Assalamu’aalaikum,
Sabtu datang lagi. Kalau Sabtu aja, Langit Ilahi mestilah akan menyajikan karya hasil tangan saya untuk anda. Oleh kerana Sinergi baru telah siap, maka saya berhajat untuk menyiarkannya pada setiap hujung minggu mulai minggu ini. Untuk penyiaran Sinergi Online kali ini, saya akan siarkan banyak sedikit. Mungkin 15-17 episod.
So, kita ada 15-17 kali hari Sabtu yang bersama Sinergi.
Untuk makluman semua, Sinergi akan diterbitkan pada Bulan Mac 2010 di Kuala Lumpur International Books Fair 2010(KLIBF10). Jadi, boleh la anggap penyiaran Sinergi online ini sebagai promo untuk Novel Sinergi.
Enjoy it!
ps: Remaja Mulia sudah dipasarkan. Promosi akan dijalankan apabila saya mendapat covernya yang baru nanti(Cover Remaja Mulia mengalami perubahan kerana kesilapan pihak percetakan.)
Prolog
Terbinanya Atas Keimanan
Insan itu perlu neraca
Dia perlu kepada hukum
Agar hidupnya terbina
Mencapai tahap yang terulung
“Assalamu’alaikum!” Syafiq Arman, pelajar baru tahun satu pergigian melangkah masuk ke dalam rumah PERMAI.
Semua yang ada di dalam rumah itu menjawab salam.
“Masuklah Erman” Syafiq menoleh ke belakang sebentar.
“Tak apa ke?” Erman memandang ke dalam terlebih dahulu. Rumah itu dipenuhi senior-senior. Semuanya kelihatan sedang sibuk melakukan kerja. Ada yang mengangkat fail-fail, ada yang sibuk dengan komputer, ada yang sibuk menulis, ada yang sedang berbincang. Pelbagai ragam.
“Tak apa la. Mereka semua ni baik” Syafiq menarik tangan Erman. Kedua-dua mereka masuk ke dalam rumah.
“Haaa… datang pun adik-adik aku ni” Satu suara ceria menerpa.
“Abang Baha!” Syafiq bersalaman dengan lelaki yang menghampiri mereka. Berjambang, sederhana tinggi, berjubah hitam.
“Ni ke kawan yang kau cerita tu?” Abang Baha menghulurkan tangan kepada Erman. Lambat-lambat Erman menyambut.
“Ya, ini la Erman. Teman serumah saya yang baru sampai tu” Erman baru sampai semalam.
“Aku Faiz Hamzah. Orang sini panggil aku Baha” Faiz memperkenalkan nama sebenarnya.
“Oh, ini…” Erman kenal akan nama itu.
“Presiden PERMAI kita” Syafiq ceria memotong. Faiz Hamzah tersenyum sahaja. Dia memang terkenal ceria dan ramah dengan semua orang. Gayanya menyebabkan tiada siapa menjangka bahawa dia adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid, Jordan. Tambahan, dia dikenali dengan Baha di sini, bukan Faiz Hamzah.
“Kami datang nak tolong apa-apa yang patut Abang Baha” Syafiq menjelaskan tujuan kedatangannya.
“Baiknya adik aku ni” Faiz senang hati. “Baru datang dah rajin. Tolong masa bulan puasa pula tu”
“Kita kena la tolong menolong kan? Lagipun, bulan puasa ni berganda-ganda la pahala”
Sekarang sedang bulan Ramadhan. Ramadhan baru sahaja bermula tiga hari lepas. Kebetulan, kedatangan Ramadhan tahun ini bersamaan dengan bulan September, yakni masa permulaan sesi baru bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Jordan.
Ketika ini, mata Erman perasan sesuatu yang tidak kena dengan suasana di dalam bilik itu. Bahu Faiz Hamzah ditariknya perlahan.
“Abang Baha, siapa tu?”
