Bab 7
Tamanan Syurga
Kokokan ayam menghancurkan mimpiku. Mimpi yang aneh. Kebelakangan ini berulang-ulang dengan agak kerap. Mimpi yang bagiku tiada cacat celanya berbanding memori. Mimpi mengenai peristiwa yang berlaku dua tahun yang lalu. Ketika aku masih berada di tingkatan tiga. Saat di mana aku mula mengenal dia.
Huh.
Aku mengeluh.
Aku melirik ke arah jam. Pukul lima pagi. Sesuai sekali untuk Qiammullail. Subuh akan menjengah pada pukul enam pagi. Aku mengambil keputusan untuk duduk sebentar di atas katil. Aku berfikir. Ini kali yang ketiga aku bermimpi perkara yang sama. Malah mimpi itu berbentuk ulangan memori. Bukannya satu perkara baru yang belum ditempuhi mahupun perkara ajaib yang hanya berlaku di dalam mimpi. Pinar aku memikirnya. Aku beristighfar banyak-banyak. Mungkin sekali sengketaku dengan Senior banyak memberikan tekanan dalam diriku sehingga terulang-ulang mimpi yang tiada berkaitan.
Aku membuang jauh perasaan aneh yang hinggap di dalam hati. Perasaan yang aneh seakan menganggap mimpi itu adalah petunjuk ALLAH akan pasangan hidupku. Aku baru sahaja tujuh belas tahun. Mustahil bagiku memberikan masa untuk perkara yang sebegitu.
Aku bingkas bangun apabila menyedari lima belas minit telah berlalu. Nanti ketinggalan pula peluang Qiammullailnya. Bukannya mudah untuk bangkit awal sebegini. Bagiku, peluang untuk Qiammullail adalah satu nikmat yang amat besar sekali. Nyata ALLAH memuliakan aku hari ini.
Cuaca hari ini ternyata amat bagus sekali. Aku memandang ke angkasa. Cerah. Awan yang memenuhi dada langit membuatkan cuca menjadi redup. Nikmat kasih sayang ALLAH kepada hamba-hambaNya. Besarnya kasih ALLAH kepada kita. Hanya kita sahaja hambaNya tidak menyedari serta tidak mahu merasa. ALLAH pernah berfirman.
“Nikmatku yang mana lagi kamu mahu dustakan?”
Aku duduk tenang di bawah naungan perdu pokok. Aku bersila sambil menggumam zikir yang menjadi kebiasaanku. Aku rasa tenang. Aku tidak rasa keseorangan. Pelbagai masalah yang aku hadapi kebelakangan tidak menjadi penghalang untuk aku bekerja denngan lebih rajin dalam medan dakwah & tarbiyah ini. malah, peristiwa-peristiwa kebelakangan ini seakan-akan menjadi motivasi untuk aku menggiatkan lagi usahaku.
ALLAH memberikanku pelbagai ujian tanda kasihnya Dia kepadaku. ALLAh memberikanku pelbagai halangan kerana Dia ingin mengkifarah dosaku. Justeru aku merasa perlu melipat gandakan usahaku dalam menyebarkan kefahaman terhadap deenNya. InsyaALLAH, ALLAH akan memudahkan segala masalahku.
“In Tansurullaha Yansurkum”
Ayat itu menjadi penjana kekuatan kepadaku. Jika kamu membantu ALLAH,
ALLAH akan membantumu. Aku yakin dengan FirmanNya. Bukankah ALLAh itu tidak pernah memungkiri janji?
“ Abang Saif!” Kedengaran satu suara sederhana kuat menyapaku.
Aku pantas menoleh ke arah suara itu. Kulihat Abbas bersama-sama dengan empat orang lagi adik-adik halaqahku sedang berlarii-lari anak sambil mebawa buku cacatan ke arahku. Aku mengukir senyum senang.
Di sekolah ini, aku bertanggungjawab menjadi mas’ul kepada Halaqah Tingkatan Satu dan Dua. Adik-adik halaqahku terdiri daripada lima orang. Abbas, Emrullah, dan Fathi adalah daripada pelajar tingkatan satu. Shaheran dan Salim pula adalah daripada tingkatan dua.
