Pada
Bila-Bila masa
Aku rasa betul-betul kesepian, rasa sepi pada saat-saat yang aku kira amat pelik jika sepi menjengah. Yakni pada saat manusia sedang bertepuk menghormatiku, saat tepukan sanjungan sedang gamat diberikan untukku, sedang teriakan-teriakan kekaguman sedang dilaungkan untukku, saat pancaran cahaya lampu ditujukan kepadaku bagi menunjukkan kehebatan aku, saat ini, aku terasa benar-benar sepi.
Sunyi.
Sendiri.
Aku merendahkan sedikit kepalaku sebagai tanda hormat, rida yang menjadi sebahagian dari fesyen pakaian ala pakistan kegemaranku melurut jatuh sedikit, kemudian aku bergerak ke belakang pentas. Sepi di hatiku masih tidak hilang. Bukan sepi suasana, aku juga tidak mengerti, tetapi sepi ini betul-betul melukakan hati.
*******
“ Hei kawan” Kawan aku, merangkap pengurusku menyambutku di belakang pentas, Asyraf namanya. Tangannya diangkat, aku pun mengangkat tangan, lalu kedua tangan kami bertemu di udara. Gaya yang orang putih gelar ‘Hi-five’.
“ B, gemilang gila kau punya persembahan. Tabik beb dengan kau” Dia menepuk lembut belakang tubuhku. Aku hanya tersengih. Senyap tidak menjawab pujiannya.
Basyiri, itulah namaku. Yakni nama sebenarku. Di dunia hari ini, aku dikenali sebagai B. Aku merupakan artis rap yang paling popular sekali di dunia ini. Satu hakikat yang tidak mampu dinafikan sesiapa. Malah aku bukannya popular murahan dengan pelbagai gosip panas atau aksi liar, aku memang benar-benar popular kerana kehebatan aku mencipta, menyusun, dan menyanyikan lagu-lagu yang aku bawa. Malah aku tidak pernah menggunakan teknik miming dalam setiap persembahanku, kerana aku memang mampu membawa semua lagu-laguku sama, tidak kurang sedikit pun kualitinya dari apa yang peminatku dengar di dalam album.
Aku sudah berada di satu tahap yang amat tinggi, pada umur yang agak muda, 30 tahun. Aku sudah mempunyai sepuluh album. Kekreatifan dan semangat aku menghasilkan lagu-laguku sendiri membuatkan aku cepat naik, dikenali, disegani dan dihormati, baik oleh rakan artis, mahupun peminat-peminat.
Kehidupan sebagai artis sememangnya meletihkan. Tetapi pada awal kerier aku, aku merasa amat gembira. Aku bukannya penyanyi rap yang memasukkan unsur-unsur yang melalaikan, aku adalah penyanyi rap yang membawa akhlak yang bersih, dan lagu-laguku membawa mesej keamanan dan kemasyarakatan. Aku tidak mengikut arus artis lain, tetapi aku membina arus sendiri, membuatkan aku sebagai artis yang unik, terampil dan dinamik.
Ditambah pula dengan teknik penciptaan lagu-laguku, yakni teknik ‘blended music’, yakni musik yang telah mencampurkan musik-musik traditional dengan musik moden, menggabungkan musik timur dengan musik barat, menggabungkan musik budaya A dengan musik budaya B, aku kolaborasikan dengan kelebihanku sedari kecil, yakni bercakap dengan kelajuan yang amat pantas, melahirkan satu keunikan yang tiada taranya, membuatkan aku berdiri di tempat aku berdiri hari ini. Satu tahap yang tak pernah dijangkau oleh sesiapa, satu tahap yang memang sukar untuk dijangkau oleh sesiapa. Tetapi inilah yang aku dapat.
“ Yo B, kenapa kau nampak sedih aje ni?” Asyraf menggoncang sedikit tubuhku. Aku tersedar. Aku berjalan ke dalam kereta Mercedes Berabus yang telah sedia menantiku di perkarangan. Aku akan bergerak pulang ke rumah, kerana ini adalah kerja aku sudah untuk hari ini.
