
Berikut adalah pengalaman saya sepanjang 10 Hari kembara ke Tanah Suci.
Saya letakkan di dalam website ini untuk kita semua ambil manfaat. Tidak semua saya cerita. Itupun ceritanya agak panjang juga. Sekitar 16 muka surat juga jika berada dalam microsoft word.
Ini bukanlah apa-apa travelog istimewa macam ada di kedai buku dan sebagainya.
Ini hanya catatan perjalanan Hilal Asyraf pergi menghadap RabbNya.
Semoga ALLAH redha dan terima segala amalan kita, dalam usaha kita menjadi hambaNya.
6 Jun 2009
Sekitar pukul 5 petang, saya bertolak bersama 14 orang melayu, mengikuti rombongan Ikhtilaf Islami yang seramai 240 orang. Madinah Al-Munawwarah adalah destinasi kami. Rombongan terdiri dari 240 orang pelajar termasuk kami, menaiki 4 buah bas.
Perjalanan diisi dengan tazkirah oleh ketua bas saya, Ibrahaim Zaman. Awalnya beliau bertanya, siapakah yang baru pertama kali melaksanakan umrah. Majoriti ahli bas mengangkat tangan. Oh, bukan saya seorang. Alhamdulillah.
Perjalanan panjang. 24 jam perjalanan. Namun, semuanya diisi dengan perkara bermanfaat. Ada tazkirah dari beberapa orang pelajar, ada tazkirah dari radio, kadangkala ada nasyid arab, ada masanya mereka memasang al-quran di radio, dan ada masa rehat yakni semua orang akan tidur. Masa solat, kami berhenti rehat dan solat di perhentian.
Dugaan terbesar adalah di perbatasan. Pemeriksaan yang teramat ketat dilaksanakan di sempadan saudi, pemeriksaan yang teramat ketat lagi panjang tambah membosankan. Tambahan, jam ketika itu menunjukkan bahawa esok sudah hendak menjelang.
7 Jun 2009
Bila melepasi sempadan, semuanya berjalan lancar. Perhentian-perhentian selepas itu hanya menggunakan duit riyal. Awalnya terasa macam orang kaya juga. 1JD bersamaan 5.27 riyal. Justeru saya yang membawa 50JD terus mendapat sekitar 260 riyal. Perjalanan berterusan hingga ke Madinah.
Bila memasuki sahaja tanah haram, saya tertunggu-tunggu untuk Masjid Nabawi menyapa mata. Sebaik sahaja nampak menara-menaranjya, hati bergetar, jiwa jadi sayu, mata ada genangan air. Oh Rasulullah, ummat kau sudah tiba ni. Terasa kerdil diri ini. Tidak sangka, orang yang tidak seberapa macam saya, ALLAH izinkan juga menjejakkan kaki di Bumi NabiNya yang paling DIA kasihi ini. Entah berapa banyak sunnah Rasulullah SAW yang masih belum saya kerjakan. Ada rasa sedikit kesal…
Saya tidak lama di hotel, sebaik sahaj meletak barang, mandi dan solat, saya terus bergerak ke Masjid Nabawi. Pertama kali masuk ke Masjid penuh sejarah itu, ruh saya macam dicabut menembusi zaman Rasulullah SAW. Pebacaan Sirah Nabawiyah yang berulang kali, membuatkan saya seakan-akan familiar dengan keadaan di situ. Oh, aku sekarang sudah berada di tengah-tengah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat. Mengguyur rasa hiba dalam jiwa.
Saya tidak tahu Raudah terletak di mana. Yang saya tahu, karpet hijau. Akhirnya selepas maghrib, saya terpaksa merentas lautan manusia, hajatnya hendak mencari raudhah, namun rindu pada Rasulullah SAW menebal lebih, pantas mencari jalan untuk bertemu baginda terlebih dahulu.
Lalu sahaja di hadapan kubur Rasulullah SAW, Abu Bakr RA dan Umar RA, terasa seperti diri ini terlalu kerdil. Macam ada rasa bersalah. Saya melihat betapa ramai manusia bersungguh-sungguh mengucapkan salam kepada Rasulullah SAW, saya pula macam terkedu di hadapan kubur baginda.
“ Assalamu’alaikum Rasulullah, ini ummat kau datang” Saya mendesis sambil mengangkat tangan. Terus tertolak-tolak keluar dengan lautan manusia lain.
Rindu dan cinta, akhirnya saya berdiri di hadapan kubur baginda.
Saya berpatah masuk semula ke dalam Masjid Nabawi, mencari raudhah yang disabdakan Rasulullah SAW sebagai salah satu dari taman syurga di dalam dunia ini. Raudhah penuh. Namun saya usaha mencari tempat, akhirnya berjaya. Alhamdulillah, saya bersolat sunat dua rakaat, kemudian memberi ruang kepada jemaah lain. Saya pergi lagi ke kubur Rasulullah SAW, sekali lagi mengucapkan salam, kepada baginda dan kepada dua sahabat agung yang bersemadi di sisi kubur baginda.
Selepas itu, saya pergi mencari ‘tiang malaysia’. Tiang Malaysia ini terdapat di dalam Masjid Nabawi, bukanlah tiang yang kerajaan Malaysia tempah khas untuk jemaahnya. Tetapi tiang itu mendapat jolokan tiang Malaysia kerana pelajar Uniersiti Madinah dari Malaysia sering berada di situ, studi dan berehat-rehat. Saya hendak bertemu dengan senior saya, Hassan Salimi.
Alhamdulillah, berjumpa, kami bersembang-sembang. Sampai sahaj awaktu isya’, kami solat.
Habis sahaja Solat Isya’, senior saya itu membawa saya, Sahel dan Ammar Ismail pergi ke kedai untuk membeli jubah. Sahel dan teman-teman lain berhajatkan jubah. Saya yang membawa hanya 50JD, jangan harap la untuk bershopping itu ini. Rasa kaya pada awal merentas sempadan saudi, hilang begitu sahaja apabila melihat taraf hidup Saudi yang sama seperti Jordan.
Walaupun duit Saudi lebih rendah dari Malaysia, tetapi makanannya sama mahal dengan Jordan. Bayangkan, sepinggan Nasi adalah sekitar 13 Riyal. Sama sahaja dengan sepinggan nasi di Jordan yanng berharaga 2JD=RM10. Jadi, saya sebenarnya tidak kaya. Maka saya tidak boleh berbelanja luar kawalan. Prioriti saya adalah makanan, bukannya jubah, cincin, dan sebagainya.
