Sinergi muncul lagi. Hayati episod yang menarik bersulam aksi pada kali ini.
Cerita 11: Gerakan Atas Kebencian.
Enjoy!
Cerita 11
Gerakan atas kebencian
Siapakah yang memerhatikan pesan kekasih-Nya?
Janganlah kamu berhasad dengki
Benci membenci
Kerana setiap yang beriman itu adalah saudara kamu sendiri
Bagaimana pula dengan yang keimanannya tidak berbekas di dalam hati?
Hidup manusia bergantung kepada kepercayaan. Hakikatnya, hanya kepercayaan sahaja yang menghubungkan manusia. Kita ada kepercayaan dengan seseorang, sebab itulah kita menyayanginya dan mencintainya. Kepercayaan adalah asas kepada hubungan.
Apabila kepercayaan itu dikhianati…
“Aaaaaaah!” Badruddin bangun daripada tidurnya. Dadanya turun naik. Nafas keluar masuk. Gemuruh. Matanya membesar. Walaupun cuaca sejuk di tengah pagi ini, tubuhnya tetap rasa panas.
Dia bermimpi akan memorinya yang lalu. Kedua penumbuknya dikepal erat. Hatinya mneyumpah-nyumpah apa yang dilihatnya di dalam mimpi tadi.
“Aku tak akan tunduk!” Badruddin menjerit.
Selepas itu suasana menjadi hening. Seakan-akan memberi ruang untuk Badruddin bertenang. Tetapi lelaki itu tidak pernah mempunyai ketenangan. Selepas apa yang terjadi kepada dirinya, dan empat orang lagi kawannya, dia tidak pernah tenang.
Hidupnya penuh dengan kebencian.
Terutama kepada orang-orang yang mengaku dirinya membawa agama.
Hal ini kerana, dia adalah mangsa pengkhianatan. Silap meletakkan kepercayaan kepada orang. Akhirnya diri terheret ke lembah kehancuran. Kesakitan yang ditanggung, tiada siapa akan faham.
Maka dia berazam untuk tidak lagi menyerah.
Dia ingin membantah!
*****
Assalamu’alaikum,
Kepada Yusuf Erham yang aku cintai kerana Allah.
Semoga berada dalam lembayung rahmat dan penjagaan-Nya. Sesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Aku tidak tahu kenapa kau menjauhi aku. Tetapi, surat ini adalah untuk menyatakan betapa aku ini menyediakan diriku untuk bersahabat dan berhubungan dengan semua. Harapannya, agar kita sama-sama boleh lengkap melengkapi dalam menjadi hamba Allah SWT yang baik.
Manusia itu diciptakan berpuak-puak, berbeza rupa dan berbagai perangai. Allah menciptakan kepelbagaian ini adalah untuk kita bantu membantu dalam mengejar redha-Nya. Tiadalah apa yang aku inginkan daripada engkau, melainkan kita bina hubungan kita ini atas matlamat untuk mendapatkan keredhaan-Nya yang tadi.
Aku, sebagai seorang sahabat, bersedia menerima kau, walau bagaimana sekali pun engkau. Kalau kau ada masalah, kau boleh kongsikan pada aku. Aku sentiasa terbuka untuk kau dan rakan-rakan kau. Semuanya untuk mendapat redha Allah SWT, dan hendak bantu membantu dalam menjadi hamba Allah SWT yang baik.
Ps: aku pulangkan duit kau. Tidak aku ambil sesen pun. Aku bukan hendak wang kau. Daripada kau, aku tidak ingin apa-apa. Aku hanya ingin redha daripada Allah SWT atas hubungan kita
Surat itu dibaca berulang kali oleh Yusuf.
Gumpalan nafas berat dilepaskan. Hari ini dia membaca lagi surat itu. Walaupun tidak pernah bermesra dengan Irfan, Yusuf seakan-akan dapat melihat hati Irfan daripada surat itu sahaja. Tambahan, dia sering sahaja melihat Irfan dari kejauhan.
Melihat apa yang ada di dalam surat ini, dengan apa yang dikatakan oleh Badruddin tempoh hari, memang jiwa sukar menerima.
Apakah Irfan ini sama sahaja seperti Ustaz Khairuddin yang pernah mencalarkan kehidupan mereka dahulu?
