Ah… Hari Sabtu sampai lagi. Sinergi pun bersambung.
Minggu lepas Prolog: Terbinanya Atas Keimanan, jadi minggu ini Cerita 1: Kita dan Mereka.
Ok, tak mahu cakap banyak.
O ma families…
Enjoy it!
Cerita 1
Kita Dan Mereka
Mereka itu penjahat
Kita adalah malaikat
Itu bukan di tangan kau untuk diputuskan
Mungkin sahaja bertukar sebelum kiamat
Maka pandanglah dengan pandangan keimanan
Nanti kau akan nampak ruang kesatuan
MHS sudah bermula dua hari yang lepas. Walaupun berada di tengah Ramadhan, program ini tetap dijalankan dengan penuh kesungguhan dan dedikasi. Program MHS, atau nama panjangnya Minggu Haluan Siswa ini merupakan program yang tersangat penting bagi komuniti pelajar melayu di Irbid, memandangkan ini merupakan peluang untuk menetapkan matlamat dan membina kebersamaan pelajar yang akan tinggal di sini.
Minggu Haluan Siswa ini merupakan minggu orientasi. Sepanjang program ini berjalan, pelajar-pelajar baru akan didedahkan dengan pelbagai maklumat dan diberikan bermacam-macam nasihat. Mereka dimaklumkan berkenaan keadaan universiti mereka, silibus pembelajaran mereka, penggunaan bahasa arab, tempat-tempat yang kurang selamat, etika pergaulan dan bermacam lagi perkara yang berkait rapat dengan kehidupan pelajar melayu di Irbid.
Tadi baru berlalu sesi penerangan berkenaan pembelajaran di Jordan untuk pelajar melayu.
JUST merupakan singkatan kepada Jordan Universiti of Science and Technology. Orang arab di sini biasa memanggil universiti tersebut dengan panggilan Techno. JUST mempunyai bidang pengajian yang pelbagai. Namun pelajar melayu di Jordan, hanya mengambil dua jenis bidang sahaja di JUST. Pergigian dan Perubatan.
Bagi pelajar Perubatan, mereka akan belajar di sini selama enam tahun jika tidak gagal dan mengulang pengajian. Tiga tahun di dalam kuliah, manakala tiga tahun lagi praktikal di hospital-hospital di dalam Irbid dan berdekatan dengannya. Bagi tahun praktikal, kuliah mereka berjalan di dalam hospital tempat mereka menjalani praktikal.
Bagi Pelajar Pergigian pula, pengajian mereka hanya selama 5 tahun. Tiga tahun di dalam kuliah, manakala dua tahun lagi praktikal di sebuah klinik berdekatan Universitii Yarmouk. Kuliah mereka dijalankan di dalam Dewan Al-Farabi Yarmouk.
Sistem pengajian di JUST, mata pelajaran dan silibus sudah ditetapkan oleh universiti. Tetapi terdapat kebebasan dalam memilih pensyarah yang dikehendaki, serta menyusun sendiri jadual pengajian yang dirasakan sesuai. Namun kebebasan ini tertakhluk juga kepada pilihan yang diberikan oleh universiti.
Jarak antara tempat tinggal pelajar Malaysia dengan JUST adalah sekitar 20KM. Pelajar JUST biasanya perlu menaiki coaster, satu kenderaan seperti bas di Jordan ini, untuk ke sana. Bagi yang terlewat, perlu segera, atau dalam kegesaan untuk ke kuliah, mereka akan menaiki teksi. Namun harga teksi lebih mahal. Kadangkala sampai kepada 4JD.
University of Yarmouk juga mempunyai bidang yang pelbagai, dan pelajar melayu di Universiti Yarmouk menceburi lebih banyak bidang daripada pelajar di JUST. Bidang pengajian yang diceburi pelajar melayu di Yarmouk adalah Bahasa Arab, Usul Fiqh, Usuluddin, Dirasat Islamiyah dan Ekonomi Islam.
