Langit Ilahi Rotating Header Image

Perkongsian: Kamu boleh menulis sebenarnya…

Semua boleh menulis, persoalannya, hendak menjadi penulis yang bagaimana?

Semua boleh menulis, persoalannya, hendak menjadi penulis yang bagaimana?

Semalam selesailah bengkel penulisan dan pengurusan blog yang saya kendalikan. Bengkel itu adalah yang pertama saya kendalikan, dengan berbekalkan sedikit pengalaman yang saya ada. Saya ada satu pandangan untuk membina satu gelombang penulis Islam yang faham, bukan sekadar boleh menulis, tetapi juga mampu membumikan pengisian dalam penulisannya itu, dalam kehidupannya. Saya juga berharapan, untuk lahirnya ramai lagi penulis yang mampu menjadi inspirasi kepada manusia untuk kembali kepada Allah SWT.

Kalau dalam cerita Rattatouille, chef yang telah mati berkata: “Semua orang boleh memasak”

Selepas bengkel ini, saya semakin yakin bahawa: “Semua orang boleh menulis”

Ada beberapa orang yang bertanya dengan saya sebelum ini, bagaimana hendak menjadi penulis, bagaimana hendak mencipta satu karya dan sebagainya, hari ini saya akan kongsikan sedikit bersama anda, berdasarkan pengalaman saya.

Bermula dengan niat

Pada saya, perjalanan seorang penulis yang baik, dan mampu memberikan kesan kepada manusia adalah dengan niat. Jika benar kita adalah seorang penulis yang mempunyai keterikatan dengan Allah SWT, maka kita akan memerhatikan niat kita sebelum memulakan perjalanan dalam alam penulisan.

“Setiap amal itu disertai niat, setiap orang apa yang diniatkan olehnya, barangsiapa yang berhijrah ke arah Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, untuk mendapatkan habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hijrahkan kepadanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Seorang penulis perlu menyoal kepada dirinya: “Untuk apa aku menulis?”, “Apa niat aku menulis karya ni?”, “Atas dasar apa aku menjadi penulis?”

Kenapa saya tetapkan perihal niat? Kerana niat adalah asas. Kita akan bergerak ke arah apa yang diniatkan oleh kita secara tidak sedar. Seorag ulama’ berkata:

“Keputus asaan di tengah perjalanan, adalah kerana wujud kesilapan di titik permulaan”

Maka, sesiapa yang mempunyai minat untuk menjadi penulis, saya senang kalau dia perhatikan niatya terlebih dahulu, menjadikan niatnya niat yang bersih, sebelum dia bergerak lebih jauh dengan menulis itu dan ini, agar penulisannya nanti menjadi penulisa yang juga bersih dan bermakna kepada dirinya, dan juga pembaca.

Bakat atau latihan?

Soalan panas. Menulis ini perlukan bakat kah? Atau cukup sekadar kita melakukan latihan?

Kalau soalan ini dilontarkan kepada saya, saya akan berkata bahawa bakat semula jadi dalam bidag penulisan, hanyalah nilai tambah sahaja. Hakikatnya, latihan memberikan sokongan yang besar dalam menjayakan penulisan kita.

Bakat, hakikatnya anda boleh hadirkannya. Hadirkan bagaimana? Dengan latihan.

Dan kalau anda perhatikan, seseorang yang genius di dalam sesuatu bidang, jika dia tidak berusaha pun, dia tidak akan ke mana-mana hanya dengan kegeniusannya.

Apa latihan sebagai seorang penulis?

Beberapa aspek yang perlu diperhatikan

Untuk saya, seorang penulis perlu melatih dirinya dalam beberapa aspek.

Aspek 1: Melatih untuk menguatkan hubungannya dengan Allah SWT – Hal ini kerana, jika anda berniat untuk menulis bagi membantu ummah berubah, bagi mempertingkatkan diri dan menyedarkan masyarakat berkenaan sesuatu perkara, maka hendaklah anda melatih diri anda untuk menjadi hamba. Yang menyampaikan penulisan kita, adalah Allah SWT. Siapakah yang meyakini?

Aspek 2: Melatih untuk memperbanyakkan pembacaan – Seorang penulis perlu ada ilmu. Barulah penulisannya kuat. Tidak bercakap atas angin, tidak memberikan sesuatu yang rapuh, dan penyampaiannya teguh lagi meyakinkan. Penulis yang tiada ilmu, dia tidak akan membina, tetapi sekadar menghancurkan pula pembaca-pembaca yang membaca karyanya. A Samad Said ada berkata, apabila ditanya berkenaan bagaimana hendak menulis: “Baca, baca, baca, baca kemudian tulis”

Aspek 3: Berdisplin dalam mewujudkan kebolehan menulis – anda ada masa tetap untuk anda menulis. Seminggu sekali atau beberapa kali, untuk mengasah gaya penulisan, teknik penulisan. Dan perlu rajin, perlu berdisiplin, atau seorang penulis itu tidak akan berjaya mempertingkatkan seni penulisannya sampai bila-bila. Memperbanyakkan bacaan juga hakikatnya merupakan salah satu disiplin, latihan, untuk mewujudkan, mencatikkan kebolehan menulis.

