Assalamu’alaikum,
Sabtu tiba lagi. Sinergi pun datang kembali.
Terimalah Cerita 3: Ramadhan dan Taqwa.
Mooga ada manfaatnya.
Enjoy.
Cerita 3
Ramadhan dan Taqwa
Apakah insan itu tiada fikiran?
Mustahil TUHAN berbuat kesiaan
Satu bulan hanya untuk taqwa
Tidakkah mereka melihat itu petanda kepada kepentingan?
Sudah lebih 15 hari Ramadhan berjalan. Terasa sebentar sahaja. Terasa betapa amalan yang dijalankan di dalam bulan mulia, madrasah rohani ini masih sedikit. Separuh bulan yang masih tinggal ini perlu diguna isi sebaik-baiknya. Jika tidak, Ramadhan akan berlalu dengan sia-sia, dan ijazah taqwa akan tidak mampu dicapai.
Irfan mencatit nota-nota yang disampaikan oleh Ulama’ terkenal Jordan, merangkap pensyarahnya di Yarmouk, Dr Mahmud Malkawi. Seorang pensyarah yang suka mengajar sepenuh perasaan. Ada masa suaranya meninggi. Ada masa dirinya tenggelam dalam tangisan. Sesiapa yang mengambil kelasnya hanya untuk lulus periksa, tidak akan mendapat apa-apa. Hanya yang hendak mendalami ilmu sahaja, akan merasai kelebihan Dr Mahmud Malkawi.
Bab mata Pelajaran Firaq untuk hari ini telah selesai. Namun waktu masih punya baki. Dr Mahmud Malkawi memberikan kebebasan untuk pelajarnya keluar awal.
“Tetapi jika kamu suka untuk kekal di dalam dewan ini, aku punya perkongsian untuk diri kita bersama”
Tiada pelajar yang mengangkat punggungnya. Sekurang-kurangnya itulah yang Irfan lihat pada pelajar lelaki di bahagian hadapannya. Pelajar perempuan di bahagian belakang kelas, tidak pula dia memandangnya. Perkongsian Dr Mahmud Malkawi, semestinya menusuk.
“Ni yang aku rasa semangat ni” Ciku, atau nama sebenarnya Fakhrurrazi menggosok telapak tangan. Gaya orang melihat makanan enak dan lazat.
Irfan tersengih. Ciku memang seorang yang cintakan ilmu. Rumah Ciku ibarat perpustakaan mini. Penuh dengan segala jenis buku dan kitab. Baik bahasa arab, inggeris mahupun melayu. Ilmu padanya ibarat makanan. Kalau tidak bertambah sehari, akan rasa kelaparan.
“Nak kongsi apa la tu.” Nik Naim, seorang lagi pelajar melayu yang seangkatan dengan Irfan bersuara.
“Ni mesti ada kena mengena dengan Ramadhan. Kita dengar, dan cuba ambil manfaat” Irfan tenang. Dia melihat Dr Mahmud Malkawi yang sedang diam sebentar. Mungkin mengumpul perasaan untuk berkongsi dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya, yang dilontarkan dari mulut hanya akan sampai ke telinga sahaja. Namun apa yang dilontarkan dari hati, akan melekat di hati juga.
Tekaan Irfan tidak silap. Dr Mahmud Malkawi berbicara berkenaan Ramadhan serta kaitannya dengan taqwa.
Dr Mahmud Malkawi berkata:
“Ramadhan adalah ibarat tempat rehat di tengah perjalanan panjang. Kehidupan ini adalah perjalanan, dan Ramadhan adalah tempat rehatnya. Di dalam Ramadhan, kita disediakan pelbagai peluang untuk mengambil bekalan rohani. Lebih penting sekali, bagi sesiapa yang berusaha merehatkan rohaninya dengan kesungguhan, maka dia akan mendapat bekalan terhebat semasa hendak berangkat meneruskan perjalanan”
Dr Mahmud Malkawi menerangkan bahawa, bekalan terhebat itu adalah taqwa.
