Langit Ilahi Rotating Header Image

Novel Sinergi: Cerita 5 - Adakah Mereka?

Sinergi

Sinergi

Sabtu. Sinergi. Mulai minggu ini, Sinergi diteruskan seperti biasa. Lebih istimewa, minggu ini, Sinergi akan dikeluarkan secara kombo. Yakni, Cerita 6 juga akan dipost hari ini. Cuma mungkin sedikit lewat.

Justeru, teruskan dengan menikmati Novel Sinergi: Cerita 5 - Adakah Mereka?

Enjoy!

Cerita 5

Adakah mereka?

Bila ada salah


Insan sering salah menyalah


Maka dengan apakah kamu mempersalahkan orang lain?


Dengan firasat buta atau neraca keimanan daripada jiwa?


Jangan hingga kejahilanmu wahai manusia


Insan lain terhukum dalam aniaya


Hari ini tidak seperti biasa. Pelajar-pelajar klinikal Pegigian tahun empat, perlu menghadiri kuliah khas di JUST. Kebiasaan menjalani kuliah di dewan Al-Farabi Yarmouk bertukar hari ini.

Sememangnya bagi pelajar tahun praktikal, ada ketikanya mereka perlu menghadiri kelas di JUST. Namun tidak kerap. Kadangkala di dalam sebulan, hanya sekali sahaja. Selebihnya, kelas mereka akan diadakan di tempat praktikal, hospital bagi pelajar-pelajar perubatan dan Dewan Al-Farabi di Universiti Yarmouk bagi pergigian.

Asid tekun menumpukan perhatian. Semasa belajar, pada perhatian Asid hanya wujud tiga perkara. Dirinya, pensyarah di hadapan, dan notanya. Selain itu, dia tidak akan memberikan apa-apa ruang untuk menganggu perhatiannya.

Ini cara Asid belajar. Lebih banyak penumpuan di dalam dewan kuliah berbanding studi di rumah. Hal ini kerana, baginya, penumpuan di dalam dewan kuliah lebih efisyen dari studi sendiri. Gelagat doktor, gaya bahasanya, kadangkala lawak yang dibuatnya, semuanya membantu Asid mengingati setiap maklumat yang datang daripada pensyarah itu.

Tambahan, kuliah khas hari ini dijalankan oleh Dr Hariz Mutahir, pensyarah yang sangat terkenal di JUST kerana mendapat PhD dalam bidang Ortopedik ketika berumur 24 tahun. Gaya bahasanya yang tegas, peribadinya yang kemas, bahasa inggerisnya yang baik, sistem pengajarannya yang mantap, membuatkan semua pelajar senang dengannya. Asid, tidak terkecuali meminatinya.

Tiba-tiba, telinga Asid menangkap satu bunyi aneh.

Syuuuuuuuuuuuu….

Pemancur air kecemasan terbuka, menyembur air ke semua arah. Pelajar-pelajar perempuan menjerit terkejut. Asid memandang sekeliling. Dewan tempat kuliahnya menjadi huru-hara.

“Nota Asid, nota!” Dzulkarnain menepuk-nepuk bahu Asid cemas. Baru Asid teringat akan notanya. Sudah mula basah dengan rintik-rintik air penyembur. Segera dia memasukkan nota dan alatulisnya ke dalam beg. Sempat dijelingnya Halim yang turut melakukan perkara yang sama.

Sejuk. Sangat sejuk. Teramat sejuk. Asid yang memang tidak tahan dengan kesejukan, rasa payah bernafas. Dia ditarik Dzulkarnain dan Halim untuk keluar dari kelas. Kemungkinan ada kebakaran yang berlaku di mana-mana tempat pada bangunan JUST ini.

Tetapi kenapa tidak kedengaran bunyi loceng kecemasan?

Sebaik sahaja mereka keluar dari dewan, mereka dapat melihat keadaan pelajar yang kucar-kacir. Ada yang berlanggaran sesama sendiri. Terkejut dengan pemancur air, dan mungkin kerana perasaan ingin menyelamatkan diri daripada kebakaran yang tidak diketahui di mana berlaku. Semua diragut cemas.