Yusuf serabut memikirkannya. Dari satu segi, dia merasakan Irfan berjaya menyentuh hatinya yang kosong selama ini. Bukanlah dia tidak rasa gembira dengan temannya yang empat orang itu kini. Tetapi…
Entahlah. Pada Irfan, ada sesuatu yang tiada pada empat kawannya itu. Sesuatu yang menyentuh hati dan mengisi jiwa. Memang ada tolakan untuk mendekati Irfan, tetapi dia takut. Apabila dia hendak mendekati Irfan, Badruddin membangkitkan pula isu Ustaz Khairuddin bersama tuduhan terhadap Irfan. Dia takut dipanggil pengkhianat oleh teman-temannya.
Dan dia takut, Irfan adalah orang yang akan mengkhianati kepercayaannya.
Hatinya kini berbelah bagi. Meninggalkan Irfan, seakan dia menutup pintu penyelesaian kepada masalah jiwanya. Pergi kepada Irfan, seakan dia membuka peluang untuk dirinya dikhianati lagi.
Yusuf memegang kepalanya. Rasa tertekan.
******
“Aku hairan la”
“Em? Kenapa tiba-tiba hairan ni?” Syafiq memandang Erman yang sedang berbaring di atas katilnya. Dia yang sedang tekun mempraktis pelajaran Visual Basic, atau popular dnegan singkatannya VB, mengalih perhatian kepada Erman.
“Aku hairan kenapa aku tengok kepimpinan PERMAI, dan ahli-ahli seniornya cuba merapatkan diri dengan Disaster Five.”
“La, hari itu kau tak setuju pada orang yang nak hentam mereka terus? Kau ni pelik la Erman” Syafiq naik pening dengan sikap sahabatnya itu. Apa pun macam tidak boleh, tidak kena dengan pemikirannya.
“Aku bukan kata tak bagus. Hairan yang aku maksudkan adalah, dari mana mereka ni ada kekuatan untuk ketepikan emosi mereka? Kenapa bersungguh-sungguh sangat ajak orang macam Disaster Five itu kepada kebaikan?”
Syafiq terdiam. Betul juga. Awal-awal hangat bukan main. Tetapi selepas mendengar tazkirah Irfan tempoh hari, mereka semua macam berjaya mengawal emosi mereka. Memang, selepas peringatan Irfan itu, munculnya banyak peringatan-peringatan lain di YahooGrup, di kelas-kelas Tafaqquh dan juga pada sesi-sesi Intropeksi Iman yang lain. Tetapi untuk manusia mengawal emosinya, pasti tidak cukup dengan sekadar peringatan-peringatan. Pastinya, di dalam masyarakat PERMAI ini, ada sesuatu yang telah ditanam kemas.
Apa dia?
“Dapat jawapan tak? Jawab la?” Erman memandang Syafiq.
“Entah. Kau la. Kau studi agama.” Syafiq memuncungkan bibirnya kepada Erman.
“Eh, aku tanya kau, kau tanya aku pulak”
“Em…” Syafiq berusaha berfikir.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Satu perkara yang sering diulang tanpa bosan oleh masyarakat PERMAI.
“Iman kut”
“Iman?”
“Em, iman. Yang aku nampak, keimanan itu yang mengawal emosi mereka. Ni apa yang aku fikir la lepas tengok balik sepanjang dari pertama kali kita datang sini”
“Iman ya…” Erman mengangguk-angguk. Entah apa yang difikirkan olehnya.
“Eh, yang kau tanya-tanya fasal ni kenapa ya?”
“Saje. Kenapa?”
Syafiq menggeleng. “Tak ada apa-apa. Hairan kenapa kau tanya”
Erman diam. Perbualan mereka tidak diteruskan. Syafiq kembali menekuni VB. Erman terus berfikir. Berfikir berkenaan jawapan Syafiq tadi.
*****
“Weh, kita tak ada rancangan ke untuk Irfan tu?” Muiez memandang Badruddin yang sedang khusyuk meneliti buku Pathology. Sekarang musim peperiksaan. Disaster Five walaupun suka buat porak peranda, tetap mencari masa membaca buku.
“Kenapa? Tak sabar ke?”
“Tak la, kebelakangan ni, tak seronok pun buat kacau di PERMAI ni. Semua macam robot je. Buat tak endah dengan kita”
“Ala, sampai bila sangat la diorang boleh berlakon?” Badruddin menjawab sambil matanya tidak lepas dari buku tebal di tangan.
“Ya la, tapi aku hairan la kenapa mereka tu boleh bertahan macam itu. Macam ini, rosak la semua perancangan kita. Kita yang penat. Mereka tak ada apa-apa. Macam kita tak wujud sahaja. Kalau terus macam ini, masa kita nak hancurkan Irfan tu nanti, kita yang terhancur” Muiez petah menjelaskan.
Kepala Badruddin macam terhantuk sebentar dengan kata-kata Muiez.