Sistem pembelajaran di Yarmouk amat bebas. Universiti Yarmouk tidak mempunyai tahun pengajian. Sistem di sini menggunakan mata pelajaran. Jika Usuluddin mempunyai 44 mata pelajaran, maka pelajar itu akan mendapat Ijazah hanya selepas dia menamatkan 44 mata pelajaran itu, tanpa mengira berapa tahun pengajiannya. Andai dia mampu menghabiskan 44 mata pelajaran itu dalam masa tiga tahun, maka tiga tahun la jangka masa pengajiannya. Begitu jugalah kalau lebih.
Pelajar di Yarmouk boleh memilih masa pelajaran sendiri, juga boleh memilih pensyarah sendiri dan yang lebih menyeronokkan adalah pelajar Yarmouk bebas memilih mata pelajaran yang ingin dipelajari. Namun semuanya masih tertakhluk kepada pilihan yang disediakan oleh pihak Universiti.
Kelebihan bagi pelajar Yarmouk, Universiti Yarmouk amat dekat dengan tempat tinggal pelajar melayu di Irbid. Hanya 10 minit masa berjalan kaki.
Selain kebebasan yang ada, Jordan mempunyai disiplinnya yang tersendiri. Kelas wajib dihadiri. Enam kali tidak hadir tanpa sebab dan alasan yang kukuh, maka pelajar akan diharamkan untuk mengambil peperiksaan. Itu menyebabkan pengajian di Jordan lebih teratur dan kemas dari pengajian di Mesir.
“Wah, letih. Panjang betul ceramah fasal pengajian tadi” Syafiq mengipas wajahnya dengan fail.
“Berasap kepala, tu tak campur lagi dengan tazkirah yang bertimbun dari Subuh” Erman memuncungkan bibir.
Mereka baru selesai Solat Zuhur.
“Program tanpa henti dari lepas subuh sampai la lepas Zuhur. Ada la dalam tujuh jam la jugak” Erman menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi. Dia memandang persekitaran Dewan Al-Farabi yang menjadi tempat Program MHS berlangsung. Di sinilah mereka melaksanakan pelbagai program, mendengar ceramah, menonton video sepanjang MHS.
“Tolak rehat sejam, jadi enam jam” Syafiq mengangkat jari telunjuk sambil mengukir senyuman.
“Tu tak payah la bagitahu” Erman menolak tangan Syafiq yang terlalu dekat dengan wajahnya.
“Ada sehari lagi program ni” Syafiq menyandarkan tubuhnya seperti Erman. “Kau macam mana? Dah ramai kawan?”
Erman menggeleng. “Kau aje la yang aku ada”
Syafiq ketawa kecil. “Hei, bermasyarakat la sikit. Kita di negara orang ni, semua Malaysia adalah keluarga”
“Itu masalah aku, kau tak payah masuk campur” Erman bernada dingin.
Syafiq tersengih. Memang, Erman agak kurang bergaul dengan ramai orang. Dua orang teman serumah mereka, Nasir dan Ya’kub sampai jadi kurang senang dengan sikap Erman. Tambahan, Erman agak pesimis. Banyak perkara dilihatnya secara negatif.
“Kau tak pernah cerita lagi fasal keluarga kau pada aku” Syafiq cuba bermesra.
“Aku tak akan cerita”
“Cerita la, aku kan sahabat kau?”
Erman memandang wajah Syafiq. Sahabat?
“Muka kau ni macam cina. Kau keturunan cina ke?” Syafiq bertanya.
Erman diam. Kemudian dia bangun, bergerak meninggalkan Syafiq.
“Weh, nak pergi mana? Program kejap lagi nak mula ni”
“Masuk dewan la” Erman menunjuk ke arah Dewan Al-Farabi yang berada di atas Kafeteria Universiti Yarmouk. Dia terus berjalan.
Syafiq menggeleng. Dia bangun dan membuntuti Erman.
