Langit Ilahi Rotating Header Image

Saya dah nak kahwin?

kita mahu, jalan cinta kita, jalan cinta yang diterima di sisi Allah

kita mahu, jalan cinta kita, jalan cinta yang diterima di sisi Allah

Ada orang kata, saya dah nak bertunang. Ada lagi yang kata, saya nak pinang orang dalam tahun ni. Ada pula yang teka, si fulanah tu la orangnya. Ada pula yang teka, si fulanah yang satu lagi la orangnya.

Baru-baru ni, beberapa orang kawan saya di Malaysia bertanyakan hal ini. Kata mereka, orang dah asyik sebut-sebut.

Saya macam nak tergelak pun ada. Saya  tak la rasa orang nak sebar cerita palsu. Saya yakin, orang yang cerita tu tersilap dengar, atau dengar salah maklumat.

Tapi, tak apa lah. Kebetulan orang dah sebut-sebut. Jadi saya fikir, saya nak kongsikan sesuatu di dalam website berkenaan hal ini. Ada benda yang saya  hendak beritahu, berkongsi pandangan.

Harapnya, lepas saya bagitahu ni, yang cerita-cerita tu boleh berhenti cerita. Dan yang dengar-dengar tu boleh tegur yang cerita.

Saya ni, jujurnya, masih rasa bahawa saya ini tidak layak lagi untuk berumah tangga.

Dulu, saya selalu fikir fasal baitul muslim. Saya rasa nak cepat berumah tangga. Dan saya ada melakukan beberapa kesilapan dalam hal itu. Namun, kesilapan-kesilapan itu mendidik saya, membuatkan saya lebih faham akan perkara ini. Dulu, saya masih belum cukup ilmu dan kematangan untuk berfikir macam hari ini.

Hari ini, Hilal Asyraf yang hari ini, sudah nampak apa yang perlu dilakukan.

Saya hari ini faham bahawa, kahwin itu perlu didirikan atas ketaatan kepada Allah, bukan kerana perasaan diri semata-mata. Bila berkahwin, kita secara tidak langsung menanggung manusia lain dalam kehidupan kita. Manusia lain itu, ahli keluarga kita itu, adalah tanggungjawab kita. Kalau tanggungjawab bagi makan minum sahaja, saya tidak akan kisah. Tapi, tanggungjawab di sini adalah tanggungjawab memastikan mereka selamat sampai ke syurga. Itu membuatkan persediaan yang mantap adalah perlu sebelum mendirikan rumah tangga.

Saya juga sudah faham bahawa, masalah dalam perkahwinan yang utama bukanlah dengan siapa kita hendak berkahwin. Ramai manusia tergesa-gesa mencari pasangan yang kirana, pasangan yang cukup empat ciri yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, yakni baik agamanya, baik keturunannya, ada harta dan punya rupa.

Tetapi sebenarnya, masalah utama dalam perkahwinan adalah diri kita. Justeru, yang utama bukan mencari pasangan kita. Yang utama adalah memperbaiki diri kita. Adakah kita mampu bersabar dengan segala mehnah dan tribulasi? Adakah kita boleh mengawal emosi? Adakah kita mampu berfikiran matang? Adakah kita boleh membuat perancagan, management yang baik? Adakah kita ini mampu menyusun masa dengan baik? Adakah kita ini mampu berhadapan dengan masalah tak terjangka? Adakah kita ini mempunyai akhlak dan kefahaman agama yang baik? Bagaimana hubungan kita dengan Allah? Semua itu perlu masuk dalam konsiderasi jika inginkan keluarga yang baik.

Apabila kita ini baik, maka insyaAllah kita mampu mengimbangi kekurangan dan kelebihan pasangan kita nanti. Bukan semua orang mempunyai ciri yang empat tadi, jadi pasangan kita pasti akan mempunyai kekurangan nanti. Kita perlu berpijak atas realiti ini. Justeru, yang kita boleh lakukan adalah mempertingkatkan kualiti diri kita sekarang, untuk membina keluarga yang terbaik nanti.