Namun saya beli juga sehelai jubah termurah dalam kedai itu berharga 35 riyal. Jubah ikaf putih, kemudian satu kain kifayeh kegemaran saya berharga 15 riyal, dan satu seluar berharga 15 riyal. Semuanya 65 riyal, dan itu sahajalah wang saya keluarkan sepanjang pengembaraan ini untuk shopping. Selebihanya adalah duit makan.
Selepas selesai membeli belah, Abang Hassan Salimi membawa kami ke Restoran Al-Baik, restoran ayam goreng. Dia yang belanja kami makan malam tu. Alhamdulillah. Jimat duit saya.
Pukul 1 pagi, kami pulang dan tidur.
8 Jun 2009
Pukul 3.30 pagi, saya bangun. Solat Subuh pagi itu macam saya duduk depan radio. Imamnya adalah Solah Al-Bidir, imam yang paling saya minati dan sering saya ulang dengar bacaannya di dalam komputer. Wah… Subuh terindah dalam hidup saya rasanya, ditambah pula bacaannya yang menghiba. MasyaALLAH…
Selepas subuh, saya bergegas memasuki Raudhah dan berdoa. Hajatnya hendak keluar melalu makam Rasulullah SAW, namun jalan ditutup pagi itu. Kawasan Raudhah juga hendak ditutup bagi memberikan peluang kepada jemaah wanita untuk duduk di tempat mulia itu. Maka selepas berdoa dan berdoa, saya keluar dari raudhah.
Saya menanti teman-teman yang lain di rak kasut berhadapan pintu bernama Bilal. Saya membaca Al-Quran hinggalah saya terlelap. Faizal mengejutkan saya untuk ke perkuburan baqi’. Kami pergi ke perkuburan Baqi’ yang hanya bersebelahan dengan masjid nabawi. Alhamdulillah, mendapat tazkirah yang baik di perkuburan itu.
Sahabat kami, Abdurrahman bertanya kepada seorang syeikh di situ, berkenaan kubur itu kubur siapa, kubur itu kubur siapa. Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan Rahman, tetapi terus berkata:
“ Rasulullah SAW tidak mengajar kita menziarahi kubur untuk mencari itu kubur siapa dan ini kubur siapa. Kalau kamu tahu pun itu kubur siapa, kamu hendak buat apa? Apa yang kamu boleh dapat dari ahli kubur itu? Ahli kubur itu tidak akan dapat memberikan apa-apa kepada kamu. Kita menziarahi kubur untuk mentazkiah diri kita, muhasabah berkenaan kematian, bukan untuk mencari berkat atau bantuan ahli kubur”
Begitulah lebih kurang teguran Sheikh itu. Betul juga. Tak pernah terfikir pun.
Selepas berpusing-pusing melihat perkuburan baqi’ yang luas itu, saya dan tean-teman berehat di dalam masjid nabawi, solat dhuha, sehinggalah pukul 11 pagi. Kemudian kami balik ke hotel dan tidur untuk berehat.
Selepas Solat Zuhur, sekali lagi saya mencuri peluang memasuki teritori Raudhah. Selepas berdoa dan berdoa, saya keluar memandangkan kawasan itu akan ditutup lagi untuk wanita. Saya dan teman-teman berehat di belakang masjid, mengisi masa membaca Al-Quran. Sebelum itu, sempat kami bersapa-sapa dengan seorang pemuda bangladesh bernama Asyraf Donzi, yang bekerja sebagai cleaner di Masjid Nabawi.
Sekitar pukul 2, Ammar menyatakan dia lapar. Kami lapar juga. Kami bangun untuk mencari kedai makan. Tanpa disangka-sangka, Abang Asyraf tadi muncul. Dia membawa kami ke kedai makan yang menyediakan makanan melayu. Alhamdulillah, dan tanpa kami sangka lagi, Abang Asyraf telah membelanja kami makan tengahari itu. Alhamdulillah…
Kami memasuki semula Masjid Nabawi dalam keadaan kekeyangan. Berehat sebentar di dalam masjid sebelum masuk waktu asar. Selepas solat asar, ALLAh telah mempertemukan saya dengan Safuan Abul Khair, salah seorang junior saya di MATRI. Rupanya dia juga melaksanakan umrah. Selepas itu saya bergegas mencuri masa di raudhah lagi. Raudhah memang mengasyikkan. Namun ketika itu hanya dapat lalu sahaja, dan keluar dari pintu yang berdekatan makam Rasulullah SAW. Alhamdulillah, berziarah lagi. Entah kenapa, saya tidak bosan menziarahi kubur Rasulullah SAW. Mungkin kerana saya benar-benar rindu dengan baginda. Sangat-sangat rindu.
Selepas itu, saya menghabiskan masa di dalam masjid. 45 minit sebelum masuk waktu maghrib saya tercari-cari tempat di dalam raudhah. Namun taman syurga itu penuh. Saya hampir sahaja kecewa kerana tidak mendapat temmpat. Namun ALLAH SWT Maha Penyayang, DIA telah memberikan saya satu tempat. Alhamdulillah, saya dapat duduk di dalam raudhah, mengisi masa hinggalah selepas waktu maghrib.
Selepas solat sunat maghrib, saya bergerak ke tempat lain, memandangkan para jemaah sudah mula berasak-asak di dalam raudhah. Di tempat lain, saya isi masa saya lagi. Ada sela masa, saya bersembang-sembang dengan Faizal, Rahman, Sahel dan Ammar yang kebanyakan waktu bersama-sama saya di dalam Masjid Nabawi. Selepas itu kami bergerak membeli kain ihram.
Selepas membeli kain ihram, Faizal buat idea luar akal untuk berjalan mengelilingi Masjid Nabawi yang merupakan masjid kedua terbesar di dunia itu. MasyaALLAH… rasa nak tercabut pinggang saya, memandangkan sebelum itu sudah berjalan dan berjalan tanpa henti.
Selepas itu kami berjumpa sebuah kedai mamak, bernama Mat’am Al-Khair. Kami makan murtabak, Nasi Bukhari dan ayam panggang, bersama teh tarik. Alhamdulillah. Rasa juga teh tarik selepas 10 bulan duduk di Urdun.