“ Aku rasa sepi la” Aku cuba meluahkan.
“ Apa dia?” Asyraf beriak terkejut. Dia memandangku pelik. “ Sepi?”
“ Ya” Aku menjawab tanpa memandangnya. Seorang pekerja membukakan pintu kereta untukku dan Asyraf. Kami sama-sama masuk ke dalam kereta.
“ Tak terhibur pula jiwa ni” Aku merungut sendiri.
Asyraf tertawa kecil. “ Ai, pelik. Penghibur tak terhibur?” Namun aku tak menyahut selorohnya itu.
“ Kau demam?” Asyraf bertanya risau. Tangannya menekap di atas dahiku.
Aku tersengih. Aku mengalihkan tangannya. Asyraf, walaupun dia pengurusku, tetapi dia juga adalah sahabat yang amat rapat denganku. Hakikatnya dia adalah temanku sedari kecil. Memang benar-benar mengambil berat dan menyayangiku.
“ Aku tak demam, tetapi aku rasa tak sedap hati la”
“ Kenapa? Kau ada masalah apa? Nak jumpa doktor?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulutnya.
“ Na, na” Aku menggengelengkan kepala. “ Badan aku tak sakit, tetapi aku rasa hati aku ada masalah”
Asyraf membeliakkan mata. “ Kau ada kanser hati ke?” Dia memegang kedua bahuku. Betul-betul bereaksi terkejut dan cemas.
Aku ketawa melihat tindakannya yang benar-benar kerisauan. Asyraf nampaknya tidak faham.
“ Bukan maksud aku hati yang kalau bedah boleh nampak, aku maksudkan adalah hati yang kalau kau kerat badan kau 999 pun kau tak jumpa”
“ Ah?” Asyraf garu kepala.
Aku terus ketawa melihat dia kebingungan. Namun di dalam tawaku, kesepian tadi masih mencengkam jiwaku.
Sunyi.
Rasa sendiri.
****
“ Abang dah balik” Isteriku menyambut di muka pintu.
Aku memaniskan roman muka dengan senyuman. Membalas senyumannya yang menawan. Sekilas aku memandanng ke arah jam tanganku. Pukul 12.10 pagi.
“ Sayang, tak tidur lagi?”
“ Saya menunggu jejaka dari langit” Masyitah mengangkat kedua keningnya dua kali.
Aku tersengih. “ Tapi yang muncul, jejaka dari kereta mercedes” Aku menjawab.
Masyitah tertawa. Dia mendekatiku dan bersalaman denganku sambil mengucup tanganku. Hatiku yang rasa agak galau tadi terasa sejuk sedikit. Perlahan-lahan Masyitah menarikku masuk ke rumah.
“ Tadi Masyitah tengok siaran langsung persembahan abang, tabik spring la” Masyitah menggayakan tabik seperti tentera. Aku tersengih lagi. Pipinya aku cubit. Dia terus menuntunku masuk ke rumah.
Sebaik sahaja Masyitah hendak menarik aku untuk naik ke tingkat atas, aku bersuara.
“ Abang nak duduk di ruang tamu dulu”
Masyitah memandang kepadaku. Memang di luar kebiasaan. Selalunya aku akan terus naik ke bilik tidur dan bercanda dengannya di situ jika aku pulang lewat. Tetapi aku rasa malam ini aku hendak berfikir sebentar.
Aku bergerak ke ruang tamu. Hatiku masih sepi. Walaupun ulah Masyitah sedikit menceriakan, tetapi tidak mampu menyah sepi yang menjengah. Aku sendiri rasa hairan. Tetapi aku macam tak mampu berbuat apa-apa.
Tiba-tiba aku rasa bahuku diurut. Aku mendongak ke atas. Ketika itu juga dahiku dikucup oleh Masyitah. Harum baunya menyentuh hidungku. Rasa sengal pada tubuh terasa lega sedikit dengan sentuhan tangannya. Aku menundukkan kepala memandang lantai.