Teringat dia yang baru-baru ini Secret ada menghubunginya.
“Irfan tu, kalau kau tidak bertindak pantas, dia akan bertindak dahulu. Nanti kau akan jadi macam abang aku.”
Pantas buku Pathology ditutup. Muiez dipandangnya.
“Ha, macam mana?”
“Betul juga cakap kau tu Muiez.”
“Jadi?”
“Jadi, aku rancangan.”
“Apa rancangannya?”
“Kalau dulu Ustaz Khairuddin buat pada kita adalah, dia mengkhianati kepercayaan kita kan?”
“Ha’ah, lepas tu campak kita dalam Henry Gurney”
“Ya, apa kata kita jadikan Irfan itu Ustaz Khairuddin, dan ahli PERMAI ni dalam situasi kita dahulu?”
“Ah? Maksudnya kita nak munculkan kisah buruk Irfan kepada ahli PERMAI? Begitu?”
Badruddin menggeleng. Itu tidak akan berhasil. Mengikut apa yang dia dapat daripada Secret, kisah pembunuhan itu sudah ditukar agar menjadi seperti abang Secret yang bersalah. Kalau ditimbulkan sekali lagi pun, orang tidak akan terasa apa-apa. Tambahan, Disaster Five tiada bukti untuk itu.
“Kita timbulkan kisah buruk yang lain”
“Contoh? Dia tu solid la Bad. Di Yarmouk tu, dia dengan pensyarah macam ni ha” Muiez menyatukan dua jari telunjuknya.
“Contohnya… Gay?”
“Gay?”
“Dia dengan Asid, bukan gay ke?”
Muiez berfikir. Hem… Menarik.
“Dan jangan la kita tunggu dia sahaja memunculkan keburukan dia. Mungkin kita boleh reka keburukan-keburukan dia” Badruddin muncul dengan idea lebih ganas dan liar.
“Hu hu… Mantap, mantap”
“Dah alang-alang dia jahat. Apa kata kita jahatkan dia lagi. Pokoknya, dia akhirnya dia akan dibenci dan dikeji oleh semua orang” Badruddin memandang siling. Terasa cita-citanya tinggi.
“Runtuhkan Irfan, sama juga dengan gegarkan seluruh Irbid. Kan?” Badruddin mengangkat kening sebelahnya dua kali.
“Betul juga ya. Mantap mantap” Muiez mula melihat gambaran perancangan Bad.
“Hebat la kau Bad. Kau memang geliga.”
“Well…” Badruddin mengangkat bahu, dengan kedua belah tangan terbuka.
Mereka berdua ketawa. Nanti rancangan ini akan mereka kongsikan dengan semua Disaster Five.
*****
“Dah tiba masanya pakai hiram” Irfan menggendong beg plastik besar berisi selimut bulu yang tebal. Selimut itu, di sini dipanggil Hiram.
“Tak boleh ke tak pakai?” Asid yang bersama Irfan bertanya soalan bodoh. Irfan tersengih sahaja.
“Nak pengsan, nak bangun sakit dada, sila lah” Irfan membalas. Asid tergelak. Sudahlah dia tidak tahan sejuk. Bermimpi lagi hendak tidur tanpa hiram yang menyelimuti.
Musim sejuk di Jordan agak merbahaya sebenarnya. Hal ini kerana, sejuk di Jordan bukan sejuk yang lembab. Tetapi sejuk kering. Hujan pun jarang turun, walaupun pada musim ini sahaja hujan akan turun di Jordan. Sebab itu, apabila hujan turun, suhu akan menjadi teramat sejuk. Keadaan sejuk di Jordan yang kering ini, memberikan kesan kepada tulang. Sebab itu semua penduduk akan memakai baju yang sangat tebal, selimut tebal dan tidak cukup dengan itu, memasang pemanas di rumah semasa melalui musim sejuk ini.
Irfan dan Asid hendak menghantar hiram mereka ke dobi. Terdapat kedai dobi yang mesra dengan pelajar melayu berdekatan dengan Bangunan Abu Muhammad. Nama kedai dobi itu ialah Dry Clean Original. Terletak di sebelah Bangunan Umar Mukhtar. Bagi pelajar yang tinggal di Bangunan Abu Muhammad, mereka perlu berjalan sekitar 100 meter.
Mereka akan bergerak melalui jalan yang terletak antara dua buah bangunan iaitu bangunan Kedai Abu Ain dan bangunan Dewan Abu Ain. Seterusnya perlu berjalan di hadapan kedai bernama Ma’janat Original dan akhirnya melalui hadapan sebuah tanah lapang, barulah sampai ke kedai Dry Clean Original yang terletak di sebalah Bangunan Umar Mukhtar.