Kami pulang dalam kekeyangan. Sampai sahaja di hotel, ALLAH uji dengan masalah kunci bilik hotel. Namun Alhamdulillah, semuanya dilalui dengan tenang, dan masalah itu selesai dengan mudah. Kami tidur lena.
9 Jun 2009.
Pukul 2.30 pagi, saya sudah bergerak ke Masjid Nabawi. Solah Al-bidir sekali lagi nmenjadi ima subuh. Asyik. Selepas subuh, saya menyempit masuk ke dalam raudhah. Damai. Selepas masa untuk perempuan tiba, saya keluar dari raudhah dan menghabiskan masa di dalam Masjid sambil menunggu waktu dhuha. Sempat bersembang dengan seorang bernama Iwadh.
Selepas itu, say pulang ke hotel, mandi dan bersiap-siap untuk menjelajah Madinah. Ikhtilah Islami membuat program jelajah itu. Sebelum bergerak, ada sesi bergambar dan video.
Destinasi pertama adalah Uhud. Sebaik sahaja menjejak kaki di sana, mata saya terus bergenang dan hati saya terus sebak. Memang selama ini, kalau membaca sirah Uhud, saya akan rasa hendak menangis. Kini menjejakkan kaki sendiri di medan berdarah ini, membuatkan jiwa saya terpukul.
Saya seakan-akan terhumban di tengah kancah peperangan. Pembacaan-pembacaan sirah saya sebelum ini seakan terkeluar dari buku dan berjalan di sekeliling saya. Kuda-kuda Khalid Al-Walid yang merempuh pasukan Muslimin dari belakang, kaum-kaum musyrikin yang cuba membunuh Rasulullah SAW, sahabat-sahabat yang bergadai nyawa dalam keadaan kritikal, masyaALLAH… ALLAHUAKBAR…
Ada tazkirah di atas puncak bukit pemanah dari ketua rombongan. Kemudian kami menziarahi kubur para shuhada Uhud. Ada penjaga kubur di situ, dan penjaga kubur itu telah memberikan kami satu tazkirah ringkas. Alhamdulillah.
Selepas itu, destinasi kedua lawatann adalah kilang pembuatan mushaf Al-Quran. Tiada apa yang istimewa sangat di sana. Sekadar penerangan ringkas dari pengurus di situ sahaja. Selepas itu, kami keluar. Semasa keluar itu, saya bertemu sebuah rombongan dari Malaysia. Kawan saya Abdurrahman menyapa seorang makcik. Saya lalu di sebelahnya, hendak mendengar apa yang disembangkan. Nampak sahaja saya datang, Rahman terus berkata,
“ Ini la Hilal Asyraf makcik, penulis novel”
Makcik itu pandang saya. “ Hilal Asyraf? Makcik pernah dengar nama tu.”
Saya tersenyum-senyum sahaja.
Selepas itu, kami bergerak ke kilang tamar. Lepas sesi makan free, saya terus duduk di luar. Saya tiada duit hendak borong banyak-banyak tamar. Kurma Nabi pun saya tidak beli. Benar-benar tiada duit. Duit hanya cukup untuk makan sahaja.
Destinasi seterusnya adalah Masjid Quba. Kami solat dua rakaat di sana. Ada hadith menyatakan bahawa, solat dua rakaat di Masjid Quba ini pahalanya sama dengan membuat umrah. Masjid Quba adalah masjid pertama yang Rasulullah SAW bina sebaik sahaj tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah.
Kemudian kami pulang. Saya terus ke Masjid Nabawi. Mengisi masa di sana.
Selepas waktu asar, saya berseorangan. Teman-teman ramai pergi ke pasar tamar. Saya tidak ikut. Tak ada duit, buat apa nak penat-penat ikut orang shopping. Ketika ini saya perasan satu benda. Raudhah tidak ditutup selepas asar hari itu!
Berbeza dengan hari-hari sebelumnya, selepas asar juga adalah waktu untuk wanita. Saya pantas berlari mengambil tempat. Alhamdulillah, raudhah tidak ramai orang. Saya duduk di dalam raudhah, menghabiskan masa, sehinggalah selepas isya’. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Memandangkan hari ini adalah hari terakhir di Madinah, maka saya memang mencari peluang dan menggunakannya sebaik mungkin.
Selepas isya’, saya ziarah Rasulullah SAW lagi.
“ Ya Rasulullah, ni ummat kau nak balik” Ada rasa sebak pula. Entah bila lagi dapat datang sini.
Malam itu, Abang Hassan belanja makan lagi. Alhamdulillah, banyak jimat duit. Abang Hassan memang baik. Semoga ALLAH rahmati dia.
10 Jun 2009.
Hari terakhir di Madinah. Rasa sayu. Saya langsung tidak tidur semalam. Balik sahaja dari makan dengan Abang Hassan, saya tidak tidur. Saya menunggu pukul 2.00 pagi, dan saya terus bergerak pantas ke Masjid Nabawi. Dan alhamdulillah, Raudhah masih tidak penuh. Pantas saya mengambil tempat.
Saya mengisi masa, sehingga kepala saya berpinar. Mungkin terlalu penat. Bila rasa seperti hendak tumbang, maka saya duduk dan melelapkan mata. Bila pening sudah hilang, saya menyambung lagi mengisi masa, sehingga waktu subuh. Alhamdulillah, pengakhiran yang menyeronokkan. Ada juga sedikit pengalaman pahit ketika itu. Tapi tak payah cerita la.
Sebagai hendak meraikan kami buat kali terakhir, Abang Hassan mengajak saya ke Uniersiti Madinah, duduk-duduk melihat keadaan di sana, kemudian bersarapan. Selepas itu, saya mengemas barang di hotel. Oh, hati ini rasa sebak. Kenapa rasa sekejap sangat?
Selepas mengemas barang, saya tidur mencari rehat.
Pukul 11 pagi, bas kami bertolak ke tempat miqat, yakni Dzulhulaifah.
11.30 pagi, kammi sampai di Dzulhulaifah, tempat di mana Rasulullah SAW melakukan miqat sewaktu Hajjatul Wida’.Selepas memakai ihram, kami bersolat tahiyatrul masjid dan bergambar-gambar. Selepas itu, saya ambil peluang memakan ais krim. Panas membahang di Haramain, membuatkan aiskrim teramat enak.
