Langit Ilahi Rotating Header Image

Novel Sinergi: Cerita 12 - Cubaan Pertama

Cover Novel Sinergi Final. Waktunya semakin hampir...

Cover Novel Sinergi Final. Waktunya semakin hampir...

Sabtu datang. Dan ini Sinergi Online terakhir.

Cerita 12: Cubaan Pertama.

Enjoy it!

Cerita 12

Cubaan pertama

Mereka akan terus mencuba

Merobohkan benteng-benteng kita

Tetapi mereka tidak tahu

Sebaik-baik mereka merancang makar

Allah juga merancang

Dan Pencipta kepada mereka yang merancang itu jugalah yang terbaik

Inilah kepercayaan

Mereka yang meyakini sepenuhnya Dia dalam keimanan

Irfan dan Asid berjalan bersama di tengah-tengah Bundle. Antara istimewanya Jordan adalah wujudnya bundle. Bundle adalah tempat utama bagi pelajar-pelajar melayu, juga orang-orang di sini mencari barang yang murah. Sememangnya maklum bahawa perkataan bundle menunjukkan barang yang pernah digunakan. Jadi barangan yang dijual di bundle ini semuanya pernah digunakan.

Namun, bagi pelajar dari Malaysia yang mata wangnya jauh lebih rendah daripada Jordan, bundle ibarat tempat pembantu mereka mengurangkan belanja. Pakaian di sini juga, murah-murah belaka. Bayangkan, jeans levi yang biasanya di Malaysia berharga sekitar RM100-RM200, di sini dijual dengan harga 3JD, yakni bersamaan dengan RM15.

Terdapat pelbagai barang jualan yang menarik di sini seperti baju, seluar, baju sejuk, jaket kulit, beg tangan, kasut dan juga selipar. Semuanya dengan harga yang jauh lebih murah dari biasa, malah lebih murah dari harga di Malaysia. Baju berjenama kadangkala berharga hanya RM1.50. Pada musim sejuk sebegini, biasanya akan datang musim diskaun. Baju sejuk berbentuk kot panjang hingga ke lutut yang biasanya berharga RM100 atau lebih mahal, pernah dijual dengan harga hanya RM5.

Di Bundle pula, tidak mempunyai hanya satu kedai sahaja. Ada berpuluh-puluh kedai, menjadikan pilihan bagi yang datang ke sini mencecah ribuan. Sebab itu, bundle juga terkenal dengan penghabis duit pelajar. Hal ini kerana, disebabkan harganya terlalu murah, pelajar akan rambang mata membeli apa sahaja. Tanda disedari, tujuan untuk berjimat dengan membeli barang bundle tadi, tidak tercapai. Malah jadi membazir.

“Memang rambang mata” Asid pejam celik. Semua yang dilihatnya menarik. Ada jenama Ebisu, ada Timberland, ada Land Rover. Rasa macam nak beli semua kasut yang berada di hadapannya kini.

“Duit JPA kau tu, duit rakyat semua tau. Amanah. Bukan habiskan atas benda-benda macam ni” Irfan yang sedang menghadap kawasan baju-baju berpesan.

Asid tersengih. Dia faham. Membeli jika perlu sahaja. “Terima kasih Ustaz Irfan. Mujur saya membawa ustaz ke mari” Asid berseloroh, sambil mendekatkan tubuhnya dengan Irfan.

Irfan segera memanjangkan tangan, menarik Asid agar tubuh mereka lebih rapat. Kemesraan yang tidak berbelah bagi. Lebih dari adik beradik kandung yang sebenarnya. Ukhuwwah yang terbina atas iman kerana-Nya.

“Kenapa tiba-tiba ajak aku menjengah bundle ni?” Irfan bertanya, sambil tangannya sibuk membelek baju-baju yang ada di hadapannya.

“Em, saja.”

“Ini mesti ada apa-apa ni”

“Ya Allah, sejak bila aku perlu ada apa-apa untuk rapat dengan kau?”