Ketika ini, Irfan dan Asid sedang berjalan di hadapan tanah lapang.
Langkah Irfan terhenti secara tiba-tiba, membuatkan Asid turut berhenti juga.
“Kenapa?”
“Cuba tengok tu” Irfan menunjuk ke tengah tanah lapang.
Ada seorang lelaki bertubuh kemas, sedang bergerak dengan pergerakan teratur. Ada bunga-bunga pencak sedang ditarikan. Sekali sekala tangan lelaki itu akan menumbuk udara kosong. Kadangkala kakinya pula melakukan perkara yang sama.
Irfan dan Asid melihat sahaja. Tertarik dengan pergerakan yang kemas dan teratur itu. Gerak seni tempur melayu terkenal – silat.
“Gayong?” Asid meneka. Irfan mengangkat bahu. Tidak pasti.
Tetapi dia pasti satu perkara. Dia kenal akan orang yang sedang berada di tengah itu.
“Assalamu’alaikum Harith!” Irfan bergerak ke tanah lapang. Beg plastik berisi hiram ditinggalkan di tepi jalan tadi. Asid membuntuti Irfan.
Harith yang baru menutup pergerakannya, mengangkat wajah. Matanya membesar melihat Irfan. Teringat sembang-sembang dengan Badruddin tempoh hari.
“Orang ini, dia akan cuba dekati kita. Dia dekati kita bukan sebab lain, dia hanya nak tutup mulut kita. Kita perlu berjaga-jaga dengan mereka. Terutama Irfan itu. Jangan sesekali kita jatuh sekali lagi macam dulu”
Irfan tidak perasan perasaan benci Harith yang membuak-buak. Dia dengan mesra terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan diiringi senyuman. Ketika tangannya hendak mendekati Harith, Harith bergerak tangkas menangkap tangan itu dan menarik Irfan kasar. Tangannya yang sebelah lagi meluncur di tengah udara sejuk untuk mendarat di wajah Irfan.
Pap!
Penumbuk itu berhenti di hadapan hidung Irfan. Irfan sangat terkejut. Mujur Asid sempat menangkap pergerakan Harith.
“Lepas!” Harith seperti singa yang tercedera, dengan pantas melancarkan tendangan sisi untuk menyisihkan Asid.
Asid mengangkat kaki, bertahan dan kemudian menyerang terus. Betisnya hinggap pada perut Harith. Tangan Harith yang memegang Irfan tadi terlepas, begitu juga pegangan Asid kepada tangan Harith tadi.
Harith terundur, tetapi tidak terjatuh. Dia sempat mengimbangi tubuh. Dan dia tidak mengalah begitu sahaja. Pantas memecut menerkam Asid. Penumbuknya melayang membawa tubuh. Asid tenang dengan kuda-kuda yang kemas. Apabila penumbuk itu masuk dalam kawasan serangan, segera Asid mengelak dan menangkap penumbuk itu. Harith pula tidak tempang langkahannya, pantas mengeluarkan diri dari tangkapan Asid dan bergerak menyerang wajahnya.
Asid mengiring ke tepi dan hendak menangkap bahu Harith. Harith menepis dan melancarkan lagi tumbukan. Asid menyendengkan tubuh lantas melancarkan sepakan keras. Harith bertahan dengan kedua tangannya segera, namun masih terasa kekerasan sepakan Asid. Ketika inilah dia menangkap kaki Asid tadi dan memutarkan tubuh lawanya itu. Asid berputar sebentar di udara sebelum turun ke bumi semula. Tetapi tidak menyembah bumi kerana tangannya pantas menyambut tubuh dan dengan tangkasnya dia memutarkan seluruh tubuhnya bergerak seperti ahli gimnas di atas palang. Harith terundur kerana terkejut dengan aksi Asid.
Asid melompat dan berdiri semula. Mengambil nafas dan cuba mentenangkan dirinya.
“Huuu…” Asid melepaskan nafas. Asap putih nipis berkepul keluar.
Mata Harith seakan tidak percaya. Asid sangat ampuh langkah kepahlawanannya. Malah tubuh Asid sangat fleksibel. Siapa menyangka orang terkenal dengan sikap happy go lucky itu boleh sehebat ini? Malah tidak menunjukkan celahan langsung sepanjang pertarungan.
Irfan yang berada di tepi tadi, berulang kali menjerit berhenti. Tetapi tiada suaranya memasuki ruang pertempuran dua manusia itu.
