Langit Ilahi Rotating Header Image

Letakkanlah dunia itu di tanganku…

kita yang mempergunakan dunia, bukan dunia mempergunakan kita

kita yang mempergunakan dunia, bukan dunia mempergunakan kita

Ketika saya membaca Ayat-Ayat Cinta semasa tingkatan lima, watak Aisha mengajar saya satu kata-kata yang indah,

“ Ayahku mengajarkanku, supaya sentiasa berdoa, letakkanlah dunia di tanganku, bukan di hatiku”

Watak Aisha digambarkan sebagai seorang wanita yang teramat kaya. Goyang kaki sahaja, duit tetap masuk melalui pernigaan keluarganya. Watak itu dibentuk, sebagai pendamping Fahri, seorang pelajar miskin yang terpaksa menggadai tanah pusaka bapanya untuk belajar di Mesir, dan terpaksa bekerja lebih masa menterjemah buku untuk mencari wang tambahan.

Cerita itu membuatkan, manusia-manusia berkata,

“ Ha, nak tak nak, duit tu penting. Apa salahnya cari duit banyak-banyak?”

Dan saya tidak pernah menafikan kata-kata itu.

Tetapi fahamkah manusia akan makna,

“ Letakkanlah dunia itu di tanganku…”


Satu hari, guru saya menceritakan perihal kekayaan dan kemewahan. Saya mengangkat tangan, meminta izin untuk bertanya sesuatu. Ada tali-tali resah berselirat dalam kalbu.

“ Cikgu, salah ke kalau nak kaya? Ana kalau boleh, nak rumah besar, ada halaman yang lapang, ada bilik banyak, ada kereta dua tiga biji. Salah ke kalau ana nak semua itu?”

Cikgu itu wajahnya bersahaja mendengar soalan saya. Ketika itu adalah kuliah untuk para pembawa usrah/halaqah di sekolagh saya. Perbincangannya adalah seputar kehidupan para da’ie. Dan kita maklum bahawa para da’ie ini hidupnya adalah untuk berdakwah, bukan untuk mengumpul harta kekayaan.

Tapi, cikgu saya itu telah mengajar saya satu kalimah yang berharga. Dan kata-katanya, menterjemahkan kalam watak Aisha tadi.

“ Kita ini sebenarnya, boleh kaya. Tetapi kita tidak boleh mewah”

Dan penerangannya selepas itu, telah membuatkan saya faham.

Kita boleh kaya, tetapi kayalah kita seperti kayanya sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW. Tahukah kalian, dalam 10 orang yang diberita gembirakan dengan syurga, 2 daripada mereka adalah yang terkenal dengan kekayaan mereka?

Pertama adalah Abdurrahman bin Auf RA. Dan yang kedua adalah Saidina Uthman ibn Affan RA. Kedua-dua mereka adalah antara manusia terkaya, baik di zaman Makkah, dan juga di zaman Madinah.

Tidak dinafikan, dalam dunia ini, apa pun sukar dilakukan tanpa wang. Zaman Rasulullah SAW dahulu pun, wang diperlukan ketika peperangan. Rasulullah SAW akan menyeru kaum muslimin untuk berinfaq membantu tentera yang hendak keluar. Kita semua tahu kepentingan wang dalam kehidupan kita. Sebab itulah ISLAM mewujudkan zakat, sebagai jalan untuk lengkap melengkapi antara miskin dan kaya.

Menjauhi harta 100% adalah langkah yang tidak benar sebenarnya. Melebih-lebih dalam mencintai dan menggunakannya juga tidak benar sebenarnya.

Kita boleh untuk bekerja, cari wang, buat bisnes, dapat untung dan sebagainya.

ALLAH SWT berfirman, dalam Surah Al-Qasas ayat 28: Dan carilah dari apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu kehidupan di akhirat dan jangan kamu lupakan pula keperluan (nasib) kamu di dunia”

Tetapi, dalam kita mengumpul harta kita, hendaklah kita beringat bahawa semua itu datangnya daripada ALLAH SWT. DIA lah yang memberikan kekayaan itu kepada kita. Justeru, kita perlu menundukkan jiwa dan kehidupan kita kepadaNya serta menjalankan suruhanNya.

