Langit Ilahi Rotating Header Image

Pengalaman: MATRI oh MATRI, aku teringat

teringat

teringat

Musim sejuk telah menerjah Irbid. Permulaan musim sejuk tahun ini adalah hujan yang sangat lebat selama tiga hari. Di sini, apabila hujan, suhu akan turun mendadak, dan suasana akan menjadi teramat sejuk. Berbanding kebanyakan orang berlindung daripada hujan kerana rasa mencucuk, saya memilih sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Saya membiarkan diri saya kuyup di tengah hujan yang amat sejuk itu.

Perbuatan yang sama sering saya lakukan di suatu tempat, utara Malaysia. Situasinya hampir sama, di utara Malaysia ada musim panas dan ada musim hujan. Di Jordan juga ada musim tiada hujan langsung dan ada musim sejuk yang disertai hujan. Cuma Jordan lebih sejuk.

Ketika diri ini basah, sekeliling saya seakan-akan terpecah-pecah, dan saya seperti sedang berdiri di tengah dataran MATRI, tempat di utara Malaysia, gua pertapaan saya selama 7 tahun sebelum menguak jendela dunia.

Teringat saya akan tempat itu.

Kenapa MATRI?

Saya tidak suka MATRI pada asalnya. Saya masih ingat lagi, betapa saban hari saya mengulang bahawa MATRI itu adalah penjara dan saya hanya perlu bersabar untuk keluar dari sana. Saya tidak faham kenapa ayah saya menghantar saya ke sana. Saya lebih senang tinggal di sekolah lama saya Hidayah, dan lebih senang duduk di rumah.

Ayah saya berpesan di dalam kereta api dalam perjalanan ke MATRI buat julung kalinya:

“Abah kalau nak awak pandai, abah boleh hantar ke sekolah yang akademiknya hebat-hebat. Tapi abah hantar awak ke MATRI, sebab abah nak awak kutip mutiara-mutiara yang berada di sana, ambil sesuatu daripada ustaz-ustaz yang ada di sana”

Dan saya yang belum lagi menjejak umur 13 tahun ketika itu, langsung tidak memahami makna kata-kata ayah saya, melainkan saya benar-benar memahaminya ketika saya tamat tingkatan lima. Sebab itu, saya mengambil keputusan menyambung lagi dua tahun di MATRI, sebelum berangkat ke Jordan.

Sekadar teringat

Saya kebelakangan ini, suka mendengar instrumental sedih yang menyayat hati. Berbanding lagu rancak atau nasyid yang menceriakan, saya suka mendengar musik sedih sahaja. Bila memasang bacaan Al-Quran, saya akan memilih Sheikh Solah Al-Budair kerana suaranya yang kesedihan dan dia mudah menangis dalam bacaannya.

Tidak tahu kenapa, tapi jauh di lubuk hati saya, saya sedih sebenarnya.

Manusia melihat aku tersenyum

Namun tiada siapa tahu lautan tangis dalam jiwa

Yang melemaskan aku seorang hamba

Keseorangan dalam dunianya

Saat begini, diitambah pula hujan dan sejuk, saya terbayang-bayangkan kehidupan saya di MATRI, apa saya buat di sana, apa yang telah saya lalui dan bagaimana saya hadapi semua yang ada di sana.

Ada satu perasaan yang mendesak saya untuk pulang ke MATRI semula, dan menjalani kehidupan di sana sekali lagi. Seakan-akan ada perkara penting yang telah saya tertinggalkan di sana. Entahlah. Tapi perasaan itu membesar dan membesar.

Lebih membesar apabila tahun ini, MATRI kehilangan sebilangan guru-gurunya. Ummi Halimaton meninggal dunia, Cikgu Ghazali Abdullah meninggal dunia, Cikgu Zainuddin Jusoh meninggal dunia. Pelajar MATRI juga ada yang dipanggil Allah SWT seperti Ammar Zulkifli dan Mohsin.

Saya rasa macam hendak balik ke sana, duduk di sana, merasai kembali apa yang saya rasa di sana. Seakan-akan bekalan yang saya bawa dari sana ke Jordan ini, semakin menghaus, menghaus dan menghaus.

Hah… Simpulan nafas berat saya lepaskan.

MATRI, entah kenapa saya teringat.

Saya di sana dan di sini

Saya tak pernah percaya teori darwinisme yang menyatakan manusia berevolusi dari monyet/kera. Tapi saya percaya bahawa manusia boleh berubah dari baik kepada buruk, dari buruk kepada baik.