“ Jadi abang masih fikirkan lagi fasal hal yang abang cakap tu?”
Perlahan-lahan aku mengangguk. Aku sebenarnya dah merasakan kesepian ini semenjak dua minggu lepas. Aku pernah ceritakan kepada Masyitah. Hari ini kesepian ini betul-betul membuatkan aku rasa tak senang. Membuatkan aku rasa aku perlu duduk dan menilai kembali diri aku.
“ Abang, abang bukan buat benda jahat pun”
Aku mengangguk. Memang aku tak pernah buat benda jahat. Aku penyanyi rap tetapi nyanyian aku membawa mesej yang baik. Aku bukan pembaya esen buruk dari barat. Malah pakaian aku adalah pakai tradisi pakistan, pakaian yang ISLAMIK.
“ Tetapi hati abang tetap sepi”
Kedengaran Masyitah menghela nafas berat.
Kami masing-masing terdiam. Tidak dapat merungkai permasalahan sebenar.
*****
“ Hari ini aku nak kau tolong batalkan segala perjumpaan, sidang media dan segala hal”
“ Kenapa? Kau sakit?” Seperti biasa, suara Asyraf cemas.
“ Boleh tak?” Aku juga tidak mahu menyusahkannya.
“ Sekejap, aku tengok dulu jadual kau” Suara Asyraf senyap sebentar di ganggang. Yang kedengaran adalah bunyi selakan kertas.
“ Macam mana?”
“ Aha, boleh, boleh. Hari ini semua tak penting. Kalau kena buat jugak pun, aku boleh ganti” Asyraf menjawab senang.
“ Kau mana boleh ganti aku menyanyi” Aku berseloroh. Kedengaran suara Asyraf ketawa.
“ Kau mana ada persembahan hari ni” Dia menjawab.
“ B, kalau kau rasa letih ke, penat ke, rehat betul-betul ya?” Asyraf dengan nada ambil berat.
“ Rightio” Aku menjawab bersahaja. Selepas ucapan salam, aku meletakkan gangang. Aku dapat cuti hari ini.
Aku bergerak keluar. Masyitah sudah pergi kerja. Tinggal aku seorang di rumah. Aku kira aku perlu mengambil udara segar. Aku sudah memberitahu Masyitah yang aku ingin bercuti pada hari ini.
“ Saya rasa abang baik pergi ke taman rekreasi, ambil udara segar” Itulah pesanannya sebelum dia pergi kerja. Aku rasa ada betulnya. Mungkin aku kurang menghirup udara segar.
Aku bersiap-siap dengan baju riadah. Cermin mata hitam kalis pandang dari luar aku pakai. Seterusnya topi jenama NY kegemaranku aku sarungkan di atas kepala. Aku bergerak ke rak kasut dan mengambil kasut sukan yang sudah menjadi tempat labah-labah bersarang. Aku bersihkan sedikit sebelum aku sarung di kaki. Masih muat. Aku tidak banyak membesar walaupun kasut itu sudah hampir setahun damai di dalam rak kasut.
Aku perlu menyembunyikan identitiku, ataupun aku akan diserbu peminat dari segenap arah. Pengalaman pertama terjadi sedemikian ketika namaku awal-awal popular dahulu menjadikan aku serik. Semenjak dari hari itu, aku sering berjaga-jaga.
Aku mula berlari-lari anak. Jarak dari rumahku ke taman rekreasi tidaklah terlalu jauh. Hanya lima ratus meter. Jadi aku sekadar berlari anak sahaja ke sana secara perlahan-lahan. Dapat juga menyihatkan badan.
Ketika aku tiba di taman rekreasi, aku meneruskan lari-lari anak mengikut lorong larian yang telah disediakan. Di dalam benakku, aku masih mencari-cari penghapus kesepian jiwa. Aku seakan-akan merasa bahawa aku telah meninggalkan sesuatu yang penting di dalam kehidupanku. Aku terus berlari. Menghirup-hirup udara segar. Tubuhku rasa hidup, namun peliknya, rasa itu tidak men




