Sabtu datang lagi bersama Sinergi.
Cerita 8: Sang Pengorban
Apakah perjalanan seterusnya?
Enjoy!
Cerita 8
Sang Pengorban
Apa kamu kira, perjalanan ini kosong?
Ketahuilah ia perlu dilalui dengan pengorbanan
Tidak cukup hanya dengan omong
Perlukan dengan pembuktian
Dan pengorbanan itulah manifestasi ketaqwaan
Kawasan Syari’ Jami’ah sudah mula dihiasi dengan gambar-gambar dan replika kambing biri-biri. Terpampang juga iklan-iklan yang menggunakan gambar unta. Kalau bagi mereka yang mengikuti rancangan di televisyen Jordan, mereka akan mendapati tajuk perbincangan adalah seputar kepada satu perkara.
Yakni Aidiladha, atau orang melayu selalu menyebutnya dengan dua nama – Raya Haji atau Raya Korban.
Di Yarmouk, terdapat satu kumpulan pemuda islam yang amat aktif dalam berdakwah. Kumpulan ini dinamakan sebagai Iktilaf Islami. Irfan adalah antara pelajar melayu yang rapat serta menyertai program-program yang kumpulan ini jalankan. Tidak cukup dengan aktivitinya di PERMAI, dia mengembangkan lagi hubungannya dengan kumpulan lain bagi meningkatkan diri dan pengalaman.
“Yallah, khuz, khuz” Irfan berdiri di muka pintu bangunan Fakulti Syariah Yarmouk, menyebarkan pelekat yang direka oleh kumpulan Iktilaf Islami.
Semua orang yang melepasi Irfan, mengambil satu pelekat yang diberikan. Barang percuma, pelekatnya juga lawa, siapa yang tidak tertarik.
Erman yang melewati pintu itu, mengambil tanpa memandang Irfan yang menghulurkan. Selepas beberapa langkah, dia melihat pelekat itu. Dia hairan.
“Ini bukan pelekat…”
“Abang Irfan, ini pelekat apa? Kenapa tak cakap fasal hari raya korban?” Suara Sahel kedengaran.
Erman menoleh ke belakang. Kelihatan sekumpulan pelajar melayu tahun satu, Sahel, Faizal, Amir Kamal, Hilal, dan Anas Abdul Hadi sedang berdiri berdekatan Irfan. Mereka berkongsi kehairanan Erman tadi. Ya, kenapa bukan menceritakan perihal Hari Raya Korban? Biasanya kumpulan Iktilaf Islami akan mengadakan kempen selari dengan peristiwa yang berlaku mengikut tarikh.
Irfan mengangkat pelekat. “Tengok apa dia tulis, mari mengejar 10 hari awal Zulhijjah”
“Ya la, buat apa nak mengejarnya? Ada apa yang istimewa ke?” Faizal mencekak pinggang. Tidak faham. Biasanya, kalau masuk Zulhijjah, orang hanya sibuk fasal 10 Zulhijjah, yakni Hari Raya Korban.
“La, tak tahu rupanya. Dengar sini, Rasulullah SAW bersabda: Tiada hari-hari dimana amal soleh didalamnya lebih dicintai oleh Allah SWT selain sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah jihad juga tidak dapat menandingi pahala amalan pada sepuluh hari tersebut? Rasulullah SAW menjawab: “ Tidak, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya lalu tidak membawa pulang sedikit pun daripada kedua-duanya”
“Wo, ada hadith rupanya. Kenapa di Malaysia macam tak popular aja 10 hari awal zulhijjah ini? Biasanya sebut fasal Raya aja”
“Orang semua lebih suka berhibur Amir” Irfan terus menghulurkan pelekat-pelekat pada mereka yang lalu lalang.
“Hari ini 1 Zulhijjah. Kita kena usaha sungguh-sungguh la kalau macam itu” Hilal memandang pelekat yang lawa itu. Berazam.
“Masukkan dalam Langit Ilahi weh” Danial menepuk Hilal.
Hilal ketawa. Dia ada blog bernama Langit Ilahi. Kawan-kawannya mengetahui.
“InsyaAllah. Kena kumpul maklumat juga la fasal ni.”
“Bagus. Sama-sama kita beramal” Sahel menggenggam penumbuk, bersemangat.
“Ha, semangat nak isi 10 Zulhijjah, semangat juga. Kelas, jangan lewat pula.” Irfan mencelah.
