Jadi sabtu datang.
Alhamdulillah. Allah masih izin lagi kita hidup tenang. Tetapi mungkin ada juga kalangan kita yang hidupnya tidak senang. Maka yang dalam kelapangan, bersyukurlah. Sesiapa yang disempitkan dengan ujian, bersabarlah.
Sesungguhnya, tiadalah Allah SWT itu menyusun sesuatu perkara, melainkan baik untuk hamba-hamba-Nya. Itu keimanan kita.
Maka bersambunglah kisah Sinergi kita. Kini sudah masuk Cerita 2 - Yang Membina Kita.
Enjoy.
Cerita 2
Yang Membina Kita
Ibarat bangunan
Yang menentukan keutuhannya adalah dasar binaan
Maka yang memutuskan kehidupan insan
Adalah keimanannya kepada TUHAN
“Lambat pula pensyarah kita hari ini Baha” Irfan memandang sekeliling. Minggu ini sudah minggu kedua pembelajaran bermula. Walaupun Ramadhan, universiti di Jordan tetap berjalan seperti biasa. Bezanya, di dalam bulan Ramadhan, waktu pembelajaran akan dipendekkan sedikit.
Faiz Hamzah di sisi mengangguk.
Hari ini, dia sekuliah dengan Irfan dalam pelajaran Bahasa Arab 2, antara mata pelajaran wajib di Universiti Yarmouk. Walaupun Irfan merupakan pelajar tahun empat, manakala Faiz Hamzah adalah pelajar tahun tiga, mereka berada di dalam satu kelas yang sama. Sistem pembelajaran di Yarmouk membolehkan keadaan sedemikian berlaku. Hal ini kerana, di dalam universiti Yarmouk, tiada tahun pengajian sebenarnya. Yang ada hanyalah bilangan mata pelajaran.
Maka, jika pelajar tahun satu mengambil mata pelajaran Sirah, dan pelajar tahun empat juga mengambil mata pelajaran sirah, dan mereka mengambil dengan pensyarah yang sama pada waktu yang sama, maka mereka akan sekelas.
Faiz Hamzah juga memandang sekeliling.
“Ada hal agaknya. Dr Zohierah selalunya tepati masa” Nama pensyarah perempuan di Fakulti Bahasa dan Sastera itu disebutnya.
“Boleh sembang-sembang” Irfan mengoyak senyum.
Faiz Hamzah ketawa kecil. Mereka tenang di kerusi panjang yang terletak di hadapan dewan kuliah mereka. Koridor tingkat pertama bangunan Fakulti Bahasa dan Sastera Yarmouk masih ramai orang. Namun majoritinya lelaki. Antara kebiasaan yang baik di Universiti Yarmouk adalah pelajar perempuan akan menunggu di dalam, manakala pelajar lelaki akan menunggu di luar. Tidak tahu sama ada ini semata-mata tradisi atau memang menjaga pergaulan seperti yang dituntut dalam Islam, tradisi ini amat baik dan patut diamalkan.
“Macam mana jadi Presiden PERMAI?” Irfan menyentuh peha Faiz Hamzah.
Faiz mengangguk. “Alhamdulillah. Boleh la.”
“Tak penat?”
“Penat jangan cerita la.”
Terkeluar tawa Irfan. Dia tahu, bukan mudah menjadi Presiden PERMAI. Pelbagai tanggungjawab perlu dilaksanakan. Kalau menjadi Ketua Pelajar, Ketua Umum, Ketua Pengawas di Sekolah Menengah dikatakan susah, maka menjadi Presiden bagi pelajar melayu di satu zon, tambahan di negara orang orang, lebih susah dan berat. Dia sudah melaluinya tahun lepas.
“Boleh imbang dengan pelajaran tak? Jangan turun muaddal sudah la” Muaddal adalah perkataan arab yang membawa maksud peratus. Sering digunakan oleh pelajar di Jordan untuk menyatakan tahap pencapaian mereka.
