Langit Ilahi Rotating Header Image

Cerpen: Penyelesaian.

tiada

kejahatan itu tidak akan terpadam dengan kekerasan. Kemenangan, takkan tercapai dengan jalan pintas

Saya kata nak buat cerpen Sabtu depan.

Tapi tiba-tiba pagi ni(1.01 pagi 1 Disember 2009) tangan saya gatal nak menulis. Maka saya menulis apa yang terlintas di hati saya sebuah cerpen.

Maka enjoy it.

Cerpen bertajuk Penyelesaian.

Cerpen bertajuk: Penyelesaian

oleh: Hilal Asyraf


Hmmm…

Jauh aku berfikir. Sampai kesejukan kutub utara mampu kurasai. Tapi aku tak pasti. Tak pasti apakah aku mampu mencapai apa yang aku fikirkan.

Hidup aku, tidak senang. Penuh duka yang terpacak-pacak. Walau sehebat mana aku cuba mengelak, aku asyik terpijak. Tidaklah aku keasyikan memijaknya. Malah sering sahaja terluka. Belum sembuh luka semalam, muncul lagi luka hari ini.

Aku benci akan hidup ini. Atau dalam erti kata lain, aku bosan.

Dilahirkan dengan kebolehan yang hebat, aku rasa bahawa diri aku perlu memegang tanggungjawab yang besar. Menyelamatkan manusia dari kesusahan. Memadamkan kejahatan dari muka bumi Tuhan. Aku rasa, ini takdir aku. Hal ini kerana aku tercipta lain dari lain. Penuh dengan kelebihan dan kekuatan yang luar biasa.

Tetapi mengapa? Mengapa walaupun aku berusaha sekuat hati, manusia tetap tidak menjadi baik?

Aku tertanya-tanya.

Dan pertanyaan-pertanyaanku itu tiada siapa yang menjawabnya.

Aku mengeluh.

TUHAN, kalau betul aku ini insan terpilih, kenapa hidupku begini sekali? Sudah entah kali berapa aku menyelamatkan manusia, membasmi manusia yang busuk dan jahat, tetapi mereka tetap datang lagi seperti ombak.

Kenapa?

Hingga dalam bicara pun sukar aku melafazkannya. Sukar, kerana keperitan ini tiada kata yang mampu menceritakannya.

Aku nak menjerit.

“AAAAAAAAAAAAAAAAAAAHHHHHHHHHHHHHHHHHH” Aku meluah sekuat hati. Awan di langit bergerak ke tepi, menjadikan di tengaah kepulan awan yang gebu itu satu lubang, seakan-akan jeritanku tadi menerobos ke tengah-tengahnya.

Terlalu hebat, sehingga awan pun berlubang.

Dan aku perasan, burung-burung di hutan sekelilingku terbang meninggalkan suara.

Suaraku sahaja, sudah meggentarkan semua.

Aku duduk semula, memeluk lutut.

Sunyi, sendirian.

Masalah manusia, apa penyelasaiannya?

****

“Tolong!” Satu jeritan kuat kedengaran.

Kuat untuk aku mendengarnya. Aku tidak lengah. Walaupun jarak antara tempat empunya jeritan itu dengan aku sekitar 100KM jauhnya, aku mampu mendengar degan jelas sekali. Berdesup aku hilang dari atas pergunungan tempat tinggalku.

Sebelum pisau menembusi leher mangsa, aku telah berjaya tiba dan menahannya. Kupandang wajah Si Penyerang.

“Berambus” Aku menajamkan mata, bersuara dingin.

Lelaki yang menyerang itu bergetar. Mungkin kesejukan dengan suaraku. Pisau di tanganyaa dilepaskan. Aku melepaskannya. Pantas dia berlari meninggalkan lorong gelap itu.

“Terima kasih” Si Mangsa bersuara. Aku tersengih. Sudah muak dengan ucapan itu. Entah sudah kali ke berapa ribu aku mendengarnya.

Aku hendak bergerak. Kufikir hanya hendak berjalan seperti manusia biasa. Tidak mahu hilang terus bagaikan angin seperti selalu. Hatiku gundah ibarat dipukul taufan. Aku perlukan ketenangan.

Tiba-tiba tanganku dipegang. “Nanti…”

Aku memandang. Si Mangsa tersenyum kepadaku. Aku mengangkat kening sebelah. Kenapa?

“Nama saya Fahmi. Terima kasih kerana menyelamatkan”

Aku tersenyum sumbing. Berapa kali kau nak ulang? Dan adakah kau fikir aku akan ingat nama kau? Berapa ribu manusia aku jumpa dalam sehari?

“Kalau kamu ada masalah, saya boleh tolong” Dia bertutur lembut.

Aku terdiam mendengar kata-katanya. Saya boleh tolong? Diucapkan oleh manusia kepada aku? Kepada aku?

“Ha ha ha ha ha ha ha ha ha” Aku ketawa sekuat hatiku. Dinding di kiri dan kananku bergetar.

“He he” Fahmi itu ketawa juga, tapi kecil. Tidak tergugah langsung dengan tawaku yang menakutkan. Aku tambah hairan.