Kewujudan Ramadhan yang sebulan lamanya, adalah pengisytiharan kepada kepentingan taqwa. Allah SWT, mengarahkan hamba-hamba-Nya agar melalui Ramadhan dengan baik untuk menggapai ketaqwaan ini. Ibadah Ramadhan bukan hanya seminggu, tetapi sebulan. Ibadah terpanjang di dalam Islam.
Dr Mahmud Malkawi melontarkan persoalan.
“Kenapa taqwa ini diangkat sedemikian penting? Hingga Allah SWT menyediakan satu bulan khas untuk menggapainya?”
Seluruh kelas diam. Tertanya-tanya sama ada itu soalan, atau hanya persoalan yang ditimbulkan untuk meneruskan syarahannya. Tiada siapa mengangkat tangan.
“Yallah, ajib” Dr Mahmud Malkawi menyeru, meminta sesiapa menjawab.
Irfan mengangkat tangan.
“Ya Irfan, yallah. Allah yubarik fik” Dr Mahmud Malkawi berjalan mendekati tempat duduk Irfan.
“Taqwa diangkat sedemikian penting, kerana kewujudan taqwalah yang membantu kelansungan ketaatan hamba kepada Allah SWT. Dengan kewujudan taqwa, barulah manusia boleh hidup menjunjung perintah Allah SWT, dan meninggalkan larangan-Nya”
Wajah Dr Mahmud Malkawi berubah ceria. “MasyaAllah, ahsanta, ahsanta. Mumtaz ya Irfan”
Semua pelajar di dalam kelas memandang Irfan. Ciku sudah menyiku-nyiku Irfan, memuji. Nik tersenyum kagum. Jawapan itu bukannya muncul dari fakta yang dibaca di dalam buku. Tetapi jawapan itu adalah hasil dari pembuktian kefahaman kepada amal.
“Sebagaimana jawapan Irfan tadi, begitulah kenapa pentingnya taqwa hingga Allah menyediakan waktu sepanjangs ebulan yang khas untuk kita mencapainya. Aku ingin kamu semua bermuhasabah, kenapa Allah SWT berfirman:
“Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa”
“Perhatikanlah perkataan bekal. Bekal untuk apa? Untuk perjalanan hidup kita. Hanya dengan taqwa, kita mampu merentasi kehidupan dengan baik, dalam ketaatan kita kepada Allah SWT”
Dr Mahmud Malkawi menghentikan perkongsiannya sebaik sahaja waktu kuliah tamat. Sempat dia mendoakan pelajar agar diberikan keizinan oleh Allah SWT untuk menjalani Ramadhan dengan baik, dan diberi peluang menggapai ketaqwaan yang sebenar.
“Hebat lah kau Irfan. Kalau aku, dah gementar dah walaupun tahu jawapannya” Ciku memaut leher Irfan. Ciku bertubuh besar dan sedikit tinggi daripada Irfan. Tubuhnya hampir sama seperti Shah, cuma Shah lebih besar lagi.
“Nak gementar apanya Ciku?” Irfan tersenyum. Dia, Ciku dan Nik berjalan keluar dari Fakulti Syariah. Kuliahnya telah tamat untuk hari ini.
“Ya la, ulama’ besar Jordan tu” Nik masih dalam kekaguman.
“Bukannya Godzilla. Sepatutnya, ulama’ ni kita dekati. Bukannya segan sampai takut nak cari” Irfan menjawab.
Silap manusia di dalam berkomunikasi dengan ulama’ adalah taksub. Sebahagian manusia terlalu taksub, hingga mereka menganggap ulama’-ulama’ ini suci, kata-kata mereka tidak boleh diperbincangkan dan sebagainya. Hingga takut mendekati, dan akhirnya taklid buta sahaja. Sedangkan, ulama’ perlu didekati, perbahasan mereka perlu diperbincangkan. Barulah kita mendapat sesuatu daripada mereka, dan yang kita harapkan, kita mampu menjadi lebih baik daripada mereka.
“Tapi yang dia lontarkan fasal Ramadhan dan Taqwa tadi, betul-betul membuka hati la” Irfan meluah rasa.
