Langit Ilahi Rotating Header Image

Palestin, Satu Teguran Daripada Allah

tiada Salahuddin Kedua.. yang ada hanya kita...

tiada Salahuddin Kedua.. yang ada hanya kita...

Baru-baru ini, ada satu e-mail datang ke inbox yahoomail saya.

Ada permintaan artikel daripada sebuah Persatuan NGO. Mereka hendak mengadakan program berkenaan Palestin di Jordan dan mereka meminta daripada saya artikel dan karya untuk disumbangkan.

Jadi, saya kembali melihat artikel-artikel dalam hard disk simpanan saya.

Saya terjumpa satu artikel. - Palestin, Satu Teguran Daripada Allah-

Saya telah hantarkan artikel itu kepada Persatuan NGO tersebut. Tetapi saya rasa, alangkah baiknya kalau saya kongsikan juga artikel itu dengan pelawat Langit Ilahi ini. Mungkin, ada manfaatnya yang boleh kita reguk dann hayati.

Mari, kita sama-sama muhasabah diri, perbaiki kondisi hati, dalam usaha kita menjadi Hamba Ilahi!

____________________________________________________________________________________________

Palestin, satu teguran daripada ALLAH.

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada ALLAH kerana diberikan masa dan peluang untuk terus hidup. Sesungguhnya peluang kehidupan ini perlulah kita isi dengan sebaiknya, diisi dengan amal-amal yang berguna kerana sesungguhnya manusia yang rugi itu adalah manusia yang kehidupannya tidak dikira oleh ALLAH SWT.

Penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009, menyaksikan bahawa kita Sekali lagi dicalarkan dengan sikap durjana Yahudi dan kuncu-kuncunya yang dengan terang-terangan, dengan tanpa segan silu hendak memusnahkan Gaza, satu-satunya tanah yang masih bebas dari cengkaman mereka dan hendak melepaskan Masjidil Aqsa dari pegangan tangan Muslim seluruhnya.

Hati siapa yang tidak pilu apabila melihat perkara tragis yang berlaku ini. Hakikatnya Gaza itu tidak seluas mana, tetapi diserang oleh 200 buah jet pejuang yang melepaskan bom secara membuta tuli pula. Angka kematian meningkat mendadak mencecah ribuan. Saya yakin, angka sebenar adalah lebih tinggi dari apa yang terpampang di dalam akhbar mahupun sumber internet. Dan angka kematian dalam tragedi itu akan terus meningkat, meningkat dan meningkat sehinggalah seluruh Gaza itu hangus seperti padang jarak padang terkukur, sehingga orang ISLAM tunduk menyerahkan Masjidil Aqsa kepada Yahudi.

ALLAH SWT berfirman: “Dan tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu yahudi dan nasara, sehinggalah kamu mengikuti ajaran mereka” Al-Baqarah ayat 120.

Tidakkah askar Israel mempunyai belas ihsan?

Tidak. Ketika serangan hari pertama yang mengorbankan manusia sebanyak 120 orang, mereka menyatakan bahawa,

“ Ini baru permulaan”

Ini menunjukkan mereka memang bernafsu besar untuk menghapuskan segala tentangan mereka pada masa ini. Masjidil Aqsa pula sedang berada di hujung tanduk sahaja. Yang membelanya akan pergi tidak lama lagi. Sebahagian orang berharap akan munculnya rasa belas ihsan daripada Israel, maka sukalah saya memberitahu di sini, mereka tidak akan mempunya belas.

Peristiwa ini hakikatnya adalah satu teguran ALLAH kepada kita. Pada saya, kita tidak sepatutnya memandang remeh akan hal ini. Cuba kita ingati kembali peristiwa tsunami yang berlaku pada 26hb Disember 2004. Malaysia juga terasa akan gegarannya, sehingga menganggu Pulau Pinang dan sebahagian negeri Kedah.

Kita fikir semula pada saat itu, ramai yang menyatakan bahawa itu adalah teguran ALLAH SWT. Ada orang kata, manusia telah lalai dari mengingati ALLAH menyebabkan ALLAH menghantar amaran. Saat itu, kerana dasyatnya tsunami yang berlaku, maka manusia menggelar peristiwa itu sebagai kiamat kecil.

4 tahun selepas itu, pada tarikh yang lebih kurang sama 27 Disember 2008, Israel telah memulakan serangannya yang terdasyat ke atas tanah kecil bernama Gaza. Kalau kita perhatikan persamaan antara dua-dua tempat, Aceh dan Gaza, kita akan nampak bahawa kedua-dua tempat itu adalah tempat orang ISLAM, bumi orang ISLAM.