Aspek 4: Melatih minda supaya proaktif – ini amat penting kerana bagi seorang penulis, idea adalah antara nyawanya. Penulis yang tiada idea, tidak akan mampu menulis. Sebab itu, seorang penulis perlu bijak menterjemahkan segala apa yang dia lihat, dia lakukan, dia lalui, dia kenali, dia ketahui, kepada idea-idea. Penulis yang mampu berbuat begini, maka dia akan mampu menjadi penulis yang baik.

Aspek 5: Melatih hati untuk rendah – Dan akhir sekali, penulis yang baik adalah dia merendahkan hatinya. Dia menghubungkan segala usahanya tadi, dengan Allah SWT. Segala hasil yang dapat dia perah dari usahanya tadi, dia kembalikan kepada Allah dengan berterima kasih dan merasa itu semua hadiah daripada-Nya. Dia menghubungkan penulisanya, dengan Allah SWT. Dia tidak lemas dengan karyanya, dia tidak tenggelam dalam lautan ilmunya, dia tidak ujub dengan kebolehanya. Ini satu aspek yang menjadikan seseorang itu penulis yang baik.

Keputusan bengkel saya

Saya terangkan di dalam artikel ini, hanya ‘permukaan’ penyampaian saya di dalam bengkel. Saya rasa anda sudah menjangka penulis jenis apa yang saya harapkan akan muncul selepas bengkel yang saya kendalikan.

Saya tumpahkan kepada peserta bengkel-peserta bengkel saya perkara ini dengan lebih mendalam, dan selepas saya menerangkan mereka bahagian niat, bahagian teknik menulis, dan bahagian menjemput idea, ke semua mereka kemudiannya boleh menulis cerpen sehingga tiga muka surat banyaknya.

Dalam masa sebentar sahaja, mereka telah mencipta satu cerpen.

Sebelumnya mereka berkata: “Tak ada idea la”, “Tak tahu nak cerita la”, “Tak reti nak buat la”, “Tak tahu nak mula”, “Rasa kosong, tak ada apa boleh dikongsi untuk tulis”

Tetapi selepas menjalani sekitar 3 jam bengkel, mereka boleh menulis cerpen. Malah ada antara mereka yang mampu menulis cerpen dengan idea yang sangat baik, dan menarik, ayat yang cantik dan sebagainya.

Nah, semua orang boleh menulis sebenarnya. Tak ada idea, atau sebenarnya tidak reti menterjemahkan sesuatu itu kepada idea? Tak ada cerita, atau sebenarnya tidak tahu hendak cerita? Tak tahu hendak bermula di mana, atau sebenarnya tak tahu di mana hendak mencari permulaan? Rasa kosong, atau tidak pandai mengeluarkan apa yang ada di dalam tangan?

Akhirnya saya berjaya membuktikan bahawa, semua orang boleh menulis. Jangan sesekali kata anda tidak boleh. Guru penulisan saya, hanya Ummi Halimaton, yakni guru BM semasa tingkatan lima. Saya tidak belajar menulis di mana-mana bengkel penulisan khas dan sebagainya.

Dan persoalan yang saya bawa, selepas peserta bengkel, menyedari kebolehan mereka untuk menulis itu, adalah: Hendak menjadi penulis yang bagaimana?

Itu yang terpenting sebenarnya.

Penutup: Mulakan dengan kesedaran

Satu kata-kata bijak pandai adalah: “Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, dia tidak akan mampu memberikan apa-apa”

Jadi, tidakkah anda melihat bahawa kehidupan anda penuh dengan berbagai perkara? Jika anda tidak nampak anda mempunyai pelbagai perkara, maka ketahuilah anda sedang hidup dalam kesia-siaan. Pada saya, hatta penderitaan yang dialami juga adalah ‘apa-apa’ yang boleh ditukarkan kepada idea.

Tetapi di mana titik mula untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam penulisan? Untuk mampu menterjemahkan segala perkara menjadi idea? Untuk mendisiplinkan diri dan sebagainya?

Kesedaran. Rasa ingin berkongsi. Ada hajat untuk memberikan sesuatu, menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

Itu yang menjadi tolakan kuat kita untuk bermula. Sebab itu, saya, sebaik sahaja anda menyatakan – saya berminat nak menjadi penulis(tanda anda punya kesedaran) – saya suakan anda dengan niat, hubungan dengan Allah sebelum penulisan.

