Langit Ilahi Rotating Header Image

Saat aku menjejak langit…

20 tahun lalu

20 tahun lalu

Hari ini, 17hb April 2009. TakdirNya yang memang cantik telah mengaturkan bahawa tarikh bersejarah ini jatuh pada Hari Jumaat, penghulu kepada segala hari dalam seminggu. Tiadalah matahari yang cahaya terbitanya lebih baik, dari cahaya terbit matahari hari Jumaat.

Tarikh ini, akan saya angkat dalam kehidupan saya sebagai tarikh yang bersejarah. Saya, akan mengenang tarikh ini sampai bila-bila.

Sebahagian berkata bahawa saya ini bertuah, sebahagian pula berkata saya ini bernasib baik, sebahagian pula berkata saya ini luar biasa, dan banyak lagi manusia mempunyai pandangan mereka yang tersendiri terhadap saya.

“ Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, maka ia akan menjadi pasti”

Hari ini, saya mula menjejak langit.

Dan satu marhalah baru yang amat panjang terbentang sudah, menanti untuk saya harungi.

17hb April 2009, hari ini adalah tarikh buku saya yang pertama diterbitkan. Bukan satu, tetapi dua. Novel VT dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita.

Pada usia 20 tahun, tanpa mempunyai title sebagai seorang artis atau anak orang kenamaan, hanya konsisten mengupdate blog setiap hari dan sentiasa berusaha mempertajamkan potensi diri, buku saya terpilih untuk diterbitkan. Beberapa orang mengatakan ini adalah luar biasa.

Saya mengimbas kembali. Saya jadi insaf. Bukanlah saya yang mengatur takdir sebegini. Malah tidak pernah bermimpi bahawa ia akan jadi sebegini.

Rupanya, kita sebagai HAMBA perlu sedar, walaupun usaha itu ada, tetaplah ALLAH juga yang memberikan sesuatu kepada kita. Siapa sangka, blog saya diperhatikan oleh Encik Zakaria Sungib, lantas ditawarkan saya untuk menyertai penulisan buku motivasi? Kemudian, siapa sangka, selepas membaca cerpen Matahari, Encik Zakaria Sungib bersetuju dengan idea novel VT?

“ Kamu merancang, dan ALLAH merancang, dan ALLAH lah sebaik-baik perancang”

Kalaulah bukan ALLAH yang menggerakkan Encik Zakaria Sungib bertanya, kalaulah bukan ALLAH menyusupkan rasa berani saya untuk menyuakan Cerpen Matahari kepadanya, mungkin tarikh 17hb ini bukanlah apa istimewanya.

Saya, secara jujurnya, rasa segan dengan ALLAH. Walaupun saya banyak kekurangan, malah dihantui sejarah silam yang kelam dan banyak cacat, DIA tetap memapah saya dan memberikan saya cahara. Walaupun DIA tahu, saya ini manusia biasa dan akan melakukan kesilapan lagi.

Siapakah kasih sayangnya lebih hebat dari kasih sayangNya?

“ Sesungguhnya ALLAH itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya” Surah An-Nahl ayat 7.

Saya duduk bertafakkur dan berkira-kira.

Semua di bawah kehendak DIA.

Bila DIA katakan jadi, maka terjadilah apa yang DIA katakan.

“Sesungguhnya urusanNya, jika DIA mengkehendaki sesuatu, maka DIA hanya katakan kepadanya(perkara yang ALLAH kehendaki itu) jadilah! Maka jadilah sesuatu(yang dikehendakiNya) itu” Surah Yasin ayat 82.

Syukur saya tidak akan dapat terluah hanya dengan bicara. Entah, kalam apa yang patut saya keluarkan bagi setaraf dengan rahmat dan karuniaNya. Hanya boleh berjanji, untuk terus berusaha menjadi HAMBA, dan berterusan kuat mengangkat kalimahNya.

