Syukur. Mudah kita sebut. Kadangkala, kita merasakan bahawa dengan mengucapkan kalimah “Alhamdulillah”, maka sudah terlepaslah tanggungjawab syukur kita kepada Allah SWT. Kita rasa, selepas kita mengucap, mengulang-ulang kalimah “Alhamdulillah”, maka kitalah hamba Allah yang telah bersyukur.
Namun, saya melihat syukur tidak semudah itu.
Jika syukur semudah itu, tidak perlulah Allah mengulang berkali-kali berkenaan mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
Saya melihat, syukur perlu dimanifestasikan dengan amal.
Apakah anda bersetuju?
Dan sebenarnya, sedikit sahaja hamba Allah SWT yang boleh didefinasikan sebagai bersyukur.
Adakah kita termasuk dari kalangan mereka?
Perlukan kepada pemerhatian
Manusia menjalani kehidupan seperti biasa hari-hari. Ya, kita tidak rasa keluh kesah meninggalkan semalam walaupun kita tahu semalam tidak akan kembali. Kita tidak rasa takut untuk tidur memasuki esok, walaupun kita tahu bahawa esok belum tentu menjadi milik kita.
Kenapa? Sebab manusia telah biasa. Hari semalam berlalu, hari esok mendatang, kita melalui hari-hari kita tanpa rasa keperluan untuk duduk sebentar dan berfikir.
Pernahkah kita berfikir betapa berharganya masa yang berjalan? Pernahkah kita berfikir betapa mahalnya kehidupan? Semalam yang tak akan kembali, tidakkan kita merasa kerugian dan tersisip penyesalan terhadapnya? Esok yang mendatang, adakah kita bersedia menghadapinya?
Itu hanya contoh, apatah lagi nikmat yang memang lahir-lahir sahaja sudah ada pada kita tanpa perlu kita tuntut atau cari. Nikmat tangan, hidung, mata, kaki, rambut, keluarga, sistem tubuh yang kompleks, oksigen, bumi dan sebagainya. Memang kita lalui bersama semua itu, tanpa kita terfikir untuk memerhatikannya.
Melainkan, apabila semua itu hilang. Bila kudung, baru tahu nikmat tangan. Bila buta, baru tahu nikmat melihat. Bila miskin, baru tahu apa ertinya kaya. Bila gagal, baru tahu apa maknanya berjaya.
Sebab itu, saya hendak mengajak diri saya dan anda memerhatikan sekeliling kita, kehidupan kita, dan hitung nikmat Allah SWT yang tidak terhingga pada kita. Apakah kita mensyukuri nikmat-nikmat ini?
Bagaimana kita mensyukurinya?
Syukur itu buktinya amal
Saya melihat begitulah, syukur buktinya amal. Bagaimana kita menggunakan nikmat-nikmat itu, itulah manifestasi kesyukuran kita sebenarnya.
Kalau benar kita bersyukur, menghargai segala nikmat yang ada, maka kita akan menggunakan nikmat-nikmat ini sebaiknya. Nikmat mata, kita gunakan dengan melihat perkara yang memang perlu dilihat, kita menjagainya dari melihat perkara yang haram, kita jaga kesihatannya, kita selamatkannya dari kesakitan. Nikmat pemikiran, kita gunakan untuk mencapai kejayaan di jalan Allah, tidak kita gunakannya untuk berfikir perkara yang bukan-bukan, buat prank kat orang lain atau merancang keburukan. Tubuh kita, kita jaga kesihatannya, kita gunakannya untuk ketaatan, tidak pula kita bina tubuh kita atas perkara yang diharamkan.
Begitu juga nikmat-nikmat lain. Keluarga, kita sayangi, kita cintai, tidak kita jauhi, tidak kita lukakan hati. Sahabat, kita dekatkan, kita hargai, tidak kita khianati. Oksigen, kita jaga, tidak kita cemarkan. Bumi, kita tadbir dengan baik, kita tidak rosakkannya, tidak pula kita menghancurkan apa yang ada di atasnya.
Begitu juga segala nikmat lain.
Jika benar kita bersyukur, maka kita buktikan dengan menjaganya sebaik mungkin. Itu namanya bersyukur, itu baru namanya menghargai. Kita tidak menghargai sampah, sebab itu kita buang. Lain pula dengan orang yang melihat sampah sebagai barang berharga, dia kutip dan dia recycle, buat bisnes.
Itulah dia syukur.