“Boleh imbang. Jangan risau. Tawazun, tawazun”
Irfan mengangguk. Tawazun bermaksud keseimbangan. Sebagai hamba Allah SWT yang baik, seorang muslim itu perlulah mengamalkan tawazun dalam kehidupan. Barulah hidup ini boleh berjalan dengan baik, dalam keadaan seseorang itu mampu melaksanakan pelbagai kerja dan tugas. Dengan ini,barulah Islam akan bergerak ke hadapan kerana mempunyai orang-orang yang proaktif lagi efisyen di dalamnya.
“Pendaftaran pelajar baru ke Universiti macam mana? Selesai semua?”
“Selesai. Alhamdulillah. JUST dengan Yarmouk dua-dua baik”
Di Jordan, pelajar melayu yang baru, akan dibantu mendaftarkan diri ke universiti oleh senior. Pihak PERMAI akan menugaskan beberapa senior untuk menguruskan pendaftaran pelajar baru ini. Selain melicinkan urusan, gerak kerja ini membuka ruang agar pelajar junior merapati dan mengenali pelajar senior.
“Bagus la. Senang hati aku dengar” Irfan menyandarkan kepalanya ke dinding.
Faiz Hamzah mengukir senyuman. “Kau ni, ambil berat betul la”
“PERMAI ni kan wasilah kita. Wasilah kita nak tanamkan kefahaman Islam pada pelajar melayu di Irbid. Kena la ambil berat”
“Aku kena banyak belajar dengan kau lagi ni”
“Mana, kita ni kena saling lengkap-melengkapi.” Irfan menepuk-nepuk bahu Faiz Hamzah.
Irfan memang merendah diri orangnya. Kalau ada yang memuji, dia akan segera mengucapkan sesuatu yang mengimbangi pujian orang kepadanya. Ini antara sebabnya kenapa dia amat dihormati. Bicaranya yang lembut dan sikapnya yang merendah diri membuatkan sesiapa yang bersama dengannya, merasa senang hati.
“Faiz, kau kena ingat…” Irfan bersuara, sambil matanya memandang ke dinding hadapan. Orang ramai terus lalu-lalang di hadapan.
“Ya?” Faiz merasakan Irfan hendak berbicara sesuatu yang penting.
“Iman itu kena jadi masdar kita”
Faiz memberikan perhatian. Iman perlu dijadikan masdar, bermakna iman itu perlu dijadikan sebagai perlembagaan, asas dalam kehidupan. Segala tindakan, perancangan, semuanya perlu dimulakan atas keimanan kepada Allah SWT.
“Jangan tersasar daripada itu”
Faiz mengangguk. Keimanan kepada Allah SWT adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan insan. Iman adalah kepercayaan, keyakinan. Kepercayaan dan keyakinan kepada azab seksa dan balasan ganjaran daripada Allah SWT, adalah benteng utama dalam memandu manusia menjalani kehidupan yang baik, dan mendapat pengakhiran yang terbaik.
Jika iman menjadi perlembagaan, maka segala perintah Allah SWT akan menjadi papan penunjuk arah kepada perjalanan insan. Bukan nafsu, bukan perasaan. Kepimpinan yang menjadikan keimanan kepada Allah SWT sebagai titik tolak dirinya melaksanakan tanggungjawab, tidak akan dirasuk dengan kekuasaan, ketamakan, dan hasad dengki. Hal ini sekaligus mengelakkan situasi seperti gila kuasa, menyalah gunakan kuasa, dan sebagainya.
Hanya keimanan sahaja, yang mampu memandu seseorang itu ke arah kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan. Hal ini kerana, keimanan hanya akan membawa manusia mentaati apa yang Allah perintahkan, dan apa sahaja perintah Allah SWT itu adalah satu kebaikan.
Di dalam pesanan Irfan yang pendek itu, terkandung makna yang sangat besar, luas dan mendalam.
“Terima kasih Irfan” Faiz terkesan dengan pesanan Irfan.
Irfan tersenyum, tidak memandang Faiz.