Faiz Hamzah menoleh ke arah yang ditunjuk Erman. Syafiq juga menujukan pandangan ke arah yang sama. Mata Syafiq membesar, senyum Faiz meleret.
Dua lelaki sedang bersandar di dinding, dengan kaki melunjur ke hadapan di satu sudut rumah. Seorang menjadikan bahu sahabatnya sebagai bantal, manakala seorang lagi meletakkan kepalanya atas kepala sahabatnya tadi. Mereka tidur dengan nyenyak sekali, teramat kontra dengan suasana di sekeliling mereka yang teramat sibuk.
Daripada mereka, seakan-akan ada aura yang amat harmonis bersemburan.
“Ada patut tidur tengah orang lain buat kerja” Erman berwajah tidak puas hati, walaupun sebenarnya dia agak terkesan dengan kerapatan kedua orang itu.
Faiz Hamzah menggeleng.
“Itulah dia kembar Irbid.”
“Kembar? Tak sama pun muka. Kembar tak seiras ke?” Syafiq bertanya hairan. Tapi dia macam pernah mendengar perkataan kembar Irbid sebelum ini. Cuma dia tidak dapat mengingatinya sekarang.
“Bukan. Mereka bukan kembar kandung. Digelar kembar kerana teramat rapat, saling memahami, dan sering bersama” Faiz menyandarkan pandangannya kepada dua orang tadi.
“Yang bahu menjadi bantal, namanya Irfan Hakimi, mantan Presiden PERMAI tahun lepas”
“Ah, yang seorang lagi itu mesti la…” Syafiq teringat sesuatu.
“Rasyid Zakwan, atau kami di sini panggil dia Asid. Mantan Presiden Majlis Persatuan Pelajar Malaysia Jordan MPPMJ tahun lepas”
Erman hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Mantan Presiden PERMAI dan MPPMJ tahun lepas?
“Dua orang ni berjasa besar tahu” Faiz Hamzah menepuk-nepuk bahu Erman.
“Berjasa besar?” Erman berminat. Namun kerut wajahnya belum hilang. Ekspresi tidak puas hati. Hati kecilnya sukar menerima dua orang itu tidur di tengah kesibukan orang lain.
“Hei hei, ni kalau cerita, tak habis dua tiga hari. Kata datang nak tolong?” Faiz Hamzah mengingatkan.
“Aiseh, lupa la” Syafiq menepuk dahi. Teringat akan tujuan utamanya ke mari, “Apa boleh kami tolong?”
“Kamu berdua pergi pada Hazim tu…” Faiz menunjuk seorang pelajar tinggi lampai yang sedang tekun menghadap komputer, “Tolong dia sampulkan CD yang dia tengah burn, dan masukkan kertas-kertas yang dia dah siap fotostat tu dalam fail yang bertimbun di sebelah meja komputer tu”
“Ni semua untuk Minggu Haluan Siswa ke?” Syafiq menunjuk ke arah fail dan CD yang banyak itu.
“Ya, MHS”
“Jom Erman” Syafiq tanpa banyak cakap menarik tangan Erman.
Erman lambat-lambat mengikut. Matanya masih lekat pada Irfan dan Asid yang sedang nyenyak tidur.
Seakan-akan dia punya sesuatu yang tidak langsai dengan kedua orang manusia itu.
****
Cuaca sederhana. Tidak terik. Kumpulan awan mula kelihatan berarak di langit Jordan. Tanda musim sejuk sudah menghampiri. Angin yang bertiup juga sudah mula hilang kehangatannya. Dingin.
Asid menggosok kedua telapak tangan.
“Sejuk?” Tangannya itu ditarik perlahan oleh sahabatnya, Irfan Hakimi. Irfan mendekatkan tangan itu ke mulut.
“Hah…” Irfan melepaskan udara hangat dari mulut.
