Langit Ilahi Rotating Header Image

Novel Sinergi: Cerita 6 - Mereka kah?

Sinergi

Sinergi

Assalamu’alaikum.

Memenuhi janji.

Sinergi Cerita 6: Mereka kah?

Wujud di sini.

Enjoy!

Cerita 6

Mereka kah?

Dengan apakah kau memandang orang yang berdosa?

Pandangan rahmat atau kebencian nista?

Ketahuilah hati yang membenci

Tidak akan mampu mencinta


Malam itu seperti malam-malam biasa yang lain. Sejuk. Orang-orang arab memasang lagu kuat-kuat di tengah jalanan melalui kereta mereka. Ada juga yang berpesta sesama rakan di tepi jalan. Suasana hiburan yang meyebabkan kelemahan ummat.

Di tengah kebisingan inilah letaknya kawasan Bangunan Umar Mukhtar. Umar Mukhtar mempunyai empat bangunan. Tiga bangunan penuh diduduki pelajar melayu, manakala satu bangunan lagi dipenuhi orang selain melayu. Perkara ini diketahui dengan baik oleh semua orang yang tinggal di kawasan Syari’ Jami’ah ini.

“Nak pergi mana Wan?” Syamil Suhardi, pelajar perubatan tahun satu, memandang sahabatnya Syazwan yang bergerak keluar rumah.

“Nak lepak di kedai Cocktail. Nak ikut?” Syazwan memakai kasut.

Syamil menggeleng. “Perut aku rasa semacam la. Nak pergi tandas”

“Ha, sila-sila” Syazwan mengehentak kaki, mengejapkan kasutnya.

“Jangan lupa kunci pintu, pencuri masuk nanti” Syamil mengingatkan, sebelum masuk ke tandas.

“Semestinya” Syazwan bergerak keluar.

Pintu dikunci.

Kes kecurian di Irbid bukanlah perkara yang ganjil untuk berlaku. Irbid sebagai kawasan yang menempatkan paling ramai pelajar melayu, ditambah pula banyaknya pelajar dari pelbagai negara, menyebabkan ia seakan-akan sarang pelbagai manusia. Ada yang sangat baik, wujud juga yang sangat jahat.

Senior-senior di sini selalu sahaja berpesan:

“Jangan sangka kita ini di negara arab, orang semua perangai macam malaikat. Kena ubah persepsi kita. Arab ini ada keturunan rasul-rasul, ada juga yang berketurunan Firaun. Tempat kita ini, selain tempat para anbiya’, sini juga tempat Allah turunkan pelbagai bala”

Kes rumah pelajar melayu dipecah rompak adalah sesuatu yang pastinya akan muncul. Malah, pada tahun lepas, berlaku satu kes kecurian yang melibatkan pukul memukul. Pelajar-pelajar lelaki di rumah yang dipecah itu, diikat dan diacukan parang, sebelum dipukul sepuas hati oleh pencuri. Itu antara kes terburuk yang pernah terjadi.

Sebab itu, para junior sentiasa diberi pesanan berkali-kali berkenaan mengunci pintu dan menyimpan barang berharga. Mencegah dari awal semestinya lebih baik. Sekurang-kurangnya itu satu usaha.

Namun, pepatah melayu ada berbunyi: Malang itu tidak berbau. Siapa boleh menjangka kalau malang hendak tiba?

Tidak lama selepas Syazwan keluar, pintu rumah Syamil berbunyi. Tombolnya seakan-akan digodeh agar boleh dibuka. Akhirnya, bunyi kecil kedengaran menandakan tindakan penceroboh berjaya. Pintu terkunci itu akhirnya terbuka.

Syamil baru selesai menunaikan urusannya di dalam tandas. Dia bergerak keluar dari tandas. Tidak terus dia menghadap ruang tamu. Dia rasa kesejukan dan ingin mengambil baju tebal yang boleh menghangatkan. Dari tandas, dia hendak terus bergerak ke almari di dalam bilik.

Ketika inilah, satu pukulan deras mengenai belakang kepalanya.

Seluruh biliknya berputar-putar, mengecil dan menggelap.

Syamil pengsan, tanpa sempat memandang siapa yang melakukan.

*****

Masyarakat melayu di Irbid gempar.

