Langit Ilahi Rotating Header Image

Motivasi: Menjadi hamba itu mustahil?

Hendak menjadi hamba, tidak cukup dengan nama.

Hendak menjadi hamba, tidak cukup dengan nama.

Langit Ilahi temanya adalah Mari Menjadi Hamba. Di sini, saya mengajak ke arah penghambaan kepada Allah semata-mata, dengan menafikan penghambaan kepada yang lain. Kita hendak memanifestasikan kalimah “Tiada Tuhan Melainkan Allah” di dalam kehidupan kita.

Justeru pelbagai perkara, pelbagai aspek kita kongsikan bersama.

Tetapi masih ramai tertanya-tanya kepada saya, bagaimana hendak menjadi hamba?

Mungkin ada yang menganggap, Langit Ilahi tidak lebih dari sekadar tumpahan idea yang tidak realistik. Ramai yang melihat, hendak menjadi hamba yang sebenarnya, adalah sukar dan mustahil. Pelbagai alasan diberikan, hendak menyatakan ketidak bolehan kita untuk hidup sebagai hamba Allah SWT.

Benarkah? Benarkah apa yang kita bincang di Langit Ilahi selama ini hanya teori kosong semata-mata?

Tiada siapa kata senang

Hendak menjadi hamba Allah SWT, bukanlah mudah. Allah SWT adalah benar, Islam yang diturunkan-Nya adalah benar. Dan kalau kita lihat dalam sejarah dunia, kebenaran adalah yang selalu diuji dan dihentam seksa. Tidak kira Nabi apa, Rasul apa, semuanya dihadapi ujian dan tomahan. Hal ini kerana, mereka membawa kebenaran.

Kenapa yang berada di atas kebenaran ini diuji hebat?

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Justeru, siapa gagal melalui ujian, itu tanda keimanannya adalah satu dusta dan dia hakikatnya tidak berada di atas jalan kebenaran.

Kita mengeluh dengan ujian-ujian yang kita hadapi, kita berikan alasan dengan kesukaran-kesukaran yang kita jumpa, kita mengeluh dengan perkara-perkara yang kita sangka besar apabila ia berlaku dalam hidup kita.

Tetapi kita lupa, Allah SWT telah berjanji untuk tidak memberikan sesuatu yang lebih dari kekuatan kita.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” Surah Al-Baqarah ayat 286.

Hari ini, sekurang-kurangnya kita tidak dihempap batu seperti Bilal bin Rabah, kita tidak disula seperti Sumayyah, kita tidak direbus dalam kawah yang menggelegak seperti Masyitah, tidak pula dibelah dua dengan gergaji seperti guru kepada budak ashabul ukhdud, dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya, tidak sesukar manusia zaman dahulu.

Maka dengan apa kita beralasan?

Hakikatnya dengan kemalasan dan tidak kesungguhan.

Hakikat perjalanan seorang hamba

Allahyarham As-Syahid Syed Qutb pernah berkata:

“Jalan ini tidak dibentangi dengan permaidani merah, juga tidak ditaburi dengan bunga-bunga. Tetapi jalan ini ditaburi dengan duri-duri yang terpacak”

Seorang pejuang Islam ada berkata:

“Inilah dia jalan yang amat panjang, jalan paling sukar dan paling berbahaya. Tetapi hakikatnya inilah dia jalan yang paling pendek, jalan yang paling senang dan paling selamat untuk ke syurga Allah SWT”

Sebab itulah, Rasulullah SAW tidak menghentikan usaha dakwah dan tarbiyahnya kepada ummah, ketika disuakan kepadanya tiga pilihan hebat:

1. Menjadi Raja

2. Mendapat Perempuan Cantik.

3. Mendapat Harta Yang Banyak.

Sehingga baginda berkata:

“Wahai bapa saudaraku, andai mereka meletakkan bulan di tangan kiriku dan matahari di tangan kananku sekalipun, nescaya aku tetap tidak akan meninggalkan kerja-kerjaku ini”

Inilah juga jalan yang Rasulullah SAW ambil. Baginda utusan langit yang suci, melalui kehidupan yang amat sukar dalam mengerjakan kebaikan dan menyebar kebenaran.

Inilah hakikatnya jalan kehambaan. Jalan yang tidak mudah.

Tetapi siapa kata ia mustahil dilaksanakan?

Benarkah mustahil?

Yang berkata mustahil, adalah yang menganggap diri mereka adalah realistik. Kononnya, iman adalah perkara abstrak, hanya bermain di imiginasi dan sebagainya. Kononnya, zaman sekarang Islam sudah tidak sesuai diamalkan, dan berbeza dengan keadaan hidup masyarakat. Islam hari ini, dikatakan sudah mustahil boleh dibangun amalkan dalam kehidupan.

Benarkah mustahil?

Saya menggeleng kepala. Jalan ini tidak mustahil bagi mereka yang faham dan membangkitkan kesungguhan dalam jiwa mereka, seterusnya sering megulag-ulang kebenaran ini di dalam percakapan mereka, akhirnya menterjemahkan semua itu dalam tindak tanduk amalan mereka.

