Langit Ilahi Rotating Header Image

Motivasi: Kamu sahabat aku, tapi aku bukan sahabat kamu

kita yang perlu merealitikan teori, jangan tunggu teori menjadi realiti

kita yang perlu merealitikan teori, jangan tunggu teori menjadi realiti

Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.

Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya”

“Saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu je kehadiran saya”

“Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya”

“Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya”

Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan.

Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.

Jadilah sahabat kepada orang lain, dan jangan sesekali kita tuntut orang lain menjadi sahabat kita.

Berhadapan realiti

Kita sukakan kehangatan ukhuwwah. Kita suka baca kisah dua sahabat yang kukuh ukhuwwahnya. Kita juga suka mereka cerita akan dua sahabat yang berpanjangan kasih sayangnya. Saling cinta mencintai, lengkap melengkapi.

Jangan salahkan cerita-cerita itu. Pada saya, cerita-cerita sedemikian perlu wujud dalam hidup kita.

Kita sepatutnya merealitikan cerita-cerita itu dalam kehidupan kita. Cuma realiti hari ini, perkara sedemikian hampir tiada.

Kenapa?

Kerana bukan semua orang yang faham berkenaan ukhuwwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwwah macam kita faham?

Kalau kita faham bahawa ukhuwwah tertinggi adalah itsar(melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya di dalam amalan?

Itu sebenarnya, cabaran kita sebagai manusia yang hidup di alam realiti, bukan di dalam novel dan drama.

Jangan lepaskan teori itu

Namun ini tidak bermakna, saya menyuruh anda melepaskan ukhuwwah anda. Cuma saya hendak membawa anda melihat satu sisi baru.

Dari kita mendambakan balasan sahabat kita, saya senang agar kita melupakan balasan daripada sahabat kita. Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa.

Dengan ini, anda tidak melepaskan teori-teori ukhuwwah.

Hakikatnya, teori ukhuwwah bukan terletak kepada dua hala. Kau bagi, dia balas. Dia baik, kau baik. Tidak. Sebenarnya, teori ukhuwwah tersimpan dalam satu individu tanpa menuntut individu lain membalasnya.

Ukhuwwah dibina atas dasar keimanan. Dan dari keimanan berbuahnya keikhlasan.

Keikhlasan ini membuatkan kita bergerak mengasihi sahabat kita tanpa mendambakan balasan apa-apa.

Jangan lepaskan teori ukhuwwah. Anda adalah manusia yang bertanggungjawab membumikannya.

Anda. Cakap perkara ini dalam diri anda. Jangan tuding perkara ini pada sahabat anda.

Susah

Memang susah. Siapa cakap senang, bohong la. Tapi inilah dia ukhuwwah.

Tahu apa yang membuatkan ukhuwwah itu indah?

Pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tidak namakan hubungan itu satu ukhuwwah.

Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhuwwah kita.

Itu yang membina ukhuwwah. Dan pengorbanan kita mestilah berdiri atas keimanan dan keikhlasan, tidak terkeluar dari batas dua perkara itu.

Namun pengorbanan, inilah yang membuatkan manusia sukar merealitikan ukhuwwah. Berkorban tanpa mendapat apa-apa balasan?

Mesti ada yang berfikir 10 kali akan perkara itu.

Namun siapakah anda untuk mengubah hati orang lain agar mengira kasih sayang anda kepadanya?

Allah jugalah yang membolak balikkan hati

Sebab itu, kita dirikan hubungan kita atas matlamat hendakkan keredhaan Allah SWT. Saya sendiri, tidak akan membina ukhuwwah dengan orang sekiranya Allah tak suruh. Jadi, kita bina semua ini adalah kerana Allah SWT.

Allah SWT, Dialah yang memberi hidayah. Dialah yang membolak balikkan hati. Kita bina hubungan kita dengan ikhlas, kita harapkan nanti Allah SWT akan bantu lembutkan hati sahabat kita, dan buatkan kita dengan sahabat kita hidup dalam kasih sayang yang hangat.

Namun yang penting, dalam ukhuwwah ini, kita yang perlu memberi.

Saya suka akan kata-kata seorang ulama’ di Jordan. Saya selalu ulang.

“Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT”

Jadi, sebenarnya, untuk kita mendapat timbal balik atas kasih sayang kita kepada sahabat kita, hendaklah kita bergerak membawa dia memahami atas dasar apa ukhuwwah ini dibina. Kalau dia juga faham bahawa hubungan dia dengan kita, adalah tanggungjawab dia kepada Allah, pastinya dia akan bergerak untuk tidak mensia-siakan kita.

Namun, sahabat kita bukan matlamat kita. Kalau kita kecilkan skop ukhuwwah ini hanya kepada dua tiga orang di sekeliling kita, maka rugilah kita. Rendahlah ukhuwwah ini sebenarnya.

Apakah matlamat besar ukhuwwah?

Matlamat besar ukhuwwah, adalah untuk manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT duduk di bawah satu bumbung, bergerak dengan satu barisan yang tersusun. Kasih mengasihi kerana Allah, lengkap melengkapi dalam kerja-kerja menyebarkan agama-Nya, mengelak perpecahan agar musuh tidak mampu mengambil peluang daripadanya.

Kenapa kena faham ukhuwwah?

Kerana itulah.

Penutup: Jadikanlah diri sahabat kita sebagai sahabat kita. Diri kita, nanti dahulu

Saya tengok satu drama. Watak di dalam drama itu berkata:

“The one who demand gentleness from his friends, is not gentle”

Maka jadilah sahabat yang sebenarnya kepada sahabat kita. Jangan kita ungkit kebaikan kita kepadanya. Lalui hidup ini dengan tabah, dan ikhlaskan niat sentiasa kepada Allah SWT. Allah SWT jugalah sebaik-baik pemberi balasan.

Alangkan sebesar zarah pun Allah kira, apatah lagi kebaikan yang kita lakukan kepada sahabat kita.

Jangan sesekali kita hendakkan dia membalas kebaikan kita. Hati manusia bukan macam plastisin. Kita ketuk terus berubah. Alangkan Umar Al-Khattab pun, bukannya kenal Rasulullah terus beriman. Hati manusia perlukan proses yang berpanjangan dan berterusan.

Jangan putus asa dengan persahabatan anda, kasih sayang anda, yang anda rasa tidak berbalas sehingga hari ini.

Ingat lah bahawa, sekarang ini, dia adalah sahabat anda. Tetapi anda mungkin belum menjadi sahabatnya sekarang.

Saya lalui juga perkara ini sebenarnya. Sahabat yang saya sayang, tak hubungi saya pun. Saya, kalau tiga hari tak hubungi dia dah rasa macam sesuatu yang tak kena. Tapi sahabat saya, tak kisah pun. Tunggu saya hubungi baru nak hubungi saya.

Tapi yang selalu saya kata pada diri saya, adalah apa yang saya katakan pada anda sekarang.

Jadikanlah sahabat kita sebagai sahabat kita. Diri kita pada dia, nantilah dulu. Biarlah kita berkorban, dan biarkanlah dia yang masih tidak mampu memahami semua ini. Jangan kita demand apa-apa.

Yang penting, kita dirikan persahabatan kita, hanya untuk mendapat redha Allah SWT, dan memperkuatkan ummah ini. Maka, apa lagi? Ikhlaskan niat, bergeraklah mencapai keredhaan-Nya, dalam persahabatan anda. InsyaAllah, manusia yang ikhlas bersahabat, akan dinaungi Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya.

Print This Post Print This Post

28 Comments

  1. hatimzikri hatimzikri says:

    salam,

    pengisian yg baik, syukran. teringat pulak ramai kawan2 yg dh loose contact, kne cari balik ni..paling tidak terus mendoakan kesejahteraan mereka

    [Reply]

  2. syahrafi says:

    saya sayang sahabat saya.. tapi mampukah saya melebihkan mereka dari diri saya sendiri??

    [Reply]

  3. adar says:

    terima kasih duhai sahabat..saya akan cuba jadi sahabat yang terbaik.

    [Reply]

  4. saye says:

    :cry:

    [Reply]

  5. permatakasih says:

    rupa2nya dlm bersahabat pun Allah turut terlibat..mmang hati ini selalu memikir imbal balik dr setiap perbuatan..kerana itulah sedikit ssah untuk mrasai kemanisan ukhwah.
    Ya Allah,ikhlaskan hatiku dalam setiap amalan.Moga hati ini x mngharap selain drMu..ameen.

