Langit Ilahi Rotating Header Image

Relasi - Bab 4 - Dan aku tidak menerimanya

Bab 4

Dan aku tidak menerimanya

“ Saifullah Al-Maslul”

“ Saya”

“ Apa yang telah berlaku?”

“ Saifuddin, Omar, Ali dan Karim telah memukul pengawas”

“ Jadi apa yang kamu lakukan?”

“ Saya…”

“ Kamu bertindak melakukan kekerasan bukan?”

“ Saya hanya mempertahankan diri”

“ Benarkah?”

“ Benar”

“ Tahukah kamu sebagai pengawas dan pemimpin pelajar, kamu tidak dibenarkan melakukan kekerasan kepada pelajar lain dalam menangani masalah?”

“ Tahu”

“ Habis tu, mengapa Ahli Majlis Tertinggi melaporkan kamu telah melancarkan serangan kepada Omar?”

“ Sudah tentu tindakan saya itu adalah untuk mempertahankan diri”

“ Saya tidak dapat menerima alasan itu, kamu telah melancarkan serangan yang merbahaya dan boleh membawa kepada kerosakan anggota tubuh badan pelajar”

“ …….”

“ Pengawas tidak dibenarkan menyentuh pelajar, kamu hanya dibenarkan menulis nama dan melaporkannya kepada saya sebagai guru disiplin”

“…….”

“ Kali ini adalah amaran, seandainya kamu didapati mengulang sekali lagi tindakan seperti ini, kamu akan dikenakan denda yang amat berat serta dilucutkan jawatan”

“ …….”

“ Faham?”

“ …….”

“ Adakah kamu faham?!”

“ ……”

“ Saifullah Al- Maslul bin Abdurrahman Arshad!”

“ Saya dengar, saya faham dan saya taat”

Aku keluar daripada pejabat dengan wajah yang mencuka. Aku melihat langit biru. Tampak cerah angkasa hari ini. Kabut peristiwa tadi seakan ilusi bila melihat angkasa yang dihiasi awan-awan putih yang indah ini. Perlahan-lahan kututup kedua belah mataku. Sebentar kemudian dapat kurasakan angin damai meniup lemah membuai tubuhku. Gerak geram hatiku yang remuk, damai sebentar dibuai angin. Kupaut ketenangan dengan istighfar. Mengadu kepada RABB. Perlahan-lahan air mataku mengalir. Menerima dengan paksa rela kenyataan hari ini.

“ Menangis?” Kedengaran satu suara. Cukup kukenali. Aku tidak menoleh. Terus sahaja mataku kututup. Tidak kulayan empunya suara itu.

“ Merajuk?” satu lagi pertanyaannya menerjah gegendang telingaku. Pantas hatiku menjadi hiba. Tampaknya kegeramanku mula memuncak. Tanpa memandang ke arah empunya suara, aku berlalu pergi dari situ. Pergi meninggalkannya yang amat kuhormati. Dahulu. Kini hormatku seakan hilang.

“ Sahabat?” Kata-kata itu seperti renjatan elektrik yang membuatkan langkahanku terhenti. Aku menarik nafas sedalam-dalam boleh. Perkataan itu benar-benar membuatkan aku berfikir. Kini diluahkan oleh seorang manusia yang pernah menerangkanku dengan panjang lebar mengenai perkataan itu. Dia sahabat? Aku sahabat dia?

“ Mengapa?” Aku mula bersuara. Tetapi wajahku tidak memandang dirinya.

“ Mengapa apa?” Senior memulangkan kembali pertanyaanku.

“ Mengapa Senior berbuat seperti itu?