Sahel, Hilal, Amir Kamal, Danial dan Faizal ketawa mendengar kata-kata Irfan. Selepas bersalaman, mereka mengucapkan terima kasih dan pergi ke kelas. Mereka ada kelas sekarang. Irfan meneruskan kerjanya memandangkan dia tidak mempunyai kelas ketika itu.
Erman dari jauh melihat sahaja. Melihat bagaimana mesranya pelajar tahun satu yang seangkatan dengannya bermesra dengan Irfan. Dari perhatiannya, dia semakin yakin bahawa Irfan ini mampu mempengaruhi sesiapa sahaja yang bersama dengannya.
“Irfan…”
Erman berpaling, dan bergerak ke arah kelasnya.
Kepalanya memikirkan banyak perkara.
******
9 Zulhijjah sudah hampir berakhir. Matahari sudah hendak terbenam. Pelajar-pelajar lelaki melayu di Irbid mula memenuhi bumbung Bangunan Abu Muhammad yang besar. Hari ini, PERMAI menganjurkan majlis berpuasa beramai-ramai untuk memenuhi sunnah Rasulullah SAW yang berpuasa pada 9 Zulhijjah.
9 Zulhijjah adalah Hari Arafah. Bagi yang tidak melaksanakan haji, disunatkan untuk berpuasa. Kelebihan bagi mereka yang berpuasa pada hari ini dengan sebenar-benar puasa, dosa-dosa mereka sepanjang tahun yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT. Sebab itu, apabila PERMAI menganjurkan program berpuasa dan majlis berbuka ini, berbondong-bondong ahli PERMAI menyertai.
“Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa di hari Arafah? Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”(Hadits riwayat Muslim)
Bagi pelajar perempuan, mereka mengadakannya secara berpecah-pecah mengikut kawasan rumah. Hal ini kerana, tempat tinggal pelajar perempuan di Irbid ada enam kawasan. Satu di dalam Universiti Yarmouk, satu berdekatan dengan bulatan bernama Duwar Qubbah, satu berada di kawasan Zam-zam, satu lagi berdekatan dengan stesen bas Sheikh Khalil, satu di kaw3asan bernama Atsar Irbid dan yang terkenal adalah Sakan Kuning yang terletak di kawasan Syari’ Jami’ah seperti majoriti pelajar lelaki lain.
“Allahuakbar, Allahuakbar” Kedengaran laungan azan dari Masjid Universiti Yarmouk.
“Baik, Ketua Biro Pembangunan Rohani kita, Fakrur, akan baca doa!” Faiz Hamzah melaung. Yang membaca Al-Quran sepanjang penungguan tadi menutup Al-Quran, yang bersembang mesra menghentikan bicara, yang sedang termenung segera memberikan perhatian.
Fakrurrazi bangun dan membacakan doa. Selain doa buka puasa dan makan, dia menyelitkan juga agar Allah SWT mengurniakan kepada ahli PERMAI hati-hati yang bersedia untuk berkorban.
“Amiin…” Fakrurrazi meraup wajah.
“Makan!” Ridhwan bersemangat. Semua makan secara berkumpulan dengan menggunakan talam. Setiap talam mempunyai pelajar dari berlainan tahun. Selain beribadah, peluang ini digunakan juga untuk mengeratkan ukhuwwah. Agar tiada jurang antara senior di dalam PERMAI dan juga junior.
“Setiap tahun ke buat macam ini?” Syafiq Arman memandang Asid yang setalam dengannya.
Asid menggeleng. “Mula masa Irfan jadi Presiden PERMAI.”
“Oh,” Syafiq menjamah makanan.
“Itu untuk majlis berbuka puasa 9 Zulhijjah ini la. Kalau program penghayatan 10 hari awal Zulhijjah, itu sudah ada semenjak zaman Abang Nahar” Sharafie yang juga setalam, mencelah.
“Tapi, yang buat program penghayatan 10 awal Zulhijjah itu dengan tersusun, kemas dan lebih efektif, adalah Irfan juga. Dia bersama kepimpinan zamannya, dengan bantuan senior-senior ketika itu telah mewujudkan modul yang bernas dan berkesan untuk PERMAI mengadakan kempen pengisian 10 awal Zulhijjah” Wan Ahmad Izham, atau terkenal dengan panggilan Awe, memberitahu. Dia senior tahun lima dalam bidang perubatan.
Syafiq terangguk-angguk. Mengunyah makanan di dalam mulut sambil telinga mendengar segala maklumat.
“Kenapa bersungguh-sungguh sangat buat program macam kempen 10 hari awal Zulhijjah ni? Orang selalu sibuk raya aja” Syafiq bertanya selepas menelan makanan. Tangannya mengumpul nasi.
