Assalamu’alaikum,
Hari Sabtu datang lagi. Remaja Mulia Cerita 6 pun tiba.
Pengumuman untuk semua, ini adalah Remaja Mulia yang online-nya terakhir.
Mulai minggu hadapan, post karya pada hari sabtu akan berganti dengan cerpen-cerpen baru.
Enjoy bab terakhir online Remaja Mulia.
Hendak dapatkan yang penuh, sila beli di pasaran. Akan terbit tidak lama lagi insyaAllah.
Cerita 6 :
Allah Bersama Yang Benar
“Cikgu harap, semua pelajar dapat menyiapkan kerja rumah ini hari ini dan menyerahkannya pada cikgu pada hari esok ya” Cikgu Rosiah menutup buku teks Bahasa Melayu.
“Baik cikgu” Semua pelajar Darjah Enam Makrifah menjawab hampir serentak.
Hari itu, kelas Bahasa Melayu adalah kelas terakhir. Sebaik sahaja selesai memberikan salam, pelajar-pelajar kelas Darjah Enam Makrifah terus keluar dari kelas. Semuanya tergesa-gesa untuk pulang. Bagi yang rumah jauh di bandar, mereka ada bas sekolah untuk membawa mereka pulang. Bagi penduduk Kampung Sentosa yang berdekatan dengan sekolah, ada yang menaiki basikal, ada pula yang berjalan kaki. Namun yang berjalan kaki sedikit sahaja. Antaranya adalah Abdul Haq.
Cuma kebelakangan ini, kadangkala Shah akan mengambil Haq dengan basikal.
“Kalau aku terbangun Solat Subuh, aku ambil la kau” Kata Shah. Dia masih susah hendak istiqomah Solat Subuh pada awal waktu, dan sering terbangun lewat. Namun dia kini sedang berusaha, atas nasihat dan bimbingan Abdul Haq.
“Terus buat kerja rumah?” Satu suara lembut menyapa Abdul Haq yang sedang tekun.
Abdul Haq tahu, itu adalah Sakeenah. “Em, senang kalau siapkan kerja rumah awal” Tanpa memandang.
Sakeena memang terkenal dengan lemah lembut. Sakeena juga sering bertanya khabar Abdul Haq, dan mengambil berat berkenaan dengannya. Abdul Haq pernah mendengar orang kata yang Sakeena itu menyukainya. Tetapi…
“Aku macam ada minat la dengan Sakeena tu” Itu adalah luahan Shah.
Tambahan, Abdul Haq tidak berminat pun untuk bercintan-cintun semasa sekolah rendah ini. Walaupun sudah ada dua tiga orang kawannya mempunyai teman wanita, suka sama suka katanya. Tak kurang juga ramai yang syok sendiri. Konon-konon mabuk dalam cinta.
“Em, ada apa-apa yang aku boleh bantu ke?” Abdul Haq bertanya.
Sakeena menggeleng. “Saje je tanya. Sebab selalu tengok awak balik lewat, buat kerja rumah sebelum balik”
Abdul Haq mengangguk. Dia memang begitu. Tidak terus balik, melainkan segala kerja rumah sudah siap. Hal ini untuk mengelakkan kerjanya tidak siap, dan masalah kerja rumah bertimbun. Tambahan, dia ada masa. Maka dia perlu menggunakan masanya itu dengan baik. Dia tidak suka bertangguh. Ayahnya berkata bahawa manusia yang baik adalah manusia yang tidak melengah-lengahkan kerjaya.
“Tak bagus tangguh-tangguh kerja. Kalau siapkan di sekolah, nanti di rumah saya lapang, boleh hafal Al-Quran, ulangkaji baca buku, dan bantu Haji Makruf berkebun, kemas rumah, dan tolong dia di masjid”
“Oh, bagusnya”
Abdul Haq tersengih. Kenapa la Sakeena ni masih ada di sini lagi hari ini? Abdul Haq rasa sedikit terganggu.
“Sakeena, jom la” Nazirah, teman baik Sakeena, memanggil dari luar kelas.
“Baik!” Sakeena menyahut. Kemudian dia memandang Abdul Haq. “Balik dulu ya”
“Ya” Pendek Abdul Haq menjawab. Di dalam hati, dia rasa lega. Sebenarnya dia agak tidak selesa berinteraksi dengan perempuan dalam keadaan begitu, berdua-dua. Entah, dia rasa panas. Walaupun Nazirah ada, tetapi Nazirah di luar kelas.