“Mengapa Senior tidak menguruskan mereka? Mengapa Senior membawa saya ke pejabat untuk dimarahi sedangkan saya hanya mempertahankan diri? Apakah begini sikap Senior yang sebenar? Pengecut? Senior tak rasa hinakah? Adakkah Senior tidak punya rasa malu direndah-rendahkan oleh mereka? Apa Senior suka melihat sikap mereka? Mengapa Senior melakukan semua ini? Saya tidak dapat menerima! Saya pengawas dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi, mustahil hidup saya dihina sebegini. Mengapa pihak yang salah tidak dibawa ke pejabat? Mengapa saya yang dipersalahkan? Mereka telah membelasah teruk Zayd hingga berdarah! Bukankah Zayd seorang pengawas? Di manakah harga diri Badan Pengawas Sekolah? Senior? Adakah Senior dengar? Beginikah Senior? Beginikah Ketua? Beginikah Pemimpin? Beginikah…..Beginikah sahabat?!” Aku meluahkan segala yang terbuku di dalam hati. Air mataku berlinangan membasahi pipi.

Suaraku lantang memukul dinding bangunan pejabat hingga bergema. Guru-guru yang sedang berehat terganggu. Ada di antara mereka yang menjenguk melalui tingkap. Senior pula hanya senyap tidak mencelah. Aku menunggu balasan daripadanya. Mungkin responnya akan positif setelah mendengar kata-kataku. Senior menundukkan wajahnya sedikit.

“ Ya…Beginilah aku kepada kamu” Ringkas jawapan Senior.

Sejenak kulihat dia membetulkan cermin matanya. Kemudian dia terus berlalu tanpa sepatah kata. Menjadikan aku perhatian guru-guru yang menjengah keluar melihat keadaan. Aku tergamam mendengarnya.

Hampa. Kecewa. Itulah perasaan aku apabila mendengar jawapannya. Pahitnya pengertian Sahabat jika begitu keadaannya. Rupanya Senior yang selama ini kuhormati dan kusanjungi merupakan manusia yang sebegini.

Naluriku selama ini yang mengangkatnya sebagai seorang teman berduka, sahabat bergembira, rakan seperjuangan, abang dalam perhubungan, ketua dalam persatuan rupa-rupanya hanyalah tipuan sahaja. Rupanya pengertian sahabat itu hanya palsu sahaja.

Sakit. Perit. Pedih. Aku memegang dada kiriku. Entah apa perasaan ini.

Aku benci perasaan ini.

Pergi!

Sakitnya hatiku. Mujur sahaja keimananku masih kuat memagari rasa hati dan fikiran akal. Jika tidak, sudah pasti aku menjerit menghadap angkasa melepaskan segala kekecewaan yang kualami. Seakan-akan selama ini takdir menipuku. Namun rasa percaya akan hikmah ALLAH masih bersemi di hati. Mengunci pemikiran yang tidak enak daripada berlari merasuk diri. Lantas dengan istighfar menari-nari di bibir, aku bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan pejabat. Guru-guru yang tadinya menjengah keadaan melalui tingkap mula masuk kembali.

Aku berjalan membawa hati yang remuk dengan pendirian yang masih utuh. Percaya yang ALLAH tidak akan mempermainkanku. Percaya yang setiap sesuatu berlaku pasti ada hikmahnya. Percaya bahawa mereka yang mengajak kepada yang ma’ruf ALLAH akan membantunya.

Mungkin peristiwa yang berlaku kepadaku hari ini adalah kifarah dosa-dosaku yang lalu. Aku berjalan pulang ke asrama dengan langkah yang perlahan dan lemah. Bersabar. Sesungguhnya bersabar itu adalah yang paling baik. ALLAH tidak akan menganiayai hamba-hambaNya. Aku memujuk diriku.

Hari ini hari Khamis. Seperti yang dituntut dalam sunnah Rasulullah, hari ini aku berpuasa sunat. Telah menjadi kebiasaanku dan sebilangan besar pelajar di sekolah ini berpuasa pada hari ini. Maka hari ini, Pak Abdullah, tukang masak bagi pihak sekolah kami akan menyediakan makanan malam dengan menu yang istimewa sebagai galakan kepada pelajar yang berpuasa.