“Yallah syabab, asif ‘ala takhir” Satu suara lembut menyapa. Dr Zohieroh Eisya, sedang berjalan pantas masuk ke dewan kuliah. Sempat dia melambai ke arah Irfan dan Faiz Hamzah. Dr Zohieroh mengenali Irfan dan Faiz Hamzah kerana semasa mereka berdua mengambil mata pelajaran Bahasa Arab 1, Dr Zohieroh jugalah merupakan guru mereka.
Mereka berdua terus bangun dan bergerak ke dalam dewan kuliah.
****
Dr Toriq Khaffajah menerangkan dengan penuh khusyuk berkenaan perkaitan antara gigi dan kawasan-kawasan di bahagian kepala. Slide Show yang disediakan, dibentangkan dengan baik sekali. Pelajar-pelajar praktikal pergigian tahun empat yang berada di dalam dewan Al-Farabi ketika ini, menumpukan perhatian penuh kepada pengajarannya.
Tidak terkecuali Asid.
Anak mata Asid tidak bergalih langsung daripada Dr Toriq. Dia memandang setiap gerak geri dan bicara pensyarah itu. Khusyuk. Sekali-sekala tangannya akan menulis isi penting yang disampaikan oleh Dr Toriq.
Bagi pelajar di JUST, mereka tidak perlu membuat nota yang sukar. Hal ini kerana, JUST menyediakan sistem muat turun nota pensyarah di internet. Maka, Asid hanya menulis beberapa perkara kunci yang memudahkannya untuk memahami pengajian. Ini akan melancarkan proses pembelajarannya apabila dia mengulang kaji nanti.
“So, this is for today. So i hope you’ll be prepare for your nest class.” Dr Toriq meletakkan markernya dan kemudian bergerak meninggalkan kelas.
Asid melepaskan nafas lega. Dr Toriq menghabiskan kelasnya awal.
“Seronok betul belajar masa Ramadhan ni” Halim yang duduk di sebelah Asid bersuara.
“Halim seronok sebab masa belajar dipendekkan” Dzulkarnain, teman seangkatan Asid, juga merupakan Presiden MPPMJ untuk sesi kali ini, bersuara. Dia duduk di sebelah Halim.
“Ala, macam la kau tak seronok Dzul” Halim menepuk tangan Dzulkarnain di sebelahnya.
Asid ketawa. “Sudah-sudah, macam kanak-kanak rebina betul. Kelas petang, memang seronok la habis awal. Mata dah kuyu aje”
“Ha Dzul, macam mana presiden MPPM kita?”
Dzul ketawa. “Sibuk sungguh. Bayangkan, aku bukan kena fikir Irbid sahaja, aku kena fikir Mu’tah, Mafraq, dan Amman sekali” Dzulkarnain menyebut nama-nama daerah di Jordan yang menempatkan pelajar-pelajar melayu.
Irbid menempatkan pelajar Universiti Yarmouk dan JUST. Mu’tah menempatkan pelajar Universiti Mu’tah. Mafraq menempatkan pelajar Universiti Al- Ahl Bayt. Manakala Amman menempatkan pelajar Universiti Urduniah atau University of Jordan.
MPPMJ merupakan organisasi tertinggi di Jordan yang menjadi penyelaras kepada semua persatuan zon yang wujud di semua daerah. Bagi Irbid, persatuan zonnya adalah PERMAI, Mu’tah adalah PERMATA, manakala Mafraq adalah PRISMA dan Amman adalah PPMA. MPPMJ bertanggungjawab menyatukan semua pelajar melayu di Jordan.
“Kalau kau ada apa-apa nak minta tolong, cakap je tau” Asid menawarkan diri.
Dzulkarnain tersenyum sambil mengangguk.
“Ingat, kau bukan seorang aje Dzul. Kami semua sedia menghulurkan tangan” Halim masuk dalam perbincangan.
