Si Tukang Gunting Rambut
Tersebutlah sebuah kisah mengenai seorang pemuda yang bernama Abdul Haq. Beliau merupakan seorang pelajar sekolah menengah.Hidupnya sibuk dengan menuntut ilmu dan berjuang di atas jalan ALLAH dengan pelbagai cara.Abdul Haq merupakan seorang yang bijak dan pandai berhujah.
Pada suatu hari,ibu Abdul Haq berkata.
“Anakku,rambutmu agak panjang dan kurang kemas.Sebagai seorang muslim yang taat kita mestilah sentiasa menjaga kekemasan kita.Maka pergilah kau kepada penggunting rambut untuk memotong rambutmu dan mengemaskannya”
Sebagai seorang anak yang patuh, Abdul Haq terus melaksanakan perintah ibunya. Dengan berbasikal dia pergi ke bandar dan terus menuju ke kedai gunting rambut.
“Wahai Tukang Gunting, guntinglah rambutku sekemas mungkin” Ujar Abdul Haq dengan penuh sopan kepada pemuda yang bekerja sebagai tukang gunting itu.
Pemuda itu tersenyum melihat Abdul Haq. Mungkin keterampilan Abdul Haq yang mempamerkan ciri seorang muslim itu menarik perhatiannya.
Ketika sedang memotong rambut Abdul Haq, tukang gunting itu bertanya kepadanya.
“Hai anak muda, adakah kau percaya mengenai kewujudan ALLAH dan kasih sayangnya kepada manusia?” Abdul Haq sekadar tersenyum dan berkata.
“Pastilah, dan saya meyakini seyakinnya dengan jiwa dan raga saya”
“ Wahai anak muda, jika benar ALLAH itu wujud dan mengasihi ummat manusia, bolehkah kamu jelaskan kepada saya mengapa di luar kedai ini masih wujud mereka yang miskin dan tidak terurus, kusut masai dan pengotor? Mengapa masih ada manusia yang mati kebuluran? Mengapa masih wujud peperangan dan pembunuhan? Mengapa masih wujud bencana alam dan kerosakan? Jika ALLAH itu wujud pasti dunia ini akan aman dan tenteram tanpa adanya semua itu” Tukang gunting mengeluarkan soalan yang bertubi-tubi kepada Abdul Haq.
Abdul Haq sekadar memerhati cermin di hadapannya dan melihat kelibat tukang gunting itu di dalam cermin. Abdul Haq hanya meleretkan senyuman tanpa menjawab soalan tukang gunting itu. Dia membiarkan tukang gunting itu selesai memotong dan mengemaskan rambutnya. Abdul Haq membayar RM 5 kepada tukang gunting itu dan mengucapkan terima kasih lalu menuju ke arah pintu. Sebaik sahaja pintu itu dibuka, Abdul Haq melihat seorang remaja yang berambut panjang melepasi paras bahu dan mengerbang seperti hantu. Abdul Haq tersenyum lalu memalingkan wajahnya kepada tukang gunting dan berkata.
“Wahai Tukang Gunting, tahukah kamu bahawa tukang gunting itu tidak wujud?” Tukang Gunting terjeda dengan pertanyaan Abdul Haq segera mengangkat keningnya dan berkata.
“ Wahai pemuda,habis siapa yang berada di hadapanmu ini?”
“Wahai tukang gunting, jika kau benar-benar wujud mengapa masih ada di luar sana mereka yang berambut panjang tak terurus, mengerbang seperti hantu dan kotor?” Giliran Abdul Haq memberikan soalan.
“ Hal ini kerana mereka tidak datang kepada saya untuk meminta rambut mereka dipotong dan dikemaskan” Jawab pemuda Si Tukang Gunting. Abdul Haq tersenyum gembira.
“ Itulah jawapan kepada soalan kamu tadi hai Si Tukang Gunting, apa yang kau tanyakan kepadaku tadi adalah kerana manusia tidak menghadirkan diri mereka kepada ALLAH. Jika mereka tidak datang dan tunduk kepada perintah ALLAH, masakan ALLAH mahu menjaga hidup mereka” Jawapan Abdul Haq membuatkan Si Tukang Gunting terkedu. Nampaknya dia telah mendapat jawapan yang benar-benar mengetuk jiwanya.
“ Wahai Tukang Gunting, saya pulang dulu. Terima kasih atas potongan rambut yang kemas ini” Abdul Haq lantas melambaikan tangannya sambil senyuman menghiasi roman wajahnya lalu mengambil basikalnya dan terus mengayuh pergi dari situ. Si Tukang Gunting turut tersenyum puas dan senang hati.
Dalam terobos angin menentang kayuhan basikalnya, Abdul Haq tersengih.
“ Jika ALLAH tiada, maka apalah yang ada pada dunia ini? Pastinya tidak akan teratur kemas sebegini. Dan sesungguhnya ALLAH itu amat dekat dengan hamba-hambaNya”





Jelas mesejnya…alhamdulillah…
[Reply]
assalamu’alaikum…
kepada mujahidah..
kejelasannya, terletak kepada pembacanya juga..
siapa yang membaca dengan hati yang terbuka, maka dia akan melihat mesejnya.
Semoga ALLAH redha…
~yang berharapkan kekuatan…
Hilal Asyraf
[Reply]
emmm..bgus cerpen ni sy suke…amat berkesan.
simple n heve a good massage.
emm…siapa yg write cerpen ni Hilal Asyraf ke?
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada cahaya harta,
em, saya yang tulis cerpen ni.
Dalam senarai cerpen, ini adalah cerpen saya yang pertama. Saya tulis ketika tingkatan lima, sewaktu menjalani peperiksaan SPM.
Thanks for the compliment…
May ALLAH bless…
~HAMBA
Hilal Asyraf
[Reply]
assalamualaikum, Alhamdulliallah teruskan berkarya….
gunakan kelebihan yang dikurniakan oleh-NYA dengan menyebarkan syiar islam….
anda salah seorang yang bertuah….
[Reply]