Naik di atas bas, pukul 12, kami bertolak ke Makkah. Hati melantun-lantun doa. Ya ALLAH terima lah, Ya ALLAH terima lah, Ya ALLAH terimalah, ini hambaMu yang berdosa, hina, faqir ini datang menghadap. Getaran hati semakin kuat, bila talbiah dilaung-laung, hati macam menjerit-jerit. Akhirnya mengguyurlah rasa, hati jadi teramat sebak. Teringat-ingat khutbah berkenaan hajjatul wida’ yang disampaikan oleh Dr Adnan Rababa’ah ketika musim Haji dahulu. Terasa seperti saya sedang berada di tengah-tengah para sahabat ketika itu.
Perjalanan itu penuh keinsafan. Tambahan apabila saya melihat kiri dan kanan saya adalah padang pasir.
“ Rasulullah dulu jalan kaki dari Makkah ke Madinah macam ini kah?” Hati hendak menangis.
“ Rasulullah dulu buat hajjatul wida’ dengan para sahabat panas-panas macam ini kah?” Jiwa menjerit.
Teringat pula Tabuk yang telah kami lalui sebelum sampai ke Madinah. “ Rasulullah dengan para sahabat pergi perang jalan kaki naik unta jauh-jauh macam itu kah?” MasyaALLAH…
Saya terasa bahawa selama ini saya macam main-main sahaja dalam hidup ini.
Ya Rasulullah, akulah ummat kau yang paling tak berguna sekali.
Talbiah dilaung-laung sehingga tekak terasa sakit.
Takut sungguh kalau perjalanan ini sia-sia sahaja.
Kami tiba di Makkah, memasuki tanah haram pada jam 7.30 malam. Kami naik ke hotel dahulu, memunggah barang, dan kemudian baru bergerak ke Masjidil Haram.
Pertama kali melihat Kaabah, saya terdiam. Jiwa saya jadi senyap. Hati jadi kaku. MAsyaALLAH….
Ya ALLAH, KAU benarkan aku menjejakkan kaki di sini? Di rumahMu ini?
Terasa kasih sayang ALLAH mencurah-curah di atas kepala. Walaupun suasana agak hangat dan membahang di sini, perasaan itu jauh lebih menguasai dari keadaan. Kami melakukan tawaf selepas isya’.
Pertama kali bertawaf mengelilingi kaabah, peraaannya sukar diungkap. MasyaALLAH…
Terserap rangkap pertama lagu beyond words dendanngan Outlandish. Selama ini, membaca rangkap itu sahaja sudah membuatkan saya takjub dan bergetar jiwa. Ketika ini, ketika bertawaf sendiri ini, terasa seperti saya sedang berlari di atas lirik-lirik lagu itu. Terasa benar makananya.
Semasa berlari, memang jiwa hanya fokus kepada ALLAH. Saya tidak peduli keadaan sekeliling. Saya berlari, seakan saya sedang mengejar ALLAH SWT itu. Saya berdoa, seakan selepas itu tiada lagi waktu untuk saya. MAsyaALLAH… memang benar-benar perasaan yang menggetarkan jiwa. Terasa sungguh kerdilnya seorang hamba ini.
ALLAH, terima lah…
Selepas tawaf, saya solat sunat di belakang Makam Ibrahim, dan mengambil sunat meminum air zam-zam sepuas-puasnya. Kemudian giliran ibadah sa’ie pula dilakukan.
Oh, Siti Hajar, bagaimana agaknya kamu berlari? Baru lepas melahirkan Ismail, di tengah panas, di atas pasir yang membahang, mendaki bukit Safa dan Marwah berulang-ulang. MAsyaALLAH… berbanding dengan saya, berlari ketika malam, tertutup pula dengan bumbung, bukit safa dan marwah sudah diratakan sedikit, berlari pula di atas tile yang sejuk, ada kipas di tepi-tepi tempat Sa’ie, kalau penat, ada tong zam-zam disediakan di sisi. MasyaALLAH… Hinanya diri.. hinanya diri.. Ya ALLAH.. Malunya aku…
Kemudian, kami bertahalul. Saya, Abdurahman, Faizal dan Sahel bergerak mencukur gondol rambut kami di barber shop berdekatan. Ringan rasanya kepala saya ini. Alhamdulillah. Selepas itu kami pergi makan dan pulang ke hotel. Terasa seperti satu tanggungjawab besar sudah diselesaikan.
Pulang sahaja ke hotel, saya mengambil telefon N-Gage kesayangan saya. Mana tahu kalau ada sms orang hantar. Ada sms – Ammar Zulkifli meninggal dunia, kemalangan di Mesir – Saya terdiam sebentar. Saya pandang Sahel. Dia juga dapat mesej yang sama.
“ Tersilap kut. Takkan Ammar Zul” Saya kata.
Sahel juga mengangguk. Dia juga tidak percaya. Namun selepas itu, beberapa mesej lagi datang menandakan itu bukan kesilapan. Ammar Zulkifli, yang saya kenal, yang pernah saya gaduh dengannya, yang pernah saya gelak ketawa dengannya, yang pernah saya berbincang dengannya, yang pernah saya makan-makan dengannya, yang pernah saya bergambar dengannya, telah pergi dalam usianya yang hanya tua setahun dari saya. ALLAH itu Maha Penyayang. Selepas Ummi, ALLAH menarik dia pula.
Malam itu, saya muhasabah sebentar dengan Sahel.
“ Siapa rasa esok itu ada, maka dia adalah orang yang bodoh” Itu kesimpulan yang saya dapat. Mati itu bila-bila. Siapa boleh kata dia akan kekal hidup hingga petang ini? Boleh tanya kepada pemandu kereta dalam kes kemalangan itu, sahabat saya juga, Saif bin Jamaludin. Tanya dia, adakah dia menyangka semua itu akan terjadi sebelum naik kereta?
Pastinya jawapan adalah tidak.
Bagaimanakah kita mengisi kehidupan kita?
Pengajaran yang baik sebenarnya. Semoga ALLAH redha dengan Ammar. Ketika ini juga saya sudah sedar bahawa zaman saya sudah tiba. Maksud saya, zaman saya merasai itu dan ini seperti orang dewasa. Seperti merasai kejatuhan, merasai kegagalan, merasai kebahagiaan, merasai kejayaan, merasai kasih sayang, merasai kebencian, merasai tanggungjawab dan juga merasai kehilangan orang yang tersayang. Zaman saya sudah tiba. Zaman yang ceria setiap masa sudah berakhir.