Manusia-manusia bernama Abu Bakr RA telah membuktikan, Umar Al-Khattab RA dari longkang jahiliyyah juga membuktikan. Tetapi kamu memberikan alasan:

“Mereka itu sahabat Rasulullah, boleh lah”

Maka saya tunjukkan pula Hassan Al-Banna, Abbas As-Sisy, Fathi Yakan, Ahmad Deedat yang merupakan manusia-manusia zaman ini, yang hidup pada era kita. Kalau orang melayu tidak puas hati dengan menyatakan:

“Itu orang-orang arab, boleh la”

Maka saya tunjukkan manusia-manusia yang pernah saya jumpa dalam kehidupan saya, yang berjaya menghidupkan jiwa-jiwa hamba dalam kehidupan mereka, seperti Ustaz Dahlan, Ustaz Abdul Hadi, Cikgu Rosdi Baharom, Sir Mohd Abdoh, Sir Yahya, Sir Abdul Nasir, Ustazah Khairol Badriah, Cikgu norizan, Cikgu Maimunah dan ramai lagi manusia yang pernah saya jumpa dalam kehidupan saya.

Jadi di mana idealisnya?

Hakikatnya tinggal mahu atau tidak sahaja.

Penutup: Kalau tidak boleh itu, hakikatnya kerana suka beralasan

Kita ini sebenarnya suka memberikan alasan. Apabila hati kita rasa tidak mahu, rasa berat kepada kebenaran, kita ikutkan sahaja. Kita tidak mahu berkeras pada diri kita sendiri. Kita tidak mahu melatih diri kita sendiri. Kita malas melawan hawa nafsu kita sendiri.

Sebab itu, Allah tidak zalim kepada kita sebenarnya. Allah telah beri kita jalan keluar, yakni Islam. Allah hantar Rasulullah SAW. Selepas Rasulullah SAW wafat, Allah hadiahkan kepada kita manusia-manusia yang boleh jadi contoh dalam pengamalan Islam dalam kehidupan. Tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri. Kita tidak ambil, kita letak tepi, kita kata ini idealistik dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Surah Yunus ayat 44.

“(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” Surah Al-Anfal ayat 51.

Allah SWT telah suakan kepada kita perniagaan ini. Perniagaan menjadi hamba. Perniagaan yang tiada rugi. Modalnya hanya kehidupan kita. Ganjarannya tidak akan mampu kita capai walaupun bekerja seribu tahun lamanya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Saff ayat 10-13.

Tetapi siapa antara kita yang bergegas menyahutnya?

Kita hanya pandai memberikan alasan itu dan ini.

Sebab itu kita menjadi orang-orang yang merugi.

Print This Post Print This Post

9 Comments

  1. mujahidah cinta Ilahi says:

    Assalamu’alaikum,,

    Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah, ana lahir sebagai Islam dan sewajarnya kita semua harus sentiasa bersyukur akan hakikat ini. Dalam pada itu, tidak dinafikan dunia pada hari ini masih ada memperlihatkan insan yang Islam pada nama sahaja. Hakikatnya, dalam hati dan akal fikiran hanya Allah sahaja yang tahu. Sebagai hamba kepada Tuhan Semesta Alam, Allah, kita sewajarnya menyedari betapa kerdilnya kita kepada Allah Yang Maha Agung. Kita ni hanya hamba kepadaNya sahaja. Ana mengingatkan diri ana juga tentang kesedaran kita apabila diuji dengan pelbagai dugaan. Tidakkah ana dan anda semua menyedari mengapa Allah menguji kita?. Sungguh besar ganjaran bagi orang2 yang sabar menghadapi ujian ini.

    Maka, entry ini ana lihat sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk memperbaiki diri bermula dari dalam hati untuk terus berpaksi kepada keimanan yang teguh kepada Allah. Marilah kita bersama-sama untuk menjadi hamba yang terbaik. InsyaAllah, mudah-mudahan kita akan sentiasa sabar dan tabah dalam menempuh segala ujian yang datang membadai. Janganlah sekali-kali kita berputus asa dari memohon pertolongan dan hidayah dari Allah. Tidaklah perlu kita memberi pelbagai alasan kerana yakinlah kita mampu menjadi hamba yang terbaik, InsyaAllah!! Maka, rebutlah peluang ini dan janganlah kita tergolong dalam golongan orang2 yang rugi.

    MATLAMAT YANG SATU : Hamba yang terbaik kepada Allah.

    InsyaAllah, kehidupan akan ada berkatnya.

    Terima kasih kepada anta,,
    Salam ukhuwah, mahabbah fillah.