Saya, sekarang, masih dalam proses itu.

Saya sekarang, berprinsip untuk memperbaiki diri, mempertingkatkan kualiti diri terlebih dahulu, sebelum bergerak lebih jauh seperti melamar, kahwin dan sebagainya. Sebelum saya kena tanggung dunia akhirat orang, maka saya kena belajar untuk tanggung diri saya sendiri.

Jadi, tiada ketergesaan untuk saya mendirikan rumah tangga. Kalau nak bertunang, kononnya nak ‘cop’ tak bagi orang lain kacau, pun saya rasa saya tiada ketergesaan. Saya tidak rasa bertunang untuk jangka masa panjang adalah baik.

Tapi, sebagai seorang yang memandang jauh, saya tak nafikan saya ada merancang bila nak bertunang dan bila nak berkahwin. Saya telah tetapkan masa, bila ‘pertapaan’ saya perlu selesai, dan bila saya perlu keluar untuk ‘mencabar’ dunia. Tapi, sebelum waktu itu sampai, biar saya perbaiki diri sebaik-baiknya, biar saya tingkatkan diri setinggi-tingginya.

Bila saya nak melamar anak orang, nak kahwin dan sebagainya, tidak akan saya cerita di sini. Website ini terlalu umum. Tambahan, saya tidak tahu apakah rancangan saya itu akan menjadi kenyataan atau tidak. Saya merancang, Allah juga merancang, dan Allah punya rancangan itu lebih baik.

Tapi saya boleh bagitahu satu perkara: Saya tidak akan bertunang/berkahwin tahun ini. Itu insyaAllah satu kepastian.

Berkenaan siapa perempuan saya suka, itu biarlah rahsia. Sebab saya pun tak tahu bagaimana dia dengan saya. Tidak pernah berhubungan melalui satu cara telekomunikasi apa pun. Suara dia pun tak pernah saya dengar. Hanya pernah tengok dia empat kali sahaja. Jujurnya, saya syok sendiri 100%. Jadi, saya ada kemungkinan 99.9999% untuk kena reject. Saya pun tak tahu, apakah dia tahu yang saya suka dia.

Tambahan, saya tidak tahu apakah yang Allah susun untuk saya. Macam saya kata, saya merancang sahaja. Saya cerita pada keluarga, saya suka dia dan sebagainya. Saya minta keluarga urus. Biar keluarga saya bincang dengan keluarga dia. Saya, urus diri saya. Pertingkatkan lagi diri.

Biarlah identitinya rahsia. Saya akan pecahkan rahsia ini bila saya berkahwin nanti insyaAllah. Sekurang-kurangnya, kalau lamaran saya kena reject pun, tiada apa-apa akan terjejas. Saya sorang-sorang je. Tambahan, saya yakin bahawa, kalau niat saya mendirikan rumah tangga ni betul, dan matlamat saya hendak mendirikan rumah tangga ini benar, maka kalau saya kena reject pun, saya takkan kecewa. Kalau kena reject, maka benarlah dia bukan yang Allah susun untuk saya. Allah, tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya. Kalau tak dapat apa yang kita mahu, kemungkinan Allah hendak ganti yang lebih baik dari apa yang kita mahu.

Sekarang ini, masa mempertingkatkan lagi kualiti diri. Masa yang ada, perlu saya gunakan sebaiknya.

Apa kata, dari kita dengar gosip-gosip yang tak tahu betul atau tak, berkenaan orang lain, mari kita sibukkan diri kita dengan keadaan kita, kualiti diri kita, kehidupan kita, dan hubungan kita dengan Allah?

Saya yakin, kita semua akan berumah tangga.

Dari kita sibuk orang lain punya urusan, bila dia nak kahwin, bila dia nak bertunang, dengan siapa dia nak berkahwin, baik kita tengok diri kita dan mempersiapkan masa hadapan kita. Diri kita, hanya diri kita sahaja boleh tolong.

