Langit Ilahi Rotating Header Image

Motivasi: Di mana boleh dicari kekuatan, kebahagiaan, ketenangan?

Keimanan kita kepada Allah, punca kekuatan.

Keimanan kita kepada Allah, punca kekuatan.

Manusia ini, kehidupannya bukan sentiasa berada di atas. Kehidupan manusia, kembarnya adalah ujian. Akan tiba masanya, manusia akan diuji dari arah yang tidak terjangka. Kadangkala, ujian datang dalam keadaan manusia tidak bersedia.

Ketika ini, manusia akan mula terkapai-kapai. Mencari sesuatu yang dinamakan kekuatan. Mula hendak mendapatkan sesuatu yang bernama kebahagiaan. Cuba menggapai sesuatu yang dipanggil ketenangan. Tetapi, di mana?

Di mana hendak dicari semua itu?

Soalan itu, adalah antara soalan panas bagi seorang manusia.

Cari dari sumbernya

Siapakah yang menyisipkan kekuatan? Siapakah yang memberikan kebahagiaan? Siapakah yang menyusupkan ketenangan?

Siapa?

Allah. Jawapan saya hanya satu itu, dan tiada lain.

Allah SWT berfirman:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Tawbah ayat 40.

Ketika Rasululla SAW, hanya bersama Abu Bakr RA, dikejar dan diburu oleh kaum musyrik Quraiys, hampir dijumpai pula di dalam Gua Tsur, Allah telah menurunkan ketenangan kepada hati mereka berdua. Lihat, betapa berkuasanya Allah. Pada saat mereka sangat tersepit, ketenangan daripada Allah mampu menghilangkan segala resah gelisah.

“Tiadalah kemenangan(pertolongan) itu, selain dari sisi Allah…” Surah Al-Anfal ayat 10.

Itu adalah janji Allah SWT. Kenapa Allah SWT boleh berjanji sedemikian rupa? Kerana Dia adalah pemegang kekuatan. Pada Allah ada qudrah. Dan Dia berhak membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Siapakah yang pernah meminta kepada-Nya kekuatan?

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam)” Surah Asy-Syarh ayat 1-2.

Allah. Akhirnya, Allah jugalah sumber kepada semua yang dikehendaki oleh kita tadi. Kekuatan, ketenangan, kebahagiaan, semuanya adalah daripada Allah. Allah yang memberikannya, Allah yang menariknya semula.

Siapakah antara kita yang bergerak ke arah-Nya?

Hubungan kita dengan Allah SWT

Ada orang, masa dia susah sahaja baru dia ingat kepada Allah SWT. Masa dia ada sesuatu hajat, baru dia mencari Allah SWT. Semasa dia kaya, semasa dia berharta, semasa dia bahagia, semasa dia senang hati, dia lupa pada Allah SWT, malah bongkak kepada-Nya.

Siapakah antara kita yang berusaha menjaga hubungannya dengan Allah SWT? Atau sebenarnya kita ini, langsung tidak merasakan keterikatan kita dengan Allah SWT? Adakah kita hanya nampak, Allah itu di masjid sahaja? Adakah di masjid sahaja baru kita sibuk menjaga hubungan kita dengan Allah? Bagaimana di pejabat? Bagaimana di sekolah? Bagaimana di tempat anda berada sekarang? Adakah anda merasai keterikatan anda dengan Allah SWT?

Hubungan dengan Allah SWT ini, adalah hubungan yang unik. Hal ini kerana, kita berhubung dengan Allah yang ghaib dari pandangan kita. Tetapi untuk manusia yang beriman, dia akan sentiasa merasakan bahawa Allah SWT itu amat dekat dengan-Nya.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,” Surah Qaaf ayat 16.

Hatta, yang kita bisikkan di dalam hati pun, Allah mengetahuinya.

Apakah pantas semasa bekerja kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Apakah pantas semasa belajar, kita memutuskan hubungan kita dengan-Nya? Sebab itu, bagi mereka yang menghubungkan dirinya dengan Allah setiap masa, mereka akan serius dalam pekerjaan mereka. Mereka tidak akan sengaja curi tulang, tidak akan korup, tidak akan pecah amanah, tidak akan melakukan perkara-perkara yang Allah larang sepanjang pekerjaan mereka.

Mereka berusaha, menjaga segala apa yang Allah perintahkan sebaik mungkin setiap masa.

Semuanya untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah SWT.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. - sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.” Surah Asy-Syuara ayat 30-31.

Saya mendekati Allah, tetapi kenapa tidak bahagia?

Ini soalan yang popular. Ya, ada kalangan kita yang mendekati Allah, tetapi tetap tidak bahagia. Hidup tetap sukar. Malah, masih terasa sempit dan tidak tenang.