Irfan ketawa. Benar. Ukhuwwah atas keimanan, akan membina keikhlasan dalam hubungan. Tidak kerana rupa, bukan kerana wang, bukan juga kerana hal. Ukhuwwah yang benar terbina atas kefahaman. Sebab itu, bagi yang faham, seluruh ummat Islam ini adalah keluarga mereka.

“Saja aja ajak kau. Aku nak beli baju sejuk untuk beberapa junior. Mad’u-mad’u” Asid mengangkat baju sejuk yang berada di hadapannya.Rasa berkenan pula.

“Oho. Baguslah. Aku pun ingat nak beli la jugak untuk adik-adik” Irfan mencuba baju satu baju pada tubuhnya. Kemudian dia mendekatkan baju itu kepada Asid.

“Nak? Aku hadiah” Irfan bertanya kepada Asid.

Asid memandang baju itu. Warna hitam. Warna kegemaran Asid. Jenama pula Forest. Juga jenama kegemaran Asid. Di tengah timbunan pakaian itu, ada juga pakaian yang menarik ini. Dia lebih suka pilihan Irfan ini dari apa yang sedang berada di tangannya.

“Terima kasih la Irfan. Kau ni banyak korban untuk aku. Segan”

“Kata sahabat?” Irfan angkat kening.

Asid menguntum senyum. Bijak Irfan mengeluarkan soalan. Sahabat. Perkataan yang nampak sederhana, tetapi besar maknanya.

Mereka terus membelek pakaian, dan membeli beberapa daripadanya.

Tanpa mereka sedari, seluruh pergerakan mereka diperhatikan dengan teliti. Tidak cukup dengan itu, gambar-gambar mereka ditangkap. Semua kemesraan mereka dirakam kemas.

*****

Irfan baru selesai mandi. Selepas ini dia ingin pergi ke majlis talaqqi. Walaupun di Jordan ini, sistem talaqqi tidak segiat seperti di Mesir, namun sistem ini tetap ada. Cuma pelajar itu sendiri yang perlu berusaha keras mencari.

Irfan berguru dengan seorang sheikh bernama Sheikh Muaz. Dia merupakan anak kepada Sayyid Hawwa. Kelasnya mencakupi ilmu fiqh dan Aqidah. Biasanya yang mengikuti kelas Sheikh Muaz adalah kalangan pelajar PhD seperti Ustaz Heizal. Irfan adalah satu-satunya pelajar ijazah yang turut serta.

Setiap minggu, pada malam Jumaat, dia akan pergi ke rumah Sheikh Muaz. Kelas akan berjalan sepanjang tahun, kecuali di Bulan Ramadhan. Kadangkala, Asid akan turut serta. Sengaja. Seperti malam ini.

“Asid, kalau nak ikut, cepat la siap” Irfan pintu bilik Asid.

“Weh, ketuk apanya? Aku baru habis mandi ni ha” Asid kelihatan baru keluar dari satu lagi tandas. Rumah mereka terdapat dua tandas. Satu berdekatan dengan pintu hadapan rumah, dan satu lagi di antara Bilik Asid dan Bilik Saifuddin. Bilik Saifuddin di sebelah Bilik Shah. Manakala antara Bilik Shah dan bilik Irfan, terdapat dapur.

Asid tidak berbaju. Begitu juga Irfan. Hanya bertuala dari pinggang ke lutut sahaja. “Sejuk la” Asid menggeletar.

Irfan segera mengambil kain bersih yang tergantung di hadapan bilik air yang dimasukinya tadi, lalu dicampakkan kepada Asid.

“Dah tahu tak tahan sejuk, bawak la dua tuala. Apa la” Irfan mendekati Asid, menepuk dada sahabatnya. Asid yang sedang menggosok kepala menggunakan kain yang diberikan Irfan, tersenyum sahaja.

“Cepat la, aku tak sabar dah ni. Lama aku tak ikut kau pergi talaqqi. Minggu ni boleh ada masa pula”

“Ha, ya ya.” Mereka berdua masuk ke bilik masing-masing.

Ketika ini, mereka tidak menyedari betapa semua yang mereka lakukan diperhatikan.

Ada orang yang mengikuti mereka semenjak seminggu ini. Merakam semua perlakuan mereka.

