Sehari sebelum bergerak ke Mesir, saya duduk-duduk dengan junior saya di Jordan dan bersembang berkenaan keimanan. Semasa berada di Mesir, bersama manusia yang saya jumpa, saya juga bersembang berkenaan keimanan. Selepas saya pulang ke Jordan semula, saya berkira untuk berkongsi perihal keimanan yang saya sembangkan untuk saya dan diri anda pula.
Keimanan, adalah asas kepada kebersihan dan kesucian amal. Kesungguhan, kecekalan, ketabahan, kegigihan kita dalam mengerjakan sesuatu amal, mengharungi kehidupan, dalam keadaan hendak mendapatkan redha Allah SWT, semuanya berpunca daripada keimanan.
Merujuk kembali perjalanan dakwah Rasulullah SAW, generasi yang hebat pada zaman baginda itu, terbina dengan dimulakan dengan pembinaan keimanan yang kukuh.
Sesungguhnya, kita perlu memberikan perhatian yang bersar terhadap keimanan ini.
Pandangan saya terhadap keimanan
Ramai manusia, mengendahkan perihal keimanan. Sebab utama kepada keendahan ini, adalah kerana keimanan itu tidak dapat kita lihat dengan pandangan mata.
Tetapi, pandangan saya, keimanan adalah ibarat piling sebuah bangunan. Anda boleh bertanyakan mana-mana pakar dalam membuat bangunan. Tanyakan dia soalan:
“Apakah perkara paling penting sekali bagi menjamin kekukuhan sesebuah bangunan?”
Maka, mereka akan menjawab: “Pilingnya”
Piling adalah dasar di bawah bangunan, yang menjadi permulaan kepada pembinaan. Biasanya, bahagian ini yang memakan masa paling panjang sekali. Semakin tinggi bangunan yang hendak kita bina, kita perlu membuat piling yang lebih dalam.
Namun bila bangunan sudah terbina, tiada siapa nampak akan piling. Orang akan memuji bentuk tingkap, langsir yang digunakan, corak pintu, hiasan bangunan, perabot-perabot di dalamnya, keluasannya, keselesaannya. Sedangkan, tiada satu pun daripada perkara-perkara itu membantu kepada kekukuhan bangunan.
Keimanan pada saya adalah demikian. Keimanan adalah piling yang mengukuhkan peribadi kita untuk kekal bergerak dalam lingkungan keredhaan Allah SWT.
Pembinaan keimanan di zaman Rasulullah SAW
Kita perhatikan di zaman Rasulullah SAW. Bagaimana Allah SWT dengan cantiknya menyusun jalan tarbiyah yang mereka lalui, dengan memupuk keimanan dalam jiwa para sahabat Rasulullah SAW.
Dakwah Rasulullah SAW adalah sepanjang 23 tahun. Kalau diteliti, 13 tahun adalah fasa Makkah, dan 10 tahun adalah fasa Madinah. Pada masa fasa Makkah inilah berlakunya pemupukan iman yang intensif.
Jika kita kaji, 13 tahun itu, ayat-ayat yang turun merupakan ayat-ayat yang fokus kepada keimanan, keyakinan, kepercayaan manusia kepada Allah SWT. Turun ayat-ayat seperti kisah Rasul-rasul bersama ummat mereka yang terdahulu. Banyak ayat-ayat yang menceritakan perihal azab neraka dan keindahan syurga. Ayat-ayat penenang serta janji-janji kemenangan daripada Allah SWT.
Keimanan ini, dididik dengan ujian dan cubaan. Di dalam fasa Makkah, para sahabat diseksa dengan dasyat, hingga ada yang terbunuh. Di dalam fasa ini jugalah Rasulullah bersama para sahabat, serta penyokong-peyokong baginda dipulaukan selama 3 tahun 3 bulan hingga terpaksa merebus kulit kasut dan memakan daun-daun kering.
Di akhir fasa inilah, Allah melakukan Isra’ Mi’raj ke atas Rasulullah SAW. Satu perkara yang di luar logik akal manusia, bagi mendidik para muslimin bahawa, Allah itu mampu melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Isra’ Mi’raj, jika dilihat dengan lebih mendalam, juga merupakan tapisan Allah SWT kepada mereka yang mengikuti Rasulullah SAW. Yang keimanannya benar-benar kukuh sahaja akan kekal dalam perjuangan ini.