Kalau kita boleh namakan Tsunami Disember 2004 sebagai teguran ALLAH, kenapa serangan Israel ke atas Gaza Disember 2008 bukan merupakan teguran ALLAH?

Ketahuilah saudara-saudari yang saya hormati, Masjidil Aqsa, tanah Palestin itu adalah salah satu dari tiga tanah suci kita. ALLAH SWT berfirman,

“ Maha Suci ALLAH yang telah mengisra’kan hambaNya(Muhammad) pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya untuk diterangkan kepadanya dari ayat-ayat KAMI” Surah Al-Isra’ ayat 1.

ALLAH menurunkan bala dan kesusahan atas tanah suci yang diberkati olehNya sendiri. Apakah maksud ini?

Inilah namanya teguran. Teguran yang hendak menyatakan bahawa ummat ISLAM hari ini telah jauh dari pegangan ISLAM yang sebenar. Inilah teguran, yang menyatakan bahawa ummat ISLAM hari ini telah berpecah belah. Inilah teguran, yang menyatakan bahawa ummat ISLAM hari ini semakin melemah.

Apakah perbezaan antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa?Apakah perbezaan Masjid Nabawi dengan Masjidil Aqsa? Bukankah ketiga-ketiga tempat itu adalah tanah suci kita? Tetapi kenapa kita masih berdiam diri? Kenapa kita menganggap itu adalah satu lagi pembunuhan biasa?

Inilah hakikatnya, bukti yang menunjukkan betapa lemahnya kita.

Hati kita sudah tidak sensitif. Sehinggakan teguran ALLAH pun tidak kita rasakan. Kalau Tanah Suci pun kita boleh biarkan, tidak berani untuk mempertahankan, apa lagi dengan tanah-tanah yang lain?

Menjeritlah,meraunglah, memanggil-manggil nama Salahuddin ke-2. Saya sebenarnya naik muak dengan sikap beberapa orang yang asyik menyebut,

“ Bilakah Salahuddin ke dua hendak sampai”

“ Nanti bila muncul Salahuddin ke dua, dia akan menewaskan yahudi”

“ Salahuddin ke dua”

Ketahuilah bahawa, tidak akan ada Salahuddin ke dua selepas Salahuddin Al-Ayubi. Yang ada hanyalah kita. Kita. Salahuddin ke dua tidak akan datang. Tetapi yang perlu datang itu kita.

ALLAH SWT berfirman,

“ Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian(ketika mereka diserang) kerana ISLAM, kalian mestilah sudi menolong mereka”

Kenapa kita serahkan tanggungjawab ini pada Salahuddin ke dua itu? Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama sebenarnya. Kita lah sebenarnya, yang perlu menjadikan diri kita Salahuddin ke-dua!

Masalah Palestin bukanlah masalah nasionalisma, bukanlah masalah negara, bukanlah masalah tanah. Masalah Palestin hakikatnya adalah masalah ummah. Masalah kita.

Rasulullah SAW bersabda,

“ Muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain, janganlah kamu menzaliminya, janganlah kamu mengkhianatinya, dan janganlah pula kamu serahkannya kepada sesiapa yang ingin menzaliminya” Al-Hadith.

ALLAH SWT juga berfirman,

“ Sesungguhnya mu’min itu bersaudara” Surah Al-Hujurat ayat 10.

Kejadian di Palestin sepatutnya kita muhasabah dan melihat kembali kepada diri kita. Telinga saya sakit sebenarnya dengan kutukan demi kutukan, belasungkawa demi belasungkawa yang hanya terawang-awang di udara. Itu semua tidak akan membawa makna sekiranya ummat ISLAM sendiri tidak berubah. Ummat ISLAM terperangkap di dalam masalah mereka sendiri. Mereka sudah terasa seperti berada di zon selesa tetapi hakikatnya keselesaan itu hanyalah rekaan musuh kita semata-mata.

Saya lihat dengan jelas betapa benarnya kata-kata Rasulullah SAW mengani wahn(cinta dunia takut mati). Itulah yang menyebabkan tangan dan kaki kita tergari. Bahkan ada antara orang ISLAM sendiri yang menyokong tindakan Israel dan menyalahkan pula Hamas yang berjuang bermati-matian mempertahankan deen dan Masjidil Aqsa kita. Deen kita, bukan deen mereka sahaja. Masjid kita, bukan masjid mereka sahaja.

Ummat ISLAM yang lain buat apa? Semuanya hanya menjaga poket dan periuk nasi masing-masing. Tidak menyumbang malah ada yang mengeji. Tidak bersatu malah ada lagi yang masih bersengketa mengenai sunnah bid’ah. Sedangkan hal wajib yang dikhianati dalam kehidupan tidak ditegur, sedangkan hal-hal haram yang berleluasa tidak diperbaiki.

