Langit Ilahi Rotating Header Image

Remaja Mulia - Cerita 5: Mengejar Kematangan

tidak selamanya anak-anak

tidak selamanya anak-anak

Ah… Hari sabtu datang…

Remaja Mulia bab 5 pun menjelang…

Mengejar matang, itu yang perlu untuk remaja kita…

Cerita 5 :

Mengejar Kematangan

“Tak nak pakcik teman?”

Abdul Haq menggeleng. “Tak perlu rasanya, sebab…”

“Assalamu’alaikum!” Satu laungan kedengaran.

Haji Makruf dan Abdul Haq memandang ke arah halaman sambil menjawab salam.

“Oh, pergi dengan Iskandar?” Haji Makruf melempar senyuman kepada Shah yang baru sahaja turun dari basikal.

Abdul Haq dan Shah sekarang semakin rapat. Shah sudah banyak kali datang ke rumah Haji Makruf, untuk mengulangkaji pelajaran dengan Abdul Haq.

“Apa khabar kamu Iskandar?” Lembut Haji Makruf bertanya, dengan lemparan senyuman yang tidak pernah lekang.

Shah amat senang dengan Haji Makruf. Haji Makruf tidak seperti orang tua lain yang memandang buruk kepadanya kerana dia menghisap rokok. Tidak pernah keluar dari mulut Haji Makruf perkataan ‘sampah masyarakat’, ‘anak tak berguna’ dan kata-kata yang sering disebut orang tua kepadanya. Haji Makruf melayannya dengan baik.

Shah bersalam dengan Haji Makruf, mencium tangannya. “Sihat pakcik. Masih ‘handsome’ lagi”

Haji Makruf ketawa. Abdul Haq menggeleng. Shah pandai bercanda, dengan gaya yang selamba.

“Ha, ini ada seorang lagi handsome, jangan lupa pula” Abdul Haq menepuk-nepuk bahu Shah.

“Ya la, tahu la kau handsome, semua perempuan suka” Shah mencubit pipi Abdul Haq.

Haji Makruf ketawa lagi. “Kamu macam dah dapat adik, Abdul Haq”

Abdul Haq dan Shah berpandangan. Kata-kata Haji Makruf itu menyentuh hati mereka. Macam adik beradik?

“Haq kata, kami memang bersaudara”

“Ya kah?”

Abdul Haq tersenyum. Dia mengangguk. “Sesungguhnya, orang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua antara mereka yang bertelagah, moga-moga kamu beroleh rahmat

“Surah Al-Hujurat, ayat 10” Shah menyambung.

Haji Makruf mengangguk-angguk. Benar.

“Ha, baiklah. Kamu kena pergi cepat, sudah hampir maghrib.”

Shah sebagai pemandu, Abdul Haq menjadi penumpang. “Kami pergi dulu ya Pak cik”

“Jaga diri baik-baik. Buat amal sungguh-sungguh”

Kedua-dua sahabat itu mengangguk.

Shah memulakan kayuhan. Basikal yang membawa mereka berdua perlahan-lahan bergerak keluar dari halaman rumah Haji Makruf. Mereka menuju ke Sekolah Rendah Sentosa, kerana pada malam ini, ada program qiamullail bagi pelajar-pelajar darjah enam.

****

Pelajar-pelajar lain masih tidur. Nyenyak. Ada yang berdengkur, namun dengkuran itu tidak menganggu tidur pelajar yang lain. Semuanya tidak mahu membazirkan masa tidur mereka kerana mereka perlu bangun pada tengah malam hari ini. Jadi mereka tidur dengan bersungguh-sungguh.

Semua peserta program qiamullail ini tidur di surau, bagi memudahkan mereka bangun dan melaksanakan solat malam. Cikgu Halimi, guru Matematik Darjah Enam ditugaskan untuk menjadi penjaga. Program ini, bukan semata-mata qiamullail, tetapi sebenarnya adalah program untuk membina semangat pelajar-pelajar.

Selepas maghrib, pelajar-pelajar telah mendengar ucapan beberapa orang guru. Cikgu Rosiah, Cikgu Azmen dan cikgu lain telah menyampaikan ucapan itu kerana mereka terlibat secara terus dalam mengajar pelajar Darjah Enam. Guru-guru telah berkongsi harapan mereka agar pelajar-pelajar dapat serius dalam menuntut ilmu, seterusnya bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam UPSR.

