
hidup, biar sampai hujung
Mati, tiada siapa tahu bila. Hidup, memang kita tengah hidup. Hidup dan mati, kedua-duanya pasti. Mati itu kepastian, dan hidup itu satu kebenaran.
Mati, segala amal sudah berhenti dikira. Mati ibarat gerbang, bila kita melepasinya, maka kita tidak akan mampu berpatah balik, tertutupnya gerbang itu maka tertutup segala peluang amal dan taubat. Bila mati, tiada apa yang mampu kita lakukan, tiada ikhtiar dan tiada pilihan. Semuanya akan bergerak dengan apa yang ALLAH aturkan untuk kita 100% tanpa diberikan lagi peluang kepada kita untuk berusaha mencapai sesuatu.
Tapi, ada manusia, dia mati sebelum mati.
Dia tidak hidup dengan sebenar-benar kehidupan sehingga dia dipanggil pergi.
Dia telah mati, sebelum nyawanya ditarik ILAHI.
Dan mereka adalah orang yang rugi.
ALLAH memberikan kita 24 jam dalam sehari. Rasulullah SAW, hidupnya juga dalam had masa ini. 24 jam sehari, diberikan kepada semua sama rata. Bayi, budak kecil, remaja, pemuda, orang tua, lelaki mahupun perempuan, semuannya mendapat waktu yang sama panjangnya.
Namun, jika kita teliti kehidupan kita, kita dapat melihat perbezaan kualiti kehidupan antara manusia.
Saya pernah jumpa seorang bisnesman yang mempunyai 8 perniagaan dalam satu masa. Tapi dia dapat hidup dengan baik, sempat meluangkan masa bersama anak-anak, malah sempat pula menghadiri kuliah-kuliah agama.
Saya juga pernah bertemu dengan seorang manusia yang mempunyai satu karier sahaja, tetapi dia tidak punya masa dengan anak-anaknya, malah kariernya yang satu itu tidak terurus. Dia juga tidak sempat meluangkan masa untuk pengisian jiwanya.
Kedua-duanya diberi 24 jam sehari. Tetapi kenapa seorang kelihatan teramat lapang walaupun kerjanya banyak, dan seorang lagi kelihatan teramat sempit walaupun kerjanya sedikit?
Hal ini kerana, yang orang yang pertama dia benar-benar hidup dengan kehidupannya. Sedangkan orang kedua dia telah mematikan dirinya sebelum kematiannya.
Sehari ada 24 jam, dan orang yang pertama menyusun kehidupannya dengan kemas. Dia sudah tetapkan masa kerjanya dari bila sampai bila, dia sudah tetapkan masa dia bersama anak-anaknya dari bila sampai bila, dan begitulah dia menyusun masanya dalam segenap kehidupannya.
Orang yang kedua, dia mempunyai banyak masa lapang sebenarnya, tetapi dia sia-siakan dengan pelbagai perkara yang tidak membawa makna kepadanya. Masa lapangnya dihabiskan dengan bermain, tidur dan melakukan perkara yanng tiada kena mengena dengan urusan kerja, keluarga, mahupun akhiratnya. Akhirnya dia tidak mencapai apa-apa.
Setiap hembusan nafas kita, bukannya semakin panjang umur kita, berlalu setiap detik, bukannya semakin lama kita hidup, tetapi semakin pendek umur dan waktu kehidupan kita. Hembusan nafas takkan kembali, dan detik yanng berlalu takkan datang lagi.
“ Telah semakin dekat waktu itu(kiamat) dan bulan pun terbelah…” Surah Al-Qamar ayat 1.
Saya sering tertanya-tanya, bagaimana Rasulullah SAW, seorang manusia, yang masanya juga 24 jam seperti kita, menyandang tugas sebagai Rasul ALLAH, suami kepada 9 orang isteri dalam satu masa, bapa kepada anak-anak, datuk kepada cucu-cucu, sahabat kepada sahabat-sahabat, pemimpin kerajaan ISLAM Madinah, ketua kepada banyak siri peperangan, pendakwah kepada ummah, tetapi dia boleh menjalani kehidupannya dengan baik, teratur, tanpa tekanan dan stres.
Saya kira, ALLAH telah menyusun kehidupan Rasulullah SAW ini, dengan satu kehidupan yang amat cantik. Baginda adalah manusia paling sibuk dalam dunia, namun baginda tidak sedikitpun kelihatan seperti orang sibuk. Kehidupan baginda tenang, tidak serabut dan sentiasa teratur. Tidak pernah saya jumpa hadith yanng menyatakan Rasulullah SAW ini ke sana ke mari bergegas-gegasan, tidak pula ada hadith Rasulullah SAW ini bergerak dalam keadaan tergopoh gapah, tiada juga hadith Rasulullah SAW ini berkerut dahinya memikirkan masalah itu dan ini. Yang ada adalah hadith-hadith menggambarkan karisma baginda menghadapi setiap masalah, ketenangan baginda dalam menempuh hari-hari perjuangan, dan kaliber baginda dalam menguruskan pelbagai permasalahan.
