1431H. Macam-macam orang ucap, itu dan ini. Semuanya seputar azam baru di tahun yang baru. Berniat hendak mejadi lebih baik, berniat untuk mempertingkatkan diri.
Tetapi, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun. 1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud. 1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul. Namun, apakah azam-azam ini diiringi dengan perancangan? Atau sebut-sebutan dari omongan?
Ke arah mana kita berhijrah hakikatnya?
Menjadi hamba Ilahi Yang Berkuasa, atau hakikatnya berhijrah dalam lingkungan perhambaan di dalam dunia juga?
Ke arah mana?
Iman terjemahannya amal, cita-cita terjemahannya perancangan
Amat pelik untuk saya, orang-orang berazam tetapi tidak pula merancang cara untuk meggapai azamnya. Begitulah juga manusia-manusia yang sibuk bercakap berkenaan Palestin, tetapi tiada perancangan rapi untuk membebaskannya.
Kita sudah penat dengan omongan kosong.
Dunia tidak akan tertawan hanya dengan bicara. Sebuah negara hanya bisa ditakhluk dengan usaha. Bukan usaha semberono, tetapi usaha yang penuh dengan perancangan yang bersungguh-sungguh.
Merancang adalah bukti kita punya matlamat yang jelas. Kita nampak ke mana kita hendak berakhir, apa yang kita mahu, dan apa yang kita hendak gapai, maka kita merancang, langkah demi langkah agar kita mampu mencapai apa yang kita harapkan.
Di sinilah baru berlakunya peningkatan. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadar terus dengan kehidupan, bukannya turun da naik dengan mengikut keadaan.
Apakah kita merancang wahai diri yang kini menyatakan 1001 azam?
Dunia bukan untuk bermain-main
Dunia ladang akhirat. Kita semua tahu. Setiap amal baik dan buruk akan dihitung walau sebesar zarah. Kita semua tahu.
Maka dengan pengetahuan kita ini, apakah kita menyangka dunia ini boleh kita lalui dengan bermain-main sahaja?
Kita tahu hari ini ummat Islam tertindas, kita sedar hari ini musuh-musuh Allah amat hebat, kita nampak betapa kita hari ini lemah, kita faham betapa jauhnya kita hari ini dengan Allah SWT, maka apakah yang telah kita usahakan?
Adakah cukup dengan kata-kata dan penulisan?
“Salam ma’al hijrah, semoga lebih baik”
“Semoga meningkat”
“Harap tahun ini lebih baik”
Kita sebut dengan kefahaman dan terjemahan amal, atau sekadar mengisi ruang kegembiraan satu sambutan? Kita hakikatnya mahu, setiap perbuatan kita, gerak geri kita memberikan kesan kepada pembangunan ummah. Kita tidak mahu kehidupan yang sia-sia.
Kita tidak hadir ke dunia ini untuk hanya bermain-main sahaja.
Lihatlah ke arah mana mereka berhijrah
Menelusuri kisah hijrah para sahabat, pasti kita melihat betapa kita merentas tahun hijrah ini hanya dengan bermain-main sahaja.
Hijrah di dalam Islam punya makna yang besar. Bukan merentas tahun, tetapi merentas sahara untuk menyelamatkan iman. Bagaimana pula mereka berhijrah? Adakah dengan segala kemewahan? Tidak.
Suhaib Ar-Rumi RA, seoran hartawan yang terkenal dengan kekayaannya. Awalnya dia berhijrah dengan seluruh hartanya. Di tengah perjalanan, dia berjaya ditahan pihak Musyrikin Makkah. Mereka hendak membawanya pulang, menghalangnya dari meneruskan hijrah. Lantas Suhaib Ar-Rumi berkata:
“Apakah kalau aku tinggalkan semua hartaku di sini, maka kamu akan membenarkan aku pergi?”
Dan dia meninggalkan seluruh hartanya. Saya ulang, dia meninggalkan seluruh hartanya.
Untuk apa?
Untuk hijrahnya kepada Allah SWT, untuk menyelamatkan keimanannya. Dia sanggup megorbankan seluruh hartaya. Kerna dia jelas, dia berhijrah ke arah Allah SWT Yang Maha Kaya, Yang Berkuasa Atas Segala-galanya.
Abdurrahman bin Auf, seorang lagi hartawan terkenal. Dia awal-awal lagi bergerak keluar dari Makkah dengan sehelai sepinggang. Langsung tidak membawa hartanya. Sehingga di Madinah terpaksa memulakan perniagaanya dari aras bawah semula.
Begitu juga hartawan lain seperti Abu Bakr, Uthman da lain-lain yang mengikuti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri bersabung nyawa di dalam peristiwa hijrah ini. Begitu juga Saidina Ali bin Abu Talib RA yang sanggup menggantikan Rasulullah SAW di kamar baginda.
Pernahkah anda tertanya-tanya, atas dasar apakah mereka sanggup berkorban sedemikian rupa?
Kerana mereka benar-benar jelas akan penghijrahan mereka.
Mereka berhijrah kepada Allah SWT.
Keimanan mereka, keyakinan mereka membuatkan mereka sanggup mengorbankan segalanya, asalkan penghijrahan mereka kepada Allah SWT itu berjalan lancar.
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka, apakah yang telah kita korbankan, andai benar penghijrahan kita kepada Allah SWT?
Atau sebenarnya, hijrah kita bukannya kepada Allah SWT, sebab itu kita tidak mengorbankan apa-apa? Sebab itulah kita tidak merancang apa-apa?