“Kenapa kau ketawa?”

Terus bibirnya yang ceria tadi menjadi sebaris sahaja. Dia memandang kepadaku. Matanya seakan berbicara. Tetapi aku tidak memahami.

“Diri kau pun aku yang selamatkan, kau hendak menolong aku?” Aku rasa geli hati.

Fahmi itu menunduk. “Maafkan saya”

“Lain kali, jalan gelap macam ini jangan lalu. Ada banyak jalan lain. Apa salahnya jalan jauh sikit, dari ambil jalan pintas yang berisiko? Manusia semuanya hendak senang”

Selepas itu aku terus bergerak sepantas kilat. Hilang dari situ. Tidak seperti niat asalku tadi untuk berjalan seperti manusia biasa. Niat aku terubah dengan pertanyaan Fahmi tadi. Suaranya menumpahkan keikhlasan.

Hendak menolong aku?

Dia tahu aku ada masalah?

****

Aku tidak tahu siapa keluargaku yang sebenar. Malah, aku tidak tahu sama ada aku ini manusia atau tidak. Namun bentuk badanku, anggota tubuhku, bahasaku, semuanya sama 100% dengan manusia lain. Bezanya, aku mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Walaupun tidak boleh terbang seperti Superman, aku boleh melompat mencecah awan dan mendarat semula dengan selamat. Walaupun tidak boleh melekat seperti Spiderman, aku boleh mempunyai kekuatan yang jauh lebih hebat dari manusia biasa. Kekuatan aku sama seperti The Hulk, namun tubuhku sederhana sahaja. Dan aku yakin aku lebih pantas dari The Flash.

Malah, aku rasa, kalau semua superhero itu wujud, mereka tidak mampu pun memberikan apa-apa kesan kepadaku, kerana aku pasti bahawa aku jauh lebih dari mereka.

Aku dibesarkan oleh seorang perempuan di tengah hutan. Dia mengajarkan aku bahasa manusia, kemudian mengajarkan aku bagaimana untuk hidup seperti manusia. Kadangkala, dia mengajak aku ke bandar untuk mengenali dunia. Dia menyara hidup kami berdua dengan bercucuk tanam di sekitar rumah. Kalau ada apa yang perlu dibeli, maka dia akan menjual sebahagian tanamannya di bandar untuk mendapat wang.

Aku tidak tahu bahawa aku amat luar biasa sehinggalah aku berjaya menumpaskan seekor singa yang beberapa kali lebih besarnya daripada aku hanya dengan satu tumbukan sahaja ketika aku berumur 10 tahun. Selepas aku menceritakannya kepada perempuan yang kugelar ibu itu, dia diam sahaja.

Penat aku memaksanya menceritakan asal usulku, dia tetap tidak mahu memberitahu.

“Aku adalah ibumu!” Itulah yang dia katakan dengan air mata yang meleleh, setiap kali aku terlalu memaksanya.

Semenjak itu, aku suka menghabiskan masa di atas sebuah gunung yang tinggi, berdekatan dengan pondok buruk ibu. Kadangkala, sehari suntuk aku duduk di atas gunung itu. Entah kenapa, aku rasa tenang pula di situ. Tingginya puncak gunung itu dapat digambarkan dengan terdapat lautan awan yang sejauh mata memandang jika dipandang ke bawahnya.

Apabila aku melepasi umur 15 tahun, aku mula perasan kepantasanku meningkat dengan mendadak. Aku boleh pergi ke satu tempat yang sangat jauh sekelip mata sahaja. Kepantasanku lebih kurang 10KM sedetik. Ibu meninggal pada tahun itu. Walaupun aku berjaya membawanya ke hospital sekelip mata, dia tetap tidak dapat diselamatkan. Malah, kelajuanku yang teramat pantas itu dikatakan merosakkan lagi organ dalamannya. Ketika itu aku tahu, ibu rupanya tidak sama seperti aku.

Adakah dia bukan ibuku?

Kemudian apabila aku menjangkau umur 18 tahun, pendengaranku mula menjadi sangat sensitif. Aku boleh mendengar segala perkara. Awal-awalnya aku hampir gila kerana aku boleh mendengar segala-galanya dalam diameter yang sangat-sangat luas. Namun akhirnya, aku boleh mengawal frekuensi suara-suara yang ada.

Selepas itu, mataku menjadi sangat sensitif, deria sentuhku juga meningkat dengan melampau. Aku seakan-akan mempunyai deria yang kelapan dan kesembilan.

Tepat umurku 20, aku sudah menjadi seperti aku jadi hari ini. Amat kuat, terlalu pantas, tersungguh gagah. Mujur aku tidak berevolusi mempunyai tanduk, ekor dan sebagainya. Aku, masih dalam bentuk manusia. Semenjak itu, aku sumbangkan kekuatan aku kepada yang memerlukan.

Kini umurku sudah menjangkau 30 tahun.