Rasulullah SAW ternyata qudwah terbaik manusia, untuk mereka yang inginkan kehidupan yang benar-benar hidup, sebelum mati yang sebenar-benar mati.
“ Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, bagi sesiapa yang inginkan ALLAH dan hari akhirat…” Surah Al-Ahzab ayat 21.
Apakah kunci untuk mencapai makna kehidupan sebegini?
Keimanan kepada ALLAH SWT. Keyakinan bahawa kita ini akan kembali kepadaNya, dan setiap detik dalam kehidupan kita akan dihitung olehNya, membuatkan kita akan rasa bahawa, kita tidak boleh membazirkan hayat kita sewenang-wenangnya. Setiap masa perlu ada kualiti di dalamnya, setiap kerja perlu ada manfaatnya.
“ Dan barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dikira, dan barangsiapa yang mengerjakan keburukan walau sebesar zarah akan dikira” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Saya yakin, manusia-manusia yang berjaya seperti Abu Bakr RA, Umar RA, Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fatih, Hassan Al-Banna, dan banyak orang lagi, mereka adalah manusia yang mempunyai kefahaman seperti ini.
Tidak hairan lah, Usamah bin Zaid RA, ketika umurnya 18 tahun sudah dipilih memimpin bala tentera menentang Rom. 18 tahun hidupnya, setaraf dengan 50 tahun kehidupan kita. 18 tahunnya, adalah 18 tahun yang terisi. Tidak hairan juga bagi kita, Imam Asy-Syafie Rahimahullah, mampu menghafal Al-Quran pada umur 7 tahun, menghafal kitab Al-Muawatta’ Imam Malik pada umur 10 tahun, dan mengeluarkan fatwa pada umur 15 tahun. Hal ini kerana, kehidupannya benar-benar satu kehidupan yang tidak terisi dengan ‘kematian’.
Kita, apakah yang kita capai ketika umur kita 30 tahun?
Perasankah anda sekarang, kenapa ALLAH bersumpah dengan masa, dalam membicarakan kerugian manusia?
“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian…” Surah Al-Asr ayat 1&2.
Marilah kita hidup dengan sebenar-benar kehidupan sampai kita bertemu dengan kematian yang sebenar-benarnya.
Hidup, biar sampai mati.
Jangan mati sebelum mati.





Betul.
Bak Pendapat Saidina Ali
“Beruntunglah orang yang hidupnya hari ini lebih baik dari semalam dan celakalah orang yang hidupnya hari ini lebih buruk dari semalam.
Manusia sering bermain dengan masa, namun sering juga masa terlepas dari genggamannya sendiri.
Imam Al Ghazali menyatakan yang paling jauh itu adalah masa yang berlalu dan tidak kembali lagi.
[Reply]
Assalamualaikum..
MasyaAllah..
Peringatan yang sangat baik, sekilas saya membacanya, mudah menusuk hati dan akal fikir..Betul lah, hanya hati yang dapat menyentuh hati..
syukran jazilan atas perkongsian hikmah ini..
[Reply]
Biar pun jasad di uji hebat.
Jangan Kau biarkan hati ini mati Ya Allah.
[Reply]
Salam,
motivasi yang baik utk kita semua. InsyaAllah usaha utk teruskan bekerja dan menyeimbangkan ibadah kepada Allah, syukran.
[Reply]
artikel yg amat bermakna… syukran…
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada Nur Khamis,
masa, ternyata amat berharga bukan?
terima kasih atas penambahan dalilnya.
kepada ijja1912,
ALLAH jugalah yang sebenarnya membuka hati manusia.
Sama-samalah kita bersyukur kepada-Nya.
kepada darin.ulfah,
Amiin…
kepada Hatimzikri,
Kerja itu juga satu ibadah. Ikhlaskan niat, tetapkan matlamat, bergerak atas neraca syara’, insyaALLAH, ALLAH akan bantu dan kira setiap amal.
Semoga ALLAH redha.
kepada Kak Nadhilah,
semoga ALLAH memberikan kesan yang mendalam kepada kita semua…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
salam perjuangn….peringatan yg sgt bermanfaat….
[Reply]
smoga berjaya dunia dan akhirat
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada Iq,
sama-sama kita mengambil manfaatnya…
kepada keluarga,
ye, terima kasih atas doanya…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]