Walaupun dia amat faham taqwa itu amat penting, tetapi penerangan Dr Mahmud Malkawi berkenaan Allah SWT menyediakan sebulan waktu khas untuk menggapai Ramadhan seakan-akan menambah kuat kefahamannya yang sebelum ini. Itu adalah sesuatu yang baru.
Irfan gembira. Penambahan ilmu, merupakan sesuatu yang berharga.
“Kena kongsi dengan ahli PERMAI la. Baru berkembang” Nik membetulkan beg yang digendongnya.
“Betul, betul” Ciku meniru gaya Upin dan Ipin.
“InsyaAllah, PERMAI pun ada buat banyak program masa Ramadhan ni. Nanti kita cuba selit.” Irfan bersertuju. Dia senang dengan sumbang saran yang diberikan. Itu tandanya, perihatin.
“Baguslah. Kita nak ahli PERMAI semuanya dapat ijazah taqwa. Baru boleh jalani kehidupan dengan baik” Ciku bersuara.
Irfan mengangguk. Tiadalah yang lebih menggembirakan, dari melihat manusia di sekeliling hidup dalam ketaatan kepada Allah SWT. Tiada yang lebih merisaukan, dari melihat manusia di sekeliling hidup dalam keingkaran kepada Allah SWT. Sememangnya, itulah perasaan orang yang punya keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Ramadhan, tidak boleh dibenarkan berlalu begitu sahaja. Perlu ada usaha, mencapai semua ganjaran yang ada di dalamnya.
*****
“Kenapa Ramadhan ini, hadiahnya adalah taqwa?” Ustaz Heizal bertanya. Ustaz Heizal merupakan pelajar Phd dalam bidang Ekonomi Islam. Pengkhususan beliau semasa Master dan Ijazah adalah Usul Fiqh. Beliau sudah empat tahun di sini, dan sudah pun mempunyai isteri dan anak.
Semua yang menghadiri tafaqquh PERMAI diam sahaja. Tiada yang bersuara. Mungkin segan untuk menjawab, dan mungkin juga takut tersalah.
“Kerana taqwa adalah kunci ketaatan kepada Allah SWT.” Ustaz Heizal menjawab ringkas.
Kemudian Ustaz Heizal bercerita berkenaan Umar Al-Khattab dan Ka’ab bin Malik. Suatu hari, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ka’ab bin Malik berkenaan erti taqwa. Ka’ab bin Malik menjawab:
“Apakah kau pernah berjalan di satu tempat penuh duri wahai Umar?”
Saidina Umar menjawab pernah. Ka’ab bin Malik bertanya lagi: “Apakah yang kau lakukan?”
“Aku sinsing kainku agar tidak tercarik pada duri, kemudian aku berjalan berhati-hati agar tidak terpacak dengan mana-mana duri itu”
“Ketahuilah Umar bahawa, begitulah sebenarnya taqwa”
Ustaz Heizal kemudian menerangkan apa makna perbincangan tersebut. Sesungguhnya, perbincangan tersebut menunjukkan keadaan taqwa. Taqwa adalah rasa berhati-hati, takut untuk ingkar, terhadap apa sahaja larangan Allah SWT. Duri-duri itu ibarat apa yang Allah larang, taqwa adalah ibarat perbuatan berhati-hati dan menyinsing kain kerana takut terpijak dan tercarik duri.
“Sebab itu, Ramadhan adalah ibarat bulan untuk kita mengisi semula ketaqwaan kita. Hanya dengan taqwa, barulah kita boleh menjalani kehidupan dengan baik, dalam keadaan menjalankan apa yang Allah suruh, dan meninggalkan apa yang Allah larang”
“Oh…” Beberapa orang yang mendengar bersuara.