Sebaik sahaja mendapat panggilan daripada ahli rumah Syamil, seluruh pelajar melayu Irbid datang menggerumuni Bangunan Umar Mukhtar. Syazwan dan dua lagi ahli rumah Syamil amat terkejut apabila melihat rumah mereka bersepah, ditambah pula dengan Syamil yang pengsan.

Banyak barang berharga hilang. Ridhwan sebagai Biro Kebajikan dan Keselamatan PERMAI segera menghubungi pihak polis. Pelajar-pelajar melayu lain yang prihatin, sanggup bersejuk di luar rumah untuk memberikan sokongan moral. Tidak muat rumah Syamil untuk menampung semua. Namun, kehadiran warga PERMAI itu sahaja sudah merupakan sokongan yang menghangatkan hati sesiapa.

“Macam mana Syamil?” Irfan bertanya kepada Faiz Hamzah yang baru keluar. Irfan tidak dapat masuk kerana ramainya orang yang berkumpul.

Faiz Baha menghela nafas. Asap putih yang nipis mengiringi perbuatannya itu.

“Dia belum sedar lagi. Nampaknya, pukulan yang dikenakan di belakang kepala dia itu amat berat”

“Ya Allah, kesiannya” Asid yang berada di sebelah Irfan rasa simpati. Suaranya bergetar bersama dengan tubuhnya yang menggeletar.

“Asid, kau duduk rumah pun tak apa” Faiz Hamzah memandang Asid. Asid pantas menggeleng.

Seluruh orang Islam itu bersaudara. Bila saudaranya ada masalah, maka kesukaran diri bukan alasan untuk tidak membantu. Walaupun hanya berdiri di luar rumah kejadian dan tidak boleh membantu apa-apa, Asid merasakan ini adalah tanggungjawabnya sebagai seorang saudara.

Faiz menepuk-nepuk bahu Asid. Tabah sungguh dalam melestarikan makna satu ukhuwwah yang terbina atas dasar keimanan kepada Allah SWT. Susah senang bersama. Bukan sahaja di dunia. Di akhirat sana. Sebab itu mereka bersungguh-sungguh berusaha membawa manusia agar bergerak mendapatkan redha Allah SWT.

“Banyak kerugian?” Asid bertanya.

“Tak tahu lagi keseluruhannya berapa. Tapi agak teruk juga. Lap top, duit, telefon bimbit, barang berharga lain macam iPod si Syazwan tu pun kena ambil juga”

“MasyaAllah.”

“Barang-barang tu, kita tak kisah sangat la. Yang kita rasa beratnya, keadaan Syamil. Sampai pengsan dibuatnya. Aku risau” Faiz Hamzah menghela nafas lagi.

Nampak sangat dia rasa bertanggungjawab. Dia sebagai ketua seluruh pelajar melayu di Irbid ini, rasa bersalah pula dengan apa yang terjadi. Walaupun sebenarnya, ini bukan kesalahannya. Segala langkah berjaga sudah diambil. Perkara hendak terjadi, terjadi juga.

“Tenanglah Baha, Allah nak uji. Kena rasa ini ujian yang hendak melihat kebenaran iman” Irfan mengurut-urut bahu Baha, memberikan semangat.

“Hanya yang beriman sahaja tabah menerima ujian.” Asid menambahkan kekuatan.

Faiz Hamzah mengangguk-angguk. Senang mendapat sokongan yang mengisi jiwa sedemikian.

“Baha, Baha!” Satu suara memanggil. Irfan, Asid dan Faiz Hamzah memandang. Kelihatan Ridhwan bergerak membelah pelajar-pelajar melayu yang lain.

“Kenapa?”

“Syamil dah bangun” Ridhwan memandang Irfan dan Asid sekali.

“Jadi macam mana dia?” Faiz Hamzah risau.

“Dia…” Ridhwan teragak-agak hendak memberitahu.

“Dia hilang ingatan”

Faiz, Irfan dan Asid tergamam. Mengetahui apa yang terjadi, seluruh warga PERMAI yang hadir pada malam itu bising. Semua berkata itu dan ini bersama-sama mereka.

Ternyata, kes Syamil telah menggemparkan Irbid pada malam itu.

“Siapa la yang boleh buat sampai macam ini?” Satu soalan timbul di tengah-tengah kegemparan itu.

Dan soalan itu bermain-main di dalam kepala seluruh warga PERMAI.

*****

“Aku dengar, yang penyembur air JUST terbuka tempoh hari tu, kerja mereka la” Mursyid bercerita.