“Ingat Abdul Haq, kamu kena ada fokus. Jangan jadi macam budak lain, kecil-kecil sudah hendak bercintan cintun. Bukanlah bermakna bila kamu dah besar, kamu boleh bercinta dengan bebas. Ingat, cinta itu mahal. Kalau hendak bercinta, bercinta dengan matang, dan dengan jalan yang diredhai Allah”
Itu pesan arwah ayahnya tahun lepas. Ketika itu, dia mendapat surat cinta untuk kali pertama dalam hidupnya. Sebagai seorang manusia biasa, dia ada rasa gembira. Namun sebagai anak yang baik dan rapat dengan ayahnya, Abdul Haq berkongsi surat itu dengan ayahnya. Ayahnya telah memberikan nasihat.
Abdul Haq terus melaksanakan kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Rosiah.
****
Abdul Haq berjalan hendak keluar dari perkarangan sekolah. Dia membawa buku kerja rumahnya tadi dengan tangan. Buku teks-buku teksnya diletakkan di dalam beg. Dia pulang berjalan kaki, memandangkan Shah sudah pulang lebih awal tadi. Jika tidak, Shah akan menumpangkannya.
Ketika Abdul Haq hendak melangkah, melepasi dinding bangunan sekolah di tepinya, tubuhnya tiba-tiba dilanggar sesuatu. Buku yang dipegangnya tercampak ke udara sebentar, sebelum jatuh. Abdul Haq juga hampir terjatuh, tetapi dia sempat mengawal tubuhnya dari menyembah bumi. Dia terus memandang.
Kelihatan seorang pelajar sedang terbaring di atas selerakan buku-buku.
Abdul Haq terus mendapatkannya. “Eh, kenapa kamu ni?”
“Maafkan saya, saya terjatuh” Pelajar itu terus menyusun buku-buku yang bertaburan. Diasingkan buku-buku itu kepada dua bahagian. Satu bahagian kemudiannya diberikan kepada Abdul Haq. Itu buku-buku latihan Abdul Haq.
“Oh, Yunus. Kamu balik lewat juga ke hari ini?” Pelajar itu bernama Yunus, pelajar darjah lima.
“Ya… ya” Yunus tunduk. Wajahnya nampak tidak keruan.
“Kenapa ni? Kamu sakit?” Abdul Haq perasan akan wajah Yunus yang kelihatan aneh.
“Tak, tak ada apa-apa. Em, baiklah ya, saya pergi dulu. Minta maaf sebab terlanggar tadi” Yunus terus beredar selepas memberikan salam.
Abdul Haq menjawab salam itu dalam kehairanan. Kenapa Yunus kelihatan tergesa-gesa.
“Mungkin ada hal penting” itulah sangkaan baik Abdul Haq. Sedikit pun tak marah dengan Yunus yang melanggarnya tadi.
Abdul Haq terus pulang ke rumah. Hatinya lapang, kerana kerja rumahnya telah siap. Dia ada masa lapang untuk digunakan bagi kerja lain. Kehidupannya tersusun dengan baik.
*****
“Kenapa kamu nampak maca gelisah je ni Abdul Haq?” Suara Haji Makruf membuatkan Abdul Haq memandang ayah angkatnya itu.
Pagi itu, seperti biasa, selepas memasukkan baki sarapan pagi ke dalam bekas bekal, Abdul Haq akan memeriksa buku-bukunya. Tetapi, pagi ini ada sesuatu yang mengejutkan.
“Em, kerja rumah…”
“Hilang?”
“Tak, tetapi tertukar dengan buku orang lain”
Buku kerja rumah Bahasa Melayu, Sains, dan Bahasa Inggeris telah tertukar dengan buku-buku Yunus. Mujur kerja rumah Matematik dan Bahasa Arab tidak tertukar. Oleh kerana kulit luar buku latihan Sekolah Rendah Sentosa sama sahaja, kemungkinan Yunus tertukarnya apabila tergesa-gesa semalam.
Abdul Haq menghela nafas. Bahasa Melayu adalah pelajaran pertama, manakala Bahasa Inggeris selepas rehat dan Sains adalah pelajaran terakhir untuk hari ini.
“Tak mengapalah, nanti sebelum mula sekolah, saya akan jumpa dengan Yunus tu”
Haji Makruf mengangguk. Wajah Abdul Haq yang kerisauan, nampak tenang semula. Mungkin anak itu mula berfikir dengan baik. Abdul Haq mengangkat wajahnya semula, menarik nafas tenang. Kemudian dia memandang Haji Makruf. Tiba-tiba dia perasan sesuatu.
“Pakcik, kenapa saya tengok muka pakcik macam pucat sahaja?” Abdul Haq bertanya hairan.