Dalam perjalanan ini juga, terdapat manusia-manusia penting yang perlu saya sebut jasa mereka, sebagai tanda terima kasih, dan sebagai mengingatkan diri saya, bahawa saya bukannya menjejak ke langit dengan usaha sendiri semata-mata.

10 tahun lalu

10 tahun lalu

Di kesempatan ini, saya berikan penghormatan tertinggi saya kepada ibu dan bapa saya, Puan Hajah Sophia bt Hj Salleh dan Tuan Hj Abd Razak bin Kaprawi atas sokongan dan doa tanpa putus serta restu dan redha daripada mereka. Saya masih ingat, yang ayah sayalah memperkenalkan saya dengan mentor saya, Puan Hajah Maskiah bte Masrom, selepas dia melihat saya memprint karya saya untuk diberikan kepada rakan.

Saya masih ingat juga, bila ibu saya bercerita yang rakannya ada mengumpulkan tulisan lama, lalu dibukukan, lalu malam itu saya berkata kepada ibu saya,

“ Ummi, boleh ke ummi tolong Hilal untuk cari sesiapa yang boleh bukukan penulisan blog Hilal?”

Ibu saya kata, “ Boleh, nanti ummi tolong”

Walaupun selepas itu, tiadalah ibu saya menghubungi editor untuk membantu saya(mungkin atas kekangan masa), saya tetap tahu yang ibu saya ‘menghubungi’ PENCIPTA kepada segala editor di dunia ini untuk membantu saya. Mungkin sebab itulah DIA menggerakkan hati Encik Zakaria untuk menjemput saya menerbitkan buku.

Tidak pula saya lupa, huruf-huruf latin yang saya pelajari, guru pertama saya dalam pembacaan ini adalah ayah dan ibu saya. Ayah saya terutamanya, telah bersusah payah menyediakan kad-kad nama benda, beserta gambar, dan meluangkan masa bermain kata dengan saya semasa saya kecil sehingga saya mengenal nama benda dan huruf-huruf.

Seterusnya, kepada guru-guru saya di Taska Ibu, Tadika Iman dan Nurseri Al-Fath. Andai mereka tidak menjalankan amanah mengajar ABC, Alif Ba Ta, 123 kepada saya, nescaya saya akan terkebelakang dari semua orang. Walaupun saya hanya ingat tiga orang sahaja dari mereka, saya tetap tidak akan melupakan jasa-jasa yang lainnya.

Kemudian, yang paling tidak akan saya lupakan walau di mana saya berada, guru-guru saya di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Senai, Johor. Merekalah yang mula mengenalkan saya erti tanggungjawab, mengembangkan pemikiran saya, menunjukkan saya potensi saya, dan menjaga saya sehingga menjadi seorang yang berani dan berketrampilan. Tanpa didikan mereka, nescaya saya tidak akan melalui sekolah menengah saya dengan baik.

Penghargaan terhormat saya, buat guru-guru di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyah, Beseri, Perlis. Suasana tarbawi, fikrah islamiyah, teguran, nasihat, perkongsian pengalaman, ilmu, cara berfikir, kerendahan hati, syakhsiah, dan segala apa yang ditumpahkan kepada saya sepanjang 7 tahun berada di sana, itulah yang saya bawa sebagai bekalan penerusan survival kehidupan saya hari ini. Dan penulisan saya, banyak menggunakan apa yang telah mereka ajari. Takdir ALLAH memang cantik, membenarkan saya merasai sekolah yang baik seperti MATRI ini, yang tersembunyi di dalamnya mutiara-mutiara, yang tidak dapat ditimbang beratnya, dan ditukar gadai nilainya.

Saya ungkapkan terima kasih saya, buat mentor saya, Puan Maskiah bte Masrom. Walaupun hanya bertemu beliau dua kali sahaja, dan tiadalah penerbitan VT dan Buku Langit Ilahi ini berkaitan dengan beliau, tetapi semangat, tunjuk ajar dan galakan yang diberikan itulah yang membakar niat saya untuk menjadi seorang penulis yang baik. Andai ALLAH tidak mempertemukan saya dengan dia, maka saya juga tidak tahu bagaimana hendak mengembangkan stail penulisan saya.