Saya harap, kita sama-sama nampak akan betapa besarnya perkara mendirikan rumah tangga ini. Kita tidak mahu mendirikan rumah tangga yang dasarnya adalah suka-suka, perasaan semata-mata. Kita hendakkan rumah tangga, yang terbina dengan dasar iman, dan rasa tanggungjawab yang tinggi, dengan cita-cita hendak melahirkan lebih ramai manusia yang taat kepada Allah dalam kehidupan ini.

Saya tak lah tulis post ni semata-mata nak sapu cerita tak benar tu. Kebetulan dengar orang sebut-sebut, jadi saya nak kongsi pandangan saya dalam hal perkahwinan ini.

Sama-sama lah kita bercita-cita, dan berusaha menjadi hamba-Nya.

Print This Post Print This Post

20 Comments

  1. saza s says:

    salam ziarah…pemuda angkasa….

    baitul muslim bukan sekadar suatu kenyataan
    ianya lahir daripada segenap perancangan
    benar setiap ketentuan itu adalah susunan Tuhan
    samalah kita doakan agar beroleh keberkatan

    berdoalah agar setiap manusia dikurnaiakn pasangan yang soleh dan solehah

    [Reply]

  2. Zayu Hisham says:

    Artikel yang jelas dan padat. Semoga diterima baik oleh semua.. :smile:
    Apa pun ia juga satu peringatan untuk lelaki bergelar SUAMI.
    Tiada yang lebih baik untuk kita selain menunaikan TANGGUNGJAWAB sebagai HAMBANYA. Isteri dan anak-anak adalah suatu tanggungjawab…..betapa kerdilnya diri ini..MAMPU atau TIDAK untuk menunaikan AMANAH ALLAH ini. Selagi diberi NAFAS oleh-Nya…Selagi itu kita perlu berusaha menerima dan menunaikan AMANAH di dunia ini……

    [Reply]

  3. mutiara says:

    :razz: :idea:

    [Reply]

  4. imansyauqina imansyauqina says:

    assalamualaikum..

    mungkin mereka mendoakan yang terbaik utk ustaz..

    [Reply]

  5. http:///www.sirihgambir.blogspot says:

    qada n qadar ketentuan yang maha esa..kadang2 kita merancang tapi Allah yang menetukan..soal jodoh maut di tangan Nya..x salah juga kita merasa suka pada seeorang atau paling tepat secret admirer…krana kurnian kasih sayang ada pada setiap insan..yang Allh berikan..

    kadang2 kita x perlu untuk berkahwin hanya kerana untuk mnyelamatkan keadaan..atau lebih tepat”eh ana sudah tua la” mesti kahwin..

    perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi..umpama membawa sebuak kapal yang penuh dengan pengisian barangan..untuk di layari di tengan lautan..kdg2 berombak,kdg2 kelihatan tenang..begitu juga dengan alam..ada siang ada malam ada hujan mendung dan panas.

    bila dah sampai masanya..akan sampai jua ..x perlu mencari..tapi berusaha..kalau x berusaha x kan dapat juga saudara…atau kalau rasa belum bersedia melihat dari jauh pun cukup sekadar rasa..alangkah baiknya..

    [Reply]

  6. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada Saza S,

    terima kasih atas pandangan yang diberikan. Hakikatnya, perkahwinan itu adalah satu tuntutan. Satu sub alam di alam realiti yang merupakan amanah. Kita perlu laksanakan amanah itu dengan sebaiknya. bagaimana hendak melaksanakannya dengan baik tanpa persediaan?

    sama-sama kita muhasabah…

    kepada Zayu Hisham,

    Anda benar. Semoga Allah SWT membantu kita dalam hal ini.

    kepada mutiara…

    kamu dapat idea kah?