Dengan keadaan kita yang jauh daripada ALLAH SWT ini. Bagaimana ALLAH hendak memakbulkan segala doa kita untuk Palestina? Adakah ALLAH hendak membantu kita dala keadaan kita sendiri lupa kepadaNya?

ALLAH SWT berfirman di dalam Surah Toha, ayat 125-126.

“ Dan KAMI bangkitkan mereka pada hari kiamat nanti sebagai orang buta, berkata mereka itu kenapa kami dibangkitkan buta sedangkan kami di dunia dulu boleh melihat, (ALLAH menjawab) beginilah dahulu kamu melupakan ayat-ayat KAMI, dan pada hari ini kamu dilupakan”

Masalah Palestin tidak pernah berubah, malah semakin teruk semenjak pertama kali dijajah pada 1948. Adakah tiada muslim yang berdoa sepanjang 60 tahun ini? Ramai… Tetapi ummat itu tidak berubah. Kita tidak berubah. Maka ALLAH pun tidak akan mengubah nasib kita.

ALLAH SWT berfirman,

“ Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah terlebih dahulu apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Nah… Sekarang, Palestin hanya tinggal Gaza. Gaza yang berdiri walaupun dihentam hancur oleh pejuang Israel awal tahun lalu. Palestin yang sudah cacat, tempang, yatim, sebatang kara, ditinggalkan saudara-saudaranya yang lain. Apakah yang dilakukan oleh Ummat ISLAM? Masih terasa seperti biasa. Masih terasa serangan ke atas Gaza itu adalah sama seperti serangan-serangan terdahulu.

Bagaimana ALLAH hendak membantu kita, mengubah nasib kita andai kita sendiri tidak berusaha untuk ubah diri kita? Kita sendiri yang tidak hendak mengubah nasib kita. Kita masih terus leka dengan dosa dan dunia. Kita masih rasa senang lenang dan tidur lena tanpa berusaha apa-apa.

Kita telah melakukan banyak kesilapan. Dan ALLAH sedang menegur kesilapan kita ini. ALLAH menegur dengan bala yang sedang diturunkan ke atas Palestin masa kini.

Ketahuilah, saya tidak pernah rasa takut jika tiada sesiapa yang hendak membantu saudara kita di sana. Kerana saya yakin ALLAH itu tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. Tetapi yang saya takut adalah, kita ini,yang tiada sensitiviti ini akan digantikan dengan satu kaum yang lebih baik dari kita, dan diri kita terlepas peluang untuk menjadi HAMBA yang baik di sisi ALLAH SWT.

Ada satu kata-kata, saya sendiri terlupa ianya hadith atau sekadar bicara hikmah, ia berbunyi,

“ Kalau kamu melepaskan tanggungjawab ini, maka ALLAH tidak akan rugi. Bahkan kamulah yang rugi. ALLAH akan menggantikan kamu dengan kaum yang lebih baik dari kamu,yang lebih beriman, yang lebih taat dalam menjalankan perintah ALLAH dan menjaga deenNya”

Kitalah yang rugi wahai saudara saudariku. Kitalah yang rugi.

Adakah kita masih tidak terasa bahawa ini merupakan satu teguran daripada ALLAH?

Adakah kita masih hendak meneruskan kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan kemaksiatan seperti yang kita sedang lalui hari ini?

Palestin, satu teguran daripada ALLAH.

Kalau masih tidak sedar juga, ketahuilah bahawa hati kita telah mati sebenarnya.

Print This Post Print This Post

8 Comments

  1. fani afnan says:

    Assalamualaikum
    a good article to make us ponder together on this kind of issue
    anyway, salam imtihan as well =D

    [Reply]

  2. perantau akhirah says:

    ” …Dan Allah Yang Maha Kaya, dan kamulah yang membutuhkan (karuniaNya). Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar) Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan durhaka seperti kamu”

    Surah Muhammad : 38

    Mukmin harus kembali berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah! Itulah peraturan Allah yg tbaik…

    [Reply]

  3. kembar says:

    AKU berlindung Dari kejahatan SYAITAN,JIN dan MANUSIA..

    SESUNGGUHNYA Allah telah membeli dari orang yang beriman jiwa raga dan harta berada mereka dengan bayaran bahawa mereka akan memperolehi syurga – mereka membunuh dan terbunuh .

    Itulah janji Allah yang benar di dalam Taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya dari Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jual beli yang telah lama kamu lakukan.