“Hei, kan aku kata berhenti?” Irfan menepuk bahu Asid. Menarik kembali sahabatnya itu ke alam sedar.
“Eh?” Asid macam baru pulang ke dunia, memandang Irfan.
“Maaf, maaf. Lama tak bertarung” Asid memandang Harith.
“Minta maaf pada Harith” Irfan mengarah. Suaranya tegas.
“Tapi dia yang serang kau dulu tadi” Asid membantah.
“Aku kata minta maaf. Bukan kata siapa salah siapa betul” Irfan masih macam tadi. Bertegas.
Asid memandang Harith. Harith pula masih terkejut. Kini keterkejutannya bertambah. Sudahlah Asid hebat seni tempurnya. Kini Irfan pula meminta Asid meminta maaf kepadanya? Sedangkan memang terang dia yang menyerang Irfan terlebih dahulu dan Asid hanya mempertahankannya.
“Harith, aku minta maaf” Dengan rendah diri, Asid menundukkan kepala.
“Jangan ingat aku nak maafkan. Aku dengan kawan-kawan aku benci orang macam kamu semua. Jangan dekati kami lagi” Harith perlahan-lahan bergerak keluar dari tanah lapang. Sambil bergerak keluar, dia tidak lepas memandang Asid. Rasa kagum muncul di dalam dirinya tadi masih belum hilang.
“Hei Harith” Asid menjerit, membuatkan langkah Harith terhenti.
“Kalau nak apa-apakan Irfan, langkah mayat aku dahulu!” Dan amaran keras itu keluar.
“Asid!” Irfan menarik tangan Asid. Menegur ayat kasarnya itu.
Harith terus bergerak, naik ke Bangunan Umar Mukhtar dan menghilang.
“Kenapa tiba-tiba sahaja ya?” Irfan menghela nafas. Berfikir di mana salahnya dia.
Asid memaut bahu Irfan, dan mendekatkan sahabatnya itu pada tubuhnya.
“Jangan risau. Aku ada”
Irfan mengangkat mukanya pada Asid. Asid tersenyum.
“Macam hero dengan heroin pula. Tepi la” Irfan menolak tubuh Asid. Dia bergerak keluar dari tanah lapang.
Asid ketawa. “Sekali sekala bergerak tubuh ni, bagus juga. Lagi-lagi musim sejuk ni”
“Banyak la bagus. Kalau cedera macam mana?” Irfan mengangkat beg hiram.
“Aku? Cedera?” Asid mengambil beg hiramnya pula.
“Ha, berlagak la tu. Riya’ tu sebahagian daripada syirik tahu”
Tawa Asid berderai lagi. Irfan ni, bagus, sering mengingatkan.
Kemudian mereka pergi ke Dry Clean Original. Peristiwa petang ini membuatkan Irfan berfikir panjang. Apa yang terjadi? Kenapa tiba-tiba mereka macam sangat benci?
Teringat dia kepada Yusuf yang dia usaha dekati.
Bagaimana?
******
Di atas bumbung Bangunan Umar Mukhtar, ada yang melihat semua yang berlaku di tanah lapang tadi. Dia bukan orang arab. Dia adalah orang melayu.
Melihat ketangkasan Asid, dia percaya bahawa dia sukar untuk mendapatkan Irfan.
Dia menyimpan dendam kepada Irfan Hakimi.
Irfan Hakimi telah membunuh abangnya!
“Heh, Irfan. Jangan kau sangka kau akan terlepas” Dia menggenggam penumbuk. Dia bercita-cita untuk menghapuskan Irfan. Dan bukan sekadar Irfan sahaja, dia hendak merosakkan apa yang dikatakan keimanan yang dibawa oleh Irfan itu.
Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Irfan, dia benci semuanya.
Kerana Irfan telah menarik sesuatu yang berharga dalam hidupnya.





salam,
akhirnya ada juga surat irfan kpd yusuf tu..
best2.. erm, bila la bk dpat buku sinergi ni..cepat la PWTC.. haha..
[Reply]
woah,
best2. x sabaq nak bli bku crta nih..
gud job.
[Reply]
wow!! fantastic!!
luv it!
Nak jadi kawan yang macam diorang la..
Gambarimasu!!
[Reply]
Nak minta izin,copy paste semua Sinergi dr 1 sampai 11 skrg ni.Terima kasieh banyak
Jika dah dterbitkn, harap dpt beli 1 hari nnt.
[Reply]
(Minta izin copy dan paste ke format Ms Word..drpd sebelum prolog sampai skrg ni)
[Reply]