Menanti peluang untuk muncul bagi merosakkan mereka.

*****

Erman memandang Irfan dan Asid yang amat mesra.

Teringat dia kata-kata Syafiq ketika hari penutup MHS dahulu.

“Kalau salah seorang itu perempuan, aku dah bagi title couple of the year dah”

Erman rasa pelik dengan Irfan dan Asid. Mereka berdua amat rapat ibarat belangkas. Berjalan kadangkala berpegangan tangan. Malah dia juga perasan yang Irfan ada bercium pipi dengan Asid. Itu tidak dikira lagi kadangkala mereka berpelukan di khalayak.

“Bukan gay ke macam tu?” Erman menepuk Syafiq.

Syafiq memandang ke arah yang ditunjuk oleh Erman. Kelihatan Irfan dan Asid duduk sebelah meyebelah. Asid memegang Al-Quran, manakala mulut Irfan seakan membaca. Nampaknya mereka berdua sedang melakukan tasmi’, yakni seorang mendengar dan seorang memeriksa.

“Gay apanya? Kan tengah baca Al-Quran tu?” Syafiq memandang pula Erman dengan pandangan kurang senang. Kenapa la Erman ni pesimis sangat?

“Ya la, sekarang baca Al-Quran. Sebelum ni pegang tangan la, cium pipi la, peluk la. Kadang-kadang, aku pun dipeluknya juga” Erman buat gaya meluat.

Syafiq diam. Macam mana hendak diterangkan?

Matanya kemudian menyorot kembali kepada Irfan dan Asid.

Teringat pula dia kali pertama dia dan Erman bertemu dua orang itu.

“Itu orang panggil ukhuwwah. Bukan gay”

“Ukhuwwah? Hubungan sesama Islam?”

“Ya la, kau belajar agama takkan tak tahu?”

“Aku tahu ukhuwwah. Tetapi macam itu ke yang dipanggil ukhuwwah?”

Syafiq terdiam lagi. Memerah otak untuk menjawab soalan Erman.

“Dah la Erman, bagi aku baca Al-Quran boleh tak?”

“Suka hati kau. Aku tanya ja. Tak boleh jawab cakap tak boleh” Erman terus memandang Asid dan Irfan.

Syafiq menghela nafas. Menggeleng kepala. Kadangkala, kesabarannya teruji melayan orang seperti Erman.

*****

“Semua persediaan selesai dah Bad” Muiez bersuara sambil matanya tetap pada PC. Selain lap top, dia mempunyai komputer dekstop yang mantap dan hebat. Komputer itu ditukanginya sendiri. Dia membelinya secara pecahan dan memilih bahagian dalam yang terbaik sahaja.

Badruddin memandang skrin flat 22 inci di hadapannya. Semuanya telah tersusun kemas. Kekunci-kekunci yang menjaga website daripada penceroboh telah siap dibuka. Dari skrin itu, Badruddin dapat melihat blog rasmi PERMAI yang bersedia untuk digodam.

“Barang sebaran macam mana?”

“Tu” Muiez menunjuk di bahagian dinding berdekatan pintu masuk. Mungkin Badruddin tak perasan masa masuk tadi. Terdapat tiga plastik penuh dengan kertas A4.

Badruddin mengambil satu dan melihatnya. Terangguk-angguk kepalanya. Puas hati.

“Yusuf, Wafiq, Harith!” Badruddin memanggil.

Ketiga-tiga orang itu segera muncul. Ibarat askar pula gayanya.

“Ada apa Bad? Projek dah selesai ke?” Harith merujuk kepada apa yang sedang diusahakan oleh Muiez sekarang.

“Ini nak selesaikanlah ni” Badruddin mengangkat kertas di tangannya.

Wafiq dan Harith membesarkan mata. Separa tidak percaya.

“Macam betul la” Wafiq menggosokkan mata.

“Weh, tengok la siapa yang buat. Muiez Iskandar la” Muiez menepuk-nepuk dada.

“Gambar palsu la ni?” Yusuf rasa macam hatinya tersiat-siat dengan apa yang dilihatnya.