“Kerana, Islam adalah agama yang menuntut pengorbanan sepanjang kehidupan. Nak amalkan Islam, nak jalankan perintah Allah, perlukan pengorbanan. Kita kena korban masa, korban harta, dan sampai satu tahap, kita kena korbankan nyawa kita. Sebab itu, program-program macam kempen 10 hari awal Zulhijjah ni, adalah untuk menanam rasa ingin berkorban tersebut dalam jiwa kita” Asid menjelaskan.
Syafiq menjamah makanan. Otaknya berputar. Ya, kata-kata Asid benar. Islam adalah agama yang menuntut pengorbanan. Yang betul adalah apa yang Allah kata betul. Di situ sahaja manusia perlu mengorbankan kepentingan dirinya, apa yang dia rasa betul, jika itu semua berlainan dengan apa yang Allah SWT kata betul.
“Dengan memersiapkan jiwa kita untuk bersedia berkorban, barulah kita mampu meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Kita korban hiburan yang melampau, kita dapat kualiti ilmu. Kita korban kepentingan diri, kita dapat masyarakat yang punya kebersamaan. Kita korbankan main-main kita, kita dapat keseriusan. Kita korbankan dunia, kita dapat akhirat.” Wan Ahmad Izham bersuara lagi selepas menelan nasi.
“Irfan nampak benda ni. Sebab itu dia tidak biarkan 10 hari awal Zulhijjah berlalu dengan sia-sia sahaja. Sekarang, Baha pula yang teruskan. InsyaAllah, kami ahli PERMAI yang rasa terkesan dengan program ni dan dapat kesedaran daripadanya, juga akan teruskan di masa hadapan” Sharafie berbicara.
Syafiq kagum dalam diam. Semua ahli PERMAI macam satu jasad. Bila marah, kebanyakannya marah bersama. Bila bersabar, semuanya bersabar bersama. Dia dapat melihat perubahan layanan ahli PERMAI terhadap Disaster Five merupakan satu bukti kepada hal itu. Sekarang, tiada siapa pun mengutuk atau mengeji Disaster Five.
Malah, Disaster Five berusaha didekati dan dilayan dengan sangat baik. Dari satu sisi, itu juga adalah pengorbanan. Sanggup mengetepikan kemarahan nafsu diri, untuk mengejar yang lebih baik di sisi Allah SWT – menanam hidayah Allah kepada manusia yang tidak memahami. Dengan konsep pengorbanan ini jugalah ahli PERMAI mampu komited dengan Islam, dengan program-program PERMAI jalankan, dengan pelajaran dan dengan ilmu agama Allah SWT.
Irfan nampak semua itu…
Syafiq tersenyum. Irfan memang hebat. Telus pandangannya.
“Makan, makan Syafiq. Esok nak guna banyak tenaga” Asid yang melihat Syafiq berhenti menjamah makanan, menyiku lembut Syafiq.
“Ah, ya ya. Esok nak melapah kan?” Syafiq teringat. Esok hari raya korban, akan ada program melapah sembelihan. Tahun ini, bilangan haiwan korban amat banyak. Satu ekor unta, 12 ekor kambing, enam ekor lembu. Semuanya dibeli oleh ahli PERMAI, terutama pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa.
“Lepas ni, puasa ayam sekejap lah kita” Sharafie beriak seronok.
“Peti air penuh dengan daging korban aja” Wan Ahmad Izham menggeleng.
Syafiq mengukir garis manis di bibir.
Ahli PERMAI memang menarik.
*******
Hari raya kali ini, Disaster Five hadir ke masjid. Dan mereka hampir sahaja tidak percaya dengan apa yang mereka lalui. Layanan mesra oleh seluruh ahli PERMAI yang berselisih dan melihat mereka. Semua bersalaman dengan mereka seakan-akan mereka tidak pernah melakukan perkara buruk kepada ahli PERMAI.
“Dah sewel ke semua ni?” Muiez tidak faham.
Yusuf diam. Bukan sewel. Tetapi inilah ahli PERMAI. Dia yang mengikuti Intropeksi Iman pada malam Irfan memberikan penyampaian, hari ini sedar bahawa penyampaian Irfan itu telah disahut dengan sempurna oleh seluruh ahli PERMAI. Tiada yang berwajah pelik apabila melihat mereka. Bahkan, semua melayan mereka seperti rakan karib yang telah lama tidak berjumpa.
Sebelum ini pun, mereka sudah dilayan dengan baik. Tetapi Aidil Adha kali ini, terasa lebih mesra.
