
masa saya darjah enam dulu(saya pakai baju merah)
Aha…
Hari Sabtu sampai dah.
Mari kita sambung kisah Remaja Mulia.
Semoga Allah redha dengan kita, dan memberikan manfaat dalam pembacaan kita, untuk membantu kita menjadi hamba-Nya yang berada dalam redha-Nya.
Enjoy it!
Cerita 1 :
Allah itu ada, tapi…
Abdul Haq duduk di tangga. Termenung panjang memandang halaman rumah. Matanya memandang ayam bersama anak-anaknya sedang mencari rezeki di halaman itu. Teringat dia akan ayahnya, Pak Mahmud yang baru sahaja meninggal akibat dipatuk ular dua hari lalu.
Ramai orang menghadiri pengkebumian arwah ayahnya. Semuanya mengucapkan takziah kepada Abdul Haq. Ada sebahagian daripada mereka memberikan wang kepada Abdul Haq kerana kasihan akan keadaannya.
Abdul Haq menghela nafas lemah. Duit-duit itu langsung tidak menggembirakannya sekarang. Hal ini kerana ayahnya lebih berharga dari duit-duit itu. Namun ini tidak bermakna dia tidak menghargai pemberian orang kampung itu. Dia memerlukan juga duit untuk meneruskan persekolahannya, membeli alatan keperluan untuknya naik ke darjah enam minggu hadapan.
“Termenung apa tu Haq? Masih teringatkan ayah?” Satu suara menyapa dari belakang.
Abdul Haq menoleh, kelihatan Haji Makruf sedang berdiri di muka pintu.
Abdul Haq tersenyum. “Siapa yang tak sedih pakcik?”
Haji Makruf mengangguk. “Semua terasa dengan kehilangan ayah kau Haq. Dia imam Kampung Sentosa ini”
Abdul Haq mengangguk-angguk. Haji Makruf mendekati Abdul Haq, kemudian duduk di sebelahnya.
“Kamu kena la teruskan hidup, belajar rajin-rajin, dan jadi cemerlang hingga dapat membalas jasa ayah kamu selama ini” Haji Makruf memaut bahu Abdul Haq. Kasih sayangnya tumpah.
“Ayah kata, dia tidak kisah kalau saya tidak cemerlang dalam pelajaran. Katanya, sudah cukup andai saya ini menjadi hamba Allah yang baik”
“Benar, tapi adakah hamba Allah yang baik itu, tidak cemerlang dalam pelajarannya?”
Abdul Haq diam. Ada benar juga kata-kata Haji Makruf itu. Kalau hendak menjadi hamba Allah yang baik, apakah patut bermalas-malasan dalam pelajaran? Apakah hamba Allah yang baik, belajar dengan sambil lewa?
“Terima kasih pakcik, atas nasihatnya. Haq akan ingat” Abdul Haq memandang Haji Makruf.
Haji Makruf tersenyum. “Sama-sama. Kita ini hidup kena saling ingat memperingati. Peringatan itu berguna untuk orang yang beriman”
Kedua-dua mereka melayangkan pandangan ke halaman.
Selepas Pak Mahmud meninggal dunia, Haji Makruf telah menawarkan Abdul Haq untuk tinggal di rumahnya. Haji Makruf adalah teman rapat Pak Mahmud. Pak Mahmud adalah imam pertama di Masjid Kampung Sentosa, manakala Haji Makruf adalah imam kedua. Pak Mahmud adalah seorang duda dan tidak mempunyai anak. Dia tinggal seorang, di rumah yang amat sederhana.
“Pakcik, minggu depan Haq dah kena masuk sekolah” Abdul Haq memecahkan kesepian.
Haji Makruf terus senyap, memberikan ruang agar Abdul Haq meneruskan kata-kata.
“Jadi…” Abdul Haq berkira-kira. Ada perkara yang hendak dia utarakan, namun terasa segan pula.
“Jadi?” Haji Makruf mengulang, meminta untuk kata-kata itu diteruskan.
“Jadi, adakah pakcik nak sara perbelanjaan persekolahan saya?”
Haji Makruf ketawa kecil. Belakang tubuh Abdul Haq ditepuk-tepuk.
“Haq, Haq. Kamu ni, benar macam kata-kata arwah ayah kamu”
Abdul Haq kehairanan. “Apa kata arwah ayah?”
“Katanya, walaupun kamu ni umur masih muda, masih sekolah rendah, tapi kamu dah fikir fasal belanja sekolah dan sebagainya. Kamu ni, risau takut pakcik tak dapat tampung perbelanjaan kamu kah?”
Abdul Haq mengangguk. Dia tidak mahu menyusahkan orang lain. Kalau betul takdirnya dia tidak dapat lagi menyambung pelajarannya, biar sahaja dia berhenti dan bekerja. Nanti kalau ada rezeki, dia akan menyambung pelajarannya semula.