    [Reply]

  6. zinnirah says:

    salam,
    most of us suka buat bad assumption ataupun suu’ zhon dgn shbt2..dn kita disuruh utk berlapang dada ngn shbt2..
    namun, stakat manakah kita patut berlapang dada??
    dan kita x lepas dr fitrah manusia yg kdang2 akan terasa sakit hati..
    ana takut utk meminta prtlongan dr shbt2 ana..sampaikan family ckp yg ana nie slalu je lebihkn shbt dr kluarga..tp bila diri sendri susah xnak mintak tlg ngn shbt2..last2 family jgk yg ana cari klau dlm ssah..
    so,perlu ke utk kita meminta jasa org?
    ana pernah terbaca doa nie…
    ” Kami memohon Ya Allah kecukupan, yang tidak sampai kami terpaksa meminta daripada orang lain”

    [Reply]

  7. TigrisL says:

    Syed Qutb said:
    “Indeed our words will remain lifeless, until we die in pursuit of those words, then those same words will be brought to life and live amongst the people, inspiring them and bringing their hearts to life.”….

    [Reply]

  8. ana says:

    salam,
    terima kasih.. :cry:

    [Reply]

  9. srikandi dataran syam says:

    salam,syukran atas pengisian yg menyentuh jiwa..adakalanya diri ini memikirkan juga imbal balik atas segala kebaikan yg dicurahkan pd insan lain…namun,post kali ini benar2 membuatkan akak rasa tenang dan lebih bersemangat untuk memberi pd insan lain tanpa mengharapkan balasan melainkan dari Allah…

    [Reply]

  10. hambamencari says:

    Salam.

    Mmg benar ukhuwwah perlukan pengorbanan. Pernah melaluinya.
    Tapi disebabkn diri ini hanya menginginkn redha Allah dan kasihNya.. maka diri ini sanggup, krn tahu dan yakin bhw janji Allah itu benar..

    Pengorbanan itu kdgkala pahit tapi bila difikirkan ganjarannya di kemudian hari… :)… fikir2kanlah..

    Wallhu’alam..

    [Reply]

  11. yan says:

    assaalam..
    trime kasih atas nasihat anta itu..
    xternilai nasihat anta..
    tmbh2 skrg saye sedang mlalui nye…
    syukran2…

    [Reply]

  12. nurul says:

    saya pun sayang sahabat saya yang saya kenal hampir 8 tahun.sayang. terima kasih entry ini.teruskan berdakwah

    [Reply]

  13. ingin kembali ke jalan benar says:

    sekadar bertanya.kelihatan sekarang,remaja tak kira lelaki atau perempuan sibuk dengan hal duniawi.pengisian rohani kurang kukuh menyebabkan mereka kadang2 berkata ” life’s overrated maybe death is d best”
    tak payah tunjuk orang lain.kadang2 saya pon fikir macam tu jugak.
    harap anda dapat bantu saya kembalik ke jalan yang benar

    [Reply]

  14. aisha soleha says:

    assalamualaikum.
    saya mempunyai seorang kenalan.Sudah hampir dua tahun kami berkawan.Bagi dirinya ,saya adalah sahabatnya dunia dan akhirat.Katanya senyumanku mampu membuatkan dirinya bahagia.
    Namun saya rasa amat berbeza.Memang kami banyak berkongsi pelbagai hal.Hakikatnya saya merasakan dia terlalu baik untuk saya.Sehingga ada sahabat saya yang lain menegur saya,
    “saya rasa dia cukup baik dah.Even awak ignore dia,dia still setia tunggu awak”

    n etc.dan sehingga saat ini saya rasa bersalah.
    Semoga kebaikannya pada saya dibalasi dengan ganjaran disisi Allah

    [Reply]

  15. metal wave says:

    saya seorang yang banyak membuat sahabat saya kecik hati dengan saya. saya terlalu sayangkannya sehingga saya takut untuk rapat dengan dia sebab saya xnak tgk die sedih sebab saya lagi.saya sekarang melarikan diri dari dia. saya juga takut untuk menjadi rapat dengan orang lain. sebab saya takut kecewakan mereka. adakah tindakan saya ini wajar?