Asid, Dzulkarnain dan Halim bertenang dan bergerak mengambil tangga yang terdekat. Di tengah hujan air penyembur mereka bergerak dengan berhati-hati. Lantai sudah basah. Kemungkinan untuk jatuh adalah tinggi. Tambahan, Asid sudah mula rasa dirinya tidak sihat. Sejuk teramat sangat.

“Sabar Asid, sabar” Dzulkarnain memaut tubuh Asid. Dia tahu betapa Asid tidak tahan dengan sejuk. Walaupun Asid kini memakai baju sejuk kalis air yang agak tebal, apabila air sebegini lebat turun pada suhu sebegini sejuk, pastinya terasa.

Kepala Asid berserabut. Sejuk membuatkannya payah.

“Ha, dah sampai tangga. Mujur kita ni tingkat satu” Halim menunjuk tangga. Memberi semangat kepada Asid yang dilihatnya lemah.

Asid cuba tersengih. Bibirnya sudah mula pucat. Terasa pula kebaikan sahabatnya satu rahmat.

Ketika menuruni tangga, Asid telah mendahului Dzulkarnain. Dia ingin cepat melepaskan diri daripada kesejukan ini. Tidak tahan tubuhnya dibasahi air. Dia ingin memotong pelajar perempuan di hadapannya. Dia hendak cepat. Dan ketika inilah dia tersilap langkah. Lantas tergelincir.

“Asid!” Dzulkarnain cuba mendapatkan belakang tubuh Asid, namun tidak sempat. Asid tidak terjangkau.

Jeritan Dzulkarnain itu membuatkan pelajar perempuan di hadapan Asid menoleh. Namun sudah terlambat untuk mengelak. Wajah Asid benar-benar di hadapan wajahnya kini.

Gedebuk!

“Aduh….” Suara lembut kedengaran.

Dzulkarnain dan Halim tergamam sebentar. Asid memegang kepala. Dia tidak rasa tubuhnya mencecah lantai. Tetapi dia terasa seperti jatuh atas sesuatu yang lembut. Segera Asid mengangkat kepala.

Dan ketika ini dia terpana.

Kelihatan wajah Sara Nasuha yang berkerut seribu, sambil bibirnya bergeletar. Mungkin kerana sejuk.

“Maaf, maaf” Asid kaget, segera mengiring ke tepi.

“Jalan la elok-elok” Sara Nasuha bersuara lembut. Tidak berkasar walau pada saat genting. Hakikatnya, dia juga terkejut dengan Asid yang melanggarnya.

Asid mengangguk, terlutu lemah. Asap putih yang nipis mula keluar dari hidungnya, setiap kali dia bernafas. Tindak balas kepanasan tubuhnya dengan kesejukan suhu suasana. Otaknya terasa berat.

“Eh, awak kenapa ni?” Sara Nasuha yang sudah bangun rasa hairan dengan Asid.

Halim dan Dzulkarnain tidak tunggu lama. Terus memapah Asid.

“Mantan Presiden MPPM kita ni, tak tahan sejuk” Halim menjawab soalan Sara Nasuha tadi, seraya bergerak membawa Asid turun. Asid sudah tidak lagi dapat menumpukan perhatian. Bicaranya terkunci.

Sara Nasuha perlahan-lahan membuntuti tiga sekawan tadi.

Akhirnya mereka berjaya keluar dari bangunan JUST. Ketika itu, sudah ramai yang berkumpul di tengah dataran. Semuanya memandang ke arah bangunan itu. Mencari-cari di mana punca kebakaran.

“Tak ada pun?” Dzulkarnain yang turut mencari kehairanan.

Halim mengangguk. “Ini silap haribulan, orang buat kacau ni” Dia memberikan jangkaan.

“Siapa la bijak sangat buat benda ni? Menyusahkan aku” Asid berbicara perlahan. Sejuk tidak tahan. Dia berpeluk tubuh erat.

“Awak macam mana?” Sara Nasuha yang berdiri berdekatan mereka bertanya. Wajahnya memaparkan kerisauan.

