Langit Ilahi Rotating Header Image

Motivasi: Panjang yang hakikatnya pendek sungguh

Adakah benar penderitaan di dunia ini memeritkan? Hakikatnya, segala kepayahan di atas dunia ini pendek sahaja.

Adakah benar penderitaan di dunia ini memeritkan? Hakikatnya, segala kepayahan di atas dunia ini pendek sahaja.

Hidup ini panjang? Ada kalangan kita, apabila telah menjangkau umur seperti 25 tahun, 30 tahun, 40 tahun, sudah merasa lama hidup dan terasa panjang. Apatah lagi veteran-veteran yang telah berumur 70 dan 80 tahun. Terasa lama sungguh hidup ini bukan?

Lama dan panjang ini mungkin tidak terasa di dalam hiburan. Tetapi di dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, di dalam hendak istiqomah terhadap Islam, di dalam hendak menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, kita terasa panjang, lama. Bahkan hingga kadangkala terasa penat dan bosan.

Benarkah panjang? Mungkin ada sahaja yang hendak menjawab pendek. Tetapi tahukah anda berapa pendek?

Anda akan melihat di dalam artikel ini, hakikat betapa pendeknya kehidupan anda.


Kependekan yang hakiki

Berapa pendekkah kehidupan kita?

Hendak mengetahui betapa pendeknya kehidupan kita, maka hendaklah kita mengukurnya. Hendak mengukurnya dengan apa?

Dengan akhirat.

Pengakhiran kita pada akhirnya ada dua. Syurga mahupun Neraka.

Persoalannya, berapa lamakah kita berada di dalam syurga atau neraka?

Berapa lama?

Berapa lama di Neraka?

“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah ayat 81.

Berapa lama di Syurga?

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekal lah mereka di dalamnya selama-lamanya. Surah Al-Bayyinah ayat 8.

Selama-lamanya.

Sila ukur 80 tahun dengan selama-lamanya.

Berapa panjang 80 tahun apabila dibanding dengan selama-lamanya?

Saya yakin anda sekarang nampak betapa pendeknya kehidupan sebenarnya.

Puas bersuka ria?

80 tahun kita tidak taat kepada Allah, 80 tahun kita tidak perlu terikat dengan Islam, 80 tahun kita tidak perlu bersusah payah berusaha bersungguh-sungguh beramal. Ya, memang seronok. Memang bersukaria.

Tak kisah dosa pahala. Tak kisah syurga neraka. Tak perlu pening fikir nak taubat. Tak perlu fikir nak tambah amal.

Nampak macam seronok.

Tetapi sila ukur keseronokan itu. 80 tahun sedemikian rupa. Nampak puas ya? Tetapi bagaimana agaknya, 80 tahun penuh kelalaian dan kealpaan itu dibandingkan dengan azab seksa penuh dasyat yang panjangnya adalah…

…Selama-lamanya.

“…dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” Surah Ibrahim ayat 7.

Bukankah rugi 80 tahun yang pendek itu, kita isi dengan kejahatan dan keingkaran kepada Allah, kemudian dibalas dengan selama-lamanya berada di dalam neraka? Berbaloikah segala keseronokan itu?

Itupun kalau hidup 80 tahun. Kalau umur sampai 60 sahaja? Kalau umur 40 sahaja? Bahkan saya ada junior yang telah meninggal pada umur 19 tahun dan ada senior saya meninggal pada usia 21 tahun.

Jadi?

Penat beramal?

Memang tiada cuti dalam menjadi hamba Allah SWT. Ya, tiada rehat. Tiada satu saat pun di atas dunia ini, yang mampu kita namakan sebagai ‘cuti dari menjadi orang Islam’.

Sampai ada kalangan kita merasa letih beramal. Rasa letih bertahan dari melakukan dosa. Rasa penat untuk berbuat kebaikan. Rasa susah dan payah menjadi hamba Allah SWT.

Ya. Jalan menuju syurga memang payah. Sebab itulah dia maharnya.

Katalah kita hidup 80 tahun dalam keadaan demikian.

Ya, memang nampak macam memeritkan.

Tetapi sila ukur kepayahan itu ya. Ukur kepayahan 80 tahun itu dengan panjangnya ‘selama-lamanya’. Adakah 80 tahun itu panjang? Bagaimana agaknya, 80 tahun penuh kepayahan itu(yang sebenarnya apabila kita ambil Islam sebagai cara hidup, jiwa kita bahagia itu) apabila diukur dengan Syurga yang di dalamnya penuh kesenangan dan kebahagiaan. Kita duduk di dalamnya pula…

…Selama-lamanya?

“Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘And’. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 12.

Bukankah satu yang merugikan jika 80 tahun yang pendek itu, tidak kita gunakan dengan bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah?

Itu pun kalau hidup 80 tahun.

Kalau hidup kita hanya 70? Kalau hanya 60? Kalau hanya 55? Kalau hanya 30?

Siapa tahu kita hidup berapa panjang. Tetapi, kalau kita hidup 1000 tahun pun, jika hendak dibandingkan dengan ‘selama-lamanya’, tetap 1000 tahun itu kelihatan kecil seperti kuman, sebentar seperti kilat.

Bagaimana?

Berbaloikah tidak bersungguh-sungguh menjadi hamba Allah dalam ‘kependekan’ waktu ini?

Penutup: Hakikat kejayaan itu mengatasi segala-galanya

Orang-orang yang berakal, apabila menemukan hal ini, pasti mereka menggores senyuman pada bibir.

“Wah, sekejapnya kita beramal rupanya”

“Pergh, tak berbaloi rupanya buat jahat ni”

Sebab pendek sangat waktunya. Balasan pula adalah selama-lamanya.