Buktinya amal.
Sekarang, adakah kita termasuk kalangan orang yang bersyukur dengan apa yang Allah beri pada kita?
Nikmat terbesar yang sering dilupai
Di MATRI dahulu, sesiapa yang memberikan ucapan, ada taklimat, pastinya akan mendahulukannya dengan kata alu-aluan.
Dan kata alu-aluan di MATRI, tidak kira sesiapa yang menyampaikan, tidak kira apa yang disampaikan, pasti kata alu-aluannya bermula dengan ini:
“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, atas dua nikmat terbesar yang Dia kurniakan kepada kita, iaitu nikmat IMAN dan ISLAM…”
Ya. Di MATRI, saya dididik bahawa nikmat terbesar adalah nikmat Iman dan nikmat Islam. Kenapa? Kerana dua nikmat ini sahaja yang boleh membawa kepada kehidupan terhadap hidup. Tanpa iman, manusia akan hidup zombi, dia tiada keyakinan, tidak tahu ke mana hendak dituju, tiada pergantungan. Tanpa Islam, kehidupan manusia tidak dikira Allah, dan di akhirat kelak menjadi rugi.
Ya pembaca. Sekarang, anda, melainkan kalau anda bukan Islam, anda dan saya, sekarang ini kita mempunyai dua nikmat yang terbesar ini. Iman dan Islam. Saya yakin majoriti, 99.99% pembaca saya adalah yang mempunyai dua nikmat ini.
Cuma antara kita, ada yang mengetahui dua nikmat ini, ada yang tidak tahu. Ada pula yang menggunakan dua nikmat ini sebaiknya, ada pula antara kita yang membiarkannya sahaja.
Tetapi hari ini saya mengajak anda memerhatikan dua nikmat ini. Rata-rata kita, lahir dengan dua nikmat ini. Dapat dari warisan nenek moyang kita. Bapa Islam, kita Islam. Tidak perlu kita bersusah payah mendapatkannya, tidak pula dihempap batu seperti Bilal bin Rabah, tidak pula disula seperti Sumaiyah.
Apakah yang telah kita lakukan kepada dua nikmat ini? Nikmat yang akan membebaskan kita dari neraka, nikmat yang yang menjadikan kehidupan kita teratur dan bermakna.
Apakah kita bersyukur dengan kedua nikmat ini?
Andai syukur buktinya amal, maka apakah yang telah kita buat?
Hanya yang kehilangan, mencemburui yang ada
Macam saya cakap di awal artikel, hanya bila kehilangan baru kita ketahui nikmatnya. Hilang tangan, baru tahu nikmatnya wujud tangan. Bila buta, baru tahu besarnya nikmat melihat. Ketika hilang nikmat-nikmat ini, barulah kita rasa kerugian.
Namun nikmat iman dan Islam, berbeza. Kita tidak akan cemburu apabila kehilangannya. Sebab dua nikmat ini tidak diukur seperti nikmat lain. Nikmat lain diukur dengan pandangan mata, kita boleh nampak nikmat lain dengan mata kepala kita. Bila tengok orang lain ada, memang kita cemburu kalau kita tak ada benda tu.
Iman dan Islam, kita tak nampak. Jadi, memang sukar cemburu.
Tapi ketahuilah, kita bukan sahaja akan merasa cemburu, malah kita akan merasa sesal, kesal, menyesal dengan ketiadaan, kehilangan, keciciran dua nikmat terbesar ini. Bila kita merasakan kerugian itu?
Di akhirat nanti.
Apabila dikumpulan di hadapan Allah segala manusia, diselesaikan Allah segala balasan nikmat dan azab siksa, ketika itu baru kita nampak kerugian kita, ketika itu baru kita rasa cemburu dengan mereka yang masih ada nikmat iman dan Islam pada mereka.
Tetapi pada masa itu, sudah terlambat. Tiada lagi ikhtiar ketika itu, tiada lagi waktu berusaha ketika itu. Yang ada hanyalah menerima apa yang Allah berikan pada kita. Yang ada hanyalah, amal-amal kita di dunia.
Pembaca, alangkah ruginya kita ketika itu. Nikmat-nikmat lain akan hancur. Kemewahan rumah kita, keselesaaan tilam kita, perabot kita yang mahal, kesihatan kita, duit-duit kita, sijil PhD kita, mata kita, tangan kita, semuanya tidak bermakna pada hari itu.
Nikmat Iman dan Islam sahaja kekal ketika itu.