Asid cuba tersenyum. Namun wajahnya telah pucat, dan dia sangat tidak larat. Seluruh tubuh terasa berat. Nampak sakit.

“Jangan risau.” Asid cuba menggagahkan diri, walaupun dia kini dipapah Dzulkarnain.

Sara Nasuha segera mengeluarkan sesuatu dari begnya. Kain sapu tangan.

Asid menggeleng. Sara Nasuha menunjukkan kain itu kepada Halim. Halim hendak mengambilnya.

“Halim, tak payah. Sara, terima kasih. Saya okay” Asid melepaskan diri dari papahan Dzulkarnain. Kemudian dia mengelap sendiri wajahnya yang basah dengan tangan.

Sara Nasuha diam. Sapu tangan dimasukkan kembali ke dalam beg.

“Maafkan saya sebab terlanggar awak tadi”

“Tak mengapa. Bukan awak sengaja”

“Terima kasih”

“Sama-sama. Saya minta dulu lah ya. Assalamu’alaikum.” Sara Nasuha mula mengundurkan diri.

Asid, Halim dan Dzulkarnain mengangguk. Perlahan-lahan Sara Nasuha hilang dalam lautan orang ramai. Mungkin rasa tidak enak jika bersama dengan sekumpulan lelaki, membuatkan dia tidak berlama-lama di situ.

Sebaik sahaja Sara Nasuha hilang, Asid menjatuhkan tubuhnya semula kepada Dzulkarnain.

“Ya Allah… sejuknya!” Separuh menjerit.

Halim menggeleng. Segera dipiatnya telinga Asid. Asid pantas menepis, “Apa ni Halim?”

“Depan Sara, berlakon gagah tak boleh blah”

Dzulkarnain ketawa sahaja. Siapa yang tidak kenal Sara? Seorang perempuan yang baik, solehah, sopan. Amat menjaga diri dan sederhana.

“Biar la Halim. Malu la abang Asid kita.” Dzulkarnain menjungkit sedikit bahunya. Kepala Asid terangkat. Senyuman sahaja sebagai balasan kata-kata Dzulkarnain. Nikmat punya teman-teman seperti itu. Susah senang bersama. Juga senang dengan teman seperti Halim. Penceria suasana.

“Siapa yang buat macam ni ya?” Dzulkarnain merujuk kejadian hari ini, sambil terus memandang bangunan JUST.

Halim diam. Asid diam. Ya, siapa yang buat? Tak ada loceng kecemasan, tiada kebakaran. Hanya penyembur air kecemasan sahaja yang terbuka. Seluruh bahagian bangunan pula tu. Sepanjang tiga tahun dia menjalani pengajian di bangunan JUST ini, belum pernah terjadi perkara sebegini.

Siapa?

*****

Dr ‘Ala Hilat memandang seluruh dewan kuliah. Kelas mata pelajaran Firaq hari ini adalah kelas terburuk pernah dihadirinya. Bukan kerana sikap pelajar-pelajar semasa pembelajaran. Tetapi kerana kehadiran mereka yang teramat sedikit.

“Wein tullab akhar?”

“Aku pun tidak tahu wahai duktur. Ada kemungkinan cuti?”

“Mustahil. Kalau cuti, pastinya aku juga tidak hadir”

Irfan yang menjawab soalan tadi diam. Betul juga. Hari ini adalah hari yang pelik. Dia sepatutnya mempunyai 4 kelas pada hari ini. Firaq adalah kelasnya yang terakhir. Tetapi, sepanjang hari ini, selain pelajar melayu, tiada pelajar lain yang datang ke kelas. Dan ini bukan berlaku kepada kelasnya sahaja. Tetapi berlaku kepada seluruh universiti, di seluruh kuliah.

“Aku tak rasa mereka ini sengaja tidak datang duktur” Irfan menenangkan pensyarahnya.

Dr ‘Ala Hilat mengangguk. Dia juga nampak begitu. Kalau ponteng, mustahil semua pelajar boleh ponteng. Sekurang-kurangnya, amatlah mustahil bagi sebuah kelas itu untuk semua pelajar ponteng dan hanya pelajar melayu sahaja yang tinggal.