Aku berbaring. Terus memandang langit. Entah, berapa kali aku turun naik puncak gunung kegemaran aku ini pada hari ini. Terlalu banyak masalah manusia. Entah, sudah berapa ramai penjahat, perompak, pembunuh, pemimpin korup aku selesaikan sepanjang 10 tahun ini. Namun mereka seakan tidak surut. Muncul dan muncul lagi. Ibarat ombak. Datang dan terus datang.

Sehingga aku kebosanan.

Adakah dunia ini memang tercipta untuk dihancurkan? Atau manusia itu memang dicipta untuk menghancurkan? Atau yang baik itu memang takdirnya hanya untuk ditindas?

Aku tidak faham.

“Kau dengar tak? Kenapa kau buat semua ni ha?” Aku menjerit sekuat hati. Lautan awan di atas ku tergegar dan terpisah-pisah tanda gelombang suaraku melepasi. Lautan awan di bawahku pula bergetar.

Tapi Tuhan tidak menjawab.

Tuhan senyap sahaja. 10 tahun, hari-hari aku menjerit. Tuhan tetap membatu diri.

Atau Tuhan itu tiada?

Sebenarnya, itu yang membuatkan aku tambah kacau. Aku sudah bosan dengan kerenah manusia. Sudah berapa kali entah aku menyelamatkan mereka, menghapuskan yang jahat, namun kehidupan manusia tetap begitu, rosak dan hancur. Tetap ada yang ingin menindas, tetap ada yang korup, tetap ada yang suka membuat kekacauan.

Apakah Tuhan telah meninggalkan? Atau Tuhan menciptakan dunia ini untuk suka-suka sahaja?

Aku tidak faham. Ini masalah aku.

“Kalau kamu ada masalah, saya boleh tolong” Suara lelaki bernama Fahmi yang kuselamatkan 10 hari lepas mengetuk pemikiran.

Aku menghela nafas.

****

Ketika aku tiba, kulihat Fahmi itu sedang duduk di dalam lingkaran manusia. Perasan akan kehadiranku, dia bingkas bangun. Aku memberikan isyarat supaya dia terus duduk. Rakan-rakannya juga hampir bangun mengikutinya, kemudian duduk apabila memandang isyaratku.

“Hei manusia” Aku memandang Fahmi. Suasana menjadi sepi.

“Tolong aku”

Dan aku melihat bibir Fahmi menguntum senyum.

“Aku sudah jangka, bencana yang berlaku pada aku, bukanlah Allah turunkan dengan sia-sia” Mulut Fahmi melafaz bicara, sambil senyum terus bergayutan. Dan aku tidak faham akan kata-katanya. Bencana yang berlaku? Allah? Tidak sia-sia?

Dan perkataan Allah itu menusuk kalbuku secara tidak langsung. Seakan-akan ada tenaga yang besar dalam perkataan itu.

“Apa maksudmu?”

“Semasa kau membantu aku dari dirompak, aku tertanya-tanya kenapa Allah menimpakan bencana ke atasku, sedangkan aku dalam perjalanan untuk menyebarkan agama-Nya. Namun apabila kau hadir, aku faham bahawa Allah mengaturkan bencana ke atasku, untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada kamu”

Aku langsung tidak mengerti. Allah itu disebutnya lagi. Atur bencana? Menyampaikan? Hidayah? Kepada aku? Semua patah perkataannya macam mempunyai maksud yang sangat mendalam.

Aku bersila.

“Cakap. Apa itu Allah? Apa maksud kau?”

Dan Fahmi mula bercerita. Dia menyatakan bahawa dunia ini mempunyai tuhan yang menciptakannya. Semua yang berada dalam alam ini adalah ciptaan-Nya, tunduk pada peraturan-Nya. Dia lah Allah SWT, yang tidak terikat pada-Nya segala kanun peraturan dan tidak pula terkesan dengan perubahan masa, malah Dialah yag menciptaakan segala kanun peraturan yang solid lagi sempurna.

“Jadi, tuhan itu adalah Allah?”

Fahmi mengangguk. Rupanya, Allah Allah yang disebutkannya tadi adalah tuhan. Jadii Fahmi juga percaya akan kewujudan tuhan. Aku juga percaya. Selepas berfikir dan berfikir, melihat kematian ibu da mempersoalkan dari mana aku datang, kenapa aku didatangkan dan ke mana akan aku pergi selepas mati nanti, aku dapat merasakan jawapan-jawapan aku itu berakhir pada tempat yang sama. Yakni Tuhan.

Semestinya aku punya pencipta. Mustahil aku wujud begitu sahaja tanpa penyebab. Aku didatangkan, diberikan kekuatan luar biasa sebegini pasti ada tujuan. Kemudian, melihat kematian ibu membuatkan aku berfikir ke mana akan aku pergi selepas mati. Aku bayangkan, kalau aku ini puya pencipta, maka tujuan hidup aku pasti berpusat pada pencipta aku kerana Dia menciptakan aku. Apabila mati, aku pasti kembali kepada pencipta aku. Jadi pada aku, pencipta aku itu adalah tuhan.

Dan sekarang, Fahmi ini menceritakan bahawa tuhan itu adalah Allah.