Suasana di dewan makan menjadi riuh rendah dengan suara pelajar-pelajar asrama yang bersembang sementara menunggu makanan dihidangkan. Di sekolahku, pelajar-pelajar sendiri yang menguruskan hidangan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Suasana ini mendidik pelajar di sekolah ini berdikari dan pandai mengurus diri dan keadaan. Malah pelajar-pelajar di sini menjamah makanan bersama-sama dengan memakai dulang. Empat orang satu dulang. Hal ini tambah mengeratkan hubungan sebilangan besar pelajar di sini. Namun ada juga segelintir pelajar yang ingkar dan sering bertindak mengikut pemikiran mereka sendiri.

Hari ini adalah giliran aku untuk beratur mengambil makanan. Tiga orang rakanku yang lain duduk di atas lantai menantiku. Mereka juga berpuasa. Pelajar-pelajar yang tidak berpuasa pada hari ini telah lama meninggalkan dewan makan. Mereka telah menuju ke Musolla untuk persiapan solah Maghrib. Namun keadaan dewan makan seakan tidak berubah dengan riuh rendah pelajar. Hal ini kerana ramai dalam kalangan pelajar asrama yang berpuasa pada hari ini.

Aku menanti giliranku dengan penuh sabar. Sebagai Ahli Majlis Tertinggi Badan Pengawas Sekolah, aku mestilah menunjukkan contoh yang terbaik kepada pelajar yang lain.

Dalam sejarah sekolah sepanjang tiga puluh tahun penubuhannya, aku telah memecahkan tradisi dengan terpilih menyertai barisan Ahli Majlis Tertinggi ketika berada di tingkatan lima. Sebelum ini, hanya tingkatan enam bawah dan tingkatan enam atas sahaja yang menjadi anggota Ahli Majlis Tertinggi. Itupun hanya sebilangan kecil daripada mereka. Hal ini menyebabkan beberapa orang pelajar bermasalah, misalnya seperti Omar dan rakan-rakan, tidak berapa menyukai pencapaianku. Mereka menganggap aku tidak layak dan bakal membawa gangguan dalam kehidupan mereka.

“ Hai, mengelamun jauh nampak?” Satu suara menegurku dari arah belakang.

Aku segera menoleh. Abang Irfan yang merupakan rakan karib Senior berdiri di belakangku dengan bibirnya mengukir senyum.

“ Menggelamun tenggelam dalam zikir ALLAH atau menggelamun teringat buah hati?” Pantas dia mengusik diriku tanpa menanti aku menjawab soalannya yang awal.

Aku tersengih. Hatiku sudah tawar sebenarnya untuk berinteraksi dengan orang-orang dari Ahli Majlis Tertinggi. Tambahan pula Abang Irfan turut menyertai Senior dalam meleraikan peristiwa beberapa hari lepas.

“ Lah sengih pulak dia, orang tanya betul-betul ni” Abang Irfan meneruskan lagi bicaranya.

Dia nampak tidak terkesan dengan wajahku yang mencuka. Tampak tetap bersungguh-sungguh ingin membuatkanku membuka kata. Aku tetap tidak menyua bicara. Abang Irfan menghela nafas lemah.

“ Jangan macam ni Saifullah, jangan kerana kamu marahkan abang angkat kamu, kamu marah semua sahabat-sahabatnya” Abang Irfan berkata perlahan. Aku menoleh ke arahnya. Keningku sedikit terangkat. Abang angkat?

“ Siapa abang angkat?” Aku bertanya.

Sebentar kemudian aku terdiam. Kulihat Abang Irfan tersenyum. Nampaknya umpannya telah berjaya membuatkan aku bersuara.

“ Tak guna” Aku mendengus kasar.

Namun kulihat Abang Irfan tetap tersenyum manis. Bersih sekali wajahnya.

Ha ha, bersuara jugak dia. Siapa lagi, abang Senior kamulah. Kan dia tu abang angkat kamu?” Kata-katanya membuatkan aku terkejut. Terangkat keningku. Aku adik angkat Senior?

“ Kamu tahu, Senior kamu tu selalu sembang fasal kamu kepada kami. Beberapa hari ni dia asyik bimbangkan kamu yang bermasam muka dengannya” Aku terpempan.