Malam itu, saya tidur dalam sepi. Muhasabah diri bertalu-talu datang dan pergi, hingga terlelap sendiri.
11 Jun 2009
Hari ini, saya isi masa di dalam masjid sahaja. Isi masa dan isi masa. Tiada yang lebih seronok dari mengisi masa di dalam masjid dalam kembara ini. Mencari hakikat diri, muhasabah, memohon ampun, berharap, menghiba, semuanya itu melengkapkan diri untuk mempertingkatkan peribadi hati.
Selepas Zohor, keluar sebentar mencari international call. Jumpa, tetapi saya tidak dapat menghubungi Junior saya bernama Sayyid Safwan. Dia hendak berjanji temu dengan saya. Masalahnya, telefon bimbit saya tiada kredit. Dia adalah seorang lagi junior yang ingin betemu dengan saya.
Saya pulang ke masjid, mengisi masa lagi sementara menanti asar. Saya sering duduk di hadapan kaabah. Saya tidak berapa suka duduk di sudut yang tidak mampu melihatkan kaabah secara penuh. Saya suka duduk di hadapan kaabah yang besar itu, ada terasa sesuatu yang amat berlainan bila melihat baitullah itu. Seronok.
Semasa mengisi masa itu, saya menyapa seorang adik melayu yang duduk di sebelah saya. Namanya Hanafi. Kebetulan, dia juga orang johor. Alhamdulillah, pelbagai perkara kami sembangkan. Dia muda lagi dari saya, umurnya 19. ALLAH membuka kepada saya beberapa hikmah semasa bersembang dengannya. Alhamdulillah.
Selepas Asar, saya mendapat idea bagaimana hendak menghubungi junior saya itu. Saya pergi semula ke tempat international call itu dan menghubungi kakaknya. Biar kakaknya yang menghubungi dia. Alhamdulillah, janji temu dibuat, selepas maghrib kami akan bertemu.
Sebelum ke international call, saya keluar masjid dengan sahel. Dalam perjalanan, kami bertemu dengan Pakcik Syahbudin, ayah kepada senior saya di MATRI. Rupanya, dia datang dengan kakitangan MATRI yang lain. Ada Ustaz Zainudin yang mengajar saya Fiqh, ada Pak Wan Farid kerani MATRI, ada Cikgu Alias Long, ada Ustaz Zaki yang mengajar lughah, ada juga kawan-kawan ayah saya seperti Pakcik Kamaruzzaman dan Pakcik Nordin. Selepas mendapat alamat, kami berpisah. Janji temunya selepas isya’.
Selepas menghubungi akak Sayyid Safwan, saya mengajak Sahel mencari hotel ustaz kami untuk melihat tempatnya dahulu. Risau kalau cari selepas isya’, tidak bertemu. Akhirnya kami berjumpa juga dengan hotelnya. Kami mengikut alamat yang ada di dalam kad yang diberi oleh Pakcik Syahbudin. Kemudian, saya, Sahel dan Ammar Ismail, duduk bersembang-sembang memnghadap Masjidil Haram petang itu. Suasana petang itu indah, tambahan bila duduk dengan sahabat akrab.
Kami pulang ke Masjidil Haram ketika hampir Maghrib. Tanpa disangka, ada seseorang memeluk saya dari belakang. MasyaALLAH, Shafie dan Hamdi, dua junior saya yang sedang studi di Syria sekarang. ALLAH pertemukan kami dalam lingkaran tawaf di tengah Masjidil Haram. MAsyaALLAH… rindu sungguh.
Selepas maghrib, saya bergegas keluar menanti Sayyid Safwan di tempat yang dijanjikan. Alhamdulillah, akhirnya kami bertemu. Pertemuan memang indah jika kerana ALLAH. Saya, Sahel dan Ammar bersembang-sembang dengan Sayyid Safwan, bertukar ceriita berkenaan MATRI dan sebagainya. Dia juga meminta nasihat daripada kami. Alhamdulillah, sembang-sembang yang baik.
Bila tiba waktu isya’, kami solat. Selepas isya’, Sayyid Safwan bergambar dengan kami sebagai kenangan. Selepas itu, kami bertemu lagi dengan Shafie dan Hamdi, lalu bersama-sama kami bergerak ke hotel yang telah kami singgah petang tadi.
Malangnya, ketika itu kami baru perasan alamat yang diberikan oleh Pakcik Syahbudin itu alamat yang silap. Dia silap memberikan kad. Kad hotel yang diberikan adalah hotel lain, bukan hotel tempat kenalan-kenalan veteran saya berkumpul. Jenuh kami mengelilingi Makkah mencari hotel yang sebenar. Silap kami juga tidak bertanya kepada tuan hotel petang tadi adakah ada orang Malaysia tinggal di situ.
Akhirnya, malam itu kami tidak bertemu dengan ustaz-ustaz kami. Hamdi dan Shafie pulang dengan hampa. Mereka sudah hendak bertolak ke Madinah malam itu. Saya, Ammar dan Sahel pula duduk di hadapan Masjidil Haram,
Tapi aturan ALLAH adalah yang terbaik. Tak jumpa ustaz-ustaz kami, tapi ALLAH berikan peluang saya, Ammar dan Sahel untuk duduk dan muhasabah. Kami bertiga adalah sahabat semenjak tingkatan 1. Walaupun tidak rapat dari tingkatan satu, tapi kami adalah sepasukan dalam Badan Pengawas Sekolah semasa Tingkatan Enam atas. Kami muhasabah pelbagai perkara, muhasabah diri, muhasabah kehidupan kami di Jordan, muhasabah cita-cita.
Kenangan paling indah adalah apabila kami duduk di tepi pancuran Zam-zam, menghadap Kaabah, kemudian kami menceritakan cita-cita kami. Bila habis seorang bercerita akan cita-citanya, lagi dua akan mengaminkan. Malam itu cantik. Kami tidak tidur pun. Terus berada di Masjidil Haram. Kami bersama-sama, solat, tawaf, membaca Al-Quran dan sebagainya. Alhamdulillah. Dapat beribadah itu juga adalah satu rezeki.
Malam itu, ALLAH membuka hikmahNya lagi kepada saya. Saya ternampak seorang manusia terpelanting dihumban manusia yang berasak-asak untuk mencium hajarul aswad.
