
masih ingatkah lagi kita akan bulan yang bermakna itu?
Kita bermula semula, setelah lama pengisian dalam Langit Ilahi tiada. Hampir seminggu, memberi ruang kepada raya.
Sekarang sudah masuk ke bulan syawal. Sudah beberapa hari kita meninggalkan bulan tercinta kita, yakni Ramadhan. Kita tidak lagi berada di bulan yang mulia dan dimuliakan itu.
Saya suka bertanya bagaimana kondisi hati kita sekarang? Bagaimana amal? Bagaimana akhlak? Bagaimana sikap? Adakah kita hari ini, telah meninggalkan segala-gala didikan yang kita dapat dalam Ramadhan lalu?
Duduklah sebentar, lihat pada diri sendiri tanpa menuding kepada orang lain.
Wahai pembaca, ketahuilah bahawa, Ramadhan itu hanya tempat berteduh sahaja.
Tempat berteduh untuk mengambil bekal buat perjalanan yang masih panjang.
Masih ingatkah anda bagaimana kita bersungguh-sungguh mengisi masa di dalam Ramadhan lalu?
Adakah jam kita telah berkurang pada bulan lain, menyebabkan kita rasa lemah untuk mengekalkan prestasi kita di Ramadhan lalu?
Masih ingatkah anda bagaimana kita bersungguh-sungguh menjaga akhlak dan perilaku semasa Ramadhan lalu?
Apakah kebaikan-kebaikan itu telah tidak dikira, tertutup pada bulan lain, menyebabkan kita rasa tidak perlu untuk meneruskan kebaikan itu?
Masih ingatkah anda, bagaimana kita bersungguh-sungguh mencari keredhaan Allah SWT dalam Ramadhan yang lalu?
Apakah Allah SWT tidur pada bulan lain, atau telah mati pada bulan-bulan yang lain, meyebabkan kita merasakan tidak berguna kita meneruskan kesungguhan kita itu?
Wahai pembaca, ketahuilah bahawa Ramadhan itu tempat berteduh sahaja. Hanya tempat berteduh untuk orang-orang beriman mengisi semula bekalan mereka. Taqwa, sebaik-baik bekal dalam perjalanan manusia untuk menembusi akhirat.
Maka apakah maknanya andai kita tidak membawa bekalan itu ke bulan-bulan yang lain?
Ramadhan bukan segala-galanya. Maka jangan kita tinggalkan segala-galanya dalam Ramadhan sahaja.
Sepatutnya sekarang, kita ingat kembali kehidupan kita dalam bulan yang mulia itu. Malulah kita kepada Allah yang sentiasa hidup dan berjaga, jika kita hanya bersungguh di dalam Ramadhan sahaja. Bukankah kita ini menyembah Allah, bukannya Ramadhan? Apa yang telah anda lakukan kepada Allah yang memberikan Ramadhan sebagai hadiah kepada kita?
Konsep Ramadhan adalah konsep teduhan penuh bekal. Bekalan yang hanya mampu diambil dengan didikan. Sekarang adalah masa merealisasikan didikan Ramadhan. Kalau sekarang kita meninggalkan kebaikan-kebaikan yang kita berjaya lakukan, yang kita dapat buat semasa Ramadhan, maka bukankah kita ini hamba yang merugi?
Jangan sesekali kata: “Pahala aku masa Ramadhan telah diganda-gandakan. Apa salahnya berehat-rehat di bulan yang lain”
Sesungguhnya anda adalah hamba yang palsu jika befikiran sebegitu. Untuk siapakah anda bersungguh-sungguh dalam Ramadhan? Untuk mencapai keredhaan Allah kah, atau semata-mata untuk berbuat dosa lebih banyak pada bulan lain? Apakah maknanya ketaatan di bulan Ramadhan jika untuk digadaikan dengan keingkaran di bulan yang lain?
“Ramadhan depan ada lagi” Jika kata-kata itu keluar, anda manusia terangkuh sekali di alam ini.
Andakah yang memegang nyawa wahai pembaca? Anda kah? Bagaimana anda tahu anda boleh hidup lagi pada Ramadhan akan datang?
Bagaimana kalau nyawa anda ditarik, di tengah-tengah kealpaan semasa mengharungi 11 bulan yang lain?
Ramadhan itu tempat berteduh sahaja. Hanya tempat berteduh, untuk kita mengambil bekal yang disediakan. Bekalan taqwa dan peningkatan keimanan. Untuk kita harungi 11 bulan lagi ibarat musafir dalam perjuangan. Sebelum Allah izinkan kita kembali semula ke bulan teduhan Ramadhan, mahupun Allah menarik kita di tengah perjalanan.
Hiduplah wahai diri saya dan pembaca. Hiduplah kita dengan kehidupan hamba. Tunduk sepanjang masa tanpa sekalipun mendabik dada kepada Allah yang mencintai kita. Muhasabah kembali saat-saat Ramadhan kita yang telah dilalui. Bandingkan pula dengan kita hari ini.
Realisasikanlah didikan yang kita perolehi dalam Ramadhan.
Atau kita sebenarnya hamba-hamba yang merugi.
Manifestasi Taqwa itu adalah dalam melalui kehidupan, bukan dengan melalui Ramadhan.





“Pahala aku masa Ramadhan telah diganda-gandakan. Apa salahnya berehat-rehat di bulan yang lain”
aii, yakin betul orang yang berckp macam ni. ingat semua amalan dia diterima?
ramadhan tahun ni rasa sekejap sangat. solat terawih pun rasa habis cepat sangat. tak puas betul, beza sangat dengan ramadhan2 sebelum ni. nikmat itu masih ada…tapi dek kerana rasa cepat berlalu, nikmat itu tak memuaskan…sangat berharap dapat ditarbiah dengan ramadhan akan datang!
hmm petanda akhir zaman…masa dirasa begitu cepat berlalu..uh.
[Reply]
salam
jazakallah atas ingatan
Wahai jiwa-jiwa yang mengharapkan keredhaan Tuhannya..bangkitlah dan mujahadah melawan hawa nafsumu…jika kau merasa lemah, carilah sahabat yg bersedia menunjukkanmu jalan kpdNya.Jgn sesekali mengasingkan dirimu..Ingatlah Allah itu sentiasa dekat dgn hambaNya.
p/s: Dapatkan novel Terasing di pasaran.
Ya Allah, bagai satu petunjuk darimu, saat diri dan akhwat teruji ukhwahnya, persahabatan kerana Allah, moga kita termasuk golongan yang berada di bwh naunganNya saat di mana tiada naungan selain naunganNya…
[Reply]
salam..ye, betol tu, ramadhan hanyalah tempat kita berteduh shaja..sebaliknya kita hendaklah melipat gandakan lg perbuatan2 kebaikan dalam bulan yg lain jgak..sedih sgt coz ramadhan dah berlalu, tp rasa mcm byk lg amalan2 yg x sempat dilakukan pd bulan tersebut..semoga Allah memanjangkan lg umur supaya dpt beribadat kpd-Nya, bkn semata2 utk bulan ramadhan shja tp dpt dipraktikkan dlm bulan2 yg lain jga
..insya-Allah…
[Reply]
salam.
ramadhan itu tempat berteduh dan semoga amalan kita
di bulan ramadhan itu dapat di panjangkan ke bulan-bulan yang seterusnya.
Semoga kita semua dapat bertemu lagi ramadhan yang akan datang.
sedih betul ramadhan dah pergi..
~semoga Allah redha dengan kita semua
[Reply]
entry yang bermanfaat dan baik
[Reply]