“Maaf la kalau kau tak senang dengan pertanyaan aku” Bahu Erman dipaut lembut.
“Kalau aku nak kongsi, kau tak payah minta pun aku cerita” Erman bersuara perlahan.
“Baik, lepas ni aku tak tanya apa-apa” Syafiq mengalah.
Mereka berdua bergerak menaiki tangga, dan kemudiannya masuk ke Dewan Al-Farabi. Dewan Al-Farabi terletak di dalam Universiti Yarmouk, berdekatan pula dengan Masjid Universiti Yarmouk. Dewan ini biasanya digunakan oleh pelajar praktikal Pergigian daripada JUST sebagai dewan kuliah. Hal ini kerana, pelajar praktikal Pergigian JUST akan menjalani praktikal di klinik bersebelahan dengan Universiti Yarmouk selama dua tahun.
“Tak ada orang lagi la” Syafiq memandang seluruh dewan sebaik sahaja mereka masuk. Ada ruang rehat selamat 45 minit diberikan selepas Zuhur. Dia dan Syafiq agak awal kerana tidak pulang ke rumah seperti pelajar yang lain.
“Kau tak nampak ke lima orang kat depan tu?” Erman bergerak cepat ke tempat duduk.
Sambil mengikuti langkahan Erman, Syafiq memandang ke tempat duduk paling hadapan. Matanya membesar.
Badruddin Jamil, Yusuf Erham, Wafiq Wasim, Muiez Iskandar dan Harith Farhan sedang duduk di bangku paling hadapan. Mereka berlima asyik dengan dunia mereka, bersembang bersama dan memerhatikan sesuatu di lap top yang berada di tangan Muiez.
“Kenapa tiba-tiba muncul pula budak berlima ni? Awal pula tu” Erman rasa tidak senang, memandang dari tempat duduk. Lima orang tadi tidak perasan akan kehadiran Erman dan Syafiq memandangkan jarak antara tempat duduk mereka agak jauh. Lima orang itu pun tidak mengendahkan keadaan sekeliling.
Syafiq menjungkit bahu. Kemunculan mereka berlima itu hanya membawa satu hasil – Huru-hara. Kemunculan mereka kali ini pasti ada agenda tersendiri.
Mereka ini bergelar Disaster Five. Sepanjang dua hari MHS berjalan, mereka telah melakukan pelbagai kekacauan hingga kadangkala membuatkan program hampir terbantut. Mereka datang dan pergi suka hati, dan apabila mereka ada, pasti ada huru-hara yang berlaku. Kelima-lima mereka sangat nakal dan suka menganggu kerja orang lain. Sudah beberapa senior terkena dengan kenalakan mereka, dan beberapa orang pelajar baru turut menjadi mangsa.
Mereka berlima sudah disenarai hitamkan dalam pemikiran pelajar-pelajar baru. Pelajar berlima itu menjadi bualan hangat sepanjang MHS ini atas sikap dan perangai mereka. Kesemua pelajar baru tidak senang dengan apa yang dilakukan oleh mereka berlima. Kadangkala kekacauan yang ditimbulkan agak melampau.
“Kali ni nak buat apa lagi la tu?” Erman bersangka-sangka.
Syafiq menghela nafas. Matanya lekat pada lima orang itu.
Semestinya, seperti kata Erman, ada sesuatu yang buruk dirancang mereka berlima itu.
Cuma belum diketahui sahaja.
Syafiq kemudiannya tersengih sendiri.
“Kenapa sengih tak fasal-fasal ni?”
Syafiq menggeleng. “Tak ada apa-apa”
Dan dia terus memandang Disaster Five.
****
“Teh panas mari” Shah, rakan serumah Asid dan Irfan datang bersama talam yang mempunyai cawan dan teko. Nama penuhnya adalah Nazirul Shah.
“Cantik la. Lepas Tarawih minum teh panas. Mantap” Asid menggosok kedua telapak tangannya.