“Sinergi eh?” Dzulkarnain menyebut istilah yang popular itu. Istilah Sinergi diperkenalkan oleh Irfan apabila menceritakan perihal hubungan. Irfan berkata bahawa, apa-apa pun hubungan, baik untuk tujuan kerja, ukhuwwah, dan apa-apa sahaja tujuan, perlu lah dibina atas dasar iman. Barulah melahirkan sinergi, yakni 1+1=3. ‘Tambah’ di dalam formula itu adalah keimanan, menyebabkan daripada dua satu, bertambah satu lagi menjadi tiga. Tambahan satu lagi itu adalah keluarbiasaan yang berlaku apabila dua satu itu dihubungkan oleh keimanan.
“Sinergi” Asid menguntum senyum. Teringat dia akan Irfan. Istilah itu amat popular.
“Dengan bersatu lah baru jadi erat. Kerja berat jadi ringan. Kerja susah jadi senang.” Halim turut tersenyum. Kemanisan ukhuwwah itu terasa, membahagiakan jiwa. Kesatuan membina sesuatu yang luar biasa apabila diikatkan dengan keimanan.
“InsyaAllah, terima kasih atas sokongannya. Aku amat hargai.” Dzulkarnain mengangguk senang. Mereka bersiap-siap untuk pulang.
“Assalamu’alaikum” Satu suara lembut kedengaran. Mereka bertiga memandang. Kemudian Halim tersenyum-senyum.
“Asid, aku dengan Dzul tunggu di luar” Halim menepuk Dzulkarnain supaya beredar segera. Dzulkarnain mengikuti. Meninggalkan Asid dengan…
“Israa’, waalaikumussalam. Apa khabar kau?” Asid tersenyum kambing. Di dalam hati, dia menyumpah Halim dan Dzulkarnain kerana meninggalkannya.
Seorang perempuan arab, bertudung ala-ala perempuan Bahrain, berbaju lengan panjang labuh, bersama seluar jeans, berdiri di tepi tempat duduk Asid dengan senyuman yang menawan. Wajahnya sangat cantik dan suaranya amat lunak.
“Bagus. Terima kasih bertanya. Macam mana dengan kau?”
“Bagus. Cuma nampaknya bila dah naik tahun praktikal ni, kita kena usaha lebih kuat”
“Aku harap, kita akan berjaya macam selalu”
“Yeah, aku pun harap begitu”
Kemudian kedua-dua mereka senyap. Asid sebenarnya tidak tahu hendak berkata apa. Tambahan, dia tidak senang dengan keadaan ini. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Em, baiklah ya. Aku nak pergi dahulu. Sengaja bertegur sapa. Lama tidak berjumpa kerana cuti” Israa’ yang faham akan keadaan Asid, segera menghentikan perbualan.
“Oh, baik. Terima kasih Israa’.” Asid menarik nafas lega.
Beberapa tapak Israa’ meninggalkannya, perempuan arab itu berpatah balik.
“Sorry,” Israa’ meninggalkan sebuah kotak bersaiz sederhana kecil.
Asid tersengih. Hadiah lagi.
Nafas lemah dihela keluar.
****
“Sedapnya bau” Syafiq berjalan keluar dari bilik.
Kelihatan Nasir sedang memasak di dapur. Syafiq mendekati teman rumahnya itu.
“Huiyyo, ayam masak sambal hitam la. Tak sia-sia serumah dengan anak chef” Belakang tubuh Nasir ditepuk mesra.
“Dah hari-hari tengok dia masak. Tangan aku gatal la nak mencuba juga” Nasir menjawab dengan nada senang.
“Ya’kub mana?” Syafiq menjengah ke dalam bilik Ya’kub, tiada orang.
“Dengar kata main basketball dengan senior-senior”
“Hem, padan la dengan dia punya tinggi. Ayah dia bukan Michale Jordan ya?”
Nasir dan Syafiq ketawa. “Kau ni, pada-pada la bergurau.” Tawa mereka masih bersisa. Pandai Syafiq berjenaka sambil mengaitkan pujiannya tadi kepada Nasir berkenaan ayah Nasir adalah chef.