Adakah ini bermakna, mendekati Allah SWT itu tidak memberikan apa-apa?

Saya hanya tersenyum. Sudah Allah SWT katakan tadi, segala keburukan itu daripada diri manusia sendiri.

Cuba lihat semula, tidak tenang itu kenapa. Tidak bahagia itu kenapa. Tidak rasa mempunyai kekuatan itu kenapa. Walaupun sudah mendekati Allah, semua itu tidak datang kenapa? Antara sebab paling besar adalah:

“Kita mendekati Allah SWT, meminta kepada-Nya, pada masa yang sama kita mendekati apa yang dimurkai-Nya, dan mencintai pula kemungkaran itu”

Di sinilah punca, penghalang kepada kebahagiaan kita, kekuatan kita, ketenangan kita. Dosa ibaarat bintik hitam yang melekat di dalam hati. Semakin banyak dosa, semakin banyak bintik hitam. Akhirnya, hati gelap dan keras. Kita mendekati Allah, tetapi kita mencintai kemaksiatan. Kita tidak membuang punca keresahan kita, kita tidak membuang punca kelemahan kita, kita tidak membuang punca kegelisahan kita, macam mana hendak mencapai kekuatan, ketenangan dan kebahagiaan?

Kita perlu lihat semula.

Adalah mustahil menggabungkan dua cinta ini dalam satu masa.

Cinta kepada Allah, dan cinta kepada kemurkaan-Nya.

Penutup: Puncanya, kita menjauhi-Nya

Hairan apabila kita melihat kembali kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang miskin, dan serba kekurangan seperti Bilal bin Rabah RH, Abu Hurairah RH, hatta Rasulullah SAW sendiri, tetapi mereka semua bahagia dan penuh dengan ketenangan. Tiada sahabat Rasulullah rumahnya banglo macam rumah kebanyakan kita. Rasulullah SAW sendiri tidur di atas pelepah tamar sehingga berbirat belakang tubuhnya. Kita paling kurang pun akan tidur di atas tilam.

Tetapi mereka bahagia. Bahagia. Mereka kuat. Sangat kuat. Mereka tenang. Menenangkan pula sesiapa yang melihat mereka.

Kenapa?

Mereka mendekati Allah SWT. Kerana mereka beriman dengan Allah SWT.

“Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” Surah Al-Anfal ayat 64.

Ya, Allah sudah cukup untuk mereka.

Saya teringat dahulu, orang selalu baca: “Hasbi rabbi jallallah, ma fi qalbi ghairullah” yang maksudnya, “Cukuplah untuk aku Tuhanku Allah yang agung, tiada di dalam kalbuku melainkan Allah” Di mana agaknya pembumian kata-kata ini dalam kehidupan kita hari ini?

Apa punca kelemahan kita? Apa punca kegelisahan kita? Apa punca keresahan kita?

Kita menjauhi Allah SWT. Lihatlah, apabila manusia tidak mengambil Islam, apa yang berlaku kepada dunia? Huru-hara.

Kenapa manusia tidak memerhatikan ini?

Kenapa kita, tidak memerhatikan perkara ini?

Dunia ini, bukan terpagar dalam alam materialistik sahaja.

Print This Post Print This Post

21 Comments

  1. bayutimur says:

    ku mangharapkan kebahagian dan ketenangan yang berpanjangan..namun apakan daya tak kala dugaan menimpa kegelisahan juga yang menyelubungi..namun insyaallah, akan ku cari kekuatan tanpa rasa jemu

    [Reply]

  2. nur-najah says:

    salam…
    terima kasih atas artikel ini.
    mmag ia sesuai dgn keadaan sekarang kerana rmai trtanya2 dimna hrus ketenangan, kekuatan, dan kebahagiaan dicari??
    sesungguhnya orang yg x tenang, bahagia dan kuat itu kerana mreka tiada contact dgn Allah.
    Hanya orang2 yg - bnar2 ikhlas dan cinta kpdNya + cinta utk beribadat kpdNya shja yg dpt merasai kemanisan dan ganjaran drpdnya itu..

    segala-galanya hanya kerana Allah…
    swmoga kte sentiasa di jalanNya. Amin….

    [Reply]

  3. mujahidah cinta Ilahi says:

    Assalamu’alaikum,,

    Alhamdulillah, anta diberi kekuatan oleh Allah untuk melakarkan entry yang cukup membantu menyedarkan ana betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah ini. Sudahlah sering melakukan dosa, kadang kala sampai terlupa adakah kita masih sentiasa berhubungan dengan Allah di setiap hela nafas kita ataupun tidak?. Kadangkala juga, di saat keresahan, kegelisahan dan kecelaruan, kita sering terlupa untuk memohon kekuatan, kebahagiaan dan ketenangan dari Yang Maha Berkuasa sedangkan tiada siapa lagi yang lebih bekuasa dalam segala hal melainkan Allah. Benar bicara anta, sering kali kita menghadap Allah di kala kita susah sedangkan di kala kita senang, kita sering melupakan Allah.

