
Ikhtilat dengan sepupu? Usulnya tetap sama... Keimanan kepada ALLAH sebagai perlembagaan kita.
Selapas saya menulis artikel ‘ Bila kamu bising fasal ikhtilat’ sekitar bulan lepas, ada beberapa orang bertanya kepada saya berkenaan bagaimana pula hubungan dengan sepupu yang berlainan jantina.
Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk mencari jawapan.
Bukanlah kerana saya tidak tahu jawapannya. Tetapi saya berfikir bagaimana hendak menceritakan kepada pembaca agar pembaca mudah memahaminya dan boleh menerimanya.
Akhirnya, yang saya cari telah saya jumpai.
Maka, marilah kita sama-sama melihat, dan muhasabah kembali hubungan-hubungan kita dengan manusia yang kita sayangi.
Sebahagian orang, sepupu sudah dianggap macam adik beradik sendiri. Bagi manusia yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan keluarga pakcik dan makciknya, kemungkinan dia tidak terasa akan hal ini. Namun, bagi yang membesar bersama sepupunya, atau pun hubungan antara mereka amat erat semenjak kecil, maka ini adalah satu perkara yang perlu diperhatikan.
Pokoknya, hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, hukumnya adalah sama walau apa pun kondisinya. Hukumnya adalah haram.
Namun haram di sini tidak bermaksud untuk kita jauhi perkara itu dalam semua perkara.
Terdapat beberapa situasi yang membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Contohnya ketika pembelajaran, perniagaan, dan urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan.
Namun, urusan-urusan itu pula tidaklah membenarkan kita untuk berlebih-lebihan dalam pergaulan.
Contoh mudah saya ambil adalah guru perempuan dengan murid lelaki. Bukanlah tidak dibenarkan guru perempuan mengajar murid lelaki, tetapi guru perempuan yang hendak mengajar murid lelaki mestilah berpakaian sopan menutup aurat, tidak menghairahkan, dan tidak pula berlebih-lebihan dalam hubungannya dengan murid-murid lelakinya. Dia tidak pula sengaja menyentuh murid lelakinya atau membuat gerakan menggoda, melembut-lembutkan suara dan sebagainya. Murid lelaki pula, tidak la mengkhayalkan diri terhadap guru perempuannya dan tidak pula sengaja menganggu guru perempuannya seperti menngeluarkan perkataan-perkataan lucah dan sebagainya.
Contoh lain adalah semasa jual beli. Kemungkinan pembeli adalah lelaki dan penjual adalah perempuan. Maka, urusannya adalah jual beli. Tamatkan urusan jual beli itu dengan segera. Jangan dileret-leretkan dengan perkara yang tidak berkaitan.
“ Tak boleh ke bertanya khabar?” Akan ada orang bertanya sedemikian.
Tiada masalah untuk bertanya khabar, selagi mana pertanyaan itu tidak menimbulkan fitnah.
Kalau sekadar bertanya dengan niat untuk menjaga hubungan kemasyarakatan, ambil berat, maka itu bukannya masalah. “ Apa khabar Kak Pah? Untung berniaga hari ini?” Maka tiada masalah. Atau bertanya: “ Anak-anak Kak Pah macam mana? Sihat?” Tiada masalah.
Yang masalahnya kalau tanya macam ini: “ Hai Kak Pah, duduk sorang je? Nak saya teman kan?”
Tak pun sengaja cari fasal nak bersentuh kulit dengannya. Maka itu masalah.
Dalam apa urusan pun, walaupun urusan itu tidak boleh dielakkan seperti mesyuarat, pembelajaran dalam kelas, urusan jual beli, tetap syara’ itu perlu dijaga. Lelaki tidak la pula gatal memandang perempuan dari atas hingga ke bawah dan perempuan juga begitu. Masing-masing berusaha menyelesaikan urusan dengan syara’ yang terjaga, dan tidak disertai pengingkaran terhadap hubungan lelaki perempuan yang telah ditetapkan ALLAH SWT.
Sesungguhnya, ALLAH SWT itu Maha Tahu setiap apa yang hendak kita kerjakan.
Berbalik kepada hal sepupu tadi.
Maka dengan sepupu juga begitu. Tiada masalah kita nak bersembang dengan sepupu semasa balik kampung, atau semasa berziarah ke rumahnya. Rumahnya yakni rumah makcik kita.
Kalau sepupu kita itu duduk rumah sewa, berseorangan atau bersama teman perempuannya, maka itu tidak la dibenarkan. Hal ini kerana, antara syarat berurusan lelaki dan perempuan bukan mahram adalah tidak menimbulkan fitnah. Kalau fitnah timbul maka itu adalah masalah.
Kenapa sembang di rumah mak sepupu kita boleh, tetapi kalau kita nak pergi rumah sewa dia yang dia tinggal seorang atau bersama teman perempuan dia tak boleh?