“Apa la bising-bising ni?” Suara Erman kedengaran, seiringi bunyi pintu terkuak. Dia keluar dari bilik.
“Tidur ke?” Syafiq berbasa-basi.
“Tak nampak ke aku tengah ada kat depan kau?” Erman bertanya sarkastik.
“Kau buat lawak ke? Atau perli aku?” Syafiq bertanya. Kalau lawak dia ingin ketawa, kalau perlu dia ingin diam sahaja. Akhirnya Nasir yang ketawa dengan sikap Syafiq.
“Kau ni memang la Syafiq.” Belakang tubuh Syafiq ditolak. Syafiq terkehadapan, lalu dia terus bergerak ke arah Erman.
“Buka puasa pukul berapa?” Erman bertanya, sambil duduk di ruang tamu.
“6.30. Sekarang baru pukul 6” Syafiq turut duduk.
Maghrib sudah mula awal di Jordan. Mengikut apa yang Syafiq dengari dari senior-senior, nanti maghrib akan menjadi sangat awal. Pukul enam petang sudah maghrib. Apabila sampai masa pertukaran waktu, maka pukul 4.45 petang sudah Maghrib. Sangat awal. Siang akan menjadi pendek. Itu semua akan berlaku pada musim sejuk.
“Macam mana belajar?” Syafiq memandang Erman.
“Macam tu la. Susah juga awal-awal ni”
“Kenapa?”
“Pensyarah cakap arab sepenuhnya, lepas tu ada pensyarah campur syarahannya dengan bahasa arab pasar pula. Memang sakit la nak faham”
Syafiq ketawa. “Nasib baik JUST sepenuhnya pakai bahasa inggeris”
“Letih la duduk sini” Erman melepaskan nafas berat. Wajahnya yang kecinaan itu berkerut.
“Kenapa pula?” Syafiq hairan.
“PERMAI ni buat program punya la banyak. Banyak betul programnya. Tafaqquh la, Intropeksi Iman la, seminar la, qiamullail la. Pening kepala aku. Nak belajar lagi”
“Ala Erman, bukannya wajib semua tu. Nak datang, datang. Tak nak datang, tak payah datang” Nasir sempat mencelah di samping perhatiannya di kuali. Dia hendak masak telur dadar pula.
Erman diam. Kata-kata Nasir itu menutup komentarnya yang tidak menyenangkan.
Program PERMAI memang banyak. Namun tiada paksaan di dalam menyertai program-program yang disediakan. Siapa yang datang, diraikan. Siapa yang tidak datang, tidak dikenakan apa-apa denda jauh sekali dipencilkan. Cuma siapa yang datang, pastinya akan mendapat kelebihan dari segi ilmu, ukhuwwah, dan peningkatan kerohanian. Akhirnya, segala kebaikan pulang kepada individu yang mengikuti juga.
“Betul cakap Nasir tu. Bukannya paksaan. Kenapa la kau nak rasa berat pula?” Syafiq menyokong.
“Kalau kau rasa nak ikut, ikut. Kalau kau rasa susah dan berat, tak payah la ikut. Tapi jangan la kau cakap-cakap macam itu. Bukan senang nak buat program-program macam itu tau” Syafiq menyambung nasihat.
Erman tidak membalas. Seakan-akan rasa tidak senang yang diluahkannya tadi, terlontar kepadanya semula.
“Lagipun, program-program yang PERMAI buat ni bagus semuanya. Aku ikut, rasa seronok betul. Dapat kenal ramai orang, di samping dapat banyak ilmu. Rasa lapang hati ni”
“Betul-betul” Nasir mencelah lagi, menyokong kata-kata Syafiq.
“Dah-dah, penat aku dengar kau berceramah” Erman menggerakkan tangan, menyuruh Syafiq berhenti.
Syafiq menjungkit bahu. “Terpulang.”