Senior asyik bercakap fasal aku? Bimbangkan aku? Risau? Aku semakin hairan. Mengapa Senior begitu bersungguh-sungguh membaik pulih keadaan kami sedangkan dia sendiri yang merosakkannya?

“ Melihat wajah kamu, abang tahu yang kamu tidak mengerti mengapa Senior kamu bertindak sedemikian rupa pada hari itu. Tapi abang nak beritahu kamu Saifullah, sebagai seorang sahabatnya, abang faham tindakannya itu hanya inginkan kebaikan kepada kamu” Abang Irfan menerangkan.

Aku melihat telus kepada matanya.

“ Abang kata, abang sahabat dia? Heh, apa sahabat kalau abang tak halang dia membawa saya ke pejabat hari itu. Apa sahabat kalau abang menganggap baik tindakannya hari itu?” Aku membentak perlahan. Suaraku kutekan agar menjadi perlahan.

Perbualan ini hanya antara kami berdua. Aku tidak mahu ada pelajar lain yang perasaan akan isi pernbincangan kami.

“ Nampaknya kamu memang benar-benar tidak memahami erti sahabat dan mengapa kami tidak terus menguruskan mereka berempat hari itu” Abang Irfan mengeluh sedikit.

“ Abang tidak memaksa kamu memahami kami, tetapi baik kamu fikirkan abang Senior kamu yang selama ini amat mengambil berat kepada kamu dan sentiasa menjaga kamu. Adakah dia akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kamu?” Abang Irfan masih berusaha meyakinkan aku.

Dia mengajak aku untuk berfikir. Mujur sahaja akal itu masih berfungsi mengawal amarahku. Pantas istighfar yang bergayutan pada bibirku menahannya dari meledak.

“ Apakah tindakan dia kelmarin membiarkan pesalah terlepas, membiarkan pengawas dicederakan dan membiarkan saya dimarahi adalah satu tindakan yang betul dan tepat?” Aku memulangkan kembali pertanyaannya sebentar tadi.

Egoku masih tinggi. Abang Irfan tunduk. Tampak kecewa.

“ Sudahlah” Perlahan kalam itu meluncur keluar dari dua bibirnya.

Hatiku dipukul rasa bersalah. Tetapi egoku menghalang perasaan itu menggerakkan kemaafan. Lantas Abang Irfan pergi meninggalkanku keseorangan. Aku sekadar melihat kelibatnya hilang dimamah lautan puluhan pelajar yang sedang sibuk menunggu waktu berbuka. Rasa kesal menyelit dicelah-celah pangkal hatiku. Namun kubiarkan sahaja ianya berlalu. Sebentar kemudian, aku memusingkan tubuhku. Dulang yang kupegang secara alami mengikut momentum pergerakanku.

GEDEGANG!

Bunyi dua dulang berlaga kedengaran.

KPANG!

Diikuti bunyi sebuah dulang jatuh di atas lantai dewan makan. Kulihat dulang itu berisi masakan enak hari ini. Segalanya isinya telah jatuh mengotori jubin. Ayam percik berempah yang amat lazat sudah tidak dapat menggamit selera manusia lagi. Seluruh dewan makan senyap. Semua mata tertumpu ke arahku. Aku tergamam.

“ Kau buta ke hah?!” Satu jeritan yang amat keras bergema menghentam kuat gegendang telingaku sehingga bunyinya berdesing di cupingku.

Aku terkejut. Aku dapat melihat kini wajah Omar yang penuh dengan kemarahan menatapku. Wajahnya menyinga. Sudah pasti dulang tadi itu kepunyaannya.

“ A…Aku tak sengaja” aku cuba mempertahankan diriku. Wajah Omar yang bengis menerkamku.

“ Apa tak sengaja?” Omar menyergahku kembali.

“ Ada hal apa ni?” Saifuddin pula tiba.

Nampaknya keadaan menjadi semakin parah. Dengan jelas sekali anak mataku dapat menangkap kelibat Ali dan Karim yang baru sahaja keluar daripada kerumunan pelajar-pelajar yang melihat keadaanku. Nampaknya keadaan memang benar-benar menjadi lebih parah dan dasyat.