Selepas Solat Isya’, pelajar-pelajar telah disajikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh seorang penceramah motivasi yang terkenal di Daerah Sentosa. Ceramah itu berkenaan masa hadapan. Kelihatan tadi pelajar-pelajar amat gembira mengikuti ceramah itu kerana penceramah amat pandai menarik perhatian pendengar.

Kini semua tidur nyenyak. Keletihan, dan mungkin juga kerana perlu bangkit lebih awal dari biasa. Pukul 4.00 pagi, sejam sebelum masuk waktu subuh. Pelajar-pelajar akan bangun melaksanakan solat tahajjud, kemudian solat taubat, seterusnya solat tasbih, selepas itu solat hajat dan ditutup dengan solat witir tiga rakaat.

Manusia mungkin boleh mempersiapkan diri bersungguh-sungguh dari segi ilmu untuk berjaya dalam peperiksaan. Tetapi, manusia perlu sedar bahawa kejayaan itu datang daripada Allah. Kejayaan itu adalah milik Allah. Jika hendakkan kejayaan, perlulah meminta kepada pemilik-Nya.

Tetapi, qiamullail sahaja tidak akan merubah apa-apa juga kalau manusia itu tidak berlajar bersungguh-sungguh. Hal ini kerana, usaha untuk menghafal, memahami isi pelajaran itu adalah perlu juga untuk kejayaan. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah nasibnya sendiri” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Dalam kesepian malam ini, kedengaran bunyi bacaan Al-Quran secara perlahan.

Cikgu Halimi yang sedari tadi berehat di tepi surau, memandang ke dalam. Dia tidak tidur sepanjang malam ini kerana mengawal pelajar-pelajar. Dia segera melihat jamnya. Jamnya baru menunjukkan pukul 3.30 pagi. Belum masanya pelajar-pelajar bangun.

Siapa yang sedang membaca Al-Quran? Jin kah?

Cikgu Halimi mengambil lampu suluh, kemudian bergerak ke dalam surau. Dia menyuluh pada arah kedengaran suara itu.

Kelihatan ada satu lembaga sedang berdiri, dan satu lagi sedang duduk.

Cikgu Halimi perlahan-lahan mendekati dua lembaga itu.

Lembaga yang berdiri tadi melakukan gerakan ruku’, kemudian i’tidal, seterusnya turun sujud, duduk antara dua sujud, sujud kembali, dan akhirnya duduk dalam keadaan tawarruq, melakukan tahiyyat akhir. Sedang solat rupanya.

Cikgu Halimi berjaga-jaga. Dia sering mendengar cerita orang terlihat jin membaca khutbah dengan kepala diletak di atas mimbar. Dia juga pernah mendengar cerita akan jin yang menjadi ma’mum dalam solat. Mungkin sekarang, dia sedang melihat jin yang bangun qiamullail. Cikgu Halimi tahu yang adanya jin islam.

Lembaga yang sedang duduk pula, kelihatan tersenguk-senguk. Tidur sambil duduk nampaknya. Cikgu Halimi kehairanan, jin tidur?

“Assalamu’alaikum warahmatullah” Lembaga yang sedang solat tadi memberi salam penutup.

“Siapa?” Cikgu Halimi bertanya.

Lembaga yang baru selesai solat tadi menoleh. Kemudian dia menyentuh bahu temannya. “Weh, bangunlah. Cikgu datang”

“Em…”

“Apa la, tertidur pula dia. Kata nak ikut aku bangun awal”

Cikgu Halimi menghela nafas. Dia kenal akan suara itu. Abdul Haq.

“Kenapa kamu bangun awal sangat ni?” Dia mendekati dua pelajar itu.

“Haq kata, dia nak buat amal lebih sikit. Bukan senang ada peluang” Shah menjawab dalam keadaan mengantuk. Haq sudah menyatakan bahawa, kalau tidak larat, usah mengikutinya. Tetapi tadi Shah berdegil. Tak sangka, dia tidak mampu mengikuti Abdul Haq. Abdul Haq berterusan solat dari tadi hingga kini. Shah hanya mampu buat enam rakaat, kemudian keletihan.

“Maafkan saya kalau buat cikgu terganggu.” Abdul Haq meminta maaf.