Teringat pada MATRI, saya teringat diri saya yang lama.

Tertanya-tanya apakah diri saya sekarang lebih baik, atau dahulu lebih baik.

Saya tiada jawapan untuk itu. Yang saya ada jawapan, hanyalah pada soalan:

“Apakah enta dah usaha untuk menjadi yang lebih baik dan memperbaiki kesilapan enta?”

Jawapannya adalah sudah, dan masih sedang terus berusaha.

Namun, ibarat paku yang kita tanam pada dinding, bila kita cabut, pasti meninggalkan kesan. Sama sahaja dengan keadaan hidup saya. Ramai pelajar MATRI yang sezaman dengan saya, yang pernah melalui hidup dengan saya, mengingati keburukan dan kesilapan saya. Walaupun ada antaranya yang telah saya tinggalkan seratus peratus, namun itu tetap diungkit sebagai alasan untuk tidak menerima pandangan saya sekarang. Hatta, hingga hari ini, beberapa orang yang terasa dengan sikap saya dahulu, masih cuba dan terus mencuba mencari kesalahan saya hari ini. Semuanya kerana saya yang dahulu, mungkin telah meninggalkan luka yang dalam pada kehidupannya.

Saya dahulu yang kasar, yang keras, yang tidak beradab dan langsung tidak memikirkan hati orang lain. Saya yang dahulu hanya tahu fikir diri sendiri betul, saya yang dahulu tidak sabar, saya yang dahulu hanya melihat kejayaan itu pada markah periksa yang tinggi dan jawatan yang tinggi. Saya dahulu yang merasakan bagus itu adalah apabila orang memuji.

Walaupun tiada siapa tahu kenapa saya membesar menjadi sedemikian rupa pada ketika itu, namun saya tidaklah menjadikan alasan bagaimana saya dibesarkan sebagai benteng menyelamatkan saya dari kebencian orang. Yang benar berlaku, benar berlaku. Tidak saya tuding pada sesiapa, melainkan diri saya sebagai pelakunya.

Tapi manusia berubah. Dan itu yang saya pelajari bila umur saya meningkat, yang saya dapat apabila saya banyak duduk dengan orang-orang yang lebih tua dan berumur. Saya amat berterima kasih kepada orang-orang yang tua lagi berumur ini, yang berhikmah dan sabar dalam mendidik saya, yang mengkaji kelemahan kemudian memperbaiki saya perlahan-lahan. Kalau bukan kerana usaha dan kesabaran orang-orang tua ini, saya tidak mungkin menulis untuk anda seperti hari ini.

Saya tidak berani kata Hilal Asyraf hari ini lebih baik dari yang di MATRI dahulu, tetapi saya berani kata, Hilal Asyraf hari ini telah berubah dan dia bukan lagi Hilal Asyraf yang dahulu.

Namun bagi yang seronok mengungkit dan bersangka-sangka buruk dengan saya, saya persilakan untuk kalian meneruskan aktiviti kalian itu. InsyaAllah, tiadalah yang akan membezakan antara dua kumpulan, melainkan nanti Allah SWT akan menaikkan yang benar dan menunjukkan yang salah.

Harapnya, kita berusaha mendidik diri kita untuk berada di pihak yang benar.

Dan saya mengiklankan kemaafan saya kepada semua. Moga semua memaafkan pula saya.

Teringat kata-kata guru

Menyebut fasal saya di sana dan saya di sini, saya teringat beberapa kata-kata guru saya terhadap saya di MATRI.

“Kalau ada 10 orang macam enta, cikgu rasa MATRI ni boleh terbalik, hancur” Itu kata-kata guru matematik tambahan saya semasa saya tingkatan empat.

“Yang enta bawa ni, tarbiyah komunis, bukan tarbiyah islam” Itu kata-kata seorang guru yang saya dekati.

“Enta ni macam tsunami. Rumah orang baik pun enta hentam bagi hancur sekali” Itu satu lagi kata-kata guru saya.

“Enta ni tak ada kerendahan hati” Itu satu lagi yang saya ingat daripada guru-guru saya.

Banyak buruk dari yang baik. Sama lah penerimaan pelajar-pelajar di MATRI terhadap saya, dengan penerimaan guru-guru saya tadi. Pendek kata, saya bukan pelajar favourite di MATRI.