    [Reply]

  16. nureins says:

    indahnya ukhwah :smile:

    [Reply]

  17. razimah says:

    ya…betul tu. Suatu hari nanti kita akan rasa manisnya ukhwah sebab kita lakukannya kerana ALLAH. Perasaan tersebut tak dapat digambarkan betapa bahagianya…ALLAH yang lebih tahu.

    [Reply]

  18. fania says:

    MashaALLAH3, terubat sedikit hati yang acap pecah… moga terus lagi mengalir lagi ilhammu… Jazaakallah…

    [Reply]

  19. oren says:

    saya setuju dgn awak..
    x smua org macam kita dan apa yg kita harapkan..
    amat sukar untuk terusan bertindak (memberi) tanpa balasan…
    tapi ia boleh dibuat..~ dengan keikhlasan..

    :idea:

    [Reply]

  20. mukhlisah says:

    article ni memnag kena pada saya.. selepas ii saya akan cuba memanhami konsep ukhuwah itu….bertemu dan berpisah kerana Allah..

    [Reply]

  21. sum^1 says:

    salam..artikel ini amat bermakna bt saya..thanks to all esp. my beloved frend “che tiq”..

    [Reply]

  22. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada hatimzikri

    ya. Tepat sekali. Kalau tak jumpa pun, jangan lupa dalam doa.. itu tanggungjawab…

    - kepada syahrafi

    tanya diri anda, jawab sendiri, dan usaha bagi mampu. Semua manusia mampu sebenarnya, cuma kita kena latih diri, proses diri. Hakikatnya, semua ini bersangkut dengan keimanan kita…

    - kepada adar

    insyaAllah, kita sama-sama berusaha

    - kepada saye

    semoga tangisan kamu bermakna di sisi Allah…

    - kepada permatakasih

    semoga Allah makbulkan permintaan kamu.
    Dalam semua perkara di dalam dunia ini, kita kena hubungkannya dengan Allah SWT. Sebab, menjaga hubungan dengan Allah lah kita mampu melakukan sesuatu itu dengan terbaik, dan mengelak diri dari kejahatan…

    - kepada zinnirah

    sebenarnya, antara pertolongan Allah SWT dalam kehidupan manusia, adalah sahabat. Dan kita kena faham keluarga juga adalah sahabat. Sahabat dengan keluarga, kita kena layan sama rata. namun biasalah manusia, yang rapat yang tu la dia tak nampak.

    Kita kena nampak keikhlasan dalam persahabatan. Kita dengan sahabat kita, adalah tanggungjawab kita pada Allah. Jika kita faham yang ini, maka selesai lah masalah sakit hati dan sebagainya apabila tidak dibalas perbuatan kita…

    - kepada TigrisL

    terima kasih atas perkongsiannya….

    - kepada ana

    sama-sama…

    - kepada srikandi dataran syam

    yeah, terus memberi akak!

    - kepada hambamencari

    harap terus ikhlas dalam berkorban…

    - kepada yan

    alhamdulillah, segala kebaikan itu, daripada Allah juga datangnya…

    - kepada nurul

    terima kasih… Semoga Allah redha dengan persahabatan kamu..

    - kepada ingin kembali ke jalan benar

    dunia adalah ladang akhirat. Kehidupan adalah peluang. Di dunia, kita menyemai benih tumbuhan yang hendak kita tuai di akhirat. Di dunia, ada ujian-ujian yang Allah sediakan untuk perhatikan prestasi kita agar dapat imbuhan di akhirat. Saya ulang, kehidupan adalah peluang.

    Jadi, mematikan diri adalah bermaksud, menutup peluang ini.

    Bunuh diri, adalah tindakan paling tidak bermoral, dan amat kurang ajar kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih, yang telah mengurniakan peluang kepada kita.

    Jadi, di sini pesan saya. Kenapa kamu hendak membuang peluang yang telah diberi? Mati biar bila sampai waktunya. Hidup, biar sampai mati.

    Gunakan peluang dan kasih sayang Allah ini sebaiknya. Jalani hidup dengan tabah. InsyaAllah, setiap kesusahan ada kebaikan yang mengirinya.

    - kepada aisha soleha

    kamu amat beruntung ada sahabat demikian. Sepatutnya, kamu hargai dia. Kadangkala, tidak semestinya hargai itu bemaksud kamu perlu buat benda yang sama dengan dia. At least kamu rai hari2 penting dia seperti birthday, hari periksa dan sebagainya.

