Post edited 10:43 am - September 17, 2009 by laksamana
Siapa Hilal Asyraf?
Itu lah tiga kalimah bersama satu tanda tanya, yang saya jumpa apabila saya melihat di dalam feedjit. Mengikut maklumat yang diberikan, ada orang menulis di dalam google tiga kalimah bersama satu tanda tanya itu, lantas google memberikannya pilihan, lalu termasuklah dia ke dalam website ini.
Tiga kalimah itu, bila bersama dengannya satu tanda tanya, maka ia menjadi satu soalan.
Adakah dia berjumpa dengan jawapannya?
Mungkin ada orang mahu tahu, siapa Hilal Asyraf ini, latar belakang keluarganya, latar belakang pendidikannya, dan umurnya. Tambahan jika orang itu baru mengenali nama Hilal Asyraf ini. Justeru, saya akan menulis biodata diri saya serba sedikit sebagai ta’aruf saya dengan kalian. Bagi yang sudah tahu, anggaplah ini sebagai ulangan ta’aruf kita bagi mengeratkan lagi ukhuwwah.
Nama penuh saya adalah Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Di dalam penulisan, saya menggunakan nama Hilal Asyraf. Saya mempunyai nama samaran, iaitu Laksamana Angkasa.
Saya dilahirkan pada 16 Januari 1989. Pada 16 Januari tahun 2009 yang lalu, genaplah umur saya 20 tahun.
Latar belakang pendidikan saya, ketika saya berumur 5 tahun, saya dihantar ke Taska Ibu dan sebuah taska bernama Taska Al-Fath. Seterusnya, ketika saya berumur 6 tahun, ayah saya mendaftarkan saya ke Tadika Iman. Ketika saya memasuki alam sekolah rendah pada umur 7 tahun, ayah saya menghantar saya ke Sekolah Rendah Islam Hidayah(SRIH), Senai, Johor. Saya belajar di situ sehingga darjah 6, yakni dari tahun 1996-2001. Kemudian, apabila saya menjejak ke alam sekolah menengah, ayah saya telah menghantar saya ke Utara Malaysia, belajar di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis. Di MATRI, saya belajar sehingga tingakatan enam atas, yakni dari tahun 2002-2008. Kemudian, apabila tiba masa ke universiti, untuk pertama kali dalam hidup saya, saya memilih tempat pengajian saya sendiri, itulah dia tempat saya menuntut ilmu sekarang, University of Yarmouk, Irbid, Jordan dalam bidang Usuluddin.
Saya adalah anak sulung dalam empat orang adik beradik. Adik saya yang kedua kini berada di UiTM Seri Iskandar. Namanya Hilmi dan berumur 19 tahun. Adik ketiga saya, bernama Mus’ab, kini berada dalam darjah enam di SRIH, berumur 12 tahun. Akhir sekali, satu-satunya adik perempuan, merangkap adik bongsu saya, Nusaibah, berumur 11 tahun, dan kini belajar di SRIH dalam darjah lima. Setiap kami ada personaliti masing-masing. Jadi, saya ingatkan awal-awal, jangan banding membanding antara kami, jika tidak, anda akan kepeningan.
Nama penuh ayah saya adalah Abd Razak bin Kaprawi. Sekarang, ayah saya bekerja sebagai Pensyarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim. Kalau saya tidak silap, tahun ini umurnya adalah 46 tahun. Ibu saya pula, bernama Sophia bt Hj Salleh. Umurnya muda setahun dari ayah saya. Jadi, kalau ayah saya 46, maka ibu saya adalah 45 tahun. Dia bekerja sebagai Pegawai Penilaian di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah.
Saya dilahirkan di Hospital Batu Pahat, Johor. Kampung ayah saya berada di Parit Raja, Johor. Kampung ibu saya berada di Ayer Hitam, Johor. Semasa saya lahir, keluarga saya tinggal di Api-Api Pontian. Kemudian, ketika penghujung umur saya empat tahun, kami berpindah ke Taman Sri Skudai, Johor. Ketika saya darjah dua, kami berpindah ke Taman Teratai, Johor. Kemudian, ketika saya Tingkatan dua, keluarga saya berpindah ke Taman Sri Pulai Perdana, Johor. Dan insyaALLAH, pada tahun ini(2009), keluarga saya akan berpindah lagi ke Taman Pulai Utama, Johor.(saya memang orang Johor pure… tetapi sebab studi kat negeri orang lama lagi dari studi negeri sendiri, maka memang tak nampak la saya ni orang johor)
Sekarang ini, saya suka dengar bacaan Al-Quran oleh Sheikh Solah Al-Budair. Kemudian, saya amat berminat dengan nasyid-nasyid segar yang dilagukan oleh Outlandish dan Sami Yusuf. Baru-baru ini, saya meminati beberapa lagu jepun yang didendangkan oleh kumpulan kanak-kanak negeri matahari terbit itu. Kumpulan itu bernama Hey! Sey! JUMP.
Saya suka makan masakan masak lemak, disertakan dengan satu menu masakan masak sambal. Paling suka Pucuk Kayu Manis Masak Lemak Cili Api(isteri saya kena belajar masak ni, daripada ibu saya) dan ayam masak sambal(pun isteri saya kena belajar daripada mak saya). Minuman kegemaran, dulu saya akan cakap Jus Epal, tetapi baru saya tahu, Jus Mangga Asli amat sedap(Sudah berubah rasa).
Saya ada nombor kesukaan saya. Itulah dia nombor 9. Saya suka juga dengan nombor 1, 3, 7 dan 11. Juga berminat dengan infiniti.
Mula serius menulis semenjak masuk tingkatan enam. Mula menulis blog semenjak pertengahan tahun 2007. Mula mempunyai website semenjak awal bulan Mac tahun 2009. Pencapaian dalam penulisan setakat ini adalah telah ada 4 buku yang diterbitkan.
1. Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita
2. Novel VT
3. Novel Relasi
4. Novel Terasing
Alhamdulillah, setakat ini, semuanya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Apa lagi agaknya yang hendak orang tahu fasal saya?
Oh ya, saya ini adalah HAMBA kepada DIA…
Saya rasa, setakat itu sahaja ta’aruf kita.
Selebihnya, anda boleh kenal saya melalui penulisan saya yang lepas, dan juga akan datang.
Kalau ada apa-apa yang hendak tanya lagi, silakanlah. ini ruang ta'aruf…
Semoga ALLAH redha dengan kita semua.