Langit Ilahi Rotating Header Image

Motivasi: Tak payah lah usaha, sebab Allah dah tetapkan semua

Allah Maha Adil...

Allah Maha Adil...

Ada orang mengambil fahaman begini:

“Aku buat jahat, sebab Allah dah takdirkan aku buat jahat”

Ada pula yang kata begini:

“Kita ni, tak payah susah-susah buat baik, tak payah susah-susah usaha. Semuanya Allah dah tetapkan. Jadi kita buat aja suka hati. Allah yang tetapkan kita masuk syurga atau neraka. Itu semua Dia dah susun”

Ada yang percaya:

“Tak perlu studi, sebab keputusan periksa tu Allah dah susun semenjak azali”

Ya kah?

Saya sebenarnya suka untuk semua manusia memikirkan satu dimensi yang lain dari pemikiran-pemikiran di atas. Pada saya, orang yang berkata seperti di atas, tidak memahami kasih sayang Allah SWT secara sebenarnya kepada manusia.

Memang takdir itu kepunyaan Allah SWT. Memang, Allah SWT tahu apa yang jadi pada masa hadapan. Memang, Allah SWT dah susun semuanya. Tapi antara kasih sayang Allah kepada manusia, adalah Allah SWT mengurniakan kepada manusia satu perkara:

Ikthtiar.

Ikhtiar yang diberi

Pastinya, ada jutaan ulama’ lain yang boleh membahaskan perkara ini lebih baik daripada saya. Saya, hanya membahaskannya sebatas ilmu saya sahaja. Dan saya amat tahu, ilmu saya masih rendah dan tidak sempurna.

Allah SWT, memberikan pada manusia ikhtiar.

Sebab itu Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu bergerak mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Allah SWT juga berfirman:

“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT, sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah SWT hanyalah orang-orang yang kufur” Surah Yusu ayat 87.

Di sini jelas bahawa, Allah SWT memberikan manusia kuasa untuk berusaha.

Untuk apa usaha, andai semua perkara sudah tersusun dan ditentukan?

Tuduhan ke atas Allah

Pada saya, kata-kata: “Tidak perlu usaha, Allah dah susun semua” adalah satu tuduhan palsu kepada Allah SWT. Bukankah perkara itu, secara tidak langsung kita telah menyatakan bahawa Allah itu zalim?

Dan pernah terjadi pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, seorang pencuri mencuri. Lantas, Saidina Umar menyuruhnya dibawa ke hadapannya. Pada zamannya, pencuri diberi keadilan yang amat tinggi. Hal ini kerana, pada zaman Saidina Umar ada berlaku musim kemarau yang panjang, sekitar 2-3 tahun. Zaman itu zaman kemarau, ramai rakyat jatuh miskin dengan teruk sekali. Semua pencuri akan ditanya terlebih dahulu kenapa mencuri. Jika kerana terlalu lapar, ketiadaan wang yang teramat, hingga memaksa diri mencuri, maka pencuri akan dilepaskan.

Maka, pencuri tadi ditanya:

“Kenapa kau mencuri? Adakah kerana kau tiada duit? Kerana terlalu lapar?”

Dia menjawab dengan satu jawapan yang aneh sekali: “Tidak. Bukan kerana sebab-sebab itu wahai Amirul Mukminin. Saya mencuri, hanya kerana Allah telah menyusunkan saya, mentakdirkan saya untuk mencuri”

Maka Saidina Umar Al-Khattab mengeluarkan arahan: “Potong tangan lelaki ini, dan sebatlah dia 40 kali”

Sahabat-sahabat ketika itu kehairanan dengan hukuman Umar. Mencuri, hukumnya potong tangan. Kenapa ditambah pula 40 sebatan? Lantas mereka bertanya akan hal itu. Saidina Umar menjawab:

“Potong tangan untuk kesalahannya mencuri tandap darurat. 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT”

Di sini jelas bahawa, Saidina Umar Al-Khattab juga mengingkari perkara ini.

Kalau benar semua Allah SWT telah susun, dan manusia tidak perlu berusaha, maka Saidina Umar pastinya melepaskan lelaki itu dengan jawapannya.