Saya memang ada hajat untuk mencium Hajarul Aswad. Saya pernah semat dalam hati saya, menyatakan bahawa kalau boleh, saya akan bertempur untuk mendapat peluang menciumnya. Namun malam itu, apabila saya nampak seorang manusia terpelanting 360 darjah kerana hendak mencium seketul batu bernama Hajarul Aswad, ALLAH telah membuka hikmah kepada saya.
Saya teringat kata-kata Saidina Umar Al-Khattab RA,
“ Wahai Hajarul Aswad, aku tahu sesungguhnya engkau ini hanyalah batu, engkau tidak memberikan mudarat mahupun manfaat. Kalau bukan kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya kau tidak akan aku cium”
Kenapa Saidina Umar berkata demikian? Saya nampak sebabbnya hari ini.
Hajarul Aswad hanyalah batu. Menciumnya adalah sunnah. Bukanlah hajarul aswad itu yang mengampunkan dosa. Tetapi ALLAH jugalah yang menghapuskan dosa seseorang manusia. Hendak mengejar sesuatu yang sunnah, kita secara tidak sengaja telah merosakkan banyak benda yang wajib. Kita pukul, siku, tolak, saudara-saudara seislam kita yang lain dalam perjalanan menciumnya, ada pula yang sanggup keluar dari solat awal dari imam untuk menciumnya dan sebagainya. Akhirnya, kita melebihkan Hajarul Aswad daripada ALLAH SWT.
Bayangkan, kita bermati-matian hendak mencium hajarul aswad, tetapi bila dilaungkan melaksanakan solat atau amalan kebaikan lain, kita tidak berlari pun. Jadi, siapa TUHAN pada waktu kita merempuah manusia lain, membaling manusia lain, memukul, menyiku, bertolak-tolakan dengan manusia lain semasa mencium hajarul aswad? Siapa TUHAN kita masa itu?
Secara tidak sedar, sebenarnya kita telah menjadikan Hajarul Aswad sebagai TUHAN. Kenapa kita bermati-matian hendak menciumnya? Sebab kita anggap, siapa mencium hajarul aswad ini, akan terampun segala dosa.
Tapi ingat, jalan yang buruk tidak akan mendatangkan kebaikan. Kalau hendak pergi haji dan umrah, kita tahu kena pakai duit yang halal. Maka kenapa hendak mencium Hajarul Aswad, kita ambil jalan yang salah? Pukul saudara kita, tolak dia, campak dia, dan sebagainya? Sedangkan hajarul Aswad itu sunat sahaja.
Patutlah Saidina Umar berbicara sedemikian rupa. Bukan kerana ego, tetapi dia sudah nampak bahawa manusia akan taksub dan mendewa-dewakan seketul batu bernama Hajarul Aswad ini. Hikmah ini adalah antara yang termahal yang saya dapat malam itu.
Kebetulan, malam ini adalah malam Jumaat.
Ada hikmah rupanya ALLAH mengatur kami tidak bertemu dengan ustaz-ustaz kami.
Alhamdulillah.
12 Jun 2009
Subuh itu, saya berdoa agar ALLAH pertemukan saya dengan sesiapa yang boleh menunjukkan jalan ke hotel untuk bertemu dengan ustaz-ustaz saya. Selesai sahaja saya berdoa, terus bahu saya dicuit dari belakang.
Pakcik Syahbudin!
Alhamdulillah. Kali ini dia menunjukkan sendiri jalannya.
Pukul 5.30 pagi(subuh pukul 4.00 pagi), kami bergerak ke hotel yang ditunjukkan. Alhamdulillah, bertemu kami dengan ustaz-ustaz kami. Rupanya, Pakcik Kamaruzzaman adalah bos kepada syarikat Shahid Travel yang membawa ustaz-ustaz kami, dan kawan abah bernama Pakcik Nordin itu bersama beberapa lagi ayah pelajar MATRI untuk menunaikan umrah.
Pagi itu, sarapan pagi kami ditaja Syarikat Shahid Travel. Alhamdulillah… jimat lagi. Saya memang tiada duit. Agaknya, kalau sepanjang kembara ni, duit makan saya bayar sendiri, tak cukup 50JD saya tu.
Saya, Sahel dan Ammar Ismail bersembang-sembang dengan ustaz-ustaz kami segingga pukuln 8.00 pagi. Pakcik Kamaruzzaman sempat berpesan agar kami datang lagi untuk makan malam, dan dia menyuruh kami tidur di hotel itu. Dia ada bilik lebih. Alhamdulillah,rezeki.
Pulang sebentar ke hotel, saya berehat sekejap dan terus bersiap-siap untuk menunaikan solat jumaat. Saya pergi awal ke masjid. Pukul 9.30 pagi. Saya mengisi masa sementara menanti, hingga saya terlelap sendiri kerana kepenatan.
Selepas selesai solat jumaat, saya pergi makan tengahari. Kemudian saya masuk semula ke Masjidil Haram dan mengisi masa habis-habisan sehingga selepas waktu isya. Selepas isya’, saya pegi ke hotel Pakcik Kamaruzzaman dan ustaz-ustaz saya itu. Makan malam dan bersembang-sembang.
Ada seorang Pakcik bernama Mokhtar. Dia dari Shah Alam. Dia bertanya kepada saya,
“ ni siapa?”
Saya jawab, “ Hilal”
“ Hilal Asyraf?”
Saya angguk. “ Yang menulis novel tu?” Dia tanya lagi.
Saya angguk sambil tersenyum sahaja. Muka Pakcik Mokhtar macam tak percaya. Susah nak kenal saya kalau dah gondol. Lain sikit.
Malam itu, saya, Sahel dan Ammar Ismail tidur sebilik di hotel Pakcik Kamaruzzaman.
13 Jun 2009
Pukul 3 pagi, kami sudah bangun dan bergerak ke Masjid. Mengisi masa dan kemudian solat subuh. Selepas subuh, saya mengisi masa sebentar, kemudian pulang ke hotel pakcik kamaruzzaman untuk bersarapan. Kemudian saya, Sahel dan Ammar Ismail berjumpa ustaz-ustaz kami untuk kali terakhir. Mereka sudah hendak pulang hari ini. Rasa sebak juga masa hendak tinggalkan Pak Wan. Pak Wan yang paling tua, nampak sangat rasa keayahannya kepada kami.
Semoga ALLAH rahmati semua.