“Sebab itu, kalau perasaan, Allah SWT banyak mengeluarkan seruan kepada orang-orang yang bertaqwa. Antaranya adalah:
“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar ketaqwaan”
“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Rabb kamu, sesungguhnya hari zalzalah itu adalah perkara yang besar”
“Seruan-seruan ini hanya boleh disahut oleh mereka yang mempunyai ketaqwaan yang sebenar di dalam hati. Sebab itu, hanya yang bertaqwa sahaja yang mampu membumikan Islam di dalam segenap kehidupan mereka. Bila punya taqwa, tidak ada sesiapa lagi yang boleh menakut-nakutkan kita selain Allah SWT. Taqwa, adalah ketakutan, ketundukan, ketaatan total kita kepada Allah SWT”
Ketika ini, Ustaz Heizal berkongsi sebuah cerita berkenaan seorang hamba dengan Umar Al-Khattab. Suatu hari, Umar Al-Khattab berjalan dan melalui satu lembah yang dipenuhi kambing. Segera Umar Al-Khattab bertemu dengan si pengembalanya. Rupanya, si pengembala kambing yang banyak itu adalah seorang budak.
Maka Saidina Umar menguji budak itu.
“Wahai budak, berikanlah aku seekor kambing.”
“Tidak boleh.”
“Berikanlah wahai budak. Dan kalau tuanmu perasan, katakanlah kepadanya bahawa kambing itu dimakan serigala”
“Tidak boleh. Aku takut”
“Buat apa kau hendak takut? Umar Al-Khattab tiada di sini untuk melihatmu”
“Tetapi TUHAN kepada Umar sentiasa melihatku”
Dan ketika itu, Umar Al-Khattab tunduk menangis. Sungguh tinggi taqwa budak itu.
“Bayangkan kalau ketaqwaan ini tertanam kemas di dalam kehidupan ummat kita. Bagaimana agaknya?”
“Tak ada korupsi, tak ada songlap duit, tak ada gaduh-gaduh, tak ada kecurian.” Seorang pelajar menjawab. Semua memandang ke arah pelajar itu. Pelajar itu bernama Arshad, pelajar perubatan tahun dua.
“Ya, tepat sekali Arshad. Dengan wujudnya, taqwa, masyarakat akan menjadi baik. Solat kita tangguh, kita tidak berbohong.”
“Tapi Ustaz, kita manusia. Ada dosa. Jadi pendosa tu, tak ada taqwa la ya?” Seorang lagi bertanya. Syed Izzat, pelajar tahun empat JUST.
Ustaz Heizal menggeleng. “Soalan yang baik tu Izzat. Semua manusia buat dosa. Tapi orang yang bertaqwa ni, bila dia buat salah, dia cepat-cepat bertaubat. Kalau dia ada buat silap dengan kawan, dia cepat-cepat minta maaf. Itulah penangan taqwa.”
“Oooh..” Izzat mula faham.
“ Dan inilah yang kita mahukan. Inilah yang Islam didik sebenarnya. Maka, Ramadhan kali ini tidak patut kita biarkan begitu sahaja. Kerana di dalam pakej Ramadhan, ketaqwaan adalah yang utama hendak kita capai”
Ustaz Heizal mengakhiri kelas tafaqquhnya dengan membaca ayat Al-Quran.
“Wahai orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa, sebagaimana yang telah difardhukan ke atas kaum sebelum kamu, moga-moga kamu mendapat ketaqwaan”
Selepas kelas tafaqquh tamat, pelajar-pelajar beredar pulang. Kelas tafaqquh dibuat di atas bumbung bangunan Abu Muhammad. Jordan, bumbung bangunannya berbentuk petak. Tiada berbentuk tirus seperti di Malaysia. Hal ini kerana, di Jordan, hujan amat jarang sekali turun.
“Terima kasih ustaz” Irfan bersalaman dengan Ustaz Heizal. Ustaz Heizal tersenyum.
“Enta juga yang kongsi fasal taqwa sebelum maghrib tadi” Ustaz Heizal merujuk sembang-sembangnya dengan Irfan, semasa menanti waktu Maghrib masuk di Masjid Universiti Yarmouk tadi.
Kelas Tafaqquh berjalan seminggu sekali ketika bulan Ramadhan, pada waktu malam selepas tarawih. Harinya tidak tetap. Mengikut kesesuaian. Namun kalau di bulan-bulan lain, ada banyak kelas Tafaqquh yang disediakan oleh PERMAI. Pelajar-pelajar melayu boleh memilih hendak mengikuti kelas yang mana mengikut kemudahan dan kegemaran mereka. Ada tafaqquh feqah, ada tafaqquh Aqidah, ada tafaaquh tajwid Al-Quran, dan ada juga tafaqquh Bahasa Arab.