“Sebenarnya, selama ini, sebahagian yuran sekolah kamu, ditampung oleh pakcik” Haji Makruf memberitahu.
Mata Abdul Haq membesar. “Benarkah?”
“Iya. Ayah kamu pernah berkongsi kepada pakcik akan kesempitan wangnya, kerana tuntutan perbelanjaan sekolah kamu yang semakin lama semakin mahal. Jadi pakcik yang tinggal seorang ini, sudah tiada apa-apa lagi perlu ditanggung. Maka pakcik nyatakan kesudian pakcik membantu”
“Habis, sekarang ayah dah tiada. Macam mana?”
“Tuhan ayah kamu masih ada. Dia hidup dan tidak akan meninggalkan kita”
Abdul Haq terdiam.
“Rezeki itu daripada Dia, Haq. InsyaAllah, cukup sahaja gaji pakcik untuk tampung kamu. Cuma kita kena berjimat la dari segi perbelanjaan rumah dan makan minum. Air dan elektrik pun tidak boleh kita bazirkan. Kita usaha la jimat, InsyaAllah Allah akan luaskan rezeki kita bagi cukup.”
Abdul Haq memegang tangan Haji Makruf dengan erat. “Terima kasih pakcik. InsyaAllah, Haq janji yang Haq tidak akan bazirkan apa-apa. Ayah pernah kata, membazir itu kawan syaitan”
Haji Makruf tersenyum senang. Diusapnya kepala Abdul Haq dengan penuh kasih sayang.
“Ha, ni rambut dah panjang ni. Mesti dah lama tak potong.”
Abdul Haq mengangkat matanya. Memang, dia boleh melihat rambutnya berjuntai. Kalau dia solat, dia akan terpaksa mengetepikan rambutnya agar dahi boleh menyentuh tempat sujud. Jika tidak, solatnya akan batal.
“Sebentar lagi, kita ke bandar, pergi potong rambut kamu. Kemudian kita akan beli barang-barang keperluan sekolah”
“Nanti kena keluarkan duit pakcik”
Terkoyak senyum pada bibir Haji Makruf. “Kita sebagai orang Islam, perlu kemas Abdul Haq. Fasal duit, usah terlalu dirisaukan. InsyaAllah, duit yang orang kampung bagi pada kamu itu, lebih dari cukup untuk persediaan kamu memasuki sekolah.”
“Terima kasih pakcik. Terima kasih”
“Sudah la Abdul Haq. Pergi bersiap. Kita perlu pulang sebelum Zuhur, sebab pakcik perlu menjadi imam.”
“Baik pakcik” Abdul Haq terus bangun dan bergerak meninggalkan kawasan hadapan rumah itu.
Haji Makruf keseorangan, memandang halaman rumahnya.
“Ya Allah, cukupkanlah”
*****
KEDAI GUNTING SENTOSA.
Itulah nama yang terpampang di atas pintu masuk kedai gunting di Bandar Sentosa ini. Bandar Sentosa letaknya sekitar setengah jam dari Kampung Sentosa. Abdul Haq dan Haji Makruf perlu menaiki bas untuk datang ke bandar ini.
Sebelum pergi ke kedai gunting, mereka telah membeli peralatan sekolah yang diperlukan oleh Abdul Haq, seperti beg sekolah, kasut sekolah, dan alat tulis. Haji Makruf hendak membelikan baju baru kepada Abdul Haq, tetapi Abdul Haq menyatakan bahawa baju lama masih boleh dipakai, dan dia tidak mahu membazirkan wang yang ada.
Kedai gunting adalah tempat terakhir mereka akan pergi, sebelum pulang semula ke rumah.
Mereka beruntung kerana kedai gunting itu lengang, tiada pelanggan ketika itu.
“Ah, Haji Makruf, selamat datang, apa khabar?” Tuan Kedai itu meraikan kedatangan Haji Makruf sebaik sahaja menyedari kehadirannya.
“Khabar baik Tuan Kedai. Apa khabar tuan hari ini?”
“Saya baik-baik aja. Tuan Haji hendak potong rambut kah?”
“Tidak. Tetapi anak ini yang perlu dikemaskan rambutnya”
Tuan Kedai memandang Abdul Haq. “Oho. Ini anak Tuan Haji kah? Saya tidak pernah nampak pun”
“Ini anak kawan rapat saya. Tapi kawan saya itu baru sahaj meninggal dunia. Sekarang, saya la yang jaga dia”
“Oh, begitu. Kalau macam itu, silakan duduk Tuan Haji. Yang anak ni, mari sini. Siapa nama kamu?” Tuan Kedai membawa Abdul Haq duduk di atas kerusi, manakala Haji Makruf duduk di kerusi menunggu.
Tuan Kedai mula memotong rambut Abdul Haq.