Selepas itu barulah keluar arahan berhijrah. Yang berhijrah itulah yang telah mapan keimananannya, yang telah mantap kepercayaannya. Hingga Abdurrahman bin Auf mampu berhijrah tanpa sesen hartanya. Hingga Abu Bakar RA tenang terus hanya dengan sedikit nasihat Rasulullah SAW di dalam Gua Tsur.
“Patutkah manusia menyangka, bahawa Kami akan membiarkan mereka berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka(dengan ujian itu) tahulah mana yang benar beriman, dan mana yang berdusta” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Atas tarbiyah keimanan ini jugalah, apabila ayat-ayat hukum seperti solat, puasa, zakat, perang, pengharaman maksiat yang menjadi tradisi mereka dan sebagainya diturunkan, mereka terus taat tanpa banyak bicara. Malah berusaha memenuhi semuanya dengan kesungguhan tidak terhingga. Kenapa?
Kerana jiwa mereka sudah dirasuk dengan keimanan.
Dalam Fasa Madinah juga, kita akan melihat banyak lagi tarbiyah keimanan, yang terus berjalan dan meningkat. Di akhir fasa ini juga wujud penapisan. Ujian keimanan ketika itu adalah kewafatan Rasulullah SAW. Saya melihat perkara ini, adalah kerana Allah SWT hendak meninggalkan yang benar-benar beriman sahaja untuk membawa Islam ini menerobos zaman selepas itu.
Dan kita berjaya lihat, peribadi-peribadi yang dihasilkan dalam kilang keimanan inilah, akhirnya menjadi pilar-pilar pembangunan kerajaan Islam yang utuh. Merekalah yang kemudiannya menyambung perjuangan Rasulullah SAW. Merekalah yang kemudiannya mewariskan Islam ini untuk dibawa merentas zaman.
“Dan apakah orang yang telah mati(hatinya telah rosak dengan maksiat dan keingkaran), kemudian Kami hidupkan mereka semula(dengan hidayat dan petunjuk) dan kami jadikan padanya cahaya(keimanan) yang menerangi(sehingga dia dapat membezakan kebaikan dan keburukan) dan dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tetap tinggal dalam gelap gelita(yang tidak menerima petunjuk)….” Surah Al-An’am ayat 122.
Walaupun kualiti generasi seterusnya tidak sehebat mereka, tetapi kesan dari keimanan yang mereka tunjukkan itu, Islam tetap mampu terus bergerak dan bertahan dengan gemilang selama 1400 tahun lebih. Agama mana, kerajaan mana yang bertahan lebih lama daripada Islam?
Generasi keimanan inilah, yang kemudiannya berterusan menjadi contoh. Dari peribadi mereka, muncul lah jiwa-jiwa yang bergerak mencontohi mereka, kemudiannya menjadi punca kegemilangan ummah, seperti Umar bin Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fatih, Sultan Abdul Hamid, Hassan Al-Banna dan sebagainya.
Bermula dengan apakah kehebatan ini?
Keimanan.
Kita telah lupakan keimanan hari ini
Hari ini, kita telah lupakan keimanan yang sangat penting ini. Kita tidak mendidik anak kita untuk memahami keimanan. Kita lupa untuk memupuk keimanan di dalam jiwa dan peribadi kita. Kita juga lupa untuk menanamnya dalam pembinaan masyarakat kita.
Sebab itu, akhirnya manusia-manusia pada zaman ini tidak bergerak ke mana-mana melainkan kehancuran semata-mata.
Tiada pengawal 24 jam, 1440 minit, 86400 saat dalam sehari, melainkan Allah SWT. Tiada yang mengetahui isi hati melainkan Allah SWT. Tiada yang membalas atau memberikan hukuman sebenar-benarnya melainkan Allah SWT.
Maka, jika hubungan dengan Allah SWT itu tidak kita bina dan kukuhkan, pastinya manusia akan melakukan keingkaran demi keingkaran di belakang mata manusia. Sehingga hati mereka gelap, dan rosak, hingga mereka tidak segan lagi mengisytiharkan dosa-dosa mereka di khalayak ramai. Kehilangan iman, menyebabkan ketakutan kepada Allah luput langsung dari jiwa kita.
Dan ini menjemput kerosakan.
Tidak perlu saya senaraikan di sini apa kerosakan yang telah berlaku kepada diri kita dan masyarakat kita. Semuanya telah terzahir di hadapan mata kita, juga massa kita, juga karya-karya novel dan cerpen kita, juga di dalam filem dan drama-drama kita. Anda boleh melihat sendiri, dan menilainya.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu, dia beriman”
Kelemahan iman juga, adalah punca kepada kemungkaran tersebar luas.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangan. Sekiranya dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lisan. Jika dia tidak mampu, maka cegahlah(membenci) dengan hati. Sesungguhnya itu(mencegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman”
Bagaimana agaknya, yang redha pula dengan kemungkaran?
