Langit Ilahi Rotating Header Image

Hendak derhaka?

hendak menderhaka?

hendak menderhaka?

Bagi manusia, ayat menderhaka ini sensitif. Ia menunjukkan bantahan, tidak bersetuju dan ingin menentang kembali. Biasanya, derhaka ini kita pakai apabila seseorang yanng kedudukannya lebih rendah, ingin menentang seseorang yang kedudukannya lebih tinggi. Contoh, anak yang derhaka dirujuk kepada anak yang membantah ibu bapanya. Contoh lain, rakyat yang derhaka dirujuk kepada rakyat yang membantah titah sultannya.

Kalau di dalam bahasa arab, derhaka disebut ‘asi.

Manusia memandang buruk anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya. Manusia juga akan mengutuk tindakan rakyat yang derhaka kepada sultannya. Apa sahaja jenis penderhakaan golongan bawah kepada golongan atas, akan kelihatan buruk di mata manusia.

Tapi, bagaima agaknya manusia memandang penderhakaannya kepada ALLAH SWT?


Di dalam sejarah melayu, kita mempunyai beberapa kisah penderhakaan rakyat kepada sultan. Contoh yang paling popular adalah penderhakaan Jebat kerana menuntut bela sahabatnya Hang Tuah, yang disangka mati dibunuh dengan tidak adil oleh Sultan. Kita ingat sejarah-sejarah ini. Hatta rakyat yang ‘menderhaka’ kepada inggeris turut kita ingat. Semuanya diajar di dalam buku sejarah, agar kita tidak mengulanginya.

Memang, manusia perlu belajar dari sejarah untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Di dalam Al-Quran, ALLAH SWT telah menukilkan kisah-kisah kaum yang derhaka kepadaNya. Kaum Nabi Nuh, Kaum ‘Ad yang diseru oleh Nabi Hud, Kaum Thamud yang diseru oleh Nabi Soleh, Kaum Madyan yang diseru oleh Nabi Syu’aib, Kaum Babylon yang diseru oleh Nabi Ibrahim, Kaum yang diseru Nabi Lut, Bani Israel yang diseru oleh Nabi Musa dan Nabi Harun.

Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar dan mereka adalah orang-orang yang zalim. (Al Ankabut: 14)

Kaum Luth pun telah mendustakan ancaman-ancaman ( Nabinya ). Sesungguhnya KAMI telah menghembuskan kepada mereka angin yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka ), kecuali keluarga Luth. Mereka KAMI selamatkan di waktu seelum fajar menyingsing. Sebagai ni”mat dari KAMI. Demikianlah KAMI memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya dia ( Luth ) telah memperingatkan mereka akan azab-azab KAMI, maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu. ( Al Qamar 33-36 )

Adapun kaum ‘Ad maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa. Adapun kaun Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kaum ‘Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul pohon korma yang telah kosong(lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal diantara mereka. ( Al-Haaqqah: 6-8)

Kaum Tsamud pun telah mendustakan ancaman-ancaman itu. Maka mereka berkata: “Bagaimana kita akan mengikuti saja seorang manusia (biasa) diantara kita?. Sesungguhnya kalau kita begitu benar-benar berada dalam keadaan sesat dan gila”. Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya diantara kita ?. Sebenarnya dia adalah seorang yang amat pendusta lagi sombong. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya amat pendusta lagi sombong. ( Al-Qamar: 23-26)

(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka KAMI membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan KAMI Tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim( Al Anfal 54).

Kisah-kisah mereka ini, tidak disebut sekali sahaja di dalam Al-Quran. Jika kita membaca Al-Quran dari hadapan hingga belakang, kisah kaum-kaum ini disebut beberapa kali. Untuk apa? Untuk kita lihat, merasakan kepentingan, betapa buruknya akibat mereka yang menderhaka kepada ALLAH SWT.

Namun siapakah yang pernah kisah jika dia menderhaka kepada ALLAH?

Kadangkala, orang yang menderhaka kepada ALLAH inilah yang terasa bila melihat seorang anak menderhaka kepada ayahnya, atau seorang murid kurang ajar kepada gurunya. “ Eh, kamu ni boleh tak ikut cakap bapa kamu? Kamu ni kenapa kurang ajar dengan cikgu?” Tetapi dia sedikit pun tidak terasa apabila dirinya menderhaka kepada ALLAH SWT. Tak pernah pun dia kata: “ Ish, aku ni dah kurang ajar pada ALLAH ni…”

ALLAH beri pelbagai nikmat, ALLAH beri pinjam itu ini percuma, tetapi sebagai balasan, kita menderhaka kepadaNya. Adakah perangai kita yang menderhaka kepada ALLAH ini tidak dikira sebagai kurang ajar? Tidakkah kita ini telah jatuh ke satu tahap yang buruk?

Namun hari ini, manusia menyebar-nyebarkan pula penderhakaan kepada ALLAH. Penderhakaan kepada ALLAH itu dipandang baik, bagus, terkehadapan, arus terkini dan sebagainya.

Siapa yang rajin ke masjid akan dipandang pelik: “ Kau ni, masjid tu tempat untuk orang tua sahaja”

Siapa yang pakai tudung labuh menutup aurat dengan sebaiknya diejek: “ Ish, kuno la kau ni. Nak jadi hantu berselubung ke?”