“Jadi apa yang Allah ini mahu?”

Fahmi mula menerangkan kepada aku Islam. Menurut Fahmi, Islam merupaka satu-satunya agama yang diredhai Allah. Dibawa oleh seorang utusan bernama Muhammad. Islam tidak datang dari tangan manusia, tetapi datangnya daripada Allah dengan jalan manusia. Diutuskan perutusan TUHAN dari kalangan manusia adalah kerana Islam itu perlu dilaksanakan oleh manusia. Dari perlaksanaan Islam dalam kehidupaan, seluruh alam akan mendapat rahmat.

Panjang Fahmi bercerita. Aku tekun mendengarnya. Selama ini, aku langsung tidak tahu bahawa pencipta aku mempunyai aturan-Nya tersendiri. Aku fikir, Dia menciptakan, kemudian meninggalkan sahaja. Hanya bermain-main. Tetapi ternyata Dia amat mengambil berat kepada ciptaan-Nya.

Fahmi mengenalkan aku dengan Al-Quran. Dia menyokong bicaranya dengan ayat-ayat di dalam itu. Ternyata apa yang diceritakannya berkenaan Allah dan Islam tadi, Rasulullah dan maslahat Islam kepada ummah, diceritakan semuanya di dalam Al-Quran. Kata Fahmi, Al-Quran adalah apa yang Allah turunkan kepada Muhammad Rasulullah, dan inilah dia perlembagaan di dalam Islam.

Hari ini, pada aku hari yang panjang sekali.

Dan aku seakan dinampakkan celahan keluar dari permasalahan aku.

Entah kenapa, selepas mengenali siapa tuhan aku yang sebenar, aku rasa tenang. Kabut gundahku hilang. Selepas mengenali-Nya, aku nampak bahawa Dia amat penyayang, mengambil berat, sangat bijaksana, dan memang patut disembah.

Aku yang sangat istimewa, luar biasa dan teramat hebat ini pun, belum setanding dengan-Nya. Langsung tak akan tertanding pun sebenarnya.

Pertama kali dalam hidup, aku rasa kerdil.

Dan aku mengambil keputusan tinggal bersama Fahmi untuk mendalami Islam dan terus mengenali Allah SWT lebih dekat.

Ada perkara aku perlu cari jawapannya.

*****

27 Disember 2008, Mataku terbuka. Telingaku menangkap bunyi yang tidak menyenangkan.

“Kenapa?” Fahmi di sebelahku, yang baru sahaja usai Qiamullail menegur.

Dengan dahi berkerut, aku menunjuk ke satu arah. Bunyi letupan bom. Jeritan perempuan dan tangisan anak-anak. Raungan demi raungan kedengaran. Namun bunyi ini amat sayup kedengaran. Tanda ia jauh dari jarak diameter 100KM.

“Arah tu…” Fahmi kulihat cuba mengingat.

“Palestina?” Dia bersuara.

Aku membesarkan mata. Setakat yang aku pelajari hingga hari ini, Palestina adalah bumi berdarah. Bumi ketiga suci orang Islam itu, dinodai oleh sebuah negara bernama Israel. Selama ini aku tidak mendegar langsung apa-apa suara luar dari 100KM. Tetapi malam ini, suara dari Palestina itu kedengaran menggetarkan gegendag telingaku.

Seakan-akan memanggil.

Aku pantas berdesup hilang. Bergerak sepantas kilat sesungguh hatiku. Aku merentas sempadan negara, aku langkau segala bangunan yang ada. Entah berapa banyak tingkap kereta dan kaca jendela rumah yang pecah, pinggan mangkuk yang retak rosak, penggera keselamatan dan kenderaan yang berbunyi kerana kepantasan aku.

Oleh kerana jarak Palestina dengan rumah Fahmi amat jauh, aku mengambil masa juga ke sana. Dan apabila aku sampai, mataku dihidangkan dengan bangunan runtuh, mayat-mayat, letupan-letupan dan pelbagai lagi kerosakan.

Hatiku bergetar.

Ketika ini, ratusan tentera bergerak mendekatiku. Puluhan kereta kebal turut serta.

Aku, diselimut marah yang teramat.

“AAAAAAAAAAAHHHHHHHHHH!” Aku menjerit sekuat hati. Seluruh kawasan itu bergegar. Jeritan gempitaku itu menggegakkan sesiapa yang mendengarnya. Segala cermin yang masih berbaki di sekelilingku pecah.

Kebanyakan tentera di hadapanku mati begitu sahaja.

Aku terus bergerak seperti angin, melompat ke tengah-tengah ratusan tentera itu. Tiada antara mereka yang sempat melepaskan tembakan kerana aku sudah menamatkan nyawa mereka terlebih dahulu.

Kubengkokkan laras penembak kereta kebal yang terdekat denganku, dan mengambil laras penembah itu lalu memutarkannya 360 darjah berulang kali sebelum melemparkannya ke kereta kebal yag lainnya.

Letupan besar berlaku. Aku melompat di tengah-tengah api yang marak, meniup dengan mulutku membuatkan api itu tersebar kepada semua tentera yang ada. Api menyambar pakaian mereka, lantas membakar seluruh tubuh mereka.

