Langit Ilahi Rotating Header Image

Islam: Islam Sebagai Penyelesaian 3

Islam, penyelesaiannya berkesan, dan paling berkesan...

Islam, penyelesaiannya berkesan, dan paling berkesan...

Kita sampai ke bahagian terakhir, tajuk Islam Sebagai Penyelesaian. Tajuk kali ini akan membawa pembaca melihat, kenapa iman itu dipilih menjadi target utama dalam projek Islam merubah manusia.

Kenapa Islam tidak memulakan penyelesaian dengan menakhluk sebuah negara, kenapa Islam tidak melakukan penyelesaian dengan cara pantas seperti membuat pemberontakan atau dominasi ekonomi.

Kenapa, Iman menjadi target Islam yang pertama, tingkatan yang pertama, dalam menyelesaikan permasalahan hidup manusia.

Hal ini kerana, Islam menggunakan cara, bermula dengan usul, bukan dengan furu’. Yakni menyelesaikan permasalahan akar, bukan hanya mencantas cabang.

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’

Islam tidak memulakan da’wah dengan mengenegahkan permasalahan furu’ tetapi memulakannya dengan perkara usul (perkara asas atau dasar).

Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah SAW, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa,berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah SWT semata-mata.

Tegasnya Islam bermula dengan ‘aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang telah mereka nafkahkan. Katakanlah : Yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir (Surah al-Baqarah: ayat 219)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci): sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun(Surah an Nisaa’ ayat 43)

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat kejayaan.” ( Surah al-Maidah: ayat 90)

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Islam. Ketika ini, tiada pun arahan hukuman sebat. Hanya kenyataan bahawa arak itu dilarang, diharamkan dalam kehidupan insan. Tetapi anda tahu kah apa yang berlaku kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW, apabila ayat 90 Surah Al-Maidah turun?

Yang arak sedang berada di dalam mulut, segera menyemburkannya keluar. Yang sedang tertelan arak, segera memuntahkannya semula. Sedangkan, mereka adalah peminum arak tegar!

Kenapa dalam kepala mereka, mereka tidak berkata: “Alah, halal la yang ni. Ayat tu pun baru turun” ?

Kenapa? Jawapannya adalah, di dalam hati mereka, keimanan itu sudah terbina kukuh. Maka apa sahaja arahan daripada Allah SWT, adalah ringan bagi mereka, walaupun itu satu tabiat yang telah berakar umbi dalam kehidupan mereka.

Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Rasulullah SAW, tidak mengeluarkan satu dinar pun hendak menghentikan masalah arak dalam kehidupan masyarakat Islam.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah SWT untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah SWT dalam Firman-Nya:

Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” (Surah al Imraan ayat 85)

Di sinilah saya ingin mengajak pembaca semua, dan diri saya melihat, kenapa Islam itu perlu kita ambil sebagai penyelesaian. Amat cantik sekali, Islam menyusun perubahan insan. Islam tidak berputar-putar menyelesaikan masalah cabang, yang akhirnya menangguh-nangguhkan penyelesaian masalah utama.

Islam, menyelesaikan masalah kehidupan kita, terus pada titik utama, yakni hati. Hati yang merupakan raja kepada seluruh tubuh badan manusia.

Selesai sahaja hati ini, maka selesai lah segala masalah lain.

“Hati adalah bejana. Islam mengisinya dengan iman. Bila iman yang menguasai jiwa, maka selesailah segala masalah yang menghambat manusia.”

Print This Post Print This Post

One Comment

  1. atul says:

    assalamualaikum….
    artikel yang menarik dan berkesan pada diri saya….tq..= )

    [Reply]

Leave a Reply