“Mungkin mereka mendapat maklumat yang salah” Dr ‘Ala memandang Irfan, Ciku dan Nik. Hanya tiga pelajar lelaki ini sahaja yang hadir hari ini. Ditambah dua lagi pelajar perempuan. Itu pun pelajar dari Malaysia juga.

“Kita tamatkan kelas kita hari ini di sini. Mustahil saya hendak terus mengajar dalam keadaan begini” Dr ‘Ala segera menangguhkan kelas. Selepas memberi salam, dia keluar. Jejaknya diikuti dua pelajar perempuan melayu tadi.

Tinggal Irfan, Ciku dan Nik. Tiga sekawan yang seangkatan, mengambil Usuluddin dan pada semester ini, semua kelas mereka sama. Shah pelajar tahun empat juga, tetapi mengambil bidang Usul Fiqh.

“Macam mana boleh jadi macam hari ini ya?” Ciku menimbulkan persoalan. Rasa hairan bersarang di dalam fikiran.

Irfan jungkit bahu. Tidak tahu jawapannya.

“Silap hari bulan ada yang buat kacau tak?” Nik menjangka.

Sekali lagi Irfan jungkit bahu.

“Asyik jungkit bahu je” Bahu Irfan ditolak oleh Ciku. Terdorong Irfan ke tepi.

“La, kenapa? Dah aku tak tahu. Takkan aku nak tuduh yang bukan-bukan?” Irfan menyoal. Ciku diam. Ya tak ya juga.

“Dah makin sejuk ya sekarang?” Irfan menukar topik.

“Asid macam mana la ya?” Nik memandang Irfan.

“Teringat aku masa tahun satu dulu” Ciku memandang ke siling.

Terkoyak senyum Irfan. Ya, dia masih tidak boleh lupa bagaimana pengalaman pertama Asid menghadapi musim sejuk. Sampai tidak boleh bangun.

“Tak tahan Irfan…” Lemah suaranya.

Irfan menyatukan kedua-dua belah tangan Asid, kemudian menggosok-gosoknya. Ingin mewujudkan haba. Sekali sekala Irfan akan menghembuskan nafas melalui mulutnya ke arah tangan itu.

“Aku ada buat teh panas. Air panas pun aku jerang. Nanti aku lekapkan tuala air panas kat kau”

Sepanjang masa Irfan berada di sebelah Asid. Tiga hari Asid kebah tidak mampu bangun. Jauh sekali hendak ke kuliah. Solat pun hanya duduk.

“Kau jangan risau Asid. Aku akan sentiasa ada dengan kau.” Tangan Asid dipegang dengan lebih kuat.

Asid cuba mengukir senyuman, namun senyumannya tawar dengan wajahnya yang pucat.

“Terima kasih la Irfan. Aku sayang kau. Kau buat aku kuat”

Irfan mengangguk, “Sama-sama”

Sebenarnya, kalau Asid sakit, dia juga rasa sakit. Jadi, kesihatan Asid adalah kesihatannya juga. Inilah rasa seorang sahabat. Mustahil hendak bersahabat hingga ke syurga, andai sakit seorang sahabat tidak mampu dirasai oleh sahabatnya. Jadi bagaimana hendak merasakan sesuatu yang lebih tersembunyi seperti masalah dalaman andai masalah yang zahir pun tidak mampu diambil berat?

“Balik la jom” Irfan bangun, bergerak keluar dari dewan. Ciku dan Nik mengikuti.

“Tapi kan, kalau sekali-sekala macam ni seronok juga kan?” Nik bergurau nakal.

Irfan dan Ciku ketawa. Memang la seronok, tak ada kelas.

“Jadi bodoh la pelajar kalau macam ni selalu” Ciku ketawa kuat.

“Aku kata sekali sekala”

Irfan menggeleng sahaja.

Mereka bergerak pulang ke bangunan Abu Muhammad.