Allah Maha Mengetahui

Allah itu Maha Mengetahui. Sebab itu, Allah SWT Maha Mengetahui Masa Hadapan kita. Adakah kerana Dia telah menyusun semuanya?

Seorang pensyarah saya berkata: “Sebenarnya, masalah ini masalah yang besar. Kerana ini adalah ilmu Allah SWT. Tiada siapa boleh bereksperimentasi dalam hal ini, untuk membuktikan kebenaran hipotesisnya. Tapi, saya boleh katakan begini berkenaan masalah Allah telah menyusun semua perkara. Sebenarnya, Allah SWT tidak menyusun semua perkara, tetapi Dia mengetahui semua perkara. Dia tahu kita akan pilih apa, Dia tahu apa akan jadi pada kita dengan pilihan kita, Dia tahu ke mana kita akan pergi dengan pilihan kita, dan begitulah Dia. Dia Maha Mengetahui”

Itu kata-kata pensyarah saya – Dr Ahmad.

Ya, siapa dapat membedah apa yang Allah SWT fikir? Dia pastinya jauh berbeza dengan kita. Allah SWT, tidak akan ada apa yang mampu menyamainya. Sedikit pun tidak menyamai apa yang diciptakan-Nya. Jadi bagaimana kita boleh mengetahui limit kekuasaan-Nya?

Tapi saya suka pendapat Dr Ahmad. Yakni Allah SWT mengetahui masa hadapan kita. Dia tahu kita bagaimana nanti. Ada dua pilihan, Allah tahu yang mana kita akan pilih. Allah SWT tahu apa akan jadi kepada kita dengan pilihan kita.

Tapi yang memilih, itu kita.

Kita tidak tahu, apa yang Allah tahu

Orang akan kata pada saya: “Sama aja la kalau macam tu. Baik kita buat apa kita suka”

Em… Saya tak bersetuju la macam itu. Sebab, kita tidak tahu apa yang Allah tahu. Jadi, kita tak tahu apa akan jadi pada masa hadapan kita. Baik atau buruk, kita langsung tidak tahu. Sebab itu, kita perlu berusaha. Sangka baik kepada Allah SWT dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita.

Kalau nak baik, kita bergerak ke arah kebaikan, insyaAllah kita akan dapat kebaikan. Kalau nak buruk, kita bergerak ke arah keburukan, insyaAllah kita akan dapat keburukan. Allah SWT sendiri ada berfirman:

“Barangsiapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah, maka dia akan dikira. Dan barangsiapa yang berbuat keburukan walau sebesar zarah, maka dia akan dirkira” Surah Al-zalzalah ayat 7-8.

“Tiada paksaan di dalam agama, tetapi telah jelas yang mana petunjuk dan mana yang bukan” Surah Al-Baqarah 256.

“Barangsiapa yang mencari jalan hidup selain Islam, tidak akan sesekali diterima daripadannya(amalannya) dan dia di akhirat kelak tergolong dari kalangan orang yang rugi” Surah Ali-Imran ayat 85.

Lihat, dan ada banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang menunjukkan ada ciri-ciri usaha, ikhtiar. Di tangan manusia usaha dan ikhtiar itu. Memang, Allah tahu apa akan jadi pada kita dengan pilihan kita. Tapi kita tak tahu. Jadi, dengan ketidak tahuan kita itu, kita disuruh berusaha dan memilih yang terbaik.

Natijah

Jadi, jangan fikir fasal nanti jadi apa, apa Allah dah susun pada aku.

Itu semua ilmu Allah SWT. Natijah, kita serah pada dia.

Tapi kita juga perlu selitkan sangka baik kita kepada Dia.

Allah SWT tidak akan memungkiri janji-Nya. Takkan yang buat baik, Dia suka-suka nak campak masuk neraka?