    kepada iman syauqina,

    mendoakan, mungkin. Tapi kalau sampai menimbulkan salah faham, maka saya perlu buat sesuatu untuk menjelaskan.

    kepada sirih gambir,

    Di sini, kita bertanggungjawab berusaha mempertingkatkan diri…
    Allah akan berikan yang terbaik insyaAllah…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  7. KAKAK says:

    ALHAMDULILLAH…RASE TERHARU MEMBACA ARTIKEL INI… MASIH ADE KIRENYE INSAN ‘ADAM’ YG. BERPENDIRIAN… SEMOGA RAMAI LG DISEBALIK SANA ADAN-ADAM YG SEPERTINYE….

    [Reply]

  8. samudra says:

    artikel yg menarik…
    dan yg pasti sgt berguna utk diri akak sendiri..
    n i love the QUALITY word..

    [Reply]

  9. Nurull halawati says:

    pernikahan atau perkahwinan
    menginsafkan kita perlunya iman dan takwa
    untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T
    kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana
    justeru, kamu akan tersentak daripada alpa
    kamu bukanlah Rasulullah S.A.W
    pun bukanlah Saidina Ali
    kamu hanyalah seorang suami akhir zaman
    yang berusaha menjadi soleh
    …amin…

    [Reply]

  10. +fobia+ says:

    ciciciri yang perlu dipenuhi untuk mencukupkan syarat kita da boleh kahwin?ada?ngaa.sekurangkurangnya?

    [Reply]

  11. darin ulfah says:

    Didoakan moga kamu mendapat permaisuri hati di mana bukan kamu sahaja dapat membawanya ke syurga, malah dia jua membuatkan mu ke syurga. Amin.

    [Reply]

  12. Hanif Mesir says:

    Salam akhi, syukran atas pencerahan ini…

    Mari kita berusaha sedaya-upaya dalam mempersiapkan diri kita menjadi suami/isteri yang mampu membawa keluarga kita dan masyarakat ke arah syurga..

    Check balik apa niat kita nak berkahwin, kerana Allah s.w.t atau kerana lainnya?

    Apa-apa hal pun, yakinlah dengan firman Allah…sesungguhnya lelaki2 yang baik itu adalah untuk wanita2 yang baik…

    wallahu a’alam…

    [Reply]

  13. Hilal Asyraf laksamana says:

    Assalamu’alaikum,

    kepada Kakak,

    semoga Allah benarkan saya tergolong dari kalangan Adam yang utuh insyaAllah…

    kepada Samudra,

    semoga kita benar-benar menjadi hamba-Nya yang berkualiti…

    kepada Nurull,

    berpijaklah di atas realiti,
    jauhilah titik fantasi,
    sesungguhnya kau adalah hamba Rabbi,
    maka jadilah hamba yang menunduk diri,
    bersedia menghadapi hari-hari nanti…

    kepada Fobia,

    sekurang-kurangnya faham bahawa hidup ini adalah untuk Allah, dan faham bahawa kepada-Nya kita akan dipulangkan, kemudian berjaya menterjemahkan kefahaman itu dalam kehidupan.

    lepas tu, nak kahwin, dipersilakan…

    kepada darin ulfah,

    tiada kalam yang lebih baik dari meminta doa kamu itu dimakbulkan…
    amin, amin ya Rabbal ‘alamin…

    kepada Hanif Mesir,

    ya, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.

    Tetapi, apakah kita telah berusaha menjadi yang ‘baik’ itu?

    sama-sama kita muhasabah…

    ~seorang hamba…

    Hilal Asyraf

    [Reply]

  14. abuhassan says:

    Sdr Hilal, terima kasih atas perkongsian. Moga ASWT redha.