Lihat, kebencian terhadap kemungkaran, jahiliyyah, ada kaitannya dengan getaran keimanan.
Kehilangan keimanan ini juga membuatkan mereka yang mengaji agama, memutar belitkan agama yang telah mereka pelajari untuk kepentingan mereka. Bayangkan, ada yang belajar agama, memahami Islam, tetapi sanggup mengatakan peraturan Islam itu sudah ketinggalan zaman? Mereka ini adalah yang tidak terbina keimanannya.
Sebab itu, kita patut rujuk kata-kata Abdullah ibn Umar RA:
“Kami adalah kaum yang didatangkan iman, sebelum Al-Quran”
Hendakkan apa-apa, bermula dengan keimanan ini
Kita hendakkan pemimpin yang baik, kita perlukan pemimpin yang mempunyai keimanan. Hal ini kerana, dari keimanan sahaja mampu lahir amanah, kejujuran, tanggungjawab.
Kita hendak ekonomi berjalan dengan baik, maka kita perlukan mereka yang beriman. Hal ini kerana, dari keimanan sahaja mampu lahir amanah, keluar dari riba dan pengamalan bunga, dan mengeluarkan diri dari mendapat keuntungan dengan penipuan.
Kita hendak komuniti masyarakat yang bahagia, maka kita perlukan individu-individu yang beriman. Hal ini kerana, dari keimanan sahaja barulah kita mampu bersangka baik, berlapang dada, hormat menghormati, memahami erti persaudaraan atas Aqidah, membuang hasad dengki dan amarah.
Kita hendakkan anak-anak yang soleh, maka kita perlu didik mereka dengan keimanan. Hanya apabila mereka memahami bahawa Allah melihat segala perbuatan mereka, mengira semua amal mereka, barulah mereka mempunyai sensitiviti untuk menjaga akhlak dan peribadi mereka.
Kita inginkan sekolah yang bagus, maka kita perlukan individu-individu yang beriman menjalankannya. Agar pelajar-pelajar dapat melihat contoh yang baik, dididik dengan didikan yang baik dan terbina dengan binaan yang baik.
Kita hendakkan ketabahan, kegigihan, kesungguhan, kecekalan, maka hanya dengan keimanan sahaja mampu kita dapatkan semua itu. Hal ini kerana, keimanan berhubung terus dengan Allah SWT, dan kita meyakini betapa Allah SWT Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, Maha Menepati Janji dan Tidak Akan Menzalimi Hamba-hamba-Nya. Daripada situ, akan wujud satu kekuatan yang menolak kita untuk berusaha.
Penutup: Ini bukan sekadar fantasi
Pasti, ada yang mengatakan kepada saya bahawa, bicara berkenaan keimanan dan pemupukannya dalam kehidupan insan adalah tidak lebih dari sekadar omong-omongan sahaja.
Saya tidak bersetuju. Hal ini kerana, proses keimanan ini telah dibuktikan berjaya dari zaman ke zaman. Anda boleh melihat generasi awal, kemudian anda boleh melihat rakyat di zaman Umar Al-Khattab, kemudian anda boleh melihat kerajaan Umar Abdul Aziz, kemudian anda boleh menjenguk tentera Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fatih, seterusnya anda boleh melihat anak murid didikan Hassan Al-Banna.
Yang membuatkan mereka kuat, bukan kerana material yang wujud di sisi mereka.
Tetapi adalah kerana, material yang wujud di sisi mereka ketika itu, sama ada sikit atau banyak, digunakan atas keimanan kepada Allah SWT.
Mereka menundukkan apa yang berada dalam diri mereka. Lantas Allah menundukkan segala apa yang ada di atas dunia ini untuk mereka.
Saya tidak nampak satu solusi yang lebih ampuh melainkan solusi keimanan ini.
Sebagaimana kekukuhan bangunan, ditentukan dengan kekemasan pilingnya, begitulah kehidupan insan, ditentukan dengan kekemasan imannya.





salam..
mmg sentiasa tertuggu2 artikel pasal keimanan.
Sebagaimana kekukuhan bangunan, ditentukan dengan kekemasan pilingnya, begitulah kehidupan insan, ditentukan dengan kekemasan imannya.
btul3. ske ayt ni..
terima kasih di atas perkongsian kali ni.