“Ni ganti moreh Malaysia ke Shah?” Saifuddin, seorang lagi teman serumah Asid dan Irfan.
“Sifu, mana boleh ganti moreh Malaysia dengan teh panas je” Irfan mengedarkan cawan untuk semua sebaik sahaja talam diletakkan ke meja.
Sifu adalah gelaran untuk Saifuddin. Saifuddin mendekatkan cawan ke bibir. Teh panas dihirup sebentar, sebelum dijauhkan semula cawan itu dengan segera.
“Panas beb” Cawan diletakkan, sambil bibir dimasukkan ke dalam.
“Nama pun teh panas, apa la” Shah ketawa. Irfan dan Asid menggeleng. Sifu ni ada-ada sahaja. Dah tahu panas, lagi cari fasal.
“Terang-terang dah asap berkepul tu” Asid menumbuk lembut bahu Saifuddin.
“Eh, kamu semua ada dengar fasal budak berlima yang baru tu?” Saifuddin menukar tajuk.
“Yang dipanggil Disaster Five tu ke?” Shah juga ada dengar cerita. Lima pelajar yang kerjanya melakukan huru-hara sepanjang MHS.
“Dengar kata siang tadi, sekali lagi MHS bergegar.”
“Kali ini jadi apa pula?” Asid berminat hendak tahu. Dia sibuk berurusan dengan Presiden MPPM yang baru, sampai tidak berapa mendengar berita terkini yang berlaku sepanjang program MHS. Namun nama Disaster Five itu ada juga la didengarinya sedikit dalam perbualan rancak pelajar baru yang solat di masjid.
“Masa Hazim nak buka satu fail, yang keluarnya gambar lucah”
“Masya Allah…” Irfan menarik nafas. Terkejut.
Mata Asid membesar. Shah terlopong seperti tidak percaya.
“Hazim la cerita pada aku. Sikit lagi dia nak mengamuk. Mujur la dia boleh sabar”
“Melampau la budak berlima tu” Shah rasa tercabar. Tindakan sebegitu padanya sudah amat melampau. “Bulan Ramadhan pun sanggup buat macam itu lagi”
“Mungkin mereka ni tak pernah ada orang bagi faham Islam. Mana la tahu” Irfan memberikan alasan. Dia agak kurang senang juga dengan berita yang didengarinya, tetapi dia cuba bersikap adil.
“Masyarakat kita sekarang, macam itu la. Dosa pahala sudah tak endah. Bulan Ramadhan pun masih benarkan artis buat konsert pakai baju tak tutup aurat. Jadi mereka ini mungkin mangsa kerana dibesarkan dalam suasana yang begitu”
“Habis, kita ni dibesarkan dalam suasana apa? Zaman nabi ke?” Asid menjawab. Dia agak terkesan juga dengan berita yang didengarinya. Sememangnya kesabarannya agak tipis.
Irfan menggeleng. “Kita dibesarkan dalam suasana yang sama dengan mereka juga. Tapi, Allah izin, kita ini diberi nikmat kefahaman. Bukan semua orang, dapat nikmat macam kita”
“Tapi kita berusaha mencari. Fikrah Islam yang ada pada kita ni, bukan datang bergolek” Saifuddin menyuakan perbezaan.
“Sebab itu lah, untuk mereka yang masih lagi tak berusaha dan bergerak untuk mencari ni, kita yang dah jumpa, yang dah dapat nikmat fikrah Islam inilah kena berusaha dan bergerak mendekati mereka, mengajak mereka. Kita tak boleh terus kata bukan-bukan kepada mereka. Mereka itu objek dakwah kita” Irfan menjawab. Nadanya lembut, tetapi punya pendirian yang tegas di dalamnya.
Tiada siapa menjawab balas. Kata-kata Irfan penuh dengan kebenaran.
Allah SWT berfirman:
“Dan tidaklah Kami ini menurunkan azab, melainkan Kami mengutuskan Rasul” Surah Al-Israa; ayat 15.