    Bagi ambo dan kawan-kawan yang dah kahwin ni boleh le buat muhasabah dan perbaiki di mana-mana ruang yang kurang (memang banyak kurang). Tapi yang lambat lagi tu, jangan le pula bertangguh buat persiapan - sebab persiapan fizikal (kenduri kendara dsb) tu jauh lebih mudah daripada nak buat persiapan jiwa, mental dan kefahaman. Ingat kursus kahwin 2 hari cukup ke nak persiap diri jadi suami, isteri, ayah, ibu? Persiapan nikah, walimah (kenduri kendara) boleh makan hari, minggu, mungkin bulan - tapi jarang makan tahun. Tapi perubahan dan persiapan jiwa, memperkasa ilmu serta kefahaman dan menganjak paradigma, easily makan bertahun-tahun. Lihat sahaja contoh RSAW membentuk dan mempersiapkan iman para sahabat di Mekah yang memakan masa selama 13 tahun! Sama-sama sahut seruan menjadi hamba-Nya yang taat.

    [Reply]

  15. abduhu siir says:

    ربنا هب لنا من أزواجنا وزريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما
    ameen~

    [Reply]

  16. syahidatullah says:

    salam saudara hilal,

    bile bangkitkan isu kawin nie, sy sbnrnyer kurang faham ble org ckp ” klau nak kawin mesti kerana Allah, jgn kerana nafsu” tp ade lg org ckp ‘mesti kawin untuk elakkan maksiat’. so, klau nikah gantung untuk elakkan maksiat nie, kwin krn Allah ke krane nafsu?

    perkahwinan yg macam mane sbnrnyr yg dikatakan sbgai berkahwin krn Allah..krn sy yakin pasti ramai insan di luar sane yg sangsi untuk mendirikan rumah tangga kerana khuatir klau2 perkahwinan yg bakal dibina itu bukan kerana Allah sebaliknyer kerana usia atau keluarga.

    jadi, alangkah baiknyer jika saudara hilal boleh berkongsi fahaman saudara hilal ttg pengertiaan sebenar perkahwinan kerana Allah untuk menjadi renungan bersama…insyaAllah.

    wallahu a’alam…

    [Reply]

  17. Suri says:

    susahnya mencari seorang Adam yang terpikir untuk berkahwin supaya seorang isteri itu menuju jlan ke syurga..kdg2 kita cuma terpikir kehidupan dunia sj. kebahagiaan dia,kebebasan dia, pengertian dia..tapi..pernahkah kite terpikir di mana tempatnya kelak di sana..syurga @ di mana?

    mcm sy sendiri sentiasa berdoa Allah temukan dengan orang yang mampu membawa sy menuju syurga..mcm doa2 yg ada dlm kad kawin tu..tp, bila tengok lelaki zaman sekarang, sy rasa mcm takut pulak nk kawin.^_^

    [Reply]

  18. az-zahra says:

    lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya..
    isteri yang soleh adalah untuk lelaki yang soleh..
    pandanglah dia dengan agamanya, bukan harta, paras rupa dan kedudukannya..
    ijab dan kabul akan menghalalkan hubungan dua insan..
    disitu terpateri segala amanah ilahi yang perlu ditunaikan..
    untuk di rahmati perlu mencintai, untuk mencintai perlu mengenali, kenallah ilahi sepenuh hati..
    agar perkahwinan yang terbina sentiasa di redhaiNYA..

    [Reply]

  19. [...] suka rupanya tiada apa-apa perasaan terhadap saya. Jadi, macam yang saya pernah kata dalam artikel “Saya dah nak kahwin?”, memang kemungkinan untuk direject adalah 99.99999%. Memang pedih macam tercabut separuh nyawa. [...]

  20. alimah_sanusi says:

    Alhamdulillah..sebenarnye saya tercari2 artikel yang sebegini rupa..padat dan bermanfaat..berguna..boleh membuka mata saya kepada 1 kepastian yang sy tercari2 selama ini..mungkin ini jalan yang Allah nak tunjuk setelah lama sy tercari2 jawapan kepada 1 kehidupan..terima kasih di atas 1 artikel yang membuka mata dan minda sy..

    [Reply]

Leave a Reply