Haji Makruf mengangkat kening.
Pucat?
****
Cikgu Azmen masuk. Abdul Haq menghela nafas resah. Tadi pagi, semasa menunggu di pagar sekolah, dia telah berjumpa dengan Yunus. Tetapi Yunus menafikan yang dia ada mengambil buku Abdul Haq, walaupun dia mengaku yang dia telah terberikan bukunya kepada Abdul Haq.
Abdul Haq hairan juga, sebab selepas itu dia mencari bukunya di mejanya. Namun tidak berjumpa. Akhirnya, ketika kelas Bahasa Melayu, dia terpaksa memberitahu kepada Cikgu Rosiah bahawa buku latihannya hilang. Cikgu Rosiah agak terkejut. Tetapi dia tetap melepaskan Abdul Haq dan berpesan agar Abdul Haq buat semula kerja itu. Hal ini kerana ini baru pertama kali Abdul Haq tidak menghantar kerja rumah.
Abdul Haq terus mencari bukunya semasa rehat, takut-takut dia yang tersalah letak, atau bukunya itu terjatuh di mana-mana. Namun dia tidak berjumpa. Justeru, semasa kelas Bahasa Inggeris, sekali lagi dia tidak dapat menghantar kerja rumahnya. Alasannya sama sahaja, buku hilang. Cikgu Raja Sukmawati, guru bahasa inggeris juga terkejut. Buku latihan Bahasa Melayu Abdul Haq hilang sudah kecoh di bilik guru. Kini buku bahasa inggeris pula. Alasan buku hilang biasanya alasan budak malas buat kerja sekolah.
“Sila berikan kerja yang telah saya berikan” Cikgu Azmen mengeluarkan arahan.
Abdul Haq tidak bergerak, walaupun teman-temannya yang lain sudah mengeluarkan buku latihan.
“Abdul Haq, kenapa kamu tak keluarkan kerja rumah kamu?”
“Dia nak bagi alasan buku dia hilang lagi la tu cikgu” Hariz, kedengaran melaung dari belakang.
“Bahasa Melayu hilang, Bahasa Inggeris hilang, sekarang Sains pun hilang. Mentang-mentang cikgu semua sayang dia, ketua pengawas, jadi dia ambil kesempatan” Jaafar menambah.
“Abdul Haq memang sengaja tak buat kerja” Toriq memanaskan keadaan.
Semua memandang Abdul Haq. Cikgu Azmen turut menajamkan matanya. Kata-kata tiga sekawan itu, walaupun berbau ejekan, nampak macam betul. Sebab pada Cikgu Azmen, adalah mustahil untuk tiga buku hilang serentak. Abdul Haq pula tidak menceritakan kisahnya terlanggar dengan Yunus. Hal ini kerana, Yunus tidak mengaku bahawa dia mengambil buku Abdul Haq. Abdul Haq pula bersangka baik, dan merasakan mungkin memang betul dia salah letak, terhilangkan dan sebagainya.
“Haq, betul kah apa yang tiga sekawan tu kata?”
“Tidak cikgu. Buku-buku saya memang hilang”
“Ala, takkan orang gila nak mengaku dia gila. Abdul Haq ni memang selama ini berlakon baik cikgu” Toriq terus memfitnah.
Kelas menjadi panas. Semua orang dalam keadaan hendak percaya atau tidak. Abdul Haq selama ini amat baik. Tetapi sangkaan bahawa Abdul Haq akan mengambil kesempatan atas pandangan baik orang kepadanya, timbul juga dalam kepala semua orang.
“Abdul Haq bukan orang macam itu!” Shah bangun. Membantu Abdul Haq.
“Ha, penjenayah sekolah seorang ni, dah la pakai baju pun tak kemas. Tengok, orang macam dia yang sokong Abdul Haq. Agak-agak macam mana Abdul Haq” Hariz mengambil peluang ini menambah burukkan nama Abdul Haq.
“Tak gu…” Shah naik marah.
“Shah, kamu jangan nak burukkan keadaan” Suara Cikgu Azmen meninggi.
Kini kelas dalam keadaan tegang. Abdul Haq kelihatan seperti benar-benar orang yang mengambil kesempatan.
“Abdul Haq, saya nak kamu cakap benar. Sebenarnya apa dah jadi pada buku latihan kamu?”
“Hilang. Buku latihan saya hilang”
“Takkan boleh hilang tiga-tiga buku latihan sekaligus?”
Abdul Haq senyap. Nampaknya, sedikit sebanyak, Cikgu Azmen termakan dengan adu domba tiga sekawan.