“ Oh, Power rangers biru rupanya, kenapa? Tak puas hati lagi ke kes hari itu?” Mulut pedas Karim pantas sahaja menembakkan pelurunya.

“ Ish, tak elok macam ni Saifullah. Kan membazir tu kawan syaitan” Saifuddin pula menambah dengan hujah samawinya memerliku. Pedih sekali hatiku. Kini semua orang melihat diriku sebagai punca masalah.

“ Kalau tak puas hati pun, janganlah jatuhkan dulang orang. Kan ada makanan kat dalam tu?” Ali menengkingku dengan penuh amarah.

Aku hanya mampu senyap. Mereka sengaja memperbesar-besarkan kesalahanku dengan menokok tambah cerita agar nampak aku benar-benar berniat jahat terhadap mereka.

“ Apa Pengawas macam ni?” Omar mula bertindak kasar dengan menolakku.

Tubuhku terundur ke belakang menuju Saifuddin. Peluang ini digunakan oleh Saifuddin untuk menolakku kembali ke arah Omar. Dengan gerak langkah yang selamba, Karim yang terkenal dengan hatinya yang busuk itu menghalang kakiku dengan kakinya. Akibatnya tubuhku hilang keseimbangan. Tubuhku jatuh di atas makanan yang tumpah di atas lantai. Habis kotor pakaianku.

“ Maaf, tak sengaja” Karim bersuara sinis. Berderai ketawa Omar dan teman-temannya.

“ Lain kali kalau bergerak tu tengok keadaan sekeliling” Omar dan teman-temannya berpesan kepadaku sinis.

Mereka kemudiannya beredar meninggalkanku keseorangan terkial-kial. Pelajar-pelajar lain yang sedari tadi melihat peristiwa yang berlaku mengamalkan sikap acuh tak acuh.

Namun terdapat beberapa orang pelajar terutamanya adik-adik halaqahku datang membantu. Perlahan-lahan mereka membantuku untuk bangun. Beberapa orang teman sekelasku membantuku membuangkan sisa-sisa makanan yang terlekat pada pakaianku.

“ Eh, kau kena tukar pakaian ni. Kotor sangat” Amiri mengungkapkan perihatinnya.

Tulus wajahnya menunjukkan betapa dia mengambil berat tentang diriku. Seketika aku terharu dengan mereka yang sanggup membantuku dalam keadaan puluhan pelajar lain hanya mampu melihat sahaja. Adakah mereka ini sahabat? Amiri dan Abbas dengan segera menemaniku pulang ke asrama. Yang lain ingin mengikuti, namun kutegah dengan alasan cukup hanya dua orang.

Dalam perjalanan Azan berkumandang. Waktu berbuka telah masuk.

“ Nah Abang Saif, ni saya bawakan kurma untuk abang berbuka” Abbas menyuakan kurma.

Bergenang air mataku. Baik sungguh hati mereka. Di asrama aku duduk sebentar bersama mereka berdua menjamah kurma sekadar untuk berbuka. Sememangnya hari ini terselit pengalaman yang amat pahit, dan hari ini juga terdapat pengalaman yang sangat manis apabila aku mengetahui wujudnya beberapa orang manusia yang amat perihatin dengan keadaanku. Mungkinkah ini yang dikatakan sahabat?

Sememangnya kalau kufikirkan memang salahku yang tidak berhati-hati. Sebab itu aku hanya mendiamkan diri ketika dipermainkan oleh mereka. Keadaanku itu membuatkan mereka mendapat peluang yang besar untuk mengenakanku. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya ALLAH masih memeliharaku dari kecelakaan yang lebih teruk.

Aku melepaskan nafas dengan lemah. Sejenak aku terdiam di tempat itu berfikir. Apalah dosa yang telah aku lakukan sehingga ALLAH mengujiku sebegini? Ya ALLAH, Sesungguhnya Kau tahu hambaMu ini amat lemah. Maka bantulah aku Ya ALLAH dan jangan sesekali Kau tinggalkan aku daripada jagaanMu.

Print This Post Print This Post

Leave a Reply