Tradisi pelajar melayu semasa Aidilfitri tetap dijalankan pada Aidil Adha. Mereka akan bersalaman dengan pensyarah-pensyarah yang hadir di Masjid Universiti Yarmouk, bersalaman dengan ulama’-ulama’ yang hadir, kemudian bergambar beramai-ramai.
“Mana budak berlima tadi?” Faiz Hamzah memandang sekeliling masjid. Tidak bertemu dengan Disaster Five yang tadi baru bersalaman dengannya.
“Dah keluar Baha” Firdaus menunjuk ke luar masjid. Kelihatan kecil tubuh lima orang itu.
Faiz menghela nafas. Kenapa la dengan budak berlima ni? Dah layan baik pun masih macam tak rasa apa-apa.
“Kena usaha lebih lagi kut” Irfan menepuk bahu Faiz Hamzah. Dia seakan memahami.
Faiz Hamzah mengoyak senyum. Betul. Kena usaha lagi.
“Jom tangkap gambar. Lepas ni nak melapah pula!” Faiz Hamzah mengangkat tangan.
Semua ahli PERMAI sudah bersedia. Semua segak dengan baju raya masing-masing. Mereka tetap tidak kalah, walaupun orang arab menyambut Aidil Adha melebihi sambutan mereka kepada Aidilfitri, tetapi tiada yang mampu menandingi orang melayu dalam beragam.
Selepas ini, mereka akan bergerak ke kawasan lapang berdekatan dengan Bangunan Abu Muhammad. Banyak haiwan hendak disembelih dan dilapah.
******
“Jangan terpedaya” Badruddin mengingatkan.
Harith mengangguk. Wafiq dan Muiez diam sahaja. Yusuf berfikir panjang. Semua faham apa yang Badruddin maksudkan. Semuanya pasti berkenaan layanan mesra ahli PERMAI kepada mereka.
“Kita akan tetap gegarkan Irbid ini. Kita sudah bosan dengan orang-orang macam Ustaz Khairuddin. Kita tidak akan terpedaya sekali lagi” Badruddin mengungkit nama Ustaz Khairuddin. Nama itu nama hitam bagi mereka.
“Kita akan lihat sejauh mana mereka hendak berlakon baik untuk mempengaruhi kita Bad” Muiez tersengih.
“Sekarang ini, kita balik, makan, tidur. Cuti beb” Wafiq bersemangat.
Mereka ada masak sedikit lauk raya. Kasihankan dengan Yusuf yang sudah mengingatkan mereka beberapa hari sebelum. Mereka akhirnya layankan juga permintaan Yusuf dengan bersama memasak lauk pauk raya.
Cuti mereka lama jika berkaitan dengan Aidilfitri atau Aidil Adha. Jordan memang begitu. Tetapi cuti yang lain amat sedikit. Maka sekaranglah masanya untuk berehat.
Mereka berlima bergerak menaiki Bangunan Umar Mukhtar.
“Kita tak sertai mereka semua melapah ke?”
Semua spontan menoleh Yusuf yang berada di belakang semua.
“Kau gila?” Harith mengangkat kening.
Yusuf menggeleng. “Aku tanya aja”
“Tak payah. Buat apa nak sertai orang-orang macam itu?” Badruddin tidak senang.
“Baik” Yusuf mengangkat tangan.
Tetapi jiwanya berkocak.





Salam.. hari sabtu, hari yg sgt2 dinanti, nak baca sinergi..
[Reply]
Salam..
Terima kasih atas prkongsian tentang 10 hari awal Zulhijjah..
Sgt bemanfaat..
[Reply]
huhu, surat tu masih rahsia..
erman masih lelaki yg ganjil..
[Reply]
Assalamu’alaikum,,,
Indahnya ukhuwwah andai ada insan seperti Irfan…
Semakin lengkap andai ukhuwwah diisi dengan inti yang berpaksi pada keimanan yang teguh kepada Allah…
Ya. Semuanya iman…
Seronok menghayati Sinergi ini,,,
Teruskan perjuangan,,,
Salam ukhuwwah mahabbah fillah,,,
[Reply]
informasi mengenai 10 zulhijjah amat bermakna..terima kaseh
[Reply]
Di situ sahaja manusia perlu mengorbankan kepentingan dirinya, apa yang dia rasa betul, jika itu semua berlainan dengan apa yang Allah SWT kata betul.
mohon abang hilal tolung terang part ini.
saya inginkan kefahaman yang mendalam.
[Reply]