    Ikhlaskan niat kamu berhubungan dia. Kerana siapa?

    - kepada metal wave

    maaf saya cakap: Tindakan kamu tidak wajar.

    Kenapa kamu melarikan diri dari orang yang menyayangi kamu? Dia menerima kamu dengan tangan terbuka. Sepatutnya inilah peluang kamu untuk mempertingkatkan diri kamu.

    Tiada siapa akan hidup dengan baik tanpa sahabat yang membimbing.

    Kamu kena ubah diri kamu. Rapatilah sahabat2 kamu yang boleh bawa kamu kepada kebaikan. InsyaAllah, mereka adlah orang yang mampu menerima cacat cela yang kamu ada, jika mereka pun faham akan konsep ukhuwwah fillah…

    - kepada nureins

    indahnya ukhuwwah, kerna di dalamnya ada pengorbanan…

    - kepada razimah

    ya, Allah lebih tahu. Senyuman sahabat, lebih indah dari sinaran matahari tika tenggelam di ufuk..

    - kepada fania

    amiiin… Allah SWT jugalah yang membolak balikkan jiwa…

    - kepada oren

    yang penting, kita usaha pertingkatkan diri…

    - kepada mukhlisah

    semoga mampu membumikannya…

    - kepada sum^1

    Semoga kamu dan kawan kamu, dirahmati Allah…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  23. musafir ilmu says:

    ramai yg ingin bersahabat dgn ana.. tapi bila dah ramai jdi jeles2 .. ana tersempit diantara sahabat yg memang dah rapat sejak kecil dgn sahabat yg baru rapat…

    rapat dgn ni tu jeles rapat ngan tu ni jeles..

    bila rapat ngan 2 .. dua2 x berckp ..

    haisy!!!

    [Reply]

  24. puteri emas says:

    salam tq , pengisian yg menarik

    satu soalan

    mcm nak selesaikan masalah assobiah ??

    [Reply]

  25. ~dae_meen~ says:

    Terasa ana…………minta maaf Hilal………..

    [Reply]

  26. farhA says:

    slm..dis is my 1st comment..
    emm..topik ni kena sgt ngan ana..hu..
    selama ni..prinsip ana mmg mcm tu..
    tp..lately ana ada prob ngan shbt ana..
    n ana da usaha semua jln..
    tp still ana x jumpe jln kluar..
    kdg2 rs penat sgt..kdg2 rs nk give up..hu..
    apa patut ana buat ye..ana syg dia..tapi…ana da x tau nk buat apa utk selamatkan hubungan tu..

    [Reply]

  27. ainul mardhiah.. says:

    salam…ye amat bermakna dan penuh kata-kata semangat.saya pun memang pernah alami seperti itu..siapa yang tak pernah alami kan??saya pun sayang ngan sahabat saya dan saya sering nasihatkan diri dan peringatkan diri ini seperti apa yang hilal katakan tu…biarlah dia yang menjadi sahabat untuk kita tetapi diri saya belum tentu menjadi sahabat buat dirinya..saya selalu pujuk hati ni..dan sekarang saya faham uhkwah tu bukan dipaksa kerana ia titipan dari Allah jua :lol:

    [Reply]

  28. Ina says:

    Salam,

    Subhanallah. Berhari2 saya cuba cari jawapan utk masalah saya, lalu Allah izinkan saya jumpa blog ini. In fact saya beru saja membaca buku saudara Langit Illahi. Alhamdulillah. Masalah saya sama dengan Farha. Sahabat saya seolah-olah menjauhkan diri dari saya, gara-gara saya menegur dia. Saya buat kerana sayangkan dia dan tak mau lihat dia susah nanti. Demi Allah, saya tegur kerana saya mahu kami sama2 diberkati Allah. SAya tak tahu apa anggapan dia pada saya tapi sekarang dia tidak bertegur dengan saya. Dia masih menegur keluarga saya tapi tidak saya. SAya mohon pada Allah untuk lembutkan hati dia. SAya dah puas minta maaf. Tapi tak ada respon. Berbaloi ke saya teruskan persahabatan ini? SAya tidak mengharap apa-apa. Sekadar tak mau hilang satu persahabatan yang telah 3 tahun dibina…

    [Reply]

Leave a Reply