Anda tahu, masa saya mengulang kata-kata ini untuk tatapan anda, saya sedang bergetaran. Saya tidak pernah lupa kehangatan/kesejukan suasana masa kata-kata itu diucap, tidak pernah hilang pada saya wajah guru saya ketika mereka mengucapkan kata-kata itu, dan tidak pernah padam kesan kata-kata mereka di hati saya hingga hari ini.

Bila melihat semula ke belakang, memang saya akan hanya mampu tersenyum.

Dah terlepas. Nak betulkan pun, dah lepas. Jadi yang ada untuk saya hanya masa hadapan, hari esok. Maka itu peluang yang saya perlu capai untuk mempertingkatkan diri ke satu tahap lagi agar semua kesilapan masa lalu saya, dapat saya perbetulkan.

Hari ini

Mungkin saya kena pulang. Kena jumpa dengan guru-guru saya, kena duduk semula dengan adik-adik MATRI, mungkin kena cuba masuk beberapa kelas kembali di sana bagi membuatkan diri lebih terkesan dengan apa yang saya ada hari ini.

Manusia walau terbang tinggi ke angkasa, dia tetap kena ingat dia asalnya di bumi.Pada saya, MATRI adalah bumi saya, walaupun hari ini saya ibarat menjejak langit. Daripada MATRI lah saya belajar itu dan ini, walaupun saya agak lambat mendalami pengajarannya, namun apa yang saya sampaikan pada anda selama ini, adalah hasil tarbiyah yang saya lalui di sana sebenarnya.

Sebab itu, biarpun hari ini ramai orang puji saya itu ini, ramai orang kata saya itu ini, masuk surat khabar, masuk majalah, ada buku, orang jemput bagi forum, bagi talk, tapi saya masih ingat betapa saya ini pelajar MATRI.

Pelajar MATRI yang guru saya kata 4 tahun lepas, kalau ada 10, boleh terbalik MATRI.

Hah…. Sekejap sahaja masa berlalu. Apakah saya ini masih lagi pelajar MATRI yang guru saya kata sebagai yang tiada kerendahan hati? Apakah hari ini saya masih lagi pelajar MATRI yang guru saya kata sebagai tsunami? Masih bawa tarbiyah komunis?

Entah lah. Saya tidak tahu. Orang yang melihat saya sahaja boleh menghukum.

Usaha berubah, melakukan perubahan? Sudah dan masih sedang melakukannya.

Hmmm… Saya jadi teringat pada MATRI. Hari ini, saya amat-amat teringat pada MATRI.

Mungkin saya kena pulang.

Tapi bila?

Entah lah.

Penutup: MATRI oh MATRI

Ramai orang kata, pelajar MATRI memang hebat-hebat. Saya tidak bersetuju. MATRI bukan penyebab kepada kehebatan seseorang. Diri pelajar MATRI yang mengambil apa ada di MATRI itulah yang hebat sebenarnya. MATRI tidak menghebatkan orang, tetapi orang yang ada di dalam MATRI itu sendiri yang menghebatkan dirinya jika dia mengambil peluang yang ada di dalam MATRI.

Sebab itu, saya benci dengan orang yang bila dia nak menyampaikan sesuatu, dia akan kata dahulu: “Saya ini pelajar MATRI”, kononnya, kalau dari MATRI bolehlah bagi hukum agama, boleh la cakap fasal dakwah dan tarbiyah. Saya, tidaklah menganggap MATRI apa-apa, melainkan satu tempat kenangan yang telah memberikan saya peluang mengambil apa yang ada di dalamnya. Dan pada saya, tempat sebegitu perlu diperbanyakkan, dan dijaga serta dinaik taraf.

MATRI oh MATRI, tidak tahu kenapa terlalu teringat. Sekolah miskin, serba serbi tak cukup. Asrama saya pula, malam je ada  air, siang tak ada. Tak banyak duit, miskin, infrastruktur tak cantik,  suasana kampung, kadang-kadang pelajar sendiri kena potong rumput dan betulkan apa rosak,  nampak macam sekolah  entah apa-apa aja, tapi sekolah itulah yang mendidik saya sehingga menjadi saya hari ini. MATRI, telah memberikan sesuatu yang bermakna dalam hidup saya untuk saya meneruskan kehidupan, memberikan sampan dan pendayung kepada saya, agar saya  kemudiannya terus bergerak melawan arus dunia hari ini. Sampannya adalah iman dan Islam, pendayungnya adalah tarbiyah.