    (at-Taubah: 111)

    (terkesan dengan seorang warga kecil palestin yang memakai baju NIKE dan menunjuk Thumbs UP di tangannya selepas berbalut di kepala)

    [Reply]

  4. +fobia+ says:

    jangan putus asa.

    [Reply]

  5. mymj says:

    Apa pendapat saudara? Adakah kita sebagai saudara kpd mereka di Palestin sudah cukup dengan hanya melahirkan sensitiviti kita sahaja untuk menolong mereka?

    Selain menderma harta benda kepada mereka, apakah relevan jika kita menubuhkan sebuah badan yg mewakili seluruh umat Islam sedunia untuk memberikan tekanan kpd pihak musuh?

    Atau lebih hebat lagi, relevankah jika negara-negara Islam bersatu menubuhkan sebuah badan ketenteraan sendiri bagi menunjukkan kesatuan kita dan menyelesaikan kemelut di Palestin?

    Hanya sekadar ingin bertanyakan pendapat…

    [Reply]

  6. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada fani afnan,

    lama tidak nampak kamu menjengah ke mari. terima kasih atas sokongannya. Harapnya, artikel ini dapat disebar kongsi.

    kepada Perantau Akhirah,

    jazakumullahukhairan kathira… perkongsian yang baik, dan sememangnya sistem Allah sahajalah yang kita patut terima dan aplikasi.

    kepada kembar,

    Saya terkesan dengan semua warga palestin yang masih berusaha hidup, mempertahankan tanah suci itu, walaupun seluruh dunia meninggalkan mereka.

    kepada fobia

    la takhaf wa la tahzan, innallaha ma’ana

    kepada mymj,

    menubuhkan kesatuan tentera?
    Biar saya nyatakan di sini satu perkara.

    Selagi mana ummat Islam itu sendiri tidak kembali kepada sistem Allah, negaranya diperintah dengan sistem yang Allah turunkan, perlembagaannya adalah apa yang Rasulullah SAW pakai, maka tidak akan terjadi kesatuan-kesatuan antara negara ISlam itu sendiri.

    Semuanya bertindak menjaga diri masing-masing, hanya tahu melaknat yahudi tanpa bertindak. Semuanya sekadar melepaskan belasungkawa, tapi kehancuran ummat di negara sendiri tidak diselesaikan.

    Kenapa berani saya katakan sebegini? Sebab kesatuan tentera antara negara-negara Islam itu dahulu pernah menjadi realiti. Tetapi, kerana tentera-tenteranya adalah tentera-tentera yanng bacul, hanya tahu menjaga nyawa sendiri, tanpa memikirkan hubungan tanah suci itu dengan Allah SWT, tanpa ada rasa ukhuwwah dengan penghuni tanah suci itu, mereka telah bertindak menyelesaikan perang itu dengan perjanjian Camp David, yang akhirnya menyaksikan penderitaan berterusan palestin hingga hari ini.

    Kalau melihat kembali, penyelesaian akan isu palestin ini adalah pengembalian ummat Islam itu sendiri kepada sistem Islam, sistem Allah.

    Kekuatan angka, senjata bukan masalah. Masalahnya adalah hubungan ummat ini dengan Rabb-Nya.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  7. mymj says:

    Owh… Saya faham.
    Ini bermakna asas penyelesaian kemelut di Palestin ialah kembali kepada sistem Allah dan Rasul. Jika semua negara Islam di dunia ini mengamalkan dasar pentadbiran seperti yg ditetapkan Allah dan Rasul, nescaya umat Islam masakini menjadi umat yang terkuat dan disegani bangsa2 lain. Betul x?

    Dengan kembali kpd sistem Islam, kekuatan itu pasti akan terbentuk. Allah pasti akan menurunkan pertolongan jika kita melakukan apa yg diperintahNya. Secara kasarnya kita mestilah ‘back to the basic’. Betul x saudara Hilal?

    ps: Malaysia bukanlah negara yg mengamalkan sistam Islam yg sebenar. Anda setuju?

    [Reply]

  8. Hilal Asyraf laksamana says:

    Asslamu’alaikum,

    kepada mymj,

    Ya. Hanya dengan pengembalian kepada sistem Allah sahaja yang akan membawa kepada kekuatan ummah.

    Adalah mustahil, ummah mampu faham untuk mempertahankan sesuatu perkara yang tiada keuntungan materialistik, tanpa faham berkenaan mengejar kelebihan di sisi Allah.

    berkenaan Malaysia,

    saya tidak mahu menjawab apa-apa. Kamu boleh ukur, dengan apa yang kamu lihat.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

Leave a Reply