Kami pulang ke hotel kami. Hotel kami terlalu jauh. 30 minit berjalan kaki dari Masjidil Haram. Dengan suasana yang panas membahang, membuatkan perjalannnya terasa seperti sejam lamanya. Namun, hendak merungut-rungut, rasa kerdil pula. Bagaimana agaknya sahabat-sahabat Rasulullah SAW dulu? Saya jadi insaf bila soalan itu menjengah.
Saya tinggal di hotel sahaja. Zuhur dan Asar di hotel, sebab saya terlalu letih. Berhari-hari tidur lewat, tidur sedikit, dan ada hari tidak tidur langsung membuatkan hari itu saya blackout sebaik sahaja baring di atas katil hotel.
Sebelum maghrib baru saya bergerak ke masjid.
Semasa duduk menunggu Maghrib, saya bersembang dengan seorang remaja melayu di sebelah saya. Namanya Zainol Ariffin. Dia rupanya adalah pelajar UTP. Katanya, dia kenal dengan sepupu saya Luqman Hakim.
Dia meluahkan perasaannya bahawa dia tidak boleh menangis apabila melihat kaabah dan menziarahi kubur Rasulullah SAW. Dia rasa, hatinya ada masalah.
Saya hanya tersenyum. Saya bersembang-sembang dengannya. Cerita selepas itu adalah rahsia. Biarlah saya simpan sebagai kenangan saya sahaja.
Selepas berpisah dengan Zainol, saya terus mengisi masa sehingga selepas isya’. Mulai saat itulah saya sendirian. Sengaja. Sebab saya perlukan waktu untuk bersembang-sembang dengan diri saya sendiri. Kadang-kadang, kita ini perlu bermesyuarat dengan diri kita, berbincang dengan kehidupan kita, bagaimana kita hendak hidup? Mesti bermusyarakah dengan semua anggota tubuh.
Saya tinggal di Masjid sehingga waktu subuh.
Mengisi masa, mengisi masa dan mengisi masa.
Ada banyak kenangan pada malam ini.
Antaranya saya dapat lihat suami isteri yang mesra di dalam Masjid. Mereka sungguh romantik. Saya tersenyum sahaja. Hai… bila la boleh ada teman macam itu? Menghadap Ka’bah, saya tersenyum sendiri.
Untuk mengelak dari bosan, saya beralih-alih tempat. Salah satu tempat yang saya beralih, saya duduk berdekatan dengan kanak-kanak india. Mereka bukan india berwajah hitam. Merek berwajah putih. Dua budak lelaki dan seorang perempuan. Masih anak kecil. Dua orang berumur 7 tahun, dan seorang berumur 11. Sungguh comel semuanya.
Saya cuba bersembang dalam arab, mereka tidak faham. Mereka kata, mereka tidak boleh berbahasa arab. Bahasa inggeris mereka amat lancar. Alhamdulillah, saya menghabiskan beberapa masa dengan anak-anak kecil ini. Seronok. Tambahan bila mereka tidak tahu apa itu Malaysia. He3.. Sembang macam-macam.
“ Are you an imam?” Abdul Samad, budak lelaki berumur 7 tahun bercakap kepada saya. Tekun dia mendengar saya membaca Al-Quran malam itu. Saya ketawa sahaja.
“ I’m not an imam” Saya menjawab sambil ketawa.
“ Your voice like him”
“ Like who?”
“ Like imam”
Saya ketawa sahaja. Abdul Samad, anak kecil dari India yang comel. Saya mentasmi’ bacaan Al-Fatihahnya. Keluarganya sampai naik hairan melihat kemesraan saya dengan anak-anak mereka. Ayahnya ketika hendak berpergian dari tempat itu, bertemu dengan saya terlebih dahulu.
“ My name is Irfan” Kata ayahnya.
“ Nice to know you and your children sir. My name is Hilal. Hilal Asyraf”
Ayahnya tersenyum sahaja. Dia meminta saya mendoakan keluarganya. Saya juga meminta perkara yang sama. Anak perempuan bernama Ameena datang kepada saya,
“ I’ll be going. Bye-bye” Dia memandang saya dengan wajah sedih. Saya tersenyum sahaja. Macam dah lama kenal pula. Kalau saya nak bangun solat sunat tadi, saya akan suruh Ameena memegang Al-Quran.
Semoga ALLAH redha dengan mereka, dan menjaga mereka dari kerosakan masyrakat dunia hari ini.
Saya terus duduk-duduk mengisi masa. Teringat juga kepada perempuan yang saya cinta. Saya tersenyum sahaja.
Ya ALLAH… Satukanlah hati-hati kami, campakkanlah cinta dalam jiwa kami, aku tidak tahu jodoh aku dengan siapa, tetapi KAUlah yang menentukan jodoh manusia, maka jadikanlah dia itu jodoh aku ya ALLAH….
Saya minta ALLAH jaga cinta saya. Saya tidak akan melangkah ke garisan yang membuatkan ALLAH marah. Saya harap, saya jaga hak-hak ALLAH, maka ALLAH akan jaga hak-hak saya. InsyaALLAH, saya yakin ALLAH tidak akan menzalimi saya. ALLAH tidak pernah menzalimi saya, melainkan saya yang sering menzalimi diri saya sendiri.
Semasa duduk-duduk itu, saya disapa seorang sheikh dari Mesir bernama Husni. Dia menyuruh saya menjaga botolnya selama 15 minit. Tapi dia tidak pulang kecuali selepas hampri sejam. Dia meminta maaf dan berkata,
“ Tidak sangka kamu masih di sini setia menjaga botol ini walaupun saya melebih waktu yang telah dijanjikan”
Kami bersembang-sembang. Alhamdulillah, ukhuwwah terjalin.
Sempat saya kemukan satu masalah fiqh kepadanya. Saya nyatakan bahawa saya belum belajar lagi masalah itu, tetapi saya ada teori berdasarkan logik akal saya. Saya bentangkan teori saya itu kepadanya. Dia diam sahaja ketika itu.
Kemudian dia berkata:
“ Ilmu agama ini, tidak boleh kita pakai logik sahaja. Mesti ada nas dan dalil. Walaupunj logik kamu betul, itu tidak dapat dijadikan hujah agama. Kalau kamu tidak tahu, maka tanyalah kepada yang lebih tahu. Jangan kamu berfikir dengan akal sendiri sahaja”
MasyaALLAH… teguran yang amat baik. Kemudian dia menyatakan bahawa jawapan saya kepada masalah fiqh itu betul, tetapi cara saya mencari jawapan itu salah.