Namun, di atas dunia ni memang berlaku situasi-situasi macam ni:

“Aku belajar sungguh-sungguh, tapi dapat 3A je”

“Aku punya bisnes dengan jujur, tapi bankcrupt jugak”

“Aku punyala ikhlas sahabat dengan dia, tapi dia tikam aku dari belakang”

Situasi-situasi macam ni, jangan kita salah anggap yang Allah dah takdirkan keburkan pada kita. Sebenarnya, itu semua ujian sahaja. Ujian sahaja. Kena faham yang itu. Dan ujian-ujian itu ada hikmahnya. Nak mengingatkan kita kepada kehidupan kita, nak dekatkan kita kepada Allah, nak ujia keimanan kita. Saya dah banyak cakap benda ni dalam post-post yang lepas.

Jadi, kita usaha. Sebab itu, kita selalu kata:

“Usaha di tangan manusia, natijah di tangan Allah, dan apa yang Allah beri itu yang terbaik”

Jadi, terus berusaha. Mana la tahu, dari runtuhan kegagalan kita, kita mampu membina bangunan kejayaan yang tinggi.

Dan ketahuilah, dalam hidup memang akan ada ujian. Ujian dengan kehidupan, adalah kembar tidak seiras.

Penutup: Yakinlah, bersangka baiklah dengan Allah SWT

Allah SWT suruh kita tidak berputus asa pada rahmatNya. Allah SWT kata, Dia tidak akan mengubah nasib kita, melainkan kita tidak bergerak mengubah diri kita. Allah SWT kata, tiadak paksaan dalam agama, kita boleh pilih mana kita suka, tetapi dah jelas mana baik buruk. Allah kata, siapa buat baik dibalas kebaikannya, siapa buat buruk, dibalas keburukannya.

Semua tu, Allah yang kata.

Dan Allah SWT, tidak memungkiri janjinya.

“Dan sesungguhnya janji-janji Allah itu benar…” Surah Ar-Rum ayat 60.

Jadi, kenapa kita memilih untuk tidak berusaha meraih janji-janji-Nya?

Manusia yang tidak berusaha ni, layaknya kita panggil zombi. Dia mayat sebenarnnya, tapi terhidup pula. Mayat, tak payah usaha.

Saya pernah kata dahulu. Manusia ni kena berusaha, usaha dan usaha.

Bila boleh berhenti usaha?

Bila dah mati sahaja.

Jadi, bersangka baiklah kepada Allah. Yakinlah dengan semua kata-kata-Nya. Dia tidak akan menzalimi diri kita. Tetapi, manusialah yang sering menzalimi diri mereka sendiri. Beri pelbagai alasan, itu dan ini.

Dan saya rasa: “Tak payah usaha, Allah dah susun semua” hanyalah salah satu alasan untuk menghalalkan tindakan-tindakannya.

Nah…

Jom usaha.

Print This Post Print This Post

15 Comments

  1. ice says:

    :smile:
    jom

    usaha seseorang menunjukkan seberapa kuatnya tekad dengan apa yg dia mau itu dan seberapa pantas ia untuk sukses, tak hanya menganggap hidup itu bagai air yang mengalir saja

    [Reply]

  2. razimah says:

    Tepat sekali kupasan saudara. Kita berusaha merancang, tetapi ALLAH yang tentukan apa yang lebih baik untuk kita. Malah ada pepatah Arab mengatakan siapa berusaha dia dapat apa yang diusahakannya. Teruskan berusaha, tak baik berserah semata-mata.Dah usaha barulah tawakal pada ALLAH. Semoga kita semua dalam rahmat dan pimpinan ALLAH hendaknya…

    [Reply]

  3. lynn_elynn says:

    :mrgreen:
    ALLAH ibarat pencawang elektrik(power source) kita pula suis lampu kat rumah. ALLAH sudah bagi cahaya kepada kita dan terpulang kepada kita samaada kita nak buka suis atau biar je duduk dalam gelap.tapi bila ALLAH sudah tutup power source kita buat macam mana pun lampu itu tidak akan mengeluarkan cahaya.maksud disini;ALLAH sudah memberi peluang untuk kita berusaha untuk mendapatkan kejayaan tetapi itu terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.

