
membina sedari kecil. Pepatah melayu kata, melentur buluh biar dari rebungnya
Jadi, minggu ini sudah tiada lagi Sinergi. 31hb Oktober 2009 ini, Sinergi akan saya hantar kepada GISB. Sudah hampir siap Novel itu. Tidak lupa saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan serta sumbangan idea.
Bermula minggu ini, Novel lain pula mengambil alih. Buat masa ini, nama Novel ini adalah Remaja Mulia. Saya tulis untuk membina peribadi anak-anak darjah enam dan sekitar tingkatan satu dua. Kerana saya nampak, anak-anak kita perlu disajikan dengan watak yang bermakna dalam hidup mereka, untuk mereka jadikan contoh.
Mungkin belum masanya saya ciptakan watak fantasi seperti superman(yang islamik pastinya) untuk mereka gila-gilakan. Tetapi masa ini, biar saya sediakan watak realiti, bagi mereka contohi ketabahannya, kecekalannya, dan kerapatan hubungannya dengan Allah SWT…
Mungkin ibu-ibu, bapa-bapa, abang-abang dan kakak-kakak boleh ikuti cerita ini. Saya yakin, anda juga akan menyukainya, seterusnya menyuruh adik-adik, anak-anak kalian membacanya juga.
Jom, Remaja Mulia, Permulaan: Aku Tinggalkan Kamu Dengan Allah.
Feel free to shoot your comment..
Remaja Mulia
Adik-adik,
Ketahuilah bahawa hidupmu ketika kecil bukan untuk dibazirkan,
Sedangkan usiamu yang kecil itu adalah masa pembinaan,
Maka cerita ini hadir,
Untuk memberikan kamu pengajaran,
Agar kamu ada contoh untuk dilihat,
Dan diambil untuk menjadi ikutan.
Remaja Mulia,
Hadiah aku untuk kamu wahai Pewaris Masa Hadapan.
Permulaan :
Aku tinggalkan kamu dengan Allah
Matahari mula memancar terik. Waktu pagi sudah hendak beralih kepada tengahari.
“Haq, cukup lah setakat ini untuk hari ini” Suara Pak Mahmud kedengaran.
Abdul Haq yang sedang tekun meletakkan baja pada tanaman mengangkat kepala. “Cukupkah ayah?”
Pak Mahmud mengangguk. Dia bergerak mengangkat cangkulnya ke sebatang pokok yang agak besar. Saban minggu, dia dan anaknya akan bercucuk tanam di kawasan ini. Itulah satu-satunya hasil pencarian yang dia ada untuk menyara kehidupannya dan Abdul Haq, di samping pekerjaannya sebagai imam di Kampung Sentosa.
Abdul Haq menepuk kedua telapak tangannya bersama-sama, bagi menyisihkan baja yang melekat. Dia kemudian bergerak mengikuti langkah ayahnya.
Kedua anak beranak itu duduk di bawah pokok besar di hadapan kebun tanaman mereka. Pak Mahmud duduk bersila manakala Abdul Haq duduk dengan kedua kakinya gaya mencangkung. Mereka memandang ‘hasil tangan’ mereka. Ada beberapa jenis sayur pada kebun kecil itu.
“Tak lama lagi sekolah hendak dibuka ayah” Abdul Haq memberitahu, sambil mengesat peluh dengan tuala kecil.
Pak Mahmud tersenyum. “Ayah tahu Haq. Ayah tahu”
“Ayah masih boleh sara perbelanjaan Haq kah?”
Pak Mahmud memandang Abdul Haq. “InsyaAllah masih boleh.”
“Tapi bila masuk darjah enam ni, mahal sikit. Ada yuran periksa, kemudian nak kena bayar kelas tambahan yang cikgu buat. Cikgu ada pesan sebelum tutup sekolah tempoh hari, katanya murid kena sediakan juga duit untuk bayar segala latihan yang cikgu fotostat kan”
Pak Mahmud senyap. Di dalam hatinya, ada rasa terharu kerana anaknya begitu mengambil berat perihal pembelanjaan. Diambil perhatian berkenaan belanja persekolahannya, yang rata-rata anak hari ini tidak ambil kisah, hanya tahu tunggu ibu bapa bayarkan. Abdul Haq ternyata mengambil kira semua itu kerana kasihankan bapanya.
“Macam mana ayah?”