Ketika ini dua jet pejuang datang. Mereka melancarkan roket. Aku pantas melompat, memijak roket mereka dan berlari di atasnya kemudian melompat lagi mencapai sayap salah satu jet pejuang yang ada. Kukepakkan sayapnya, menyebabkan jet pejuang itu tidak seimbang lalu terdorong serong melanggar jet pejuang yang lain. Aku melompat, mendarat di atas peluru berpandu yang tadi dengan kepantasan yang tidak terhingga, lalu kusepak peluru berpandu itu ke kumpulan tentera yang ada di atas tanah.

Seterusnya aku mendekati barisan kereta kebal dan menumbuk kereta kebal di hadapanku sekuat hati. Kereta kebal itu tersorong, melanggar semua kereta kebal yang di sebelahnya. Semuanya meletup.

Pada masa inilah, sebuah kereta kebal di belakangku sempat melancarkan tembakan. Aku berpusing, dan mengangkat telapak tanganku dengan pantas. Peluru yang dilancarkan tadi terkesamping sebaik sahaja menyentuh telapak tanganku, lantas terarah ke sebuah kereta kebal lain. Sama waktu dengan peluru itu menyentuh kereta kebal lain, aku sudah berada di bawah kereta kebal yang menembakku tadi. Sebaik sahaja kereta kebal yang lain itu meletup, kereta kebal yang menembakku sudah kucampakkan ke udara sekuat hati.

Aku memandang semua tentera yang masih berbaki. Dan kereta kebal yang kucampak tinggi tadi jatuh di belakangku.

Mataku mencerun.

Mereka ketakutan. Semua tentera berundur.

Dan ketika ini, bahuku disentuh dari belakang. Aku memandang, seorang tentera bertopeng hitam sedang berada di hadapanku.

“Kamu siapa?”

“Aku adalah sahabat kamu. Aku ingin membantu kamu dalam peperangan ini. Aku seorang mampu menghancurkan mereka semua”

Lelaki bertopeng itu menggeleng.

“Kamu pulang”

Dan aku terkejut. Pertama kali, manusia menolak kekuatan luar biasa aku.

“Kenapa?”

“Pulang, kerana kami tidak memerlukan kamu”

“Aku bertegas tinggal di sini”

“Maka kamu sudah merosakkan perancangan kami” Mata lelaki bertopeng itu menggetarkan hatiku. Aku rasa seperti hancur di hadapannya.

“Pertolongan kau mengundurkan mereka tadi, aku hargai. Tapi, menghancurkan mereka hari ini dan memenangi peperangan ini seluruhnya, bukan itu yang hendak kami capai. Peperangan kali ini, bukan kami rancang untuk memenangi seluruhnya.”

“Kenapa?”

“Kau akan tahu, kalau kau mengkaji. Sekarang, pulang”

Dan aku pulang tanpa bertanya lagi. Atas satu sebab yang aku sendiri tidak ketahui. Lelaki itu, walaupun aku tahu dia manusia biasa. Entah kenapa, dia seakan-akan mempunyai sesuatu yang lebih besar daripada aku.

Aku tidak faham.

Duduk di sisi Fahmi apabila aku kembali, sahabatku itu menepuk-nepuk belakangku.

“Kata-kata yang bertopeng itu, benar wahai sahabatku”

Dan aku tidak mengerti kenapa Fahmi bersetuju.

*****

Lama aku tidak pulang ke kawasan pergunungan. Hari ini aku mengajak Fahmi bersamaku. Aku tidak membawanya bergerak sepantas kilat. Takut apa-apa kejadian luar kemahuan terjadi. Fahmi manusia biasa. Sedangkan aku, manusia seperti raksasa.

Sudah hampir setahun berlalu semenjak aku tinggal bersama Fahmi.

Fahmi mengajar aku pelbagai perkara. Daripada Allah, kepada Islam, kemudian Sirah Rasulullah SAW, akhlak, ibadah, seterusnya bagaimana pergaulan dengan insa. Di samping itu, kerja-kerja pembasmian kejahatan terus-terusan aku lakukan. Walaupun, sehingga hari ini, masih lagi wujud manusia yang merompak, membunuh, berperang, korup, maksiat. Aku tidak faham kenapa mereka tidak hilang walaupun aku mempertingkatkan kegiatan aku.

“Tidak mengapakah manusia biasa berada di tempat yang sangat tinggi?

“Setinggi mana?”

“Setinggi lapisan awan yang ini?” Aku menunjuk lautan awan di atas kami.

Fahmi mendongak ke atas. “Kau hendak membawa aku ke atas gunung ini?” Puncak gunung tidak kelihatan kerana ditutup awan yang terbentang luas.

“Aku tidak pasti. Tapi kita boleh cuba.”

“Aku ada bawakan kau alat bantu pernafasan” Aku memberitahu.

Fahmi ketawa. Dia menutup mulut menyembunyikannya. Akhlaknya bersih sahaja walaupun kegembiraan. Dan akhlak itu yang menjadikan aku senang.