    [Reply]

  4. lynn_elynn says:

    ada seorang ulama berkata:
    berusahalah seolah-olah tiada tawakal.
    dan bertawakallah seolah-olah tiada usaha.
    renung2kn dan selamat beramal.
    :mrgreen:

    [Reply]

  5. hambamencari says:

    salam.

    mmg ramai yg masih ade persepsi sebegini. insyaAllah, dgn pengikut website nta yg makin hari makin ramai ni, dpt memberi perubahan kpd mereka yg kebanyakannya masih mencari.. keep up the good work..

    [Reply]

  6. wardah says:

    begitulah sebahagian manusia. selalu menyalahkan takdir atas apa yg x berkenan dek hati. naudzubillah. moga kita x tergolong dlm golongan ni. mari jadi manusia yang berusaha dan bersyukur, insyaAllah…

    [Reply]

  7. athirahwani says:

    salam.
    artikel yg bagus.
    :)
    penulisan Saudara Hilal semakin matang dari hari ke hari.
    keep it up!

    [Reply]

  8. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada ice

    usaha, tanda keseriusan. Usaha, pengukur kehendak…

    - kepada razimah

    kita sentiasa bermohon demikian. Kita sentiasa yakin, bahawa Allah lah yang memberikan segalanya. Kita berusaha, sebagai memenuhi syarat dan mengharapkan apa yang Allah beri nanti, kita suka…

    - kepada lynn_elynn

    saya tidak faham. Bagaimana manusia boleh berusaha tanpa ada tawakkal? Usaha itu sebahagian dari tawakkal…

    Terima kasih atas perkongsian.

    Fasal Allah beri peluang tu, tepat sekali…

    - kepada hambamencari

    terima kasih. Teruslah menyokong dan menembak doa…

    - kepada wardah

    amiiin… kita juga kena kuat berusaha, agar lebih ramai yang memahami perkara ini…

    - kepada athirahwani

    Manusia berubah. Kita yang memilih, berubah menjadi lebih baik, atau berubah menjadi lebih buruk…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  9. wani says:

    salam..betul tu…semua tu adalah ujian dari Allah… dlm persahabatan pun ade jugak ujian kan.. hidup ini adalah ujian… setiap ujian ya Allah turunkan pst ade hkmahnyer… kne sentiasa bersangka baik pd Allah… bersangka baik pd Allah… p/s: saudara hilal, sahabat2 seperjuangan awk dah sembuh ke belum? semoga semua sentiasa di bawah rahmat Allah…amiin… :smile:

    [Reply]

  10. nur says:

    Semoga kita semua terus berusaha dan berusaha..
    insyaallah kita akan dapat yang terbaik.

    ~semoga Allah redha akan usaha kamu

    [Reply]

  11. nasih says:

    the exam is around the corner, must prepare our heart before preparing our mind..

    [Reply]

  12. Dhuha says:

    Sebagaimana kata-kata pensyarah saudara :”Sebenarnya, Allah SWT tidak menyusun semua perkara…..”

    Sy agak keliru dgn ’statement’ ini…Boleh ke kata camtu? (walaupun ada ayat selepasnya mengatakan Allah SWT mengetahui semua perkara):roll:

    [Reply]

  13. iman says:

    pada saya…Allah itu ada sistem sendiri yg tak terjangkau akal manusia untuk memikirkannya..

    sistem tercanggih yang kehebatannya tak terlafaz dengan kata2..

    just, buat apa yg terbaik..berusaha+berdoa+bertawakkal
    try beramal seikhlas mungkin dan utamakan pandangan Allah melebihi pandangan manusia terhadap kita

    [Reply]

  14. umi says:

    kita kena terus mengingatkn wlaupn perkara yg sama. cakap dan terus cakap…tulis dan terus tulis…. kerana kita manusia sering lupa dengan kemewahan dunia yang semakin maju….

    [Reply]

  15. na says:

    “Yakin pada Allah bukanlah mengharap terkabulnya segala harapan..yakin pada Allah adalah meletakkan keredhaan pada ketentuanNya..Syukur pd Allah atas pemberianNya kerana apa yg kita minta belum tentu baik untuk kita..”

    [Reply]

Leave a Reply