Kelas tafaqquh adalah satu wasilah bertujuan untuk memperkuatkan pengetahuan pelajar-pelajar melayu PERMAI. Tidak mahu membiarkan pelajar di Jordan ini sekadar merasa cukup dengan apa yang ada di dalam kuliah. Tafaqquh, adalah usaha penyemaian sikap cinta ilmu dalam diri.
“Tapi penyampaian Ustaz menambah kesan di dalam hati” Irfan tetap merendah diri.
Senyuman Ustaz Heizal tidak lekang. Irfan memang telah dikenalinya semenjak pelajar itu tahun satu. Peribadi yang tidak pernah berubah, walau apa sahaja berlaku. Tenang, merendah diri.
“Seronoklah Ustaz penyampaian tadi.” Asid muncul dari belakang.
“Rasyid” Ustaz Heizal menghulurkan tangan. Mereka berjabat salam.
“Sama-sama beringat sebenarnya” Ustaz Heizal menjawab kata-kata Asid tadi.
“Betul-betul. Selama ni macam tak perasan pula berkenaan taqwa ni. Orang biasa nampak taqwa ni benda sampingan sahaja. Benda abstrak” Asid memandang Irfan. “Kan Irfan kan?”
Irfan mengangguk. Benar. Tetapi kewujudan Ramadhan yang sebulan lamanya, menandakan taqwa adalah amat penting untuk kehidupan insan.
“Kita kena usaha kuat lagi la, nak tanam taqwa dalam diri, dan masyarakat. Tafaqquh ni, bentuk am sahaja. Khususnya, kena la gerak kepada individu-individu” Ustaz Heizal memandang semua pelajar yang bergerak turun dari bumbung bangunan.
“Di situlah letaknya kepentingan dakwah dan tarbiyah.” Irfan bersuara.
Ustaz Heizal dan Asid mengangguk.
“Wah, rancak bersembang? Ustaz, mari minum teh. Pihak urusetia ada buatkan” Faiz Hamzah mencelah. Segera dia bersalaman dengan Ustaz Heizal.
“Susah-susah je Faiz”
“Apa yang susahnya Ustaz. Jom, minumnya di rumah saya” Faiz mengajak.
“Kalau macam itu, kita jumpa lagi Ustaz” Irfan menghulurkan tangan bersalam.
“Ai Irfan, nak pergi mana? Minum sekali la” Aizad, teman serumah Faiz menarik tangan Irfan dan membawanya pergi.
Asid melambai.
“Kau lambai-lambai siapa? Ikut sekali” Firdaus, seorang lagi teman serumah Faiz Hamzah, memaut belakang pinggang Asid, menarik lelaki itu.
Mereka berenam ketawa. Hubungan erat, terbina atas dasar keimanan, memang manisnya menyengat. Terasa diri menjadi kuat. Hubungan itu, melahirkan kekuatan yang luar dari kebiasaan.
*****
“MasyaAllah, katsir ya Abu Eish, katsir” Irfan terkejut melihat makanan yang teramat banyak, terhidang di hadapannya.
Asid tergelak kecil. Dia memandang semua wajah junior yang mengikutinya dan Irfan berbuka di rumah arab hari ini.
“Ha, baru kamu semua tahu orang arab rai tetamu macam mana” Asid bersuara.
“Banyak ni Abang Irfan” Mursyid, pelajar tahun satu perubatan berkelip mata tidak percaya.
“Boleh habis ke?” Sahel, pelajar tahun satu ekonomi Islam memandang Irfan.
“Alhamdulillah. Ni yang seronok sental ni” Hilal Asyraf, pelajar tahun satu usuluddin, Yarmouk mengusap perut yang kelaparan.
“Tuan rumah ni memang kawan rapat Abang berdua ke?” Syafiq memandang Asid.
“Kawan rapat Irfan. Dengan aku, dia kenal-kenal begitu sahaja” Asid menunjuk ke arah Irfan.