Aku amat senang sekali dengan mereka. Perangai keanak-anakan mereka menghiburkan hatiku. Aku tidak pernah rasa susah dengan mereka. Aku rasa gembira duduk dengan mereka dan mencurahkan segala ilmu yang aku ada. Sesungguhnya merekalah saham aku di akhirat kelak. Andai ilmu yang kusampaikan ini mereka amalkan dan sebarkan, pastinya pahalaku akan berganda-ganda.
Mereka segera sahaja duduk bersila membentuk bulatan bersamaku selepas semuanya selesai bersalaman denganku. Bersih sungguh wajah-wajah mereka. Menunjukkan kesungguhan untuk mereguk ilmu yang ALLAH sediakan untuk mereka.
“ Abang Saif, hari ini kita berbincang fasal apa?” Salim pantas bertanya sebaik sahaja kami selesai membacakan Al-Fatihah sebagai pembuka majlis.
Dia duduk bersebelahan denganku. Aku mengusap rambutnya dan mendekatkan kepalanya denganku. Aku menunjukkan buku ‘Dengarkan Suara Hati karangan’ ‘Amru Khalid. Mereka semua tersenyum.
“ Buku baru ke?” Shaheran bertanya. Dia suka sahaja bertanya. Perihal yang penting mahupun tidak. Seorang pemain hoki sekolah. Namun kesibukannya dalam permainan itu tidak pula melalaikannya daripada menghadiri halaqah mingguanku.
Aku pasti sekali dia berasa pelik. Kami sebenarnya sedari awal bermulanya halaqah menelaah buku Maza Ya’ni karangan Mujahid Fathi Yakan. Tetapi pada kali ini aku ingin berubah angin sebentar agar perjalanan fikrah tidak menjadi bosan.
“ Ya buku baru, tetapi buku Maza Ya’ni tidak kita tinggal terus” Aku menjelaskan.
Aku tahu benar yang mereka amat suka sekali buku karangan Mujahid Fathi Yakan. Tetapi aku pada hari ini aku ingin sekali menyentuh buku ini dalam bab Doa. Pantas sahaja kuselak muka surat yang kuingini.
“ Hari ini kita akan membicarakan perihal doa” Aku memulakan majlis.
Adik-adik halaqahku mula menumpukan kosentrasi. Mereka telah bersedia dengan pena dan buku catatan. Aku yang menghadiahkan kepada mereka kedua benda itu. Aku suka jika wangku habis dengan dibelanjakan ke arah yang berguna. Berguna di dunia dan di akhirat. Aku senang sekali melihat dakwat pen itu mengalir mencorak huruf mengikuti seni tangan yang menulis. Seakan aku melihat pahalaku sedang membuak-buak mengalir dan dosa-dosaku seakan dipadam dengan curahannya. Aku rasa senang. Hembusan angin petang yang damai membuai kami. Damai dan tenang. Seakan-akan para malaikat yang menaungi majlis ini meniup nafas mereka kepada kami agar sentiasa tenang dalam naungan ALLAH.