Program-program PERMAI banyak menekankan perihal keimanan. Apa sahaja program, apa sahaja tajuk, apa sahaja tema, semuanya dikaitkan dengan keimanan. Semuanya dikembalikan kepada hubungan dengan Allah SWT. Seakan-akan itulah asas yang menggerakkan PERMAI.
Syafiq tertanya-tanya juga apa sebabnya. Dia masih mencari. Tetapi dari tindakan PERMAI yang memberikan penekanan yang sangat besar kepada keimanan ini, Syafiq dapat merasakan betapa keimanan itu amat penting di dalam kehidupan insan.
“Hei Erman, malam ni ada qiamullail. Nak ikut tak?” Syafiq mengangkat kening dua kali. Nakal.
“Nampak ni?” Erman mengacukan penumbuk.
Syafiq ketawa. “Gurau aje la”
Nasir menggeleng kepala. Syafiq langsung tidak rasa kekok untuk berbual dan bercanda dengan Erman. Nasir langsung tidak pernah memulakan perbualan dengan Erman. Hal ini kerana Erman sangat dingin dan kurang mesra. Sikap Erman yang pesimistik menyebabkan dia lagi sukar didekati.
Dia berharap satu hari nanti Erman berubah. Atau, dia diberikan kekuatan untuk mendekati Erman.
Nasir segera menghidangkan masakan yang telah siap ke meja bulat rendah yang berada di tengah ruang tamu.
“Lagi lima minit. Jangan terkam terus.” Nasir mengingatkan dengan senyuman.
Syafiq tabik seperti askar. “Baik boss”
Erman diam. Ya’kub pastinya akan pulang sebentar lagi. Waktu berbuka sudah hampir.
****
“Ei, dah seminggu lebih kita ada di Jordan ni. Tapi kenapa senior-senior kita buat biasa je dengan kita ha? Macam tak ada apa-apa je?” Muiez Iskandar bersuara.
“Mereka semua nampak baik kan?” Yusuf Erham mencelah.
Wafiq Wasim mengangguk.
Walaupun MHS tempoh hari, mereka menimbulkan huru-hara yang sangat banyak, ditambah melakukan kontroversi dengan mengambil tempat duduk kepimpinan, menunjukkan betapa mereka terang-terangan mencabar semua yang berada di Jordan ini. Namun tiada senior yang bertindak keras, memarahi mereka.
“Jangan tertipu. Kamu semua dah lupa ke apa yang jadi pada kita?” Harith Farhan berbicara. Nadanya tegas. Mengingatkan kisah silam mereka.
“Dahulu, kita juga tertipu.” Badruddin yang sedang menghadap lap top, mencelah.
“Betul juga” Muiez membenarkan peringatan itu.
Mereka, punya masa silam yang amat gelap. Semuanya hasil dari meletakkan kepercayaan kepada seorang yang dianggap soleh, baik, oleh semua orang. Akhirnya mereka terheret kepada lembah yang gelap dan merosakkan.
“Apa projek kita lepas ni?” Wafiq bertanya.
“Ramadhan ni, kita bertenang dulu. Ambil masa buat persediaan” Badruddin mengeluarkan arahan.
“Rancangan aku dah siapkan. Tinggal ikut aja” Badruddin berpusing, menghadap rakan-rakannya.
“Set” Harith, Yusuf, Wafiq dan Muiez menjawab serentak.
Badruddin kembali fokus kepada lap topnya.
“Kemudian, kita akan gegarkan Irbid ni” Dia tersengih.






Assalamualaikum,,
Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada ana untuk menelusuri karya anta pada hari ini. Ana lihat Sinergi merupakan satu jalan cerita yang menarik. Mungkin kerana berlatarbelakangkan suasana pengajian di bumi anbiya’, tambahan pula dengan isu dan mesej islamik di dalamnya atau mungkin juga ana sangat berminat kerana ana sendiri mempunyai niat untuk belajar di sana.
Cuma,ada perkara yang menjadi kemusykilan ana dan ana ingin tahu,,:
1) Adakah karya anta terutama Sinergi ini diambil daripada kisah yang benar-benar berlaku ataupun ini hanyalah hasil cetusan idea kreatif anta sahaja?