Asid ketawa. “Cet, panas la sangat”
Irfan ketawa kecil. Mereka kelihatan amat mesra. Seperti adik beradik. Sahabat yang setia. Berjalan beriringan melepasi bulatan bernama Maidan As-Syahid Wasfit Talal di tengah Balad Irbid. Mereka menuju ke kawasan pasar utama di sini. Balad ini tetap sesak seperti biasa.
“Apa pandangan kau pada budak-budak baru tahun ni?” Asid bertanya.
“Mereka ibarat permata yang diselaputi lumpur, yang perlu kita gilap dengan kesungguhan.” Irfan menyeluk kedua tangan ke dalam saku.
Asid mencebik. “Setiap tahun cakap benda yang sama”
“Dah memang itu kebenarannya. Kita kena nampak semua orang itu sebagai potensi. Tidak boleh prejudis dengan pandangan pertama sahaja”
“Ya ya ya, Irfan betul” Asid memandang ke atas, bercakap sederhana kuat.
“Apa gaya tu?” Irfan menolak lembut bahu Asid. Mereka berdua ketawa bersama. Sakat menyakat antara mereka biasa. Irfan hakikatnya adalah anak angkat kepada keluarga Asid. Selepas kematian penjaganya pada umurnya 12 tahun, ayah Asid telah mengambil Irfan menjadi ahli keluarga mereka. Tambahan, Irfan memang merupakan kawan baik Asid sebelum itu.
“Aku bukan apa. Harapnya, tak ada la kes macam tahun lepas berlaku pada tahun ni” Asid bersuara perlahan.
Irfan diam. Wajahnya berubah keruh. Tidak berkata apa-apa. Asid kemudiannya perasan perubahan Irfan.
“Hei, maaf. Aku terlebih cakap” Tubuh sahabatnya disentuh lembut.
Irfan tersengih. “Tak mengapa, tak mengapa”
Asid tidak lagi berjenaka. Dia nampaknya telah mengungkit kisah paling pahit dalam kehidupan mereka berdua. Peristiwa tahun lepas yang amat hitam bagi mereka, juga bagi pelajar di Irbid seluruhnya. Dia tidak mahu melukakan hati sahabatnya. Pada Asid, Irfan ibarat dirinya juga. Andai Irfan terganggu, dirinya juga rasa tidak senang.
Mereka terus berjalan, hingga tiba ke kawasan pasar. Kedai pertama yang mereka tuju adalah kedai ayam segar.
“’ammu, addaish hai?” Irfan mengangkat ayam segar di hadapannya.
“lira wan nus bil kilo” Pekedai itu menjawab pantas. Dia kemudiannya menumpukan perhatian kepada pelanggan-pelanggan lain.
“Harga ayam tak turun lagi la” Asid menghela nafas mendengar jawapan pekedai.
“Belum musim dia lagi. Mati la hari-hari turun harga” Irfan memandang Asid.
“Kalau turun boleh beli banyak”
“Glutton” Irfan mula ceria semula.
“Jimat cermat. Appa da” Belakang tubuh Irfan ditampar lembut. Asid senang melihat Irfan kembali seperti biasa.
Mereka bergerak merentasi lautan manusia di tengah pasar. Keadaan di sini ibarat pasar malam di Malaysia. Ada banyak kedai yang kebanyakannya menjual benda yang sama – Sayur-sayuran dan buah-buahan –
“Ah…” Tiba-tiba Asid bersuara seperti terkejut.
Irfan memandang sekeliling, mencari sebab Asid sedemikian. Kemudian dia perasan di tengah keramaian manusia di sekitar mereka, terdapat tiga orang berpakaian luar dari cara pemakaian orang arab di sini. Tiga orang itu adalah pelajar perempuan melayu.
Irfan dan Asid berjalan bertentangan arah dengan tiga orang pelajar perempuan itu. Asid tidak menoleh lama. Irfan langsung tidak menjeling. Mereka berjalan seperti biasa sahaja.