“Ya ke? Ish, teruklah mereka tu” Afiq Fawwaz memberi komentar.

Pelajar-pelajar melayu tahun satu berkumpul selepas solat isya’ di bahagian luar Masjid Universiti Yarmouk. Semua sibuk bercerita berkenaan peristiwa-peristiwa yang berlaku kebelakangan ini. Kes Syamil menyebabkan mereka merasa, semua itu dilakukan oleh orang yang sama.

“Siapa lagi kalau bukan Disaster Five” Rozaili membuat tuduhan rambang.

“Aku dengar, mereka bukan sekadar buat hal di JUST sahaja. Kes pelajar Universiti Yarmouk ramai-ramai tak datang tempoh hari tu pun, perbuatan mereka juga” Luqman Zulkepli menambah.

“Ya ke? Tak guna betul. Penat tau aku pergi ulang alik universiti masa tu” Faizal, pelajar tahun satu Usul Fiqh menumbuk telapak tangannya. Geram.

Pelbagai cerita diungkit. Bagaimana tong sampah-tong sampah di JUST meletup semuanya serentak, menyebabkan selepas itu cermin-cermin yang berdekatan turut pecah. Di Yarmouk pula ada kes alat pembesar suara yang utama untuk membuat pengumuman, menyanyikan lagu rock merosakkan biah solehah yang ada. Itu antara yang berlaku. Memang huru-hara.

“Tapi takkan la mereka sanggup menceroboh rumah dan curi barang? Sampai Syamil pengsan dibuatnya” Erman yang ada cuba mempertahankan. Dia aneh kenapa semua orang macam mudah sangat menuduh tanpa bukti.

“Tapi Erman, yang kes penyembur air tu memang mereka yang buat” Syafiq membela yang lain pula. Erman memandang Syafiq. Ada bukti?

“Masa tu, aku ternampak mereka memintas wayar loceng kebakaran. Seterusnya mereka buat asap dari surat khabar yang dibakar agar penyembur air itu teraktif”

Semua orang mendengar bicara Syafiq. Syafiq yang dikenali sebagai berperibadi baik, sering ke masjid, rapat dengan senior-senior, memang dianggap sebagai ketua kepada tahun satu. Kata-katanya ini menjadi satu sokongan kepada kebenaran. Semua percaya kepadanya.

Erman rasa tidak puas hati. “Tapi, kalau betul pun kes-kes porak peranda tu mereka buat, takkan la yang kes curi ni pun mereka jugak?”

“Erman, orang macam tu mana ada hati?” Harun menuduh, suaranya sedikit tinggi. Syafiq menegur Harun dan mengingatkan bahawa tempat mereka bersembang ini masjid. Walaupun di bahagian luar, tidak sepatutnya meninggikan suara.

Disaster Five memang mudah menjadi sasaran andai ada sesuatu yang buruk berlaku. Kalau kes di Yarmouk dan sebarang kes porak peranda yang berlaku di dua universiti yang utama itu tidak mempunyai bukti, kes-kes yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat melayu di Irbid memang mempunyai saksi.

Pelajar-pelajar perempuan dihendap menggunakan kamera tersembuyi yang diletakkan di dalam bilik air. Perbuatan ini terbongkar apabila kamera itu rosak dan Muiez Iskandar dengan selambanya datang ke rumah mengambil kamera itu. Bukan sahaja mencabul hak asasi manusia, malah secara tidak langsung, menyerang psikologi mangsa. Kebanyakan pelajar perempuan kini trauma untuk memasuki tandas.

Beberapa pelajar yang agak lemah sedikit, sering dibuli oleh Harith. Disandungnya kaki mereka, kadangkala ketika membawa barangan daripada balad atau kedai, jika terserempak dengan Harith, lelaki gagah itu akan sengaja melanggar supaya barang yang dibawa terjatuh. Tanpa ada belas kasihan langsung, semua itu dilakukan. Tiada yang berani melawan, kerana Harith orangnya sasa dan kuat.

Wafiq Wasim pula, sudah beberapa kali membuatkan warga PERMAI keracunan makanan. Majlis-majlis rumah terbuka sempena hari raya tempoh hari, banyak terganggu kerana Wafiq. Entah bagaimana dia lakukan, semua tidak tahu. Cuma, apabila perut semua yang hadir sakit, Wafiq akan ketawa berdekah-dekah keseorangan.