Penghargaan istimewa saya kepada saudara Zahir Zainuddin, seorang blogger yang konsisten, yang mencetus satu rasa ingin berdisiplin dalam menulis dan mengupdate blog kepada saya. Saya masih ingat dua kata-katanya,

“ Seorang blogger yang baik, adalah yang mengupdate blognya setiap hari”

“ Blog yang sehari dikunjungi ribuan orang, adalah blog yang digerakkan dalam keadaan yang konsisten”

Khas untuk Cikgu Azmi Bahari yang banyak meringankan masalah internet saya sepanjang tingkatan enam, dan banyak berkongsi pengalaman serta memberikan teguran yang tegas kepada saya. Perkongsian dengan beliau banyak mematangkan pemikiran saya, walaupun bukanlah 100% kata-kata beliau saya ambil untuk pedoman kehidupan saya. Antara salah seorang manusia yang berjasa membentuk saya hari ini.

Teristimewa juga untuk Pakcik Rosdi bin Baharom dan isterinya, Cikgu Maimunah bt Hashim yang banyak memberikan kata-kata semangat, menembak doa dan menumpahkan kasih sayang. Banyak pengalaman hidup mereka yang menjadi inspirasi kehidupan saya.

Kepada sahabat-sahabat yang menyokong perjalanan penulisan saya, terutama yang mengiringi dari langkah demi langkah, seperti Abang Ali Irfan, Kak Ruqayyah dan Kak Syarifah Nurul Hidayah serta beberapa lagi sahabat yang setia membantu saya memperbaiki diri, saya ucapkan infiniti terima kasih kepada kalian. Tiadalah diri ini sedar diri ini berada di mana, kalau bukan kalian yang sentiasa mengingatkan.

Kepada Encik Zakaria Sungib, yang menjemput diri ini untuk menulis bagi GISB. Rasa sangat bersyukur. Ternyata pertemuan kita merupakan satu takdirNya yang cantik. Semoga ALLAH rahmati dan berkati Encik Zakaria sekeluarga.

Dan yang terakhir, tetapi bukanlah yang terbawah, kepada semua rakan-rakan blogger, follower-follower, pelawat-pelawat, yang dari semasa ke semasa memberikan semangat, yang dari masa ke semasa memberikan teguran ikhlas, yang sentiasa memberikan kritikan membina, yang sentiasa membakar semangat, yang sentiasa membuatkan saya berfikir dan memperbaharui niat. Siapalah saya tanpa doa-doa kalian. Hanya seorang tempang yang bertongkatkan doa-doa kalian. Kalian adalah penembak-penembak doa. Berkenalan, bermukhalatah(bercampur), berta’ammul(berkomunikasi) dengan kalian adalah antara hadiah paling indah, yang ALLAH berikan kepada saya dalam kehidupan saya.

Ini bukanlah satu pengakhiran atau penamat. Ini hanyalah satu permulaan. Andai langit itu punya tujuh lapisan, maka ini barulah lapisan pertama yang saya jejak. Saya akan cuba mendaki lagi, dan istiqamah dengan apa yang saya bicarakan sebelum ini. Bukan sahaja konsisten dalam mempertajamkan penulisan,tetapi juga berusaha keras dalam mempertingkatkan diri. Bersama-sama, kita mengoreksi diri.

Saya, dengan kepala yang tunduk ke bumi, dengan penuh rasa rendah diri, mengucapkan infiniti terima kasih kepada semua.

Tanpa kalian, siapalah saya.

Ketahuilah bahawa, kejayaan ini kejayaan kita. Bukanlah semata-mata kejayaan saya. Percayalah yang anda semua mempunyai sahamnya juga. Berdoalah moga kejayaan ini, diterima oleh ALLAH SWT sebagai salah satu dari amal-amal soleh kita di dunia.