Alangkan Allah SWT juga boleh bertolak ansur sedemikian, apatah lagi insan. Apakah ada hak untuk manusia menafikan hidayah Allah kepada manusia lain? Bahkan manusia yang faham itu bertanggungjawab menyampaikan kefahaman Islamnya kepada orang yang tidak memahami, walaupun dia baru memahami Islam sedikit sahaja.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
“Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat” Riwayat Bukhari.
“Betul juga cakap Irfan tu. Tanpa sedar, syaitan dah berjaya mempermainkan kita” Asid tersedar.
Shah menggeleng. “Kita pun dulu bukannya baik sangat”
Saifuddin mengangguk. “Hidayah adalah milik Allah, yang faham tugasnya menyampaikan, bukan menghukum”
Mereka berempat mula menghirup teh yang mula menurun kehangatannya. Daripada Irfan, mereka mendapat sesuatu yang besar pada malam Ramadhan yang mulia ini. Cara berhadapan dengan manusia yang tidak faham akan Islam. Jangan terlalu cepat menghukum. Semua orang berhak menerima hidayah Allah SWT.
Asid teringat betapa bersungguh-sungguhnya Irfan mendekatinya semasa darjah enam dahulu. Sedangkan dia dahulu adalah pelajar yang amat bermasalah, hisap rokok dan berpakaian selekeh. Tidak beradab pula pada ibu bapa dan guru. Malas belajar, jauh sekali memahami berkenaan agama. Tetapi kesungguhan Irfan membuatkan hatinya menjadi lembut dan perlahan-lahan dia bergerak seperti hari ini.
Dia juga sepatutnya melayan Disaster Five sebegitu rupa.
“Kalau benar mereka itu amat teruk gayanya, kita kena mula mendekati mereka, dakwah mereka agar mereka faham akan Islam. Masalah kepada perkara begini, biasanya bermula dari masalah keimanan. Nama Islam, tetapi tidak mempunyai keimanan kepada Allah SWT menyebabkan diri tidak mempunyai akhlak muslimah” Irfan menyambung.
“Em, aku setuju. Kita pun tak boleh berdiam diri sahaja. Kena lakukan sesuatu” Sifu bersetuju.
“Mungkin kita boleh cadangkan kepada Kepimpinan PERMAI untuk berusaha dekati Disaster Five ni. Mereka mungkin mempunyai kisah hidup yang sukar sehingga mereka tidak terdidik dengan adab dan akhlak yang baik.” Irfan membawa mereka berfikir rasional.
“Cadangan yang baik tu. Mungkin apabila kepimpinan sendiri yang turun mendekati mereka, mereka akan terkesan” Shah nampak betapa baiknya cadangan Irfan itu.
“Dan kita pun bukannya duduk berdiam diri. Pastinya kita pun berusaha mendekati mereka, ta’aruf dan melaksanakan dakwah fardhiyah pada mereka” Asid menambah.
“Macam inilah baru keharmonian hidup tu terjaga. Positif sentiasa. Kalau masalah datang, dihadapi dengan positif juga.” Irfan tersenyum.
“Kau la bagus Irfan, tenang sahaja” Sifu menunjukkan cawan ke arah Irfan.
“Ada kena mengena dengan cawan ke?” Irfan berseloroh.
Mereka ketawa.
Secara tidak langsung, minum-minum mereka menjadi satu medan perkongsian dan muhasabah yang baik.
****
Dewan Al-Farabi mula penuh. Majlis Penutup Program Minggu Haluan Siswa akan berlangsung tidak lama lagi.
Di barisan hadapan tempat duduk, kelihatan Asid dan Irfan duduk sebelah menyebelah. Mereka kelihatan amat mesra, bersembang sambil senyuman tidak lekang dari muka. Sesiapa yang melihat, pastinya menyangka bahawa mereka ini adik beradik. Tapi, adik beradik pun tidak semesra itu gayanya. Hubungan mereka berdua, seakan-akan mengeluarkan satu suasana harmonis pada keadaan sekeliling.