Yusuf pula kerjanya suka merendah-rendahkan orang lain. Dia dengan beraninya memecahkan telefon bimbit, lap top, ipod, atau apa-apa sahaja barang yang dibawa oleh orang lain. Kemudian dia akan menaburkan duit di hadapan orang itu.

“Beli yang lebih baik” Yusuf menyindir, menyerang psikologi.

Badruddin sahaja tidak kelihatan melakukan apa-apa. Dia juga jarang dilihat di luar rumah, melainkan di Universiti. Namun semua menjangka bahawa dia adalah yang menggerakkan Disaster Five dari belakang.

Selepas habis sahaja Ramadhan, mereka telah menghuru-harakan Irbid.

Semua ini membuatkan Disaster Five menjadi satu entiti yang dibenci. Maka tidak aneh jika segala keburukan dan kejadian yang berlaku, mereka menjadi sasaran tuduhan.

Tetapi Erman tetap rasa tidak senang.

Dia tidak rasa Disaster Five patut dituduh dengan perkara yang tidak mempunyai bukti bahawa mereka yang melakukannya.

“Apa yang kamu semua ceritakan ni? Kecoh sangat nampaknya” Suara Irfan kedengaran. Erman memandang. Semua yang ada turut memandang ke arah yang sama.

Irfan baru sahaja keluar dari kawasan sembahyang.

“Abang Irfan. Kami tengah sembang fasal Disaster Five. Kami rasa, merekalah dalang di sebalik semua kejadian yang berlaku di sini” Syafiq mewakili yang lain.

“Dalang? Semua? Maksudnya termasuklah kes Syamil baru-baru ini?”

Semua mengangguk serentak, kecuali Erman. Nampaknya, majoriti yakin bahawa semua itu dilakukan oleh Disaster Five. Mereka memang tidak berpuas hati. Tambahan yang pernah diperlakukan oleh Disaster Five dengan teruk sekali.

Irfan memandang wajah-wajah di hadapannya. Wajah yang tersirat amarah dan dendam. Ya, manusia memang mudah terasa dengan sikap buruk orang lain. Namun, jika orang lain melakukan kebaikan, sukar sungguh hendak dihargai. Ibarat titik hitam kecil di atas kertas putih. Yang kelihatan di mata manusia adalah titi hitam kecil itu, bukannya keputihan yang banyak.

“Kita ni, sebagai orang yang beriman, Allah dah pesan supaya periksa dulu berita yang sampai kepada kita. Kena ada bukti. Kemudian, nak buat pertuduhan, kena la panggil si pesalahnya dahulu dan dengar penerangan mereka” Irfan cuba merasionalkan semua.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6.

“Tapi Abang Irfan, mereka dah banyak lakukan porak peranda!” Seorang pelajar bersuara.

Irfan menggeleng. “Baik, jadi yang mereka salah adalah yang kita ada bukti mereka salah. Bagi perkara yang kita tidak punya bukti, kita tak boleh la menuduh sebarangan. Ini salah. Kalau betul pun mereka lakukan, tuduhan rambang adalah sesuatu yang tak patut seorang muslim lakukan”

Semua diam. Apa yang dikatakan oleh Irfan itu benar sekali.

“Pihak polis dah siasat kes Syamil. Memang tiada cap jari, tiada kesan dan sebagainya. Jadi kita tiada bukti. Ada kemungkinan Disaster Five, ada juga kemungkinan orang lain. Jadi jangan kita tuduh sebarangan. Lebaik kita tersalah maaf, dari tersalah jatuhkan hukuman.” Irfan berpesan.

Irfan tiba meniup semua prasangka. Kata-katanya menusuk kemas di dalam dada.

“Dan, kalau kamu kena kacau, jangan rasa lemah untuk bercakap semula. Orang muslim kena berani. Mereka itu sebenarnya, mungkin, tiada orang yang pernah menegur mereka. Maka teguran kepada mereka adalah satu hak. Semua orang berhak menerima teguran dan peringatan” Irfan tersenyum.

“InsyaAllah, aku yakin, pihak PERMAI pun akan lakukan sesuatu untuk mereka bagi kes yang kita ada bukti mereka lakukan, terutama sikap mereka.”

Kata-kata Irfan itu membuatkan semua yang mendengar lapang dada. Suasana yang hangat dengan amarah tadi menjadi reda. Kembali sejuk seperti sejuknya suhu Irbid sekarang ini. Irfan tidak membela hak Disaster Five sahaja, tetapi Irfan membela hak semuanya. Adil seperti alif. Adil di atas dan adil di bawah.