    Astaghfirullahal ‘azim,,mudah-mudahan kita semua dapat menghayati entry ini dan sama-sama bermuhasabah agar dapat memperbaiki segala kekurangan lantas beriltizam untuk menjadi hamba yang terbaik dalam redha Allah. Moga kita menjadi seorang insan yang cahaya Islamnya terbit dari lubuk hati suci yang paling dalam dan terus menerus memancarkan sinar bukan sahaja pada diri malah semua.

    Buat anta,,semoga terus diberi kekuatan, kebahagiaan dan ketenangan daripada Allah dalam perjuangan ini.

    Salam ukhuwah, mahabbah fillah.

    [Reply]

  4. cik ana plymouth says:

    salam wbt
    *hubungan ati dgn Allah kne slalo dijaga,dikawal, and dikuatkan..insyaAllah tenang itu akan smpai tak kira cepat atau lmbat..perlunye akal diisi ilmu mngenal Allah n Deen Nya,br ley perkuat hbgn=cari ketenangan=temui kebahagian *

    p/s:cik ana ske catat pe cik hilal tulis.seronok plak..nnt ley share ngn kwn2 yg kurang rjin mmbace tp ske mdengar..yeehaaa..

    [Reply]

  5. iman says:

    salam,

    TEPAT jawapan hilal ttg persoalan..

    Saya mendekati Allah, tetapi kenapa tidak bahagia?

    saya suka baca surah al fajr ayat 15-30, bila saya rasa susah dan resah gelisah..

    ringkasannya
    -Allah berfirman…manusia ni bila Allah bagi kesenangan dia kata Allah telah muliakan dirinya
    - tapi bila Allah uji dengan kesusahan, manusia kata Allah telah menghinanya
    -Allah kata, tidak…Allah tak hina pun. manusia yg salah..cinta harta, campur halal n haram dll…
    -Last sekali Allah pujuk manusia dengan nasihat yang sangat lembut dan tulus
    “Wahai jiwa yg tenang…kembalilah kpd tuhanmu dgn hati yg redha dan meredhai..maka masuklah dlm golongan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu..

    [Reply]

  6. wani says:

    ya Allah, perbaikilah amalanku…amiin…

    [Reply]

  7. ketenangan & kbhagiaan itu dtg dr Allah. bila kbaikan d campur dgn kemungkaran, dgn maksiat, mmg x akn cpai tahap ketenangan, kdamaian jiwa itu. klu dpt pn, jap je, xrsa kekal sume ketenangan tu..

    [Reply]

  8. nicemedicine says:

    entry yang cukup bermakna bagi hati yang gelisah
    Ana tertarik dengan kata enta
    “Adalah mustahil menggabungkan dua cinta ini dalam satu masa.Cinta kepada Allah, dan cinta kepada kemurkaan-Nya.”
    Cinta kepada Allah yang sejati akan melahirkan buah ketaqwaan dan kita akan sentiasa berhati-hati dalam amalan kita kerana kita percaya Allah sentiasa melihat kita walau hanya lintasan hati kita.
    Salam ukuwah fillah

    [Reply]

  9. makcik chomil says:

    assalam…
    satu tazkirah yg baik. Alhamdulilah mkc berkesempatan menatapnya. Moga Allah beri kekuatan utk terus mengikuti blog ini. wassalam…

    [Reply]

  10. kembali tenang says:

    :grin: tenang dalam apa jua mehnah,

    Ps: konklusi dari komen2 di atas

    [Reply]

  11. jadikan aku serikandi says:

    assalamu’alaikum..

    “Ya Allah berikanlah aku kekuatan dan ketabahan serta ketenangan, sesugguhnya engkaulah sebaik2 pendamping dan pemberi pertolongan”

    p/s: usaha escelator kejayaan

    salam
    ikhlas
    serikandi

    [Reply]

  12. pencintaNya says:

    Salam wbt
    masyaALLAH..tabarakALLAH waakhsanul khaliqin
    jzkk kepada penulis serata komen2 sabahat/h
    kdg2 ana rasa pelik knp xdpt ketenangan itu
    alhamdulillah
    artikel ini buat ana muhasabah…
    kita nk cinta Allah
    tapi kita x mujahadah nk tgglkan apa yg ALLAH murkai…
    n cahaya itu tak tembusi hati yang kotor…
    astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah…

    MARI BENCI APA YANG ALLAH LARANG
    TAPI KITA BUAT APA YANG ALLAH SUKA :)

    [Reply]