“Kenal?” Irfan bertanya selepas jarak antara mereka dengan pelajar-pelajar perempuan tadi sudah berjauhan.
Asid mengangguk. “Sorang. Lagi dua orang tak kenal” Dari pandangan pertama, dia sudah dapat mengenali.
“Siapa sorang yang kau kenal tu?” Irfan bertanya.
“Rahsia”
“Buah hati ya?”
Asid diam. Senyuman di bibir terukir.
“Bidadari langit yang entah tahu atau tidak bahawa ada manusia atas rumput mencintainya”
“Pergi la bagitahu” Irfan menyiku.
Asid menggeleng. “Belum masanya lagi”
“Nanti orang lain rampas baru menyesal” Irfan keningnya dua kali.
“Jahat la kau ni Irfan!” Tubuh Irfan ditolak lembut.
Mereka terus berjalan mencari bahan masakan. Dia dan Irfan dengan suka rela menawarkan diri untuk membantu kepimpinan PERMAI sesi baru ini dalam pengurusan menyambut dan menyediakan program untuk pelajar baru. Jadi mereka memasak untuk para kepimpinan yang menjadi fasilitator program.
Asid terfikirkan pelajar perempuan yang dilihatnya sepintas lalu tadi. Walaupun sepintas lalu, dia terasa seakan selama-lamanya. Sesungguhnya dia sudah jatuh cinta dengan pelajar perempuan itu. Sudah lama memendam rasa.
Sara Nasuha, itulah namanya.
****
“Sedap la Asid masak” Ikhwan Subberi, Ketua Biro Pembangunan Minda Dan Kendiri mengusap perut. Kenyang.
“Mana, Irfan yang masa semua ni” Asid memberitahu, sambil memandang Irfan.
“Sejak bila Asid pandai rendah diri?” Irfan bersuara.
“Sejak lalui tarbiyah?” Asid buat muka penuh persoalan.
Yang berada di dalam rumah PERMAI ketawa senang. Asid memang jenis happy go lucky orangnya. Walaupun begitu, Asid terkenal dengan keseriusan dan displin yang tinggi apabila bekerja. Prinsipnya, lawak-lawak juga, tapi kerja kena berjalan.
“Macam mana persediaan kamu semua untuk MHS lusa?” Irfan bertanya.
“InsyaAllah boleh” Faiz Hamzah.
“Kami dah rancang baik punya” Syafiq Ali, timbalan Presiden PERMAI mengangkat ibu jari.
“Jangan risau la Irfan,” Syihabudin, Presiden Majlis Mahasiswa Yarmouk bersuara.
“Bagus la macam tu. Kita ni kena berstrategi. Kita bukan nak bawa benda kecil” Irfan melimpahkan nasihat. Antara yang menyenangkan berkenaan Irfan, dia tidak pernah membiarkan masa berlalu tanpa perkara bermakna. Hatta gurauannya pun punya tujuan yang signifikan.
Semua yang berada di dalam rumah PERMAI itu mengangguk. Kebenaran kata-kata Irfan sukar disangkal. Mereka memang hendak membawa perkara besar dalam pentadbiran mereka. Bukanlah PERMAI itu pada mereka sebagai persatuan teknikal semata-mata, hanya menguruskan pendaftaran, rumah, universiti pelajar. Tetapi….
“Kita nak tanamkan keimanan dalam jiwa-jiwa manusia” Naqeb Sulaiman, setiusaha PERMAI menyambung.
Asid mengangguk. Itulah yang besarnya. Iman sebagai asas pergerakan, iman sebagai titik tolak amalan, iman sebagai penggerak kesatuan dan iman sebagai penjaga kehidupan. Semestinya ini bukan hal yang enteng.
“Jadi harapnya, kepimpinan kamu semua tahun ini boleh meneruskan apa yang kami telah bina pada tahun lepas” Asid berbicara.
“Dan menjadi lebih baik dari apa yang kami pernah lakukan” Irfan menambah.