“Cikgu…” Abdul Haq bersuara. Suaranya sedikit tegas. Dia memandang Cikgu Azmen.
“Apa?”
“Walaupun cikgu tak tahu apa jadi kepada saya sekarang, tetapi ketahuilah bahawa TUHAN cikgu tahu apa yang terjadi kepada saya. Kalau saya berbohong, maka Allah akan hitung saya” Kata Abdul Haq berani.
Berani kerana benar. Orang hanya takut kalau buat salah.
Cikgu Azmen terdiam. Matanya menangkap sinar kebenaran dalam mata Abdul Haq.
“Ala cikgu, Abdul Haq ni nak guna agama pula sebagai jalan keluar” Toriq terus berusaha agar nama Abdul Haq rosak.
Suasana menjadi semakin panas dan tegang.
Shah agak risau dengan keadaan Abdul Haq. Dia yakin yang sahabatnya itu tidak bersalah. Dia amat percaya dengan Abdul Haq.
“Haq…”
“jangan risau Shah. Allah bersama dengan orang yang benar”
Ketika ini, kedengaran pintu kelas diketuk. Semua memandang.
“Assalamu’alaikum”
Yunus berdiri di hadapan pintu. “Kamu nak apa Yunus?” Cikgu Azmen bertanya.
Yunus mengangkat tiga buku latihan.
Seluruh kelas senyap.
“Ini buku latihan Abdul Haq, semalam dia terlanggar dengan saya dan buku kami telah tertukar”
Cikgu Azmen membesarkan mata. Shah terus memeluk Abdul Haq. Abdul Haq tersenyum, sambil lafaz Alhamdulillah diulang sebut pada bibir. Abdul Haq amat terkejut dengan kata-kata Yunus. Terkejut juga dengan kehadirannya. Bukankah Yunus menyatakan yang dia tidak mengambil buku Abdul Haq? Kenapa dia tidak bercakap benar terus tadi pagi?
Ah, biar lah. Sekarang semuanya telah selesai. Abdul Haq mengucapkan terima kasih kepada Yunus. Sekarang terbukti bahawa Abdul Haq tidak bersalah.
Yunus tersenyum kelat. Matanya lekat kepada baris paling belakang Kelas Darjah Enam Makrifah.
Tiga sekawan sedang memandangnya dengan wajah yang seakan hendak menerkam.






Salam..
Ingat bole sambung baca online lagi pasni..tup2, dah habis..hu3..
Teringin nak tau sambungannya..
Gud story… (”,)
[Reply]
salam..
lme jge ‘adny dh bce online..
agaknye time ibf thn dpn dh terbit ke??
hee~
[Reply]
hmm….cite ni best sgtt….sayer klau bleyh org pertama nak bli buku ni…klau boleh citer ni tambah ngan byk lagi emosi
[Reply]
Salam, nampaknya cerita ni dah sampai penghujungnya dionlinekan di sini.. apa kata selepas ni saudara masukkan pula di sebalik tabir penghasilan novel-novel saudara. Memang ada diceritakan sebelum ni, tapi mungkin kali ini entri khas bagi setiap karya yang telah terhasil..
Ini mungkin dapat dijadikan selingan, selain cerpen dan karya yang saudara hasilkan..
Sekadar cadangan…
[Reply]
emosi setelah habis membaca=seronok
kisah ini(remaja mulia) banyak ketengah keperluan golongan muda kepada golongan berumur dari mereka dan sebaliknya.
p/s:maaf jika baku Bm yg diguna.
–>teringat kisah lain dalam quran dan sejarah dunia yang lebih kurang isi tersirat
[Reply]
Assalamu’alaikum,
- kepada Akmal
Boleh baca di dalam bukunya nanti ya. Sabar sket.. hu3…
- kepada ‘adny
Sebelum ibf. Hujung tahun ni insyaAllah.
- kepada zahierr
maka berlumba lah jadi orang pertama, dan orang pertama merealisasikannya…
- kepada jamilah
Sebaik tabir ha…
em…
tengok la macam mana.
Cadangan yang baik…
- kepada kembar
Alhamdulillah…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
salam…
…
bes siri remaja mulia ni…
nape tak truskan je stiap ari sabtu
ni penghujungnye ke ade sambungan lagi…
[Reply]
Salam
Alhamdulillah.. another ‘ending’ which leads to another beginning..
[Reply]
smpai cni je ke??sedey2..huhu
[Reply]
aloooo….nok agi….
[Reply]
huh..patutla Yunus tak nak mengaku..paham2..
sedihnya tak dapat sambung baca lagi..
harap2 dpt baca sambungannya nnti..
[Reply]