Tuturnya, gayanya, sikapnya, membuatkan semua orang terkesan. Kata-katanya mudah, tetapi menjadi ikutan. Selain menyelesaikan masalah, dia sekaligus memberikan contoh.

Erman mencerunkan matanya memandang Irfan.

Lelaki ini….

*****

Sudah hampir seminggu berlalu dari kes Syamil. Pihak polis masih lagi melakukan siasatan.

“Aku risau juga. Kalau jadi lagi la kan, tak tahu nak buat macam mana” Nik menyuarakan kerisauan.

“Kalau aku, aku hempap je” Ciku berjenaka. Tubuhnya yang besar ditepuk-tepuk.

Irfan dan Nik tertawa. “Kau cakap belakang boleh la Ciku. Perompak datang, tak jadi Ciku dah kau, jadi terkucil ada la” Nik membalas jenaka Ciku.

Perjalanan pulang mereka ceria. Irfan meraikan gurauan-gurauan itu dengan senyuman dan tawa yang sederhana sahaja. Dia jarang bergurau lebih-lebih. Padanya, bergurau lebih-lebih itu akan merendahkan martabat seseorang di mata orang lain. Dari satu segi yang lain, terlalu banyak bergurau dan berjenaka boleh menyebabkan hati seseorang kurang sensitif.

Namun Irfan jarang menyebut hal ini kepada orang lain. Dia lebih senang membawa perkara ini dalam amalan. Biar orang nampak perbezaan antara peribadi yang melakukan dan tidak melakukan. Sebagaimana Rasulullah. Bukan semua perkara baginda lafazkan. Ada yang baginda tunjukkan sahaja. Sebab itu, bila Rasulullah SAW bergurau, manusia akan melihat gurauan Rasulullah itu pun punya makna mendalam.

Tiba-tiba mata Irfan menangkap kelibat seseorang.

Yusuf. Pelajar itu sedang memasuki kedai bernama Doi’ah yang terdapat di pintu keluar Universiti Yarmouk. Kedai Do’iah adalah kedai yang menjual makanan halawiat.

Terus Irfan bergerak untuk mendapatkan ahli Disaster Five itu. Bukan mudah untuk melihat mereka berjalan sendirian. Tambahan, Yusuf adalah pelajar JUST. Mungkin hari ini dia pulang awal.

Ciku dan Nik terpinga-pinga melihat perbuatan Irfan. Tidak faham apa tujuan Irfan yang sebenarnya.

“Assalamu’alaikum Yusuf” Irfan menegur mesra.

Bahu Yusuf sedikit terangkat. Terkejut. Segera dia berpaling. Salam tidak dijawab, namun dibalas dengan pandangan yang tajam.

“Kau lagi. Nak apa?”

“Nak bertegur sapa” Irfan memaniskan roman wajah dengan senyuman. Yusuf buat muka menyampah. Dia berpaling dan meneruskan urusan pembayaran. Irfan memandang halawiyat yang dibeli oleh Yusuf.

“Minat kinafah ya?” Merujuk kepada halawiyat yang dibeli oleh Yusuf.

“Bukan urusan kau” Tubuh Irfan ditolak kasar, Yusuf kemudian berlalu pergi.

Irfan tidak berputus asa.

“Aku minat kinafah juga” Berkongsi rasa, jujur.

Yusuf terhenti. Kemudian dia berpaling ke belakang memandang Irfan. Irfan masih tersenyum. Itu membuatkan Yusuf rasa meluat, bengang dan menyampah. Segera diseluk jeansnya dan mengeluarkan dompet. Dikeluarkan segala barang penting seperti kad pelajar, kad pengenalan, kad bank dan kad kredit.

Kemudian dicampakkannya dompet itu kepada Irfan. Terkejut Irfan menyambut dompet itu.

“Pergi beli satu kedai ni terus” Yusuf meninggalkannya.

Irfan menghantar dengan pandangan sahaja. Selepas itu, matanya mengintai isi dompet Yusuf. Kemudian Irfan memandang ke arah Yusuf menghilang.

“Banyak betul duit dia” Irfan menggeleng. Dompet itu dilipat kemas sebelum dimasukkan ke dalam poket seluar. Irfan berniat memulangkan dompet penuh wang itu. Dia ada melihat beberapa keping 100JD tadi. Baru beberapa keping, belum seluruhnya. Pastinya wang itu teramat banyak.