“Siapa nama kamu anak?” Sambil memotong, Tuan Kedai mengajak Abdul Haq bersembang.
“Nama saya Abdul Haq”
“Oho. Haji Makruf itu, seorang imam di Kampung Sentosa kan?”
“Ya”
“Jadi, ayah kamu kerja apa?”
“Imam juga. Sebab itu dia dan Haji Makruf berkawan rapat”
“Oh. Jadi anak imam la ni.”
Abdul Haq mengangguk sedikit. Rambutnya terus dipotong.
“Tuan Haji, saya nak tanya budak ini satu soalan boleh?” Tuan Kedai memandang Haji Makruf yang sedang duduk menunggu.
“Soalan apa la yang kamu hendak tanya Tuan Kedai? Dia baru umur 12 tahun”
“Tapi dia anak imam. Saya nak tengok pemikirannya”
Haji Makruf menghela nafas. Tuan Kedai sebenarnya adalah seorang yang suka bertanyakan hal-hal Aqidah Islam. Soalan-soalan Tuan Kedai selalunya menimbulkan keraguan dan menggoyahkan keyakinan terhadap keimanan insan. Oleh kerana tiada kedai gunting lain, Haji Makruf pergi juga ke kedai ini. Tambahan, Haji Makruf adalah seorang imam dan berpengetahuan. Maka dia tidak kisah pun dengan soalan-soalan Tuan Kedai. Tetapi Abdul Haq…
“Pakcik mahu tanya Abdul Haq satu soalan. Boleh?”
Abdul Haq kehairanan. Nak tanya soalan apa? “Boleh sahaja pakcik”
“Abdul Haq percaya tak dengan kewujudan Allah, dan kasih sayangNya kepada manusia”
Abdul Haq senyap sebentar. Lain macam sahaja bunyi soalannya. “Percaya. Percaya tanpa keraguan langsung”
“kalau begitu, pakcik nak tahu la. Kalau benar Allah itu ada, dan Dia amat kasih kepada hamba-hambaNya, bolehkah kamu jelaskan kepada pakcik mengapa di luar kedai ini masih wujud mereka yang miskin dan tidak terurus, kusut masai dan pengotor? Mengapa masih ada manusia yang mati kebuluran? Mengapa masih wujud peperangan dan pembunuhan? Mengapa masih wujud bencana alam dan kerosakan? Jika ALLAH itu wujud dan mengasihi makhlukNya pasti dunia ini akan aman dan tenteram tanpa adanya semua itu”
Abdul Haq terdiam. Tuan Kedai tersenyum sinis. Haji Makruf menggeleng kepala. Begitulah bunyi soalan-soalan Tuan Kedai. Dia memang suka bertanya soalan yang sedemikian. Tidak pasti sama ada dia memang benar-benar ingin tahu, atau sengaja hendak menimbulkan keraguan.
Melihat Abdul Haq senyap tidak menjawab, Haji Makruf ingin memberikan jawapan. Namun, baru sahaja dia hendak bersuara, Abdul Haq mula berbicara.
“Kalau macam itu, saya akan kata Penggunting Rambut itu tidak wujud juga”
Guntingan Tuan Kedai itu terhenti. Dia sedikit terkejut. “Kenapa kamu cakap begitu? Ini pakcik ada di sini menggunting rambut kamu”
“Saya cakap begitu, sebab saya selalu sahaja melihat manusia yang kusut masai misainya, serabut janggutnya, dan panjang tidak terurus rambutnya. Kalau penggunting rambut wujud, pasti lah tiada manusia yang kusut masai misainya, serabut janggutnya, dan panjang tidak terurus rambutnya”
Tuan Kedai memandang imej Abdul Haq di cermin. “Mana boleh kamu kata begitu, kewujudan manusia sebegitu, tidak menafikan kehadiran pakcik sebagai penggunting rambut. Mereka mempunyai misai yang kusut masai, serabut pula janggutnya, dan panjang tidak terurus pula rambutnya itu, adalah salah mereka kerana tidak datang kepada pakcik sebagai penggunting rambut”
Abdul Haq tersengih. “Kalau macam itu, itulah jawapannya kepada soalan pakcik tadi. Segala kerosakan dan kehancuran yang ada di dalam dunia hari ini, bukanlah kerana Allah itu tidak wujud dan tidak pula mengasihi manusia. Tetapi kerana manusia itu sendiri tidak mendatangkan diri mereka kepada Allah, dan tidak pula mencari kasih sayang-Nya”
Tuan Kedai senyap seribu bahasa. Haji Makruf kagum, terasa seperti ingin dipeluknya Abdul Haq ketika itu juga. Jawapan itu hanya menggunakan logik akal sahaja. Tidak pula Abdul Haq mengeluarkan nas-nas Al-Quran dan berhujah panjang berjela.
