
bila kita rasa biasa, kita tidak akan bergerak...
Semasa saya tingkatan satu, apabila memasuki MATRI, saya telah ditempatkan di sebuah asrama bernama Huffaz. Seperti namanya, penduduk di asrama itu adalah penghafal Al-Quran. Namun, masalah utama asrama itu ketika saya tingkatan satu adalah kebersihan. Asrama itu terlalu kotor.
Satu hari, ada beberapa orang senior datang. Mereka bertanya kepada kami:
“Antum tak bau busuk ke?”
Saya ketika itu tersedar bahawa, bau busuk ketika awal-awal asrama itu kotor telah hilang. Kami bernafas, seperti bernafas di udara biasa. Rasa macam biasa, rasa macam tiada apa-apa. Kebanyakan kami, menjawab soalan itu dengan berkata: “Tak bau apa-apa pun”
Abang-abang yang datang itu berkata: “Antum dah biasa sangat duduk dalam kotor, sampai dah tak dapat rasa benda ni kotor. Bau busuk pun antum dah tak dapat bau, sebab pada antum itu bau yang biasa.”
Saya tersentuh.
Sudah biasa, sehingga tidak dapat membezakan.
Manusia juga, hidup dalam keadaan yang serupa sebenarnya.
Kalau perasan, Rasulullah SAW ada bersabda:
“Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka cegahlah dengan lisan, jika tidak mampu, maka cegahlah dengan hati, sesungguhnya ia(mencegah dengan hati) selemah-lemah iman” Al-Hadith.
Kita lihat bahawa, membenci kemungkaran itu adalah sebahagian dari iman. Selemah-lemah iman adalah meletakkan kebencian kepada kemungkaran itu di dalam hati. Membenci kemungkaran, pengingkaran kepada Allah adalah tanda kewujudan iman.
Tetapi, bagaimana agaknya, apabila kita tiada rasa benci kepada kemungkaran?
Kalau membenci dengan hati adalah selemah-lemah iman, maka bagaimana pula dengan hati yang tidak membenci, malah menyukai pula perbuatan mungkar kepada Allah?
Namun hari ini, kita lihat sekeliling kehidupan kita. Kita dapat lihat pelbagai keingkaran berlaku, baik di dalam diri kita, keluarga kita, mahupun masyarakat sekeliling kita. Bagaimanakah reaksi, tindak balas kita?
“Alah, biasa la orang tak pakai tudung”
“Semua orang rasuah, aku rasuah la”
“Bohong tu perkara kecil je”
“Hari ni, semua orang tinggal solat. Tak ada apa-apa lah”
Kenapa kata-kata begitu boleh keluar?
Sebab itu adalah suasana biasa. Biasa sehingga kita merasakan tidak lagi salah dalam kehidupan kita. Sebab itu kita tidak kisah kalau kita bangun lewat subuh, kita tidak kisah kalau kita tidak membaca Al-Quran sehari, kita tidak kisah kalau kita tengok perempuan tak tutup aurat, atau lelaki yang tidak menjaga kemaluannya, kita lali dengan kes-kes jenayah dan kejatuhan moral masyarakat serta pelbagai lagi masalah di dalam kehidupan kita ini.
Bila perasaan ‘biasa’ ini melekat dalam jiwa, kita tidak akan mampu mengubah keadaan itu. Pada kita, itu keadaan biasa, buat apa nak kecoh-kecoh.
Sebenarnya, kita perlu letakkan dalam minda kita, satu neraca. Neraca itu tidak kita ambil daripada kebiasaan manusia hari ini. Tetapi, neraca itu kita ambil daripada Allah SWT, arahanNya, kesukaaanNya, laranganNya dan kebencianNya. Maka, pada neraca Allah, sebarang pengingkaran adalah perkara yang tidak boleh dianggap ringan, biasa.
Dengan perasaan ‘tidak biasa’ dengan pengingkaran inilah, kita bergerak untuk merubah suasana keingkaran, pelanggaran kepada sistem Allah ini kepada suasana ‘biasa’ yang sebenar, yakni ketaatan kepadaNya. Macam sebuah bilik yang kotor. Kalau kita rasa ‘biasa’ dengan kekotoran bilik itu, maka kita tidak akan bergerak untuk membersihkannya. Begitulah sebaliknya.
Perasaan ‘biasa’ kepada kemungkaran adalah masalah yang besar. Itu tandanya iman kita telah terkoyak, punah ranah, sehingga hati tidak rasa apa-apa dengan pembelakangan hukum-hukum Allah.
Sebab itu, berbalik pada hadith tadi, kita melihat betapa wujudnya kaitan iman dengan sensitiviti hati kita terhadap hukum-hukum Allah SWT.
Bagaimana kita boleh merasakan biasa jika hukum Allah dipijak-pijak?