“Kalau salah seorang tu perempuan, aku dah bagi gelaran couple of the years dah” Syafiq separuh berbisik kepada Erman.
“Mereka memang rapat ya?” Erman bertanya kepada Syafiq. Syafiq memandang ke sebelahnya.
Sharafie, pelajar tahun dua Yarmouk, mengangguk. “Mereka memang macam itu. Mesra, dan amat faham memahami antara satu sama lain”
“Apa kisah menarik mereka?” Syafiq nampak berminat.
“Diorang ni ambil berat dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain la…” Halim, pelajar tahun empat pergigian yang duduk di belakang Syafiq mencelah. Dia sekelas dengan Asid. Syafiq menoleh ke arah Halim.
“Kalau kau nak tahu, awal-awal dulu, Asid tu, tak tahan sejuk.” Halim meyambung, “Masa musim sejuk, Asid akan selalu lemah badan. Kadang-kadang demam teruk”
“Sepanjang waktu tu, Irfan la yang setia duduk sebelah dia. Tak keluar rumah langsung semata-mata tak nak tinggalkan Asid.”
“Oooh… Susah nak cari kawan macam tu” Syafiq memandang semula kepada Asid dan Irfan.
“Lagi satu kes, masa musim panas tengan kemuncak, hidung Irfan berdarah” Halim menyambung cerita.
“Aiseh, sorang tak tahan sejuk, sorang lagi tak tahan panas?” Syafiq macam hendak tergelak.
“Masa tu, Asid takut macam dia yang nak mati. Pandai-pandai belajar pergigian pun boleh gelabah. Sedangkan hidung berdarah masa musim panas, biasa la. Punya la dia risau dengan Irfan”
“Diorang tu, pasangan berbisa dalam skuad Volleyball irbid. Asid spiker, Irfan setter. Bergerak tak payah bincang pun. Mereka macam ada telepati la.” Sharafie pula bercerita, nada jenaka.
“Hebat sungguh, rapat sampai macam ada psikik” Syafiq turut berseloroh, mengikut rentak Sharafie, di samping usahanya untuk bermesra dengan senior yang baru dikenalinya.
Mereka ketawa kecil. Ada antara mereka menggelengkan kepala.
Syafiq terus mendengar. Macam-macam rupanya Asid dan Irfan ini bersama.
“Kalau dua orang ni turun, tak pernah lagi ada team yang menang, walaupun team arab. Diorang pandai manage ahli team lain, walaupun ahli yang lain tak hebat macam mereka, agar sentiasa bersemangat dan bermotivasi”
“Dua orang ni la yang bersama-sama, sungguh-sungguh sebar makalah yang dalamnya ada pengisian ke rumah-rumah ahli PERMAI.” Zaid Daud, pelajar tahun dua yarmouk juga, duduk di sebelah Halim, menyampuk tambah.
“Tak buat pun tahun ni?” Erman bertanya tiba-tiba.
“Sebab kami dah putuskan, perkara itu diletakkan di bawah Biro Pembangunan Rohani, yang sekarang ni Fakrurrazi jadi pengerusinya. Kesian dua orang tu. Dari tahun satu istiqomah. Abang Irfan la tulis”
“Oh, sempat ya. Dia bukan jadi presiden ke tahun lepas? Asid pula presiden MPPM kan?”
Halim, Zayd dan Sharafie mengangguk. “Itu yang buat orang hormat sungguh dengan mereka. Cara mereka susun waktu, untuk diri sendiri, untuk program-program, untuk projek dakwah, untuk belajar, memang solid. Mereka tu antara pelajar cemerlang dalam bidang masing-masing tau” Halim memberitahu.
“Qudwah qabla dakwah, maksudnya tunjuk contoh sebelum menyampaikan. Itu yang memberikan kesan” Zayd Daud menjelaskan.
“Hebatnya…” Syafiq kagum.