“Lawak kah?”

“Tidak sangka kau amat mengambil berat”

“Kau sahabat aku” Aku tersenyum, satu perkara yang tidak pernah aku dapat lakukan setahun yang lalu. Kewujudan insan bernama sahabat sememangnya banyak meriangkan jiwaku, walaupun aku dalam kesempitan.

Kami bergerak ke atas. Jika bersama Fahmi, atau teman-temanku yang manusia lain, aku tidak pernah berjalan terlalu pantas dari mereka. Aku mendidik diri untuk sabar dengan kekurangan mereka, hidup seperti mereka. Walaupun mereka amat perlahan untukku, tetapi entah, aku rasa bahagia bersama mereka.

Bahagia yang aku tidak dapat cerita dengan bahasa.

Kami sampai ke puncak gunung. Mentari sudah di atas kepala. Namun di atas ini sangat sejuk. Untuk Fahmi khasnya. Dia sehingga memakai baju yang sangat tebal. Pernafasannya juga agak sukar kelihatannya. Tapi apabila aku suakan alat bantu pernafasan di tengah perjalanan tadi, dia kata tidak mengapa.

“Hanya perubahan altitud sahaja. Peparu tak biasa” Itu katanya semasa perjalanan tadi.

“Subhanallah…” Fahmi mengucap tasbih. Mungkin dia takjub dengan panorama di hadapannya. Berada di atas awan.

Aku tersenyum dengan keriangan di wajahnya. Satu lagi perkara pelik yang berlaku pada aku setahun ini. Gembira dengan kegembiraan orang lain.

“Kejap lagi Zuhur, kita solat di sini. Aku ada bawa air” Aku bersuara.

“Seronok lah!” Fahmi menyertai aku dalam sila.

“Fahmi, setahun kita kenal. Setahun kau usaha tarbiyah aku, bagi aku fikrah kefahaman Islam. Kau kenalkan aku pada Allah, kau beritahu aku sirah Rasulullah. Tapi aku masih ada satu benda yang tidak aku fahami” Aku meluah perasaan.

“Apa dia sahabat?”

“Kenapa, walau sesungguh mana pun aku berusaha, dengan kekuatan aku ini, dengan kepantasan aku ini, untuk membasmi kejahatan di atas muka bumi, tetap muncul manusia-manusia yang melakukan kerosakan di atasnya. Hatta di tempat kecil pun, aku tidak mampu mengekalkan keamanan dengan kekuatan aku. Kenapa?”

Fahmi senyap. Dia memandag aku sebentar. Kemudian bibirnya bergerak. “Lagi? Apa yang terbuku dalam benak hatimu? Luahkan segalanya. Aku ingin tahu”

“Sampai satu tahap, aku bosan membantu manusia. Aku pernah terfikir bahawa, Allah menciptakan manusia memang untuk membuat kehancuran. Malah, aku pernah berfikir bahawa Allah telah meninggalkan insan. Kejahatan itu muncul bagaikan ombak. Muncul dan muncul lagi. Tidak berhenti. Walaupun selepas mendapat kefahaman dari tarbiyah yang kau lalukan kepada aku, hatiku tetap mempersoalkan hari ini. Kau sendiri tahu betapa aku giat membasmi kejahatan di atas muka bumi ini” Kuluah segalanya.

“Ya, sehingga ke Palestina sana kau jejaki” Fahmi tersenyum.

Aku tersengih kelat.

“Kenapa?”

“Sebab, kejahatan itu tidak akan terpadam dengan kekerasan. Kemenangan, takkan tercapai dengan jalan pintas” Fahmi membuka jawapan.

Aku terdiam. Jawapannya ringkas, tapi maksudnya amat mendalam. Aku masih agak sukar mencapai maksudnya.

“Maksudnya?”

“Kalau kita sekadar memotong ranting, tanpa mencabut akar, maka batang akan tetap menumbuhkan ranting baru.”

“Jangan berkias lagi dengan aku Fahmi”

“Masalah manusia hari ini, tidak akan dapat diselesaikan tanpa kita menyelesaikan permasalahan hati mereka. Itulah dia akar kepada permasalahan manusia. Hati yang jauh daripada Allah SWT, jiwa yang tidakk disirami dengan keimanan kepada Allah SWT. Dunia penuh dengan kejahatan, kejahatan yang tidak surut, dan ummat Islam yang bermandi dalam peluh kelemahan, semua ini adalah kerana permasalahan akar ini tidak diselesaikan”

“Jadi, tindakan aku selama ini salah?”

Fahmi mengukir senyuman. “Bukan salah, tetapi tidak kena pada situasinya”

“Manusia, perlu kita selesaikan permasalahan jiwanya tadi. Bina keimanannya kepada Allah SWT. Barulah dia akan bergerak hidup sebagai hamba Allah SWT dan membawa Islam pada setiap penjuru hidupnya. Dengan ini, dia tidak terdorong pada apa yang Allah murka. Dia amanah. Dia jujur. Dia sopan. Dia bersatu. Andai dia berdosa, dia pantas bertaubat semula. Ini dia penyelesaiannya.”