Bagaimana kita boleh duduk tenang bila keluarga kita menuju ke neraka Allah?
Bagaimana kita boleh berlapang-lapang apabila melihat masyarakat meninggalkan sistem Allah?
Sebab itu, bagi kita yang ada kesedaran, yang ada sedikit kekuatan, cubalah meluaskan syu’ur kebenaran ini kepada sesiapa yang kita mampu, kita didik manusia di sekeliling kita/yang mampu kita capai agar mereka faham akan makna ketaatan kepada Allah, kita usaha memberikan kefahaman dan kesedaran akan hal ini kepada sesiapa yang kita mampu.
Sama-samalah kita muhasabah akan perkara ini.
Takut-takut dalam jiwa kita, kita merasakan pengingkaran kepada Allah itu adalah ‘biasa’
Jika benar, ketahuilah bahawa hati kita sedang sakit sebenarnya, iman kita sedang melemah.





maaf kerana contoh nenek dengan seorang ibu yang menegur kanak kanak dalam penulisan saudara laksamana di atas tidak saya setuju sepenuhnya.
saya secara hakikat pernah terjumpa seorang kawan yang mengatakan neneknya masih mampu meludah remaja kerana benci akan golongan muda dan budakk budak hanya kerana tidak mahu mengamalkan makan sirih.
ALLAH Lebih mengetahui.
Tafsir dalam surah MARYAM..ayat 73,74,75 seakan menegur
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”
[76]
Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
RALAT:
ayat 76,surah yang sama memberi harapan,INSYAALLAH
Assalamu’alaikum,
kepada kembar,
saya telah buang analogi nenek tu.
Apa yang kamu katakan, dan ayat-ayat al-quran yang kamu beri, itu memang kebenaran. Tapi, ayat-ayat itu tidak menyuruh kita -redha- dengan kemungkaran. Ayat-ayat itu menjelaskan betapa dalam mengajak manusia kepada kebaikan, perlu ada seni dan masa adalah sebahagian dari seni.
Saya silap dalam memberikan analogi, tapi maksud analogi saya tidak silap.
Yang saya hendak bawakan adalah, perasaan masyarakat akan pengingkaran kepada ALlah itu terasa amat biasa, sehingga apabila ada orang menegur keingkaran itu, orang yang menegur itu pula ditegur.
Bila kita rasa dah terlalu biasa, kita akan anggap penukar kepada biasa itu adalah satu kesalahan. Sedangkan ‘biasa’ yang sedang dirasakan biasa itu yang silap.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
tiada yang redha andai mereka mengambil agama sebagai bahan gurau.
namun hakikatnya,
ramai yang terkorban dalam perjuangan agama bukan?
terima kasih kerana respon.
Moga semua redha menjadi hamba ALLAH.
“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi
tunduk menurut,
sama ada
dengan sukarela atau dengan terpaksa;
dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.”
(SURAH Ar-RA’D:15)
Salam saudara hilal:)
benar, kerana keterbiasaan itu yang menyebabkan tiada yang menegur kemungkaran. kerana “biasa nampak dah”.
p/s: semua insan melakukan kesilapan, tapi ciri menjadi hamba adalah dgn memperbaiki kesilapan .
dari:
hamba yang masih lemah.
Salaam Sdr Hilal,
Curios nak tahu, apa jadi pada asrama Huffaz selepas tersedar daripada kebiasaan ber’gelumang’ dengan ‘kotor’? Adakah kebiasaan ‘kotor’ berubah kepada ‘bersih’ selepas itu? Harapnya demikian lah.. barulah ‘happy ending’.. ^_^
semoga dijauhkan.
Assalamu’alaikum,
kepada kembar,
ramai terkorban dalam perjuangan agama, maka apakah itu satu kelemahan, satu keburukan?
Yang terkorban dalam menegakkan kebenaran, mereka memasuki syurga dan dekat di sisi Allah. Bukankah itu satu kemuliaan?
kepada arnamee,
ya. Kita terasa biasa, hingga hati terbius untuk merasa.
Sama-sama kita bermula dengan memperbaiki diri kita…
kepada Abu Hassan,
hem.. nak cerita fasal Huffaz, macam panjang pula. hu3…
Nanti saya ceritakan dalam post khas ya…
kepada fobia,
amiin…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
wa’alaikumsalam.
quote:
“kepada kembar,
ramai terkorban dalam perjuangan agama, maka apakah itu satu kelemahan, satu keburukan?
Yang terkorban dalam menegakkan kebenaran, mereka memasuki syurga dan dekat di sisi Allah. Bukankah itu satu kemuliaan?”
Ya ,benar.
Karamah di bumi palestin,cuma kita di sini jauh dan hanya mengetahui melalui buku-buku dan akhbar semestinya.
Internet juga