Irfan sedang bersembang dengan Abu Eish, tuan rumah yang menjamu mereka. Semua menanti waktu berbuka.
“Kulluhum jadid?”
“Na’am, jadid. Sanfur ya Abu Eish”
Sebaik sahaja mendengar perkataan Sanfur, Abu Eish ketawa. Sanfur adalah merujuk kepada watak sebuah anak burung kartun arab, yang masih tidak boleh berjalan dengan baik. Perkataan Sanfur biasanya digunakan untuk merujuk kepada pelajar baru di Jordan ini. Apabila Sanfur disebut, biasanya mereka akan ketawa kerana teringat akan watak kartun tadi.
“Keif Ramadhan huna?” Abu Eish memandang kepada pelajar-pelajar baru yang dibawa oleh Irfan dan Asid.
“Jawab la Erman” Syafiq mencuit Erman.
“Ish, malas la” Erman tidak menjawab. Akhirnya, Sahel yang menjawab. Walaupun bahasa arabnya tidak sesempurna Irfan, dia mencuba. Terkekek-kekek Abu Eish ketawa kerana sukar memahami apa yang dicakapkan oleh Sahel. Asid menahan gelak sahaja. Geli hati melihat Sahel yang kadangkala bertanya maksud dalam bahasa melayu berkenaan apa yang disebutkan oleh Abu Eish.
Kemudian kedengaran azan maghrib berkumandang. Mereka pun menjamu selera. Pelbagai hidangan ada. Menu utama adalah nasi Maqlubah, makanan tradisi masyarakat Palestin. Abu Eish, berasal dari Palestin. Ada juga syurbah, yakni kuah sup dan kari. Ada bersama sup itu laban, atau susu masam. Terdapat juga salato, yakni sayur-sayuran yang dicincang halus. Kemudian ada juga halawiat, yakni kuih manisan. Tidak dilupakan, kebiasaan arab, qahwah, atau kopi.
Hampir meletup perut-perut junior yang mengikuti Irfan dan Asid kerana banyaknya makanan yang ada. Abu Eish dan anak-anaknya pula, melayan dengan mesra sekali. Tidak habis lagi nasi di pinggan, mereka tambahkan nasi baru.
Mereka solat Maghrib di rumah Abu Eish, kemudian Abu Eish meraikan mereka semua dengan menjamu Qahwah Sa’adah, yakni kopi pahit. Berubah wajah Hilal apabila menghirup kopi itu. Irfan dan Asid tenang sahaja menghirup. Sudah biasa.
“Antum maliziyyin, kuwaiyyis. Uhibbukum jiddan-jiddan.” Abu Eish mengucapkan kegembiraannya semasa menghantar semua pelajar melayu di muka pintu.
“Waiyyakum ya Abu Eish. Nuhibbukafillah, lillahita’ala”
“MasyaAllah Irfan, masyaAllah” Abu Eish berpelukan dengan Irfan, mungkin rasa terharu dengan apa yang disebutkan oleh Irfan tadi.
“InsyaAllah, marratan thaniah?” Anak Abu Eish, Mujahid bertanya.
“InsyaAllah, Allahummaftah ‘Alaik”
Mereka berpisah. Irfan dan Asid bersama junior-junior yang mengikuti, bergerak ke Masjid Universiti Yarmouk untuk solat tarawih.
“Ya Allah, nak tersembur” Mursyid menepuk-nepuk perutnya.
Asid tergelak. “Ha, baru tahu orang arab macam mana bila sambut Ramadhan. Ada orang kata, orang arab ni masa Ramadhan berubah jadi malaikat”
Irfan ketawa. “Tapi Abu Eish, memang baik pun. Kalau bukan Ramadhan pun, kadangkala dia jemput juga ziarah”
Memang tradisi arab adalah begitu. Semasa Ramadhan, mereka menjadi sangat pemurah, baik hati dan suka menjamu orang makan. Malah, kedai-kedai akan memberikan diskaun yang banyak semasa Ramadhan. Masjid pula, penuh hingga ke luar.