“Sukar. Kenapa kita tidak hapuskan sahaja mereka yang melakukan kejahatan?”

“Macam aku cakap tadi, sama sahajalah dengan memotong ranting, tidak mencabut akar. Kejahatan akan terus tumbuh jika akarnya tidak dicabut. Akan terus ada manusia yang melakukan kejahatan, andai hati-hati manusia tidak kita bersihkan, betulkan, hubungkan dengan Allah SWT. Kalau kau perasan, inilah yang Rasulullah SAW lakukan. Lihatlah apa yang berlaku pada ummahnya, ummah Abu Bakr, ummah pada zaman Umar Al-Khattab. Bukanka aman damai?”

Aku terdiam. Mula nampak. Patutlah, ribuan kali aku membasmi kejahatan, ia tumbuh semula sebagai cendawan selepas hujan. Cara aku tidak kena.

“Baiklah, itu bukan dalam situasi genting. Bagaimana pula dengan Palestina? Kenapa pejuang bertopeng menolak pertolongan aku? Mereka boleh kehilangan nyawa? Bukankah bagus kalau aku memenangkan mereka terus?”

Fahmi ketawa kecil. Kemudian dia terbatuk. Udara masih sempit untuk peparunya di atas ini.

“Sahabat, sahabat. Kau sangat bersemangat. Situasi ummah ini mana yang tidak genting? Yang aku cakap di awal tadi, ada kaitannya dengan Palestina. Kalau kau memenangkan Palestina pada malam tahun lepas itu, maka seluruh kekuatan dunia, musuh-musuh Islam akan tertumppu kepada Palestina sahaja. Pada saat itu, silap hari bulan Masjidil Aqsa runtuh serta merta.”

Mata aku terbuka.

“Aku tahu kau amat hebat. Tapi kau bukan tuhan. Mungkin sekumpulan tentera yang besar boleh kau hapuskan. Bagaimana dengan kekuatan seluruh dunia? Mungkin sahaja pengkaji-pengkaji di seluruh dunia akan mengkaji kelemahan kau lantas membunuh kau? Apa akan jadi pada Palestina selepas itu?”

Aku terkesima. Benar, benar sekali. Aku mula nampak kenapa Mujahidin Bertopeng itu tidak membenarkan aku memenangkan mereka serta merta.

“Sebab itu, usaha kita mengislah ummah ini, walaupun tidak mengangkat senjata seperti saudara kita di Palestina, usaha kita sama besarnya dengan mereka. Kita, membina ummah untuk menyokong perjuangan sahabat-sahabat kita di seluruh dunia yang memerlukan. Bila Palestina menang, ada ummah, ada negara yang menyokongnya. Tidaklah Palestina sendirian bila mereka diserang seluruh dunia nanti”

“MasyaAllah…” Itulah kalimah yang terlafaz olehku.

Sungguh teliti sekali pemikira manusia yang punya tarbiyah dan mempunyai fikrah. Kekuatan, kepantasan, kesensitifa deriaku tidak sentanding langsung dengan gerak hati dan pemikiran jauh mereka.

Tidak hairan lah aku terasa kecil di hadapan mujahidin bertopeng.

“Jadi, apa signifikannya kewujudan aku?” Aku memandag diriku. Aku mempunyai kekuatan luar biasa, kehebatan tak terhingga. Untuk apa?

“Untuk menggencarkan kerja-kerja dakwah lagi”

“Tadi kau kata, kita tak boleh menghancurkan mereka? Kita kena laksanakan dakwah dan tarbiyah?”

“Ya. Aku tak maksudkan gencar itu dengan perang. Maksudnya, kau boleh sumbag tenaga kau dengan melindungi mereka yang membawa dakwah. Bukan menghapuskan pendosa. Pendosa, perlu kita tarbiyah. Sebab itu, kalau ada kes kecurian, jangan kau pukul separuh mati. Cukup sekadar kau tangkap, dan berikan pada pihak berkuasa. Dan berikanlah peringatan kepadanya.”

“Oh. Sumbangkan kekuatan aku?”

“Ya, sumbangkan, dan letakkannya pada tempat sepatutnya.”

Aku tersenyum. Kegalauan aku selama 11 tahun terjawab.

Begitu sahaja.

Permasalahan manusia. Sebenarnya tidak lah Allah itu meninggalkan manusia. Cuma manusia sahaja tidak berusaha memahami aturan dan kehendak-Nya. Solusi untuk permasalahan manusia bukan semudah-mudah sahaja.

“Sebab, kejahatan itu tidak akan terpadam dengan kekerasan. Kemenangan, takkan tercapai dengan jalan pintas”

“Terima kasih Fahmi”

“Mana.. aku kan yang kau katakan ‘fahmi’?”

Aku mengangkat kening. Apa maksudnya?

“Fahmi, maksudnya kefahaman aku. Jadi, aku ini kefahaman kau, maka untuk apa kau berterima kasih? Aku kepunyaan kau wahai sahabat.”