Memang la. Siapa nak bising kalau kita pergi rumah perempuan yang ada mak dia? Ini pakai logik pun orang tahu. Jangan kata sepupu, hatta perempuan yang bukan sepupu kita pun, kalau kita pergi rumah mak ayah dia, dan dia pula ada ketika itu, maka itu tidak lah menjadi fitnah dan itu bukanlah satu kesalahan. Kalau kamu pergi keluar makan dengan perempuan, dalam pada masa yang sama abang perempuan itu ikut, siapa nak kata apa-apa pada kamu?
Namun, macam yang diperkatakan tadi, setiap urusan mestilah dijaga dengan syara’.
Pokoknya, ikhtilat dengan sepupu ini bukanlah satu masalah.
Jaga perkara usul, seperti jangan bersentuh kulit. Ha, jangan pergi cari fasal nak salam sepupu yang tak sama jantina pula. Waktu sembang, sengaja nak bertepuk tampar. Ini masalah la.
Perkara lain adalah seperti menjaga aurat. Sepupu dengan sepupu, aurat masih perlu dijaga. Jangan kata itu sepupu kita, kita boleh buka aurat. Rapat macam adik beradik pun tak boleh. Yang bukan mahram tetap bukan mahram. Jadi yang perempuan, pakailah pakaian labuh, menutup aurat, bertudung di hadapan sepupu lelaki. Yang lelaki pula, jangan selamba dek je pakai seluar pendek atas lutut nampak pusat depan sepupu perempuan.
Bila bersembang, jangan pula berlebih-lebihan. Sembang dalam keadaan adab terjaga. Walaupun kita dikelilingi saudara mara yang lain, sembang dengan penuh adab. Tanya khabar, bertukar cerita kehidupan di universiti, sekolah dan sebagainya, maka itu bukan masalah. Sepupu adalah keluarga kita juga, jadi kehidupan dia perlu kita ambil berat juga. Nak ucap tahniah kalau dia berjaya, maka itu tiada masalah. Yang masalahnya kalau ada niat yang tidak baik, memang sengaja sembang sebab nak mengorat dan sembang perkara yang tidak syara’.
Kemudian, jangan pula duduk berdua-duaan. Ini memang pantang la. Beringat-ingat sikit.
Kemudian orang tanya: “ YM dengan sepupu boleh ke?”
Tanya saya soalan yang ni, saya akan jawab, jangan kata dengan sepupu, dengan sesiapa pun boleh. Tetapi kita kena ingat, pokoknya, kena jaga syara’. Cuba soal diri, apa yang kita nak sembangkan?
Saje-saje tanya khabar je. Erat silatur rahim, jaga hubungan kemasyarakatan. Ok. Tak ada masalah. Lepas tanya khabar, kamu nak sembang apa?
Kongsi-kongsi cerita. Kamu nak kongsi cerita apa? Kenapa tak fasal-fasal kamu nak kongsi-kongsi cerita dengan yang bukan mahram kalau tak ada apa-apa?
Ha, cuba fikir panjang sikit bila nak mula sembang dengan yang bukan mahram.
Pokoknya, kamu soal diri kamu balik, kenapa kamu nak sembang dengan yang bukan mahram?
Kalau kita kecilkan skop kepada sepupu tadi, ada logik lagi bersembang dengan sepupu. Nak kongsi cerita fasal kampung, nak kongsi cerita fasal pelajaran, tanya keadaan pakcik makcik. Itu tak ada masalah la. Itu pun kalau betul sembang fasal benda yang saya tulis. Tapi kalau sembang dengan niat memang nak bermadu asmara, maka di situ ada masalah.
Kita besarkan skop kembali. Jadi, dengan yang bukan mahram dan bukan pula sepupu, ha, kamu nak cakap fasal apa?
Saya akui, ada sahaja urusan yang kadang-kadang nak tak nak kita kena hubungi, berYM dengan yang bukan mahram. Ok, tak ada masalah. Tetapi selesaikan urusan itu dengan segera. Jangan kamu panjang-panjangkan. Jangan pula kamu selitkan perkara yang terkeluar dari urusan. Jangan pula kamu, selitkan dengan perkara-perkara yang berlanggaran dengan syara’. Sama macam kes guru kepada anak murid, dan penjual kepada pembeli tadi.
Pokoknya, kesimpulannya, kamu kena seimbangkan artikel ini dengan artikel yang saya tulis tempoh hari berkenaan ikhtilat.
Kita kena nampak bahawa kita perlu jaga diri kita, tundukkan pandangan dan cuba tutup lubang yang boleh menjadi peluang kepada syaitan untuk menyerang. Mudah cerita, kamu apply sahaja perkara-perkara ini dalam kehidupan. Tidak kira, kamu berhubungan dengan sepupu, mahupun bukan.
Nanti mesti ada yang tanya dengan saya: “ Kalau sepupu suruh bawak dia pergi mana-mana ke, macam mana?”
Ha… Sebenarnya, soalan-soalan macam ini senang sahaja. Yang kamu nak pergi dengan sepupu kamu tu sahaja kenapa? Cuba bawa sepupu-sepupu lain sama, atau ajak mak ayah ikut sekali, atau ajak mana-mana kawan yang thiqah(terpercaya) untuk join sekali. Cuba fikirkan jalan untuk tidak menjerumuskan diri menjadi sasaran kepada panahan-panahan syaitan.