“Ei, ada lagi la. Nikmat amal, nikmat anak soleh, sedekah jariah, nikmat pahala kita di dunia.. bla bla bla”
Ya, saya tahu. Tapi apakah orang yang membuang, tidak menghargai nikmat iman dan Islam ketika hidupnya, mempunyai nikmat-nikmat yang lain itu?
Tidak. Tidak wahai pembaca.
Maka, bagaimanakah kita menghargai nikmat Iman dan Islam kita sekarang? Kalau bersyukur itu buktinya amal, maka apakah yang telah kita lakukan dengan dua nikmat terbesar ini?
Penutup: Bergeraklah, hargailah segalanya
Maka bergeraklah. Saya menulis berkenaan hal ini, kerana saya baru sahaja Allah tarik beberapa nikmat. Terfikir pula kalau Allah tarik nikmat iman dan Islam dari kehidupan. Itu satu perkara yang amat saya takuti.
Hargailah semua nikmat yang Allah beri. Tapi yang paling kita hargai, tidak boleh kita tukar dengan apa-apa, kita sanggup korbankan segalanya untuknya, adalah nikmat Iman dan Islam yang ada pada kita.
Kalau tak ada nikmat ini pada kita sekarang, kehilangan, keciciran, maka saya sarankan kepada diri kita, carilah sesegera mungkin. Tiada yang lebih rugi, dari manusia yang tidak mempunyai kedua nikmat ini.
Marilah, kita bersyukur wahai pembaca.
Bersyukur dalam erti kata sebenar. Menjaga, menghargainya, meletakkan nikmat-nikmat yang Allah beri ini pada tahap tertinggi dalam kehidupan kita. Kita gunakan semua pemberianNya untuk kebaikan, kita jaga semuanya dari kerosakan dan keingkaran. Kita gunakan semua nikmat pemberian-Nya, untuk mentaati-Nya.
Mari. Bersama saya.
Kita bersyukur dengan amal kita.
*****
kutunggu titisannya hujan
agar menyegarkan hatiku yang kering
dengannya terhubung langit denganku di bumi
rasa hidup
basah,segah
dengan kelembapannya
sejuk jiwaku yang panas
tenang kalbuku yang kegersangan
dan akhirnya
hari ini mereka turun
memenuhi permintaan aku yang kekeringan
~angkasa
ps:sempena hujan renyai hari ini. Jordan dah masuk musim sejuk…





salam,2 nikmat yang sering mnusia lupa..nikmat iman dan islam..tnpe 2 nikmat ini hidup kita x lagi bererti…marilah kita jadi hamba yang bersyukur kepada Allah..pd akk,syukur itu mmg diterjemahkan dgn amal bkn kata2 yg terungkap dibibir semata2….mudah-mudahan kita para pembaca dan akhi hilal sndri tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang bersyukur…(sejuk sgt2..dh msuk winter..huhu..1 nikmat yg x dpt dikecap dibumi malaysia tp alhmdulillah Allah bg peluang untuk rasa nikmat ini)
[Reply]
salam..nice article n poem…kat cni pun ngah hujan…hujan ptg pada mlm jumaat… dulu, ustaz sy selalu sebut kna bersyukur…tak kira la perkara tu baik or tak…sbb tiap kejadian tu ade hikmah yg tersembunyi…jadi kena syukur….=)
[Reply]
walau aPe pOn yg b’laku..Ya ALLAH,terima kasih di ats seGala Ujian2Mu.
[Reply]
bersyukur..ya mmg mudah untuk diungkap dgn kata-kata..tapi tak ramai yg mengamalkannya..alhamdulillah saya diberi nikmat iman dan islam..nikmat yg terbesar..
[Reply]
terima kasih atas post ni (^_^)
[Reply]
Hilal. thanks for this article.
smoga sihat selalu n dirahmati.
teruskn usaha dakwah.