Sepanjang perjalanan, Irfan senyap sahaja. Diam seribu bahasa. Di dalam akalnya, ada sesuatu yang menjelma berkaitan dengan peristiwa hari ini.

Disaster Five. Teringat dia bagaimana orang bercerita apa yang dilakukan oleh mereka berlima semasa MHS yang lalu.

Namun segera disisihkan semua perasaan itu.

Bersangka baik. Selemah-lemah ukhuwwah adalah bersangka baik dan berlapang dada. Bagaimana hendak mengajak kepada kebaikan, dan mentarbiyah orang lain kalau di dalam diri sudah sedia punya hijab? Nanti tidak akan mampu disentuh hati manusia yang hendak diajak berubah itu.

Irfan menyisihkan rasa kurang enak yang bersarang. Tiada bukti, lebih baik jangan menuduh rambang.

****

Shah membuatkan air panas. Saifuddin pula memasak bubur. Irfan setia di sisi Asid yang masih kelihatan tidak larat.

“Rasanya sekejap je ni Irfan” Asid memandang Irfan yang kelihatan gusar.

Terkejut besar sahabatnya itu tadi apabila melihat dia pulang dalam keadaan dipapah. Lencun pula tu. Asid sangat tahu betapa sayangnya Irfan kepadanya. Andailah seluruh dunia ini menjadi gadaian kepada Asid, Irfan tetap tidak akan mengambilnya.

“Siapa la yang sampai hati basahkan kau macam ni Asid?” Irfan memegang tangan Asid. Tiga tahun lalu, dia melakukan perkara yang sama semasa pertama kali mereka menghadapi musim sejuk.

Tahun seterusnya, Asid tidak seteruk itu. Cuma kalau hujan turun, atau fros berlaku, lalu membasahi sahabatnya itu, maka automatik sahabatnya akan demam berhari-hari. Dan Asid amat degil, tidak mahu memakai payung.

“Malulah pakai payung kat sini. Semua orang tak pakai payung”

Itulah alasan dia. Malu tak bertempat kata orang. Akhirnya, setiap tahun dia akan demam. Mujur Asid seorang yang sedikit keras dan kuat. Sekadar demam, dia mampu bertahan, selagi mana demamnya tidak kritikal. Dia juga amat menjaga diri, tidak kerap mandi, kalau mandi dia akan keringkan dahulu tubuhnya sebelum keluar, begitu juga dengan berwudhu’, sentiasa memakai pakaian tebal dan sebagainya.

“Yang sanggup basahkan aku, adalah yang sanggup basahkan seluruh bangunan JUST tu la” Asid cuba menjawab dengan nada ceria.

Irfan diam sahaja mendengar. Tangannya bergerak-gerak memanaskan tangan Asid.

“Di Yarmouk tadi, seluruh pelajar tak datang kuliah. Pelajar melayu je datang” Irfan membuka cerita.

“Ya?” Asid macam tidak percaya. JUST kena, Yarmouk pun kena?

“Ini bulan Oktober kan?” Asid bertanya.

“Oktober nak masuk November. Kenapa?”

“Ingat April. Percaya la aku kalau orang buat April Fool”

Irfan rasa kelakar. Gaya selamba Asid menggeletek dirinya. Dah gaya macam mayat pun, sempat lagi dengan perangai selambanya itu.

“Bubur dan teh telah sampai untuk tuanku Asid!” Shah dan Saifuddin masuk ke bilik.

“Macam ni, aku hari-hari sakit la” Asid memandang dua sahabatnya itu meletakkan makanan dan minuman itu di meja kecil berdekatan katilnya.

“Banyak la. Kau tu praktikal Asid. Ingat-ingat sikit. Kena cepat sihat” Irfan menepuk dahi Asid. Mesra.

“Ya ya, baik Abang Irfan. Ampun”

Mereka berempat ketawa.

“Aku dengar Asid jumpa bidadari tadi masa dia kesejukan” Saifuddin menyakat.

“Ya?” Irfan memandang Asid.

“Sifu, kau jangan la bukak cerita. Irfan tak boleh tahu” Asid buat muka tak puas hati.