[Reply]
salam akh.. ada request
bole tak akh bagi pendapat ttg kebangkitan mahasiswa Malaysia skrg dgn kisah kebangkitan pemuda dalam sirah?
[Reply]
salam..keimana itu perlu dicari… apa yg kite tanam skrg, itu lah nnt yg akan kita petik…thanks 4 a such nice article,hilal=)
[Reply]
Assalamualaikum WRT…
Ni ptama kali singgah, dah abis baca piling keimanan dan subuh gajah.
Baca topik subuh gajah tu sebab Che Kiah ada sorang anak bujang (15 thn) yang memang liat bebetul bila bangun subuh, solat waktu2 lain ok jer siap pergi berjemaah di masjid lagi (dia sekolah agama). Dah berbuih mulut ni nasihatkan dia.
Kadang-kadang Che kiah yang bangunkan, dudukkan dan tarik ke bilik air. Kat rumah boleh la buat macam tu, bila dia kat asrama tak leh nak bayangkan camne…
[Reply]
thanks for the article..
Harap dapat memperkukuhkan lagi piling keimanan saya.insyaallah~
[Reply]
Alhamdulillah,,
Apabila menelusuri ayat demi ayat daripada perkongsian ini, membuatkan kita menginsafi diri lantas bermuhasabah. Berusaha melihat ke dalam cermin jiwa, menilai keadaan iman yang mungkin selama ini hanya bayangan semata-mata. Moga kita semua dapat benar-benar kembali berpaksi pada keimanan Allah dan sentiasa memastikan kita berusaha untuk mengukuhkan keimanan yang sedia ada agar piling keimanan itu terus utuh walaupun terselindung di sebalik diri ini.
Teruskan perjuangan,,
Salam ukhuwwah, mahabbah fillah
[Reply]
Salam.
Moga topik keimanan dpt terus dikongsikan dlm Langit Ilahi.
Memberi kesedaran bhw ia asas utk segala-galanya.
Congrats for this post.
[Reply]
analogi menarik!
[Reply]
iman itu satu perasaan yg mantap,
x boleh dilihat, tetapi pancarannya jelas,
dan menggerunkan, macam magic
kerana itu, orang-orang beriman itu ajaib!
malangnya x ramai faham n sedar kepentingannya..
[Reply]
iman seseorang boleh berkurang dan bertambah. bergantung pada diri mereka itu sendiri untuk menentukannya.
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada nur-najah
Alhamdulillah, harapnya, keimanan ini tersebar dalam kehidupan kita, tertanam kukuh dalam setiap amalan kita.
- kepada Khairunnisa
Saya tak pasti mampu memenuhi permintaan kamu.
Namun kita lihat sahaja nanti.
- kepada wani
Alhamdulillah.
Justeru, perlulah kita tanam keimanan kita itu bermula sekarang.
- kepada Che Kiah
Alhamdulillah. Selamat datang ya che kiah.
Berkenaan anak tu, insyaAllah, kalau Che Kiah cakap elok-elok, dan berikan kefahaman betapa pentingnya solat itu untuk dia, dia akan berubah sedikit demi sedikit.
Di asrama, bukankah ada warden tolong kejutkan?
- kepada nur
Alhamdulillah. Kita semua mengharapkan piling keimanan kita kukuh insyaAllah.
- kepada mujahidah cinta Ilahi
Alhamdulillah. Terima kasih atas pandangannya.
Semoga Allah redha.
- kepada hambamencari
InsyaAllah. Memang matlamat Langit Ilahi, antaranya adalah menanam keimanan di dalam jiwa masyarakat.
- kepada qasru addini
Semoga, yang menariknya mampu menanam keimanan itu dalam jiwa.
- kepada Husna Sani
Memang ramai yang tidak faham. Maka menjadi tanggungjawab bagi kita yang faham inilah untuk bergerak menanam kefahaman itu pada mereka.
- kepada aishairdina
Ya. Bergantung kepada usaha dan kefahaman kita.
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
quote:
“rujuk kata-kata Abdullah ibn Umar RA:
“Kami adalah kaum yang didatangkan iman, sebelum Al-Quran”
Masa untuk menilai kembali bagaimana kualliti piling keimanan zaman skrg yg sgt berbeza ngan piling keimanan zaman kegemilangan ,perkembangan serta penyebaran Islam yang awalnya telah dibajai dengan dakwah Rasulullah kat Mekah n Madinah yg amat lama tempohnya..
[Reply]