“Abang Irfan, tak kenyang lagi ke?” Syafiq kehairanan melihat di tangan Irfan ada bungkusan makanan. Memang dia perasan Abu Eish memberikan plastik makanan itu kepada Irfan tadi.
Irfan tersenyum. “Ini untuk kawan kamu yang berlima tu”
“Kawan kami berlima? Siapa?” Sahel menggaru kepala.
“Disaster Five” Asid menjawab.
Sebaik sahaja nama Disaster Five disebut, Erman memandang Irfan dan Asid.
“Buat apa bagi pada mereka? Mereka dah la suka buat kacau” Hilal rasa pelik.
Irfan menggeleng. “Mereka perlu didekati, bukan disisih”
“Kalau sisih, macam mana nak jadikan mereka baik?” Asid menambah dengan soalan.
Semua yang mengikuti mereka diam. Ternyata Irfan dan Asid memang baik dan berhikmah. Ya, kalaulah yang jahat itu disisihkan, maka tidak berkembanglah kebaikan. Hal ini kerana, kejahatan itu selamanya menelan kebaikan. Jika kebaikan tidak bergerak merubah kejahatan kepada kebaikan, maka kebaikan akan tewas.
Rasulullah SAW sendiri, perang adalah solusi terakhir. Dakwah baginda bermula dengan mentarbiyah mereka yang dilekati jahiliyyah. Bukannya dimulakan dengan revolusi atau pemberontakan untuk menghapuskan mereka yang ingkar dan korup.
“Kami berdua singgah dulu rumah mereka” Ujar Irfan apabila mereka berada di hadapan bangunan Umar Mukhtar.
“Adik-adik, gerak ke masjid ya” Asid menepuk-nepuk kepala Hilal. Hilal segera menepis. “Ingat baby ke main tepuk-tepuk kepala?” Asid ketawa. Senang menyakat junior-junior.
“Abang Irfan, terima kasih sebab bawa kami makan rumah orang arab.” Syafiq bersuara.
“Em, pengalaman baru” Sahel sedikit tergelak kerana teringatkan perbualannya dengan Abu Eish tadi.
“Banyak benda belajar” Hilal tersenyum.
“….” Erman diam.
Mereka berpisah. Syafiq, Erman, Sahel dan Hilal bergerak terus menuju ke arah Mat’am Abu Mahmud. Nanti di hadapan Mat’am Abu Mahmud, mereka akan bergerak ke kiri, dan bergerak terus sebelum merentas jalan Syari’ Jami’ah untuk ke Masjid Universiti Yarmouk.
Irfan dan Asid, menaiki tangga bangunan Umar Mukhtar.
Rumah Disaster Five, itu destinasi mereka.
*****
“Asid, bangun” Irfan menepuk-nepuk sahabatnya.
Asid menggeliat. “Pukul berapa?”
“3 pagi”
“Hah…” Asid menguap, pantas Irfan menutup mulut sahabatnya itu.
“Bangun lah.”
“Ya Irfan, ya.” Asid membuka matanya luas-luas. Rasa berat, tetapi dia berusaha melawan perasaan itu. Dia melihat Irfan berdiri di tepi katilnya.
Malam agak dingin, kontra dengan siang yang agak panas.
“Heyya, sejuk la pulak” Asid duduk malas.
“Cinta mana lebih? Katil dengan selimut, atau Allah?”
Asid tersengih. “Allah la.” Lehernya digaru walaupun tidak gatal.
Irfan menghulurkan tangan. Tangan itu disambut Asid, lantas tubuh Asid ditarik bangun.
Qiamullail. Itulah yang dilakukan seminggu sekali pada bulan biasa, tiga hari sekali pada 20 hari awal Ramadhan, dan setiap malam pada 10 hari terakhir Ramadhan. Ahli rumah mereka akan melakukan qiamullail, dari pukul 3 pagi hinggalah waktu subuh menjengah masuk.
“Shah dengan Saifuddin?”
“Semua dah siap. Tunggu sahabat aku nan seorang ni la” Irfan menjuihkan bibirnya ke arah Asid.
Asid berjalan keluar ke ruang tamu. Dia hendak pergi ke tandas utama, untuk basuh muka dan mengambil wudhu’. Kelihatan Shah dan Saifuddin sudah bersedia di ruang tamu.