“Jangan banyak tanya. Sekarang, sebarkan.” Badruddin menyerahkan setiap seorang satu plastik. Dibahagikan juga peta untuk tempat duduk pelajar melayu lelaki dan perempuan. Peta yang juga dibuat oleh Muiez.

“Bagi terbalik PERMAI ni esok!”

Pukul 3 pagi, mereka bergerak di tengah kesejukan malam.

Yusuf berjalan lambat-lambat. Entah bagaimana, hatinya rasa berat.

*****

“Ya Allah, malasnya aku nak pergi masjid!” Aiman Rosli, seorang pelajar tahun 3 di JUST, telah berkahwin dan tinggal bersebalahan dengan Universiti Yarmouk, membuka pintu rumahnya.

Subuh pada musim sejuk memang mencabar. Tetapi inilah dia ujian keimanan. Teringat Aiman Rosli akan satu tazkirah yang pernah diikutinya di dalam program PERMAI:

“Kadang-kadang, musim sejuk ni boleh jadi kayu ukur keimanan kita. Nak tengok kita cinta mana lebih, kita boleh kira berapa hari kita bangun subuh dan pergi masjid, berbanding kita bangun kemudian tidur balik”

Di PERMAI, tarbiyah dijalankan dengan giat. Hati-hati ahlinya berusaha dibasuh dan dibina. Pemimpin bersama rakyat bantu membantu dalam hal menggapai redha Allah SWT. Menyebabkan rakyat sebagai individu merasakan betapa pentingnya untuk hidup dengan menjadikan redha Allah SWT sebagai matlamat.

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri mereka” Surah Adz-Dzariyat, ayat 56.

Di sinilah letaknya kesungguhan ahli PERMAI. Aiman Rosli salah seorang daripadanya. Berusaha mentarbiyah diri. Agar nanti pulang ke Malaysia, mampu menjadi contoh dan penyebar agama Allah SWT melalui kehidupan yang dibina atas keimanan.

“Eh, Apa ni?” Aiman Rosli rasa kakinya memijak sesuatu. Dia menggosok matanya, membuka lampu luar.

“Siapa buat sampah ni?” Dia melihat banyak kertas A4 berada di atas lantai hadapan rumahnya. Rasa ingin tahu membuatkan dia menunduk mengambil salah satu kertas.

Bila dia melihatnya, matanya terbuntang.

“MasyaAllah!”

*****

Pagi itu, PERMAI gempar.

Semua rumah ahli PERMAI mendapat kertas A4 yang mengandungi gambar perbuatan homoseksual yang dilakukan oleh Asid dan Irfan. Gambar keduanya separuh berbogel penuh, terpampang sebagai gambar besar.

Inilah Realiti Sebenar Mereka

Itu bunyi tajuk kertas yang disebarkan. Di hadapan gambar besar itu, terdapat gambar-gambar kecil yang menangkap kemesraan Irfan dan Asid, gambar mereka berpegangan tangan, gambar mereka berpelukan, berkucup pipi dah sebagainya.

Blog PERMAI sekali lagi digodam. Kali ini, tiada apa yang terganggu, melainkan terdapat pos baru yang memaparkan aksi homoseksual Asid dan Irfan. Gambar mereka melakukan hubungan seksual luar tabii di dalam bilik terpampang sebagai gambar utama.

Faiz Hamzah mengucap panjang.

“Kenapa la kotor sangat pemikiran budak-budak ni?” Api kemarahannya terpercik.

“Eh, tapi betul ke Asid dan Irfan ni?” Firdaus dan Aizad menunjuk pada gambar yang terpampang.

“Kau percaya ke?” Faiz Hamzah kehairanan.

“Kau?”

“Ya Allah, berapa lama kita kenal Irfan dan Asid?”

“Tiga tahun. Mereka senior kita setahun” Aizad menjawab.

“Ha, tiga tahun. Kalau mereka tu betul gay, dah lama kantoi”

“Tapi, itu kita. Agak-agak macam mana ahli PERMAI lain? Pelajar tahun dua, tahun satu. Pelajar perempuan. Macam mana?”

