Raya Korban yang semakin mendekat ini, kita kenali dengan beberapa nama. Ada nama Aidil Adha, ada nama Hari Raya Korban, dan antara nama popularnya lagi adalah Hari Raya Haji. Semuanya adalah nama untuk hari yang sama, yakni 10 Zulhijjah.
Bagi saya yang pernah menjejakkan kaki ke tanah haram, melihat baitullah dan beribadah di tanah suci itu memang menjadi kerinduan. Terasa aman diri dan tenang hati di sana. Cuma tahun ini, saya tidak diizinkan Allah untuk menunaikan haji. Mungkin tahun hadapan insyaAllah. Memang seronok, mengerjakan haji memang impian setiap kita.
Namun, apakah yang kita dapat dari ibadah haji? Atau pada kita, ia kelihatan hanya satu tradisi bagi mereka yang berwang? Atau pada kita, ia hanya satu urusan yang memenatkan dan meletihkan, hanya dilakukan oleh yang berkemampuan? Atau pada kita, ia satu peluang membeli belah yang tiada taranya?
Apa sebenarnya yang tersembunyi di dalam ibadah Haji?
Pada saya, ia mengandungi 1001 makna, bagi sesiapa yang mendalami.
Pengorbanan di dalamnya
Untuk menunaikan haji, bukanlah mudah. Kita perlu melakukan pelbagai pengorbanan. Bagi yang berangkat menunaikan haji dari luar tanah syam, mereka memerlukan duit yang banyak. Lihat sahaja orang Malaysia, hendak pergi haji perlu menabung duit bertahun-tahun. Kita korbankan duit kita, dengan menggunakannya untuk beribadah kepada Allah.
Kita juga mengorbankan masa. Bagi kami yang berdekatan dengan Makkah pun, menunaikan Haji memakan masa 2 minggu. Jemaah di Malaysia, sekurang-kurangnya sebulan. Kita korbankan kerja kita, urusan kita, semuanya untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT.
Di dalam ibadah haji juga, kita mengorbankan hubungan kita dengan sanak saudara, anak pinak, dan kaum kerabat serta teman-teman. Kita tinggalkan mereka untuk satu jangka masa yang amat lama. Tidak bersua muka dan kemungkinan sedikit antara kita berpeluang berhubungan. Kita sanggup berpisahan dengan tersayang, semuanya untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT.
Dengan melakukan ibadah haji juga, secara tidak langsung kita mengorbankan keseronokan kita, kita bersusah payah menunaikan haji, berasak-asakan, bersabung nyawa, kita sanggup melalui segala kesusahan dan cabaran, cuaca panas dan berjalan jauh, semuanya kerana menunaikan ibadah kepada Allah SWT.
Di dalam haji, kita melakukan pelbagai pengorbanan, sama ada suka rela atau tidak.
Semuanya dengan matlamat yang satu. Hanya kerana Allah SWT.
Kebersamaan di dalamnya
Dengan melakukan ibadah haji, secara tidak langsung kita terdidik dengan kebersamaan. Kita bersama dengan ahli jemaah dari Malaysia di lapangan kapal terbang, di dalam kapal terbang, di hotel, di khemah dan berjalan dalam satu kumpulan.
Semasa kita bermalam di Mina, kita bersama dengan semua ahli jemaah haji yang lain dari semua negara dari mana-mana benua. Sama-sama di tempat yang sama, bermalam tidak menghiraukan keadaan yang kurang selesa dan sebagainya. Sanggup, tidak risau orang lain datang menyerang, tidak takut orang lain datang menyerbu. Kita bersama-sama.
Pada hari Arafah, semua jemaah duduk di tempat yang sama, di tengah keterikan mentari langit, dengan pakaian yang sama, menghabiskan hari di Arafah berdoa dan beribadah. Tidak kira sultan, tidak kira raja, tidak kira pembesar, tidak kira bos, tidak kira pekerja, tidak kira kuli, semuanya bersama.
Semasa melontar jamrah, sekali lagi bersama-sama. Tidak boleh pilih hari lain suka hati untuk lontar jamrah. Melontarlah kita dengan jemaah-jemaah lain tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Semuanya bersama.
Semasa tawaf di sekeliling kaabah, kita bersama. Bergerak seiring dengan putaran ke arah yang sama, mengelilingi baitullah yang sama, kita semua bersama-sama.
Kebersamaan ini, adalah satu tarbiyah yang mahal sebenarnya.
Namun kebanyakan kita tidak mengerti maknanya.
Apa yang tersembunyi di dalamnya?