“ Di dalam agama, kamu perlu mencari jawapannya dengan berdasarkan nas dan dalil. Tiada ulama’ yang berijtihad dalam bidang fiqh menggunakan akal fikirannya sendiri melainkan berdasarkan apa yang telah ALLAH dan Rasulullah SAW tunjukkan”
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Selepas itu saya terus mengisi masa, mengisi masa dan mengisi masa.
Hinggalah waktu Subuh menjelang tiba.
14 Jun 2009
Selepas subuh itu, saya terasa macam hendak pengsan. Dengan letih dan panas, saya macam hendak tumbang bila berdiri. Ya ALLAH…
Saya bergerak pulang ke hotel. Sekali lagi tertidur panjang. Macam meminta ganti pula tubuh saya ini.
Seperti semalamnya, saya pergi ke Masjid sebelum Maghrib. Saya mengisi masa hingga ke Isya’. Malam itu saya diserang sakit perut. Macam tersilap makan pula. Seluruh badan rasa lemah. Saya paling pantang sakit perut. Kalau saya sakit perut, apa benda pun tak boleh jalan.
Selepas isya’, saya hanya duduk sahaja menghadap Ka’bah. Duduk dan muhasabah, istighfar. Dalam kepala saya, saya terfikirkan Zam-zam. Saya masih belum mengambilnya lagi. Pihak Ikhtilaf Islami tidak menyediakan perkhidmatan mengambil Zam-zam. Maka Air Zam-zam perlu diambil sendiri. Esok, sudah hendak bertolak pulang. Bila hendak mengambil Zam-zam?
Saya tidak tahu hendak buat macam mana. Tong besar tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjidil Haram. Akhirnya saya bertawakkal kepada ALLAH. “ Ya ALLAH, berikanlah aku Zam-zam” Itu permintaan saya.
Oleh kerana perut rasa tidak selesa, sekitar pukul 12.30 malam, saya pulang ke hotel.
ALLAH SWT Maha Penyayang, sampai sahaja saya di Hotel, beberapa orang sahabat hendak keluar mengambil Zam-zam. Saya pun segera menyelesaikan masalah perut saya, dan bergegas mengikuti mereka.
Kami pergi ke telaga zam-zam yang dibuat oleh kerajaan Saudi. Telaga itu berada di sebelah rumah tempat kelahiran Rasulullah SAW. Namun ramai manusia di situ. Kami menunggu hampir setengah jam, namun tidak menampakkan tanda bahawa kami akan mendapat air zam-zam dalam masa terdekat.
Akhirnya, saya nekad menukar tempat. Saya sanggup ulang alik keluar masuk masjidil haram untuk isi air zam-zam dalam botol, kemudian tuang dalam tong. Kawan-kawan saya ikut. Alhamdulillah, kami lalu satu pintu yang kosong. Manusia tidak keluar masuk di situ, tiada orang, tidak bersesak. MasyaALLAH… ALLAH membuka pintu rahmatNya. Seakan-akan ALLAH SWT berkata kepada saya: “ Tadi kau minta air zam-zam, sekarang AKU berikannya”
Berbanding berdiri di tepi telaga yang terlalu ramai orang, setengah jam masih belum ada tanda mendapatkan air, ulang alik mengambil air hanya memakan masa 30 minit sahaja. Semua tong kami habis diisi. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Saya tidak tidur malam itu.
Saya mandi, kemudian saya bergegas ke Masjidil Haram semula.
15 Jun 2009.
Saya mengambil tempat yang biasanya menjadi tempat imam Masjidil Haram melakukan solat tarawih. Dari situ, saya boleh melihat Imam Masjidil Haram menjadi imam subuh di depan Multazam(Pintu Kaabah). Pagi itu seronok. Walaupun saya agak keletihan, saya cuba mengisi masa saya sebaik mungkin.
Selamat tinggal….
Saya keluar dari Masjidil Haram dengan seribu perasaan.
Cukupkah?
Sudah berubah kah?
Sudah tertingkatkah?
Diterima kah?
Saya berfikir itu dan ini.
Sampai di hotel, saya berkemas-kemas itu dan ini, kemudian selepas solat zuhur, kami beramai-ramai naik ke dalam bas.
Perjalanan pulang bermula.
MasyaALLAH….
Sebentar sahaja rasanya.
Saya berjanji di dalam hati, kalau ada umur panjang, kalau ada rezeki, kalau ALLAH izin, saya akan datang lagi. Sememangnya, Haramain adalah tempat yang baik untuk mengecas hati. Saya dapat faham kenapa orang menyatakan bahawa Haramain adalah ‘Peti Sejuk’ para pejuang. Duduk di sini memang indah. Beramal sahaja. Di sekeliling kita semuanya orang Islam. Di sini kurang masalah kerosakan ummah, gejala sosial dan sebagainya. Duduk di sini, kita hanya fikirkan kita sahaja, kita hanya fikirkan diri kita sahaja.
Tidak elok berlama-lama di Haramain, nanti semangat juang luntur. Cukuplah ke sana mengambil manfaat, merecharge bateri, merehatkan hati. Kita bukan hendak tinggal di sana selama-lamanya. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga ramai yang mati di luar Madinah dan Makkah, kerana menyebar luaskan deen ALLAH SWT, memperbaiki ummah dan mengajak kepada kebnaran.
Kita juga sepatutnya demikian.
Perjalanan pulang mengambil masa 24 jam.
Namun perjalanan pulang rasa sekejap.
16 Jun 2009.
Sampai di Irbid.
Sebelum tiba di Irbid, ada seorang arab menasyidkan nasyid-nasyid selawat kepada Rasulullah SAW dan lagu-lagu mengingati baginda. Jiwa rasa sebak. Macam tidak cukup sungguh-sungguh semasa menziarahi baginda, macam tidak cukup gigih ketika melaksanakan ibadah di Haramain. MasyaALLAH…
Irbid sudah ibarat rumah.
Pulang sahaja terasa seperti pulang ke Malaysia.
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
ps: InsyaALLAH gambar-gambar akan saya upload di bahagian GALERI website ini. Saya juga akan menguploadnya di Facebook.




Taqabbalallah..minna wa minkum.
semuga diri ini juga punya kesempatan seperti enta…amin.