“Dapat durian runtuh nampak” Ciku dan Nik berada di muka pintu kedai halawiyat Doi’ah.

Irfan tersengih.

“Aku nak hati manusia” Perlahan Irfan menjawab, mendekati Nik dan Ciku.

Mereka pulang bersama.

*****

Badruddin mengetuk-ngetuk meja di ruang tamu. Dia memandang seluruh ahli Disaster Five. Berita-berita yang diterima olehnya amat tidak menyenangkan.

“Aku perasan juga yang mereka kutuk-kutuk kita” Badruddin membenarkan apa yang diperkatakan oleh rakan-rakannya.

“Mereka ni, ingat mereka malaikat” Harith mengepal penumbuk, marah.

“Yang aku tak tahan, sampai kes yang tak ada kena mengena pun tuduh kita juga” Wafiq Wasim meletakkan dahunya pada tangan yang diletakkan di atas meja. Gaya malas.

“Mereka ni perlu diajar Bad” Muiez memandang Badruddin.

Yusuf sahaja senyap. Memang Yusuf banyak senyap.

“Kita akan bergerak ke langkah seterusnya. Mereka ni perlu diajar. Biar dengan kepimpinan sekali terbalik!” Badruddin mengetap bibir. Geram. Amarah menyelimuti diri.

“Yeah!” Harith, Muiez dan Wafiq gaya gembira.

Yusuf seakan-akan tidak bersama mereka. Matanya lekat pada dompetnya yang telah dipulangkan Irfan. Sesen pun wangnya pun tidak diambil.

Di dalam dompet itu ada surat.

Surat itu telah dibacanya.

Itu yang menyebabkan dia memandang dompetnya lama-lama.

Print This Post Print This Post

13 Comments

  1. JeRniH says:

    menarik.jalan cerita yang mudah dipahami.;D

    [Reply]

  2. afnan says:

    huh, can’t wait for the next chapter…

    a very deep meaning comes along with the letter… :wink:

    [Reply]

  3. ashee says:

    owh ini mcm cerita kwn saya syamil setahun lalu dekat jordan..hilang ingatan kejap lepas tu skrg alhamdulillah dh sembuh!

    [Reply]

  4. ZierwA says:

    x sbrnye nk thu smbungan die…
    kate2 irfan best sgt..menenangkan hati…

    [Reply]

  5. nur-najah says:

    salam…

    suspen! x sbr nk tau ape isi kandungan surat tu..

    [Reply]

  6. Ariffah9 says:

    salam,
    woo.. tak sabar nk tengok surat sambungan dia~

    [Reply]

  7. alin alin says:

    salam….
    surat..???
    can’t wait… (misteri ni)

    [Reply]

  8. wani says:

    surat??? surat ape agaknye, ek?? berdebar2 nk taw smbungan cter yg strusnye…=)

    [Reply]

  9. hamba says:

    so sweet sgt2…bila bbaca sinergi ni…
    kenangan terindah “mencari diri yg hilang dibumi gersang”…
    hilal, betul ke buku ni akn dijual mse KLIF nnt???
    nmpknya….cerita 4 (yg tertinggal @ ditinggalkan ) oleh hilal tu, kne baca via the real book la ye… :???:
    semoga sempat utk memiliki cetusan idea dr hilal…will, i/allah

    [Reply]

  10. hamba says:

    uhuu…cerita 4 “tersisih dibawah rupanya”
    a’sif 3ala kullu khotoya….

    [Reply]

  11. mujahidah cinta Ilahi says:

    Subhanallah,,,

    Karya yang cukup menarik,,,
    Alangkah indahnya andai kita ini sentiasa sedar akan tiap kemanisan yang Allah beri dan bersyukur atas segala nikmat dari Nya.

    Alhamdulillah, ada insan seperti anta. Moga anta terus diberi petunjuk Allah agar dapat terus mengeksploit diri menghasilkan sesuatu yang lebih baik untuk perjuangan ummah.

    Teruskan perjuangan,,

    Salam ukhuwwah mahabbah fillah..

    [Reply]

  12. syasya says:

    huhu..can’t wait for da next..really curious with da letter..insan mcm irfan……..does he really exist in reality??

    [Reply]

  13. faqir says:

    erman lagi….
    “lelaki ini..”
    heheh..
    da strange erman

    [Reply]

Leave a Reply