Supaya kesedaran tadi, rasa ingin berkongsi tadi, berhajat memberikan sumbangan tadi, kekal dalam kemurniannya, dan dikira sebagai Allah SWT sebagai satu amal yang bermakna bukan sahaja untuk diri penulis, tetapi kepada yang membacanya.

Amat menghairankan untuk penulis yang berkata dia hendak mengubah masyarakat, memberikan kesan kepada masyarakat, memberikan kebaikan kepada masyarakat, tetapi dia tidak mendekatkan dirinya kepada Yang Membolak-balikkan Jiwa Hamba-hamba-Nya – Allah SWT.

Anda hendak kata anda tidak boleh menulis?

Apa kata anda teliti dahulu artikel saya ini, kemudian anda mula menulis.

Maaf tidak boleh detail sangat, kerana ia berada dalam model bengkel. Model bengkel saya, adalah rahsia. Sebagaimana yang saya katakan dahulu.

Print This Post Print This Post

17 Comments

  1. jazakallah.

    naik sikit semangat baca artikel ni. lepas SPM, seakan terkena writer’s block.

    tapi, dah sedar dah.

    kan penulis mesti ada kesedaran baru boleh menulis.

    barakallahu fik.

    ;)

    [Reply]

  2. srikandi dataran syam says:

    salam,yup,skrg akk mula merasakan sesuatu slps saja tamat bengkel penulisan..menulis dgn hati akn smpai ke hati jua..maka,niat itu pntg…kita mahu menghubungkan hati kita dan pembaca dgn Allah…mcm yg saudara hilal tunjukkn dlm bengkel smlm…(penulis————-الله——————pembaca)….trima ksh kerana perkongsian yg sgt bermakna dlm bengkel tersebut…sprt kata anda”siapa yang mahu mengegarkan dunia bley bersama saya”.maka izinkan akk untuk bersama-sama hilal mengegarkan dunia…

    [Reply]

  3. Bro Nas says:

    Salam alaik.
    Tahniah akhi. Semoga perkongsian yang dibuat akan melahirkan generasi penulis dari Dataran Syam yang mampu menyihir pembacanya.

    Doa kami sentiasa mengiringi setiap detik derap langkahmu!

    [Reply]

  4. faiq zaini says:

    salam~

    shukran for the bengkel.
    ala kulli hal..
    banyak baca.. sama2 berusaha.

    [Reply]

  5. alin alin says:

    salam…
    terima kasih atas perkongsiannya…
    insyAllah akan dicuba…
    ya,setiap sesuatu dimulakan dengan niat…

    [Reply]

  6. rasydan rasydan says:

    salam hilal
    ingin berkongsi pesan A. Samad Said pada Faisal Tehrani ketika mula-mula Faisal bertemu Pak Samad dan bertanya tentang apa perlu dibuat untuk jadi seorang penulis. Pak Samad berkata, perlu ada 5 perkara: 1. Membaca, 2. Membaca, 3. Membaca, 4. Membaca dan 5. Menulis!

    “kalau yang kelima pun membaca?”

    “maknanya kamu jadi pembaca, bukan penulis!”

    lebih kurang begitulah. :) Allahu a’lam.
    teruskan menulis!

    [Reply]

  7. Salam,
    Syukran akh. Bengkel yang bagus. Banyak membantu~

    [Reply]

  8. saffwan says:

    terisi jiwa saya membacanya..

    harap2 saya tergolong dlam penulis harapan abg..

    [Reply]

  9. mujahidah cinta Ilahi says:

    Assalamu’alaikum,,

    Alhamdulillah,,Sesungguhnya bersyukur kepada Allah kerana masih ada insan seperti anta. Malah ana percaya InsyaAllah, masih ada ramai lagi insan seperti anta di luar sana. Setelah ana meneliti dan memahami dari awal hingga akhir entry ini, malah menelusuri karya anta, ana lihat sememangnya benar kata anta. Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada niat kita dan semestinya berusaha untuk kembali pada Allah agar InsyaAllah segala apa yang kita niatkan ke arah kebaikan akan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Pada pandangan ana sendiri, untuk melayangkan jari jemari menulis sesuatu nampak mudah namun realitinya itu satu tanggungjawab yang jika difikirkan kembali agak sukar. Ana berkata demikian kerana seseorang penulis itu sememangnya bukan sahaja setakat menulis malah perlu membaca untuk menambahkan ilmu dan memantapkan jiwa. Jika satu ayat mereka tersilap maka kemungkinan mereka mampu membuat orang ramai yang membacanya tersalah anggap dan kemungkinan terpesong dari landasan.

