
ah.. terjatuh
Semalam 13hb Mac. Semalam hari jumaat. Semalam hari yang barakah. Semalam juga, sepanjang website saya ditubuhkan, adalah merupakan hari terbanyak sekali pendatang. Sekitar 800 orang sehari. Semalam, hati saya gembira sangat, sebab saya tahu yang novel dan buku motivasi saya semakin hampir tarikh penerbitannya. Semalam, saya gembira sangat sebab Encik Zakaria Sungib meletakkan interview dia dengan saya di blognya, sekaligus menaikkan keyakinan pembaca kepada saya. Semalam, saya gembira sangat, sebab saya sudah mempunyai beberapa kawan arab yang baik, dan antaranya adalah taukeh kedai Chicken Centre.
Beberapa hari kebelakangan ini, semuanya perkara yang gembira sahaja. Hati saya benar-benar lapang. Saya seakan-akan sudah mula nampak hasil yang saya usahakan selama ini. Seakan-akan, ALLAH sedang menjawab segala doa-doa saya sebelum ini. Semalam boleh dikatakan hari yang amat gembira.
Tetapi, semalam, saya jatuh. Saya jatuh secara tiba-tiba selepas pulang dari makan tengahari di Chicken Centre. Hanya kesilapan kecil, saya terpijak di kawasan licin, yang mengikut kebiasaannya saya mampu menyeimbangkan tubuh, namun saya jatuh dengan menghempap bahu kanan saya sendiri.
Ketika saya jatuh itu, saya sedang bersembang sambil berjalan dengan sahabat saya yang bernama Sahel berkenaan penyebaran ISLAM dan muamalah kita dengan manusia. Saat itulah saya jatuh.
Sahel sebagai seorang sahabat, memang kelihatan pada wajahnya risau. Saya segera bangkit, dan huluran tangan Sahel membuatkan saya bangkit lebih cepat.
Kepala saya rasa blur sedikit. Selepas beberapa saat, baru saya kembali tenang. Terkejut jatuh sebegitu.
Perjalanan pulang ke rumah disambung semula dengan isu yang terhenti kerana jatuh. Namun fikiran saya menerawang kepada persitiwa jatuh tadi.
Saya muhasabah, kemudian saya dapat melihat sesuatu.
Dengan sengihan, saya berkata dalam diri, “ Ini adalah teguran.”
Sungguh saya tidak menyangka. Hari yang penuh kegembiraan itu, ALLAH selitkan satu teguran lembut kepada saya.
Memang, kita ini manusia. Bila gembira dan kebaikan datang bertimpa-timpa, syaitan akan mengambil peluang untuk memesongkan kita. Kegembiraan itu, akan syaitan gunakan untuk menyelit rasa angkuh, bongkak, dan takabbur.
Ternyata, sebelum itu semua menjengah, ALLAH terlebih dahulu memberikan teguran.
Saya dapat melihat, bahawa, sekuat mana pun pasak seseorang itu dalam kehidupan, bila ALLAH hendak menjatuhkan dia, maka dia tetap akan jatuh. Jatuh di sini bermakna uji. Pokoknya, kejayaan, pencapaian, itu semua adalah milik ALLAH dan anugerahNya. Kita ini hanya meneguk curahannya sahaja, kerana kita berusaha. Jadi segala kegembiraan sepatutnya kita pulangkan kepada ALLAH. Kerana daripada ALLAH jugalah segala perkara itu datang.
ALLAH SWT berfirman,
“ Sesungguhnya ALLAH adalah pencipta kepada semua perkara”
Hatta masa juga adalah makhluk ciptaannya.
Jadi, saya tidak sepatutnya lemas dalam kejayaan saya. Saya sepatutnya mengembalikan segala pujian kepada ALLAH untuk penerusan perjalanan yang lebih barakah dan bersih.
Alhamdulillah.
Jatuh. Itu memang satu teguran yang baik.
Alhamdulillah saya hanya jatuh begitu sahaja. Jatuh dalam bentuk fizikal. Saya tidak dapat bayangkan kalau ALLAH jatuhkan saya di titian sirat nanti. Jatuh ketika itu adalah jatuh yang tidak akan naik semula. Jatuh terus.
Semasa saya jatuh, Sahel masih ada untuk risaukan saya, menghulurkan tangan dan membantu. Namun kalau saya jatuh pada hari yang dijanjikan, tiada lagi Sahel untuk menghulurkan tangan. Semua akan sibuk dengan hal masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda,
“ Nanti di akhirat kelak, manusia akan dibangkitan dalam keadaan telanjang”
Saidatina Aisyah bertanya, “ Tidakkan mereka akan merasa malu apabila memandang sesama mereka?”
Rasulullah SAW menjawab, “ Pada hari itu, tiada orang akan menghiraukan orang lain. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri”
Itulah hari yang ALLAH SWT firmankan,
“ Hari yang tidak berguna harta dan anak pinak, kecuali yang datang kepada ALLAH dengan hati yang sempurna”
Sebelum saya kelemasan, ALLAH telah menghantarkan teguran, untuk menyelamatkan saya dari sebarang kejatuhan ma’nawi.
Alhamdulillah.
Kepada ALLAH jugalah saya berterima kasih dan bersyukur.
PenjagaanNya lebih rapat dari urat nadi saya sendiri.
Moga perkongsian ini dapat membuatkan kita sama-sama memuhasabah diri.
Semoga ALLAH redha dengan kita semua, yang ingin menjadi Hamba Ilahi!





salam..
em, ana pun dkt intec ni ada bbrp kawan arab..dari yaman, dari saudi, dari somalia pun ada..rapat jugak..dan ada sorg tu hafiz..sangat seronok berkawan dgn diorg. boleh berbincang pasal islam, boleh revise balik bahasa arab yg dah lama tinggal, macam2.
em, blog en zakaria tu ape alamatnye eh? nak baca interview tu..
ops, hari isnin ni btn pulak..
[Reply]
salam rasydan..
he he.. ramai kawan, maka pintu ilmu juga terbuka luas.
http://zakaria-sungib.blogspot.com/2009/03/vt-dan-ayat-ayat-cinta.html
itu adalah link untuk melihat interview ana.
Silakan mampir ya..
kalau boleh, tinggalkan komen sekali.
Semoga ALLAH redha dengan ukhuwwah kita.
~sahabat enta..
Hilal Asyraf
[Reply]