Jika benar, maka kita ini tidak berhijrah sebenarnya.
Penutup: Tiada Lagi Hijrah Selepas Itu, Selain Perjuangan Ke Arah Kebaikan
Rasulullah SAW bersabda pada haari pembukaan kota Makkah:
“Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlah” Riwayat Bukhari.
Maka bergeraklah kepada kebaikan, jangan lengah. Bergerak dengan sistematik tanpa boncah. Keraskanlah diri menghadapi segala ujian agar tidak tergoncang. Korbankan apa yang patut dikorbankan, kaut apa yang patut dikaut.
Kenapa kita mesti redha dengan diri kita penuh dosa hari ini? Kenapa kita mesti rasa tidak mengapa degan kelemahan kita hari ini? Kenapa kita mesti tunduk pada kezaliman dan kehinaan dunia kepada kita hari ini?
Maka bangkitlah, ubah segalanya, bermula dengan diri sendiri.
Jangan sekali mengungkap berubah itu, berubah ini, meningkat itu, meningkat ini, dengan kalam-kalam kosong tanpa perancangan. Kita tidak mahu bermain-main, kita bukan hamba tradisi. Kita hamba Ilahi.
Bergeraklah. Bergerak dengan serius.
Berhijrahlah, berhijrah dengan perancangan dan usaha yang tulus.






salam, post yg mmberi kesan. apa2pun, kena majukan diri! rancang sja xbrguna kalau xamalkan~ syukran jazakallah~
[Reply]
plan your work,,work your plan
jazakallah~
[Reply]
amin..terima kasih
[Reply]
thanks…p0st ini amt memberi kesan buat diri ini…
[Reply]
assalamualaikum..
entry yang bagus untuk jd peringatan… yup… berkata2 saja tak berguna kalau xda perancangan….dan kalau ada perancangan saja tp tidak dilaksanakan juga tidak berguna… y penting hati kene istiqamah…. dan kena betul niat dan tujuannya…. kerana Allah SWT….
syukran jazakallah
salam
ikhlas
serikandi
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada AR7
Amal dan perancangan itu, perlu seiring. Perancangan tanpa amal itu tak bermakna. Amal tanpa perancangan itu sia-sia.
Kita mahu amal yang memberikan kesan dan manfaat.
- kepada ‘adny
Ya. Maka di sinilah perlunya manusia memahami perancangan yang bagaimana mereka perlu lakukan.
- kepada solehah
Sama-sama…
- kepada trah
Semoga diterjemahkan dalam kehidupan….
- kepada jadikan aku serikandi
Ya. Kena serius dalam melaksanakan urusan.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
kita boleh merancang strategi utk suatu perubahan tapi kdg2 kita tersangkut2 dlm berusaha ke arah itu. so mcm mana ye nak tetap istiqamah berusaha ke arah tu? dalam erti kata lain, nak kuatkan hati utk ttp istiqamah.
[Reply]
Assalamu’alaikum,
kepada ain,
nak bertahan dalam melaksanakan kebaikan, walau berkali-kali tersungku jatuh, jawapannya hanya ada satu sahaja.
- Jangan putus asa, bersangka baiklah kepada Allah SWT, mendekatkanlah diri kepada-Nya -
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
thanks…post amat berguna bg sy…harap teruskan lg usaha ini…agar boleh menaikkan martabat islam…di masa akan datang…
[Reply]
Salam Tuan,
I am honoured to inform you, this article has been choosen to be published at iluvislam.com by our young and dedicated Editor Rosniza.
It is a great article, MasyaAllah. Keep up writing for the sake of Allah ya.
Ketua Editor Iluvislam.com
“Kepada sesiapa yang berhajat untuk copy paste artikel di website ini, anda dibenarkan melakukannya, menyebarkannya di mana sahaja anda suka, dengan syarat meletakkan nama saya dan alamat website ini di dalam sebaran tersebut. Dan anda tidak perlu minta kebenaran saya apabila hendak melakukan copy paste - sebar itu. Saya redha, semoga Allah perluaskan hidayah-Nya, melalui usaha-usaha kita” - I like this! Make our job easier Alhamdulillah. =)
[Reply]
Salam.
Mengaku punya cita-cita besar, tp usahanya sedikit.
Alhamdulillah, bila bc artikel ini, ana sedar dgn sebenar-benar sedar, bhw apa2 angan sekalipun tak akan tercapai andai diri ini terus diam dan membuat perancangan hanya di kepala shj.
InsyaAllah, doakan agar terus istiqamah dgn cita-cita dan moga juga terus istiqamah dgn amalnya..
[Reply]
hijrah bukan kerana manusia, jika kerana manusia, kita dapatla manusia tu. hijrah bukan kerana harta, kerana hijrah kerana harta, kita dapat harta.. tetapi hijrahlah kerana allah kerana apabila kita berhijrah keranaNYA, bukan sahaja ganjaran duniawi kita dapat, malah pahala menunggu..
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada am i
Alhamdulillah. Doakan agar Allah izinkan saya untuk istiqomah…
- kepada zaffankhalid
Alhamdulillah. Saya pun rasa berbangga artikel saya dipilih. Semoga Allah redha…
- kepada hambamencari
Ya. Usaha adalah tangga kejayaan. Peribahasa itu tidak wujud dengan sia-sia…
- kepada orang biase
Ya, terima kasih kerana berkongsi…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]