Cikgu Halimi tersenyum. Dia menggeleng kepala. “Mana ada menganggu”

Cikgu Halimi duduk. “Kamu ni, buat cikgu kagum la Abdul Haq. Macam mana kamu boleh tahan solat lama-lama? Nanti lepas ni nak solat lagi dengan kawan-kawan kamu.”

Abdul Haq tersenyum. “Solat ini adalah satu kerehatan. Bila kita bersama Allah, hati akan menjadi tenang. Bila kita khusyuk, tubuh kita akan menjadi ringan. Haji Makruf pernah bacakan satu ayat kepada saya berkenaan hal ini.”

“Oh, apa ayat tu?”

“Dan mintalah pertolongan(daripada Allah) dengan jalan sabar dan solat, dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk”

“Surah Al-Baqarah ayat 45, cikgu” Shah menyampuk.

“Wah, kamu pun hafal Surah ni Shah?”

Shah menggeleng kepala. “Saya tak hafal, tapi Haq ni banyak kali ulang ayat tu bila saya kata saya malas nak solat.”

Cikgu Halimi memandang Haq. Tambah kagum. Dia tahu Shah ini pelajar yang agak bermasalah. Pertama kali datang ke sekolah dengan pakaian yang tidak kemas. Shah juga ketika awal-awal datang dahulu agak kurang adab. Tetapi, semenjak kebelakangan ini, Shah banyak berubah.

Adakah disebabkan dia berkawan dengan Abdul Haq?

“Bagus Abdul Haq. Cikgu harap, kamu kekalkan kekuatan kamu ini”

“Cikgu tak kuat ke?” Shah bertanya, selamba. Dia sedang mengantuk sebenarnya.

Cikgu Halimi ketawa. “Alangkah baiknya kalau cikgu sekuat Abdul Haq”

“InsyaAllah, cikgu pun Allah akan berikan kekuatan kalau cikgu berusaha” Abdul Haq merendah diri.

Cikgu Halimi meninggalkan mereka berdua. Abdul Haq terus bangun menyambung solatnya. Shah pun bangun juga. Meneruskan solat sunat, mengisi malam dan mendekati Allah SWT. Solat malam adalah kekuatan bagi orang beriman. Kalau seseorang itu mampu berqiamullail, ruhnya akan terisi dengan kekuatan, hatinya akan tenang.

Cikgu Halimi kembali duduk di tempat rehatnya tadi. Suara Abdul Haq dan Shah kembali kedengaran mengisi kesepian malam.

Cikgu Halimi diam sebentar.

Kemudian dia bangun, pergi ke tempat wudhu’.

“Baik aku pun ambil peluang, solat malam juga sementara menanti budak-budak lain bangun.”

****

“Haq, cikgu nak tanya sikit la. Kenapa kamu ni tak macam kawan-kawan kamu yang lain?”

Abdul Haq memandang Cikgu Halimi. Kunyahan mee goreng, sarapan yang disediakan dalam program ini, diselesaikan.

“Apa maksud cikgu?”

“Ya la, semalam kamu bangkit lebih awal dari yang lain. Kemudian, selepas subuh, semua pelajar sambung tidur. Kamu pula baca Al-Quran”

“Oh, saya ada baca dalam buku, Rasulullah SAW melarang tidur selepas subuh dan asar. Selepas subuh kerana ia ada kaitan dengan rezeki. Selepas asar kerana ia ada kaitan dengan kegilaan”

“Ya, itu cikgu tahu. Tapi maksud cikgu, kenapa kamu nampak macam orang dewasa? Matang? Kamu boleh berfikir macam ini, sedangkan kawan-kawan kamu tidak. Kenapa? Kenapa kamu tak memilih untuk bersenang lenang macam kawan-kawan kamu sahaja?”

Abdul Haq tersenyum. “Cikgu, saya sebenarnya hendak bersaing dengan Usamah bin Zaid”

Usamah bin Zaid adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Ketika dia berumur 18 tahun, dia telah diangkat menjadi jeneral perang untuk menyerang Rom.

“Dia berumur 18 tahun sudah menjadi jeneral perang. Saya sekarang berumur 12 tahun. Ada 6 tahun lagi je cikgu. Apakah saya boleh menjadi seperti dia?”

Cikgu Halimi senyap.