  13. Nurul says:

    Alhamdulillah..saya akan berusaha mnedekati Allah.saya berharap ketika iman saya lemah,pada masa itu.saya harapkan kekuatan dari Allah.ketika iman ku hanya pda Allah,akan ku usahakan perintahnya dengan sepenuh hai..semoga kita semua,termasuk dalam golongan mukminin dan mukminat,amin.
    terima kasih hilal atas artikel ini.
    marilah mendekati Allah,pencipta kita dan sekalian isi bumi dan langit

    [Reply]

  14. nurul86 says:

    asalamualaikum,,
    alhamdulillah..akhirnya saya bertemu juga dengan jawapan dr persoalan tersebut…saat ini saya merasakan gelisah resah ..dan mudah mudahan setelah membaca artikel ni..ia dapat membantu saya memperbaiki diri…saya tertarik dengan kata-kata ini

    “Adalah mustahil menggabungkan dua cinta ini dalam satu masa.Cinta kepada Allah, dan cinta kepada kemurkaan-Nya.”

    semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk membuang punca keresahan dan kegelisahan yang ada…
    saya rindukan ketenangan……dan kebahagiaan saat ini T_T

    [Reply]

  15. syaimaa' says:

    salam ‘alayk

    mintak izin kupi pes ye.
    tak sempat nak baca.
    afwan.
    jzkk in advance.

    wallahua’lam

    [Reply]

  16. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada bayutimur

    Jangan putus asa. Allah sentiasa ada. Ujian-Nya, tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

    - kepada nur-najah

    Ya, siapakah yang berhubungan dengan Allah.

    - kepada mujahidah cinta Ilahi

    Terima kasih atas perkongsiannya. Moga membantu menguatkan yang lain.

    - kepada cik ana plymouth

    Silakan catit . Semoga Allah redha.

    - kepada iman

    Terima kasih atas perkongsiannya…

    - kepada wani

    Amiiin…

    - kepada
    راتو شهادة

    Sememamngnya.

    - kepada nicemedicine

    Alhamdulillah. Moga ada kekuatan di dalamnya.

    - kepada makcik chomil

    Moga Allah beri kekuatan untuk menjadi hamba-Nya.

    - kepada kembali tenang

    Alhamdulillah.

    - kepada jadikan aku serikandi

    Semoga Allah berikan kekuatan.

    - kepada pencintaNya

    Ya, semoga Allah redha dengan kamu dan memudahkan urusan kamu.

    - kepada Nurul

    Sama-sama memperingatkan diri juga.

    - kepada nurul86

    Semoga Allah memberikan kamu, apa yang kamu perlukan.

    - kepada syaimaa’

    Ha ha syaimaa’, kelakarlah. Tak baca lagi, tapi minta copy paste. hu3..

    Semoga Allah redha dengan Syaimaa’.

    Baik-baik aja neh?

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  17. syaimaa' says:

    hehe.
    semoga anta juga diredhaiNya..

    [Reply]

  18. nurbiru says:

    Langit ilahi jadi teman saat duka ditinggal kekasih hati disangka setia sampai mati, ttp ditinggal suami kerana memilih puteri dan bidadari dunia. Tak mengapalah sekurang-kurang langit ilahi memberi teduh, syukran untuk kalimah dari jiwa anta yang mengubat luka. Terasa ada sahabat sejati dekat di hati di alam maya

    [Reply]

  19. hambamencari says:

    Salam.

    Sesungguhnya, entry yg menyedarkan.

    Kisah Rasulullah dan Abu Bakr, terigt lagu Mirwana, Khalifah Pertama.
    SubhanAllah, lagu tu sgt menyentuh hati.

    [Reply]

  20. Nujaimi Othman says:

    Alhamdulillah…akak bersyukur kerana Allah mendatangkan penulis seperti Asyraf…terasa hingga ke dalam hulu hati tentang kebenaran mencari kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup yang hakiki…sebetulnya manusia memang hanya mengingati Allah ketika ditimpa kesusahan…masa senang segalanya telah hilang dari kotak fikiran,,amal ibadat hanya dilakukan hanya sebagai melepaskan batuk di tangga…buat hanya sebagai syarat…tidak betul-betul fokus…apabila ditimpa kesusahan mulalah tangan ditadah kepadaNya dengan penuh tertib…Ya Allah ampunkan segala dosaku kerana berkeadaan demikian…aku bersyukur padaMu kerana di uji dengan ujian yang hebat ini…membuatkan aku sentiasa berharap pada Mu…teruskan menulis wahai adikku Asyraf…dengan artikel yang boleh menyedarkan masyarakat…

    [Reply]

  21. syumul says:

    T_T :cry: bantuin aku ya Allah
    aku pohon ampun padaMu ya Allah

    [Reply]

Leave a Reply