“Diorang la yang mula suasana ziarah menziarah rumah di sini. Diorang juga yang mulakan suasana pelajar JUST tinggal serumah dengan pelajar Yarmouk. Yang mula menyedarkan orang di sini perihal kepentingan keimanan kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan, mereka juga.” Zayd bercerita.
“Yang kau tengok sekarang ni, ukhuwwah ahli PERMAI, pencapaian keputusan ahli PERMAI yang cemerlang dalam bidang masing-masing, kerajinan majoriti ahli PERMAI ke masjid, program-program yang membina tiga fakulti insan di dalam PERMAI, semuanya dimulakan oleh mereka. Mereka banyak membuat pembaharuan, dan peningkatan terhadap kerja-kerja senior mereka sebelum ini” Sharafie menambah.
Syafiq dan Erman terangguk-angguk. Beberapa orang pelajar tahun satu yang duduk di sekeliling mereka mula menyertai cerita-cerita berkenaan Asid dan Irfan ini. Semua nampak berminat.
“Macam mana la agaknya mereka berdua tu boleh sanggup buat semua tu, dalam keadaan mereka pun studi” Erman mengeluarkan pertanyaan cepu mas.
“Sinergi” Zayd menjawab pantas. Halim dan Sharafie mengangguk.
“Sinergi?” Syafiq pernah mendengar hal yang sama dibicarakan oleh Faiz Hamzah, semasa sesi taaruf mereka dengan pelajar tahun satu, beberapa hari lepas.
“Dua orang yang bersama-sama, mampu menghasilkan sesuatu yang lebih dari dua orang mampu lakukan, sesuatu yang luar biasa. Itulah makna Sinergi. 1+1=3, bukannya 2”
Kata-kata Abang Baha itu menjengah kepalanya.
“Apa rahsia diorang rapat macam itu ya? Pernah tanya?” Syafiq memandang Sharafie.
Sharafie memandang Zayd dan Halim. Mereka bertiga tersenyum.
“Iman” Serentak tiga orang itu menjawab.
“Huh?” Kening Syafiq terangkat. Erman yang gaya layan tak layan, pun melihat semua seniornya itu. Boleh jawab serentak pula. Jawapan sama pula tu.
“Aku tak tahu la jawapan yang betulnya. Tapi, dari hubungan mereka, kami dapat jangka yang mereka hanya inginkan keredhaan Allah dalam hubungan mereka. Mereka, tak la rapat mereka berdua sahaja. Kalau kau nak tahu, mereka berdua ni rapat juga dengan kami semua. Kami semua macam keluarga. Diorang berdua, tak pernah lupa bagi hadiah hari lahir pada kami semua” Sharafie menyambung jawab.
“Kami semua tu…” Seorang pelajar tahun satu yang mendengar, mencelah.
Zayd tersenyum. “Kami semua tu, maksudnya ahli PERMAI yang lelaki. Kami semua.”
Mata Syafiq membesar. Menakjubkan. Tak pernah lupa semua hari lahir ahli PERMAI lelaki? Tak pernah miss pula bagi hadiah? Di sini, Syafiq dapat melihat kenapa ahli PERMAI, semuanya memandang tinggi kepada dua orang itu.
Erman memandang Asid dan Irfan dari jauh. Tumpuannya tumpah kepada dua orang senior yang masih lagi bersembang itu.
“Assalamu’alaikum semua!” Suara Presiden PERMAI, Faiz Hamzah kedengaran di corong speaker dewan. Semua mata tertumpu pada pentas. Faiz Hamzah sudah berada di situ.
“Kita sembang lain la nanti” Sharafie menepuk Syafiq. Syafiq tersenyum sahaja.
Majlis sudah bermula.
Tapi Erman terus memandang Asid dan Irfan. Macam ada sesuatu antara dia dengan dua orang senior itu. Sesuatu yang perlu dilunaskan.
Tiba-tiba, pandangan Erman diganggu dengan perjalanan sekumpulan orang.