“Ada orang kata, zaman sekolah rendah inilah zaman nak main-main. Kononya, dosa itu masih tidak dikira. Sebab itu, ada ibu bapa yang membiarkan sahaja anak mereka. Ayah saya tidak begitu. Dia mendidik saya dari kecil, agar matang dan berfikiran jauh”

Suasana jadi hening. Cikgu Halimi bertambah kagum apabila mendengar kata-kata Abdul Haq.

“Ya la. Tapi memang betul kamu masih kecil lagi. Kenapa kamu nak sungguh-sungguh sangat? Usamah bin Zaid tu sahabat Rasulullah. Kita mana boleh nak saingi dia”

Abdul Haq menggeleng kepala. “Cikgu, saya pernah tengok Haji Makruf menyalakan api, dia mulakan dengan ranting-ranting kecil dahulu”

“Maksudnya?”

“Saya takut, nanti diri saya dibakar api neraka seperti ranting kecil itu”

Cikgu Halimi diam. Ini bukan bicara budak darjah enam. Malah Abdul Haq kelihatan seperti lebih matang daripadannya.

Cikgu Halimi menepuk-nepuk belakang tubuh Abdul Haq.

“Terima kasih Haq. Cikgu nampak sekarang, apa yang cikgu perlu buat dalam hidup cikgu, hidup keluarga cikgu, dan hidup anak-anak murid cikgu”

Abdul Haq tersenyum. “Sama-sama cikgu. Kita sama-sama ingat memperingati, lengkap melengkapi”

Cikgu Halimi mengangguk.

Abdul Haq membawa kesedaran dalam hidupnya. Abdul Haq yang baru berumur 12 tahun, sudah mempunyai kesedaran sedemikian. Dia? Dia sudah berumur 30 tahun, tetapi bangun qiamullail pun tidak pernah. Sudah ada anak, tetapi tidak tahu bagaimana hendak mendidik anak, melainkan hantar ke sekolah sahaja.

Abdul Haq menyedarkannya.

Terima kasih Allah, kerana menghadiahkan Abdul Haq dalam hidup aku. Itulah detik hati Cikgu Halimi.

Print This Post Print This Post

11 Comments

  1. razimah says:

    oooo…patutla dia matang rupa-rupanya dia meneladani Usamah.
    Anak-anak zaman sekarang hero mereka Ultraman, Power Rangers dan seangkatan dengannya. Mcmn nak matang?Selalu dimanjakan…..kurang didedahkan dengan sirah ahlulbait.
    Memang mencabar menjadi seorang ibu dan bapa….mencabar kerana nak mencorakkan anak-anak mengikut acuan Al-Quran dalam dunia globalisasi…

  2. humayra says:

    teringat ust halimi..
    dh lama xjmpe die..
    apa khabar agknye ek?

    tpi watak ust halimi dgn cikgu halimi lain..

    niway.. keep writing,
    may ALlah bless

  3. asrar_syauqah says:

    Alhamdhulillah, tq kepada penulis. Ingat mengingati lengkap melengkapi. Aku bukan remaja AKU DEWASA. (Peringatan buat diri yang alpa - me my self). Dalam Islam ada 2 je… Kanak-Kanak dan dewasa (akil baligh). Kalau dah akil baligh maksudnya kene buat smua yg dah ditaklifkan. Tp dgn rasa diri ni masih “remaja” kecil lagi… tak matang lagi, maka tak de terfikir nak buat tu nak buat ni ibarat kata UPIN IPIN ” Kite kan kecik lagi”.
    Usamah 18 tahun panglima perang bukan calang-calang. Kite 17 tahun berperang jugak… perang hati dan perasaan (cintan cintun). Perang dengan mata pena EXAM. Terima kasih di atas peringatan ^_^

  4. fareed says:

    dulu pernh jgk ad fikrah mcm abd.haq
    tp, skrg ni mcm dh t’hakis
    jiwa dh tak selembut…
    fikrah dh tak setajam…
    hati dh tak sedekat dgn Allah…
    mcm dulu

  5. sakura says:

    assalamualaikum..
    hhmm..tahniah ats crita ini..sya ikut dri awal..
    cume sya nk tnya..sye mmg xmhir tntng hadith but sye suke taw tentg hadith..
    saya ade bce tntg hadith tido slpas subuh/waktu pgi menghalang rezeki..
    penulis mengatakan kedudukan hadith ni palsu.hadith ini dilabelkan palsu oleh Hassan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadith masa kini,Abd Fattah Abu Ghuddah.Manakala di antara ulama yang melabelkan hadith ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami,Ahmad Syakir,Muhammad Nasiruddin al Albani dan Syuaib al Arnaouth..