Faiz Hamzah memikirkan kata-kata Fridaus itu.

Kalau hal-hal komputer ni, ada seorang sahaja yang sering dihubungi Faiz.

“Aku panggil Hazim. Dia boleh pisahkan gambar-gambar macam ini”

*****

Asid ketawa. Irfan muka tidak percaya.

“Ya Allah, ada patut mereka buat kita macam ini?” Irfan menggeleng.

“Tutuplah” Asid dengan sisa tawanya, menggerakkan kursor tanpa menunggu Irfan. Tetingkap mozilla firefox ditutup.

Saifuddin dan Shah memandang Asid pelik. Apa yang hendak diketawakan? Inikan hal besar?

“Cukup-cukuplah ketawa tu Asid.” Irfan menarik Asid.

“Ok, ok. Maaf” Asid menyatukan kedua telapak tangannya.

“Aku bukan apa, tak sangka mereka terfikir macam itu. Siapa agak-agak nak percaya?”

Saifuddin mengangguk. Betul juga. Siapa nak percaya?

Shah menepuk Irfan. “Sabar la. Takkan melenting?”

“Bukan melenting, terkejut. Aku hairan kenapa mereka benci sangat dengan aku dan Asid. Itu yang buat aku runsing.”

Shah mengangguk-angguk faham. Kalau sekadar membenci, Irfan tidak akan terasa apa-apa sebenarnya. Shah tahu, ada lebih dari sekadar benci itu yang dirisaukan Irfan. Irfan sebenarnya risaukan cara pendekatannya yang silap, dakwahnya tidak sampai. Perasaan ini, hanya akan ada untuk mereka yang betul-betul hendakkan kebaikan kepada orang lain. Biar diri terluka, asal orang lain bahagia.

Irfan takut, tindakan Disaster Five itu adalah kerana mereka berlima terluka dengan perbuatannya yang mungkin dia pun tidak perasan.

“InsyaAllah tak. Jangan la fikir yang bukan-bukan. Ini sama ja macam kacau-kacau mereka dengan orang lain. Cuma dengan kau mereka lebih la sikit. Kau kan dihormati di sini” Shah cuba menenangkan.

Asid mengangguk. “Jangan risau Irfan. Kita jangan mengalah.”

Irfan diam sahaja. Memandang skrin lap top yang kini memaparkan gambar dirinya dan Asid menjadi penghias bahagian desktop.

Ukhuwwahfillah selama-lamanya. Itulah yang tertulis di bawah gambar mereka.

“Terima kasih semua. Terima kasih. InsyaAllah, kita semua akan usaha lagi” Irfan memegang tangan Shah yang sedari tadi di bahunya.

Semua di bilik itu diam sahaja. Menjawab sama-sama di dalam hati masing-masing.

Bersatu atas keimanan, menghasilkan ketenangan dan kekuatan yang luar biasa.

*****

Kes gambar gay Asid dan Irfan berlalu seperti angin lalu. Walaupun gempar pada hari pertama, ia lebih kepada keterkejutan ahli PERMAI terhadap apa yang difikirkan oleh Disaster Five. Pada mereka, Disaster Five terlalu hendak merosakkan suasana murni PERMAI hingga menggunakan ukhuwwah erat Asid dan Irfan yang diketahui ramai itu.

Tambahan, Hazim telah memadamkan pos berkenaan itu di blog PERMAI. Gambar-gambar yang disebarkan kepada seluruh warga PERMAI juga dikutip dan dibakar. Hazim tidak berhenti setakat itu, ditunjukkan pula di mana kepalsuan gambar yang telah diedit oleh Muiez itu. Di sini, ternyata Disaster Five tidak mampu menembus rekahkan kepercayaan ahli PERMAI kepada Irfan dan Asid.

“Tak berjaya la Bad. Sehari dua, orang tak cerita dah” Muiez menggendang meja. Dia pun hairan macam mana ahli PERMAI tak cepat melenting dengan gambar itu. Tak rasa kepercayaan dikhianati ke?

“Nampaknya mereka ni bukan bodoh juga” Badruddin mengangguk-angguk.