[Reply]
alhamdulillah……

sememangnya ana hampir terlupa kurniaan 2nikmat pemberian Allah kepada kita………..
thanks 4 article…..
may Allah bless u
[Reply]
seperti apakah hati manusia yg tak bersyukur ?
seperti kelam langit malam?
tidak….
langit itu setia ditemani bintang
juga dipeluk sinar mentari pada esoknya
sehitam pandangan si buta?
tidak…si buta itu masih bisa merasa bayu menyentuh mukanya
sejuk, menenangkan, nikmatnya..
sehitam apakah hati itu?
segelap dalam bumi?
ah, bumi itu sumber kayanya alam
sesekali memuntahkan lahar
saat ia melayan rajuknya
jadi sehitam apa?
sekelam gelap dasar laut?
mungkin…
kerana butir mutiara tidak menemaninya
kerana ia begitu terasing dari nafas kehidupan marin
kerana titisan hujan tidak menyentuhnya
kerana ia begitu jauh dari sinar rembulan dan mentari
tika pasangan itu menyebarkan cahaya ke serata alam
tidak juga ia didambakan bintang yang cemburu
kelam laut dalam itu…
begitu ia merindui bintang jatuh menghidupkannya
ah…tidak juga
sesekali laut dalam itu dilawati obor-obor yang simpati
sekelam apa hati itu?
tidak bisa dibanding ..
dengan alam yang pasti ada nikmatnya
ya..
kelamnya hati yang tidak bersyukur
saat ia enggan melihat firman tuhan
” Apakah lagi nikmat Allah yang engkau dustakan? ”
begitu HATI dan MATAnya saling memperdaya….
“engkau ingkar arahan Baginda ‘hendaklah ia menjaga pandangan matanya…’ ”
“adakah engkau melupai sabda Rasulullah ;dalam diri manusia itu ada seketul daging yang mana jika baik ia ,baiklah tubuhnya. ketahuilah ia adalah hati”
” aku adalah raja jasad ini dan kamu mengingkari aku. engkau berbuat maksiat dengan nikmat tuhan. alangkah baiknya jika kamu buta”
” engkau menyalahkan aku..sedangkan aku adalah pengikutmu yang setia .aku adalah mata buat kamu yang tidak bisa melihat”
bilakah pergaduhan itu akan berakhir?
kerana jika ia tidak berakhir ,manusia akan terus terpedaya
Astarfirullah…
begitu kelamnya hati ini………..
[Reply]
nice artikel born from ur suffering on fever! stuju sgt..nikmat yg tak tahu berapa lama lagi diberi kesempatan untuk merasainya dan adakah pernah,sudah, tak perasan atau bila lagi dapat mengecapnya..bimbang takut tak perasan kedatangan dan pemergiannya…hu..hu!
[Reply]
lainshakartum laazidannakum,
lainkafartum inna azabi lasyadid
[Reply]
Salam.
Perkongsian yg bermakna.
Baru sedar, diri ini masih belum cukup dan masih belum mensyukuri nikmat semaksimumnya..
Terima kasih atas perkongsian..
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada srikandi dataran syam
maka, bagaimanakah kta hendak menghargai winter ni akak? Hu3…
- kepada wani
hargailah hujan dengan tidak menghinanya. Sesungguhnya dia ada tugasan untuk menyegarkan bumi kita.
- kepada …
bersangka baik kepada Allah, adalah sebahagian dari kesyukuran kita kepada-Nya.
- kepada ittaqullah
alhamdulillah. Sama-sama kita bersyukur dengan amal kita… Bukan sekadar dengan lidah.
- kepada nureins
sama-sama…
- kepada Mr.Nurullah
semoga Allah izinkan kita untuk istiqomah mr.nurullah, sama-sama kita berdoa.
- kepada Ali
sesungguhnya, peringatan itu berguna untuk orang-orang yang beriman.
Itulah firman Allah SWT pada Surah Ad-Dzariyyat ayat 55.
- kepada anna
terima kasih atas perkongsian madahnya. Semoga Allah nyalakan hati-hati kita dengan keimanan kepada-Nya…
- kepada misna
maka marilah kita duduk sebentar, muhasabah dan bergerak memperbaiki diri.
- kepada cahayaberliku
sohih. Surah Ibrahim ayat 7.
- kepada hambamencari
Mari kita memacakkan tiang kesyukuran kita semaksima mungkin.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
Ya Allah kekalkanlah..nikmat IMAN & ISLAM pada kami ini…
[Reply]
ohh ya..
di tempat ana pun..
lpass maghrib je ada akhi sebut..
ttg nikmat iman n islam..hari2
bru skrang ana sedar..
besarnya nikmat allah..
alhamdulillah…
[Reply]
salam.

betul,
kita selalu sgt menyalah gunakan nikmat yg Allah berikan.
kdg2 dlm kita tk sedar kita buat perkara itu.
huhuh.
semoga kita lebih berhati2 dlm kehidupan
[Reply]