Harapnya, sesiapa yang masih diberi peluang menuntut di sana, atau mendapat peluang belajar di sana, ambil lah mutiara-mutiara yang ada di dalam MATRI itu sendiri. Mutiara di dalam MATRI ada banyak jenis. Yang palsu pun ada. Tapi ketahuilah bahawa mutiara termahal di MATRI adalah pengalaman hidup murabbi-murabbinya. Siapa yang tidak mengambil yang itu, maka mutiara apa pun yang dia dapat di MATRI, langsung tidak berguna apa-apa.

Semoga Allah limpahkan kurnia-Nya kepada guru-guru saya, kepada pelajar-pelajar MATRI di sana, serta perjuangan dan tarbiyah yang sedang mereka jalankan dan lalui.

InsyaAllah, kalau dipanjangkan umur, akan saya pulang dan singgah di sana, duduk lama-lama sedikit sebelum bergerak lagi. Kalau umur itu dipanjangkan….

Moga sejuk dan hujan ini, Allah izinkan untuk menenangkan jiwa.

Ps: boleh tahu fasal MATRI di laman webnya: http://www.matri.edu.my/v3/

Print This Post Print This Post

14 Comments

  1. shairazi says:

    :razz: perubahan itu penting….
    x nafi anta dulu lain….
    skrg dah lain…itulah perubahan
    asrama nta dulu pun dah lain…
    tapi air mcm dulu la……
    ujian….

    [Reply]

  2. Atiqah says:

    MATRI…sy bljr erti kesusahan di sana. Kesusahan la guru terhebat utk dri sy..

    kalo x hadapi mslh x de air, sy x akn tau nilai air dan cmne nk survive ble x de air
    Kalo x hadapi kesusahan asrama yg teruk, sy x akan hrgai sy skrg tggl di kolej (bilik) yg serba serbi lgkp.
    kalo x hadapi kesusahan cikgu2 MATRI menguji iman dan kesabaran sy, sy x akn tegar hadapi lecturer yg panas baran di sini
    kalo x hadapi kerenah kwn2 dan mslh ukhwah di MATRI, sy x akan tau erti persahabatn dgn kwn2 di sini..

    susah dan pengalamn guru terbaik
    susah menghadapi hidup di hari2 yg lalu
    pengalaman org yg lbh tua dan dri sndri.

    [Reply]

  3. platun yarmuk says:

    betul2.matri x mngubah seseorang tp org tu yg ubah diri dia dgn bi’ah di ma3..

    p/s..air dh mkin baik tau!!

    [Reply]

  4. srikandi dataran syam says:

    salam,btol2..akk akui bnde tu hilal…bile dh meningkat dewasa baru kita mse2 yang mungkin telah kita sia2kan ketika kita di sana..akk pun,nak sangat menjejakkn kaki ke bumi tu lagi…tempat yang mengajar akk jadi manusia..tempat yang menyedarkan akk bahawa akk ada tanggungjawab islam untuk dipikul..tempat akk belajar mkne sebuah persahabatan dan ukhuwah..tempat akk mengenal makna perjuangan dan kesusuhan serta kepayahan…tempat akk mengenal erti hidup dan ksh syg Allah…MATRI…biar jauh mne pun akk berada sekarang namun MATRI tetap dekat dihati akk..Semoga Allah memberika n keizinan untuk akk kembali menjejak kaki ke sana…berjmpe dgn murabbi2 yang byk mendidik hati dan diri ni…Ya Allah,rindunya dengan MATRI,dengan suasananya,dgn guru-gurunya… :cry:

    [Reply]

  5. Salam…

    Pertama kali ana tahu mengenai kewujudan MATRI ialah semasa ana menuntut di Kolej Matrikulasi Perlis dulu.. Ramai kawan-kawan kat sana yang pernah bersekolah di MATRI..

    Dulu ana ingat.. kenapela diaorang ni obses sangat pasal MATRI? Tapi lama-kelamaan, makin banyak cerita menarik dan bagus2 mengenai MATRI dan student dari MATRI sendiri..

    Andai diberi peluang, dan andai ana mempunyai anak suatu hari nanti, ingin sekali ana menghantar anak ana ke sana suatu hari nanti… insyaAllah.. :grin:

    [Reply]

  6. zikrulmaut says:

    salam ziarah..

    dah lame x ziarah…

    hmm…

    bce kisah anta ni rase nak nangis,,,

    moga anta dan ana ditingkatkan iman..