“Rezeki tu daripada Allah, Haq. Kita usaha cari. InsyaAllah Allah bagi. Kamu belajar untuk pandai, hendak menyumbang atas jalan Allah nanti, bukannya kau belajar untuk berbangga-bangga, dan menjadi seorang yang bongkak. InsyaAllah, Allah akan bantu dan permudahkan kita”
Bibir Abdul Haq menggaris senyum. Ayahnya memang begitu. Prinsipnya adalah berusaha sehabis baik, dan hasilnya serahkan kepada Allah. Keyakinan ayahnya bahawa Allah itu tidak zalim, mengalir ke dalam hidup mereka anak beranak.
“Yang Haq perlu lakukan adalah…” Pak Mahmud bersuara.
“Belajar sungguh-sungguh kerana Allah!” Abdul Haq menyambung.
“Pandai anak ayah” Tangan Pak Mahmud mencubit pipi Abdul Haq.
Kedua anak beranak itu tertawa.
“Mari kita pulang, matahari pun sudah semakin terik.” Pak Mahmud bangun.
“Kamu pergi ambil sayur sikit, untuk kita buat makan hari ini”
“Baik ayah” Abdul Haq terus bergerak ke arah kebun.
Abdul Haq dan Pak Mahmud memang rapat. Walaupun mereka adalah pasangan anak dan ayah, namun mereka kadangkala kelihatan seperti adik beradik. Mereka berdua sering kelihatan bersama-sama, kecuali apabila Abdul Haq ke sekolah. Kalau Pak Mahmud ke pasar untuk menjual sayur pada hujung minggu, Abdul Haq akan membantu. Bila Pak Mahmud ke masjid untuk menjadi imam, maka Abdul Haq akan mengikutinya dengan menjadi bilal. Begitu juga lah di tempat-tempat lain.
Hal ini kerana, ibu Abdul Haq, telah meninggal dunia ketika melahirkan Abdul Haq. Abdul Haq dan Pak Mahmud tinggal berdua sahaja, di sebuah rumah yang agak sederhana di hujung kampung.
Walaupun mereka miskin, Abdul Haq sebagai anak tidak pernah merungut. Dia faham akan keadaan keluarganya. Ayahnya pula bukannya malas. Ayahnya berusaha menyara kehidupannya dengan menanam sayur dan menjadi imam. Walaupun pendapatan ayahnya tidak banyak, tetapi cukuplah untuk mereka meneruskan kehidupan.
Abdul Haq berazam, peperiksaan UPSR yang akan dihadapinya pada tahun ini, dia akan mendapat keputusan yang paling cemerlang, yakni 5A. Dia akan membalas susah payah ayahnya selama ini. Kemudian masuk ke sekolah berasrama penuh di bawah tanggungan kerajaan agar ayahnya tidak lagi susah untuk menanggung perbelanjaannya.
Pernah Abdul Haq cakap begitu kepada ayahnya, Pak Mahmud ketika itu menjawab:
“Tiada apa yang lebih menggembirakan ayah, melainkan kamu hidup dalam ketaatan kepada Allah”
“Belajar bersungguh-sungguh, cemerlang, itu pun ketaatan kepada Allah juga kan ayah?”
“Ya, kalau kamu manfaatkan pembelajaran kamu itu untuk Islam, dan kamu tidak bongkak kepada orang lain”
Begitulah ayahnya. Walau apa pun, tetap akan membawanya kembali kepada tujuan asal kehidupan manusia, iaitu beribadah kepada Allah. Kata ayahnya, manusia ini datang daripada Allah, dan akan kembali kepada Allah, jadi hidup ini mesti untuk Allah. Hidup untuk beribadah itu bukanlah hanya duduk di masjid sahaja, tetapi menjalani kehidupan ini dengan melakukan apa yang Allah suruh, dan tinggal apa yang Allah larang. Ayahnya kata, hidup manusia itu adalah menjadi hamba Allah SWT, dan mengejar redha-Nya.
Abdul Haq tersenyum. InsyaAllah, dia berazam untuk berjaya dunia dan akhirat, serta hidup menjadi hamba Allah SWT yang diredhai-Nya.
“Ya Allah!” Jeritan Pak Mahmud kedengaran. Abdul Haq terkejut, pantas menoleh ke arah pokok tempat mereka berehat tadi.
Dia nampak ayahnya tumbang ke tanah. Mata Abdul Haq membesar.
“Ayah!” Plastik berisi sayur dicampak, pantas dia berlari mendapatkan ayahnya itu.
Pak Mahmud terbaring lemah di atas bumi. Nafasnya turun naik.
“Kenapa ayah? Kenapa?” Abdul Haq memegang tubuh Pak Mahmud.
“Ular… Ular tedung” Terketar-ketar Pak Mahmud menyebut. Kakinya terasa amat sakit.