ALLAH SWT berfirman: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” Surah Al-An’am ayat 17.

Harta kita, bukannya untuk kita gunakan buat berangkuh-angkuh. Tetapi untuk kita gunakannya di jalan ALLAH SWT, membantu menaik taraf kehidupan ummat ISLAM seluruhnya, dan menggunakannya untuk beramal atas perintah ALLAH SWT.

Kita tidak dipergunakan oleh harta kita, kita tidak diperhambakan oleh kekayaan kita. Tetapi, kitalah yang mempergunakan dan memperhambakan kekayaan kita. Kita alirkan harta kita, ke arah ketaatan kepada ALLAH dan menyumbang kepada perjalanan deenNya. Dengan itu, barulah kekayaan kita bermakna.

“ Letakkanlah dunia itu di tangaku, janganlah letakkannya di dalam hatiku…”

Tidak salah untuk kaya. Yang salahnya adalah, berlebih-lebihan dengannya. Abdurrahman bin Auf RA dan Uthman bin Affan RA, tidak pula rumah mereka diriwayatkan lebih besar dari rumah sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Tidak pula mereka dikhabarkan sebagai orang yang suka membazirkan wang mereka, dan tidak pula dikhabarkan bahawa perawakan mereka angkuh dan bongkak. Mereka tahu, bongkak dan angkuh itu amat dibenci oleh ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman, “ Dan janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ALLAH dengan penuh keangkuhan”

Malah, mereka terkenal dengan sifat pemurah dan penyayang. Mereka juga tidak malas dalam menyertai peperangan. Malah, kekayaan mereka, mereka gunakan untuk memperkuatkan saf tentera muslimim. Sedikit pun mereka tidak dikelabui dengan harta mereka yang bertimbun tinggi. Malah, harta mereka telah ditundukkan untuk ALLAH SWT.

Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada kita dalam mengejar kekayaan.

Tidak pula mereka ini, menggunakan jalan yang kotor dalam berniaga. Mereka bukanlah pengamal riba. Bukan juga pengamal penipuan dan mengambil untung yang berlebihan dari sepatutnya. Tidak pula mereka dengki mendengki, dan hasad kepada mereka yang lain. Mereka adalah yang amanah, dan dekat pula dengan ALLAH.

Pada saya, itulah hakikat meletakkan dunia di tangan, bukannya di hati. Kita bisa melepaskan kekayaan kita bila-bila masa sahaja untuk ketaatan kepada ALLAH. Malah, andai kita diuji dengan kehilangan harta kita, tidak pula kita melatah dan mengeji ALLAH atas ujian itu. Kita bisa hidup tanpa harta yang melimpah, dan kita bisa juga hidup dalam ketaatan dengan wujudnya harta itu.

Jangan pula dunia ini melekat dalam jiwa kita, sehingga kita ingkat kepada ALLAH. Kita lakukan pembaziran dengannya dan sebagainya. Kita beli pakaian beralmari-almari, kita beli kasut berak-rak, kita beli kereta berbiji-biji, rumah berpuluh bilik bertingkat-tingkat, semuanya untuk memuaskan diri kita, sedangkan, yang kita pakai dan guna hanya dua tiga helai pakaian, dua tiga pasang kasut, dua tiga jenis kereta. Itu namanya sudah tertipu dengan dunia.

Syaitan Telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah; mereka Itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang rugi” Al-Mujadilah ayat 19.

Apakah itu caranya kita membalas pemberian ALLAH kepada kita? Dengan pembaziran?


Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah Saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. Surah Al-Israa’ ayat 27.

Sepatutnya, kita bersederhana sahaja.

Rasulullah SAW bersabda, “ Perkara yang terbaik adalah bersederhana” al-hadith.

Harta banyak tidak semestinya mesti kita tunjukkan dengan banyaknya barang-barang kita. Harta banyak, bukan untuk kita habiskan atas perkara yang akan reput, yang akan roboh, yang akan hancur. Sepatutnya, harta yang banyak, kita gunakan untuk perkara yang kekal, dan kita jadikannya sebagai saham untuk akhirat yang sudah pasti abadi.

“ Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan sesungguhnya semua balasan untuk mereka akan disempurnakan pada hari kiamat, barangsiapa yang diselematkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah hayat di dunia ini, melainkan kesenangan yang menipu daya” Surah Ali-Imraan, ayat 185.

Tiadalah kita memandang harta ini, melainkan limpahan rezeki anugerah ALLAH, untuk kita pergunakannya dalam beramal soleh. Kita bukan hamba kepada harta, tetapi hartalah hamba kepada kita untuk kita pula memperHAMBAkan diri kepadaNya. Sedikit pun tidak melekat di dalam hati kita, melainkan ada di tangan untuk kita gunakan ke arah ketaatan kepadaNya bila-bila masa.

Maka marilah kita didik diri kita, untuk meletakkan dunia ini di dalam tangan kita.

Agar kita mampu mempergunakannya di bawah ketaatan kepadaNya.

Kita didiklah diri kita, untuk dunia ini tidak terlekat di dalam hati kita.

Agar kita jelas, akan tujuan kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Itulah dia menjadi HAMBA kepada DIA.

Semoga ALLAH permudahkan.

Print This Post Print This Post

17 Comments

  1. Syahid says:

    Salam,sy br je habis mmbc Langit ilahi..Langit Ilahi ,bacaannya ringan dan mudah utk difahami.Sudah lama persoalan seperti dari mana kita datang,hala tuju kita yang bermain dalam fikiran sy dapat dikupas dengan begitu baik dalam LI.Saya amat berharap saudara Hilal dapat menghasilkan karya seperti LI pada masa hadapan dengan izin Allah.

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    laksamana Reply:

    Assalamu’alaikum,

    kepada saudara syahid,

    wah, ini pertama kali orang berbicara berkenaan buku saya. Alhamdulillah. Segalanya atas kamu yang membacanya. Kamu membuka hati, insyaALLAH kamu akan mendapat isinya.

    Semoga bermanfaat. Harapnya, kefahaman yang kamu dapat dari buku itu, kamu kongsikan dengan orang lain ya.

    Semoga ALLAH redha..

    ~terus mengharap kekuatan…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  2. atiqah mohammad khuzaini says:

    sgt menarik quote dr ayat2 cinta tu.
    semmgnye, kalau kekayaan digunekan dgn betul, sgt mmbawa manfaat pd ummah. kagum tgk pakcik makcik yg gunekan swimming pool kat rumah utk ajak teenagers dtg usrah kat rumah derg,then gunekan sepenuhnye rumah yg besar utk buat program. kadang2 3 program sekaligus!

    cumenye, bg ana sniri, lebih mudah nak mendidik jiwa kalau miskin. sbb kalau kaya, bile lalai akan bermewah. dan hisabnye pun nnti lebih banyak.huhu.but on a more serious note, manusia prlu bjiwa besar!wallahua’lam

    [Reply]

  3. aNa says:

    salam..
    sy pun tringin nk dapatkn buku saudara..
    smoga terus berkarya..^_^

    [Reply]

  4. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada atiqah,
    em, itulah kegunaan sebenar kekayaan.
    lebih mudah mendidik jiwa kalau miskin?
    anda pernah miskin?
    antara penyebab rosaknya aqidah adalah kemiskinan yang melampau.
    Sebab bukan semua manusia mempunyai kekuatan keimanan yang tinggi.
    sebab itulah ISLAM juga mengajak kepada taraf hidup yang lebih baik dan ekonomi yang lebih lancar.
    benar, semua manusia perlu berjiwa besar sebenarnya.
    kekayaan bukan dicipta untuk mempergunakan kita, kitalah yang selayaknya menggunakan kekayaan.

    kepada aNa,

    terima kasih. BErusahalah. InsyaALLAH anda akan mendapatkannya.
    Semoga ALLAH rahmati kamu.

    ~yang mengharap ALLAH memberikannya kekuatan.

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  5. Syahid says:

    salam,lupa plak nak tambah..harga buku LI time KLIBF,RM 17.85 daripada harga asal RM 21.00..marilah sama2 kita pergi mmborong buku di sana.Moga mendapat manfaat dan berkat daripd Allah.Kpd saudara Hilal,sy ada membuat sedikit review dan komen ttg LI di blog sy

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    laksamana Reply:

    Assalamu’alaikum,

    kepada syahid,

    terima kasih atas ulasan ringkasnya. Saya sudah baca. Agak terharu.
    Semoga ALLAH bantu kita dalam meningkatkan kualiti keHAMBAan kita kepadaNya.