Mengikut buku karangan ‘Amru Khalid ini, doa sebenarnya merupakan ibadah. Berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W;
“Doa adalah ibadah”.( Hadith riwayat Tirmidzi, An-Nasa’i, Abu Daud dan Ibn Majah daripada Nu’man bin Basyir)
Menurutnya legi. Manusia amat lemah sehingga perlu dibantu dalam setiap perkara. Maka sebenarnya manusia membutuhkan doa agar ALLAH membantunya. Malah ALLAH menggalakkan hamba-hambaNya supaya sering berdoa. Malah dengan penuh kasih sayang, ALLAH mencurahkan sepenuh perhatianNya untuk mendengar doa kita. FirmanNya,
“ Bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan oang yang berdoa apabila dia memoghon kepadaku”
Malah Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita dalam sabdanya,
“ Barang siapa yang tidak berdoa kepada ALLAH, nescaya ALLAH murka kepadanya”( Hadith riwayat Tirmidzi dari Abi Hurairah RA)
Di dalam bukunya juga, Amru Khalid mengutarakan punca doa tidak dikabulkan dalam penyampaian yang aku kira menarik dan menyentuh hati. Beliau menerangkan, sebenarnya kita sahaja yang merasakan ALLAH tidak mengabulkan doa kita. Tetapi sebenarnya, ALLAH menangguhkannya untuk kita sentiasa meminta. ALLAH suka mendengar hambaNya meminta. Rasulullah yang mulia ada bersabda,
“ Sesungguhnya ALLAH itu Maha Malu lagi Maha Pemurah. Dia merasa malu bila hambaNya mengangkat tangan ke arahNya dan menarik kembali dalam keadaan kosong.(Hadith Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn majah daripada Anas RA)
Adik-adik halaqahku kulihat tekun menulis. Sesekali mereka mengucapkan kalimah tasbih memuji ALLAH kerana besarnya rahmat ALLAH kepada manusia. Hatiku senang sekali melihat keadaan ini. Keadaan manusia yang hina berkumpul berkumpul untuk mendapatkan keredhaan ALLAH dengan berusaha mengenaliNya denagn lebih dalam.
Selepas hampir dua puluh minit, aku berhenti. Aku menutup bab ini dengan menceritakan kisah-kisah benar yang tertulis di dalam buku ini mengenai pengaruh doa dalam kehidupan manusia. Selepas itu aku memberikan adik-adik halaqahku peluang untuk bertanya mengenai bab yang kami bincangkan atapun apa-apa perkara. Aku memang sering begitu, memberikan peluang kepada mereka agar mereka meninggalkan halaqah ini dalam keadaan yang puas dan tenang.
Shaheran mula bertanya terlebih dahulu. Dia bertanya perihal doa dalam permainan. Pastinya sukan itu adalah hoki. Dia bertanya adakah doa boleh mempengaruhi perjalanan pertandingan sukan. Aku tersenyum. Aku ceritakan kepadanya bagaimana doa Rasulullah boleh membuatkan semua penunggunya di luar pintu rumah tertidur. Apa lagi sekadar perjalanan permainan. Boleh sahaja kita berdoa agar ALLAH tidak pertemukan kita dengan pasukan yang kuat. Aku lihat dia berpuas hati.
Salim pula bertanya tentang perihal doa yang tidak dimakbulkan, dia menceritakan dirinya yang seakan tidak dipedulikan ALLAH apabila berdoa. Dia malah merasakan segala apa yang dimintanya tidak pernah dirasai. Dia merasa ALLAH tidak mahu memandangnya. Dengan penuh perasaan dia meluahkan masalahnya itu.
Kukatakan kepadanya bahawa kadangkala dosa kita merupakan hijab dalam memakbulkan doa kita. Aku juga berkata, kadang kala ALLAH menunda doa untuk mengajari kita melawan syaitan yang menggoda kita dengan kata-kata, “ ALLAH telah meninggalkan kamu, Dia tidak akan mengabulkan permintaan kamu”. Kulihat Salim tenang sedikit. Dia memang seorang yang mudah terasa. Alhamdulillah, semoga ALLAH menjaganya.
Fathi tidak menyentuh bab doa, malah dia dan Emrullah seakan telah merancang dari awal untuk bertanya kepadaku perihal cinta. Aku meleret senyum nakal. Kulayangkan kedua tanganku mencubit pipi mereka serentak.
“ Ni apa ni? Baru tingkatan satu dah cinta-cinta” Aku berseloroh. Mereka ketawa.
“ Alah Abang Saif, kami dengar, didikan mengenai baitun dakwah mestilah dimulakan sedari awal. Kami tanyalah” Emrullah mempertahankan diri sambil mengangkat jari ibunya kepada Fathi. Aku tersenyum melihat ulah mereka. Nakal.