Abdul Haq memandang kaki ayahnya. Ada dua lubang kecil berwarna merah, kesan patukan ular. Dada Abdul Haq berdegup kencang. “Ya Allah, ayah. Macam mana ni?”
Panik. Abdul Haq menggelabah.
Pak Mahmud cuba mengawal pernafasannya. Bisa ular tedung amat berbisa. Sukar diubati jika tidak pantas. Namun keadaan mereka yang berada jauh dari orang ramai, di tengah hutan yang agak jauh dari kampung, membuatkan harapan untuk terselamat dan sembuh amat tipis.
“Rasanya, ayah setakat ini sahaja lah Haq” Pak Mahmud memandang anaknya yang sedang kelihatan tidak menentu.
Mata Abdul Haq bergenang sebaik sahaja mendengar kata-kata ayahnya itu. “Ayah jangan cakap begitu ayah. Biar Haq panggilkan Haji Makruf. Dia pandai berubat ni”
Abdul Haq terus bangun. Namun belum sempat dia melangkah, tangannya ditarik. Abdul Haq menoleh. Ayahnya menggeleng kepala. “Tidak perlu. Tidak sempat”
Pak Mahmud mula berpeluh-peluh. Kesakitan sudah mula menjalar ke seluruh badan. Abdul Haq tambah resah.
“Biar anak ayah ada di sisi ayah pada masa ni. Nanti tak jumpa lagi” Pak Mahmud cuba tersenyum. Nyawanya semakin pendek. Namun senyumannya menjadi tawar. Wajahnya sudah mula pucat.
“Ayah” Air mata Abdul Haq mengalir. Tangannya menggenggam baju ayahnya. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Memang, kalau dia berlari pantas ke kampung pun, dia tidak akan sempat menyelamatkan ayahnya.
Abdul Haq menundukkan kepalanya hingga menyentuh tubuh Pak Mahmud. Dia menangis teresak-esak. Pak Mahmud menggerakkan tangannya, mengusap kepala Abdul Haq.
“Ayah dah tak lama ni Haq.”
Abdul Haq terus menangis. Dia tidak menyangka semua ini akan terjadi. Hidupnya sudah susah, kini ujian datang lagi. Ketika ini dia teringat akan kehidupannya selepas ini tanpa ibu bapa, teringat akan pembelajarannya yang tiada siapa yang hendak menanggung. Hari esok seakan gelap untuknya.
“Haq, ayah tinggalkan kamu dengan Allah. Allah itu hidup dan tidak akan mati. Allah itu tidak pula memungkiri janji. Ingat pesan ayah ni Abdul Haq. Jaga perintah Allah, maka Allah akan jaga kamu. Ayah tak kisah apa pun, asalkan kamu hidup dengan menjadi hamba-Nya yang diredhai.” Tangan Pak Mahmud memang kuat belakang kepala Abdul Haq.
“Haq ingat ayah, Haq ingat!” Itulah pesanan ayahnya berulang kali, semenjak dia masih kecil. Tak sangka, hujung hayatnya pun dia masih berpesan akan perkara ini.
Pak Mahmud tersenyum. Dia memandang ke atas. Sakitnya semakin menjadi-jadi. Terasa seakan bisa ular tedung tadi sudah mencucuk-cucuk jantung.
“Kalau kamu benar-benar jaga apa yang ayah kata, maka ayah boleh pergi dengan senang hati”
Tangan Pak Mahmud terlepas dari kepala Abdul Haq. Abdul Haq mengangkat wajahnya. Ayahnya sudah menutup mata. Bibir ayahnya kelihatan tergerak-gerak. Sedang mengucap kalimah syahadah agaknya. Ayahnya hendak menembusi alam seterusnya.
“Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…”
Dan ayahnya terkulai layu.
Abdul Haq senyap. Apa yang berlaku di hadapannya seakan satu mimpi buruk. Jantungnya terasa dipukul kuat. Akhirnya, air mata sahaja yang mengalir untuk menenangkan.
Ini ujian Allah…
Itulah yang berulang kali dia ulangi di dalam hatinya.
Di tengah kawasan lapang sepi, di hadapan kebun tempat menyara kehidupan diri, ayahnya pergi, meninggalkannya bersama Ilahi.
Bermula lah kehidupan Abdul Haq, si yatim piatu, yang hendak menjadi hamba Ilahi, dan hidup mengejar redha-Nya.





Adakah bahasa diringkaskn utk memudahkan kanak2 mbaca?