2) Apakah yang menjadi titik tolak kepada anta untuk menulis, maksudnya selain daripada minat yang mendalam dan bakat yang dianugerahkan.?
3) Dalam usaha anta mengembangkan bakat dan minat untuk menulis, apakah isu pokok yang anta sandarkan dalam setiap karya yang anta hasilkan?.
Bukan mudah untuk mencari dan mendapatkan karya sebegini. Ana bersa sungguh bersyukur dengan lahirnya Sinergi kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu, ana rasa bukan sahaja terhadap ana malah sahabat2 yang lain untuk berdakwah dengan penuh hikmah,InsyaAllah.
Ana berharap anta akan kekalkan malah terus tingkatkan perjuangan ini. InsyaAllah, yakinlah bahawa ramai yang menyokong perjuangan murni ini.
Syabas dan tahniah!!
Salam ukhwwah, mahabbah fillah.
[Reply]
Wah, makin menapak naik cerita ini… semoga usai baca cerita ini, makin bertambah pengetahuan tentang JORDAN… bolah tahu cara pembelajaran di sana.. Sesuatu yang menarik!
Teruskan menulis dan menulis.. hasilkan bahan bacaan sebanyak yang kamu mampu…
Sama-sama menggapai langit Ilahi sambil memandang juga rumput di bumi..
wassalam.
~Saya~
[Reply]
good story..
[Reply]
all de best akh..
maat taufiq wan najah..
[Reply]
tahniah buat saudara hilal..syok sgt cerita ni..klaw bc pun x la buang masa macam bc novel zaman sekarang. cerita saudara sarat dengan pengajaran. pendek kata tak rugi baca karya2 saudara. satu jer, klaw tulis perkataan arb pastikan ada terjemahannya tau..impian saya nak belajar di Jordan semakin membuak-buak tp kebanyakan pelajar yang ke sana adalah bekas pelajar2 sekolah agama swasta..huhu..
[Reply]
byk pengajaran dlm srory ni..
keimanan…..
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada mujahidah cinta Ilahi
Jawapan kepada soalan pertama: Kisah Sinergi hanya imiginasi. Tidak berlaku di mana-mana. Cuma tempatnya benar, watak-watak sampingannya wujud di dunia sebenar.
Jawapan kepada soalan kedua: Saya tidak pernah ada minat mendalam dalam menulis pada asalnya. Saya juga tidak menulis kerana bakat terpendam(saya ada bakat terpendam kah?). Yang saya tahu, saya adalah penyeru kepada kebenaran, mengajak manusia menjadi hamba Allah SWT, maka dengan itu saya bergerak menulis apa sahaja yang boleh menuju ke arah itu.
Jawapan kepada soalan ketiga: Isu pokok? Semestinya keimanan kepada Allah SWT.
- kepada jamilah
Pertamanya, saya tidak menulis agar anda mengetahui berkenaan Jordan.
Harapan saya, selepas habis membacanya, anda faham berkenaan keimanan.
Terima kasih atas doa-doa anda.
- kepada ainor
Alhamdulillah…
- kepada amin
Amiiin….
- kepada atiazni
Alhamdulillah. TErima kasih atas saranannya.
Saya fikir, tak letak terjemahan pun bagus juga.
Biar pembaca saya cari sendiri apa yang dia baca.
hu3…
- kepada wani
Alhamdulillah. Ya, keimanan adalah paksi.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
salam
’student lelaki mnunggu dluar manakala
student prmpuan mnunggu ddalam’
agkny mmg sdh mnjd tradisi fenomena
sprti ini krna sye lhat studnt2 uni sye pon
bgtu……
apapon cter saudara b’tmbh mnarik dn smstiny
sye akn trus mengikutiny…..
[Reply]
smga trus mnjadi seorg dai’ yg terus mmbawa umat manusia kmbali kpd fitrah sbagai hambaNYA..
salam mujahadah…
[Reply]