Sesungguhnya, memang pada orang-orang yang memerhati, mereka akan mendapat kejayaan yang hakiki.

Anda penatkah beramal?

Katakan tidak.

Pendek sahaja hakikatnya peluang beramal ini.

Print This Post Print This Post

13 Comments

  1. mazrah says:

    motivasi yang sangat bagus. Ya Allah bantu kami untuk beribadat kepadamu.

    [Reply]

  2. munamuni says:

    pendek jek hidup tapi buat kebajikan memang berat selagi tidak rasa betapa seksanya neraka dan betapa nikmatnya syurga. masa tu memang tak berguna.

    [Reply]

  3. su says:

    =)

    [Reply]

  4. ar9 says:

    Moga tidak.

    [Reply]

  5. Sorfina says:

    Jazakallahu khairan katheera =).

    “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal” [Ali Imran:190]

    “(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau , lindungilah kami dari azab neraka.’” [Ali Imran: 191]

    [Reply]

  6. Ibnu Fuad says:

    Artikel yang mantap.. Mengajak kita meneliti semula kehidupan di dunia ini.
    Juz nk share. Kdg2 kita masih x nmpk pbezaan antara 80 tahun dgn selama-lamanya…

    Cuba kita tgk cmni..
    80 tahun dgn 100 tahun, mana lagi banyak?

    100 tahun dengan 1000 tahun, mana lagi banyak?

    1000 tahun dgn 1,000,000 tahun, mana lagi banyak?

    1,000,000 tahun dgn selama-lamanya, mana lagi banyak?

    Sama-samalah kita optimumkan masa hidup kita untuk mengejar keredhaanNya.. Sengsara hidup ini hanya sebentar untuk dibandingkan dengan nikmat ALLAH yang selama-lamanya..

    [Reply]

  7. iman says:

    Salam, saya pernah berborak dengan seorang nenek…umur sebenar dah 71 tahun, tapi katanya baru 17 tahun….sangat bersemangat dan cergas berjalan kaki ke surau menunaikan solat berjemaah…tapi katanya sambil mata berair. ….amalnya masih belum cukup…dan tak tahu pun mana satu amalannya selama 71 tahun ini yang diterima Allah….

    [Reply]

  8. etiey says:

    tengssss….
    smge kite tak penat mcr redhaNYA..

    [Reply]

  9. ummu fatimah says:

    saudara, yg pasal masuk neraka selama-lamanya, kenyataan itu sy rasa salah kerana apa yg pernah sy belajar, kita sbg org islam wajib berakidah bahawa walau bagaimanapun kita, pd akhirnya kita tetap akan masuk syurga (setelah menjalani hukum di neraka). wajib percaya mcm tu. masuk neraka selama-lamanya adalah bagi orang kafir, yg mati dlm agama selain agama Allah. wallahua’lam..

    btw, tq for this useful article.

    [Reply]

  10. missy mar says:

    Buat saudari ummu fatimah, memang bagi umat Islam pengakhirannya di syurga, setelah menjalani hukuman di neraka. tetapi bg bekas ahli neraka akan terdapat cop atau tanda di dahi yg menunjukkan bekas ahli neraka..sekadar yg sy pernah dengar..wallahua’lam..tetapi sama2lah kita menjadi hamba yg terbaik..jadikan azab neraka itu satu ingatan dan motivasi agar kita sentiasa berhati-hati dlm menjalani hidup.

    [Reply]

    ummu fatimah Reply:

    ana menekankan ‘tidak selama-lamanya masuk neraka’. ana x menafikan seperti yg saudari kata.

    may Allah guide us all to truth and straight path.insyaallah amin3…

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    Hilal Asyraf Reply:

    Ummu Fatimah,
    Maafkan saya kerana lambat membalas.
    Benar dari segi aqidahnya kita percaya bahawa, selagi diri kita adalah mukmin, selagi itu kita akan dimasukkan ke dalam syurga, walaupun mungkin akan dimasukkan ke dalam neraka sehingga habis dosa-dosa kita dihukum.
    Tetapi, kenapa saya gunakan selama-lamanya?
    Hal ini kerana, syahadah itu boleh terbatal dengan tiga cara ~ Kalam, Perbuatan dan Hati ~ dan apakah manusia dalam melakukan dosa-dosanya, ia tidak membawa dirinya syirik kepada Allah SWT? Ya, tiada siapa dapat menjamin yang itu bukan? Sebab itu saya tekankan selama-lamanya.
    Saya tidak menyebut fasal masuk neraka sekejap then masuk syurga balik kerana tidak mahu memanjakan masyarakat. Kita, apabila berkata akan ’sekejap’, maka kita akan melihat ’sekejap = sehari, seminggu, sebulan, setahun dua’
    Tetapi apakah benar ’sekejap’ di neraka itu sehari dua? Sebulan dua? Setahun dua?
    Semestinya tidak.
    Jadi apakah agaknya saya suka diri saya, diri pembaca saya, masyarakat saya, dibakar diseksa di dalam neraka yang azabnya amat pedih itu untuk satu jangka masa yang agak panjang, entah berapa panjang, then masuk balik syurga dalam keadaan hitam ditambah cop bekas ahli neraka pada dahi?
    Semestinya saya tidak mahu yang itu.
    Kalau kita sedar hakikat Neraka itu, kita sepatutnya tidak berharap langsung menyentuh api neraka.
    Itu sebabnya, saya kata selama-lamanya.

    [Reply]

  11. amrey85 says:

    Kita sering kali lalai…ingat lah 5 Perkara,hidup sebelum mati,sihat sebelum sakit,lapang sebelum sempit,muda sebelum tua,kaya sebelum miskin…sama kita beringat…

    [Reply]

Leave a Reply