Bg sy,senang dan ringkas.tp mungkin lebih baik jika ade sesiapa yg ada adik kecil di rumah, minta adik mereka itu bce dan komen.komen si kecil sgt tulus(^-^)
insyaAllah,dimudahkan Allah utk kanak2 resapi dan hayati..ameen
[Reply]
Nice start.. i would like to read more..
Keep writing.. may allah bless us always..
amin..
[Reply]
salam…walaupon agak cliche..tp sy yakin novel ini akan meletop satu hari nnt..doaku utkmu…
[Reply]
menarik. senang dihadamkan. tidak sabar menunggu sambunagnnya.
oh ye, mungkin terdapat salah ejaan. Teruskan usaha!
[Reply]
Salam.
Kalu utk kanak2 and remaja, insyaAllah nothing is going to be cliche.
They should be taught that.. mende2 yg somehow people think as simple and might take for granted are the ones that should be constantly reminded.
Congrats, permulaan yg bagus utk novel ini. and permulaan yg bermakna.
[Reply]
salam.. memang ini merupakan permulaan yang baik & x sabar tunggu novel ni siap. syabas! teruskan menulis..
[Reply]
yups..spendapat dengn yg lain.. konsep cerita sama macam novel2 yg saya pernah baca masa sekolh rendah kat ppustakaan..
just.. saya nampak awak ada usaha utk menghidupkan elemen lain @pun mnvariasakin… i am waiting for that
lastly.. ayat mukadimah tu, macam pernah dengr anda sampaikn semasa di program sekolah2 seluruh kluang, johor.. he3..
[Reply]
alhamdulilah,suke saye bc novel camni…good for our generation.hopes habiskan novel nie dgn jln cerita yg menarik dgn watak yang benar2 boleh djdikan contoh untuk kanak2.truskan usaha!
[Reply]
salam ya sahabat….ana rasa ada betul nta menurunkan sket tahap kesesuaian penulisan ini sehingga mencapai tahap yang boleh diterima oleh kanak-kanak…sesuai juga dengan tujuan dan niat nta yang murni tu….moga Allah permudahkan urusan kita semuanya…i’A ameen…
[Reply]
Assalamu’laikum,
- kepada musafir,
ya, memang bahasanya sedikit diringkaskan untuk anak-anak…
dah ada budak kecil baca cerita ni sampai habisnya. Dia seronok je…
Alhamdulillah… dengan doa-doa kamu, moga Allah permudahkan.
- kepada Kelibat,
thanks…
- kepada kainz,
yang tua mungkin kata cliche, tapi yang muda, semuanya baru untuk mereka….
teruskan memberi komentar yang bermakna…
- kepada kN
kesalahan ejaan adalah biasa, sebab karya ini belum diedit lagi…
Harap terus mengikuti…
- kepada hambamencari
thanks atas sokongannya. Doakan agar Allah permudahkan…
- kepada tgb
Novel ni dah siap sebenarnya. Tinggal nak siarkan sampai bab tertentu, dan novel ini akan terbit hujung tahun ini…
- kepada luqman hakim
sememangnya, saya menulis untuk menghidupkan sesuatu yang hilang dalam diri manusia…
ya kah saya pernah cakap begitu dahulu? saya dah lupa…
- kepada permatakasih
insyaAllah…
- kepada abg mu
sasaran utama adalah kanak-kanak berumur darjah 6 hingga tingkatan 3. Jadi rasanya ok kut camni…
doakan agar berjaya…
~seorang hamba…
Hilal Asyraf
[Reply]
x sabar nk tunggu sambungannya…x pe..take your time..
[Reply]
salam….Tahniah!!sebuah cerita yang sangat menyentuh hati…x sabar nk tunggu yg sepenuhnya..subhanallah!teruskan perjuangan semoga diberkati Allah SWT..amin.
[Reply]
salam…menyentuh hati kot bagi yang merasai…nice..saya berpendapat…gunakan pendekatan psikologi dalam penulisan kamu.. berdasarkan pengalaman saya…budak2x suka berimaginasi…penulisan yang bagus bila si penulis dapat membawa kanak2x ke dunia khayalan mereka dan merasai kewujudan Tuhan yakni Allah…sbb untuk membawa kanak2x mengenal Allah itu memerlukan usaha yang unik…mereka berfikir dari khayalan mereka… dan tanpa sedar,bila usia menigkat mereka mencari dari gambaran2x dlm minda mereka ke suatu titik yg logik..maaf,saya baru berminat bace blog ni..so,baru tau ttg ni…myb buku ni dah publish dah ea..?
[Reply]