“ Habis, kalau dia mengorat saya?”
Aiseh. So, kamu pilih la. Kamu suka ke dia? Kalau kamu suka, kamu cakap macam ini:
“ Saya suka kamu juga. Jadi kamu berhenti mengorat saya. Mari kita ambil jalan syara’”
Kalau kamu tak suka, kamu cakap je macam ini:
“ Maaf lah ya. Biar saya terus terang. Saya sebenarnya tak suka kamu buat macam ini. Saya tak suka pada kamu sebenarnya. Dan kalau saya suka kamu pun, saya tak suka buat benda yang ALLAH larang. Saya akan pilih jalan yang ALLAH suka.”
Habis cerita.
Masuk bab kena mengorat ni, saya nak ajak kita semua tengok kisah Nabi Yusuf. Nabi Yusuf ni, bukan kena mengorat lagi, tapi dah masuk tahap kena goda dengan Zulaikha. Zulaikha pakai nipis-nipis, pakai pula minya wangi harum semerbak, tutup pintu, kunci bilik tak mahu bagi Nabi Yusuf lari. Zulaikha ajak Nabi Yusuf untuk berasmara, tapi tahu apa yang Nabi Yusuf buat dalam keadaan tersepit itu?
Nabi Yusuf kata: “ Sesungguhnya aku takut kepada ALLAH”
Nabi Yusuf malah melarikan diri, dikejar oleh Zulaikha sehingga koyak baju belakangnya.
Nanti mesti ada kata: “ Alah, itu Nabi”
Em? Nabi je ke yang kena ikut perintah ALLAH? Nabi tugasnya membawa ajaran ALLAH untuk kita ikuti. Akhlak Nabi adalah qudwah kepada kita. Maka, sikap nabi tu perlu kita contohi. Saya rasa la kan, kalau sahabat-sahabat Rasulullah SAW dulu bagi alasan macam tu juga: “ Alah, itu Rasul” Maka tak akan ada la dalam dunia ni peribadi macam Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali dan sebagainya Radhiallahu’anhum Ajma’in. Mereka semua menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah.
Sebenarnya, pilihan di tangan kita. Nak taat kepada ALLAH atau nak ingkar. Kadang-kadang, kita tahu dah jawapan kepada permasalahan itu. Contohnya jawapan kepada permasalahan ikhtilat. Kita tahu dah jawapannya tak boleh. Tapi kita cuba juga cari bagi boleh. Kita nak juga cari alasan bagi boleh. Itu masalah lah. ISLAM dah rai fitrah manusia dalam keadaan terbaik. Maka, kita perlu la tunduk kepada segala apa yang telah ISLAM tetapkan.
Dasar hidup kita adalah ketaatan kepada ALLAH.
Apa sahaja yang menjauhkan kita daripada ALLAH SWT, akan cuba kita jauhi.
Sekarang, tanggungjawab saya menerangkan hal ini sudah selesai.
Alhamdulillah.
Kalau ada salah silap, saya minta tolong betul kan.
ps: Saya tak letak apa-apa dalil dalam hal ini. Hal ini kerana, segala dalil kamu boleh rujuk artikel ‘ Bila Kamu Bising Fasal Ikhtilat’





Many Thanks for the post~!
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada cahaya hidup,
sama-sama. Semoga bermanfaat.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
Salam saudara Hilal
Terima kasih diatas perkongsian ini
Selepas saya dan rakan saya membaca tazkirah saudara mengenai Ikhtilat dengan sepupu ni, kami mula berbincang sesama sendiri berkenaan, hubungan seorang anak saudara perempuan dengan pakciknya (yang bukan adik beradik kepada Ayah atau Ibu nya)…kami mula mencari bahan rujukan di internet juga berkenaan hukum ini…Tapi masih tak berapa pasti…
Bila berjumpa dengan pakcik2 tersebut (yang berkahwin dengan makcik kami, adik beradik sebelah Ayah ataupun Ibu) kami bersalam dengan mereka seperti biasa sebagai tanda menghormati beliau…
Adakah itu dibolehkan?….Sebab mereka bukanlah sedarah atau sedaging dengan Ibu ataupun Ayah kami…
Tapi saya mula merasakan yang ianya tidak boleh…
Saya dan rakan mengharapkan penjelasan dari saudara Hilal berkenaan kekeliruan ini…
Terima Kasih…
[Reply]
Alhamdulillah….
Sepupu2 perempuan semuanya menjaga batasan2 pergaulan antara sepupu…
tp sepupu2 lelaki dlm bab pemakaian… buat mcm rumah sendiri… wal hal berada di kg bersama sanak saudara yg lain… huhu…
Kpd Noor Faiza,
sepanjang pengetahuan sy mmg tak boleh… n alhamdulillah..
sentiasa menjaganya… tp kan… kalo pakcik or makcik (tuk yg lelaki) yg mghulurkan salam dulu??
Wassalam…
[Reply]