Taqwa. Nampak macam benda sampingan. Nampak macam teoritikal. Nampak macam tidak bermakna. Bila sebut taqwa, kita rasa macam taqwa ni satu benda yang jauh untuk dicapai, dan kita rasa ia satu benda untuk orang-orang yang khas sahaja. Pada sebahagian kita, kita rasa taqwa ini adalah sesuatu yang mustahil. Bila dikatakan bertaqwa, nampak macam ala-ala malaikat.
Jadi kita pandang enteng taqwa. Kita tidak mencarinya, tidak bersungguh mendapatkannya, tidak bergerak ke arahnya, dan tidak mempersiapkan diri kita dengannya.
Sedangkan, taqwa hakikatnya bukanlah terlalu jauh seperti yang kita sangka, dan tidaklah seenteng yang kita lihat sehingga boleh ditinggal begitu sahaja.
Dalam post Islam kali ini, saya nak berbicara perihal Taqwa. Moga Allah menyematkan ketaqwaan di dalam kehidupan kita.
Pengertiannya
Saya tidak mahu memberikan pengertian taqwa dari segi bahasa. Biar saya beri dari segi amal.
Suatu hari, Saidina Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ka’ab bin Malik:
“Wahai Ka’ab, apakah makna taqwa?”
“Apakah kau pernah melalu satu jalan penuh dengan duri wahai Umar?”
“Ya,”
“Maka apakah yang kau lakukan?”
“Aku sinsing kain jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati, agar jubahku tidak tercarik dek duri, dan kakiku tidak perpijak dengannya”
“Itulah taqwa”
Kita juga akan melakukan perkara yang sama apabila melalui situasi yang dikatakan Ka’ab bin Malik tadi. Kita akan berhati-hati, kita tidak mahu pakaian kita rosak, dan kita tidak mahu kaki kita tercedera. Keadaan kita semasa melalui situasi itu, menunjukkan definisi taqwa yang sebenarnya.
Kita melihat duri-duri itu sebagai apa yang Allah larang, apa yang Allah benci, apa yang Allah kata buruk, lantas kita mengawasi diri kita dari terpalit dengan keburukan itu, dan kita berhati-hati agar tidak terjerumus di dalamnya.
Itulah dia taqwa. Taqwa, adalah rasa berhati-hati tadi. Adakah ia sesuatu yang jauh?
Benih dan pokok kepada taqwa
Taqwa ini ibarat buah. Dan masalahnya di sini, buah taqwa ni kita tak boleh beli di pasar. Kita kena tanam sendiri benihnya, baja biar jadi pokok, bila berbuah baru kita dapat.
Benih taqwa adalah iman. Ya, apa-apa pun, iman. Kalau kita tidak yakin ada Allah SWT, kita tidak yakin pada balasan dan ganjaran-Nya, azab siksa-Nya, maka taqwa itu tidak akan muncul. Buat apa hendak ada taqwa, kalau kita tidak yakin pada Allah SWT dan segala janji serta ancaman-Nya?
Jadi, benih iman itu perlu disemai terlebih dahulu. Dari benih keimanan ini, akan menimbulkan satu pokok. Pokok ini bernama ‘Takut dan Mengharap’.
Dari keimanan, kita yakin dengan janji-janji Allah berkenaan syurga, kita mendambakannya, kita mengharapkannya. Dari keimanan juga kita yakintanpa ragu dengan ancaman-ancaman Allah SWT berkenaan neraka-Nya, kita takut, kita menjauhinya. Dengan keimananlah, tumbuhnya pokok ‘takut dan mengharap’.
Dari pokok ‘takut dan mengharap’ inilah munculnya Taqwa.
Seorang ulama’ ada berkata: “Manusia ini ibarat burung, ia terbang dengan dua sayap, yakni takut dan mengharap”
Dari ‘takut dan mengharap’ inilah, kita berhati-hati dalam segenap perkara, kita memilih sesuatu itu dengan baik, kita menjalani kehidupan kita dengan serius, kita mengamalkan Islam dengan baik. Kerana, kita takut kepada Allah, dan mengharapkan redha-Nya, maka kita akan buat apa sahaja yang Allah suruh, dan tinggal apa sahaja yang Allah larang.