    [Reply]

  7. farhA says:

    MATRI..lembah cinta..lembah suka duka..
    semuanya bermula disitu..

    hu..rindu MATRI..rindu murabbi MATRI..rindu bi’ah MATRI..rindu semua yg pernah dapat di MATRI..

    entah bila lagi akan kujejaki bumi itu…

    [Reply]

  8. hussam says:

    smoga Allah makbulkan doa anta untuk pulang ziarah m3
    untuk shairazi, asrama tu dh ada air siang dan malam skrg :razz:

    [Reply]

  9. Bang Wan says:

    Hmm..Lama tak jumpa anta Hilal..
    Ana x pasti anta masih ingat atau kenal ana..sbb ana antara pelajar yg paling pendiam sekali kat MATRI dulu..
    :smile: Setuju dengan pendapat anta…
    Sebenarnya betapa hebatnya sekolah tersebut belum tentu dapat melahirkan orang-orang yg hebat melainkan diri sendiri bijak mengambil peluang..
    lepas ana keluar dari MATRI ana jumpa ramai sahabat yang hebat daripada sudut tarbiyah dan dakwah dan ada yang bukan dari sekolah agama…
    Mungkin benar kata Mursyidul Am Ikhwan yang kedua Hasab Al-Hudaibi
    “Dirikan negara Islam dalam diri kamu,nescaya kamu dapat dirikan Islam dalam tanah air kamu..”
    Harap generasi pelajar-pelajar MATRI pada hari ini dapat Istiqamah dalam perjuangan Islam..
    Ibda’ binafsi

    [Reply]

  10. rindu lar matri…. :lol:

    [Reply]

  11. syaimaa' says:

    salam ‘alayk.

    dah lama tak jejak sini..
    sebenarnya, lepas SPM dulu, mak ayah ana suruh pegi MATRI amek STAM.
    katanya situ tempat sahabat2 ayah, pergilah, belajar kat sana.
    tapi Allah yang menyusun waktu. ana tak pergi. sebab ke Jawa

    kat Jordan tu, kutip la ilmu banyak2. bawak balik sini. kat sini nanti tanggungjawab besar. bukan senang.

    jadikan rindu anta tu doa buat murabbi2 MATRI dan generasinya.

    wallahua’lam

    p/s: just jotting down things flashing through my mind. that’s why my words are not well organized. heh

    [Reply]

  12. luqman hakim says:

    he3..

    kenangan tu ada lg.. just yg buruk2 tu, anggap je la pahit-manis kehidupan n proses utk seseorg matang..

    to those yg masih simpan dendam, anda memang golongan primitif..

    [Reply]

  13. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada shairazi

    dan perubahan yang kita harapkan adalah perubahan ke arah kebaikan.

    - kepada Atiqah

    maka, jangan kita persiakan apa yang kita dapat…

    - kepada platun yarmuk

    TEpat sekali. MATRI hanya kilang yang memproses. Yang membenarkan diri diproses adalah kita sendiri…

    -kepada srikandi dataran syam

    Rindukan merealitikan tarbiyahnya…

    - kepada littleMuslimah

    ha ha… obses.
    Memang budak MATRI macam itu.
    Bukan semua budak MATRI faham2.
    Namun insyaAllah, semuanya lalui tarbiyah.
    Tinggal nak tak nak je amal.

    - kepada zikrulmaut

    sama-sama kita…

    - kepada farhA

    boleh planning. hu3…

    - kepada hussam

    Huffaz makmur di bawah pentadbiran coach. Hidup coach! hu3…

    - kepada Bang Wan

    Lupa la enta mana satu. Honto gomenasai..
    tapi apa yang enta kongsikan, bagus sekali.
    Semoga Allah redha…

    - kepada omarhambaallah

    Sama r kita…

    - kepada syaimaa’

    Tak organized pun, apa-apa daripada syaimaa’ dah buat ana gembira. ha3…
    kawan2 dari tadika ni memang best kalau bertegur sapa. teringat plak zayd dan lain2.

    Heiyya.. Apsal la tak mai MATRI betul2? Kan bagus kalau mai betul2….

    Apa-apa pun, susunan Allah itu yang terbaik.

    Tertarik dengan kata-kata ayah syaimaa’. hu3…

    - kepada luqman hakim

    Indeed…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  14. AmirunNasih says:

    yup, i missed all that so much..miss to be in such ‘bi’ah’ again.. felt like crying too

    [Reply]

Leave a Reply