“Ai Asid, selalunya bangun awal” Saifuddin bersuara.
“Ala abang sifu, biasa la. Tak biasa lagi praktikal”
“Letih kena kejar dengan Israa’” Shah menambah. Dia tahu berkenaan Asid dan Israa’.
“Itu satu lagi” Asid memetik jari, menunjuk ke arah Shah.
Suasana malam yang hening, diceriakan dengan tawa yang berderai.
“Nanti lama-lama biasa la dengan praktikal tu.” Saifuddin, merupakan pelajar tahun enam perubatan, faham akan apa yang dihadapi Asid. Tahun praktikal memang meletihkan.
Asid masuk ke tandas. “Mula dulu pun tak apa” Dia berpesan kepada semua sebelum masuk.
Irfan mengangguk.
“Jom mula. Shah jadi imam dulu” Irfan memberikan tugasan. Mereka memang akan bergilir-gilir menjadi imam dalam qiamullail.
Shah ke hadapan. Mereka bermula dengan Solat Tahajjud. Selepas sekitar enam rakaat solat tahajjud, mereka akan menyambung qiam mereka dengan solat taubat, disusuli Solat Hajat dan kemudian Solat Witir. Mereka akan menghabiskan waktu hingga ke subuh dengan membaca Al-Quran secara tadarus, sambil memperbaiki tajwid antara satu sama lain.
“Allahuakbar” Suara Shah kedengaran memecah keheningan malam.
Saat hati-hati manusia lain terbang entah ke mana.
Hati-hati mereka pula sedang bangun memenuhi cinta mereka kepada-Nya.
Berusaha menggapai taqwa di atas medan yang disediakan oleh Yang Esa.






salam..first time baca sinergi yang saudara tulis nih..hm,menarik sebab ada banyak ‘bende’ yang boleh amik manfaat dari cerita ni(walaupon sy tak baca yang awal2)..nak tanya,yallah tu maksudnya apa?singkatan bagi ya Allah kah?
[Reply]
terkejut bila ada watak Hilal Asyraf…lucu..
[Reply]
Assalamu’alaikum,,
Alhamdulillah, lega dapat menulusuri Sinergi kali ini. Hati semakin terisi dengan pengisian yang cukup bermanfaat. Sesungguhnya, sangat rugi bagi yang tidak dapat membacanya. InsyaAllah, sama-samalah kita sebarkan inti Sinergi agar dapat berkongsi ilmu yang kita perolehi.
Ana juga terkejut wujudnya watak Hilal Asyraf..terpalit senyuman,,
Sabar menanti cerita seterusnya,,
Salam ukhuwah, mahabbah fillah.
[Reply]
assalamualaikum,
seronok tp saya ada soalan
1- kalau boleh saya tahu kenapa bila hari sabtu jer bru ade cerita nih? saya dah lpa watak2 dlm cita nih..
2- abu eish tu kata apa? contohnya (kalau ikut terjemahan saya yang baru belajar arb) kulluhum jadid. setahu saya kullu tu setiap, hum tu kamu semua, jadid tu baru. so ape maksud setiap kamu semua baru? tu contoh ayat yg mudah. yg lain suma abu eish tu ckp sy x faham
3- soalan ni takde kena-mengena ngn crta ni. buku terasing tu sambungn dr crta rlasi ke? sy dh bc buku trsing tu, pas2 br jmpa web site ni, pas2 baru dpt bc crta rlsi. watak dy sma ja cuma bezanya relasi tu cerita zaman sekolah terasing crta orang dwsa
smga saudara Hilal terus berjaya mghsilkn crta2 yang boleh dikatakan kills two birds with one stone..trma kasih ya..
[Reply]
alhamdulillah.rohani dicas kembali dan makin terisi.jazakallah.terus menunggu yang seterusnya~
[Reply]
salam
mabruk saudara
mmg mantap
truskn usaha
[Reply]
Salam
Sarat dgn penekanan terhadap ketaqwaan.
Congrats ana ucapkan..
[Reply]