Siapa lelaki yang tiada teman wanita, atau wannita yanng tiada teman lelaki dikutuk-kutuk: “Kau ni gay/lesbian ke hapa tade pakwe/makwe ni? Ish, ish”

Siapa yang mengajak kepada kebaikan ditengking-tengking: “ Kubur lain-lain la bro. Kau kisah apa hidup aku?”

Siapa yang hendak taat pada ALLAH, pada ajaran Rasulullah SAW, dipandang dengan jelek: “ Sistem ini dah tidak relevan, tidak dapat bersaing dengan kemajuan dunia hari ini”

Manusia tidak memandang buruk langsung penderhakaan kepada ALLAH. Menderhaka kepada mana-mana manusia dipandang dengan sebegitu besar. Hatta kadangkala, ibu bapa yang zalim kepada anak pun dipertahankan jika anak ibu bapa itu bangkit membela dirinya. “ Kau budak lagi tahu apa? Hendak jadi anak derhaka kah?”

Walaupun zalim, tetap tidak boleh disanggah.

Tetapi bagaimanakah ALLAH? Adakah DIA zalim kepada kita? Adakah DIA membenci kita? Adakah DIA tidak kasihkan kita? NikmatNya tidak terkira banyak. DIA memberikan kita nyawa, akal, hati, ruh, anggota tubuh, perasaan, keluarga, kawan-kawan, ilmu, bumi untuk tinggal, bintang-bintang indah, sistem putara orbit, sistem-sistem lain, oksigen, kitaran udara, dan pelbagai lagi pinjaman nikmat tanpa ada bayaran deposit. Yang perlu kita buat dengan harta pinjaman ini adalah menggunakan dengan sebaik-sebaiknya. Semua ini adalah pinjaman yang percuma. Pinjaman, bukannya hak milik kekal.

“ Apakah kamu mengira, KAMI menciptakan kamu hanya untuk bermain-main? Dan kamu kepada KAMI tidak dikembalikan?” Surah Al-Mu’minuun ayat 115.

Jadi, kenapa kita derhaka kepada ALLAH? Kenapa kita ringan-ringankan solat? Kenapa kita berbohong? Kenapa kita benci sistem yang Rasulullah SAW bawa? Kenapa kita menghina mereka yanng membawa kebenaran? Kenapa kita berbuat perkara yang ALLAH larang? Kenapa? Kenapa? Apakah sebab kita untuk derhaka kepada ALLAH? Adakah ALLAH zalim kepada kita?

“ Sesungguhnya ALLAH itu tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri” Surah Yunus ayat 44.

Layakkah kita hendak menderhaka kepada ALLAH?

Dalam keadaan manusia hidup dengan penuh kurang ajar ini pun, ALLAH SWT masih memberikan peluang. Perasan kah anda, bila anda berbuat dosa, anda tidur, kemudian anda masih dibangunkan semula? ALLAH tidak mematikan anda bukan? ALLAH tidak menutup pintu taubat anda bukan?

Bagaimanakah agaknya anda membayar kasih sayang ALLAH SWT?

Dengan penderhakaan?

Kita ini hebat sangat kah?

Marilah kita muhasabah dengan penuh rasa kerdil, sama-sama kita lihat kembali diri kita, dan koreksi segala dosa dan salah silap kita. Sesungguhnya ALLAH SWT itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Print This Post Print This Post

5 Comments

  1. saya says:

    artikel yg menunjukkan realiti masyarakat zaman kini..
    apabila seorang rakyat mohon untuk derhaka pada sultan..isu ini digembar-gemburkan sehingga cerita ini mampu dimanipulasikan hingga menjatuhkan maruah dan memalukan sesetengah pihak..tanpa mereka(org yg memalukan sesetengah pihak yg lain itu) bahawa perbuatan mereka itu sendiri telah melanggar perintah Allah agar menutup aib dan tidak menyebarkn perkara2 yg mereka tdk berapa pasti tntgnya dan tidak menfitnah saudara seIslam yg lain…bukankah itu telah MENDERHAKA PADA ALLAH namanya???

    sama2 muhasabah wahai sekalian hamba ALLAH…

    [Reply]

  2. Mizzhazzi says:

    yaAllah..
    betapa kerdilnya aku di sisi Mu..

    [Reply]

  3. -insan- says:

    assalamualaikum wbt

    satu peringatan yang baik tatkala manusia masa kini makin jauh dari peraturan Allah..benarlah kata Rasulullah, umat Islam pada akhir zaman ibarat buih-buih akibat terpengaruh dengan sikap ‘wahan’ (cintakan dunia dan takutkan akhirat)

    semoga kita sentiasa bersyukur dan patuh pada arahanNya dan menjadi anak2 yang soleh dan solehah..agar kita tidak derhaka pada Allah mahupun ibu bapa kita

    [Reply]

  4. hidayah says:

    Ya ALLAH jadikan aku seorang ank yg solehah…amin…..

    [Reply]

  5. kembar says:

    samasama mendoakan semua berubah menjadi solehah dan soleh insyaALLAH :wink:

    [Reply]

Leave a Reply