“InsyaAllah. Kita akan sama-sama usaha” Ariff Nordin, Presiden Majlis Mahasiswa JUST menyambut seruan Asid dan Irfan.
Yang lain mengangguk. Biro Penempatan dan Perhubungan, Zhafirull, Biro Keselamatan dan Kebajikan, Ridhwan, Biro Pembangunan Rohani, Fakrurrazi serta biro Multimedia, Hazim Hazami, walaupun senyap tetapi turut menyahut perjuangan.
“Kami ucap terima kasih la sebab kau dengan Asid sudah susah-susah bantu kami seminggu ni” Faiz meluahkan rasa hatinya.
“Mana, kita bukan orang lain. Semuanya satu. Satu akidah, satu matlamat, satu perjuangan” Asid menjawab.
“Keimanan itulah yang menyatukan hati-hati kita.” Irfan melebarkan senyuman.
“Kemudian dengan kesatuan ini, kita hasilkan sesuatu yang luar biasa.” Syafiq Ali mencelah.
“Inilah dia Sinergi” Irfan melengkapkan bicara.
Semua yang ada faham. Kesatuan berdasarkan keimanan, akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Contoh paling mudah, dalam masa 23 tahun, Islam telah menguasai seluruh jazirah arab. Mulanya dengan pentarbiyahan Iman, seterusnya keimanan yang berjaya diwujudkan itu menjadi pengait hubungan golongan awal, sekaligu memunculkan kekuatan yang luar biasa sehingga akhirnya, dalam masa yang sebentar sahaja, Islam tersebar dengan gemilangnya.
Bukan setakat itu, rekasi berantai telah berlaku dengan selepas pemergian golongan awal ini, perjuangan mereka disambung dan disambung sehinggalah Islam menguasai 2/3 dunia.
“Kami rasa setakat ini sahajalah kut kami menganggu.” Asid menyentuh peha Irfan, memberi isyarat agar mereka beredar. Irfan mengangguk.
Selepas ini, kepimpinan PERMAI ada sesi taaruf dengan pelajar yang telah sampai. Irfan dan Asid tidak mahu menganggu. Mereka bukan lagi pemegang pentadbiran, jadi tidak manis jika mereka kelihatan seperti berkuasa lagi.
Faiz Hamzah mengangguk. “Terima kasih Irfan, Asid. Semua tunjuk ajar, tarbiyah yang kamu berdua usahakan ke atas kami selama ini, akan kami usahakan dengan bersungguh-sungguh”
“Weh,jangan la cakap macam kami nak balik Malaysia” Asid memecahkan suasana.
Semua ketawa. Asid memang begitu. Gayanya bersahaja, dan kadangkala kelihatan tidak serius langsung. Namun semua orang tahu siapa Asid yang sebenar. Rasyid Zakwan yang penuh kaliber.
“Kalau ada apa-apa hal, kongsi lah. Kita tetap satu. Semua kita pemimpin” Irfan berpesan.
“InsyaAllah” Faiz Hamzah tersenyum senang.
Irfan dan Asid beredar. Kepimpinan PERMAI berehat sebentar sementara menanti kedatangan pelajar-pelajar baru. Kerana kesibukan, mereka bertarawih bersama-sama di rumah PERMAI sahaja. Tarawih di Masjid Universiti Yarmouk amat panjang. Selepas bertarawih, mereka makan. Dan selepas makan itulah baru mereka bersembang-sembang.
“Syafiq, aku dengar ada pelajar yang tak datang lagi?” Faiz Hamzah bertanya.
“Ha’ah, ada. Berapa orang ha Zhafirull?” Syafiq Ali memandang Zhafirull.
“Ada lima orang. Mereka ni, sampai esok pagi”
“Oh”
“Semua pelajar persendirian. Dua perubatan, satu pergigian, satu usul fiqh dan satu lagi bahasa arab””
Faiz Hamzah mengangguk faham.