Menimbulkan takut, menggapai taqwa
Di Malaysia, saya sering mendengar imam khotib jumaat menggunakan kalimah:
“Ittaqullah, fuusikum wa iyyaya bitaqwallah” Dan selama saya mula pergi solat jumaat sampai la saya pergi Jordan, 99% saya hanya mendengar ayat itu sahaja diulang.
Di Jordan, khotib menggunakan banyak jenis “taqu”.
Antaranya:
“Yaaihuyallazina amanuttaqullaha haqqatuqaatih”
“Yaaihuyallazina amanuttaqullaha wa quulu qaulan sadida”
“Yaaiyuhannaasuttaquu robbakum…” Dan banyak lagi.
Apa yang saya perhatikan, tidak kira di Malaysia, mahupun di Jordan, tidak kira ayat yang mana pun dipakai, apabila khotib menyebut ayat-ayat berkenaan taqwa ini, mereka akan menyebutnya dengan nada serius. Tidak pernah dalam hidup saya, seorang khotib apabila menyeru ayat taqwa di awal khutbahnya, dia bernada gembira. Melainkan saya rasa, kalau dia tak faham maknanya.
Taqwa, terselit di dalamnya makna ketakutan, kerendahan diri, kekerdilan kita sebagai hamba Allah SWT. Sebab itu, timbulnya pengharapan apabila kita bertaqwa. Kita rasa sempit, tiada nafas, tiada rezeki, sebab semuanya milik Allah, kita takut Allah tidak menghiraukan kita, maka kita berharap kepada-Nya. Kita takut, Allah lempar kita ke neraka dan memalingkan wajah-Nya daripada kita, maka kita berharap agar Allah memasukkan kita ke dalam syurganya. Kita takut, menyebabkan kita berhati-hati dengan kemarahan-Nya. Itulah taqwa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Andai kamu tahu apa yang aku tahu, maka kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”
Yakni tahu betapa dasyatnya azab siksa Allah SWT. Rasulullah SAW, mana pernah ketawa besar? Sehabis kuat pun tersenyum hingga menampakkan gigi geraham.
Ketakutan ini, kita buang ke mana?
Saya bertanya, adakah anda pernah rasa takut kepada Allah SWT?
Atau anda tidak pernah terfikir pun?
Bila anda lewat solat, bila anda buat dosa, bila anda lakukan maksiat, bila anda berbohong, bila anda mencuri, bila anda tidak menutup aurat, adakah anda merasa takut?
Atau anda kata dengan sambil lewa: “Ala, Allah maha pengampun, tape…”
Ada beza orang yang berkata “Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun” dalam keadaan dia berhati-hati menjaga diri dari dosa, kemudian terbuat dosa, tersungkur, berbanding dengan orang yang berkata, “Allah itu Maha Pengampun” tetapi tiada usaha menghalang diri dari melakukan dosa.
Ada beza. Bezanya usaha menjaga diri dari dosa. Agak-agak, yang mana lebih mudah Allah ampunkan? Yang mana lebih Allah senang mengampunkan?
Saya soal semula. Di mana ketakutan anda? Ketahuilah, tanpa ketakutan ini tidak akan datang pengharapan, tanpa takut, tidak akan muncul taqwa.
Penutup: Tanam benih iman, bajai pokok takut dan mengharap, tuailah buah taqwa
Ini bahagian satu. Bahagian satu ini, ibarat pengenalan kepada Taqwa, dan bagaimana hendak mendapatkannya.
Saya fikir, adalah baik andai kita muhasabah diri kita semula. Kita ini, takut tak pada Allah SWT? Pada saya, kehilangan ‘takut kepada Allah’ adalah sesuatu yang kritikal dalam kehidupan insan. Bila tiada takut, tiadanya taqwa.
Dan ketahuilah, takut kepada Allah itu berbeza. Kita semakin dekat dengan-Nya, bukan semakin jauh.
Dalam bab yang seterusnya nanti, akan saya bahaskan pula, apa kepentingan taqwa, dalil-dalil berkenaannya, dan kenapa taqwa ini perlu kita dapatkan semula.
Semoga Allah redha dengan kita, dan mencampakkan ketaqwaan di dalam diri kita.






Salam akh..
Penerangan yg simple dan mudah difahami..hanya ingin menambah dan berkongsi..
[36:61] dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.
Takut dan mengharap hanya padaNya yang satu..
