tidak hati kecil itu, bergantung kepada bagaimana kita melatihnya semasa kita berada dalam kesenangan dan tidak kejatuhan.
Siapakah yang menghargai dirinya sendiri? Dan mempersiapkan dirinya untuk menyelamatkan dirinya nanti?
Ah… Ini pengajaran yang bermakna.
Diri sendiri ya? Hah.
Maka sekarang saya bangun. Dalam hujan panah kesedihan, saya bangun.
Untuk saya corakkan masa hadapan. Untuk saya padamkan kesedihan.





assalamualaikum
diuji utk lebih kuat dan tabah dari sblmnya..
kematangan juga…
[Reply]
~akhirnya diri sndiri juga yang mengubat kesedihan..
that’s the best~
[Reply]
Memang kesedihan tidak dpt hilang dgn senangnye..kite xdpt tipu diri sendiri..kalau kesedihan melanda..kite tipu diri kite x sedih..mmg akan bertambah sakitnya hati..sesungguhnye Allah s.w.t maha mendengar.Luahkn segalanya kepadanye.Insyallah Dia akan menghilangkn kesedihan dan memberi jalan utk membuang kesedihan itu..
(94:6) Verily, with every difficulty there is relief.
Sesungguhnya Allah s.w.t xkan meninggalkn hamba2 nya..
Assalamualaikum
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada iman syauqina,
teruji dengan masa lalu. Mungkin juga menjadi lebih kuat. Mungkin juga, ada perkara lain yang sedang tersedia untuk dilaku.
kepada syauqah,
sebab diri sendiri juga yang memahami diri ini.
kepada Annafisha,
DaripadaNya sahajalah ketenangan datang.
Selepas kesusahan akan ada kesenangan. Dan selepas kesusahan akan ada kesenangan.
~yang sudah bangun…
Hilal Asyraf
[Reply]
Kamu bijak Hilal.. and u will survive! Insyallah.
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada teacher xyna,
insyaALLAH, pray for me teach.
May ALLAH bless u.
Thanks for your guidance before…
~seorang hamba
Hilal Asyraf
[Reply]