“Mereka ni yang MSD lambat bagitahu kita fasal keberadaan mereka di sini kan?”
Zhafirull mengangguk. Dia sebagai Biro Penempatan dan Perhubungan memang kerjanya menyediakan data untuk semua pelajar yang datang ke Jordan, dan menyediakan tempat tinggal bagi pelajar baru.
“Aku ada rasa tak sedap hati dengan lima orang ni” Zhafirull menyuarakan sesuatu yang dipendam selama ini.
“Kenapa?”
“Mereka ni pernah masuk Henry Gurney”
Semua yang berada di dalam rumah PERMAI diam.
****
“Wuuu…” Suara ceria mengiringi langkahan keluar dari Lapangan Kapal Terbang Queen Alia Jordan. “Apa la tempat ni…” Dia mengangkat kepala memandang mentari. Tangannya meneduh pandangan.
“Betul la apa yang aku baca, udara sini kering” Satu lagi suara lain kedengaran. Kedua tangannya memeluk bahu.
“Ceh, baru sejuk sikit dah bising” Seorang lagi keluar dengan menarik bagasinya. Dia memandang sekeliling. Suasana yang agak berlainan dengan Malaysia.
Kawasan ini kelihatan agak mundur. Lapangan Kapal Terbang ini pun tidak sehebat KLIA.
“Bad, kita ni betul serius nak duduk sini?” Salah seorang dari mereka, bertubuh sederhana, bersuara seperti tidak yakin.
“Yusuf, kau ikut sudah la. Ayah kau kata ok je nak sara kita semua” Seorang lagi bertubuh sasa, tinggi, menyekeh kepala yang dipanggil Yusuf itu.
Yusuf memegang kepala. Sedikit sakit.
“Dengar sini…” yang dipanggil Bad bersuara. Empat lagi temannya memandang.
“Ini tempat baru kita, kita akan gegarkan tempat ni sehabis-habisnya!” Dia meninggikan suara.
“Yeah. Gegar!” Mereka mengangkat tangan. Gembira.
“Bagi orang di sini tahu siapa Disaster Five!” Bad, atau nama sebenarnya Badruddin bersemangat.
Masalah sudah sampai ke bumi Jordan.






Menarik.
Kelakar.
Bermesej.
Keep Up The Good Work
[Reply]
i like dis story..prolog dh bgus. tak sbr nk tgu smbungan dan bukunya nnt
sy pernah bc buku terasing. sgt bez, jln cerita lain dr yg lain. tahniah.semangat penulis muda macam ni kalau lebih rmai lebih bagus.
[Reply]
prolog je da best..tak sabar tggu episod strusnye..=)..tpkan, nape mcm prnah terbace je cter mcm ni,ea?? klu prnah bace, terbace kat mane ,ea???hmmm
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada Yuana
Alhamdulillah. Moga ramai yang suka…
- kepada ain
Alhamdulillah. moga lebih ramai yang lebih baik dari saya…
- kepada wani
Sebab saya dulu dah pernah tulis Sinergi di blog ini. Sekarang saya tulis lain. Jadi nampak lebih kurang sama…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
salam…
best la citer vt 2…first time jumpa sal citer b.tampar…x pernah jumpa pun sebelum ni,
kawan2 pun kata best…
lps baca novel 2,rasanya mcm nak pegang n main b.tampar je…
mula2..niat x nak men b.tampar dah lps baca citer nih
tp…berkobar kobar je rasa,x sabar nk tggu tahun dpn,tp..mak x bg men dah lps nih..2 y sedih 2…bkn setakat 2 je,ukhwah y dtunjukkan dlm novel ni pun kuat gak.ape2 pun.setakat ni…novel vt y plg sy suka sekali…sy rasa xdek buku lain dah rasanya y plg sy minat….hehe..
sekian wassalam…
[Reply]