    [Reply]

  2. saffwan says:

    assalamualaikum..
    btol 2..
    terima kasih atas peringatan.. :smile:

    [Reply]

  3. jadikan aku serikandi says:

    Assalamu’alaikum…

    sesungguhnya benarlah kata2 saudara… kita yang tinggal hanya kemalasan dan alasan… walaupun masih ada segelintir insan y benar2 mengamalkan dan menjadi hamba… namun masih lagi ramai y tercari, tergapai2 erti maksud sebenar menjadi hamba… dan susah menjadi alasan terhebat… sedangkan jika ditolak dgn lebih usaha… sebenarnya… kita mampu utk berusaha dgn lebih baik dlm menjadi hamba…. lupa dan alpa dgn nikmat dunia… itulah kita… sering sahaja lupa…

    ana berdoa.. agar ana punya istiqamah seperti saudara dan semoga lahir lebih ramai lg insan2 gigih seperti saudara… sejauh mata memandang….
    insyaAllah

    [Reply]

  4. wani says:

    Kenapa yang berada di atas kebenaran ini diuji hebat?

    Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan.

    post kali ni membuatkan sy hmpir mnitiskan air mata… sy terpk, adakah sy benar2 menjadi seorang hmba Allah???

    p/s:dlm komen saudara tidak mnggu smpurna… sy tak de kbranian utk brtahu perkara sbnar dgn berani kpd org2 tetentu…mmg sedih klu ade org slh sgka…tp, sy anggap ni ujian dari Allah…syukron, saudara…

    [Reply]

  5. atiazni says:

    kita sememangnya dilahirkan dengan taraf hamba. so, ape yang susahnyer?? yang susah nak jadi hamba yang baik dan patuh..pada saya persekitran memainkan peranan yang sangat penting.terutama pada usia remaja sebab pada usia ni kta lebih cenderung ikut ckap kawan berbanding ibu bapa kta sndiri. sya sendiri pernah tersalah langkah. namun, setelah menangis smpai kering air mata sbb kna pksa tukar sek. ikut mak ngn ayh pndah. Alhamdulillha dengan hijrah yang terpaksa itu saya dipertemukan dengan kawan yang sgt baik. Kalau saudara Hilal ada Tengku Fahmi, saya ada Asyifa ASri. saya x prnh knal ape tu ma’thuratlah, bc Quran pun bla mak panggil bc jer. tp bla dah kenal dy sy jd makin baik. hal2 agma sya sllu tya dy. asyifa yang bermaksud penawar memang memberi penawar buat saya. Syifa prnh pesan, nak jd orang beriman kena selalu pksa diri. jgn hidup dgn alasan. tp skrang syifa dah pilih untuk masuk aliran sc dan saya di mminta utk brda di aliran agma. jd ats permntaan keluarga km barda di klas yang berbeza tp syifa kata, kalau kta bina persahabatan krna Allah, kta x kan putus sampai bila2. jd sesiapa yang skrang ni tinggal jauh dgn keluarga, pilihlah kwn yang baik krna sahabat mencerminkan diri kita..

    [Reply]

  6. miss~ says:

    salam..

    mtk kebenaran amek gmbr kt post neh..
    dan kalau boleh..
    nak gunakan design diatas utk baju muslimah..
    boleh ke?
    kalau xboleh,xpe.. :smile:

    [Reply]

  7. Hamba Allah says:

    aku memilih Islam sebagai agama ku.sebagai cara hidupku.ya Allah,setelah dengan niatku ini,kau tunjukkanlah aku nur hidayahmu ya Allah.supaya aku terus berada di dalam jalanmu.IA

    [Reply]

  8. Ramadhan~don says:

    tima kasih abg hilal..

    benar kata saudara, perkara ni bukan senang, tapi x mustahil…

    Barakallahu feik..=)

    [Reply]

  9. Hilal Asyraf laksamana says:

    Asslamu’alaikum,

    - kepada mujahidah cinta Ilahi

    Adalah menghairankan, apabila yang diciptakan tidak tunduk kepada Yang Menciptakannya.

    Semoga Allah golongkan kita antara yang dekat dengan-Nya.

    - kepada saffwan

    Alhamdulillah.

    - kepada jadikan aku serikandi

    Semoga ramai yang mencontohi sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
    Hilal Asyraf, kalau orang mencontohinya, mungkin hanya akan tunggang terbalik sahaja.

    Kita perlukan contoh yang solid.
    Dan yang solid adalah generasi awal.

    Semoga Allah bantu kita dalam usaha menjadi hamba-Nya yang terbaik.

    - kepada wani says:

    Tidak mengapa. Menutup aib adalah yang terbaik.
    Sebarang kelemahan diri, adukan kepada Allah SWT.

    Semoga Allah redha.

    - kepada atiazni

    Kita lahir dengan taraf hamba?
    Kalaulah taraf itu terus menjadikan kita baik.
    Masalahnya, ramai yang tidak sedar bahawa dirinya adalah hamba.
    Ada pula yang menganggap, menajdi hamba kpada Allah itu equal to menjadi malaikat.

    di sini masalahnya.

    Maka di sini kita usaha mencari dan memberikan penyelesaiannya.

    - kepada miss~

    Tanya tuan gambar tu.
    Klik gambar tu untuk berjumpa tuannya.

    - kepada Hamba Allah

    Semoga Allah redha…

    - kepada Ramadhan~don

    Semoga Allah permudahkan…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

Leave a Reply