“Habis macam mana? Rancangan kita gagal ni” Harith menggerakkan lehernya. Rasa lenguh.

Badruddin diam. Semua yang ada di ruang tamu turut diam. Yusuf hanya melihat sahaja rakan-rakannya. Dia sebenarnya tidak senang dengan rancangan yang terbaru ini. Hal ini kerana, di hatinya dia merasakan Irfan sangat berbeza dengan orang lain. Orang lain mungkin ada sisi yang tidak baik. Irfan, dia adalah manusia yang berusaha menjaga dirinya pada segala segi.

Tetapi dia takut hendak bersuara di tengah rakan-rakannya. Dia hanya ada wang. Dulu, dia sering dibuli. Empat rakannya inilah yang menjaganya. Di Henry Gurney dahulu, mereka berempat jugalah yang banyak meringankan bebannya. Dia tidak mampu hendak membelakangi, jauh sekali membangkangi rakan-rakannya ini.

“Tak mengapa, bagus juga apa yang berlaku ni” Badruddin mengetuk meja.

“Bagus?” Wafiq tidak faham.

“Kali ini, kita pakai gambar palsu. Sebab itu mereka susah nak percaya. Lain kali, kita gunakan gambar yang betul.”

“Kalau mereka betul-betul gay tak apa la. Masalahnya mereka tak gay Bad. Kita dah ekori mereka sampai mereka tidur” Muiez bersuara.

Badruddin menggeleng. “Kenapa mesti pakai alasan gay lagi? Ada banyak kes dalam dunia ni. Kita hanya tunggu peluang sahaja”

Dan dia tersenyum jahat. Semua yang ada, kecuali Yusuf kagum dengan minda geliga Badruddin.

Yusuf, dia semakin kurang senang.

Print This Post Print This Post

12 Comments

  1. mohd Nor says:

    lol….best cite nih, ana x sbr tggu keluaran..

    [Reply]

  2. afnan says:

    salam wbt..
    ni SINERGI online yang last ek..?
    hrm, lambatnye nk tggu balik M’sia, beli buku nih… :sad:
    anyway, thumbs up to akh hilal, for a marvelous, great story..

    [Reply]

  3. yo says:

    i wan to buy this C ner G novel.
    where can i get it?

    [Reply]

  4. ainor says:

    x tahu mcm mane nk beli citer ni?????????

    [Reply]

  5. ariffah9 says:

    salam.
    huhu.. sinergi last.
    xsabar nk bca buku dia..

    [Reply]

  6. ana says:

    insyaAllah ni buku pertama sy akan cari waktu pesta buku nanti..:)

    menarik..tahniah akhi

    [Reply]

  7. permatakasih says:

    yup,sangat best :grin:
    tahniah bt hilal
    moga kita sama2 ambil pengajaran

    [Reply]

  8. izah says:

    subhanaAllah, jalan cerita yg sgt teratur walaupun kdg2 ana skip membaca..namun alhamdulillah realiti cerita ini benar2 wujud dalam ukhwah fillah dalam kehidupan seorg teman..mudahan, bertautnya roh ukhwah bersaudara itu melalui penyampaian crita ini. InsyaAllah..

    [Reply]

  9. ainun safiah says:

    Ya Allah..lps ni tiada lagi sinergi untuk menceriakan sabtuku..Insya-Allah novel Sinergi pasti akan menghiasi rak bukuku nanti…amin!!!

    [Reply]

  10. Nur Syafiqah says:

    best-nyer novel nie ….. :???: :sad: nanti sabtu hadapan tida lagi novel Sinergi….Insya-Allah saya akan membeli buku ini dan lain2 hasil karangan Hilal

    [Reply]

  11. guest says:

    salam…
    sesiapa nak dptkn bku ni, bley dptkn time pesta buku antrbngsa di kl nnti..
    (^_^)
    may Allah bless us

    [Reply]

  12. inginjuga says:

    bila nk kuar kt psrn novel ne?da kuar gtau ya…gtau cpt2. nk bli dan nk jual..hehe.jzkll :wink: h

    [Reply]

Leave a Reply