    ~sesungguhnya kita ini hanya HAMBA

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  6. anum says:

    Salam saudara hilal,

    Penulisan saudara menarik perhatian krn sy sukar meminati novel. Dan sy akui antara yg minat penulisan karya barat yg kdg2 terdpt perkara yg tidak sesuai utk dijadikan bahan bacaan. Hinggalah sy bertemu dgn penulis spt Abu Hassan Morad,Hamka dan terbaru Pak Abib(Habiburahman).

    Maaf,sy tidak membaca karya saudara lagi. Masih sdg berjinak2 dgn penulis novel islami yg mendamaikan. Brgkali sy perlu meluaskan skop pencarian bahan bacaan dan mencari penulisan bersumber Al-Quran dan Sunnah dgn lebih bnyk.

    Semoga ada ramai lagi org seperti saudara. Yg bercerita dgn input mendamaikan bukan sia-sia.Oh ya, dlm novel AAC, ibu Aisya yg mengajar doa meletakkan dunia di tgn bukan di hati.

    Ditekan mood peperiksaan final ya? Semoga berjaya hendaknya. amin.

    Yg juga dibebani preparation exam,
    salam.
    anum

    [Reply]

  7. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada anum,

    terima kasih atas sokongan.
    Semoga ALLAH meredhai kamu.
    Kita ni, dengan perkara baru, kena berdikit-dikit dulu. InsyaALLAH, kalau kita hajat benar untuk mendalami ISLAM, ALLAH akan bukakan jalan untuk kita.

    Thanks for concerning my exam.

    All readers, ana rasa macam dikasihi pula. He3..

    Semoga ALLAH redha..

    ps: ana bukan tengah exam final. Baru exam kedua. Final ana 19/5.

    ~saudara anda..

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  8. imansyauqina imansyauqina says:

    assalamualaikum..

    sahabat.. terlalu besar makna dan impak dalam peribadi kita.. seharusnya pilih yang bertaqwa dan mendekati yang soleh juga berilmu.. tp jgn ditgglkn yang kurang atau lalai.. ajak dan tarbiyah ikut kita dan shbt yg lain..

    bagus sgt jika punya shbt yang berhati baik..

    [Reply]

  9. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada iman syauqina,

    em. Sahabat itulah yang perlu kita cari. Tawazun dan istiqamah dalam mencariNya. Dan dunia itu kita tundukkan untukNya.

    ~terus mengharap redhaNya

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  10. Abu Munzir says:

    Membaca buku Langit Illahi ternyata membawa kita semua menilai kembali diri kita. Sejauh mana hubungan dengan pencipta. Saya dah habis baca alhamdulillah. Teruskan usaha hilal menulis dan berdakwah. Mudah-mudahan kata-kata yang selama ini sukar untuk digambarkan atau diterjemahkan dalam bentuk penulisan akan dapat dimanfaatkan dengan penerbitan buku ini. Tak sabar untuk menunggu kelahiran buku seterusnya.

    [Reply]

  11. Abu Munzir says:

    Selamat berjaya dalam peperiksaan.

    [Reply]

  12. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada Abu Munzir,

    jazakallah. Kehebatan buku itu pada tangan pembacanya sebenarnya. Yang membuka hati akan merasainya. Yang tertutup, maka bukunya hanya tinggal helaian kertas semata-mata.

    Saya hanya menulis apa yang saya nampak, apa yang saya rasa, apa yang saya fikir, apa yang saya tahu. Saya hanya berusaha.

    ALLAH jugalah pemberi segalanya.

    ~HAMBA

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  13. Abu Munzir says:

    Saya pernah mendengar satu kata-kata hikmah melalui pembacaan saya baru-baru ini.

    “Letakkan dunia di atas tanganmu dan bukan di hatimu”.

    Sekali dibaca tidak membawa apa-apa makna. Tetapi bila dihayati sepenuhnya, kata-kata tersebut mempunyai nilai yang tinggi.