    Dalam hal ini, ana bersetuju, sesiapa pun boleh menulis dan menjadi penulis. Maka, niatkan kerana Allah, menulis kerana Allah dan berusaha kerana Allah. InsyaAllah, kita akan menjadi penulis yang berjaya dan dirahmati Allah.

    Teruskan perjuangan,,

    Salam ukhuwah, mahabbah fillah.

    [Reply]

  10. Iman Aisyah says:

    Terima kasih sedikit perkongsian!

    keep it up..teruskan menulis..saya pun berusaha utk menulis dan berkongsi sesuatu yg bermanfaat dengan semua..InsyaAllah

    [Reply]

  11. ARIFFAH9 says:

    salam, huhu, nak pergi jgk bengkel~

    [Reply]

  12. puspawangi says:

    Salam..

    tertarik dengan kata-kata siapa yang tidak punya apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa. saya kira penulis yang baik mestilah orang yang lebih banyak membaca daripada menulis. sudilah kiranya saudara berkongsi buku-buku sedang saudara khatamkan sekarang.

    ataupun saudara hanya mencoretkan perasaan tanpa pengisian.

    [Reply]

  13. Zakaria says:

    Salam.
    Alhamdulillah, terima kasih Sdr Hilal atas perkongsian yang lahir daripada fikrah yang jelas, niat yang murni dan semangat membara untuk menggegar dunia. Semakin kita punya apa-apa, semakin kita tidak rasa memiliki apa-apa, maka semakin tunduk kita pada Allah, Pencipta segala-galanya. Moga dari jiwa-jiwa yang tunduk ini lahir karya-karya yang menggegar dan - mengikut istilah Pak Samad Said - menggugah!

    [Reply]

  14. alwafiy says:

    terima kasih sahabat

    [Reply]

  15. adisg2 says:

    as salam anta bagaimana pula untuk menbahagi masa manulis dan study ?/ :neutral:

    [Reply]

  16. Mengislah masyarakat melalui bidang penulisan. Ombak baru yang cantik. Moga terus thabat.

    Bengkel yang berkesan dan sangat membantu. Jazakallahukhair.

    Ummah yang dahagakan penulis muslim dengan fikrah yang jelas menulis dalam lakaran penulisan yang cantik.

    Benar semua orang mampu menulis sebagaimana semua orang mampu bercakap. Soalnya penulisan dan percakapan yang bagaimana?

    Allahu’alam

    [Reply]

  17. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada raehan intisor

    Ya, yang tidak punya apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

    - kepada srikandi dataran syam

    Kita nak bersama kafilah Rasulullah SAW.
    Semoga Allah redha.

    - kepada Bro Nas

    Semoga Allah makbulkan doanya.
    Dari menyihir, saya senang dengan menawan. hu3..(gurauan)

    - kepada faiq zaini

    Ya. Semoga Allah bantu.

    - kepada alin

    Dimulakan niat, dan diterjemahkan dalam amal insyaAllah.

    - kepada rasydan

    Kita nak jadi dua-dua.
    Pembaca dan penulis.
    Yang mengubah masyarakat insyaAllah.

    - kepada Salam Abdullah

    Alhamdulillah. Semoga Allah kuatkan kita, dan memanjangkan dakwah-dakwah kita.

    - kepada saffwan

    Kita sama2 mahu menjadi penulis harapan Islam insyaAllah.

    - kepada mujahidah cinta Ilahi

    Kita mahu menjadi penulis yang memberikan kesan dan impak kepada masyarakat. Dan kita mahu, penulisan kita memberikan impak dan kesan yang positif.

    Semoga Allah bantu dan permudahkan.

    - kepada Iman Aisyah

    Moga Allah permudahkan.

    - kepada ARIFFAH9

    Tunggu saya balik Malaysia.

    - kepada puspawangi

    Mencoret perasaan tanpa pengisian?

    Itu anda boleh nilai sendiri. Adakah jiwa pelawat-pelawat blog ini terisi apabila membaca artikel2 di Langit Ilahi? Kalau terisi, itu tandanya, ia mempunyai pengisian.

    Berkenaan menyenaraikan buku2 yang saya baca, saya mohon uzur kerana saya tidak akan senaraikan dan berkongsi berkenaannya.

    Maaf jika tidak memenuhi hasrat.

    - kepada Zakaria

    Kita mahu, menjadi penulis yang Islam perlukan, yang Islam mahukan.
    Kita mahu, membina gelombang penulis yang punya syakhsiah dan mampu mengubah masyarakat.
    Moga, Allah bantu apa yang kita mahu.
    Dan memandu kita ke arah yang kita mahu.
    Kerana yang kita mahu, semuanya yang Allah mahu.

    - kepada alwafiy

    Sama-sama.. semoga Allah redha.

    - kepada adisg2

    Jawapan saya satu: Buat jadual.

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

Leave a Reply