Tuan Kedai tidak lagi berkata apa-apa selepas itu. Dia terus tekun menggunting rambut Abdul Haq.
Selepas selesai, Haji Makruf hendak membayar wang kepada Tuan Kedai. Tetapi Tuan Kedai itu menolak.
“Tidak mengapa. Anggap saya belanja. Selepas ini, kalau anak ini hendak potong rambut lagi, datang sahaja, dan dia tidak akan dikenakan bayaran”
Haji Makruf tersenyum lebar. Tidak sangka, jawapan yang diberikan Abdul Haq memberikan kesan mendalam kepada Tuan Kedai. Haji Makruf memandang Abdul Haq yang sudah menunggu di luar.
“Tuan Haji, anak itu istimewa. Jaga dia dengan baik.”
Haji Makruf mengangguk.
Kini dia melihat keistimewaan Abdul Haq.





Salam.
Alhamdulillah, first one to comment on this..
Satu sahaja : BIJAK.
Bijak post ni..
Wassalam..
Saya belum berkesempatan membaca buku2 tulisan Hilal.
Melalui pembacaan di website ini, Kini Saya makin suka dan tertarik dengan jalan dan cara HIlal menulis.
Perenggan2 yang penuh dgn nasihat santai, yang memudahkan pembaca memahami dan menerima setiap butir kata dan teguran halusnya.
Teruskan usaha Hilal mendidik anak2 bangsa mencapai asas keimanan yang kukuh~ InsyaAllah
kagum
salam…
comelnye jalan crite ni…
ade jugak part2 yg menyentuh hati bila mana pak cik gunting rambut itu bertanyakan soalan dan juga jawapan yg diberikan oleh abdul haq… subhanallah… dr mana saudara hilal mendapat inspirasi untuk menulis cter sebegini, ea..?
Tahniah!jalan cerita yang menarik
semoga penulisan hilal terus dapat menyentuh hati-hati pembaca..
-Moga Allah redha dengan usaha dan perjalanan dakwah kamu.
InsyaAllah
salam..
mantoppp…
-tak sabar menanti cerita 2…jzk
salam hilal,
bagus!
nasihat/mesej yg diselitkan itu boleh nampak..insyaAllah(^-^)
cuma,dialog pjg itu ada bg masalah pd kanak2 utk faham tak?
nta mungkin sudah bertanya pandangan kanak2,tp ana cuma ingin tahu.
selamat berusaha!
Assalamu’alaikum,
- kepada hambamencari
dan semua kebijakan itu adalah datangnya daripada Allah SWT…
- kepada zaza
doakan saya agar dapat istiqomah…
- kepada …
maka kembalikan kekaguman itu kepada Allah SWT…
- kepada wani
inspirasi? Hanya sekadar mahu melihat manusia kembali kepada Allah SWT dalam erti kata sebenar….
- kepada nur
Ameen…
- kepada am
tunggu sabtu satu lagi ya…
- kepada musafir
Tiada masalah rasanya. Ana tahu tetap ada yang berat dalam tulisan Remaja Mulia ni. Tapi ana ada strategi ana. Ana menulis bukan nak bagi orang faham masa tu, kemudian tinggal. Biar ada sikit tak faham, nanti anak-anak ni dah besar sikit, dia akan baca semula dan baru dia nampak apa yang saya nak smpaikan.
Buat masa ni, cukup sekadar mereka nampak Abdul HAq tu baik dan bagus agar mereka nak contohinya…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
Permulaan yg baik!! cuma sy rs ada sikit pembetulan kot..kl xslh sy la…”Pak Mahmud adalah seorang duda dan tidak mempunyai anak. Dia tinggal seorang, di rumah yang amat sederhana”>>> Pak mahmud @ Hj Makruf??<<
comel je kan korang masa kecil.keke.nama da nak macam abdul yang haq yang ada.keke.nak jadikan haq hero ke?keke.ke ada haq lain lagi?err.ingat selam+fahmi je lagi.(haha.tak comment pun pasal penulisan nta,comment gambar sudah.)
hm…idea crite pasal tukang gunting dgn soalan dia tu…ana pernah terbaca dlm bku…Mastika..
Hilal ciplak ko idea tuh…?
jln crite mmgt nmpk ok dh..
salam..
olahan kisah yang baik. kisah begini selalu je kita dgr. tpi, olahan semula menyebabkan kita ternanti-nanti apa kisah di sebaliknya..
nice post!
p/s - haha.. nta ade lagi gmbr ni ke? ni x silap time kem pengawas nih!
ustaz azmen n ust rofa yg masih muda. hehe..
haq tau tak nta gune nama die nih.. haha.. =)
alhamdullilah
sudah lama saya menacari post yg membawa mkna kpd dri saya
insyaALLAH ia memeri manfaat
teruskan berjuang