    Meletakkan dunia di atas tangan bermakna menganggap semua habuan di dunia adalah bersifat sementara dan tidak perlu dikejar. Meletakkan dunia di dalam hati bermakna kita menjadi manusia yang rakus dengan dunia dan segala habuan yang ada di dalamnya.Kemewahan dan kebendaan menjadi cita-cita tertinggi. Hati akan penuh dengan kecintaan terhadap dunia yang berlebih-lebihan. Meletakkan dunia di dalam hati akan membuatkan manusia menjadi tamak haloba bila menjadikan dunia sebagai matlamat dan bukan sebagai alat.

    Meletakkan dunia di atas tangan, bermakna segala kemewahan di dalam dunia ini digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat di akhirat. Segala kemewahan di dunia akan digunakan ke arah kebajikan dan dakwah di jalan Allah seperti menderma,bersedekah, mendirikan masjid,mendirikan pusat-pusat kebajikan untuk masyarakat, mewakafkan tanah dan lain-lain aktiviti yang memberi manfaat kepada manusia lain.

    Inilah perbezaan antara manusia yang meletakkan dunia di atas tangannya dengan manusia yang meletakkan dunia di dalam hatinya. Membiarkan dunia menguasai hatinya bermakna dunia akan merosakkan seluruh kehidupannya. Membiarkan tangannya menguasai dunia, natijahnya akan memberi kebaikan kepada diri individu tersebut kerana dunia sama sekali tidak akan mempengaruhi dan merosakkan dirinya.

    KISAH MUHAMMAD BIN WASI’

    Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan buku ‘best seller’ bertajuk “La Tahzan” menukilkan satu kisah teladan yang cukup menggugah jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi’.

    Muhammad bin Wasi’ terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

    Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi’ di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya.

    “Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.”

    “Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?”

    Mereka menjawab: ” Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.”

    Qutaibah berkata ; ” Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua. Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi’ untuk menghadapnya.

    Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi’ terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata.

    Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya.

    Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi’ selepas beliau keluar dari majlis itu.

    Muhammad bin Wasi’ membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut.

    Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi’ kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya ” Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?

    Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah ‘istighfar’ [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi’ adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

    Nabi saw bersabda :

    “Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.” [Riwayat Bukhari dan Ahmad]

    Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.

    Pada zaman kini, terlalu ramai manusia yang sudah menjadi hamba dunia sehingga gagal menghadiri majlis-majlis ilmu dan dakwah serta tiada masa untuk berzikir dan membaca Al-Quran kerana kecintaannya kepada dunia adalah terlalu kuat. Justeru, kita sangat-sangat memerlukan kepada kisah-kisah teladan sebegini kerana kisah-kisah seperti ini mempunyai pelajaran berharga kepada setiap manusia supaya hati mereka sedar dan bangun kembali daripada tidur leka yang berpanjangan.

    KESIMPULAN

    Meninggalkan kemewahan dunia bermakna kita hanya mengambil sesuatu yang bermanfaat bagi kita daripada dunia ini sahaja, sehingga tidak terlalu menyibukkan dan melalaikan kita. Dunia dan segala isi yang ada di dalamnya akan dijadikan sebagai penolong kita dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang meletakkan dunia di atas tangan dan bukan di hati.

    [Reply]

  14. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum..

    kepada Abu Munzir…

    hem.. comment terpanjang dalam sejarah penubuhan website ini.
    Terima kasih atas perkongsiannya.
    Semoga ALLAH redha…

    ~HAMBA

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  15. al-bazdawi says:

    salam..ana rasa mungkin enta tersilap atau terlepas pandang sedikit..maaf kalau ana tegur..

    surah al-Qasas ayat 28 bermaksud: Musa menjawab “perjanjian itu adalah antaraku dengan mu,yang mana sahaja dari du tempoh itu yang aku tunaikan,maka janganlah hendaknya aku disalahkan.Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita lakukakn itu.

    enta telah menulis bahawa surah Al-Qasas ayat 28 menyebut bahwa :“ Dan carilah dari apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu kehidupan di akhirat dan jangan kamu lupakan pula keperluan (nasib) kamu di dunia”

    [Reply]

Leave a Reply