Aku ketawa. Fahmi bersama. Senang. Kami sama-sama melihat lautan awan yang luas. Seluas itu, atau lebih lagi lah, akan kami sebarkan hidayah Allah SWT.

Akan kusumbangkan kekuatan aku, dan meletakkannya pada tempat yang betul, menggunakannya untuk Allah SWT.

Untuk redha-Nya. Untuk agama-Nya. Untuk membantu sesiapa yang membantu-Nya.

Print This Post Print This Post

14 Comments

  1. radhiahsyahida says:

    aslmkm wbt
    sgt menarik..subhanaLlah~
    imaginasi tinggi tapi punya mesej tersendiri.
    karya yang simple tapi sampai ke hati..
    teruskn berkarya…moga Allah redha.

    [Reply]

  2. nazura186 says:

    assalamualaikum….
    sangat menarik dan penuh dgn pengajaran… :wink:

    [Reply]

  3. mumtazah says:

    Karya yang penuh dengan tenaga dan sampai meseg. Teruskan berkarya. Bila enta nak tulis tentang guru enta di Jordan lagi?

    [Reply]

  4. adar says:

    great…good story.

    [Reply]

  5. allysha says:

    hidup ini perlukan usaha

    [Reply]

  6. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada adhiahsyahida

    Alhamdulillah, semuanya anugerah Allah SWT….

    - kepada nazura186

    Moga pengajara yang disedari, dapat dibumikan dalam kehidupan.

    - kepada mumtazah

    Saya akan tulis fasal guru saya, bila saya rasa saya perlu tulis ceritanya. Tidak perlu sabar menanti, cuma perlu berdoa ada benda yang muncul untuk saya tulis.

    - kepada adar

    Alhamdulillah…

    - kepada allysha

    Dan usaha yang benar kita perlukan untuk sampai ke destinasi yang sebenarnya…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  7. nur nur says:

    salam..cerpen yg sgt mnrk..best..mmbuatkn kt trfkr..
    tahniah hilal.. :smile:

    [Reply]

  8. hamba allah says:

    :smile: karya yang bagus…byk terkandung mesej yg tersendiri…teruskan berkarya dalam konteks meluaskan dakwah n tarbiyyah…moga berjaya…remember Allah in every second… :wink:

    [Reply]

  9. sensei_nawal says:

    tak nak ucap tahniah pada hilal atas cerpen2 yang menarik dan menyentuh hati..

    tp

    nak ucap terima kasih kerana berkongsi fikrah dan ilmu dalam cerita-cerita begini yg menyebabkan pembaca memahami message yg ingin disampaikan..

    akan terus membaca dan membaca tulisan anda..!!

    Ya Allah..permudahkanlah Laksamana Angkasa ini
    dalam menyemarakkan agamaMu..

    [Reply]

  10. Ariffah9 says:

    salam..
    huish..saya xtahu mcm mana lah cerpen ni blh tercipta..hehe
    tanhiah…best imagination but have own meaning..
    smoga Allah sama2 mmbantu kita mmprbaiki diri dan ummah~

    [Reply]

  11. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada nur

    Alhamdulillah. Moga apa yang didapati dalam cerpen ini, berjaya memberi sedikit perubahan dalam kehidupan…

    - kepada hamba allah

    InsyaAllah, terima kasih atas peringatan….

    - kepada sensei_nawal

    Alhamdulillah. Doa-doa sebegini yang saya tunggu-tunggu.

    Terima kasih.

    - kepada Ariffah9

    Semoga Allah redha dengan segala usaha2 kita…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  12. jadikan aku serikandi says:

    assalamualaikum saudara hilal…

    sungguh, kali pertama saya memegang buku saudara Langit Ilahi, hati saya begitu tertarik. tertarik pd isi2nya, tertarik pd penulisannya.. lantas sy beli dan hayati, syukur yang tak terhingga pada ilahi, kerana disaat saya mahu mulakan langkah baru menjadi seorg hamba yang sebenar hamba… buku saudara antara yang menjadi pendorong saya.. pernah juga air mata saya menitis bila saudara tekankan betapa besarnya ilahi dan kerdilnya kita…

    dan dengan adanya, entry2 saudara ini, sy harap sy dpt menambahkan pengetahuan sy… terima kasih saudara untuk entry, cerpen, dan tazkirah2 saudara y penuh makna…

    sy harapkan saudara teruskan perjuangan saudara , kerana menyampaikan dakwah islamiah adalah satu perkara yang mulia (y semestinya saudara lebih ketahui dr sy)…

    [Reply]

  13. ryoma echiezen says:

    hebat..
    sangat hebat!
    penuh dgn pengajaran dan saya belajar sesuatu drpd cerpen ini..
    terima kasih kerana menulis cerpen sebegini…bukan senang nak jumpa cerpen macam nie..
    artikel dan cerpen-cerpen saudara memang layak untuk disanjungi..
    keep up the good work!
    kami sentiasa menyokong awak

    [Reply]

  14. atiqah says:

    mabruk….
    cerpen ni best…
    ana susah nk karang cerpan mcm ni…
    barakallahhufik….

    [Reply]

Leave a Reply