“Oh, dengan aku berahsia ya. Patut la muka macam mayat, tapi sembang macam sihat. Siapa bidadarinya?”

“Rahsia”

“Kau tanya je Dzul dengan Halim, Irfan” Shah mencadangkan.

“Mereka dah janji nak rahsiakan” Asid menjelir lidah.

“Sifu?” Irfan memandang Saifuddin.

Saifuddin mengangkat tangan. “Aku tahu Asid jumpa bidadari je. Aku tak tahu bidadari tu siapa. Dzul dengan Halim tak cerita pun tadi”

Irfan memandang semula Asid. Asid ketawa kecil.

“Aku dah rasuah siap dah dua orang tu” Asid buat gaya menang.

Irfan menggeleng. Macam-macam. Punya la nak berahsia.

“Dah la. Cepat sihat” Irfan bangun.

“Nak pergi mana?” Asid memandang Irfan. Merajuk ke?

“Maghrib la” Irfan menunjukkan jam. Sifu dan Shah juga bangun, hendak mengikuti Irfan.

“Doakan aku” Asid memberitahu. Kalaulah dia larat bangun, tidak akan dia berlengah mengikuti.

“Sejak bila aku pernah lupa doakan kau?” Irfan meninggalkan Asid dengan senyuman.

Asid tersenyum sendirian.

Print This Post Print This Post

10 Comments

  1. mujahidah cinta Ilahi says:

    Subhanallah,,,
    Sungguh indah ukhuwwah yang dibina atas dasar keimanan yang teguh pada Allah..

    Penuh makna…Sangat berharga…

    Teruskan perjuangan,,,

    [Reply]

  2. wani says:

    salam..teringin mempunyai sahabat seperti itu..seronok jika mempunyai sahabat yang sama2 membina ukhuwah hnya krna Allah…crita ni btol2 mempunyai sinergi..boleh membuatkan sy trasa btapa kuatnye perhubungan di antara asid dan irfan… =’)

    [Reply]

  3. hambamencari says:

    Salam..

    Byk kelakarnya kali ini.. seronok bc..

    Alhamdulillah pa-apa pun, ukhuwwah.. something yg indah..
    Congrats utk post ni..

    [Reply]

  4. nur-najah says:

    salam..

    indah sungguh prsahabatan mereka tu ek!
    semakin menarik cite ni..

    [Reply]

  5. jiwa says:

    likes this: Bersangka baik. Selemah-lemah ukhuwwah adalah bersangka baik dan berlapang dada. Bagaimana hendak mengajak kepada kebaikan, dan mentarbiyah orang lain kalau di dalam diri sudah sedia punya hijab? Nanti tidak akan mampu disentuh hati manusia yang hendak diajak berubah itu.

    [Reply]

  6. alin alin says:

    salam…
    teringat kata2 kwn saya…
    “ukhuwwah itu indah”…
    tersenyum saya baca cite niy…

    [Reply]

  7. syaimaa' says:

    salaam.

    kenapa budak laki specky berkopiah putih itu semacam syah nazrin aja?
    erhhh…..

    wallahua’lam

    [Reply]

  8. syasya says:

    subhanallah..indahnya tali silaturrahim kalau disertai keikhlasan hanya kerana Allah..teringin to have fren n hv sincere feeling towards fren like dat..hmm

    [Reply]

  9. 94057 says:

    Tumpang tanya,
    cerita 4 lepas cerita 3:ramadhan & taqwa memang tidak dikeluarkan dlm website ni ke?Jika ada,tolong bg link,sebab tak jumper.

    –maaf bertanya–

    [Reply]

  10. Terkoyak senyum Irfan. Ya, dia masih tidak boleh lupa bagaimana pengalaman pertama Asid menghadapi musim sejuk. Sampai tidak boleh bangun.

    bermula ayat ini dan seterusnya
    air mata saya mula berlinangan
    betapa indah punya sahabat demikian
    Semoga Allah kurniakan juga kepada saya.

    Salam Ukhuwah
    -adik charm!!-

    [Reply]

Leave a Reply