“ dan barangsiapa yang melakukan amal kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dikira” Surah Al-Zalzalah ayat 7.

Berumur 20 tahun

Berumur 20 tahun

Semoga ALLAH redha dengan kita…

Terus mengangkat kalimahNya, terus berusaha menjadi HAMBA!

Print This Post Print This Post

13 Comments

  1. wardah al zahra says:

    Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Munafiquun ayat 8.

    ” …………. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasulnya serta bagi orang-orang yang beriman , akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak tahu mengetahui (hakikat yang sebenar)”

    Ayat di atas menjelaskan bahawa kejayaan itu milik Allah SWT dan RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman yakni kejayaan Islam itu sendiri…insya ALLAH…

    [Reply]

  2. mumtazah says:

    Tahniah….

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    laksamana Reply:

    Assalamu’alaikum,

    kepada wardah,

    jazakillah. Tepat sekali pesanan kamu itu. Semoga ALLAH redha.

    kepada mumtazah,

    terima kasih atas ucapan tahniah. Semoga ALLAH ganjari kamu.

    ~yang terus berharap dan berharap…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  3. zak115 says:

    i’m just wondering

    kt mana titik permulaan semua ni..?

    [Reply]

  4. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada zak115,

    titik permulaan untuk semua ini?

    hem… saya pun, bila anda tanya soalan itu, tidak dapat menjawabnya.

    Bila semua ini bermula?

    Semenjak saya lahir la kut.

    ~yang mengharap redhaNya…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  5. LittleCaliph says:

    Melangkah mengiringimu.

    LITTLE CALIPH

    [Reply]

  6. rasydan rasydan says:

    ya ruhi laitak ruhain bi ruh.

    …dan jika rohmu terbang, wahai rohku, sesungguhnya rohku juga ingin melayang bersama rohmu itu.

    ..dan akan aku cari awan impimu itu, apabila aku bisa terbang nanti.

    [Reply]

  7. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada little caliph,

    yang bangga kamu mengiriku. he3..

    kepada rasydan,

    maka kibaskan sayapmu segera, agar aku tidak lama menunggumu.

    Semoga ALLAH redha..

    ~yang berharap redhaNya

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  8. Xyna says:

    Hilal..terlalu selalu juga kita mendengar ungkapan ini..” apabila memandang bintang di langit, jangan sesekali lupa rumput di bumi”. Apatah lagi bila sudah menjejak ke langit kan? Will always pray that you stay as what you are rite now walau di lapisan langit mana sekalipun.

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    laksamana Reply:

    Assalamu’alaikum

    kepada teacher Xyna,

    jazakillah atas pesanan teacher. InsyaALLAH, Hilal akan senantiasa mengingatinya. Semoga ALLAH sayang dengan teacher dan memberkati teacher sekeluarga.

    ~yang rasa dia anak murid teacher…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  9. -insan- says:

    assalamualaikum akh,

    saya amat tertarik dengan kata2 akh: “ Melakar langit sejarah, membina awan impi, bila aku menjejak, maka ia akan menjadi pasti”

    boleh pinjam kata2 ni? :smile:
    semoga perjuangan akh diberkati..maat taufiq wannajah fil imtihan

    jazakallahu khair and wassalam

    [Reply]

    Hilal Asyraf

    laksamana Reply:

    assalamu’alaikum,

    kepada insan, maafkan saya kerana lambat membalas komen ni.

    nak pinjam kata-kata tu? Boleh je. Dipersilakan.

    Itu bukan kata-kata keramat tau. Sekadar untuk inspirasi diri. Ala.. seronok-seronok di kala tension. he3..

    Semoga ALLAH redha..

    ~HAMBA

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  10. sinar says:

    terus dan teruskan melangkah…
    moga redha Allah sentiasa bersama kamu..

    [Reply]

Leave a Reply