Kenapa saya mengungkit penorbanan dan kebersamaan?
Kerana itulah dia dua perkara terbesar di dalam ibadah haji, yang dikongsikan oleh semua yang melaksanakannya. Tidak terkecuali sesiapa. Semua merasakannya.
Inilah dia perkara besar di dalam Haji, yang tersembunyi dari perhatian kita. Bagaimana amat menakjubkan akal yang berfikir, manusia dari pelbaga negara, dari pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa, ada yang dari pelbagai jenis parti, ada pelbagai jenis kumpulan, ada pelbagai mazhab dan fahaman, semuanya berkumpul, berkorban, bersama di dalam satu ibadah.
Haji.
Haji pada saya adalah manifestasi keadaan Islam yang memusnahkan sekatan asobiyah perkauman boarder antara negara, parti, kumpulan, fahaman dan menganggap semua yang seakidah adalah sekeluarga, mementingkan kesatuan, dan semua bersatu atas satu tujuan: Untuk mendapat redha Allah SWT.
Andai manusia memahami apa yang tersembunyi di dalam ibadah haji ini, nescaya akan terzahir lah satu kekuatan yang tiada taranya.
Lihatlah, bayangkanlah, andai semua jemaah haji ini benar-benar bersatu, berfikir bagaimana hendak mengislah ummah, berusaha memperbaiki ummah, sebagai mana mereka bersama mengelilingi baitullah, bagaimana mereka bersama menghujani jamrah dengan batu-batu, bagaimana mereka bersama di arafah dan mina. Bayangkan. Apa akan terjadi?
Kekuatan yang tiada taranya.
Namun inilah yang kita kehilangan.
Haji kelihatan seperti rutin biasa. Malah ada yang melihatnya sebagai peluang membeli belah. Hilang makna sebenarnya yang memberikan kekuatan kepada ummah. Akhirnya para penunai haji, tetap pulang dengan kepala keras, berkeras dengan kefahaman masing-masing, tiada tolak ansur, terus dengan asobiyah dan pecah belah.
Sedangkan siapa kah yang terfikir, mereka bertawaf mengelilingi Kaabah yang satu, tuhan mereka satu, agama mereka sama. Jika tidak, mustahil mereka melaksanakan haji bersama-sama.
Namun siapakah yang berfikir?
Penutup: Jangan sia-siakan hajimu
Sebab itu pada saya. Bagi kita yang berpeluang menunaikan haji, jangan kita sia-siakannya dengan shopping. Hayatilah, rasailah kehebatannya bila bersama.
Tidakkah apa-apa menyentuh hati anda apabila melihat jutaan orang berputar atas satu paksi yang sama? Hati saya bergetaran hanya dengan melihat, tambah bergegar apabila saya sendiri melangkah berputar bahu membahu dengan jemaah lain.
Alangkah indahnya kalau semua itu satu fikrah. Tidakkah anda berfikir?
Hayatilah, dan pulang dari haji dengan matlamat untuk menyebarkan kesatuan yang dipelajari di sana. Hayatilah, dan bergerak pulang berkorban pula untuk kesatuan ummah.
Hikmah haji ini perlu dibawa kepada segenap kehidupan kita.
Di situlah baru munculnya kekuatan yang sebenarnya.






salam..
alangkah sayangnya jika kita berpecah2,
kerana kekuatan Islam itu termasuk kekuatan ukhuwwah.
[Reply]
haji perlu ditunaikan dengan sabar… bnyk sngt dugaan even orang tu menunaikan umrah
between, gmbr ni mana dapat ya? cantikla
[Reply]
Assalamu’alaikum,
abi penah menasihatkan. “Sabar semasa melakukan umrah hanya 1x ganda, dan apabila melakukan ibadah haji kita perlu 27x ganda sabar.”
Wallahua’lam.
[Reply]
insyirah: wah, bnyknye, sy pergi umrah pun dah bnyk bende nak kena tahan sabar. semoga diberi kekuatan
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada musafir
Yang berpecah hanya akan hancur. Bila berpecah, tidak tersusun.
Saidina Ali ada berkata: “Kebatilan yang berstrategi itu akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak berstrategi”
- kepada Kamal Zharif bin Kamaludin
Bukan sekadar sabar, tetapi perlu dijalankan dengan kefahaman, agar hikmahnya dapat dicedok dengan baik dan sebenarnya.
Gambar ini boleh diklik, dan ia akan membawa anda kepada sumbernya…
- kepada insyirah
Ya. Dan hikmah dari kesabaran itulah yang perlu kita perhatikan keadaannya…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
[Reply]