Aku menerangkan kepada mereka perihal cinta secara ringkas. Kukatakan kepada mereka bahawa Islam amat menjaga cinta. Cinta merupakan tali perhubungan dua insan. Aku juga menyatakan kepada mereka bahawa cinta tidak terbatas kepada lelaki dan wanita sahaja malah lelaki dan lelaki. Malah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan ALLAH di Padang Mahsyar kelak adalah dua lelaki yang berkasih sayang hanyalah kerana ALLAH. Aku menjelaskan kepada mereka bahawa kesucian cinta mestilah dijaga agar tidak merosakkan perjalanan hidup kita. Cinta yang suci mestilah dijaga dalam batas-batas syara’ dan jalannya mestilah syar’ie. Semua adik halaqahku mendengar dengan teliti.
“ Sebab itu, janganlah kita ni ada simpan azam nak ada makwe atau pun girlfriend untuk diajak sembang dan keluar. Islam melarang perhubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa sebab-sebab yang syar’ie” Aku berpesan kepada mereka. Mereka mengangguk sahaja.
“ Abang, saya lihat sebelah bab malu itu ada bab ‘sahabat’. Bolehkah abang mengupaskannya pada minggu hadapan?” Kedengaran suara Abbas yang sedari tadi hanya senyap sahaja.
Aku tersentak. Abbas memandangku.
“ Kenapa?” Abbas bertanya.
Pastinya dia melihat perubahan riak wajahku. Aku menghela nafas. Sebenarnya, aku bercadang untuk menyampaikan tajuk itu pada awalnya. Namun apabila aku meneliti tajuk ini untuk membuat persediaan, aku asyik terkenangkan Senior. Aku terkenangkan hari dia menerangkan kepadaku erti sahabat. Aku terimbau peristiwa hitam yang amat menyakitkan. Hatiku menjadi sakit dan luluh. Malah jika dibaca, kata-kata ‘Amru Khalid amat menyentuh hatiku. Kupasannya dalam bab sahabat terlalu mendalam sehingga aku menitiskan air mata ketika membaca helaian yang ketiga. Aku tidak meneruskan bab itu. Sukar.
“ Maaf, mungkin pada minggu hadapan kita akan menyambung kembali Maza Ya’ni” Aku berbicara.
Abbas kulihat tenang sahaja. Tidak menunjukkan riak kecewa. Dia sekadar diam. Kemudian dia melihat kepadaku.
“ Abang teringat Senior kah?” Pertanyaannnya merentap jantung.
Aku senyap sahaja. Pantas sungguh budak ini. Dalam adik-adik halaqahku, yang paling cerdas sekali adalah Abbas. Dia merupakan genius dalam pelajaran dan juga amat faham dengan situasi. Cara berfikir seperti orang dewasa namun ulahnya masih keanak-anakan. Semua adik-adik halaqahku memandangku tepat.
“ Baiklah, setakat ini sahaja halaqah kita pada minggu ini. Semoga ALLAH memasukkan sebagai salah satu dari amalan-amalan soleh. Kita tangguh majlis kita dengan membaca tasbih kifarah dann surah Al-Asr” Aku menutup bicara dengan kata-kata pengakhir majlis. Aku tidak menghiraukan pertanyaan Abbas. Hatiku menjadi sedikit sebak.
Selepas adik-adik halaqahku pergi, aku tetap tinggal di tempat halaqah. Aku menangis. Jiwaku sakit. Apa perasaan ini? Akukah yang bersalah? Seniorkah yang benar? ALLAH….tunjukkan aku. Tunjukkan aku.
Aku duduk bermuhasabah. Mujur sahaja aku telah mandi sebelum mengadakan halaqah. Tidak perlu pulang ke asrama untuk membersihkan diri. Aku termenung dan berfikir tentang keadaanku sehingga matahari hendak berpapasan meninggalkan mega merah di langit. Hati yang galau cuba untuk kutenangkan. Soalan Abbas yang terakhir betul-betul menyesakkan. Ya ALLAH, tunjukkanlah kebenarannya. Aku berdoa.