“Disaster Five” Syafiq menyebut perlahan.
Badruddin Jamil, Wafiq Wasim, Muiez Iskandar, Harith Farhan, Yusuf Erham, satu persatu berjalan menuruni tangga yang ada di antara dua kawasan tempat duduk. Faiz Hamzah juga tidak meneruskan bicaranya. Semua mata kini tertumpu kepada Disaster Five.
Kehadiran mereka, macam petanda malapetaka akan tiba.
Apakah mereka akan membuat onar?
Kelima-lima orang itu dengan selamba mengambil tempat yang dikosongkan untuk barisan kepimpinan PERMAI sesi 08/09. Kepimpinan PERMAI, selain Faiz Hamzah dan Ridhwan, sampai sedikit lewat kerana masih menguruskan beberapa hal di rumah PERMAI.
“Hei ini tempa…” Ridhwan yang sudah duduk di kawasan itu, hendak membantah, tetapi bicaranya terhenti apabila dia melihat Faiz mengangkat tangan. Isyarat menyatakan tidak mengapa.
“Kami bukan nak buat hal. Rumah kami terputus bekalan elektrik” Badruddin bersuara. Tapi tanpa sedar, mereka telah membuat hal dengan mengambil tempat kepimpinan.
“Sini bawah kipas, strategik untuk berehat” Harith Farhan terus menurunkan capnya, menutup wajah sebaik sahaja punggungnya mendarat.
“Nasib baik lap top ada bateri spare. Kalau tak, kering aku” Muiez Iskandar, yang paling bergaya sekali dengan headphone melekat di kedua telinga, duduk sambil memegang lap topnya.
Wafiq Wasim memandang ke arah kawasan perempuan. “Maaf ya semua…” Suara merdunya ibarat panah-panah yang menusuk tangkai hati semua perempuan yang melihat. Diiringi wajah kacaknya, gayanya mencairkan. Kedengaran bisik-bisik kekaguman dari pihak perempuan, terutama pelajar tahun satu.
Yusuf Erham sahaja duduk tanpa bicara apa-apa.
Faiz Hamzah menunggu suasana bertenang dahulu. Dia tidak bersuara. Tidak berkata apa-apa. Matanya memandang Irfan dan Asid. Dua kembar itu mengoyak senyuman.
Projek untuk menawan Disaster Five sudah bermula. Semalam Irfan dan Asid berjumpa dengan Faiz Hamzah dan berbincang berkenaan Disaster Five. Mereka sudah memutuskan untuk mendekati dan mendalami Disaster Five dalam rangka mengubah peribadi mereka.
Cuma siapa yang menawan, siapa yang ditawan, itu belum diketahui keputusannya.
“Alhamdulilllah, kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana….” Faiz Hamzah pun memulakan majlis penutup Program MHS sesi 08/09.
Erman memandang Disaster Five.
“Menarik” Kalimah itu mendesis pada bibirnya.






Assalamualaikum..
Hilal,bukannya sinergi cerita satu dulu dah ada ke??yang “buku dan ruas” tu??
Ni yang baru ker??
erm..ana baru lepas baca prolog..menarik!!Rasanya enta dah x perlu jawab soalan ana tadi sebab dah terjawab kat prolog..Terima kasih
keep up da gud work
2 thumbs up!
semoga Allah redha~
~Islam itu paling Tinggi~
Saya
menarik n mantap
jln crta yg mmbuatkn sye

xsbr utk thu crta brikutny
trus mnulis
Assalamu’alaikum,
- kepada ainun safiah
Ya, akhirnya anda tahu. Ini Sinergi yang saya telah tulis semula.
- kepada radhiahsyahida
Alhamdulillah…
- kepada saya
Terima kasih. Terima kasih…
- kepada aidan
Thanks. Teruskan sokongan harapnya…
- kepada wani
Moga senyumanya bermakna
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
zayd?
zayd umair ek?hehe