[49:1] Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Tepuk dada..tanya iman..bersama kita muhasabah diri..dalam urusan seharian -berapa banyak yg kita mendahulukan Allah n rasul kita..dan berapa banyak yg kita mendahulukan hawa nafsu kita..
Bagaimana kita memenuhi janji-janji kita pada Allah yang kita sebut setiap hari dalam solat kita:
[6.162] Katakanlah: “Sesungguhnya salat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam,
[6.163] tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”.
Harapnya akhi anak bulan sudi mengupas isu manusia mudah lupa - sama ada sengaja atau tidak sengaja..dan isu syirik yg bagaikan semut yang hitam berjalan di atas batu dalam keadaan gelap malam..dalam gaya bahasa yg lebih santai
zaadakallahu ‘ilman waasi’an
[Reply]
Salam…
Semoga Allah redha dengan kita, dan mencampakkan ketaqwaan di dalam diri kita.
Ameen…
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada naml.ahmar,
alhamdulillah, terima kasih atas perkongsiannya. Perkongsian kamu pada saya amat bermakna. Berkenaan permintaan kamu, insyaAllah kita akan usahakan kalau ada kelapangan dan kemampuan.
kepada rieha,
Alhamdulillah, moga ketaqwaan itu tertanam kemas dalam jiwa kita.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
terima kasih atas perkongsian.ada persoalan ni..
1)Dan ketahuilah, takut kepada Allah itu berbeza. Kita semakin dekat dengan-Nya, bukan semakin jauh.
adakah maksud ayat ini,bila kita takut akan Allah,kita sebenarnya semakin dekat denganNya??
2) bila cth nya kita nak tidur,kita rasa teringat akan2 dosa yang kita buat semalam atau paling kurang pun dari pagi kita bgn tadi,kita rasa nak solat taubat.takut siksaan Allah.adakah itu dikira taqwa?
3)macam mana nak elakkan penyakit hati? paling tak sangat pun.akan terkutuk atau memang sakit hati dan akan bercakap psl orang yang kita sakit hati tu.macam mana tu?
[Reply]
shinju Reply:
June 11th, 2010 at 8:53 pm
bismillah..
persolan yg tlh lama ditinggalkan..kebetulan saya terjumpa artikel ni..sdg mencari sesuatu..terjumpa plak artikel ni..saya berminat utk mnjwb soalan saudara/i yg pertama..
khusyu’ dan khauf adalh 2 perkara yg berbeza.
khauf kpd Allah= perasaan takut yg menimbulkn keinginan utk lari, sedih, gelisah dan goncang.
khusyu’ kpd Allah= persaan takut yg dibungkus dgn cinta, ketakutan yg diiringi dgn mengagungkn Allah,ketakutan yg disertai kewibawaan Allah,mengagungkn Allah,memuliakan dan mencintai Allah.
(dipetik daripada buku “hati sebening mata air” amru khalid) dlm buku ni inshaAllah ada jawapn soaln2 yg saudara/i kemukakan..
takut yg dimaksudkn adalah khusyu’..yg membawa kita utk lebih mendekat kpd Allah..masakan kita takut dgn azab Allah lalu kita semakin menjauhiNya? pasti tidak..semakin takut (khusyu’) kpd Allah, semakin kita terasa perlu yg amat mendekat kpdNya… sekian wallahua’lam
[Reply]
Antara pengertian taqwa yang paling terkesan dihati dan InsyaAllah sentiasa berusaha menuju ke arah itu…dipetik dari blog ustaz pahrol- genta rasa..
“Siapa yang mampu mengukur takwa dan akhlak?”
“Payah sekali. Terlalu maknawi. Tetapi sekadar boleh diagak-agak.”
“Oleh siapa?”
“Oleh yang empunya diri.”
“Bagaimana?”
“Melalui rasa hati.”
“Bagaimana?”
“Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk bersedekah,” Pahrol Mohd Juoi
[Reply]
iman,
terima kasih.
mintak dapat berkongsi lagi kelak.
[Reply]
syukran…
baru mngerti apekah yg dimaksud dgn “takwa”..
smoge rase takut kte kpd Ya Rabbi makin bertambh dr hari ke hari n dpat mnghalang kte dr terus melakukan perkare yg dimurkai oleh Nya..
InsyALLAH….
[Reply]