    maaf sya bkn pelajr major dlm bidang nie.Jadi sye mengharap penjelasan dpda saudara..

    insyaAllah boleh diskusi tentng ini..mekasih.. =)

  6. sakura says:

    to fareed.
    alhamdulillah dibuka hati Allah untk anda buka blog nie dn membce crta nie dan
    terdapat penyesalan di hati..bukn smua org dpt merasakan perubhn diri yg semakin jauh dengn Allah..
    fitrah manusia kebergantgn kpada Allah dan membuat kebaikan
    anda msih belum terlambat..carilah diri anda yg dulu..
    jangan takut kpda perubhn ttapi perlukan kekuatn dan istiqomah..
    perlukan keikhlsan dlm setiap ibdat da perlu taw tujan kter melakukan sesuatu.
    keikhlasan timbul tnpa kter sedari dan lakukanlah kebaikan ape pn walau tanpa ade ikhlas sbab kter sndri tak pasti segala amaln yg kter buat adalah bnar2 ikhlas..

    sekadar memberi pandgan..dan mengingtkan diri ini..
    selamat mencari diri anda..saya doakan..amin.. :grin:

  7. na says:

    best cte ni…k’matangan mmg sgt sukar dmiliki,sesuatu yg xdpt djual beli
    ana yg dh 20 thn ni pon rsenye xsmatang abd haq
    ble la nk mematangkn diri ni :sad:

  8. anem says:

    permulaannya saya tertanya2 juga, kenapa hilal gunakan watak anak2 berumur 12 dan tidak terus pada remaja? tahniah, watak2 ini berjaya mengesankan diri sy yg lg dewasa dr abdul haq itu sendiri. semoga cerita ini dapat meninggalkan kesan di hati setiap pembaca.

    cerita yg menarik dan bermanfaat,
    teruskan usaha anda saudara hilal.

  9. wani says:

    cter ni best..tak sabar nak tunggu episod yg akan datang….^_^v

  10. Wah..
    Bestlah..
    Seronok ana bace.
    Lagi bersemangat rasenye nak jadi little muslimah yang terbaik
    Domo arigatou!! :mrgreen:
    Teruskan…Nanti nak mintak mak beli buku die.

  11. laksamana laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    - kepada razimah

    Itu antara mesej saya kenapa saya menulis Remaja Mulia, dan Abdul Haq yang sebegitu rupa…

    - kepada humayra

    sememangnya berbeza. Ustaz Halimi yang kita kenal, 100 kali lebih baik dari watak Cikgu Halimi dalam cerita ini…

    Cikgu Halimi hanya rekaan, Ustaz Halimi adalah kenyataan…

    hu3..

    - kepada asrar_syauqah

    Tapi terdidik dengan perang sedemikian, menyebabkan kita tidak mampu kuat berperang seperti Usamah bin Zaid yang terdidik memerangi jahiliyah dalam kehidupan insan…

    - kepada fareed

    Dan kesedaran kamu itu satu kebaikan.
    Jangan lepaskan. Jangan biarkan ia malap.
    Terangi, dan peganglah cahayanya.

    - kepada sakura

    Saya pun tak tahu status hadith itu. Cuma hadith itu popular sebab itu saya selit. Kalau benar palsu, saya kena tukar. Kalau ada pendapat kata dhoif sangat, maka maksudnya masih boleh pakai untuk amalan harian.

    kalau ada pendapat dhoif sangat, biar saya berpegang dengan pendapat itu supaya saya masih boleh letakkannya dalam karya saya…

    - kepada na

    sebab itu, kita kena berterusan mentarbiyah diri agar menjadi matang…

    - kepada anem

    semuanya, ada hikmah tersusun… kadangkala, saya pun tak nampak apa yang saya buat ini, akan beri kesan yang bagaimana pada insan. Tapi bila nampak apa yang Allah beri, di situ saya percaya bahawa yang bergerak ke arah kebaikan tidak akan pernah kerugian…

    - kepada wani

    siaran online tidak lama lagi akan tamat…

    - kepada Nur Hanan(budak kecik)

    maka selamat lah menjadi muslimah yang baik…
    semoga Allah redha…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

Leave a Reply